Nov 26, 2008

Du...Du....Du...Ku..

Dalam perjalanan pulang dari Jengka ke Marang, kami telah menyusuri ‘jalan persekutuan’ melalui kampung-kampung tradisional dan pekan-pekan kecil, Bukit Tajau, Maran, Kg New Zealand, Kg Paya Bungur dan Gambang sebelum berehat di Bandar Kuantan. Perjalanan melalui kampung-kampung tradisional dan pekan-pekan kecil ini lebih santai berbanding melalui lebuhraya yang luas jalannya, dan menyebabkan saya lebih cepat mengantuk. :(

Ketika melepasi Hutan Rekreasi Berkelah, Gambang saya ‘perasan’ banyak gerai yang menjual buah durian. Kami membuat keputusan untuk singgah dan kalau ada yang ‘berkenan’, kami bercadang untuk membeli sebiji dua. Sekurang-kurang boleh juga menikmati durian yang berbuah ‘salah musim’ ini. Semasa saya kecil dahulu saya memang ‘hantu’ durian. Jika musim durian saya jarang menyentuh nasi. Saya boleh makan durian dari tujuh ke 10 biji sehari. Apatah lagi ketika itu di sekeliling rumah kami ada lapan batang pokok ‘durian kampung’, samada yang ditanam oleh nenek kami dahulu atau pun emak saya. Rasanya pun pelbagai, dari yang rasa sedikit pahit hinggalah kepada durian tembaga yang lemak manis rasanya. Tetapi setelah berusia ini saya hadkan kepada satu atau dua biji sahaja. Maklum sahaja lah kena jaga juga kesihatan diri.

Bercerita mengenai buah-buahan ini, beberapa bulan dahulu saya telah berkesempatan singgah di sebuah kampung bernama Kampung Bukit Cherana dalam Mukim Alor Limbat, Marang. Kampung ini terletak lebih kurang 25 km dari Bandar Marang dan 25 km juga dari Bandaraya Kuala Terengganu. Kampung ini telah dipilih oleh Jabatan Pertanian untuk menjayakan projek ‘homestay’. Ketika bersama-sama meninjau projek ini, Penghulu Mukim Alor Limbat telah mengajak saya melawat tapak bersejarah mengenai asal-usul nama buah duku yang kita makan atau tanam itu. Tanpa perlu menulis panjang saya perturunkan keterangan dari ‘papan penerangan’ tersebut.……………………

[ Mengikut sejarah, pokok Duku Terengganu merupakan sejenis pokok liar hutan yang mana telah ditemui oleh seorang hamba rakyat di Kampung Bukit Cherana, Marang sejak 300 tahun yang lepas. Menurut ceritanya buah pokok ini telah dipersembahkan kepada Sultan kerana di dapati ianya begitu manis dan lazat. Lantas selepas itu Tuanku telah menanyakan nama buah yang dipersembahkan.

Beliau kemudiannya, mengucapkan secara tergagap-gagap, ungkapan du…du…. du…..dan diikuti dengan ku, yang mana “KU” dalam konteks ini dirujuk kepada Tuanku. Maka bermula dari situlah Tuanku menamakannya sebagai buah duku……….]

Begitu lah cerita asal usul bagaimana buah ‘Duku’ mendapat nama. Pokok Duku yang ada di taman tersebut sudah berusia 250 tahun. Pokok tersebut merupakan generasi kedua pokok duku sebelum ini yang mati terbakar ketika zaman penjajahan Jepun. Penghulu Mukim itu juga mendakwa pokok itu bukan sahaja tertua di Terengganu tetapi juga tertua di dunia. Betul lah kata perbidalan Melayu ‘ Lautan Dalam Sudah Diselam , Tempayan Di Dapur Siapa Menyelam’. Yang bermaksud, pelbagai perkara diluar lingkungan kita sudah kita ketahui, tetapi kurang mengambil tahu perkara-perkara yang berada di sekeliling kita.

Jika ada yang teringin merasai nikmat tinggal di kampung, makan buah duku ‘tertua di dunia’ bolehlah datang bercuti di Homestay Kg Bukit Cherana............. :)

Nov 23, 2008

Bila Gambar Bercerita........

Minggu lepas, ketika menjemput pulang anak lelaki saya dari Uitm Jengka, Pahang, saya telah sempat berbual dengan seorang ‘budak’ perempuan bernama Farah Hidayu dari Jerantut. Dia datang bersama keluarga untuk mengambil pulang abang sepupunya. Usianya baru 15 tahun. Perwatakannya menarik dan ramah. Sedang menunggu keputusan peperiksaan PMR.. Hujung bulan Disember ini dijangka keputusannya akan diumumkan. Harapan dan keyakinannya tinggi untuk memperolehi keputusan terbaik 8A. Apatah lagi dia anak sulung. Pasti dia mahu menjadi ‘idola’ kepada adik-adik untuk mengikuti jejak langkahnya. Sebelum dia pulang sempat saya mengucapkan selamat berjaya. Caiyo. Insya Allah semoga tuhan makbulkan doanya.

Tiada apa lagi yang saya nak ceritakan mengenai Farah Hidayu. Saya hanya mengenalinya beberapa minit sahaja. Cuma wajah dan ketinggiannya hampir sama dengan seorang ‘budak perempuan’ di pusat membeli belah di Pekan Baru, Bandung. Bandung yang terkenal dengan nama ‘Kota Kembang’ atau digelar ‘Kota Parijs van Java’. Gambar ‘budak perempuan’ itu saya paparkan di blog ‘Bisa Bonar’ ini. ‘Ika’ baru berusia 11 tahun tetapi ia sudah menjadi ‘penyanyi jalanan’. Walaupun dia tahu kami hanya lah ‘jutawan segera’ dan telah kembali menjadi ‘orang biasa’ selepas membeli belah, Ika tetap menghiburkan kami dengan nyanyiannya. Ika mengharapkan kami memberinya wang sekitar Rp 1000 atau Rp 2000 atau Rp 500 dan Rp 200 ‘wang perak’ bagi menampung makan petang bersama adik-adiknya yang masih kecil. Setiap kali bas ‘pariwisata’ berhenti di Pasar Baru dia akan menyanyi dan menghiburkan pelancong secara solo ataupun berduet bersama adiknya yang baru berusia tujuh tahun. Saya tidak mengenali ibu dan bapanya. Tapi saya pasti kemiskinan dan kesukaran mencari ‘rupiah’ telah memaksa mereka dan ‘Ika’ menjadi ‘penyanyi jalanan’ dan melakukan apa sahaja pekerjaan. Daripada menjual ‘key chain’, pen, kain batik, beg kain, selipar, ketayap dan segala macam barang sehinggalah menjadi peminta sedekah, pengutip botol dan penyelongkar sampah. Jika kita menjadi pemerhati yang baik, kita akan menyedari kehadiran mereka dimana-mana sahaja samada di Pekan Baru, Cihempelas, Bandung, atau di Tanah Abang, Mangga 2 di Jakarta dan lain-lain tempat membeli belah yang popular kecuali di Rumah Mode, Bandung yang eksklusif tempatnya.

Apabila malam datang mereka ini tidur di tepi-tepi jalan, di lorong-lorong sempit dan kaki lima serta di dalam tong-tong sampah yang menjadi ‘rumah’ mereka. Mereka sering berebut dan mempertahankan kawasan ‘cari makan’ masing-masing. Ketika bersiap-siap untuk pulang, menuju ke Lapangan Terbang Sukarno-Hatta dari Hotel Travellers, Jakarta, saya masih sempat menonton berita TV di saluran ‘Indosiar’. Seorang ‘penyelongkar sampah’ berusia 71 tahun dibunuh oleh ‘pesaingnya’ di Jakarta Pusat. Begitulah kehidupan di kotaraya yang padat dengan penduduk ini. 12.5 juta orang di waktu siang dan 10 juta di malam hari. Kotaraya Jakarta seluas 670 km persegi ini setiap detik melakarkan 1001 cerita suka dan duka, sedih dan rintihan. Mereka yang kaya berebut cara ‘orang kaya’, yang miskin dan merempat berebut cara ‘orang miskin’ dan merempat. :(

Tetapi dalam melihat ‘kebobrokan’ itu saya masih melihat ‘nilai baik’ warga Jakarta.Walaupun motorsikal semakin membanjiri jalan-jalan di Pulau Jawa. Memandu laju dicelah-celah ‘kemacetan’ Kotaraya Jakarta. Mereka masih tetap sopan. Mereka hanya ada kumpulan dan geng ‘Ojek’. Bukannya geng atau kumpulan Mat Rempit dan Minah Rempit. Geng dan kumpulan yang bukan sahaja kurang ajar, tetapi juga kurang moral. Tiba-tiba sahaja saya jadi geram dan mual dengan gelagat mat rempit dan ‘aweknya’ yang sengaja buat ‘wheelie’ di hadapan kereta saya di Pantai Batu Burok semalam. Sepatutnya ‘kamu’ lebih bernilai walaupun hanya menjadi ‘penyanyi jalanan’………….

Catatan:

Nilai RM 1.00 = Rp 3,000 (tertakluk kepada pasaran matawang)
Wang Perak : Wang syiling
Parawisata : Pelancong/Pelancongan
Bobrok : kacau bilau
Macet: Kesesakan
Ojek: Motorsikal penumpang
Wheelie : memandu motorsikal dengan satu tayar ke atas

Nov 21, 2008

Penkid Kah Dia...............?


Musim cuti sekolah datang lagi. Anak bongsu saya di SMK Sains Terengganu (Sester) sudah pun pulang. Dua hari yang lepas saya telah menjemput anak lelaki saya bersama barang-barangnya dari UitM Jengka, kerana cuti semester juga sudah bermula. Saya telah mengharungi jarak sejauh 650 km, sebelas jam perjalanan pergi dan balik. Terpaksa ‘nap’ dua kali baru sampai ke rumah. Terasa letih lah pulak. Bulan hadapan anak-anak saya di Cyberjaya University, di UKM, dan Matrikulasi Negeri Sembilan juga akan pulang kerumah. Sekali lagi mereka akan berkumpul bersama-sama kami. Meriahnya. Ada yang sudah bercadang menjemput rakan-rakan sekampus datang ke rumah. Datang melihat keindahan bumi Terengganu. Tapi boleh tengok ke?. Sekarang musim hujan di Terengganu. Nak tengok Monsoon Cup boleh lah. Kak Cek dan Kandak (kakak saya) sekeluarga di kampung juga sudah telefon nak datang juga bulan hadapan. Bermalam semalam dua dan pergi menyaksikan perkahwinan Mizi, rakan karib anak buah saya Muiz, di Setiu. Sekali lagi meriahnya berkumpul adik beradik. Akan panjanglah malam itu dengan cerita-cerita dari kampung :). Walau apa pun sebelum mereka semua ‘menyerbu’ balik dan datang ke rumah, saya telah bercadang untuk meneruskan perjalanan saya yang tertunda dahulu untuk balik ke Pulau Pinang minggu hadapan.

Itu bukan ceritanya. Ceritanya musim sekolah ini telah mengingatkan saya kepada seorang rakan lama, Zalmi. Saya mengenali Zalmi ketika kami sama-sama masuk ke Tingkatan Satu di SMK Rantau pada tahun 1973. Zalmi seorang ‘budak lelaki’ yang sihat. Badannya agak berisi. Berkulit cerah. Wajahnya iras anak ‘Cina’. Rambutnya sering pendek. Pembersih orangnya. Tuala kecil sentiasa diletakkan di kolar baju. Sentiasa ada ‘bocong’ bekalan air kosong untuk diminum. Selain daripada itu tiada yang istimewanya mengenai Zalmi. Jika ada pun dia dilantik menjadi ‘ketua kelas’. Cuma ada beberapa perkara yang ‘pelik’ mengenai Zalmi. Setiap kali masa PE , guru PE akan mengarahkan dia duduk di tepi padang. Jika kami bermain bola, dia tak akan terlibat walaupun menjadi penjaga gol. Begitu juga sewaktu kelas pertanian. Ketika kami beramai-ramai mencangkul membuat batas, menyiram pokok di tengah panas, Zalmi akan duduk ditempat teduh, sambil memerhati kami membuat kebun. Kawan-kawannya juga agak terbatas. Seingat saya dia lebih suka berkawan dengan budak perempuan. Kalau ada pun kawan lelaki tidak begitu rapat. Pendek cerita, Zalmi adalah ‘rakan sekelas’ yang ganjil. Malah sudah ada cerita Zalmi ada ‘penyakit’. Entahlah.

Musim persekolahan baru, saya sudah berada di Tingkatan Dua. Kami dan rakan-rakan berjumpa sekali lagi, kecuali Zalmi. Dengar khabarnya sudah berpindah ke sekolah lain, SMK Sendayan dan tinggal bersama ibu saudaranya untuk mengubati ‘penyakitnya’ itu. Noktah. Tiada lagi cerita mengenainya. Tak sampai sebulan, kami sudah melupakan Zalmi budak ‘ganjil’ itu. Kami juga tidak lagi tertanya-tanya, kenapa ada yang tak boleh PE, tak boleh buka baju, tak mencangkul, tak bergaul dengan budak lelaki, dan kenapa tak boleh gurau-gurau. Semuanya tiada lagi soalan. Tahun persekolahan akhirnya sampai juga ke penghujung.. Sekali lagi kami bercuti. Hora- Horee lagi. :)

Tahun 1975, kami sudah jadi budak besar, walaupun masih berseluar pendek (masa tu peraturan sekolah bermula Tingkatan Empat sahaja baru dibenarkan memakai seluar panjang). Tahun itu kami berada di Tingkatan Tiga, tahun menghadapi peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Berjumpa kembali kawan-kawan lama dan juga kawan baru. Paling mengejutkan, kami bertemu kembali dengan Zalmi. Zalmi yang sudah berpindah sekolah setahun yang lalu. Betul dan benarlah, setahun perpisahan kami Zalmi telah pulih dari ‘penyakitnya’. Namun Zalmi sekarang bukan lagi ‘budak lelaki’ yang berisi badannya. Berambut pendek. Berseluar pendek dan berkulit cerah. Zalmi benar-benar sudah bertukar, 360 darjah. Zalmi sekarang sudah berambut panjang, sudah memakai ‘gaun’ sekolah biru yang kemas. Pinggangnya kelihatan ramping. Kulit cerahnya semakin gebu. Wajah iras Cinanya itu telah menjadikan ia seorang gadis yang menawan. Ohhhh… Zalmi rupanya kau seorang perempuan………..

Gambar Hiasan Sahaja

Nap - Tidur sebentar

Bocong- Botol/bekas air

Nov 20, 2008

Diserang Pengunjung Lucah

Perkara pertama yang saya lakukan ketika pulang dari Indonesia ialah menjengok blog "Biso Bonar". Terdapat lebih kurang 14 komen. Saya baca satu persatu sehinggalah ke komen no 14. Komen no 14 memang melampau. Ia bukan komen tetapi karangan panjang cerita lucah. Ia membuat saya 'terpana'. Akhirnya saya belajar satu perkara. Jika 'keluar jauh', pastikan 'comment moderate' ditanda 'Always'. Jika tidak bukan sahaja 'blog' itu diceroboh, tapi sempat lagi penceroboh meninggalkan 'najis'. Apalah nasib, baru tiga bulan berblog dah ada 'pengunjung' yang 'kencing' ......................:(

Nov 18, 2008

Ole-Ole Dari Seberang


Sepanjang empat hari berada di Indonesia, saban hari ‘korannya’ menukilkan artikel mengenai Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Rakyat Indonesia begitu 'kagum' dengan Obama. Apatah lagi Barrack Obama pernah menetap di Indonesia dan bapa tirinya Lolo Soetoro adalah warga Indonesia. Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudiyono yang hadir di persidangan G-20 minggu lalu di Washington turut mengharapkan hubungan Indonesia dan Amerika akan lebih intim selepas Barack Obama menduduki White House dengan rasminya.

Ketika membelek-belek akhbar "Seputar Indonesia" yang dibeli dengan harga Rp 3,000 (RM1) saya tertarik dengan sebuah artikel bertajuk “Menang Jangan Sombong, Kalah Jangan Bohong” yang ditulis oleh mahasiswi Universiti Bandung, Lyda Okva Anjelia. Saya salin sepenuhnya artikel tersebut untuk tatapan dan renungan kita…….

[Seminggu lalu warga dunia memusatkan perhatian pada pemilihan presiden Amerika Serikat (AS) yang dimenangkan oleh Barack Obama. Sebahagian masyarakat Indonesia ikut mengelu-ngelukan kemenangan presiden kulit hitam pertama di AS ini.

Ada sebuah pertunjukan moral menakjubkan dari negara yang mungkin kalau kita perbandingkan soal kekayaan adat-istiadatnya dengan Indonesia akan kalah jauh. Kita dapat lihat bagaimana Obama bersikap terhadap McCain saat menang. Rasa ‘jumawa’-hal yang wajar pada semua manusia - itu ada, namun tak sampai pada taraf berlebih-lebihan. Sebaliknya bagaimana McCain bersikap terhadap Obama saat menerima kekalahannya mencontohkan sikap pemimpin sejati yang dengan sportif dan kesatria menerima kekalahan

Saya terkesima ketika menonton pidato kekalahan McCain di video. Begitu bijaksana ketika McCain mengatakan “ A little while ago, I had the honor of calling Senator Barack Obama to congratulate him” yang disusuli dengan gemuruh kekecewaan pendukungnya. Menanggapi teriakan “huuuu” para pendukungnya, dengan segera McCain mengangkat kedua telapak tangannya mengajak mereka untuk berhenti mengeluarkan kekecewaan. Sesaat kemudian bisa kita lihat begitu khidmatnya Mc Cain bisa mempengaruhi warga Amerika untuk ikut bersikap kesatria dengan menerima kekalahan dan mendukung pihak lawan.

Telah banyak kalangan yang menyindir elite politik kita untuk meniru sikap legowo McCain. Senator tua itu dengan bijak mengatakan akan turut membantu Obama mempimpin AS menghadapi tantangan yang akan dihadapi .

Coba bandingkan dengan elite politik di negara kita . Dalam pemilu 2004 lalu, misalnya , mungkin ‘anda’ pun tahu calon yang mengungkapkan bahawa kekalahannya hanya kekurangan suara yang kapan-kapan akan diambil dan direbut kembali pada 2009?. Kata-kata ‘merebut kembali’ mencirikan sikap calon pemimpin yang hauskan kekuasaan, bukan pemimpin yang mementingkan rakyat.

Semoga pada Pemilu 2009 mendatangkan panggung demokrasi Indonesia menjadi lebik baik. Siapa pun yang menang tidak menyombongkan kemenangannya, yang kalah tidak membohongi diri sendiri dengan sibuk mencari bukti kecurangan untuk menggugat kemenangan lawan.]


Saya tidak bercadang untuk memberi komen panjang mengenai artikel ini, cuma ia adalah satu teladan yang wajar direnungi. Seharusnya kita 'berlapang dada' apabila mengalami kekalahan dan tidak terlalu 'berbangga' dan tidak pula memandang rendah kepada 'lawan' yang kalah. Samada pertandingan tersebut dalam pilihanraya umum, merebut jawatan parti, jawatan dalam persatuan atau pun ketika perlawanan sukan.

Dalam kesibukan jadual membeli belah dan terperangkap dalam 'kemacetan' Bandaraya Jakarta kami sempat juga memenuhi jadual melawat Ibupejabat ANTARA di Jakarta Pusat – salah satu ‘kantor’ berita terbesar di Indonesia. Kantor ANTARA telah ditubuhkan pada tahun 1937 sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan lagi. Salah seorang pengasasnya yang turut memainkan peranan dalam menamatkan konfrontasi antara Malaysia-Indonesia ialah Adam Malik. Perjanjian itu telah adakan di Bangkok pada tahun 1966.

Ketika sesi dialog antara kami dan Bapak Saiful Bahari, Ketua Editor ANTARA, ANTARA bukan sahaja membekalkan berita seperti fungsi utama Bernama di Malaysia tetapi juga mendukung ‘kebebasan media’ selepas ‘Order Suharto’ tumbang dan digantikan dengan ‘Order Reformasi’ sejak tahun 1998. Pendiriannya jelas melalui pernyataan sinisnya, “ Jika Bapak Menteri telpon untuk ajak minum kopi bisa, tapi kalau telpon kerna berita, tidak usah”.

Walaupun Ketua Editor ANTARA ini berbangga dengan nikmat ‘kebebasan media’ yang diperolehi ketika ini di Indonesia, tetapi dia dengan jujur menjawab soalan, "Adakah ‘rakyat Indonesia’ sudah benar-benar menerima kebebasan media yang diamalkan di Indonesia sekarang ?". Bapak Saiful Bahari tidak menolak natijah kebebasan berita telah menyebabkan pergeseran kaum Dayak dan Madura lebih sengit. “Memang tidak dinafikan bahawa kebebasan media telah juga menjadi pergeseran antar agama, antar suku kaum, antar bangsa ……… namun ANTARA bertanggungjawab untuk menyiarkan berita, pandangan dan kritikan daripada masyarakat termasuk kritikan kepada pemerintah, ..............selain kita juga bertanggungjawab menjelaskan dasar-dasar pemerintah yang kurang jelas kepada rakyat, …….. saya juga setuju ramai rakyat Indonesia masih mengidam kehidupan yang aman, berperaturan, barang-barang keperluan yang murah seperti di zaman Presiden Suharto”........... “Sehingga sekarang rakyat Indonesia masih mengidamkan seorang pemimpin yang kuat untuk mentadbir Indonesia”

Kerana begitulah keinginan rakyat dan masih mencari-cari Presiden yang lebih 'tangguh' maka lebih ramai nama yang disebut-sebut untuk bertanding jawatan Presiden dalam Pemilu 2009. Salah seorang daripadanya ialah bekas Presiden Indonesia sebelum ini, ‘Gus Dur’. Kebebasan media' yang juga sudah menjadi cara hidup rakyat Indonesia masakini, telah mewujudkan sebuah stesyen TV, bernama 'MetroTV' yang bukan sahaja meletakkan 'tagnya' sebagai "TV Saluran Politik " tetapi juga bebas menyiarkan manifesto calon-calon Presiden yang akan bertanding pada Pemilu 2009 nanti.

Nov 12, 2008

Menuju Ke Seberang


Kata orang tua-tua, 'jauh perjalanan luas pandangan'. Kerana itu saya menerima pelawaan untuk menyertai rombongan ke Bandung dan ke Jakarta. Sebentar lagi saya akan bertolak ketika musim monsun baru bermula di Terengganu. Saya berdoa semoga perjalanan ini akan selamat di permulaan dan selamat juga di akhirnya. Kerana waktu yang semakin mendesak saya tidak dapat terus menulis ........... Selamat bertemu lagi. Kapan ?. Minggu hadapan...... Insya Allah.

Nov 9, 2008

Award, Hadiah dan Hamper

Ketika Anugerah Skrin 2008 sedang disiarkan secara langsung di TV 3 . Blog Biso Bonar telah dianugerahkan ‘Award’ oleh Tirana seorang blogger yang aktif di dunia maya. Anugerah ini saya perolehi dari ‘award’ yang dipanjangkan oleh Tirana daripada seorang blogger lain adik Grape. Bulan Oktober yang lalu seorang lagi blogger saudara Rahisam, telah meletakkan satu ‘tagline’ ‘Jalan-Jalan Cari Ilmu’ kepada blog ini selepas tersiarnya posting “ Pesaka Pengkalan Berangan”. Saya terharu atas anugerah dan juga tagline itu kerana tidak menyangka ‘gaya’ penulisan saya boleh ‘diterima pakai’. Maklumlah saya bukan seorang penulis dan menulis bukanlah kerjaya saya. Ia hanya bermula tanpa sengaja apabila kelima-lima anak-anak kami belajar di IPT dan SBP. Waktu senggang itu telah ‘melahirkan’ hobi baru, ‘menulis blog’. Saya juga terangsang kerana dalam waktu yang singkat telah mendapat galakan daripada rakan-rakan di alam maya ini untuk terus menulis. Saya ibarat ‘budak baru belajar’. Baru tiga bulan ‘bertatih’ dalam dunia blog ini. Samada saya mampu bertahan atau tidak, masa sahaja yang akan menentukannya……...






Pemberian 'Award' ini telah mengingatkan saya kepada dunia persekolahan waktu kecil dahulu. Setiap tahun PIBG akan mengadakan Majlis Persembahan dan Penyampaian Hadiah. Ahli-ahli PIBG begitu akrab sekali. Saya bukan sahaja menyaksikan persembahan rakan-rakan, menyanyi lagu ‘Resam Dunia’, menari ‘tarian piring’ dan melakonkan drama pentas pertikaman ‘Hang Tuah dan Hang Jebat’ tetapi juga persembahan lawak jenaka yang dilakonkan oleh bapa dan guru. Sehingga ke usia saya sekarang dan telah hadir berkali-kali di majlis penyampaian hadiah, belum pernah saya menyaksikan ibubapa atau guru mengadakan persembahan pentas seperti itu dihadapan anak dan pelajar mereka sendiri. Hadiah-hadiah kemudian diberikan kepada murid-murid yang mencapai keputusan akademik yang cemerlang. Ia bertujuan merangsang mereka untuk belajar lebih rajin dan tekun lagi. Jika bukan menerima hadiah kerana pencapaian akademik, sekurang-kurangnya mereka diberi hadiah kerana kehadiran penuh ke sekolah :)

Tiga hari yang lepas saya telah menghadiri Majlis Akhir Tahun anjuran Kelab Guru dan Staf sebuah sekolah di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Majlis ini bertujuan untuk merapatkan silaturahim dikalangan guru-guru yang berjumlah hampir seratus orang itu. Majlisnya rengkas sahaja, di mulai dengan doa, ucapan pengetua, ‘makan-makan’ dan kemudian mengadakan cabutan bertuah. Sebelum majlis berakhir, Pengetua sekolah telah menyampaikan hamper kepada guru dan staf yang memberi sumbangan dan komitmen yang tinggi kepada peningkatan pencapaian akademik dan juga penambahbaikan imej sekolah. Hamper-hamper tersebut tidaklah ‘bernilai tinggi’. Ia hanyalah sebagai simbol penghargaan kepada komitmen dan sumbangan mereka kepada sekolah. Saya percaya ramai diantara kita merasa gembira dan seronok apabila sumbangan yang dilakukan dihargai walaupun ia tidak diringi dengan pemberian award, hadiah dan juga hamper.



IPT : Instiutut Pengajian Tinggi
SBP: Sekolah Berasrama Penuh

Nov 7, 2008

Musim Haji Tiba Lagi


Sudah lebih daripada satu minggu kita meninggalkan bulan Syawal. Sudah lebih satu minggu juga kita berada di bulan Zulkaedah. Bulan yang menyaksikan ramai rakan dan kenalan, saudara-mara pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Makkah. Minggu lepas saya telah menziarahi kakak sepupu di kediamannya di Jalan Bukit Besar, Kuala Terengganu. Ini kali kedua, dia dan suaminya menunaikan fardhu haji. Persediaannya nampak ringkas. Tiada kenduri dan jamuan.

“ Jiran-jiran pun tak tau Kak Long pergi ni’
“ Mungkin esok lusa Kak Long bagi tau lah”
“Ini kali kedua pergi, tak payah heboh-heboh sangat” ‘Gitu ke’ fikir saya.
“Tiga hari lagi Kak Long akan turun ke KL, tidur rumah Lily, lepas tu tidur rumah Nina kat Putrajaya”. “Lepas tu biar Amir aje yang hantar Kak Long ke airport”. “Yang lain tu tak payahlah”. Lily anaknya yang sulong, Nina anak keduanya dan Amir pula adalah anak adik perempuannya yang ‘dibesarkan’ sejak kecil. Ketika entri ini tersiar mereka sudah pun berada di Kota Makkah.

Malam tadi saya telah hadir kenduri ‘tahlil’ sahabat saya Ayob di Darat Pak Chang, Marang. Selepas menangguhkan pemergiannya tahun lalu, akhirnya ‘seru’ itu sampai juga. Inilah kali pertama dia menunaikan fardhu haji. Kali pertama juga dia akan mendirikan solat di hadapan dan mengadap Kaabah. Menyaksikan keindahan Masjidil Haram dengan ‘mata dan kepalanya’ sendiri. Minum air zam-zam sepuas-puasnya. Solat sunat di Hijr Ismail dan Makam Ibrahim. Berdoa dan memohon keampunan di Multazam. Mengucup Hajar Aswad, dan mengerjakan rukun-rukun dan syarat wajib haji serta menziarahi makam Nabi saw di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah. Bertuahlah Ayob kerana menjadi tetamu Allah.

Pemergian ke Makkah sekarang begitu mudah. Hanya menaiki pesawat terbang, selama tujuh atau lapan jam sudah mendarat di Makkah atau di Jeddah. Rombongan menghantar ke Terminal Lapangan Terbang pun sudah semakin kecil bilangannya, hanya sebuah atau dua buah kereta. Itu pun dikalangan adik beradik dan anak beranak sahaja. Mendengar cerita, lima atau enam orang dari satu kampung atau satu taman pergi menunaikan haji ke Makkah juga sesuatu yang lumrah..

Jauh benarlah bezanya ketika Tok Abu dan isterinya Wan Redup ‘naik haji’ pada tahun 1967 dahulu. Pasangan suami isteri ini adalah jiran kami. Ke Makkah waktu itu masih menggunakan kapal laut. Kapal Bunga Raya. Lama sebelum berangkat, mereka sudah bersiap sedia dengan pelbagai kelengkapan. Bukan sahaja membawa kelengkapan haji, pakaian dan ubat-ubatan tetapi termasuk juga bekalan makanan. Ikan kering, lada kering, kerisik,belacan, beras, rempah-ratus,............ dan dapur. Tiada pakej makanan seperti sekarang untuk jamaah haji. Mereka terpaksa menyediakan beg baju dan peti ‘besar’ untuk mengisi barangan tadi termasuk ‘KAIN KAPAN’. Kebiasaanya mereka akan ‘belayar’ sebelum bulan Ramadhan atau ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Sebelum ‘belayar’, Tok Abu dan Wan Redup telah mengadakan kenduri ‘tolak bala’, berdoa kepada Allah, supaya selamat perjalanan pergi dan kembali. Kenduri itu telah dihadiri oleh kenalan, saudara-mara, ipar-duai, adik beradik dan orang kampung. Masing-masing mengambil kesempatan untuk sama-sama bermaaf-maafan, saling halal menghalalkan yang termakan dan terminum serta perbuatan yang ‘lebih kurang’. Tetamu menitipkan wang dan bekalan makanan kepada bakal haji dan hajah ini. Mereka tidak pasti adakah mereka ‘panjang umur’ untuk kembali semula ke kampung. ‘Pelayaran’, mereka bukan tujuh atau lapan jam. Bukan juga seratus dua ratus kilometer, tetapi mengambil masa sebulan lebih dan beribu kilometer jauhnya. Mengharungi lautan luas, Lautan India, Teluk Benggala, singgah di Ceylon (Sri Langka) merentasi Laut Arab, Pelabuhan Aden sebelum berlabuh diperhentian terakhir, Jeddah. Pemergian Tok Abu dan Wan Redup telah dihantar dengan rasa pilu. ‘Orang kampung’ telah menyewa sebuah bas, menghantar ‘suami isteri’ ini ke Port Swettenham (Pelabuhan Klang). Mereka bimbang inilah pertemuan terakhir mereka. Sebelum bertolak azan dilaungkan, sebaik sahaja rombongan bergerak, beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan ke udara. Haji Abu dan Hajah Redup sudah lama meninggal dunia. Namun begitu Haji Abu sempat sekali lagi menunaikan fardhu haji menaiki kapal terbang tanpa perlu membawa ‘dapur’ dan ‘kain kapan’………. :)


.

Nov 5, 2008

Bagaimana Menjadi Kaya


Semalam saya telah memasuki sebuah bank yang popular di Jalan Paya Keladi, Kuala Terengganu. Bank ini bukan sahaja popular tetapi juga telah mencipta sejarah dengan melancarkan iklannya di pesawat terbang Air Asia. Begitulah ‘gah’nya bank ini, mengeluarkan berjuta-juta ringgit zakat perniagaan dan diramal meraih keuntungan RM 1 bilion pada penghujung tahun ini. Bank tersebut juga percaya bahawa krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang tidak menjejaskan operasinya. Malah amat yakin kepada keupayaan pelanggan-pelanggannya untuk membayar balik pinjaman.

Ketika menunggu-nunggu nombor giliran, saya ‘bertegur sapa’ dengan seorang anggota polis berpangkat koperal. Perbualan kami hanya berkisar kepada cerita biasa-biasa sahaja, sehingga lah saya bertanya tentang urusannya ke bank itu.

“Saya dah meminjam hampir 15 tahun”,
“Dari bujang lagi”.
“Nak menyimpan sendiri susah”
“Cara paling mudah, saya pinjam”
“ Tapi saya pinjam bukan untuk joli”
“Saya simpan”
“Ada RM 100,000 dah ke”. Tingkah saya
Matanya memandang ke siling. Macam duit nya ada kat situ pulak.
“Ada lah sikit-sikit”, Tapi senyumannya lebar.
“Saya dah beli rumah dua buah”
“ Sebuah tu saya beli di Gong Badak”
“Sekarang budak-budak UMT yang sewa, RM 500 sebulan’
“Kira macam saya tak payah bayar lah, dia orang yang bayar”.
“Saya dah beli tanah juga tiga ekar di Pahang, kongsi adik beradik”

Kalau bukan kerana nombor gilirannya dipanggil, saya pasti akan berkongsi cerita ‘kejayaannya' itu. Saya percaya Koperal polis tadi tidak belajar secara formal untuk menambah simpanan dan mengumpul asetnya. Saya juga percaya dia tidak pernah mendapatkan nasihat daripada perunding kewangan. Dia hanya belajar dan dinasihati oleh rakan-rakan seniornya secara percuma. Motonya mudah, ‘Meminjam dan Menyimpan’. Sudah tentu dia percaya kepada ‘nasihat’ tersebut kerana melihat rakan seniornya bersara dalam keadaan ‘berwang’ dan ‘berharta’. Jangkaan saya umurnya baru mencecah 40 tahun. Saya juga percaya jika dia terus mengekalkan tabiat menyimpan dan menambah aset sedikit demi sedikit, dia juga akan bersara dalam keadaan ‘berwang’ dan ‘berharta’.

“ Huuui…seronok encik, hujung tahun tengok duit kita bertambah”.
“Walaupun saya meminjam, setakat kawan-kawan ajak belanja Kentucky saya tak lari” :).

Cerita koperal polis ini bukanlah cerita aneh. Malah ia juga bukan cerita baru. Sebahagian daripada cerita tersebut telah ditulis dalam buku pengurusan kewangan, termasuk buku-buku yang berjudul “Bagaimana Menjadi Kaya”. Pengalaman koperal ini telah mengingatkan saya kembali kepada seorang kawan yang kini telah juga bersara dalam keadaan ‘berwang’ dan ‘berharta’.


Haji Ishak telah mula menyimpan sejak awal tahun 1980 an lagi. Ketika itu ASN baru sahaja dilancarkan. Dia nekad menyimpan RM1000 sebulan selama enam tahun berturut-turut. Takdir telah menyebelahinya. Tahun 1990 ASN telah memberi dividen dan bonus yang tinggi kepada pendepositnya. Selepas tabungan ASN nya penuh ia beralih pula kepada tabungan ASB. Hari ini dia bukan sahaja memiliki sebuah rumah ‘bungalow’ tetapi juga sebuah rumah ‘tradisional’. Memiliki berpuluh-puluh ekar tanah, beberapa buah kereta dan turut berbahagia dengan pencapaian akademik anak-anak yang sebilangannya sudah mempunyai profesyen sendiri. Apa yang istimewanya, Haji Ishak bukan ‘orang berniaga’ dan ‘berpangkat besar’. Haji Ishak adalah orang biasa yang telah menjadi luarbiasa. Dia telah berjaya mengubah takdirnya. Dia telah sanggup ‘berakit – rakit dahulu, berenang-renang ketepian’. Sebelum bersara pada tahun 2004 dia sudah mempunyai pendapatan melebihi RM 6,000 sebulan, jauh melebihi pendapatan pegawai-pegawai kanan dipejabatnya. Mungkin dia tidak pandai melabur tetapi dia tahu mengurus kewangannya.

“ Aku sepatutnya dah boleh pakai kereta Merc dah, Li”
“Tapi cukup lah aku pakai Waja ni saja”


Tidak sukar menjadi kaya, ia boleh dipelajari, yang perlu hanya sedikit usaha dan banyak bersabar. Hari ini ramai yang tidak belajar untuk kaya tetapi masih bercita-cita untuk kaya, dan berangan-angan untuk menjadi ‘jutawan'. Kerakusan manusia yang mementingkan kebendaan, status, wang dan penghormatan telah menyebabkan ramai diantara kita yang mencari ‘jalan pintas’. Tidak hairanlah jika beribu-ribu orang telah terjebak dengan pelbagai skim cepat kaya. Mereka tidak mengira latar belakang syarikat yang menjalankan skim tersebut, asalkan mereka boleh mencipta kekayaan dan kesenangan dalam ‘satu malam’. Mereka juga tidak ambil pusing pelbagai nama skim yang muluk-muluk dan pelik-pelik asalkan ia berakhir dengan gelaran ‘jutawan’.

Kegagalan memahami kaedah mengurus wang dan juga bentuk pelaburan, dimanupulasi sebaik-baiknya oleh 'pencipta mimpi' ini. Walaupun sudah banyak syarikat ‘skim cepat kaya' yang digantung operasi dan dihadapkan ke mahkamah. Berpuluh-puluh lagi syarikat yang hampir sama tumbuh semula ‘bagai cendawan selepas hujan’. Manusia selalunya tidak pernah serik. Ada yang sudah terkena pun masih lagi mencuba nasib. Mereka sering berpegang kepada pepatah, ‘Untung Sabut Timbul, Untung Batu Tenggelam’. Apa pun mereka jarang mendapat sabut itu …………..





UMT : Universiti Malaysia Terengganu

Nov 4, 2008

Karya Mimpi


Berdiri dipadang yang luas, seorang juruteknik JKR, Zubir, menjerit-jerit diatas timbunan jentera gergasi. Beberapa bilah pedang terlantar dengan saiz besar. Saiz ‘Giant Robot’ Menjerit-jerit ‘ Lo Chang…. Lo Chang. Ramai orang menyerbu. Membuat lingkungan.Ribuan. Berasak-asak. Berkeliling. Menjenguk. Menjengah. Bertolak-tolak. Tiba-tiba tersedar. Jam 4.00 pagi. Sebuah mimpi aneh. Masih terngiang-ngiang. Lo Chang……. Lo Chang. Siapa boleh tafsir. Kisah dari mimpi ??????..

Salah seorang anak, telepon pagi-pagi hari. Tergesa-gesa. Si Abah bertanya. “Kenapa?”. “Mimpi ibu meninggal dunia”. “Ohhhhhh…”. Terasa ngeri pendengaran si abah. Lalu memanggil si ibu. Kemudian terdengar tawa. Si Ibu berkata “Tak ada apa lah”. “ Mainan Tidur”. Anak pula berkata. “ Berhati-hati ”. Satu lagi cerita mimpi. “Siapa boleh tafsir”. ????. Ini lah karya dari mimpi.

Nov 1, 2008

Kuda Sokmo


Jika datang ke Terengganu ketika ini, ‘portrait’ kuda memenuhi serata ceruk Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu. Pencinta kuda dari 33 buah negara seperti Afrika Selatan, Argentina, Australia, Bahrain, Belanda, Belgium, Brazil, Kanada, telah datang berkampung ke Terengganu semata-mata untuk menyertai pertandingan kuda lasak (Endurance). Terengganu telah mengalami demam kuda, “Kuda Sokmo”. Dahulu pertandingan ini hanya dilangsungkan di Lembah Bidong dalam Daerah Setiu sahaja atau di TER (Terengganu Equestrian Resort) Kuala Ibai. Tahun ini satu lagi ‘litar’ baru telah dibuka di Kg Permatang Seratus dalam Daerah Marang. Walaupun namanya ‘kampung’ tetapi ia hanyalah sebuah ladang kelapa sawit.

Saya tidak mahir dan memahami permainan kuda lasak ini. Tapi ‘cakna’ jugalah kerana litar itu berada di Daerah Marang. Ia adalah di antara sukan yang ‘mahal’ . Seekor kuda sahaja sudah berharga antara RM 500 ribu dan boleh mencecah sehingga ke RM 3 juta ringgit. Walaupun ia kuda lasak tetapi ‘manja’. Ia perlu dijaga sebaik-baiknya. Kuda diletakan didalam bangsal yang bebas besi dan bahan keras supaya kuda tidak tercedera jika ia menendang atau menyepak. Kuda juga dielakkan daripada terkejut, kerana itu kawasan pertandingan perlu ‘bersih’daripada binatang buas seperti babi dan binatang ternakan seperti kambing, kerbau, dan lembu. Rumput makanannya dimport dan diberi minum air mineral. Jauh betul lah kemampuan saya nak bela kuda ni. Setakat bercita-cita nak bela kuda padi itu pun dah saro baro ;).

Jarak pertandingan kuda lasak ini diantara 40km, 80 km sehingga 160 km. Jarak ini dibahagikan pula kepada beberapa ‘loop’ (lengkukan). Setiap ‘loop’ jaraknya antara15 km hingga 25 km. Tamat sahaja satu ‘loop’ kuda-kuda ini akan di periksa, kadar denyutan jantungnya, kekeringan gusi, kecederaan urat, dan memastikan kuda tidak berjalan tempang. Semua ini diperiksa oleh doktor-doktor haiwan yang terlatih. Kuda yang tidak melepasi tahap pemeriksaan kesihatan ini akan dikeluarkan dari pertandingan dan dirawat. Di pendekan cerita, hanya kuda-kuda yang kuat, tegap dan sihat sahaja yang akan memenangi perlawanan ini. Ia bukanlah seperti perlawanan lumba kuda. Siapa dulu dia menang. Penunggang tidak dibenarkan memukul kuda dengan cemeti, tali kuda atau pun ranting kayu. Penunggang yang tidak patuh akan di ‘buang padang’. Mereka hanya menggunakan peha untuk menggerakan kuda. Untuk jarak 10 km sahaja penunggang perlu mengharungi tempoh masa satu hingga satu setengah jam. Sesetengah penunggang tidak dapat meneruskan ‘permainan’ ini kerana mengalami kekejangan peha atau pun keletihan. Pertandingan ini dimulakan selepas subuh ataupun bermula di waktu tengah malam. Permainan ini akan ‘selesai’ selepas ‘menamatkan’ ‘loop’ yang pelbagai rintangannya, samada daripada bentuk muka bumi atau pun cuaca yang tidak menentu sekarang. Kerana itu ‘gamaknya’ ia dipanggil pertandingan kuda lasak…….;)

Renungan: Kuda adalah binatang yang setia. Walaupun ia tercedera, sakit atau tempang ia akan tetap terus membawa penunggangnya selagi ia bernyawa. Adakah kita sesetia kuda.

Nota:
1. SPB YDP Agong Tunku Mizan Zainal Abidin penggemar kuda lasak akan ‘turun’ bertanding di Endurance Track Kg Permatang Seratus, Marang pada 2 Oktober 2008.
2. Rakyat Negeri Kelantan mempunyai 'hobi' membela pelbagai jenis kuda. Satu hari nanti diyakini Kelantan boleh menjadikan perusahaan penternakan kuda sebagai sumber ekonomi negeri.

Cakna = Ambil Tahu
Saro Baro = Sengsara

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails