Sep 30, 2008

Coretan Akhir Bulan Ramadhan


Akhirnya kita telah sampai ke garisan penamat. Sebaik sahaja kita menunaikan solat maghrib malam nanti, laungan takbir akan berkumandang. Di rumah, di masjid, di surau apatah lagi di corong radio dan TV. Kita telah berjaya menamatkan 'ujian' yang panjang ini selama sebulan penuh. Cuma kita perlu menghitung-hitung samada kita telah menjadi juara atau mendapat nombor terakhir atau 'pancit' ditengah jalan. Ramadhan mengajar kita untuk bersama-sama berjamaah di surau dan masjid. Berjayakah kita selepas ini mengekalkan amalan itu diluar bulan Ramadhan. Ramadhan mengajar kita patuh kepada masa ketika berbuka puasa dan mula menahan diri apabila masuknya waktu imsyak. Adakah selepas bulan Ramadhan kita menghargai masa itu. Banyaklah persoalan yang perlu dijawab sebelum kita melangkah untuk menyambut 'Hari Kemenangan" - Eid ul Fitri.


Bagi yang mengetahui hikmah dan fadhilah Bulan Ramadhan, pemergiannya akan ditangisi. Entah bertemu atau tidak pada Bulan Ramadhan yang akan datang. Belum tentu lagi. Cuma sebagai renungan saya petik hadis-hadis meriwayatkan kelebihan bulan Ramadhan.


[Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."] petikan dari laman www.daruliman.com


Walaupun di penghujung Bulan Ramadhan selalunya akan ada cerita sedih dan sayu yang kita dengar, baca dan lihat. Kematian kerana sakit atau pun mati secara tiba-tiba . Kematian kerana kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan pulang kekampung. Ada yang hilang rumah kerana terbakar dan yang paling malang apabila kemalangan itu kerana kecuaian kita sendiri. Berita yang terpapar di dada akhbar Utusan Malaysia hari ini ialah "Hilang Rumah Kerana Mercun". Kegembiraan yang sementara itu telah lenyap dengan penderitaan yang panjang. Saya berdoa semoga adik Asyras berumur 11 tahun itu akan mengingati sejarah hitam ini sebagai pengalaman pahit bermain mercun ketika menjelang tibanya Hari Lebaran. Takziah kepada mereka yang bernasib malang, semoga Allah mengantikan dengan yang lebih baik.



Waktu yang sama ramai pula yang ternanti-nanti untuk menyambut Hari Lebaran ini dengan penuh kegembiraan. Terutamanya pasangan yang baru sahaja berkahwin pada bulan Syaaban yang lalu. Selamat menempuh pengalaman baru. Begitu juga kepada yang dapat cahaya mata, menantu dan cucu baru. Peningkatan laba berniaga, kenaikan pangkat, kemurahan rezeki dan segala macam nasib baik. Apatah lagi kepada anak-anak kapal Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 milik MISC yang dijadikan tebusan lanun di Teluk Aden. Mereka telah dibebaskan ketika Hari Raya sedang menjelang tiba. Bersyukur lah kepada Allah yang telah menjadikan langit dan bumi serta isi didalamnya. Semoga kita terus mendapat hidayah dan inayahnya.


Terima kasih juga kepada yang menghantar sms ucapan Selamat Hari Raya. Cuma dari sekian banyak sms, saya tersentuh dengan sms, seorang sahabat yang pernah jadi 'bos' saya dahulu.


"Dalam kerendahan hati, ada ktinggian budi, Dalam kelembutan lidah, ada keterlanjuran kata, khilaf & dosa. Harap dimaafi segala2nya KERANA dlm USIA yg tinggal tak seberapa ... m'kin ini Ramadan terakir buat saya dan kita tak s'mpat lagi berjumpa....'SelamatMenyambut Aidil Fitri'. Semoga kita semua dirahmati Allah S.W.T sepanjang masa. Daripada Hj Mohd Noor & keluarga.

Akhir kalam sekali lagi saya (Pok Li) dan isteri (Rosna) mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR DAN BATIN"





Sep 29, 2008

Mercun Tepek, Mercun Lidi


Ketika membaca akhbar Utusan Malaysia pagi tadi, mata saya terpaku kepada berita 'Murid Nyaris Buta Akibat Mercun' . Menurut berita itu budak tersebut telah meleraikan bahan letupan tersebut kepada dua bahagian dan menyalakan sumbunya. Itulah cara budak-budak sekarang bermain mercun. Mereka bukan sahaja kreatif tetapi melakukan 'eksperimen' yang membahayakan diri sendiri. Ibu bapa pula gagal memerhati perlakuan anak-anak kerana kesibukan membuat persiapan Hari Lebaran. Akhirnya kejadian malang ini berlaku saban tahun. Mercun telah diharamkan penjualannya oleh kerajaan. Permainan mercun bukanlah budaya Melayu. Ia adalah budaya yang berasal dari Cina sejak abad ke-13 lagi. Kemudiannnya, tersebar ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan Jepun. Permainan mercun menjadi tradisi bagi sesetengah negara. Amerika Syarikat, contohnya, meraikan Hari Kemerdekaan dengan permainan mercun secara besar-besaran. Manakala Jerman membenarkan permainan mercun semasa sambutan tahun baru tiba.

Semasa saya kecil, mercun bukanlah bahan larangan. Pada usia lima tahun, abah telah mengajar saya bagaimana membakar mercun. 'Mercun tepek' pelbagai warna ini dibungkus dengan gambar dewa perempuan berwajah Cina. Dengan menggunakan puntong kayu api dari dapur, sumbu mercun dicucuh ke bara api dan di lontar. Dam dum dam. Membakar mercun memang mengasyikkan. Apatah lagi jika ia dibaling dalam tong atau lubang. Bunyi nya lebih mampat berbanding dilontar begitu sahaja. Sesekali mercun akan meletup juga di jari kerana sumbu mercun yang pendek. Jari berasa berdenyut-denyut dan telinga akan menjadi bingar. 'Main tetap main'. Ia diteruskan pula dengan membakar 'mercun lidi' (saiznya kecil sebesar anak mancis). Seingat saya, mercun yang ada ketika itu tidak banyak jenis, selain dari mercun lidi dan mercun tepek, satu lagi ialah mercun roket. Jika nak merasakan lebih keseronokan saya akan pergi kerumah jiran bermain meriam buluh. Bunyi nya yang kuat itu akan sentiasa disambut oleh bunyi letupan dari meriam buluh lain. Kami akan saling berbalas-balas 'tembak'. Kerana keseronokan itu lah agaknya ramai budak-budak sekarang tidak sedar bahaya bermain mercun.


Setelah saya menjadi 'bapa budak'. Saya melarang anak-anak saya daripada bermain mercun. Pertama kerana merbahaya, kedua membazir dan ketiga ia menggangu kenteraman dan keharmonian jiran-jiran. Beberapa minggu lepas, boleh dikatakan hampir setiap malam budak-budak bermain 'mercun bola' berhampiran rumah saya. Ia bukan sahaja menggangu tidur anak-anak kecil, tetapi juga menggangu solat tarawih di surau berdekatan. Selepas rondaan polis dibuat barulah aktiviti itu tidak berlaku lagi. Amatlah malang ketika umat Islam mengerjakan ibadat puasa, dalam masa yang sama segelintir umat islam juga melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.


Sebagai renungan saya paparkan petikan email yang saya ambil dari group "Kenalan".


'Permainan yang merbahaya ini sudah menjadi kebiasaan di Taman Desa Dahlia, berhampiran Balai Raya dan Surau setiap hari selepas berbuka. Kadangkala belarutan sehingga 11:00malam. Perkara ini telahpun dilapurkan kepada pihak Polis Senawang tetapi masih belum dapat perhatian mereka. Sedangkan rumah saya bedekatan dengan surau setiap kali "BOM" diletupkan anak kecil saya terkejut dan terus menangis. Apakah jiran yang lain tidak boleh dengar letupan "BOM" ini. Adakah mereka menunggu sehingga remaja nakal ini kehilangan anggota badan. Dua tahun lepas 3 rumah telahpun terbakar di taman ini disebabkan permainan mercun.Harap email ini akan mendapat perhatian pihak yang perhatin"

Sep 28, 2008

Tuah Ada Untung Tiada

Tuah Ada, Untung Tiada. Tajuk ini saya ambil daripada sebuah cerita kanak-kanak yang pernah saya baca puluhan tahun dahulu. Cerita ini mengisahkan seorang pemuda miskin yang tinggal terpencil di hujung sebuah kampung. Pekerjaan nya tidak menentu, ada ketika ia menjual hasil hutan, manakala pada musim yang lain dia menjual ikan hasil tangkapannya di sungai. Dia telah melalui kehidupan ini bertahun-tahun lamanya. Orang kampung pula kurang ambil tahu hal dirinya bukan sahaja kerana dia miskin tetapi kurang pula bergaul dengan penduduk kampung. Pada satu hari apabila ia pulang menjual dari pekan, dia terkejut kerana halaman rumahnya sudah dibersihkan. Apabila ia naik ke dalam rumah, sudah siap hidangan makanan termasuk buah-buahan yang eksotik. Kejadian ini berlaku berulang-ulang kali, setiap kali dia pulang dari mencari rezeki. Lalu timbul dalam benak fikirannya untuk mengintai siapakah yang meletakkan makanan dan membersihkan rumahnya setiap hari semasa ketiadaannya.

Akhirnya, dia menemui seorang gadis yang amat cantik jelita, yang selama ini telah ‘membantu’nya mengemaskan rumah dan menyediakan makanan. Di pendekkan cerita pemuda miskin ini akhirnya telah berkahwin dengan perempuan yang cantik jelita ini. Semakin rajin lah dia mencari rezeki kerana bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga isteri yang baru dinikahinya. Pada suatu hari isterinya berkata kepada pemuda miskin tersebut,

“Mulai hari ini tidak perlu lah kekanda bekerja keras, kerana setiap tibanya purnama penuh, adinda akan menenun sulaman kain emas untuk dijual di pasar”. “ Cuma satu syarat sahaja yang adinda pinta”. “Pada malam tersebut adinda akan berada sepanjang malam di bilik belakang rumah kita ini”. “ Janganlah sesekali kekanda cuba mengintai, walaupun terdengar bunyi yang pelik-pelik dan aneh-aneh”. “ Jika syarat ini kekanda langgar maka putuslah hubungan kita sebagai suami isteri”.

Si suami ini pun bersetujulah. Maka setiap kali bulan penuh isterinya akan berada dibilik belakang rumahnya menenun kain. Walaupun pelbagai bunyi pelik dan aneh didengari tetapi pemuda miskin ini tetap patuh kepada ‘amanah’ yang telah dipersetujui sebelum ini. Tidak berapa lama kemudian pemuda miskin tadi telah menjadi kaya raya, hasil jualan kain sulaman emas tadi. Ia bukan sahaja dikenali dan dihormati oleh penduduk kampung tetapi juga sudah mempunyai sahabat dikalangan pedagang-pedagang dan pembesar-pembesar negeri.


Selepas beberapa tahun mereka berkahwin, pasangan ini juga telah dikurniakan sepasang orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Timbul lah dalam fikiran sisuami jika dia melanggar ‘amanah’ isteri, tidak mungkin isteri akan meninggalkannya kerana mereka sudah mempunyai anak. Maka pada bulan penuh berikutnya, ketika isterinya berada dibilik belakang dia pun mencari-cari lubang untuk melihat pekerjaan isterinya menenun kain emas. Alangkah terkejutnya sisuami apabila kelihatan didalam bilik itu terdapat sekawanan burung bangau yang amat besar berbulu emas. Mereka mencabut bulu dan menyulam kain emas. Kerana terlalu terkejut, dia telah tersepak bendul rumah dan mengeluarkan bunyi. Tahulah isterinya bahawa suaminya telah melanggar ‘amanah’ yang dipersetujui sebelum ini. Isterinya pun berkata;



"Setelah sekian lama kita hidup bersama, akhirnya sampai juga masa adinda akan pergi",“ Kekanda telah melanggar amanah yang adinda pesan ”. “ Mulai hari ini kita akan berpisah buat selama-lamanya”. "Jagalah baik-baik anak-anak kita". " Jika mereka rindu kepada ibunya, bawalah dia ke puncak bukit dibelakang rumah setiap kali purnama penuh". " Pastilah mereka akan terasa kehadiran adinda"."Wahai kekanda sebelum adinda pergi, biarlah adinda menceritakan kisah sebenarnya”. “Adinda telah diperintahkan oleh dewa kekayaan untuk membantu kekanda, kerana kasihan melihat kemiskinan yang kekanda lalui”. “ Manakala bangau-bangau lain yang kekanda lihat itu adalah adik-beradik adinda yang akan berjumpa dengan adinda setiap purnama penuh dan membantu adinda menyiapkan kain daripada tenunan emas”.

Pengajaran dari cerita kanak-kanak tersebut ialah, bukan mudah untuk menjaga amanah. Pemuda yang bertuah itu telah kehilangan untungnya. Ia bukan sahaja kehilangan isteri tetapi juga kehilangan kain tenunan emasnya. Jika dia tidak bernasib baik ia mungkin jatuh miskin semula, dan turut kehilangan kawan-kawan daripada pedagang-pedagang dan pembesar-pembesar Negara.

Kuasa yang ada pada pemimpin adalah amanah yang diberikan oleh rakyat untuk dijaga. Amanah rakyat tentulah tidak sama dengan pesanan ‘si bangau’ tadi. Sebaliknya rakyat berpesan supaya, pemimpin apabila mendengar bunyi yang pelik-pelik dan aneh-aneh perlu melihat hal yang berlaku dan bukan hanya berdiam diri didalam bilik sahaja. Ketika rakyat bercakap perkara-perkara yang pelik-pelik dan aneh-aneh mengenai pemimpin yang ada sekarang. Perlu lah pemimpin utama itu sedar tentang amanah yang dipegangnya. Jika tidak juga peka, ditakuti, ibarat ‘sibangau’ tadi meninggalkan suaminya dan mungkin memilih untuk menghidang makanan dan membersihkan rumah ‘pemuda miskin’ yang lain pula.

Sep 27, 2008

Bertemu Untuk Berpisah


Minggu lepas saya telah meraikan seorang kawan yang bertukar dari Marang ke Kuala Terengganu. Manakala minggu ini seorang kenalan telah menjemput saya di majlis berbuka puasa sempena pertukaran nya ke Hulu Terengganu. Semakin hampir hujung tahun, semakin ramai yang akan bertukar. Saya baru sahaja tersedar bahawa sepanjang dua tahun sepuluh bulan di Terengganu ini, berbelas-belas orang yang baru saya kenali telah pun bertukar. Samaada berpindah keluar dari Daerah Marang atau pun dari Negeri Terengganu. Inilah lumrah kehidupan. Bertemu untuk Berpisah.

Selepas usia hampir menjejaki setengah abad. Saya percaya saya telah kehilangan ramai sahabat kerana perpisahan. Berpuluh-puluh malah beratus-ratus juga kenalan saya telah hilang dalam ingatan kerana perpisahan. Jika bertemu pun kami hanya bercerita kisah-kisah lama sewaktu di sekolah rendah atau menengah atau di tempat kerja yang telah di tingalkan bertahun-tahun lamanya. Perbualan itu selalunya tidak akan panjang. Soalan yang paling kerap ditanyakan ialah, “berapa orang anak dah?”, “anak belajar dimana”?, “dah ada menantu ke?’,“kerja dimana sekarang?”.” Berapa tahun lagi nak bersara?”, “kawan kita tu… apa khabarnya”?. Selepas beberapa minit selalunya saya tidak dapat menyambung cerita baru, akhirnya kami hanya akan bertukar-tukar nombor telepon dan selepas itu kami akan berpisah lagi. Maklum sahaja, selepas berpisah berpuluh tahun lamanya, ‘frame of reference’ selalunya semakin berbeza dan saya sudah tidak dapat meneka topik kesukaannya.

Begitu pun saya masih mengharapkan untuk bertemu beberapa orang sahabat lama yang rapat satu ketika dahulu. Salah seorang daripadanya bernama Syed Abdul Halim. Syed Abdul Halim orang Perak dan kampungnya berdekatan dengan ‘gateh’(jambatan) Iskandar di Kuala Kangsar. Kami sama-sama bekerja di Jabatan Perangkaan, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur sekitar tahun 1980an. Syed adalah kawan rapat saya. Jika tidak balik ke kampung, saya akan pergi bermalam di rumah sewa kakaknya di Jalan Ikan Emas, Cheras. Dia cukup berbakat bermain gitar. Malah dia tidak lokek untuk mencurahkan kepandaiannya dan mengajar saya bermain gitar. Selalunya saya lebih suka mendengar dia menyanyi sambil memetik gitar dengan lagu “Lizawati” (Nyanyian Rahim Maarof).

Ada perkara lain yang saya tak akan lupa kepadanya. Syed lah punca saya ‘ketagih’ merokok. Awal kehidupan remaja, saya bukanlah perokok tegar ketika itu. Dalam seminggu adalah sebatang atau dua batang saya merokok. Itu pun suka-suka berkongsi rokok kawan-kawan sewaktu minum pagi atau makan tengahari. Semenjak saya berkawan dengannya, Syed tidak pernah lokek menghulurkan rokoknya selepas makan atau pun ketika ‘berlabun’(berbual). Jika saya menolak dia akan tetap menghulurkan rokok kepada saya. Akhirnya saya akan mengalah. Selepas beberapa lama tanpa pelawaannya pun saya sudah ‘berani’ menghisap beberapa batang rokoknya. Biasalah bang rokok free. Dia menyedari perubahan yang berlaku. Kerana itu setiap pagi dia akan datang dengan membawa rokok ‘Benson & Hedges’ kotak kecil, 10 batang khusus untuk saya. Tidak sampai seminggu saya tak sanggup untuk membiarkannya membeli rokok untuk saya setiap hari. Dari 10 batang kepada 14 batang dan akhirnya saya menjadi perokok ‘otai’ merokok 20 hingga 30 batang sehari.

Alhamdullilah, selepas 25 tahun ketagihan merokok, akhirnya saya berjaya berhenti merokok. Berhenti ketika sekotak rokok, 20 batang berharga RM 5.20. Kalau saya merokok lagi sekarang, pastinya saya terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membunuh diri sendiri ;). Saya tidak pasti adakah Syed Abdul Halim masih merokok atau tidak. Jika dia sudah berhenti merokok seperti saya, alhamdullilah, jika belum saya berdoa semoga ia masih sihat dan tidak mengidap sebarang penyakit. Kami telah berpisah apabila Projek Banci Penduduk tamat sekitar Mei 1981. Jika ada izin Allah pasti kami akan bertemu lagi. Jika dia merokok lagi, pasti saya akan nasihatkan dia supaya berhenti merokok. Mungkin itulah pesanan yang terbaik buat Syed Abdul Halim sebelum kami berpisah semula.

Sep 25, 2008

Cerita Kematian


Pagi kelmarin ketika saya sedang ‘upload’ bahan ke blog ini, tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Panggilan kawan lama dari Rompin, Roplan. Khabar dukacita. Isteri seorang sahabat meninggal dunia kerana mengalami tiroid. Ajalnya sampai ketika tersedak minum air waktu bersahur. Usia nya baru 37 tahun, masih muda. Jenazahnya dibawa dari Rompin, Pahang ke Kampung Rusila, Marang dan dikebumikan petang semalam. Ketika keranda ditimbus secara perlahan-lahan ke liang lahad, airmata suaminya mengalir deras. Saya tidak dapat meneka apa yang bermain dalam fikirannya, tetapi saya boleh rasa apa yang dia alami. Kehilangan isteri dan ibu muda yang meninggalkan empat orang anak yang masih kecil. Hari Lebaran tahun ini tentulah membawa cerita yang berbeza. Kegembiraan berganti dukacita. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Al-Fatihah.

Saya telah melalui peristiwa kematian orang tersayang beberapa kali dalam bulan Ramadhan. Tahun 2001, ibu saya juga telah pergi ke alam baqa’ pada hari ke 22 Ramadhan ketika umat Islam sibuk untuk menyambut Hari Raya. Ibu yang di cintai telah pergi buat selama-lamanya. Walaupun saya telah berkahwin, beristeri dan mempunyai anak, kehilangan ibu amat terasa sekali. Setiap kali pulang ke kampung, setiap kali juga saya terasa seolah-olah ibu masih hidup. Masih teringat jelas, setiap kali menyambut Hari Lebaran, emak lah orang paling sibuk. Pintu pagar rumah akan dicat, setiap inci rumah dibersihkan. Langsir-langsir dipasang baru. Pinggan mangkuk hidangan hari raya dibasuh dan dikeringkan. ‘Penganan’ (dodol), di kacau. Telur bahulu di pukul dalam pasu sehingga bertukar ke warna putih. Sirat , samprit, kueh bangkit, wajik, kueh putu, kueh goyang (semuanya kueh tradisional) menjadi kueh wajib yang perlu ada. Emak juga ramai kawan-kawan. Dia terkenal rajin di kampung. Dari awal pagi sampai ke petang ia tidak pernah penat untuk melakukan pelbagai perkara. Dari ‘motong’ (menoreh) pokok getah, ‘mengangkit’ (mengutip susu getah), memasak, membasuh, membersih kebun, mencari akar-akar kayu (ibu saya mahir mencari akar kayu untuk kegunaan perempuan selepas bersalin) sehingga lah kepada menjadi ‘kepala masak’ jika ada kenduri kendara di kampung. Emak saya seakan ‘berurat dawai, bertulang besi’. Kerana itu pada hari pengebumiannya, begitu ramai orang datang menziarahi dan solat jenazahnya sebagai penghormatan terakhir. Emak meninggal ketika berusia 75 tahun, mengalami sesak nafas, komplikasi dari penyakit lemah jantung yang telah lama di hidapinya. Setiap kali berhari raya dikampung saya akan kehilangan banyak perkara, sentuhan, masakan, kueh-mueh, dan cerita-cerita zaman lampau emak. Al Fatihah.


Kehilangan emak, menjadikan abah saya amat dukacita. Pasangan bahagia ini telah berkahwin selama 56 tahun. Berkahwin ketika bandar Seremban di serang dan di bom oleh tentera Jepun, Pasangan ini telah dikurniakan lapan orang cahaya mata. Empat masih hidup, manakala empat lagi meninggal dunia sewaktu kecil. Bersama-sama melalui zaman sukar, pendudukan Jepun, pemerintahan komunis ’14 hari’, zaman ‘orang putih datang balik’ perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan sehinggalah sampai ke zaman merdeka, senang dan mewah.. Dari hanya menumpang berteduh di tanah bapa mertua (datuk saya), turut menerima bantuan zakat, akhirnya mampu memiliki beberapa bidang tanah dan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Akhirnya tercapai juga hasrat mereka untuk mengerjakan ibadat haji, Rukun Islam yang ke lima beberapa kali.

Kematian ibu menjadikan abah kurang bercakap. Apatah lagi selepas itu adiknya yang paling rapat, bapa saudara saya ‘Pak Lang’ meninggal dunia pula setahun selepas pemergian emak. Dua tahun itu merupakan tahun ‘kesedihan’ bagi abah. Ia telah kehilangan ‘dua’ orang yang paling mengambil berat tentang kesihatannya. Abah ketika itu sudah menghidap penyakit angin ahmar. Berkat doa, perubatan moden dan tradisional, abah masih boleh mandi sendiri, pakai baju sendiri dan buang air sendiri. Untuk keluar ke halaman rumah ia perlu dipimpin. Selalunya abah akan menghabiskan masa di kerusi malas dihadapan rumah melihat orang lalu lalang. Kesihatannya dari hari kehari semakin merosot, beberapa hari sebelum menyambut bulan Ramadhan ia dimasukan kehospital kerana darah tingginya naik mendadak. Abah berada dalam keadaan separuh sedar. Selepas segala usaha yang diambil tidak juga mendatangkan hasil positif, pihak hospital meminta kami sekeluarga membawa abah pulang ke rumah. Kami tahu bahawa ajal abah sudah semakin hampir. 1 Ramadhan, tahun 2003, selepas dua tahun kematian emak, kami kehilangan lagi seorang insan yang tiada gantinya. Hari Lebaran itu saya merasakan kehilangan yang amat sangat. Kerana sepanjang usia saya dari kecil sehingga saya berkahwin dan mempunyai anak, saya tetap mengikut abah berhari raya. Selepas selesai menunaikan solat sunat Id Fitri, abah tak akan pulang kerumah. Abah akan terus kerumah adik beradiknya seramai sembilan orang di sekitar kampung dan di Seremban. Kami akan hanya sampai di rumah sebelum masuk waktu Asar. Hari Raya kedua dan ketiga baru lah dia menyambut kunjungan balas kedatangan adik beradiknya di rumah. Ini lah amalannya sehingga ia jatuh sakit. Apabila ia jatuh sakit pada tahun 1997, saya lah yang akan membawanya dan menolak kerusi roda untuk melawat adik beradiknya. Hubungan nya dengan adik beradik amat rapat, kerana itu ia menjadi tempat rujukan jika ada masalah keluarga selain ‘Pak Lang’. Kehilangan nya bukan sahaja dirasakan oleh kami adik beradik, adik-adik dan anak buahnya tetapi juga kenalannya dan orang kampung. Jika saya berhari raya dikampung, selepas solat sunat Hari Raya saya akan mengikuti semula ‘Jejak Abah’ kerumah ibu dan bapa saudara saya.Walaupun saya melalui jalan yang sama, tetapi tetap tidak sama seperti bersama abah. Al. Fatihah

Kini bulan Ramadhan datang lagi saban tahun. Cerita kematian tetap ada. Cuma cara kematian itu sahaja yang berbeza-beza. Saya terus berdoa, agar kematian saya tergolong dalam kematian husnul-khatimah. Walaupun pada hakikatnya manusia cuba lari dari kematian.

“Dan sungguh kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) dari orang- orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkan dari siksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Q.S. Al-Baqarah:96).

Sep 24, 2008

Kembalinya Perantau


Sehari dua lagi laluan dari Kemaman, Dungun, Marang ke Kuala Terengganu akan menjadi sesak. Perantau akan pulang ke kampung masing-masing. Ketika itu Kuala Terengganu akan bertukar rupa menjadi ‘Kuala Lumpur’. Anak Terengganu yang bekerja jauh diperantauan akan pulang. Dari Johor, Seremban, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan lain-lain bandar besar akan menyerbu pulang. Perhentian Bas di Kuala Terengganu akan sesak dengan pelajar-pelajar sekolah dan IPT, yang mula pulang bercuti.. Sebahagian nya sudah mula bercuti pada minggu lepas dan semakin sarat pada minggu terakhir ini. Tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan pada 29 haribulan. Mungkin Hari Lebaran di sambut pada 30 September atau 1 Oktober.

Sewaktu saya mula-mula menetap di Kuala Lumpur penghujung tahun 70 an, balik ke kampung tidak menjadi masalah besar.. Jarak dari Kuala Lumpur ke kampung saya di Seremban hanya lebih kurang 80 km sahaja. Tidak perlu menempah tiket ataupun ‘trauma’ kerana ketiadaan bas. Walaupun Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban telah mula dibina pada tahun 1977 dan hanya siap digunakan pada tahun 1979. Bas-bas dari Syarikat Mara yang menyediakan perkhidmatan bas tidak mencukupi menampung kebanjiran penumpang ketika balik beraya. Penumpang terpaksa beratur panjang, kadang-kadang sehingga dua jam sebelum dapat menaiki bas. Bas Mara pula tidak membenarkan penumpangnya berdiri, semua penumpang mesti duduk. Pilihan terbaik ialah menaiki bas Foh Hup. Bas yang melalui jalan lama, Cheras- Semenyih- Mantin - Lenggeng – Seremban. Yang perlu disiapkan ialah ketahanan fizikal dan mental untuk berebut. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mencampakkan dahulu beg-beg baju ke kerusi penumpang. Langkah kedua perlu berebut–rebut masuk melalui pintu belakang bas. Tiada aturan penumpang harus duduk. Terpaksa berdiri dan bersesak-sesak. Macam sardin. Risikonya tetap ada, pencopet tetap ada dimana-mana menjalankan operasi. Mungkin kita terpaksa meminjam dalam bas kerana kehilangan dompet wang. Kini, ‘perebutan’ sengit ini sudah tidak lagi berlaku di Perhentian Puduraya. Bas Foh Hup juga sudah lama berkubur. Kita mungkin sudah lebih bertamaddun dan patuh untuk beratur. Beratur bukan sahaja ketika menaiki bas tetapi juga di premis-premis makanan segera dan di ATM.

Terlalu banyak kisah untuk ditulis ketika pulang berhari raya. Biarlah ia menjadi sejarah. Tahun ini sekali lagi saya dan keluarga tidak pulang ke kampung. Kami akan berhari raya di perantauan. Semua anak-anak kami akan berkumpul semula. Mereka telah mengulangi semula perkara yang sama semasa zaman muda saya. Pulang ke kampung setiap kali menyambut Hari Lebaran. Walaupun Marang bukan kampung mereka. Tetapi inilah destinasi mereka bertemu kami memohon ampun dan maaf dan berhari raya. Seminggu selepas Hari Lebaran mereka akan pulang kembali ke kampus masing-masing dan kami akan tinggal berdua semula. Mana hala tuju kami selepas itu. Belum pasti. Samada pulang ke Negeri Sembilan tempat kelahiran saya, atau ke Pulau Pinang tempat kelahiran isteri. Mungkin juga membuat satu 'rally' dari Marang-Grik-Georgetown dan dari Georgetown-Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban, kembali semula dari Seremban-Bandar Muadzam – Kuantan dan Marang mahligai kami.

Sep 23, 2008

Jasa 'Orang Malas'


Sudah 15 hari saya tercebur sebagai penulis blog. Menulis di blog Biso Bonar ini. Saya tak sangka sehingga hari ini saya masih meneruskan ‘marathon’ ini dan mampu juga menyiarkan sepuluh artikel yang bermacam ragam. Ada kisah santai, kisah-kisah semasa, kisah hidup dan pengalaman lalu, juga sedikit sebanyak sentuhan cerita-cerita politik. Walaupun untuk menulis hanya memerlukan masa satu hingga dua jam. Tapi hasilnya hanya ada satu atau dua muka surat A4. Akhirnya saya akui bahawa kerja menulis bukan lah mudah. Ia tidak semudah menulis surat-surat rasmi. Surat rasmi biasanya sudah ada formatnya. Apatah lagi sekarang ini, menyediakan sekeping surat tidak sesukar zaman saya dahulu. Menggunakan mesin taip. Jika tersilap ‘catuk’ surat itu perlu di buat lagi berkali-kali. Setelah melakukannya berkali-kali akhirnya saya bukan sahaja mahir ‘mencatuk’ menggunakan dua jari (sampai sekarang) tetapi juga memahami tatacara menyediakan surat rasmi. Kini surat sudah boleh disiapkan dalam kurang daripada lima minit menggunakan kaedah ‘copy’ dan ‘paste’. Kerana itu ada surat tahun lepas yang baru kita terima hari ini kerana terlupa menaip tarikh baru. Itulah teknologi!.

Teknologi menyebabkan masyarakat menjadi malas. Berjalan kaki misalnya sudah menjadi leceh. Menunggang motor atau memandu kereta ke kedai berhampiran sudah menjadi lumrah. Kita cuba mengelak untuk berjalan kaki. Kalau pejabat atau rumah di tingkat satu pun kita akan menaiki lif. Tangga digunakan apabila lif rosak. Ketika bekerja di Pulau Pinang dahulu, saya pernah beberapa kali menuruni dan menaiki tangga dari atau ke pejabat kami di Tingkat 38, Bangunan Komtar, kerana lif rosak. Waktu itu ‘no hal’. Maklumlah masa itu tenaga masih kuat dan muda trang tang-tang. Kalau sekarang agaknya, saya hanya ada dua pilihan, tunggu sehingga lif dibaiki atau mengambil cuti rehat. Apa pun saya cukup kagum dengan semangat ‘penghantar barang’ di sekitar kaki Gunung Kinabalu, Sabah yang ‘selamba’ sahaja memikul tong gas berisi penuh 14 liter di belakang sambil berlari menaiki lereng-lereng bukit yang berbatu-batu serta curam itu.. Saya percaya satu hari nanti akan ada mesin jentera yang dicipta untuk tujuan mengatasi masalah itu. Perlahan-lahan saya memahami, bahawa teknologi bukan dicipta untuk menjadikan kita malas. Tetapi ‘orang malas’ lah yang berfikir dan mereka cipta teknologi untuk memudahkan mereka. Kalau bukan idea dari ‘orang malas’ ini mungkin sehingga sekarang kita terpaksa berulang kali bangun untuk menukar saluran TV dari TV1 ke TV 2, TV3, TV9, TV8,TV7 dan membuat ulangan lagi. Kalau tanpa ‘orang malas’ itu, kita mungkin masih lagi membasuh kain baju menggunakan tangan. Menanak nasi menggunakan dapur minyak atau dapur kayu. Sekali lagi, perlahan-lahan saya memahami ada ketikanya kita lebih memerlukan ‘orang malas’ ini selain daripada bergantung kepada orang rajin.

Beberapa hari ini saya telah menerima beberapa keping kad-kad Hari Raya. Sudah agak terlewat nak membalasnya. Jika saya membalasnya mungkin tak akan sampai sebelum Hari Lebaran tiba. Tiada cara lain yang lebih pantas, selain menggunakan sms atau e-mail untuk membalasnya. Sekurang-kurangnya setahun sekali kita saling berhubung dan memohon maaf zahir dan juga batin. Sekali lagi saya ‘terpaksa’ berterima kasih kepada teknologi dan terhutang budi kepada yang menciptanya. Bermain dalam fikiran saya adakah pencipta ini orang yang malas untuk membeli setem ataupun berat kaki ke Pejabat Pos. “Lu pikir la sendiri”……… .

Akhir kalam di ucapkan, ‘Selamat Hari Raya . Maaf Zahir Batin”. Semoga diberkati usia, dilapangkan rezeki, kekal sihat tubuh badan. Dianugerahkan Allah kekuatan berfikir, Ibadah yang Istiqamah. Keamanan Negara dari penyakit dan wabak. Huru-hara dan peperangan. Amin.

Sep 22, 2008

Gila Talak..............


Semakin hampir dengan Hari Raya, semakin rancak pula majlis berbuka puasa diadakan. Malah setiap tahun timbul nama-nama baru tempat untuk berbuka puasa . Dari resort yang eksklusif sehingga lah ke gerai-gerai biasa sahaja. Di Marang ‘semenjak dua menjak’ ini sudah ada banyak pilihan untuk berbuka puasa. Nama-namanya pun nampak eksklusif lah juga. Atap Biru, Marang Village Resort, Aruni Inn, Warung Jerong menjadi pilihan kepada yang ingin berbuka puasa bersama keluarga atau rakan-taulan. Saya lebih seronok berbuka puasa dirumah dari pergi ke tempat-tempat tersebut. Selain daripada terpaksa berbelanja lebih, terpaksa pula terkocoh-kocoh mencari ‘musalla’ untuk menunaikan solat maghrib selepas berbuka.

Cuma pada dua hari lepas, saya bersama isteri dan Alang (panggilan anak ketiga) yang balik bercuti telah mengambil kesempatan menelusuri jalan-jalan di Bandaraya Kuala Terengganu Warisan Pesisir Air (diisytiharkan pada 1 Januari 2008). Memasuki Jalan Negara, Jalan Sultan Mahmud, melalui Bulatan Batu Bersurat terus membuat pusingan ke Jalan Sultan Zainal Abidin dan berhenti di Bazaar Ramadhan di Dataran Syahbandar. Bazar Ramadhan yang memuatkan lebih 80 gerai itu menjual beraneka juadah. Dari masakan butir nangka, jala emas, kasidah, tahi itek, nasi kerabu, nasi beriani, roti john hingga lah ke air root beer A&W. Lengkap dan pelbagai pilihannya.

Selepas membeli nasi goreng, ondeh-ondeh, roti john, air nescaffe panas dan sepotong tembikai, kami ‘landing’ sahaja di Dataran ini untuk berbuka puasa. Bukan kami sahaja rupanya, menjelang berbuka, dataran ini sudah dipenuhi oleh pelbagai pengunjung, dari pekerja Astaka (nama supermarket) bersebelahan, pasangan muda bercinta, hinggalah kepada keluarga yang membawa anak kecil, cucu dan menantu. Kami seakan berbuka puasa dalam ‘keluarga’ yang besar sambil menghirup angin segar Lautan Cina Selatan. Saya percaya setiap hari dataran ini akan sentiasa penuh dengan pengunjung yang sama dan mungkin yang pertama kali macam kami sekeluarga. Apa pun saya seronok mencuba sesuatu yang baru dan santai ini.

Kelmarin saya berkesempatan untuk hadir di majlis berbuka puasa “Bersama Menteri Penerangan” bertempat di RTM, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu. Ketika Datuk Shaberry Chik berucap, beliau tidak percaya kerajaan boleh ditukar sewenang-wenangnya. BN telah menang pada Pilihanraya ke-12 dengan jumlah kerusi Parlimen 142 buah, pembangkang menang dengan 81 buah kerusi dan satu kerusi bebas. Keseluruhan kerusi Parlimen berjumlah 222 buah. Jika 30 ahli parlimen yang melompat parti kepada parti pembangkang kedudukannya hanya menjadi 111 parti kerajaan dan 111 parti pembangkang. Masih belum mampu membentuk kerajaan kecuali satu parti bebas masuk mana-mana parti yang disukainya. Jika ini berlaku kerajaan yang dibentuk akan sentiasa terumbang-ambing. Ia laksana kerajaan Sabah pada tahun 1994. Apabila PBS hanya menang 25 kerusi DUN berbanding kemenangan BN 23 kerusi DUN. Akhirnya kerajaan PBS tumbang dan tertubuhnya kerajaan Negeri Sabah yang baru dibawah pimpinan BN. Apa pun analogi yang dikatakan oleh ‘Pak Menteri’ tersebut, saya melihat Penasihar PKR itu seakan ‘gila talak’ untuk menjadi PM selepas tragedi hitam yang menimpanya pada tahun 1998.

Ketika saya menetap di Kuala Pilah, terdapat cerita popular mengenai ‘gila talak’ ini. Cerita seorang lelaki yang menceraikan isterinya dengan talak tiga. Selepas bercerai baru timbul perasaan menyesalnya, bukan sahaja bekas isterinya itu ‘cun melecun’, tetapi juga mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang lumayan. Macam-macam ikhtiarlah si suami ini supaya isteri tersebut kembali kepangkuannya semula. Kerana pelbagai cara ‘perang saikologinya’, bekas isteri akhirnya bersetuju untuk kembali dengan cara perkahwinan “Cina Buta’. Gembira lah si suami tadi, dicarinya lah seorang pemuda yang nampak ‘dungu’, tapi sasa badannya. ‘Budak’ ini pun setakat kerja kampung sahaja. Fikirnya tentulah proses dia untuk berkahwin semula tidak akan melalui jalan sukar. Malangnya, manusia hanya mampu merancang, Allah lah yang menentukan akhir ceritanya.. Selepas mereka berkahwin ‘semalaman’. Pemuda yang ‘dungu’ itu telah bertukar menjadi ‘cerdik’ dan isteri yang baru dikahwini itupun tak mahu lagi ‘melepaskannya’. Maka ‘frust menonggeng’ lah bekas si suami tersebut bagaikan ‘menang sorak kampung tergadai’. Lalu saya pun terfikir parti manakah yang dianggap ‘budak dungu’ oleh Penasihat Parti PKR itu untuk mencapai impiannya. Kerana takut nanti selepas melompat ke parti pembangkang parti yang 'dungu' itu menjadi 'lebih cerdik'.


Sep 21, 2008

Marhaban Ya Ramadhan (2)


Tinggal lebih kurang 10 hari sahaja lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan yang mulia ini. Lagu-lagu Hari Raya sudah lama berkumandang di corong-corong radio. Ada juga yang sudah mengaktifkan ringtone lagu raya di telefon bimbit masing-masing. Keseronokan menyambut Hari Raya sudah mula dirasakan. Mydin Mall dan Giant di Kuala Terengganu sentiasa sesak saban waktu. Masih ada baju yang belum dibeli. Masih ada kelengkapan dapur yang perlu ditambah. Masih ada hiasan rumah yang perlu dicari. Tak kurang juga yang begitu ‘berahi’ membeli kueh raya. * (‘Berahi’,sebutan orang Terengganu yang bermaksud amat suka, contohnya, ‘aku berahi kawan dengan mu’, ertinya’ aku amat suka berkawan dengan awak’).

Pada tahun 1994, ketika sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan saya masih lagi berada di perantauan. Jauh dari anak isteri dan kaum keluarga. Berada disebuah perkampungan yang jauh di pendalaman.. Ia hanya boleh dihubungi melalui jalan air. Jika menempuh jalan darat terpaksa pula bersabung nasib melalui laluan lori balak yang berkilometer jauhnya untuk sampai ke pekan terdekat, Pitas, Kota Marudu. Kebiasaannya mereka akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda secara berkonvoi. Jika bertongkang ke bandar Kudat pula mengambil masa tujuh hingga lapan jam. Perkampungan ini dikenali sebagai Kinabongan. Perkampungan berpusat ini terletak bersebelahan Sungai Kinabongan. Melalui empat atau lima tanjung baru sampai ke muara sungai dan kemudian meredah laut yang sarat dengan beting karang melintasi, Pulau Jambongan, Pulau Mandi Darah, Tanjung Piring sebelum sampai ke Kudat. Tongkang pengangkut ini dimiliki oleh Datu Damsi tempat kami menumpang tinggal. Datu Damsi keturunan Suluk, isterinya pula dari keturunan Ubian. Mempunyai empat orang anak, seorang anak perempuannya sudah berkahwin dan tinggal di Bandar Kudat, seorang lagi sudah bekerja sebagai guru bernama Cikgu Asmad. Dua orang cucunya berumur empat dan dua tahun turut tinggal bersama mereka. Datu Damsi, tokoh yang dihormati dikampungnya. Isterinya pula ada kaitan saudara, dua pupu dengan Tun Datu Mustapha, pemimpin USNO di Sabah. Rumahnya agak sederhana besar, kami berempat tinggal sebilik daripada dua bilik yang ada.

Selepas empat hari berada di perkampungan ini kami bercadang meneruskan kerja-kerja kami di Pulau Tigabu. Sudah beberapa hari tertangguh, kerana cuaca tidak menentu. Pagi-pagi lagi kami sudah bertongkang ke Pulau Tigabu. Datu Damsi sebagai ‘nakhoda’ ditemani isteri, dua orang cucu serta Cikgu Asmad. Cuaca tenang, ombak laut tak berapa kuat, perjalanan kami lancar. Seperti dijangka kami sampai dengan selamatnya setelah mengharungi lautan selama tiga jam.

Ketika sampai di Pulau Tigabu, hari masih lagi pagi. Kerja-kerja kajian dijalankan secepat mungkin, kerana kami akan balik semula ke Kinabongan pada hari yang sama. Datu Damsi mahu kami berada di tongkang sebelum pukul 3.00 petang.

“ Petang cuacanya kurang bagus tu bah!, “Kalau boleh, jam enam sampai muara sungai sudah”

Di Sabah jam enam petang hari sudah mulai gelap. Ada dua buah mesjid di Pulau ini. Satu dibina oleh USNO satu lagi dibina oleh PBS (wakil rakyat PBS ketika itu Datuk Amir Kahar Tun Mustapha). Terdapat amalan janggal di pulau ini, walaupun mereka menjalani ibadah puasa mereka tetap merokok.

“ Puasanya tidak batal bah”, “Batal, kalau masuk tak boleh keluar”. “Asap kan, keluar toh”

Selepas 14 tahun berlalu, saya tak pasti adakah amalan itu masih menjadi pegangan penduduk Pulau Tigabu. Ketika berada di pulau itu pegawai JAKIM sedang dalam usaha berdakwah mengajar penduduk-penduduk Islamnya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ramai penduduk Kudat yang tak pernah sampai ke pulau ini. Mereka masih percaya penduduk Tigabu tidak makan nasi, tetapi memakan ubi yang dibuat daripada pokok sagu. Ketika kami sampai ke pulau itu cerita itu hanyalah dongengan belaka. Pulau Tigabu juga menjadi persinggahan dan perlindungan kepada bot-bot nelayan ketika berlaku ribut. Namun demikian mereka terdedah kepada serangan lanun. Sempadan perairan Malaysia-Fillipina boleh direntas dalam tempoh satu jam menggunakan bot laju. Nama Abu Sayyaf masa itu sudah gah di perairan Sabah terutama nya di Kudat.

Memasuki separuh masa perjalanan pulang, hujan turun dengan lebat. Jarak penglihatan agak terhad kepada 50 meter sahaja. Betul kata bidalan Melayu, ‘malang tak berbau’ Tongkang kami tersangkut di beting karang. Ia tak boleh dibiar tersangkut terlalu lama. Perut tongkang sudah beberapa kali berderap keras. Bunyinya menakutkan. Jika tidak bernasib baik tongkang boleh pecah. Jika tongkang pecah dalam keadaan hujan pastilah ia bertukar menjadi tragedi. Nasib baik angin tak berapa kuat, hanya ombak kecil sahaja yang menerjah beting. Tiada bot atau tongkang lain yang lalu. Hujan lebat yang turun seakan membina tembok putih yang melengkungi kami dilautan lepas ini. Cikgu Asmad sudah terjun ke air. Dia berdiri di atas beting karang dan cuba menolak tongkang keluar dari beting ke laut semula, tapi tak berjaya. Kami terdiam. Siapa nak bantu Cikgu Asmad., saya tak tahu berenang. Datu Damsi perlu mengawal kemudi. Dua orang lagi dari kumpulan kami sudah berusia dan tiada pengalaman di laut. Hanya tinggal seorang lagi, Zainuddin.

Selepas 15 minit bergelut kami berjaya menolak tongkang keluar dari beting karang. Zainuddin cedera di tapak kaki. Ketika dia terjun keluar dari tongkang untuk membantu Cikgu Asmad dia hanya berkaki ayam, Kaki nya terhentak pada karang. Karang tajam menghiris tumit nya. Zainuddin adalah ‘hero’ kepada kami, ‘orang semenanjung’. Datu Damsi dan isteri sering memuji dia selepas kejadian itu. Setiap kali ada kesempatan bertemu, cerita-cerita lama ini akan kami putar semula. Selalunya kami akan ketawa terbahak-bahak kerana pengalaman yang berharga itu. Namun ia bukan sebuah cerita lucu, ia cerita menakutkan, cerita yang menginsafkan kami, bahawa selain daripada memohon doa kepada Allah hanya antara kami dalam tongkang itu sahaja tempat bergantung. Jika tongkang kami naiki pecah dan tenggelam, saya mungkin ada atau tidak untuk menulis di blog ini. Bersyukur kepada Allah, saya, Zainuddin dan Pak Ramlan (sudah bersara) masih lagi hidup. Pak Hashim sudah meninggal dunia selepas beberapa tahun pulang dari Sabah.

Akhirnya, kerja-kerja kami telah pun selesai. Tak sabar-sabar rasanya nak kembali ke Bandar Kudat. Dari Kudat ke Kota Kinabalu dan balik ke Semenanjung. Tapi kami terpaksa menunggu dua hari lagi. Tongkang Datu Damsi ‘miris’ (bocor). Ia terpaksa dibaiki dan ditampal. Enjin perlu diperiksa dengan teliti. Esok kami akan mengharungi sekali lagi laut terbuka Perjalanan yang panjang dan memenatkan selama tujuh atau lapan jam lagi di bulan Ramadhan. Selamat tinggal Datu Damsi dan isteri. Selamat tinggal Cikgu Asmad dan adik-adik. Selamat tinggal Kinabongan.

Banyak lagi kenangan lucu, leceh dan lucah yang telah saya tempuhi ketika bekerja selama sebulan lebih di Kudat. Ada yang boleh di ceritakan dan ada yang tidak. Ini adalah sebahagian yang boleh dicatat di dalam blog ini. Manakala yang lain tetap akan terpahat dalam ingatan dan hati saya sehingga ke akhir hayat.

.

Sep 18, 2008

Marhaban Ya Ramadhan (1)






Sehingga usia 12 tahun barulah saya mampu berpuasa genap sebulan penuh. Waktu itu saya sudah di Darjah Enam (kini Tahun Enam). Jika dibandingkan dengan anak-anak saya tentulah jauh bezanya. Kelima-lima anak saya sudah cukup tahan berpuasa genap sebulan sejak Tahun 1 lagi. Alhamdullilah kerana mereka tahan ujian, walaupun saya tidak pernah menjanjikan apa-apa. Kerana bagi saya biarlah mereka mengharungi ujian berpuasa ini tanpa janji baju raya, kasut raya ataupun sejumlah habuan wang raya. Biarlah kesedaran beragama ini datang dari kecintaan nya kepada suruhan Allah bukan kerana ada nawaitu lain.

Saban tahun apabila Ramadhan menjelang tiba. Mak akan membakar lemang. Buluh lemang harus dipilih. Selalunya mak akan menebang ‘Buluh Telur’ untuk tujuan membakar lemang kerana kulitnya yang nipis dan lemang mudah masak. Abah pula pagi-pagi lagi sudah keluar membeli daging dan tulang kerbau atau lembu untuk dibuat lauk. Selalunya mak akan membuat ‘rebusan’ (sup tulang) dan masak daging gulai lemak cili api serta rendang ‘nogori’ yang memang ‘kaw’ rasanya. Mak juga tak akan lupa memasak daging lada kering kegemaran saya. Malam nya kami sekeluarga akan makan beramai-ramai juadah istimewa tersebut bersama lemang. Inilah masa yang paling seronok saya rasakan sementara menanti pengumuman hari mula berpuasa oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja. Budaya ini sudah sebati bagi orang ‘Nogori’. Ia dinamakan ‘Hari Mantai’. Amalan ini masih lagi berlangsung di Negeri Sembilan. Dua peristiwa sahaja Hari Mantai ini berlaku iaitu ketika sambutan bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Apabila saya mula bekerja dan bertukar ke Pulau Pinang pada usia 22 tahun baru saya perasan bahawa amalan menyambut kedatangan bulan mulia ini dengan ‘hari mantai ‘ tidak berlaku di negeri lain. Saya juga selepas merantau bertahun-tahun pun tidak pernah pulak memasak lemang dan membeli daging lembu kerbau untuk mengamalkan ‘hari mantai’ di negeri orang. Jika balik ke kampung pun, kakak saya pun jarang-jarang membakar lemang. ‘Rebusan’ , rendang, daging masak lemak cili api tetap ada, tetapi pelengkap nya ‘lemang’ sudah tiada. Ia sudah diganti dengan ketupat. Kalau teringin sangat nak merasa lemang kami beli sahaja. Kalau bernasib baik ‘Induk Mirus’ (adik aruah ibu saya), menghantar juga dua tiga batang lemang mengisi nostalgia ‘hari mantai’ kami semasa kecil.


Mutakhir ini saya lihat masyarakat sudah cenderung untuk mengadakan majlis tazkirah, ceramah dan forum untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini. Sebelum ‘megang’(menjalani ibadah) puasa tahun ini, saya sempat hadir di Masjid Kg Undang, Kuala Terengganu yang menganjurkan Forum Perdana ‘Ihya Ramadhan’. Lebih kurang 600 orang turut hadir. Ahli-ahli panelnya memang terkenal kerana selalu ‘masuk’ TV. Kerana itu kehadiran agak ramai selain hendak mendengar kupasan tajuk forum, turut teringin hendak melihat ahli panel secara lebih dekat. Forum tersebut telah mengupas kelebihan bulan Ramadhan. Bulan yang turunnya Al-Quran. Bulan yang turunnya perintah jihad. Sejarah mencatatkan peperangan Badar antara orang Islam dan kaum kafir Quraish berlaku dalam bulan Ramadhan. Malahan juga terdapat satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. Maka ahli panel menyeru kepada para hadirin supaya meningkatkan amal dan ibadah, memahami falsafah dan hikmah bulan Ramadhan Al Mubarak ini. Malam itu saya tertarik dengan cerita seorang ahli panel,Ustazah Zawiyah dari JAKIM. Ceritanya, dia pernah menemui beberapa orang yang melalui Lailatul-Qadar. Antaranya ialah seorang makcik yang sudah lanjut usia tetapi masih kuat dan bertenaga. Kisahnya, pada satu malam ketika dia sedang mendirikan solat tahajud di bulan Ramadhan tiba-tiba terpancar cahaya yang amat terang dihadapannya. Tidak pernah seumur hidupnya melihat cahaya yang begitu terang dan nyaman. Dalam keadaan antara sedar dan tidak, dia seakan-akan terdengar satu suara yang bertanya; “Mahukah aku tunjukkan satu tempat yang engkau akan lalui’. Sebaik sahaja ia memberi isyarat bersetuju, kelihatanlah di hadapannya sebuah padang hijau terbentang luas tanpa penghujungnya. Makcik tersebut mengatakan ia sangat indah, teramat indah, masya Allah, sehingga ia sendiri tidak mampu nak menggambarkan rupa keindahan itu. Bertuah lah kepada mereka yang melalui pengalaman dan anugerah Allah yang maha besar tersebut.. Sambung ustazah itu lagi;

“Lalu saya pun bertanya”, ‘Apakah amalan ibu ?;

‘Ibu solat tahajud sejak dari usia muda, dan tidak pernah meninggalkanya sehinggalah usia ibu sekarang’

Saya belum pernah lagi menemui seseorang yang mengakui dia pernah melalui malam baraqah itu. Kebanyakan yang saya temui dan baca hanyalah mereka yang bercerita tentang tanda-tanda turunnya Lailatul Qadar. Apa pun moral dari cerita tersebut ialah, bukan mudah untuk mendapatkan Lailatul Qadar itu. Tidak cukup dengan membetulkan ibadah dan beramal bersungguh-bersungguh pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ia perlu kepada ibadat dan amalan soleh yang istiqamah dan bermujahadah sepanjang usia. Saya muhasabah diri. Setakat ini saya belum mampu bertahajud sepanjang tahun. Belum juga mampu untuk tidak mengumpat. Belum juga mampu membaca Al-Quran setiap malam. Belum juga mampu berpuasa sunat tanpa henti. Belum juga mampu kyusuk sepenuhnya dalam solat. Menjadikan amalan bersedekah sebagai kesukaan. Banyak lagi perkara yang saya belum mampu. Kalau mampu pun belum tentu Allah temukan saya pada malam baraqah itu kecuali dengan izin Nya jua.


Setiap malam juga saya akan mengikuti abah ke surau di kampung untuk solat Isya dan mengerjakan sunat tarawikh. Surau ini dibina oleh seorang alim di kampung saya bernama Haji Othman. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Haji Semaun. Panggilan Haji Semaun ini berpunca kerana beliau pernah tinggal ‘ menaun’(bertahun-tahun) di Mekah, melebihi sepuluh tahun. Surau ini dibina sebaik sahaja ia kembali dari Mekah selepas zaman penjajahan Jepun. Beliau kemudian mencurahkan baktinya sehingga ke akhir hayat mengajar mengenai ilmu agama kepada penduduk sekitar daerah Seremban. Beliau juga tidak berminat bekerja dengan kerajaan, pernah ditawarkan menjadi Mufti Negeri Sembilan tetapi menolak kerana bimbang kepada fitnah dunia. Haji Semaun adalah ‘Bapa Ageh’ kepada saya. ‘Bapa Ageh’ atau ‘ Mak Ageh’ ialah tradisi yang di amalkan oleh masyarakat kampung di Negeri Sembilan apabila seseorang anak sentiasa sakit, atau berpenyakit maka ia akan ditumpangkan di rumah seseorang yang di hormati seperti Tok Imam, Pak Lebai atau kepada keluarga terdekat, sepupu, dua pupu atau ‘sanak datuk’(tiga pupu) selama beberapa hari. Selepas itu ‘Anak Ageh’ ini selalunya akan memanggil Bapa Ageh tadi dengan panggilan abah atau ayah, dan turut memanggil isteri Bapa Ageh sebagai emak begitulah sebaliknya. Anak-anak Bapa Ageh dan Mak Ageh turut menjadi sebahagian daripada keluarga sendiri dan perlu dipanggil mengikut gelaran keluarga seperti Kak Long, Bang Ngah dan seterusnya. Dalam keluarga saya hanya ada dua orang saja yang kena ‘ageh’. Saya dan kakak saya yang tua. Ini kerana semasa kecil kami sering diserang demam dan sakit. Malah kami adik beradik turut memanggil ‘Bapa Ageh’ kakak saya dengan panggilan ‘Ayah’ dan ‘Mak’.

Tahun ini masuk lah tahun kedua saya menjalani ibadah puasa di Terengganu. Seringkali saya dijemput berbuka puasa di surau atau pun di masjid. Selalunya saya hadir di majlis ‘namat’. Majlis ini diadakan sempena tamatnya tadarus Al-Quran, 30 juz, di surau atau di masjid. Walaupun aktiviti tadarus Al-Quran sudah berkurangan atau tidak lagi diamalkan kenduri ‘namat’ tetap diadakan. Kebiasaan seekor lembu akan ‘tumbang’. Kenduri di masjid atau surau di kampung saya tidaklah sebesar majlis ‘namat’ ini. Mereka selalunya membawa nasi dan lauk dari rumah masing-masing menggunakan ‘tepen’(mangkuk tingkat). Apa pun saya mula menyukai gulai kawah dan sambal belacan nya yang unik. Saya juga sudah terbiasa memakan makanan Terengganu yang istimewa, seperti ‘Ketupat Sotong’, ‘Rojak Kateh’,dan kueh-mueh yang pelbagai seperti kueh akok, nekbat, lompat tikam. samosa dan tapai yang dibungkus dengan daun pokok getah. Seenak mana pun makanan di negeri orang, saya tetap merindui masakan daging salai masak lemak cili api, rendang negeri, kueh kuyo,apam dan kueh koci.

Sep 15, 2008

PATI, PKM dan PKR (3)


Ini adalah siri terakhir, PATI, PKM DAN PKR. Tidak banyak persamaan Cuma ejaannya sahaja yang bermula dengan huruf P. Dua hari, Jumaat dan Sabtu, saya tidak menulis diblog ini kerana bercuti. Hari cuti kena digunakan sepenuhnya. Halaman rumah dah naik kemuncup. Jika lekat di kain atau seluar boleh gatal-gatal satu badan. Ia kena dimesin dan disapu. Sementara menunggu waktu solat Jumaat saya sempat membelek beberapa buah buku yang ada dalam simpanan. Antara buku yang sempat saya baca ialah “ Politik dan Kerajaan di Malaysia” terbitan DBP (1982). Buku ini saya beli ketika bertugas di Pulau Pinang pada tahun 1984.Warnanya sudah kusam dan ada beberapa muka surat yang sudah dimakan bubuk. Buku ini berkisar kepada proses kemerdekaan Negara, pembentukan Perlembagaan Persekutuan termasuklah sejarah mengenai penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.Tarikh ini telah menjadi agenda penting kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Negara. Jika di hitung hanya tinggal sehari sahaja lagi ke tarikh keramat tersebut. Ramai yang teruja dengan kesudahan impian Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ini. Samada jadi atau tidak hanya masa sahaja yang akan menentukan. Allah tentulah lebih mengetahui kesudahan cerita ini daripada kita manusia, makhluknya.



Pada pilihanraya Permatang Pauh yang lepas, DSAI telah menang besar. Majoriti sokongan kepada PKR semakin meningkat. Slogannya 'Selangkah ke Putrajaya' menarik minat ramai untuk menyokongnya. Kini ia meletakan 16 September 2008 sebagai tarikh yang digeruni oleh BN terutama UMNO. Beliau sekali lagi mencipta impian, selangkah untuk menjadi PM.

Pada tahun 1998 (di Kuala Pilah), ketika saya baru sahaja balik dari Kuala Lumpur, agak terpempan seketika apabila tag line TV3 menyatakan DSAI di pecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dia dipecat dari jawatan kerajaan dan jawatan parti ketika berada selangkah lagi untuk menjadi PM.

Beliau yang kelihatan tenang dan ceria ketika menjadi TPM, berubah menjadi harimau terluka dengan slogan hebatnya 'Reformasi'. Pada pemerhatian saya bermula lah zaman ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) dalam politik Malaysia untuk merebut tampuk pemerintahan.

DSAI telah berjaya membawa sebahagian penyokong parti kerajaan keluar parti dan menyokongnya. Parti KeADILan.telah ditubuhkan pada April 1999. Pilihanraya 1999, menyaksikan bagaimana orang Melayu sudah terpecah kepada 3 kelompok. Melayu penyokong UMNO, Melayu penyokong PAS, Melayu penyokong KeADILan. Walaupun arus itu kuat tetapi tidak cukup untuk menumbangkan kerajaan. Malahan pada pilihanraya 2004, BN pula menang besar. Ini kerana sebahagian rakyat terutama bukan Melayu yakin kepada pemulihan ekonomi yang dilaksanakan oleh Tun Mahathir. Parti KeADILan kemudian bertukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada Ogos 2003 dan hampir berkubur kecuali di Permatang Pauh.

Tahun 2004 DSAI dibebaskan dari penjara. Beliau memilih untuk bergerak secara perlahan-lahan. Namun sebelum pilihanraya ke 12 DSAI menggunakan teknik ‘pecah dan perintah’ Fasa 2. DSAI telah memulakan langkah drastik dengan menyokong pergerakan Hindraf. Beliau telah berjaya menghilangkan kepercayaan kaum India kepada peranan MIC. Sejumlah 33 kerusi DUN negeri yang terdapat pengundi India di seluruh semenanjung telah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat. Percaturannya tepat. Keputusan Pilihanraya ke 12 menunjukan MIC hilang pengaruh termasuk Presiden MIC Dato Seri S. Samy Vellu turut tumbang. Jika dahulu beliau berjaya menarik keluar sokongan orang Melayu dari UMNO, kini beliau berjaya menarik keluar sokongan kaum India dari MIC. Begitu juga dengan menggunakan isu persamaan hak, orang Cina turut sama menyokong PKR. Pilihanraya 2008 menyaksikan sekali lagi arus besar melanda BN dengan kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen.

Ketika ini Fasa 3 ‘pecah dan perintah’ sedang berlangsung. Peperangan saikologinya cukup hebat sehingga parti-parti dalam komponen BN sentiasa bergolak, Dato' Yong Teck Lee Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) telah membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri. Parti Gerakan pula menyatakan hasratnya untuk keluar jika tiada perubahan dalam BN. Retetan ini membawa kepada kenyataan Ahmad Ismail Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang mahu Gerakan disingkirkan. Kenyataan pedas ini telah membawa beliau dikenakan tindakan oleh MKT UMNO. UMNO telah diugut dari dalam komponen BN sendiri. Jika tiada tindakan kepada Ahmad Ismail mungkin akan ada parti yang keluar daripada pakatan BN. Jika ada satu dua parti yang keluar, BN akan hancur. Ia ibarat permainan domino. DSAI tidak perlu lagi memujuk wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak, cukuplah dengan parti yang berada di Semenanjung. Jika benarlah ini akan berlaku pada 16 September ini (esok). Dato Seri Najib akan kempunan untuk mengetuai BN yang pernah diasaskan oleh Allahyarham bapanya 38 tahun lalu. Sekarang kita masih lagi menunggu-nunggu, ketika DSAI berada selangkah lagi untuk menjadi PM. Berjaya kah atau tetap gagal seperti tahun 1998. Walaupun berita mutakhir ini tarikh itu sudah dianjak ke tarikh lain, tetapi kesannya masih sama. Politik Malaysia sudah dilanda 'jerebu'.

Saya tak nak komen apa-apa mengenai perjalanan cerita terakhir ini, cuma saya nak bercerita mengenai pesanan seorang ulama bernama Syeikh Ahmad dari Negeri Sembilan. Semoga kisah ini boleh menjadi renungan dan iktibar kepada kita semua. Terutama ketika menghadapi kemelut politik yang kini telah berlanjutan selama enam bulan ini. Syeikh Ahmad bin Syeikh Muhammad Said ialah Mufti Pertama Kerajaan Negeri Sembilan bapa kepada Datuk Syeikh Murtadza, Mufti Negeri Sembilan yang ada sekarang. Sekembalinya dari Mekah pada tahun 1935 beliau telah membuka dan mengajar di Madrasah As-Saidiyyah, atau dikenali dengan nama Pondok Rasah, Seremban. Mempunyai ramai anak murid termasuklah bapa saya. Menyebarkan tarikat Ahmadiah yang kini masih lagi berkembang subur di Negeri Sembilan, Melaka juga di Singapura. Satu hari ketika beliau habis mengajar kitab, beliau berpesan kepada anak muridnya;


Katanya; “ Hari ini kita sudah merdeka , sudah lepas zaman Jepun, lepas sudah kesusahan kita, selepas ini kita akan hidup senang, lepas tu kita akan hidup lebih senang dan mewah, selepas itu kita akan hidup dalam keadaan mewah dan bermewah-mewahan. Tapi ingatlah !, Selepas zaman itu akan tiba masanya kita akan mengalami zaman yang lebih payah daripada kehidupan zaman Jepun” . Itulah pesanan seorang ulama yang di percayai kasyaf oleh anak murid dan mereka yang mengenalinya.

Saya rasa kita telah berada pada zaman mewah dan bermewah-mewahan itu. Jika kita makan, kita dah makan lauk tanpa nasi di KFC. Tak selera makan guna pinggan kita makan di Restoren Daun Pisang. Tak selera makan masakan Melayu kita makan masakan Jepun pulak. Namakan saja. Masakan Arab, Barat, China, Itali, India. Semuanya ada di Malaysia ni. Tak nak berbuka di rumah, boleh berbuka di hotel . Harganya, MasyaAllah.

Begitu juga setiap kali saya memandu dan melalui kampung-kampung yang ulu di Marang ini pun, saya dapati mereka sudah memiliki banyak kereta mewah. Sehingga dua tiga buah. Basikal sudah jarang ditemui. Jika ada pun ia sudah menjadi koleksi eksklusif yang berharga ribuan ringgit. Oh mewahnya!, Malaysia sekarang.

Jika benar pesanan Syeikh Ahmad itu bila kah ? " zaman susah yang lebih susah daripada zaman Jepun itu akan datang". Saya tak pernah pernah mengalami zaman itu. Jika ada pun zaman susah waktu kecil sahaja.

(Syeikh Ahmad meninggal dunia ketika berusia 41 tahun pada tahun 1964 - Al Fatihah)

Sep 12, 2008

PATI, PKM dan PKR (2)




Saya lahir 23 hari lebih awal sebelum darurat di isytiharkan tamat pada 31 Julai 1960. Walaupun darurat di isytiharkan tamat, perjuangan gerila komunis belum tamat. Ia hanya berakhir pada 2 Disember 1989. Ia dinamakan Perjanjian Haadyai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kerajaan Malaysia.


Semasa saya kecil , cerita komunis menjadi cerita wajib setiap kali ada kenduri di kampung. Selepas habis menikmati hidangan mereka tidak segera balik kerumah. Beberapa orang kampung masih lagi tinggal 'bercongkih' (bercerita). Selalunya yang menjadi juara 'congkih' ialah askar atau bekas askar. Bekas askar yang popular di kampung ialah Sudin Rimau, bekas RSM tentera. Nama sebenarnya Shamsudin, mukanya kelihatan garang dengan misai tebal yang sentiasa rapi. Sering kali jika dia bercerita dia tak akan lupa pengelamannya bertempur dengan komunis di hutan Sarawak. Pertempurannya sengit, sehingga kehabisan peluru. Dia akhirnya telah berjaya membunuh komunis dengan menggunakan pedang Iban. Dia bangga mengaku minum darah musuh untuk mengelakkan terkena badi manusia. Dia bukan cerita kosong. Beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) bagi menghargai keberaniannya. Beberapa kawasan badannya masih terdapat kesan peluru. Sudin Rimau adalah hero kampung yang berjasa menumpaskan komunis. Kebanyakan rakan sebaya saya yang mendengar cerita Sudin Rimau akan naik semangat dan bercita-cita apabila besar nanti nak jadi askar.




Askar menjadi ikon pejuang, penyelamat dan pembela negara dari ancaman musuh. Setiap kali ada askar balik bercuti mereka akan menjadi tumpuan orang kampung, untuk mendengar cerita-cerita menarik. Kecuali seorang askar , namanya Abang Aziz, tukang masak askar. Tiada yang menarik kecuali tugasnya yang berkisar kepada masak nasi kawah. Komunis pula menjadi ikon keganasan, kejam, tidak berperi kemanusiaan dan sepatutnya ditentang habis-habisan. Kalau ada anak kampung yang nakal ia akan disamakan dengan komunis.




Saya percaya selepas 1989, fokus negara tidak lagi kepada ancaman komunis. Negara dan rakyat sudah merasa tidak diancam lagi. Rakyat merasa mereka bebas kesana-sini. Azab sengsara semasa zaman komunis telah dilupakan. Setiap kali kenduri topik komunis tidak lagi termasuk dalam 'congkih' mereka. Tiada lagi cerita-cerita komunis ditembak mati. Tiada lagi berita askar diserang hendap samada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Askar tidak lagi menjadi juara 'congkih'. Sudin Rimau sudah lama meninggal dunia sebelum PKM meletakan senjata lagi. Sedikit demi sedikit pilihan kerjaya sudah beralih. Dari hanya minat untuk menjadi askar kepada kerjaya lain yang lebih pelbagai. Kerja kerani, guru atau sekurang-kurangnya menjadi pekerja kilang. Pertumbuhan ekonomi terus meningkat naik. Kemewahan negara sudah melimpah ke kampung. Jalan tanah merah sudah bertar, pelita sudah diganti dengan lampu bulat dan kalimantang, perigi dibiarkan tertimbus kerana paip air dah ada dalam rumah. Bak kata orang Negeri Sembilan "Air lam bosi, api lam kaco, potik kek topi, tongah menyalo". Malaysia telah beralih daripada negara industri kecil dan sederhana kepada industri berat. Di jalan-jalan raya penuh dengan kereta buatan Malaysia, Proton. Negara juga sudah mampu membina kapalterbang.



Kesenangan ini telah merubah pespektif rakyat kepada mencari kemewahan. Mereka telah mula memilih kerja. Kerja-kerja buruh, pembantu rumah, pekerja ladang, bekerja dikampung sudah dianggap rendah statusnya. Dok layannnng lah kata dialek Terengganu. Mereka lebih suka bekerja di kilang dan pasaraya. Kekosongan ini diganti oleh pendatang asing. Mereka tidak memilih kerja, kerana mereka tahu negara mereka tidak seaman Malaysia, kerana mereka tahu negara mereka tidak semewah Malaysia. Hujan emas ini telah digunakan sebaik-baiknya oleh mereka. Kerana mereka tahu dinegeri mereka tetap turun hujan batu.

Sep 10, 2008

PATI, PKM dan PKR (1)

Tiba-tiba sahaja perasaan pilu, nyilu dan nyeri silih berganti bila menonton Buletin Utama TV3 malam "kelmarin dulu", (orang negeri sembilan kata "balik semalam") Mangsa pecah rumah Raja Noraina Raja Ahmad mati akibat didera dan dikelar dalam kejadian pecah rumah di Seksyen 13, Shah Alam. Al Fatihah. Dua anaknya terpaksa terjun tingkap, seorang cedera manakala seorang lagi patah pinggang. Takziah kepada keluarga Raja Noraina. Semoga Allah mengantikan kesedihan keluarga ini dengan ketenangan dan kegembiraan sebagaimana Nabi Ayob a.s. diberi ganti yang lebih baik selepas diuji dengan penyakit, kehilangan anak, harta benda dan isteri. Kedua-dua penjenayah telah ditembak mati oleh polis dan dikenali sebagai warga Indonesia, Pendatang Tanpa Izin (PATI).
Masih panas lagi dalam ingatan, beberapa bulan yang lalu sewaktu kakak saya menelefon,
" Mak Cik masuk hospital, kepalo eh kono jahit".
" Apa kono eh".
Cerita kakak saya semakin panjang. Rumah pusaka kami dimasuki kumpulan pecah rumah. Rumah pusaka ini dihuni oleh kakak saya selepas dia bersara sebagai jururawat desa. Kakak saya telah ditekup dengan keras di bahagian mulut. Tujuh batang giginya luruh. Dalam usia 60 tahun pasti kakak saya mengalami sakit yang amat sangat. Kebetulan malam tu emak saudara saya, Cik Arom dari KL (Cik Arom adik kepada arwah ibu saya) datang bermalam. Itu pun kerana nak mengurut anak saudara saya yang baru bersalin anak pertama. Pergelutan begitu pantas, Cik Arom yang cuba menolong telah dilibas dengan parang ke kepalanya. Bersyukur pada Allah kerana nyawa nya masih panjang. Ajal belum sampai. Tidak banyak barang yang hilang, seutas rantai emas dan sebiji telefon bimbit. Tapi traumanya sehingga kini. Kakak saya tak berani lagi keluar rumah di waktu malam. Setiap inci rumah dipasang jaring dan jeriji. Tapi ia tetap tidak menghilangkan trauma itu. Biliknya di ruangan bawah sudah tidak lagi dihuni. Jika saya balik anak beranak pun, kami akan tidur di bahagian atas rumah yang tak berbilik. Orang kampung berpakat-pakat buat kawalan kampung. Dua tiga ringgit dikumpul setiap rumah untuk belanja kopi dan biskut kering petugas. Jika bermalam di kampung, saya akan terdengar kumpulan ronda ini lalu di tepi rumah pada jam dua atau tiga pagi.

Setiap malam kakak saya terpaksa ditemani oleh anak Kandak (panggilan gelaran seorang lagi kakak saya yang tinggal berhampiran). Kampung yang dahulu selamat, kini tidak lagi. Saya juga terfikir sejak saya lahir sehingga kejadian tersebut, kampung saya cukup aman. 30 tahun saya keluar merantau tiada cerita kecoh seperti sekarang. Tiada kejadian pecah rumah, tiada kehilangan basikal atau kerbau lembu. Kalau ada pun hanya kes terpencil yang melibatkan kehilangan getah keping yang terampai di bawah bangsal atau kehilangan getah lantun didalam kebun.
Kejadian pecah rumah dah jadi macam sindiket. Mereka seakan-akan telah "memangkah" rumah yang hendak dicerobohi. Malah semacam kenal siapa penghuninya, pesara kerajaan, peniaga, doktor, polis bersara dan yang paling penting memastikan rumah tu ada "hasil". Ia seolah-olah cerita penyamun dan 40 orang kuncu-kuncunya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Malam sudah menjadi misteri, siang 'manusia asing' ini kelihatan bersopan dan beradab, tetapi bila malam ia menjadi 'dracula' yang bengis dan sadis. Bila diajukan soalan kepada kawan-kawan dikampung;
"Sapo punyo kojo ni"
"Sapo lai, PATI lah"
"Yo ko"
"Apo tidak eh, belakang kampong kito ni pun ponoh"."Bertungku Bertanggo"
" Ado yang boli barang kek kodai Kamariah tu"
" Kona lak deh tu, ngumah kek simpang tu sapo, rumah teh bukit tu sapo"
"Bahayo tu"
" Memang la"
" Takdo tindakan ko?"
" Dah, Polis pun dah tau", "Tapi ontahlah sonyap yo"

Perbualan ini akhirnya hanya hilang begitu sahaja. Kerana selalunya cerita-cerita politik lebih sedap dari cerita PATI. Kerana itu agaknya PATI berani mendidikan rumah-rumah di dalam hutan dipinggir-pinggir kampung. Sehingga bertahun-tahun tidak dapat dikesan. Berbini dan beranak pinak. Jika di bandar mereka menghurungi kawasan tertentu seperti semut menghurungi gula. Sehingga kawasan itu menjadi kawasan mereka seperti Chowkit sudah menjadi kampung mereka di Indonesia. Mereka sudah menjadi ancaman baru. Di siang hari talibarut mereka berada disekeliling kita, samada sebagai pembantu rumah, pekerja ladang atau pekerja restoran. Manakala di malam hari kita menjadi mangsa kepada 'dracula' yang bengis dan sadis tadi.












p/s Terima kasih kepada kawan-kawan yang komen blog saya. Semua pandangan akan saya terima secara positif.




Sep 9, 2008

Sepapan Petai . Sebiji Limau

Petang semalam ketika berbuka puasa hanya kami berdua. Isteri saya merungut " kenapa beli buah limau kenapa tidak tembikai ? " , (orang terengganu paggil buah timun Cina). Saya tak jawab pun rungutan tu kerana petang itu sebelum balik kerja dalam telefon dia hanya kata, "sebelum balik tu beli lah buah". Umum. "Tak payahlah beli kuih, sebab saya dah goreng karipap dah". Kebetulan selepas beli limau ada pulak gerai yang jual petai. Saya memang hantu petai. Semasa kecil-kecil lagi saya dah kuat makan petai. Selalunya berebut dengan abah. Hinggakan abah sering sorok petai di belakang almari lauk. Waktu tu petai taklah mahal sangat, seringgit dah boleh dapat sepuluh papan. Beberapa tahun kemudian petai dah naik harga dari 10 sen sepapan kepada 20 sen sepapan. Sehingga akhirnya dalam tahun 80an petai dah berharga 50 sen sepapan. Mereka kata harga naik kerana orang Cina dah turut suka makan petai dan permintaan dah jadi tinggi. Permintaan naik, penawaran kurang, harga pun akan turut naik, itu ikut hukum ekonomi yang asaslah. Walaupun harga mula mahal abah tetap beli kerana bukan sahaja sedap dibuat buat ulam tapi mak selalu buat sambal campur petai.
Ketika ini harga petai masih mahal seringgit sekeping. Tetapi agak beruntung, kerana isteri dan anak-anak saya tak ada yang berebut nak makan petai ni. Kadang-kadang ia terbiar kering dalam peti ais, kerana lupa atau saya terpaksa makan diluar. Kini ramai orang makan petai bukan kerana buat ulam sahaja, tetapi kerana sebab-sebab kesihatan. Petai yang mengandungi sukros, fruktos , glukos dan kandungan fiber mampu memberi lebihan tenaga dan ketenangan kepada mereka yang sering mengalami stress. Malah dengan kandungan B6 dan B12 ia juga mampu membantu mengurangkan ketagihan rokok. Ini petua kepada mereka yang nak berhenti rokok. Lebih baik makan petai dari hisap rokok kerana rokok pun dah naik harga pada Belanjawan 2009.
Selepas berbuka puasa saya berpesan kepada isteri, " makan lah buah limau tu, kerana iapun baik untuk perut awak yang dah beberapa hari tak ke tandas. Makanlah waktu sahur nanti sebelum makan nasi",. Makan buah dalam keadaan perut kosong lebih cepat kesannya. Apa yang selalu kita buat tu terbalik. Sepatutnya buah dulu bukan nasi.

Sep 8, 2008

Ghairah................


Keghairahan mungkin berlaku kerana perubahan kecil dalam kehidupan kita seharian. Seingat saya sewaktu kecil dahulu saya amat ghairah untuk bermain-main dengan permainan yang dibeli oleh Allahyarham Abah. Namun perasaan ghairah tersebut bertukar kepada perasaan ingin tahu yang berlebihan. Banyak buah kereta mainan yang terkopek kerana nak tau macam mana ia boleh mengeluarkan bunyi dan bergerak apabila ditolak. Satu hari Abah membelikan permainan seekor itik yang berayun ke depan dan ke belakang bagaikan bandul jam. Itik ini dipecahkan kerana mahu tau apa yang ada di dalam perut itik tu. Hasilnya perut itik tu pecah dan ada sebutir kabaid yang mengimbangi pergerakannya apabila diayun ke depan dan ke belakang. Sejak tu abah macam serik nak belikan mainan. Pada hari lain ketika pergi ke bandar Seremban, saya menangis dan membentak-bentak di hadapan sebuah kedai mainan kerana abah enggan membelikan mainan. Abah pura-pura meninggalkan saya. Ia menyebabkan saya rasa ketakutan kerana ditinggalkan. Sejak itu saya jeran nak minta mainan baru.

Perasaan ingin tahu "budak kecil" yang berlebih-lebihan ini juga menyebabkan radio, jam loceng, basikal dan perkakas rumah banyak yang rosak. Sehingga setiap benda baru yang dibeli oleh Allahyarham emak, saya merupakan insan yang paling terakhir tahu.

Keghairahan kedua yang saya masih ingat ialah apabila pandai menunggang basikal. Aktiviti yang menyeronokkan apabila setiap petang selepas balik dari sekolah rendah meronda kampung bersama kawan-kawan dan berulang kali mengambil selekoh tajam berhampiran laluan rel keretapi Seremban-Port Dickson. Seingat saya tayar hadapan basikal jenis Raleigh tu botak sebelah kerana kerap mengambil selekoh mengiring ke sebelah kiri. Jika kami hilang kawalan ketika ambil selekoh basikal kami akan terhumban bersama kami kedalam hutan lalang di sisi selekoh tu.

Rupanya keghairahan tidak pernah hilang dari kehidupan kita walaupun telah berusia. Ketika diberitau bahawa saya mengidap diabetes, saya mula ghairah berjalan kaki dari rumah ke tepi pantai lebih kurang 500 meter di hadapan rumah. Berjalan kaki sejauh tiga kilometer setiap hari amat mengasyikan terutama ketika melihat matahari naik dari sebelah timur dan membelah Pulau Kapas yang terkenal indah dan tumpuan kepada penggemar aktiviti snorkling. Perubahan cuaca dan perubahan persekitaran kita lalui setiap hari. Jika tahun lalu setiap pagi saya akan melintasi sebatang pokok pauh berhampiran jalan besar Dungun - Kuala Terengganu kini pokok tu dah tiada lagi . Tempatnya telah digantikan dengan bangunan kedai sederet yang menjual keropok dan hasil laut. Jika berasa nak makan nasi dagang, nasi lemak atau nasi minyak pun ada. Perubahan ini berlaku setiap hari secara sedar atau tidak kita sedari. Selalu juga ketika aktiviti berjalan saya terserempak dengan sepasang anjing liar di tepi pantai (anjing amat jarang di temui di Terengganu kerana penduduknya lebih ramai Melayu). Tetapi beberapa bulan yang lalu saya temui seekor bangkai anjing digilis kereta berhampiran jalan ditepi pantai itu. Mungkin betina, mungkin anjing jantan. Kehilangan satu nyawa dalam keluarga binatang itu, menginsafi saya bahawa tiada apa pun di dunia ini yang kekal abadi. Berjalan kaki ini akan tamat lebih kurang 30 minit setiap pagi dan setiap kali balik saya akan menyapu halaman rumah yang penuh dengan daun-daun kering yang berguguran. Isteri saya nampaknya riang dengan keghairahan baru saya ni kerana tak perlu lagi menyapu halaman rumah kami setiap hari.


Mulai semalam 7 September 2008. Keghairahan baru bermula lagi dalam kehidupan saya dengan menulis di blog ini. Saya berdoa supaya saya tidak hilang ghairah untuk menulis. Kerana saya tahu saya bukan lah penulis, dan penulisan bukan bidang saya. Cerita yang saya tulis adalah cerita-cerita biasa yang mungkin orang lain juga lalui cuma tidak di catat.

Sep 7, 2008

Cerdik Kerana Bertanya


Kecerdikan bukan sahaja lahir kerana kerajinan belajar tetapi kerana kerajinan bertanya. Serangkap pepatah Negeri Sembilan (negeri kelahiran den) mengatakan, "tau dek tengok, pandai dek buek". Sah tepat sekali. Kalau saya tak bertanya dengan sahabat lama Zul (kelahiran Perak tapi menetap di Terengganu) memang lah tak tau nak bina blog ni. Keinginan untuk bina blog sendiri ini hanya timbul selepas sambutan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-23 pada 31 Ogos 2008 yang lalu. Kebetulan pula semua anak-anak (5 orang semuanya) telah tidak tinggal sekali. Tiga sedang belajar di IPT , seorang di matrikulasi dan anak bongsu belajar di SBP. Kehidupan tinggal berdua memberi inspirasi baru, lebih romantik dan mengimbau semula nostalgia lama. Apa pun rasanya tidak terlambat untuk mengucapkan selamat berpuasa dan berbuka . Merdeka !. Merdeka! Merdeka!.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails