Feb 27, 2009

Bulan Dakwah


‘Bersolatlah. Masalah tuan puan akan selesai. Jagalah waktu solat tuan puan, pasti masalah tuan puan akan selesai. Hari ini adalah zaman generasi yang ramai tidak solat. Kerana itu banyak mat rempit, banyak juga mat rempuh. Hari ini juga zaman generasi yang tidak menjaga waktu solat. Kerana itu banyak masalah. Waktu zuhur pukul 1.23 petang, kita solat pukul 3.21 petang. Solat subuh pukul 6.07 pagi kita solat 7.06 pagi. Bagaimana masalah kita hendak selesai jika solat kita tidak sempurna dan selesai”.

“Lihatlah sejarah solat, bermula dari Nabi Adam solat dua rakaat diwaktu bumi masih gelap gelemat. Tak lama lepas tu matahari muncul, dan itulah solat subuh yang pertama dan Adam mendapat pengampunan. Nabi Ibrahim bersolat empat rakaat ketika tergelincirnya matahari sebelum menyembelih Nabi Ismail seperti yang diperintahkan Allah. Nabi Ismail akhirnya digantikan dengan seekor kibas. Itulah solat Zuhur. Begitu juga Nabi Yunus yang solat empat rakaat selepas keluar dari perut ikan paus. Kemudian berjaya dalam dakwahnya. Itulah solat asar. Begitu juga solat tiga rakaat oleh Nabi Isa yang dikepung oleh kaumnya, selepas solat tiga rakaat (solat Maghrib) ia diangkat ke langit. Solat Isya’ oleh Nabi Musa apabila ia tersesat di padang pasir. Selepas solat, Nabi Musa melihat ada cahaya dihujung padang pasir dan dia mendapat jalan keluar. Inilah bukti apabila mendirikan solat, selesai masalah-masalah yang mereka hadapi”.

Begitulah sedutan ceramah seorang ustaz di Seminar Kecemerlangan Diri sempena Bulan Dakwah yang sedang berlangsung sekarang. Banyak perkara yang dikupas, dari kesempurnaan solat sehinggalah kepada integriti, amanah, dan tanggungjawab kepada kerja, rumah tangga, pendidikan anak-anak, hubungan jiran tetangga, kesempurnaan dan kebahagiaan seorang muslimin dan muslimat. Sebahagiannya telah memberi motivasi dan iltizam baru kepada saya yang kurang ilmu dan amal ini. Sebahagiannya menjadi sempadan dan teladan. Begitu juga ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan untuk kita terus bermuhasabah........

Surah An-Nisaa’ Ayat 103 "Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya."

Feb 23, 2009

Ginchu Sikit Dha....

Saya kurang menyedari kehadiran dia. Tahun lepas hanya beberapa kali saya terserempak dengannya. Bermuka cekung. Bertubuh kecil dengan ketinggian sederhana. Beg kecil sentiasa tersandang dibahu. Berpakaian lusuh. Penyendiri. Sesekali dia singgah di Kedai Semah, berhampiran tugu ‘Sotong Udang’ mercu tanda Bandar Marang. Dia sering menulis beberapa kajang kertas di atas meja. Selepas menikmati secawan kopi ia akan menghilangkan diri dengan pantas. Kertas-kertas yang ditulisnya akan di tinggal begitu sahaja.

Mohd bin Johan, itulah nama yang ditulis dalam setiap kajang suratnya. Bekas seorang jurutera kapal. Hilang keseimbangan pemikiran dan kemudian berhenti kerja. Mungkin juga dibuang. Dengarnya dulu ‘jurutera’ ini hidup normal. Memiliki segala-galanya, keluarga bahagia, rumah dan juga kereta mewah. Coretannya sarat dengan istilah kejuruteraan. Catatan projek-projek syarikat perkapalan yang bernilai berjuta-juta ringgit. Pelbagai juga nama syarikatnya. Kadang-kadang dia meletakkan dirinya sebagai Ketua Jurutera. Ada ketika sebagai konsultan . Ada ketika sebagai pengurus projek.

Teringat juga saya kepada ‘Sarip’ lelaki kurang siuman di pekan Kuala Sawah. Ketika itu saya masih lagi bersekolah menengah. Setiap pagi dia akan ‘berceramah’. Ada ketika dia mencarut, memaki-maki dan jika keletihan dia akan duduk di atas batu sempadan di tengah bulatan kecil simpang tiga Rantau-Kuala Sawah-Seremban itu. Ada ketika dia menjadi sangat patriotik apabila menyanyikan Lagu Negara Ku dengan suara lantangnya. Berdiri tegak bagai tentera dan tangan kanannya terdepang 45 darjah ke udara. Tidak menganggu orang. Jika ‘angin gilanya’ terlebih ‘pasang’ dia akan menyelongkar tong sampah di pasar dan membaham ‘buah-buahan busuk yang terbuang’. Ada ketika dia hilang seketika. Khabarnya dihantar ke Tanjung Rambutan. Beberapa bulan kemudian dia kembali semula di pekan kecil yang lesu itu. Kembali dengan keadaan baik. Mampu minum-minum dan berbual di Kedai Kopi Kannan. Tapi itu hanyalah sementara, Sarip akan tetap kembali berputar-putar dan berceramah di batu sempadan bulatan kecil simpang tiga itu.

Kembali saya membaca surat yang ditulis oleh Mohd bin Johan. Kali ini dia tidak menulis pasal enjin kapal. Bukan juga pasal syarikat niaga. Bukan juga pasal projek mega. Tapi sehelai kertas cinta. Tulisnya, …..dia akan pulang ke rumah menemui isteri dan anak-anaknya. Menarik di hujung surat itu, nada romantik “Ginchu Sikit Dha……. Abang Nak Balik Chium Dha.”.

p/s Ketika ekonomi merudum pada tahun 1997, statistik menunjukkan meningkatnya kes-kes orang kurang siuman. Bagaimana pula selepas ini kerana ekonomi juga kelihatan semakin ‘meredup’.

Feb 21, 2009

Masa Itu Tetap Tiba


Tahun 2009 baru sahaja bermula. Bulan Februari belum lagi sampai ke penghujungnya. Namun pagi tadi saya telah menerima empat sms dengan ‘isi’ yang sama. Kembalinya seorang lagi seorang rakan seperjuangan di Sik Kedah ke alam baqa. Al Fatihah.

Hampir saban tahun saya telah kehilangan seorang demi seorang rakan-rakan setugas. Ada yang pernah sama-sama melangkah masuk ke dunia pekerjaan. Ada yang pernah sama-sama berkursus, ada yang pernah sama-sama bekerja dalam satu pejabat, satu bangunan, satu daerah atau pun satu negeri.

Sesekali menoleh ke belakang ‘tersedar’ saya telah kehilangan ramai rakan setugas. Turut juga sedar bahawa umur saya telah berganjak dari satu sempadan ke satu sempadan usia yang semakin hampir kepada noktahnya.

Semoga rakan taulan, saudara mara, ibu-bapa, muslimin dan muslimat yang telah mendahului kita tergolong dalam golongan yang diberi keampunan dan kerahmatan Allah. Amin.

p/s Rakan saya bukan wakil rakyat kalau tidak ‘meriah’ lagilah suasana politik negara.

Feb 19, 2009

Tak Makan Ke?



Selesai saja menghadiri majlis ringkas penyampaian komputer di Pejabat Daerah Marang kelmarin kami telah menikmati hidangan tengahari yang menyelerakan. Lauk-pauknya memang mengecarkan air liur, udang masak sambal, kepala ikan, ikan tenggiri masak lemak, ikan bakar, sayur kacang campur hati, ulaman, buah-buahan selain sambal Terengganu yang enak itu.

“Eh tak ambil lauk ke Li ?” pelawa ‘tuan pejabat’.
“Saya tak makan ikan tuan”
“Ikan lah sedap Li, saya kalau jumpa ikan segar di ‘pasar gharib’ saya beli tak kiralah berapa harganya. Walaupun orang kata ikan Terengganu mahal, tapi rasanya hmmmm.”

Sejak kecil saya sudah tidak ‘menjamah’ masakan ikan. Bagaimana sedap sekali pun rupa dan rasanya. Mungkin terpengaruh dengan ‘dongeng’ masa kecil bahawa ‘berudu katak’ itu sebahagiannya membesar dan menjadi ikan.

Walaupun saya tak ‘makan’ ikan tapi saya tetap ‘berahi’ makan berulam, petai, kerdas, jering, ulam raja, pucuk ubi, tempoyak, budu, jeruk binjai, gulai pisang, rebung, maman jeruk…………… Saya tetap mudah mencuba makanan baru, ada yang terus menjadi kegemaran saya dan ada juga yang tidak. Malangnya isteri saya pula tidak berminat dengan makanan yang eksotik ini. Oleh kerana selera kami yang berbeza-beza, maka selalunya hidangan kami terhad kepada lauk pauk yang biasa-biasa sahaja, ayam, daging, udang, telur, ketam, kerang, sayuran biasa, kobis, bayam,kangkung, sawi dan kailan. Sesekali menu kami berubah juga, itu pun jika adik beradik kami datang dari kampung :)

Perbezaan selera menyebabkan anak-anak kami menjadi ‘mangsanya’. Lingkaran makanan mereka ‘tidak kaya’. Sebahagiannya bukan sahaja tidak makan ikan, tetapi juga sudah tidak makan apa yang saya sukai tadi. Mereka sudah lebih terarah kepada makanan barat, spaghetti, burger, pizza, hot dog, ayam goreng tepung, bistik, aiskrim............... Malahan mereka lebih ‘mencandui’ untuk makan di KFC, Mc D, Pizza Hut dari Restoren Nasi Padang, Restoren Melayu atau Kedai Kopi biasa.
Yang sudah lama teringin nak makan daging salai masak cili padi campur pucuk ubi ialah.......Pok Li :(
Nota:
Pasar Gharib - Pasar Terbuka yang dibuka waktu petang hingga hampir maghrib.
Berahi : suka

Feb 16, 2009

Pemburu Serigala


Saya hadir kemajlis itu ketika dia sudah hampir ke penghujung ceramahnya. Siapapun tidak akan menyangka bahawa ‘ustaz’ dari pengajian pondok di sempadan Kelantan Terengganu ini seorang bekas penagih dadah. Kefasihannya menuturkan kalimah Allah, berjanggut, berwajah bersih, lembut tutur katanya bagaikan dia tidak pernah terpalit dengan noda hitam itu. Lima belas tahun dia berada dalam dunia gelap. Lokap, pusat serenti, penjara sudah menjadi ‘kain basahan’ kehidupannya. Dia menjadi anjing kurap, diumpat, dinista, dicurigai , dibenci sebagai ‘sampah hidup’. Tetapi apabila datang taufik, hidayah dan inayah dari Ilahi, ‘bapak penyamun’ sekali pun seperti kisah perjalanan Syeikh Kadir Jailani, atau siapa pun akan tersungkur juga kembali kepada kepada fitrahnya insan.

Ustaz ‘pondok’ ini telah dijemput sebagai penceramah kepada golongan belia dan remaja. Memberi peringatan kepada mereka supaya tidak terlibat dalam kancah dadah. Kerana sekali terkena ‘getahnya’ bukan mudah untuk terlepas. Amat bernasib baik kalau ‘terlepas’, kerana jumlahnya amat sedikit dan tidak sampai pun sepuluh peratus. Selebihnya terus terikat hingga nyawa sampai ke tengggorok. Bukan mudah untuk pulih, kembali bahagia dan ceria. Beristeri dan mempunyai zuriat seperti ustaz ‘Din’ ini.

Pesanan ustaz ‘Din” diakhir ceramahnya;

“Janganlah adik-adik menjadi seperti serigala di kutub utara. Tertipu dengan darah yang dibalut ke mata lembing yang tajam. Pemburu eskimo di Kutub Utara, apabila mereka ingin memburu serigala, mereka akan mengasah lembing setajam-tajamnya, selepas puas hati, lembing tajam tadi dicelup ke dalam darah segar dan dibiarkan beku dalam udara sejuk dibawah 0 Celcius. Lembing tadi di pacak di dataran ais yang luas….….. menunggu sekawanan serigala. Deria yang tajam akan ‘menarik’ sekawanan serigala menjilat lembing berdarah ini. Serigala ini bergilir-gilir menjilat,….. menjilat….menjilat sehingga yang tinggal hanya mata lembing yang tajam. Mereka semakin asyik menjilat. Kerana darah beku sudah bertukar kepada darah segar. Sedangkan mereka tidak sedar darah segar itu datang dari lidah-lidah mereka yang telah luka. Akhirnya satu persatu serigala itu tumbang kerana lidah mereka telah terpotong”.

Begitulah kematian sekawanan serigala liar. Bukan kerana ditembak, diburu atau ditikam, tetapi kerana asyik dengan keseronokan yang sebenarnya perangkap pemburu yang licik. Analogi yang menarik antara serigala dan penagih. Terima kasih Ustaz.


Nota:

Terengganu mencatat bilangan penagih dadah yang kedua terendah selepas Labuan dengan 127 orang daripada keseluruhan 14,489 penagih yang dikesan di seluruh negara sepanjang tahun 2008. Bilangan penagih dadah tertinggi dikesan adalah di Pulau Pinang seramai 3,433 orang diikuti Johor (2,329) Kuala Lumpur (1,756), Kedah (1,604) dan Selangor (1,409).

Feb 12, 2009

Dunia Blog


Rasanya masih terlalu awal untuk blog ‘Biso Bonar’ menerima award ‘Interesting Blog 2009’. Tahun 2009 masih lagi berbaki sepuluh bulan. Dalam tempoh tersebut saya tidak dapat meramal masih adakah cerita-cerita yang menarik. Apa pun terima kasih kepada Tirana, daripada ‘berdozen-dozen blog’ yang menjadi pengikutnya atau di paut dengan blog ‘The Precious Moment’, dia telah memilih beberapa blog untuk menerima award ini. Terima kasih sekali lagi.

Adakah blog saya benar-benar menarik, tentulah bukan saya yang layak mengukurnya. Saya juga bukan penganalisis blog seperti blogger etomyam yang bukan sahaja mampu membuat penilaian terhadap ‘kandungan’ tetapi juga mengenai aksesori blog dan pelbagai lagi perincian yang ‘kedengaran’ teknikal. Begitu juga saya tidak mampu untuk memberi tip-tip yang membolehkan blog ‘ciptaan’ kita dikunjungi dan digemari ramai. Jauh sama sekali untuk menyaingi dan ‘terdaya’ untuk menandingi blog popular seperti Blog Che Det, Blog The Scribe Kadir Jasin, Kuda Kepang, dan Minda Tajdid. Sekadar beberapa nama dan ratusan lagi blog Malaysia yang mempunyai jutaan pengunjung dan ribuan ‘pengikut’ setia. Setiap entrinya ditunggu-tunggu, ulasannya dinanti-nantikan. Mereka juga ‘menagih’ ulasan-ulasan dari blogger tersebut berkaitan hal-hal politik, ekonomi, sosial dan agama. Mereka ibarat pemegang tali pinggang hitam tahap sembilan Dan..

Lima bulan berblog, saya telah meniti dari satu blog ke satu blog lain yang sebahagiannya telah saya pautkan ke blog “Biso Bonar’. Saya juga telah menemui banyak blog-blog yang menarik. Ada yang lucu seperti blogger Rahimin Idris, ada yang begitu ‘istiqamah’ seperti Tirana, punyai pelbagai photo yang eksotik seperti en_me, cerita dunia ‘orang muda’ di kotaraya (Razor), Ustaz yang menyemai nilai agama dalam blognya (Habiha69) dunia pelaburan (Razman Razali), yang puitis (Aiman). Dunia pendidikan (Rahisam Ramli ). Kehidupan diluar negara ( AzD). Malahan puluhan lagi blog yang dipautkan ke blog ini mempunyai keistimewaan, pandangan, perspektif dan ideologi berbeza yang menarik belaka. Tidak terkecuali juga menemui blog yang tenggelam timbul, hilang jejak begitu sahaja ataupun blogger yang kerap menukar-nukar blog.

Dalam tempoh lima bulan juga sudah puluhan cerita yang dinukilkan berdasarkan pengalaman sendiri, pengalaman orang lain dan cerita-cerita seharian. Ada ketikanya saya menulis dengan pantas. Ada juga di tulis berjam-jam lamanya. Ada juga ditulis dan disiarkan beberapa hari kemudian. Ada yang tidak disiarkan langsung. Ada yang lucu dan saya ketawa sendirian. Ada juga entri yang sedih, ditulis dalam rasa sebak dan mengalirkan airmata. Saya percaya setiap entri mempunyai semangatnya sendiri. Ada yang dirasakan menarik, tiada komen. Ada juga entri kelihatan biasa-biasa sahaja tapi mencungkil nostalgia pengunjung dan mendapat komen yang pelbagai dan merangsang minda saya. Itulah dunia blog.

Pengikut blog saya juga bertambah dari bulan ke bulan.. Tidak ramai tetapi natijahnya penulisan yang santai dan ‘suka-suka’ ini telah bertukar kepada tugasan ‘rutin’ yang perlu digarap sebaik mungkin. Setiap tiga atau empat hari saya ‘berusaha’ menyiarkan satu entri baru, kecuali waktu-waktu sibuk. Mungkin saya telah ditakdirkan menjadi sebahagian ‘penduduk maya’ dari alam kehidupan sebenar. Terima kasih kepada semua rakan-rakan blogger, pengikut setia blog ‘Biso Bonar’, pengunjung yang datang dan pergi, ‘pembaca senyap’ serta rakan-rakan di alam nyata yang sentiasa memberi komen dan semangat untuk terus menulis, walaupun angin jemu, malas, beku dan kaku itu kadang-kadang datang juga tanpa mengira waktu.………………………………….

Feb 9, 2009

Tanah Serendah Sekebun Bunga

Pertama kali saya menjejak kaki ke Kota Bharu ialah pada tahun 1984. Masih bujang tapi sudah bertunang. Ke Kelantan mengikut kawan dan menyambut Hari Raya Korban di kampungnya di Palekbang. Hari Raya ke tiga menyeberangi Sungai Kelantan ke Bandar Kota Bharu dan membeli ‘kain songket’ untuk persiapan perkahwinan saya. Sudah hampir terlupa sama sekali wajah Kota Bharu yang saya ‘temui’ dahulu. Dua puluh lima tahun bukan waktu yang singkat. Seorang bayi seusia itu sudah besar ‘berdiri’ sekarang.

Minggu lepas sekali lagi saya ke Kota Bharu. Dari Marang ke Kota Bharu jaraknya hanya 193 km. Sekali lagi saya berdiri di tepi sungai Kelantan dan bermalam di sebuah hotel ditepi sungai ini. Mengingati nostalgia lama menaiki perahu penambang dari Palekbang ke Kota Bharu. Bezanya saya bukan ‘bujang’ lagi tapi sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang sudah besar. ‘Songket’perkahwinan saya juga telah ‘lupus’ ditelan masa.

Kota Bharu sudah berwajah baru dicelah-celah ‘calitan’ wajah lama. Bertandang bersama isteri dan ‘meronda’ ke Pasar Siti Khadijah, Pasar Buluh Kubu, Pasar Wakaf Che Yeh, KB Mall dan Pantai Cahaya Bulan. Menikmati juadah pantai timur yang enak dan manis-manis. Tak lupa juga nasi goreng yang ‘wow’ rasanya di KB Kopitiam. Membeli beberapa helai baju untuk dibawa pulang tanpa lupa sebotol budu cap ‘mahkota’:).

Pulang ke Marang melalui jalan pantai, Tok Bali, Kuala Besut, Rhu Sepuluh, Batu Rakit menghala pantas ke Kuala Terengganu. Perjalanan yang santai meredah petang yang panas, sepanas pergolakkan politik di Perak yang bergelojak….. puuuhhhhhh…. yang 10 bulan dahulu berlaku juga di Terengganu. Sejarah sering berulang, ulangannya mungkin cepat mungkin juga lambat. Apa pun saya telah menjejaki sejarah ‘silam’ di Kota Bharu :)

Feb 4, 2009

Sedikit-Sedikit Lama-Lama Jadi Bukit

Sabda Rasullullah s.a.w, mafhumnya, “Didorong atas kamu ialah perniagaan kerana sumber di dalamnya terdapat sembilan persepuluh daripada rezeki’.

Begitulah hakikatnya, perniagaan adalah sebesar-besar sumber rezeki. Tetapi tidak ramai yang mengambil maksud hadis tersebut sebagai ‘motivasi’ diri untuk tercebur dalam dunia tersebut. Jika betul cara mengendalikan perniagaan bukan sahaja boleh membawa laba tetapi boleh pula diwariskan sehingga ke anak cucu.

Hawa bukanlah nama asing di Bandar Marang ini. Jika ada jamuan keluarga, jamuan di pejabat-pejabat atau ‘Rumah Terbuka’. Katerer Hawa menjadi pilihan No.1. Saya hanya mengenali Hawa selepas bertukar enam bulan ke Marang. Seorang wanita separuh baya, berperawakan menarik, ramah dan iras wajahnya memang cocok sebagai seorang peniaga.

Bermula dari seorang peniaga kecil, bertatih, berjalan dan kini sudah pun berlari. Kejayaannya bukan dibina semalaman. Pasti ada cerita sukar dan gagal sebelum sampai ke tahap sekarang. Biarlah itu menjadi sejarah yang dia simpan sendiri. Satu perkara yang menarik dia ‘istiqamah’ dengan prinsip perniagaannya;

“ Kak Hawa, ambil untung 40 peratus sahaja’, jangan lebih-lebih, biar untung kecil tak apa, janji pelanggan puas hati. Keutamaan Kak Hawa kena jaga tuan rumah, kalau jemputan ramai, makanan tak cukup, malulah tuan rumah’.

“ Kalau Kak Hawa dapat tiga empat kali kontrak dari pelanggan yang sama, mungkin kali kelima tu Kak Hawa tambahlah satu atau dua menu makanan, Kak Hawa kira sedekah lah tu, boleh untung lagi, he, he he.. Pelanggan kita pun suka, kita pun puas hati, esok dia cari kita juga”.

Mungkin itu satu dua petua utama resepi kejayaannya. Namun daripada pemerhatian saya kekemasan mengatur hidangan, waktu yang tepat, masakan yang sedap dan mempunyai pekerja yang cekap dan terlatih, tidak pernah menolak untuk menambah satu dua hidangan disaat akhir adalah ‘pakej’ lengkapnya sebagai ‘katerer’ yang berjaya. Kerana itu tidak hairan jika dia sentiasa ‘tidak menang tangan’ menerima tempahan dari hanya beberapa ratus ringgit hinggalah ke skala besar melibatkan ratusan ribu ringgit. Jika saya masih tinggal ‘lama’ lagi di Marang pasti saya akan sempat melihat ‘impiannya’ untuk mengendalikan ‘Food Court’ di ‘tengah-tengah’ Bandar Marang ini. Malah saya turut percaya amalan ‘untung kecil, bersedekah lebih”, jika diamalkan oleh peniaga-peniaga makanan, tentulah kita tidak merasa ‘tercekik’ sewaktu membayar makanan yang kita nikmati di gerai atau restoren. Seperkara lagi, jika bercuti di Terengganu boleh juga singgah dan menginap di Chalet Marang Village Resort yang turut ada SPA itu. Jika bernasib baik mungkin disambut oleh ‘Kak Hawa’ yang juga pemilik chalet ini…….:)

Feb 1, 2009

Kuala Lumpur Ibu Negeri


Anaklah Bilal dari Mentakab
Pergi ke Johor buat kenduri
Cik Ramlee soal mudah dijawab
Kuala Lumpur Ibu Negeri

Tajuk posting saya kali ini mengambil lirik terakhir dari lagu Joget Malaysia, ciptaan, gubahan dan nyanyian Biduan Negara P.Ramlee bersama Saloma. Seorang anak seni yang mengalami ‘zaman suramnya’ apabila berpindah dari Jalan Ampas, Singapura ke Kuala Lumpur. Namun begitu selepas kematiannya P.Ramlee telah dinobatkan sebagai anak seni yang genius dan diberi penghormatan gelaran Tan Sri.

Kuala Lumpur bukan asing kepada saya, hanya 80 km jauhnya dari kampung kelahiran saya. Sejak kecil saya sudah terbiasa dengan nama Kuala Lumpur. Setiap kali ‘abah’ pulang dari Kuala Lumpur pasti akan pulang bersama ‘Sate Kajang’. Begitu juga di sekolah rendah lagi saya sudah terbiasa mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Destinasi paling popular ketika itu ialah Masjid Negara, Stadium Negara, Tugu Negara, Zoo Negara, dan semua tempat yang berakhir dengan “Negara” selain dari Angkasapuri dan Parlimen. Mungkin hari ini beberapa destinasi rombongan sekolah di tahun 60an dan 70 an itu tidak lagi menjadi pilihan.

Apabila kedatangan bulan Ramadhan, orang kampung akan datang mengadakan rombongan ke Stadium Merdeka mengikuti Musabaqah Al-Quran. Mereka adalah ‘peminat setia’ kepada Qari Negara, “Ismail Hashim”, dan Qariah “Rogayah Sulong’ serta ‘Faridah Mat Saman’. Bertolak dari kampung selepas solat Asar dan kemudian ‘berbuka puasa’ beramai-ramai di Masjid Negara.

Saya pernah belajar dan bekerja di Kuala Lumpur. Banyak memori suka, duka yang telah saya lalui sepanjang 11 tahun di kota metropolitan ini. Bandar yang bermula daripada lombong bijih yang diteroka oleh Kapitan Cina Yap Ah Loy, kemudian berkembang maju sehingga mendapat gelaran Bandaraya pada tahun 1972 dan terus berkembang lagi. Kuala Lumpur telah mencatat pelbagai rakaman sejarah, sebelum dan selepas merdeka. Banyak bangunan dan artifak peninggalan sejarah boleh dilihat hingga kini. Malah keunikannya sukar untuk dikatakan satu persatu.

Saya merasa amat bertuah dan bersyukur kerana pernah merasai kehangatan dan dakapan nadi Bandaraya ini.. Bersyukurlah kita yang bukan sahaja mampu sampai ke Kuala Lumpur tetapi turut juga sampai ke Australia, London, Peranchis, China, India, Mekah, Madinah dan segala macam lagi destinasi. Kerana pada pemerhatian saya, rakyat Terengganu ini bukan sahaja ramai yang tidak pernah sampai ke Kuala Lumpur, menjejak kaki ke Bandaraya Persisir Air Kuala Terengganu pun belum pernah………Selamat Hari Wilayah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails