Apr 29, 2009

Travelog - Nenek


Dari kampung kami telah menghala ke Kuala Lumpur. Ibukota yang sering kami ‘rindui’. Berjalan-jalan dari Jalan Masjid India, menjenguk gedung Ariani yang menjual tudung yang pelbagai namanya sehinggalah mengheret kami ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Keluar masuk beberapa buah kedai sehinga sampai ke pusat membeli belah yang hampir sama dengan nama kampung saya, Sogo. Sogo pula sedang ‘sale’ sehingga bulan Mei nanti. Kalau ada ‘pitis’ bolehlah membeli seadanya baju sehelai dua, beg tangan, kasut atau seluar.

Kerana sudah keletihan, saya hanya duduk di kerusi panjang di tingkat satu berhampiran eskalator. Isteri saya masih lagi bertenaga dan berpusing-pusing di kawasan jualan pakaian wanita. Tenaga wanita memang luarbiasa. Mereka mampu berpusing-pusing, belek sana, belek sini sehingga berjam-jam. Saya sudah lama siap membeli, duduk menanti, melihat orang turun naik tangga sehingga akhirnya terlena……….

Ketika tersedar, di sebelah saya sudah ada dua orang wanita separa baya sedang rancak berbual. Nenek dari Kuching itu begitu seronok bercerita mengenai cucunya.

“Saya akan datang KL setiap dua bulan atau tiga bulan sekali. Tidak boleh lupa. Selalu saja teringat.” Telor Sarawaknya jelas kedengaran.

“Begitu ke ? balas bakal nenek dari Kuantan yang sedang menanti kelahiran cucu sulungnya. Teruja nampaknya. Hanya dua tiga bulan sahaja lagi dia akan menimang cucu. Mungkin juga bakal nenek ini sudah ada ‘kyayalan’ bagaimana untuk ‘melayan’ cucu sulungnya.

‘Tunggulah nanti, seronokkkkk, sambung nenek ‘Kuching’ ini. Sepanjang perbualan mereka tiada topik lain selain daripada cerita cucu,cucu,cucu ………. Nampaknya nenek “Kuching” ini lebih hebat dari saya. Dia sanggup turun dari Sarawak ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berjumpa cucunya yang berusia dua tahun itu sekurang-kurangnya empat kali setahun. Benarlah kata perbidalan – ‘sayang isteri ditinggal-tinggalkan, sayang anak ditangan-tangankan, ………….sayang cucu tiada sempadan.

Apr 28, 2009

Travelog - 1600km


Saya telah menamatkan perjalanan sejauh 1600 km. Selama empat hari menelusuri jalan kampung, jalan persekutuan, lebuhraya dan juga merentasi empat negeri, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan dua wilayah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tidak ada ‘perkara’ yang menakjubkan, tetapi itulah lebih kurang jarak yang saya lalui setiap kali mengambil pulang anak atau menghantar kembali mereka ke tempat belajar. Sejak tahun 2006 saya telah’mengembara’ tiga atau empat kali setahun. Begitulah tugas seorang bapa yang dilakukan bersama ‘ibu’ yang tetap setia menemani setiap kali rutin itu berlaku.

Kami telah sampai ke kampung yang indah dan permai itu. Malam itu kami berkumpul adik-beradik bercerita tentang hidup masing-masing. Tentang anak mereka, tentang cucu mereka, kehidupan mereka dan juga kehidupan kami, anak kami, cuma sedikit kurang kami belum bercucu. Seringkali kami berbual sehingga larut malam. Tapi malam itu belum jam 10.00 malam saya sudah minta diri untuk tidur. Keletihan telah membuatkan saya tidur dengan nyenyaknya. Keesokannya bangun awal dan menghirup angin desa yang segar. Terasa masih sama seperti empat puluh sembilan tahun dahulu.

Namun masa begitu pantas, empat puluh sembilan tahun seolah-olah baru sahaja berlalu. Terlalu banyak perubahan telah berlaku. Mesin getah di seberang sawah sudah menyembah bumi bersama rumahnya. Sawah sudah bertukar menjadi kolam ikan. Rumpun buluh di penjuru ‘kampung’ sudah tiada lagi. Pokok-pokok getah dihadapan rumah sudah berganti dengan pokok kelapa dan pokok durian. Hutan dibelakang rumah juga sudah juga diganti dengan kebun getah. Baru semalam rasanya mencantas buluh padi itu untuk membuat senapang ‘seletup’. Baru semalam rasanya saya memasuki hutan itu bersama emak mencari ‘urat kayu’. Baru semalam rasanya saya bersama abah melecet getah keping dan memesin getah bersama-sama.

Setiap kali saya pulang, pasti saya akan bertanya siapa pula menemui ajal. Jiran-jiran terdekat kami telah ‘ghaib’ satu persatu. Tok Arjo, Wan Siah, Teh Salleh, Cik Sudin, Ayah Utoh, Mak Ayum, Tok Abu,Wan Redup telah lama meningal dunia. Mereka ini adalah watak-watak jiran yang saya kenal sejak dari kecil sehinggalah saya besar, berkahwin dan mempunyai anak. Abah di penghujung umurnya masih lagi rajin menziarahi rakan-rakan sekampung walaupun terpaksa berkerusi roda. Setiap kali pulang saya akan membawanya menemui adik rakan karibnya yang masih hidup, Ucu Pilus. Masing-masing sudah berusia tua ketika itu. Sering kali mereka menangis apabila bertemu, mungkin mereka sedar mereka adalah generasi yang terakhir yang masih ‘hidup’ dan hanya menanti hari sahaja. Saya hanya sempat dua kali menziarahi Ucu Pilus selepas kematian abah. Setiap kali saya datang dia akan berwajah hiba, mungkin ada iras abah di wajah saya. Selepas setahun kematian abah, Ucu Pilus pula ‘hilang’ dari alam fana ini.

Sebelum pulang saya berdiri sekali lagi di pusara abah dan emak. Membaca Al-Fatihah dan berdoa. Rutin ‘wajib’ setiap kali saya menjenguk kampung kelahiran. Di sini sahaja saya akan menemui kembali ‘jiran-jiran’ saya, Tok Abu, Wan Siah, Wan Redup, Teh Salleh, Ayah Utoh, Mak Ayom dan Ucu Pilus. Mungkin juga saya akan kembali berjiran dengan mereka pada satu masa dan satu ketika yang entah bila. Wallahuallam.

Catatan : Tok Arjo telah pulang ke tanah kelahirannya di Jawa Barat selepas kematian isterinya, Wan Siah. Tidak memiliki anak hanya anak-anak tiri daripada bekas isterinya. Meninggal dunia selepas dua tahun pulang ke Indonesia.

Apr 26, 2009

Travelog - Daging Salai


Saya terasa macam budak-budak pulak minggu lepas, bila tak sabar-sabar untuk ‘turun’ ke Pantai Barat. Dari Marang melalui Ajil ke jalan Jerangau-Jabor terus ke Lebuhraya Pantai Timur. Jalannya agak sunyi tetapi menjimatkan lebih kurang 30 ke 40 minit masa perjalanan. Kemudian menyimpang turun di simpang Gambang terus ke Bandar Muadzam, memasuki ‘lebuhraya Keratong’, Bandar Baru Jempol, Batu Kikir ‘Jembatan Bosi’ sebelum singgah mengambil anak di Matrikulasi Negeri Sembilan Kuala Pilah. Berbaloi rasanya perjalanan tanpa ganguan itu. Alhamdulillah.

Berpusing-pusing di Pekan Pilah, mencari kedai makan yang ada jual gulai ‘daging salai’. Tapi tak jumpa. Saya terfikir kenapa makanan popular ‘nogori’ ini tidak dipromosi dengan baik. Sepatutnya ia dijual terutama di Pekan Pilah yang bukan sahaja ramai orang Melayu tetapi laluan utama, Pantai Barat ke Pantai Timur. Pekan Pilah, ‘pekan budaya’ yang masih kuat tradisi dan pengaruh adat perpatihnya. Medan Selera di tepi simpang tiga Seremban-Bahau-Tampin itu juga tidak diurus dengan baik. Gerai-gerainya nampak lesu sahaja. Tentulah tidak cukup jika gulai ini hanya dijual ketika bulan Ramadhan sahaja. Biarlah ia di jual sepanjang tahun. Pekan Pilah boleh di gelar Pekan Daging Salai, seperti mana Bandar Temerloh yang terkenal dengan gelaran Bandar Ikan Patin. Walaupun daging salai masih dijual di sepanjang jalan Juasseh atau kedai-kedai di Terachi, tapi orang lebih suka membeli daging salai ‘gulai’ itu daripada memasak.

Akhirnya kami membuat keputusan singgah makan di Restoran Negeri di Seremban. Restoran yang tidak pernah berubah namanya semenjak tahun 1972 lagi. Bukan makan nasi daging salai tapi mee rojak ‘taruk’ telur. He he he.




Apr 23, 2009

Popular


Semalam, saya telah menemui kenalan lama, Majid di Kuala Terengganu. Kami telah berbual panjang di Restoran Talk of The Town. Dia telah mengikuti konvoi Jelajah Malaysia 2009 yang singgah dan bermalam di Kuala Terengganu. Hari ini konvoi itu meneruskan lagi ‘kayuhan’ mereka sejauh 199 km dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Laluan landai terpanjang selepas melalui jalan-jalan berbukit di Grik, Perak dari Sungai Petani. Majid adalah pengulas sukan dan juga DJ Radio Asyik Fm atau juga dikenali sebagai Radio Orang Asli. Radio yang telah menghiburkan ratusan ribu masyarakat minoriti Orang Asli di penempatan Selangor, Pahang atau sebahagian kecil di Negeri Sembilan,. Terengganu, Kelantan dan Johor. Ramai juga pendengar atau peminat radio ini terdiri daripada orang Melayu. Tentunya kerana lagu-lagu yang diputarkan oleh Dj-Djnya memang amvoiii.... Bagi generasi lama Orang Asli, mereka adalah pendengar fanatik lagu-lagu ‘sewang’. Lagu sewang yang menghiburkan ini juga digunakan sebagai kaedah merawat pesakit di kalangan Orang Asli. Kaedah perubatan menggunakan nyanyian juga terdapat dalam masyarakat Melayu seperti Ulek Mayang di Terengganu ini. Apa pun lagu sewang kini sudah ada unsur pembaharuan dengan lirik lagunya dimasukan sindiran dan kritikan kepada norma dan kehidupan orang Asli.

Saya tidak berhajat untuk bercerita mengenai radio ini, tetapi saya masih mengingati beberapa nama juruhebah yang popular di zaman saya, Karim Muhammad yang sering menjadi pengantara Rancangan Berbalas Pantun yang tersohor itu. Selepas itu lahir pula Zainal Din Zainal yang telah memulakan era Dj di Radio KL. Selepas itu lahir lagi beberapa Dj Radio yang bukan sahaja hebat tetapi cukup berpengaruh seperti Noramin dan Tengku Mariam, Chuari Selamat dan Ainol Jamal.

Walaupun kini stesyen radio sudah tumbuh bercambah, tiada seorang juruhebah atau Dj yang mampu menarik perhatian saya. Mungkin suara juruhebah dulu lebih merdu daripada suara Dj kini yang hanya lebih jerit. Atau pun juruhebah dahulu lebih bersopan dari Dj sekarang yang cakap sebarangan sahaja.

Cuma saya teringat kata-kata Zakaria M.Z., bekas Pengarah Instiutut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) “ janganlah ingat bila kita sudah menjadi juruhebah kita berasa popular. Letakan seekor kambing dan biarkan ia mengembek setiap hari di radio selama sebulan. Selepas sebulan keluarkan kambing tu dari konti, pasti akan ada orang telefon, mana perginya kambing itu. Mereka popular kerana ke udara atau keluar setiap hari di kaca tv". Sudah tentu selepas bertahun-tahun tidak ke udara bukan sahaja mereka tidak popular, mungkin juga tidak dikenali lagi.

Cuma dalam dunia maju dan penggunaan media baru yang semakin berkembang sekarang peluang untuk menjadi popular juga semakin terbuka seperti berblog ini. Seronok ke jadi popular ni. Ha, ha, ha,

Apr 15, 2009

Apa-apa aje

Saya sudah semakin jarang ‘turun padang’ untuk menulis. Mungkin juga kerja sudah semakin bertimbun.Mungkin juga kerana dua tiga tanggungjawab yang telah tergalas di bahu sejak dua menjak ini. Mungkin juga hal-hal keluarga lebih utama. Akhirnya saya bukan sahaja kurang memberi tumpuan kepada blog ini. Saya juga sudah jarang ‘menziarahi’ blog-blog yang selalu saya jengok, untuk menyampuk, memberi komen atau pun mengkritik. Atau pun itu hanyalah alasan, ha, ha, ha.

Kerana sebab-sebab itu jugalah agaknya ranking saya telah menjunam kembali ke angka 0, ha, ha, ha. Sekilas tafsir, rupanya bukan senang untuk mempertahankan milik yang telah kita punyai Ia harus dilakukan secara istiqamah dan menepati kehendak pelanggan. Saya ada pelanggan ke ha, ha, ha, .

Diam tak diam kita telah pun sampai ke bulan April. Eh cepatnya masa berlalu. Sebentar sahaja kita sudah 'terhantar' menghampiri ke pertengahan tahun, pejam celik kita akan sampai pula ketahun 2010. Umur pun semakin pendek. Hua, hua, hua.

Hujung minggu ini saya akan turun sekali lagi ke Kuala Pilah, mengambil pulang anak keempat yang telah pun tamat belajar di matrikulasi. Lepas tu balik kampung di Seremban lepas tu jengok anak di CUMSC di Cyber Jaya, UKM di Bangi, UiTM di Jengka, tempoh seminggu saya bercuti ini tidak kemana-mana, hanya melengkapkan pusingan menjenguk keluarga dan bertemu anak-anak yang sudah lama tak ketemu ha, ha, ha, ha,

Apa pun selepas ini saya akan menulis lagi dengan ‘gaya bebas’, tanpa terikat dengan cerita dolu-dolu aje. Hanya beberapa belas posting lagi akan sampai ke angka 100. Saya pun masih terfikir-fikir nak tulis apa ataupun tulis apa-apa aje….. ha, ha, ha.

Apr 14, 2009

Tag Yang Terabai


Sudah bulan April 2009. Masih ada janji yang belum saya tunaikan. Bukan terlupa tetapi belum sampai waktu yang benar-benar sesuai. Hari ini sampailah hari yang sesuai itu :). Tag itu telah dihantar oleh Blog Asuh Rabbani. Antara permintaannya ialah mengambil gambar work station dan kemudian menamakan beberapa orang lagi untuk dipanjangkan.

Arahan Ustaz itu ialah :
1. Snap work station anda

2. Tugas kedua ialah menamakan blog-blog yang akan ditag. Kemudian taruh link blog anda di bawah gambar work station anda iaitu bersebelahan dengan link-link blog yang ada.
Maka saya telah buat satu persatu-persatu dan inilah hasilnya
Sedia ada

1. Seri



4. Biso Bonar

Saya pun nak tag juga seperti syaratnya itu. Tapi saya berminat nak tag blog yang lama tak di update dalam putaran link blog Biso Bonar :) Tidak banyak sangatkan.........




Cuma masih tertanya-tanya kemana perginya kang ustaz itewwww. Sehingga kini tiada kelibatnya. Tahun 2009 masih panjang lagi. Adakah kang ustaz akan terjun semula ke dunia blog atau terus bersembunyi lagi. Atau adakah sudah meletakkan noktah. Bagi saya dakwah ustaz harus diurus dan diteruskan............ Jawab ustaz jangan tak jawab.

Apr 8, 2009

Hidup Sederhana

Sudah beberapa kali saya ‘mendarat’ di Pulau Kapas yang indah ini. Pulau yang bukan sahaja hampir dengan tanah besar tetapi turut memiliki panorama yang menarik. Flora dan faunanya antara yang terbaik di dunia. Sebahagian gambar-gambar pulau ini telah saya paparkan di Blog Bila Terakam. Kedatangan saya hanya menyertai kumpulan bergotong royong membersih pantai sempena Marang Kapas International Swimathon yang akan berlangsung pada 12 April ini. Kalau ada yang berminat hendak melihat kegigihan mereka merentasi laut sejauh 6.5 km dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut …… mai le ke Marang. Tahun lepas saya turut kagum apabila seorang OKU turut serta.

Ketika melepaskan lelah berhampiran sebuah chalet sambil mengambil gambar dari sudut-sudut yang menarik sempat juga saya berbual dengan tuan punya chalet ini, Kayan namanya. Ibunya keturunan Swedish, bapanya keturunan Ceylon Tamil yang telah datang ke negara ini sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi sebagai guru geografi. Selepas negara berpisah dengan Singapura sebahagian keluarganya menetap di Singapura, manakala sebahagian lagi menetap di Malaysia.

Kayan dibesarkan di Pulau Pinang, kemudian merantau jauh keluar negara. Pergi kemerata-rata tempat di dunia ini dan pernah bekerja di Peranchis. Kembali semula ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjayanya sebagai usahawan dan pada satu ketika begitu hampir memasuki dunia korporat. Namun saya tidak mengetahui apa punca sebenarnya kenapa dia datang ke Pulau Kapas. Cuma katanya, pertama kali dia menjejaki kaki ke pulau ini dia terus jatuh cinta… cinta pandang pertama. Selepas berada seminggu di Pulau Kapas Kayan pulang semula ke Kuala Lumpur. Tapi ada sesuatu yang menggamitnya untuk datang kembali. Kembali dengan satu niat, menikmati sepuas-puasnya kehidupan di pulau ini. Dari sehari, seminggu dan memasuki bulan-bulan berikutnya dia leka dengan kehidupan ‘barunya’. Setiap hari dia akan berjalan di gigi air, menyelam, mandi-mandi dan berbaring dipantai yang putih bersih itu. Dia telah menjadi ‘budak pulau’, dia sudah membuang kehidupan lamanya. Tanpa kot dan tie. Tanpa kereta, tiada lagi ‘kehidupan malam’, tiada lagi rumah mewah, penghawa dingin, tiada lagi kesibukan, tiada dan tiada lagi…… .Dia telah kembali ke alam semulajadi menikmati desiran angin, bunyi alunan ombak, serangga dan burung. Tidur berkelambu, mandi air bukit, tanpa penyaman udara, makan ala kadar. Kayan telah membuang kehidupan lampaunya untuk hidup sederhana. Tidak pernah sebelum ini dia bertemu kehidupan yang begitu mengasyikkan kecuali di pulau ini. Pulau Kapas.

Setahun menikmati kehidupan baru. Dia nekad mencagar rumahnya di Kuala Lumpur dan membeli kawasan chalet yang dia huni. Dia bertekad untuk terus berada di pulau ini selagi masih ada kudrat. Kalau anda ke Pulau Kapas pasti akan terjumpa seorang lelaki berkulit gelap, memakai kain tanpa jahitan diikat di pinggang dengan badan berlenggeng berdiri di tepi pantai. Di belakangnya ada sebuah chalet bernama KBC. Terlupa pula untuk bertanya apa maksudnya. Biarlah saya menekanya, mungkin bermakna Kayan Beach Castle :).

Apr 1, 2009

Rokok dan Surah Yassin

Lucu tapi dalam maknanya tu...

(Turn on the speaker)

'Orang Kita'



20 TAHUN dahulu
Di Pulau Pinang.

Seorang pakcik yang berniaga pulut panggang di Dhobby Ghaut tak akan lupa membawa duit siling pelbagai nilai berjumlah RM 20.00. Juga membawa puluhan ringgit duit seringgit. Dia cukup pantang pergi kesana-sini kerana mencari duit seringgit atau siling bagi lebihan baki pelanggan. Selalu merungut bila peniaga lain tak ada bawa duit ‘tukar’.

‘"Hairan ‘depa’ ni, apa punya berniaga pun tak tau, duit tukaq pun tak dak. Nak tukaq mula lah 'mai' cari aku"

Rungutan pakcik yang juga bapa mertua saya.

10 TAHUN dahulu.
Di sebuah restoran baru ‘buka’ di Taman Teknologi Kajang.

Singgah minum. Rasa airnya boleh tahan tapi sudah suam.

‘Dik, air teh ni tak panas, boleh buat yang panas’

Dua minit kemudian air teh datang, panas, tapi rasanya hambar. Kerana ditambah air panas, di bawahnya masih suam. Tak sampai dua teguk, terus bayar dengan kepala sengal.

Beberapa JAM yang baru berlalu.
Di sebuah restoran ‘lama’ di Bukit Payong, Marang.

“Teh O limau satu”
"Limau tak ada pok"
"Tak apa lah, bagi teh O saja"

“Itulah ‘orang kita" . kata orang sebelah meja sambil menggelengkan kepala.
"Pokok limau paling senang tanam, campak je tumbuh….pun tak ada.”

Tak nak kata apa, 20 tahun, 10 tahun dan beberapa jam berlalu adakah sama?.