Jan 29, 2009

Abang

Pagi semalam saya telah berkesempatan hadir di Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam disebuah sekolah menengah. Bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran kepada pelajar-pelajar yang ibubapa atau penjaganya berpendapatan kurang daripada RM1,000. Semoga bantuan ini mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibubapa berkenaan. Maklum sahaja perbelanjaan untuk pendidikan sekarang bukan murah, buku rujukan, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan memerlukan 'ongkos' yang terus meningkat.

Ketika berbual sambil menikmati jamuan di kantin, pengetua sekolah yang berusia 50 tahun itu tanpa silu mengaku dia anak seorang penarik beca roda tiga. Lebih miskin daripada ibu bapa yang menerima bantuan tadi. Miskin, sehinggakan untuk membayar yuran sekolah RM 3.00 ketika itu pun ‘ayahnya’ tidak mampu. Namun itu bukanlah noktah kepada cita-cita dan impiannya. Kesungguhan beliau berserta biasiswa yang diperolehi membolehkannya belajar hingga ke ‘menara gading’. Akhirnya berjaya menamatkan pelajaran dan dengan kelulusan yang ada berjaya pula menjawat jawatan sebagai guru. Selepas enam tahun bekerja ‘dia’ masih lagi menunggang motorsikal Honda CB 100 ke sekolah. Sedangkan rakan-rakan seangkatannya sudah lama memiliki ‘kereta baru’. Prinsipnya mudah, kejayaan adik beradik adalah keutamaannya. Dia tidak mahu melihat ‘ayah’nya ‘seorang’ terkial-kial' menanggung keperitan membesarkan dan menyekolahkan adik-adiknya. Hari ini ‘pengetua’ ini boleh tertawa dan gembira, kerana adik-adiknya turut berjaya sebagaimana kejayaan yang dia raeh.

Tidak kurang juga kekaguman saya kepada seorang kenalan, guru sekolah rendah yang telah bersara tujuh tahun yang lalu. Ketika bapanya meninggal dunia, ‘cikgu’ ini sudah pun berumah tangga dan mempunyai seorang ‘cahaya mata’. Isterinya pula seorang suri rumah sepenuh masa. Namun sebagai abang ‘sulung’, dia tetap cekal dan kuat semangat menjadi ‘galang ganti’ bapanya membesarkan tujuh lagi adik-beradiknya sehingga tamat pengajian dan sebilangannya sudah memiliki kerjaya profesyenal. Tidak hairanlah jika jasa dan ‘khidmatnya’ terus dikenang. Dua tahun lepas adik-beradiknya telah berpakat membelikan sebuah kereta baru sebagai hadiah kepadanya. Alangkah bahagia dunia persaraanya, bukan sahaja menikmati wang pencen, tetapi juga turut menerima ‘sumbangan’ adik-adiknya setiap bulan. 'Abang Long' yang menjadi ‘hero’ kepada keluarga besar itu.

Tidak ‘puas’ rasanya kalau tidak menyelitkan sedikit cerita ‘Mak Andak’ saya yang telah kehilangan suami pada tahun 1964 ketika berusia 35 tahun dengan lapan orang anak yang masih kecil. Mak Andak adalah adik ‘abah’ yang kelima daripada sepuluh orang adik beradik, enam lelaki, empat perempuan. Apatah lagi kehidupan selepas merdeka memang sukar. Mata pencarian hanya bergantung kepada kerja-kerja kampung, menoreh getah dan bersawah. Bersyukurlah ‘Mak Andak’ kerana mempunyai abang dan adik lelakinya yang telah meringankan beban dan kesusahan yang ditanggungnya. Seingat saya, ‘abah’ tidak pernah gagal setiap bulan menghantar gula, tepung dan beras, Pak Lang pula yang berkedai runcit, menyediakan keperluan dapur, Pak Anjang sebagai guru di Singapura mengirimkan wang sebagai perbelanjaan harian, begitu juga ‘Pak Cu’ yang baru bekerja sebagai ustaz menitipkan juga sedikit wang. Yang kurang mampu tetap juga menyumbang tenaga, masa dan fikiran. Sokongan dan bantuan adik beradik ini diberikan bertahun-tahun lamanya sehingga beberapa orang ‘sepupu’ saya tamat pengajian dan mula ‘bekerja’.

Semoga cerita saya kali ini menjadi ‘renungan’ kepada kita, yang kerap kali membaca cerita-cerita abang yang tidak bertanggungjawab, mendera dan tidak memperdulikan adik-beradik. Sebenarnya masih ramai diluar sana yang tetap prihatin kepada nasib adik beradik dan keluarga cuma tidak ‘heboh’, ibarat ‘penyu bertelur, menyelam diam ke dasar laut’.

Jan 26, 2009

TBC

Pagi ini baru saya ‘sempat’ (baca teringat) menghantar ucapan selamat Tahun Baru Cina kepada beberapa orang kenalan dari kaum Tionghua. Kaum yang terkenal rajin bekerja dan berusaha untuk memajukan diri sendiri dan masyarakat mereka. Bangsa Cina telah tersebar hampir keseluruh dunia. Hampir di semua negara yang mereka berhijrah akan ada Bandar Cina. Bangsa peniaga yang gigih. Tamaddun mereka sudah wujud ribuan tahun dahulu. “Tuntutlah ilmu sehingga ke Negeri China” merupakan hadis popular mengenai kewajiban menuntut ilmu. Mereka telah menjadi contoh teladan dan ‘kayu ukur’ terutamanya dalam pencapaian ekonomi kepada kaum-kaum lain di negara ini.

Tahun Baru China kali ini disambut pada Tahun Lembu atau Tahun Ji Chou. Tahun Lembu yang juga membawa maksud tersirat, perlu bekerja lebih kuat untuk mecapai hasilnya. Adakah maksud yang tersirat itu selari dengan ramalan dan jangkaan ekonomi dunia yang terus suram sehingga tahun 2011. Memanglah wajar kita terus bekerja kuat untuk menghadapinya. Ketika menonton Buletin Utama malam tadi ramai yang semakin terhimpit dengan suramnya ekonomi dunia sekarang. Satu pekerjaan sudah tidak mencukupi, terpaksa pula melakukan dua tiga kerja. Ramai juga yang sudah ditawarkan VSS malah berpuluh-puluh ribu lagi mungkin hilang pekerjaan. Langkah memberi atau cuti tanpa gaji untuk mengelakkan pembuangan kerja secara besar-besaran oleh sektor perkilangan perlu dipuji sebagai ‘tanggungjawab sosial’. Pada masa yang sama beribu-ribu lagi lagi akan keluar dari instiutusi pendidikan yang memerlukan pekerjaan, samada di peringkat menengah sehinggalah ke peringkat universiti.Apakah fenomena awal tahun 80an akan berlaku lagi. Fenomena meningkatnya pengganguran Saya tiada jawapannya.

Apa pun semenjak tinggal di Marang ini saya jarang berinteraksi dengan kaum Cina, kerana peratusan penduduk Cina amat kecil hanya lebih kurang satu ke dua peratus daripada 98,000 orang penduduk daerah ini. Mereka ramai tinggal di Pekan Wakaf Tapai, atau pun Pekan Bukit Payong. Di Bandar Marang boleh dikatakan hampir ‘zero’ penduduk Cina kecuali pengusaha Pasaraya Marang, sebuah bengkel aksesori kereta dan sebuah keluarga pekedai runcit di Kg Paya. Tiada lagi jiran-jiran Cina, sepertimana ketika saya tinggal di Kuala Pilah ataupun di Bukit Beruntung. Sehari sebelum ‘makan besar’ mereka selalunya datang ke rumah, menitipkan pemberian wajib buah limau serta ‘tit-bits’ seperti gula-gula, coklat dan kacang goreng. Begitu juga sebaliknya, setiap kali Id Fitri (sepatutnya setiap kali Awal Muharram), kami akan merebus ketupat dan membuat rendang untuk dihantar kerumah jiran-jiran Cina kami. Ada satu perkara yang saya pelajari. Semakin banyak yang kami beri, tahun hadapan semakin banyak pula ‘balasan’ yang kami ‘terima’. Mungkin budaya ini perlu ditiru, iaitu budaya suka’memberi lebih’ daripada budaya orang kita yang suka ‘menerima lebih’ :).

Jan 25, 2009

Mr Sugu

Jika bergunting saya akan pergi ke kedai gunting di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Kedai gunting ini diusahakan oleh sekumpulan anak-anak Melayu dan memang popular di bandar ini. Pelanggannnya tidak pernah putus dari pagi sehinggalah ke malam. Pelanggannya bukan sahaja dari Bandar Kuala Terengganu tetapi menjangkau sehingga ke Daerah Marang. Ramai yang datang bergunting di kedai ini kerana potongannya yang kemas dan mampu mengikut fesyen semasa. Golongan berusia macam saya tidak lah mementingkan fesyen. Cuma mahu kelihatan lebih kemas dan layanan yang mesra sahaja :)

Pada tahun 1988, saya telah bertukar dari Georgetown ke Kuala Pilah. Setiap kali saya berpindah ke tempat baru saya akan menghadapi masalah mencari kedai gunting yang sesuai. Bukanlah saya cerewet sangat, tetapi kepala saya yang mempunyai ‘pusar’ dihadapan, jika tersilap gunting, rambut akan tegak ‘tercacang’. Selepas bertukar satu dua kedai gunting, barulah saya menemui sebuah kedai gunting yang sesuai dengan citarasa saya, Kedai Gunting Sugu.

Selepas dua tahun berlanggan, Mr Sugu telah mengeluarkan notis kepada pelanggannya, bahawa mulai bulan hadapan kedainya akan berpindah ke Jalan Sungai Dua, menghala ke Pasar Besar Kuala Pilah.

“Kenapa pindah, Mr Sugu?”
“Biasalah encik, tuan punya kedai, dia mau renovate ini kedai, dia sendiri mau berniaga. Saya kena pindah,…. sewa juga, tapi ……sendiri jugak kena renovate, RM 10,000 jugak habis’

Di tempat baru, kedai Sugu tetap menjadi tumpuan utama penduduk Pekan Kuala Pilah. Mungkin kerana perkhidmatannya yang pantas, kerana setiap pelanggan yang bergunting hanya mengambil masa antara 15 ke 20 minit sahaja. Dia dibantu oleh seorang pekerja yang juga anak saudaranya. Dalam sehari tak kurang dari 20 hingga 30 orang pelanggan yang bergunting.. Selepas dua tahun di tempat baru, sekali lagi Sugu mengeluarkan notis untuk berpindah lagi.

“Sugu, tuan kedai mau ambil balik ke?
‘Tak adalah encik, saya pindah sendiri punya kedailah. Saya beli itu rumah kedai, tiga tingkat,…. tingkat satu, tingkat dua saya sewa pejabat jugak. Bawah…..saya punya kedai bagi dua sama itu kedai ‘pet shop’. Saya sewa atas RM 500, ….tingkat satu RM 800…. kedai bawah RM 800.00. Saya bayar bank RM 2,400 satu bulan. Tiga tahun jugak, lepas tu ada kurang sikitlah …..sampai habis bayar, 15 tahun.

Saya kagum dengan visi dan misi seorang tukang gunting yang bernama Mr Sugumaran itu. Kedai guntingnya mampu mengaut pendapatan kasar melebihi RM 150 sehari hanya dengan bayaran RM 6 ‘satu kepala’ atau lebih kurang RM 4,500 sebulan,. Mr Sugu telah mencipta kekayaan secara senyap. Beberapa tahun sebelum saya berpindah ke Kuala Lumpur, Mr Sugu sudah membuka satu lagi perniagaan makanan, ‘Restoren Daun Pisang’ yang diurus oleh isterinya. Sebelum itu dia juga sudah mampu memiliki sebuah rumah Semi-D yang luas kawasannya. Walaupun sudah lama saya tidak menemuinya, saya masih terbayang pancaran matanya yang bersemangat untuk berubah dari seorang tukang gunting biasa kepada seorang tukang gunting ‘luarbiasa’.

p/s Saya juga anak Tukang Gunting.

Jan 23, 2009

Peluang Hanya Sekali

Awal tahun ini saya telah didatangi oleh beberapa perkhabaran gembira. Mendapat ‘cucu baru’, dan pada hari yang sama mendapat perkhabaran kakak kandung saya telah dinaikan pangkat. Tahniahlah diucapkan kepada kakak saya yang jarak usianya empat tahun lebih tua daripada saya. Selepas berkhidmat hampir 29 tahun dia dinaikkan pangkat sebelum bersara empat tahun lagi. Bertukar dari Seremban ke JPJ di Putrajaya. Terpaksa sekali lagi ‘mengembara’ setiap pagi selepas bertahun-tahun pergi ke pejabat dibelakang rumah sahaja. Apa pun kenaikan pangkat adalah pengiktirafan kepada sumbangan perkhidmatan dan suatu petunjuk kemajuan dalam kerjaya.

Begitu juga yang berlaku kepada Busu Kassim yang telah dinaikkan pangkat dari Koperal kepada Sarjan. Busu Kassim adalah pemandu kepada Tan Sri Mohamad Salleh Ismael Ketua Polis Negara yang kedua. Dia dinaikkan pangkat ketika KPN ini akan bersara lebih kurang dua tahun lagi. Ini mungkin rekomen dari ‘big boss’ tadi sebagai menghargai sumbangan dan perkhidmatannya sepanjang bekerja dengannya. Dia telah ditukarkan ke Seremban, daerah kelahirannya. Kenaikan pangkatnya bukan sahaja dirasai kegembiraan oleh isteri dan anak-anaknya tetapi turut dikongsi oleh saudara mara dan orang kampung. Kerana sedikit sebanyak boleh juga ‘menolong’ jika ada ‘hal-hal’ yang berkaitan dengan pihak polis.

Genap setahun, beliau dinaikkan lagi ke pangkat Sarjan Mejar. Begitu cepat kenaikkan pangkat Busu Kassim. Inilah keistimewaan seseorang jika pernah bekerja dengan ‘big boss’ dan mempunyai prestasi perkhimatan yang baik pula. Kenaikkan pangkat ini telah menyebabkan ia perlu bertukar ke daerah lain. Malangnya Sarjan Kassim telah menolak tuah yang datang bergolek ini. Ia enggan menerima kenaikkan pangkat tersebut, kerana merasa baru sahaja berpindah dan masih seronok tinggal di Bandar Seremban. Apatah lagi penat berpindah belum lagi hilang. Pokok ubi kayu, keledek, kangkung, serai, cili api yang sedang subur menghijau tumbuh di belakang rumah belum puas lagi dituai hasilnya.

Ia bukanlah cerita pelik. Kerana ramai juga kawan-kawan saya yang menolak kenaikkan pangkat diakhir-akhir perkhidmatan kerana sudah merasa selesa. Berasa enggan meninggalkan rumah sendiri dan kembali menyewa atau duduk di kuarters. Jiran dan kenalan juga semakin ramai. Tidak naik pangkat pun mereka sudah merasa cukup bahagia. Mereka bilang, cukuplah dengan rezeki yang ada. Baguslah kalau begitulah hal dan keadaannya.

Tapi penolakan Sarjan Kassim, telah menjadi sejarah hitam buatnya. Apabila ‘big boss’ (KPN) bersara, ramailah sebelum ini yang menyimpan kuku sedikit demi sedikit mengeluarkan kuku yang sudah lama tersembunyi. Setiap kesilapan kecil dan tidak disengajakan telah diperbesar-besarkan. Mereka menanti-nanti dan mencari-cari kesilapan untuk menekankannya. Syurga telah menjadi neraka. Ketika itu barulah dia 'menyesal' bahawa adalah lebih selamat menerima kenaikkan pangkat tadi dan menjadi ‘bos kecil’ disebuah balai daripada terus menjadi orang nombor dua atau orang nombor tiga dalam cawangannya. Apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur. Walaupun yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang, tidak berguna juga jika kita tidak menghargainya. Peluang selalunya tidak datang ‘dua kali’.
Nota:
Gelaran Tun telah dianugerahkan kepada Allahyarham Tan Sri Mohamad Salleh selepas kematiannya.

Jan 20, 2009

Burung Apa..... Burung Muraiii

Abdul Muiz, ‘anak buah’ saya telah dikurniakan seorang anak perempuan yang comel seminggu yang lalu. Kelahiran seorang bayi melengkapkan lagi kemeriahan sebuah keluarga baru. Berkahwin dihujung tahun 2007 dan menimang cahaya mata diawal tahun 2009. Pasti seronok bagi seorang lelaki yang telah bergelar ‘ayah’. Pasti seronok juga buat seorang wanita yang sudah bergelar ‘ibu’. Berbulan-bulan mengandung, menahan jerih perih. Semakin hampir hari bersalin semakin rasa tidak selesa. Menahan kesakitan yang tidak terhingga terutama kelahiran sulong.

Saya sudah melalui kebimbangan dan juga doa yang panjang setiap kali isteri melahirkan ‘cahaya mata’. Kerana benih dan tanah yang subur, isteri saya bersalin setiap tahun, 1987, 1988, 1989, 1990 dan 1992. Lelaki, perempuan, lelaki, perempuan, lelaki. Kata orang ‘selang bunga’. Setiap yang lahir mempunyai ragam yang berbeza. Alongnya paling berat 3.5 kg dan terpaksa di‘forcep’, Angahnya kuat menangis, siang, malam, Alang, mudahnya bersalin, Aciknya terpaksa dibedah, begitu juga anak bongsu yang melalui ‘tingkap’ walaupun hanya seberat 2.8 kg sahaja.

Sudah 17 tahun saya tidak melalui detik yang cemas itu. Sudah 17 tahun juga saya tidak merasakan kegembiraan mendapat ‘cahaya mata’. Melahirkan anak setiap tahun serta melalui proses sukar, doktor telah menasihati kami cukuplah dengan ‘lima orang’ itu sahaja. Sibuknya kami ketika mereka kecil. Jarak yang begitu hampir menyebabkan kami ada dua buaian untuk ‘melenakan’ mereka. Setiap malam hampir lima tahun lamanya kami terpaksa lebih berjaga dari tidur, kerana jadual menyusu yang rapat. Belum lagi dikira mereka merengek kerana ‘basah’. Waktu itu ‘pampers’ belum popular, kalau ada pun harganya mahal. Guna lampin yang diikat menggunakan ‘pin besar bewarna biru’. Kalau terlalu mengantuk kadang-kadang tercucuk pula ke perut mereka. Gemparlah sekejap malam itu. Belum lagi jika mengalami sakit demam. Ada yang perlu diasingkan supaya tidak berjangkit. Jika pergi ke klinik terpaksa semuanya kena dibawa. Hua, Hua, Hua.

Melihat mereka membesar, satu keseronokan yang tak dapat diceritakan. Mula dengan senyum dan gelak kecil, meniarap, merangkak, duduk, berdiri, berjalan dan berlari. Lebih seronok apabila mereka sudah mula pandai bercakap, tit,tot,tit,tot.. Besar lagi sedikit mereka sudah pandai menyoal dan menyoal lagi… ‘Burung apa ?,……Burung Murai, burung apa? …Burung murai…burung apa?..... Burung Muraiiiiii……….…..

Tahniahlah kepada Abdul Muiz yang telah bergelar ayah dan isterinya yang bergelar ibu. Tahniah juga kepada pasangan suami isteri yang telah berkahwin dan kemudian dikurniakan Allah ‘anugerah’ yang tidak ternilai harganya itu. Kerana ramai juga sahabat-sahabat saya yang sudah melebihi 20 tahun berkahwin masih belum mempunyai anak. Ada juga yang telah mengambil anak angkat dari adik beradik, saudara mara, atau pun daripada Rumah Kebajikan. Apa boleh buat rezeki mereka tiada disitu. Apapun tak lupa juga untuk mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana mendapat ‘cucu baru’. :)

Jan 18, 2009

Pemimpin Pilihan

Pemimpin sudah dipilih. PAS sudah menang dan BN tewas lagi selepas tumpas di Permatang Pauh. Kuala Terengganu tetap menjadi kenangan manis dan pahit kepada penyokong kedua-dua belah pihak. Penyokong PAS yang kembali dari ‘medan juang’ pulang dengan meriah mengibarkan 'bendera kemenangan' sepanjang jalan. Namun syabas kepada kedua-dua parti yang telah mengharungi pilihanraya ini dengan aman dan lancar Jika ada sorak menyorak pun adalah sorakan untuk meraih pengundi. Pilihanraya Kuala Terengganu cerminan kematangan amalan demokrasi yang sepatutnya terus dipupuk.

Pengundi sudah pun memilih. Pilihan majoriti lebih kepada calon PAS. Mereka mencari ciri-ciri pemimpin yang bukan sahaja boleh membawa suara dan mandat mereka tetapi juga yang senang dimata dan senang juga dihati mereka. Lalu terbayang saya kepada pemimpin-pemimpin yang hebat sebelum ini seperti Umar, Ali, Abu Bakar, Khalid Al-Walid dan ratusan lagi pemimpin yang mempunyai kekuatan diri sehingga mampu membawa perubahan bukan sahaja kepada kelompok mereka tetapi juga menjadi teladan dan ikutan masyarakat terbanyak ratusan tahun lamanya.

Seorang pemimpin yang turut saya kagumi ialah Mahatma Ghandi. Pejuang kemerdekaan India yang berjuang tanpa tumpah darah. Pemimpin yang sederhana kehidupannya. Menaiki keretapi kelas tiga. Ketika ditanya kenapa menaiki keretapi kelas tiga, tanpa bangga diri beliau menjawab ‘kerana tiada kelas empat’. Kehidupannya begitu sederhana dan tidak meninggalkan banyak harta ketika kematiannya. Apapun tentulah tiada galang gantinya dengan kesederhanaan junjungan Rasulullah saw. Rasulullah s.a.w. pernah sekali menyandarkan diri atas tali jut sehingga belakang badannya berbalur-balur dengan kesan yang dalam akibat daripada tali tersebut. Sahabat karib Rasulullah, Umar Al-Khattab berkata dengan sedih: "Ya Rasulullah, Pemerintah yang disanjung tinggi! Pesuruh Allah! Raja-Raja Parsi dan Rom hidup selesa dengan melenakan diri atas tilam serba selesa dan bergembira dengan segala kemewahan, manakala anda yang disanjung tinggi hidup seperti seorang miskin?"

Jawab baginda, "Mereka semua sayangkan dunia. Bagi mereka segala-galanya di dunia ini. Sedangkan kita mendambakan dunia yang satu lagi…….

Pemimpin bukan sepatutnya dikenali dengan menaiki kereta besar dengan nombor kecil, rumah besar dengan isteri cantik, tetapi daripada kesederhanaan perwatakan, pertuturan, tingkah laku, pergaulan dan pemikiran.
Kerana itu pesanan pantun Melayu mengenai pemilihan pemimpin ialah................
Pilih-pilih tempat mandi
Pertama Teluk kedua pantai
Pilih-pilih tempat menjadi
Pertama elok, kedua pandai
Begitulah pesanan orang tua-tua Melayu, mementingkan yang elok dahulu dari yang pandai. Fikir-fikirkanlah.

Jan 10, 2009

Lapor Diri


Selepas ‘menggantung’ jari hampir dua minggu saya ‘melapor diri’ semula di ‘Blog Biso Bonar’ . Melapor diri ketika usia sudah selayaknya menyambut Jubli Emas mengikut kiraan tahun Hijrah. Saya hanya berdoa kepada Allah, semoga dikurniakan kesihatan yang baik, janganlah ditimpakan penyakit-penyakit yang kronik dan pelik-pelik, dimurahkan rezeki, keberkatan umur, keluarga yang bahagia. Begitu juga doa saya kepada kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai, muslimin dan muslimat seluruhnya. Semoga hari-hari mendatang kita dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta negara yang aman dan makmur. Berdoa juga semoga anak-anak saya yang sedang bertungkus lumus belajar akhirnya akan mencapai cita-cita dan impian mereka.

Tiada aktiviti ‘hebat’ sempena ‘Jubli Emas’ ini. Semalam saya hanya bersolat Jumaat di Masjid Hiliran, Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Masjid yang telah dibina pada tahun 1926, oleh seorang kaya bernama Haji Muhammad atau dikenali sebagai Haji Muhammad Kaya. Masjid dua tingkat ini masih kukuh. Artifaknya dan senibinanya bersendikan senibina Melayu Terengganu yang teliti dan halus. Kayu binaannya diambil dari pokok cengal yang terkenal bagus mutu dan ketahanannya. Masjid ini juga antara yang tertua di Terengganu, selain daripada Masjid Sultan Zainal Abidin atau digelar ‘Masjid Putih’ berhampiran Istana Maziah atau pun Masjid Kg Tok Ku berhampiran Cabang Tiga yang dibina lebih awal lagi iaitu pada tahun 1847.

Pada malam tadi saya sudah berkira-kira untuk ‘belanja’ isteri saya di Kopi O Bistro di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu. Restoren ‘harga patut’ ini baru sahaja beroperasi. Menunya agak simple tapi ‘menyelerakan’. Sudah lama kami tidak makan berdua. Sibuk sangat seminggu dua ini. Elok juga sesekali kami makan berdua diluar. Makan ‘rojak buah’ atau sepinggan Char Kuey Teow Penang, atau pun semangkuk Mushroom Soup dengan secawan kopi O yang enak rasanya. Itu sahajalah aktiviti sambutan ringkas hari lahir saya. Tanpa kek dan lilin. Namun apakan daya, ada urusan yang tak dapat ditangguhkan malam tadi. Mencuba sekali lagi malam ini. Moga-moga tiada aral.:)


Apapun permulaan tahun 2009 bermula dengan peristiwa berdarah. Gaza diserang oleh Israel. Beratus-ratus rakyat Palestine tercedera dan terbunuh. Dunia membantah, tapi Israel terus menyerang. Mereka menghujani bumi Palestine dengan ribuan serangan bom. Setiap minit mereka ketakutan. Bom disasar tanpa mengira tuju arah, hospital, sekolah, masjid, rumah dan rumah kedai. Israel menjadikan bumi Gaza sebagai medan ujian senjata tanpa rasa bersalah. Dunia Arab hanya melihat. Peperangan Arab-Israel telah menyaksikan mereka terus kalah, 1948, 1956, 1967 dan terakhir Perang Yom Kipur tahun 1973, dibawah pakatan Anwar Sadat, negara Mesir dan Syria menyerang Israel tetapi tewas dengan kehilangan sebahagian besar wilayah Arab. Kini tiada lagi pakatan bersama untuk menyerang Israel. Mereka takut dimalukan lagi. Dalam menghadapi serangan itu, Hamas dan Fatah masih lagi tidak bersatu. Sedangkan Tuhan mereka satu, Rasul mereka satu, agama mereka satu, bangsa mereka satu, tapi masih rela berqabilah-qabilah, berpuak-puak dan bersuku-suku.

Ketika di bumi Gaza penduduk Palestine ‘bercempera’ ketakutan di bom oleh jet-jet rejim Yahudi. Di bumi Terengganu juga sedang hebat berlangsung ‘perang’. Perang Pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu. Antara warna hijau dan biru. Jika mereka penyokong fanatik parti hijau, maka segala-galanya hijau. Masjid, surau dan rumah boleh dicat hijau. Hijau keretanya, motornya, tudungnya sehingalah keserbannya. Jika mereka fanatik parti biru, biru juga motornya, biru juga keretanya, baju,dan tudungnya. Melalui warna mereka boleh ditentukan penyokong parti mana. Sehinggakan kenduri kendaranya pun, air sirapnya berwarna hijau, walaupun belum pernah saya jumpa air sirap berwarna biru…. Begitulah warna-warni di Kuala Terengganu sekarang ini. Mustaffa Ali pula sudah menyatakan UMNO itu Fatah dan Hamas itu PAS. Lalu teruslah kita berqabilah dan bersuku-suku, walaupun Allah itu satu, Rasul itu satu dan agama itu satu……..


p/s Solat Hajat selepas solat Jumaat di Masjid Hiliran semalam untuk mendoakan kemenangan perjuangan Hamas di bumi Palestine pun tak ramai. Masih layakkah kita bercakap mengenai jihad dan perjuangan Islam…..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails