May 27, 2009

Nasi Lemak


Besok saya akan 'terbang’ ke Perlis, Indera Kayangan. Setiap kali saya keluar daerah dan meninggalkan rumah untuk beberapa hari, pasti tidak lupa untuk membeli barang-barang dapur dan sedikit lauk pauk. Sekurang-kurangnya isteri saya tidak bersungut, meninggalkan rumah dengan keadaan ’kontang’.
Semalam sekali lagi saya ke Pasaraya Mydin di Kuala Terengganu membeli barang-barang yang perlu sahaja. Itupun sudah beratus-ratus ringgit. Lima puluh ringgit sudah begitu kecil nilainya, cukup untuk membeli beras 10 kilo, telur sepapan, ayam seekor, sayur sejenis dua termasuk beberapa biji buah pencuci mulut. Begitulah kecilnya nilai wang sekarang Mungkin juga saya sudah semakin berusia sehinga terasa benar wang yang sama semakin merosot nilainya. Semasa saya kecil, orang-orang tua di kampung sering bercerita ketika mereka bersekolah, nasi lemak baru berharga satu sen. Ketika saya bersekolah rendah saya hanya membayar 5 sen untuk sepiring nasi lemak. Lima belas tahun dahulu ketika anak sulung saya mula bersekolah nasi lemak sudah berharga 50 sen sebungkus. Berapa pula harganya sekarang..... saya sudah tiada anak kecil yang bersekolah lagi he he he.

May 20, 2009

Masak Lomak Cili Api



Sudah beberapa minggu saya terlepas untuk mengikuti drama pendek ‘Masak Lomak Cili Api’ di TV2, hari Selasa, jam 8.30 malam kerana program kerja yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Minggu lepas saya ke Homestay Pasir Raja, Dungun tempat terletaknya Air Terjun Chemerung yang tertinggi di Asia Tenggara. Oleh kerana saya sampai ketika waktu maghrib dan tidak pula bermalam, saya tidak dapat menyaksikan keindahan air terjun tersebut. Satu lagi ‘keajaiban alam’ yang berada di bumi Terengganu. Malangnya tidak ramai yang mengetahuinya dan diwar-warkan kepada dunia luar. Malam Selasa minggu sebelumnya saya tersekat lagi dek kerana menghadiri kursus pendek di Gem Beach Resort Batu Rakit. Satu lagi lokasi di tepi laut China Selatan untuk berehat dan menenangkan fikiran yang berserabut. Sehinggalah malam semalam saya telah bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk menanti tayangan drama itu. Kenapa ya?.

Drama itu telah dirakam di kampung saya dan rumah pusaka peninggalan abah dan emak menjadi lokasi utama penggambarannya. Pak Ayub (Ebby Yus) dan Mak Bedah (Faridah Mansor) telah menjadi watak utama dalam drama tersebut sebagai orang kampung. Penggambaran ini telah dibuat pada tahun lepas. Selepas berbulan-bulan menanti saya telah menyaksikan rumah pusaka yang kami sayangi ini akhirnya keluar juga di TV.

Rumah ini telah dibina pada tahun 1965 ketika usia saya lima tahun. Dengan kos $3,000 rumah ini siap dibina berkonsep rumah limas, ‘induk rumah’ ini mengandungi sebuah bilik, serambi dan anjung. Manakala rumah dapur pula dibina berasingan. Kepala tukangnya digelar Buyong keturunan Cina bersama pekerjanya datang dari Bandar Seremban Mereka bertukang setiap hari kecuali hari Jumaat. Ketika tiang seri rumah ini ditegakkan, upacara ‘menaikan’ rumah baru diadakan. Jiran-jiran dijemput untuk bersama-sama menegakkan tiang seri. Kain selebar tapak tangan berwarna putih dan hitam di jadikan pelapik tiang. Kami adik beradik kemudian dikumpulkan dibawah tiang sebelum dicurahkan air buyung dari atas tiang seri itu. Khabarnya supaya ‘semangat’ rumah dan ‘semangat’ kami bersatu. Selepas itu doa selamat dibacakan dan sedikit jamuan diadakan untuk mereka yang hadir. Peristiwa ini telah berlaku lebih daripada empat puluh tahun dahulu. Ada perkara yang begitu jelas, ada juga yang sudah begitu kelam. Begitulah sejarah rumah pusaka itu yang siap dibina dalam tempoh tiga bulan. Rumah ini masih lagi tegap dan kukuh dengan kayu keruing, meranti dan cengal yang begitu mahal harganya sekarang. Saya telah mendiami rumah ini selama 14 tahun sebelum keluar dari kampung, belajar, bekerja dan membina kehidupan sendiri. Rumah yang mengingatkan saya kepada abah dan emak, kepada kehidupan semasa kecil, kenangan bersama jiran-jiran sekampung dan ‘drama’ panjang keluarga kami yang penuh dengan pelbagai babak. Nostalgia yang tetap terpapar setiap kali saya kembali ke rumah pusaka ini, yang tak mampu ‘diputar’ kembali.




Nota: Adat istiadat ‘menaikkan rumah’ ini telah tidak diamalkan lagi kerana sebahagian upacaranya terdapat unsur-unsur khurafat dan jampi serapah yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.

May 19, 2009

Lawak Pembangunan


Kesibukan di bulan Mei ini dengan pelbagai hari sambutan dan kenangan telah menyebabkan saya sering ‘kantoi’ untuk menulis blog yang telah berusia lapan bulan ini. Begitu pun beberapa hari yang lalu saya masih sempat meluangkan masa untuk melihat ‘You Tube’ mengenai Raja Lawak 2, Nabil. Dari minggu pertama sehinggalah dia dijulang sebagai Raja Lawak dengan ‘trade mark’ ‘Lu pikirlah sendiri’. Seorang pelawak yang ‘versatile’ , anak Negeri Sembilan, ‘Mat Despatch’ yang telah bertukar profesyen ke dunia hiburan sebagai artis lawak. Inilah takdir Tuhan yang sukar untuk difahami oleh manusia. Perubahan hidup yang mendadak berlaku dalam sekelip mata. Seperti juga Mawi budak Felda Taib Andak sekoyong-koyong ‘meletup’ apabila memasuki Akademi Fantasia. Begitulah mudahnya Allah menukar jalan kehidupan manusia, hanya dengan berkata ‘Jadilah….’, maka terjadilah ia. Begitu juga beberapa peristiwa lain yang menjadikan kita ‘watak’ yang digeruni, disayangi, dibenci atau mendapat simpati dan perhatian ramai.

Saya memang meminati lawak sejak kecil lagi. Saya lebih mengenali Tan Sri SM Salim sebagai pelawak sebelum dia ‘tersohor’ dibidang nyanyian. Penghujung 60an dan awal 70an saya jarang terlepas mengikuti SM Salim di radio bersama dua orang lagi ‘regunya’, Jamal Mohammad dan Ibrahim Din dalam program yang saya sudah lupa namanya. Lawaknya mudah, tetapi sarat dengan pesanan dan nasihat. Lawak Jenaka telah dijadikan saluran yang santai untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat ketika itu. Ia lebih banyak berkisar kepada kepentingan pelajaran, perpaduan kaum, kempen kebersihan, berkhidmat dalam pasukan tentera dan polis, semangat kenegaraan, dan topik-topik semasa yang penting untuk diketahui umum seperti wabak H1N1 yang berlaku kini.

Mungkin suasana yang saya ceritakan itu hanya difahami oleh generasi saya. Lawak hari ini kebanyakkannya hanya wujud untuk membuat orang tertawa tanpa isi, seringkali juga disebut sebagai ‘lawak bodoh’. Banyak unsur-unsur lucah, perkara yang mengarut yang dibawakan samada oleh kumpulan lawak yang sudah popular ataupun kumpulan-kumpulan pelawak yang memasuki pelbagai pertandingan di tv. Tidak banyak lawak yang menyentuh mengenai masalah keselamatan, masalah mat rempit, masalah dadah dan unsur didaktif. Akhirnya lawak kita penuh dengan perkara-perkara kecil yang mengeluarkan ketawa yang besar-besar tetapi satu pun tidak mendatangkan faedah, meminjam kata-kata Nabil …. ‘Lu pikir lah sendiri”.

May 4, 2009

Pernikahan

Sabtu lepas saya telah meninggalkan sekali lagi ‘mahligai’ kami di Marang menghala beratus kilometer ke utara Terengganu. Lebih tepat lagi ke Kampung Raja, Besut. Menghadiri upacara pernikahan anak lelaki sepupu saya. Usianya sudah 31 tahun baru bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Mungkin tugasnya sebagai malim kapal menjarakkan hubungannya dengan wanita. Sebulan dua di darat, turun lagi belayar. Mungkin ceritanya tidak sehebat Sinbad, tetapi laut sudah menjadi dunianya.

Jodohnya sudah lama ada, tapi disimpan dengan begitu rapi. Tiada siapa mencium ‘rahsia’ dia bercinta dengan rakan adik perempuannya. Patutlah setiap kali wanita yang di ‘padankan’ ditolaknya dengan pelbagai alasan. Baru bulan Mac lalu dia meminta ayahnya merisik. Sabtu lalu bermulalah perjalanannya menjadi seorang ‘suami’, paginya majlis bertunang, petangnya terus sahaja melangsungkan upacara akad nikah. Semuanya berlaku dengan pantas.. Pernikahan saya dulu tidak sepantas ini. Bertunang sepuluh bulan baru bernikah. Malah ada juga pasangan yang bertunang sehingga tiga tahun baru berkahwin. Sesetengah pasangan terpaksa ‘nikah gantung’ dahulu semata-mata tidak mahu tunangan atau pilihan hati terlepas ke tangan orang lain. Hari ini istilah itu sudah lama tidak didengar. Masih ada ke lagi nikah gantung tu ?.

May 1, 2009

Ayam Jantan


Kadang-kadang saya naik ‘hangin’ juga, apabila kereta di porch dinaiki oleh ayam jantan. Cakaran kaki ayam jantan itu membuatkan cat kereta calar balar. Kalau ayam itu saya punya dah lama saya sembelih. Ayam jantan itu ayam jiran, mencari-cari tempat untuk ayam betina bertelur. Itulah feel ayam jantan yang sama-sama mencari tempat bertelur tetapi tidak bersama-sama menjaga anaknya apabila telur menetas. Mungkin ini boleh dijadikan renungan kepada kehidupan manusia yang lebih banyak ‘ragamnya’.

Sejak kecil saya sudah terbiasa mendengar kokokan ayam jantan. Sehingga kini kokokan ayam jantan adalah ganti jam penggera yang berkesan. Setiap pagi kokokan ayam jantan yang bersahut-sahutan menjadi alunan yang merdu.

Dulu emak saya sering bercerita mengenai ayam jantan yang terbang ke bulan. Hingga kini setiap kali bulan mengambang penuh saya sering tercari-cari ayam yang dikatakan ada di muka bulan itu. Ceritanya, seorang budak kecil yang teringin hendak makan sebiji pisang telah meminta kepada ibunya. “Mak, mak, adik nak makan pisang”. Oleh kerana ibunya sibuk membasuh kain di tepi sungai telah membalas, “Mintalah kat ayah”. Anak ini pun pergi pula meminta kepada bapanya. Kerana bapanya juga sibuk bekerja di kebun sayur, maka kata bapanya, "Mintalah kat emak". Berulang kalilah anak kecil ini merayu–rayu kepada ibu dan ayahnya untuk sebiji pisang. Anak kecil ini akhirnya kecewa dan keletihan. Mengadulah dia kepada ayam jantan kesayangannya. Jalak.

“ Jalak, Jalak, ayah dan emak adik tidak lagi peduli kepada adik. Adik hanya meminta sebiji pisang sahaja. Lapar benar perut adik. Sedih benar hati adik bila emak dan ayah tidak lagi peduli kepada adik”. Kata budak kecil itu dengan hiba sambil menitis air matanya. Tiba-tiba sahaja Jalak itu bersuara, “ Sedih benarlah hamba mendengarnya, jika begitu, hendak ke tuan hamba, hamba bawa ke satu tempat yang akan menjadi ingatan kepada orang yang terkemudian.”. Budak kecil itu pun menganggukkan kepalanya tanda setuju sambil berkata, “Tiadalah berguna lagi adik duduk di rumah ini kerana ibu dan ayah pun tak sayang lagi pada adik”. Maka si Jalak pun membesarkan dirinya berkali-kali dari saiz asalnya. Terbanglah budak kecil itu bersama si Jalak ke langit biru sambil melaung kepada ayahnya di kebun dan ibunya di sungai.

“Mak, mak, selamat tinggal mak, halalkan makan minum adik, adik terbang jauh, adik kempunan nak makan sebiji pisang. Ayah, ayah, selamat tinggal ayah, halalkan makan minum adik, adik terbang jauh, adik kempunan nak makan sebiji pisang. Jika mak dan ayah rindu lihatlah adik dilangit setiap kali bulan mengambang”.

Menyesallah ibu dan ayah ini, sambil melaung-laung supaya anak mereka kembali turun ke bumi sambil menjulang-julang sesisir pisang. Apakan daya nasi telah menjadi bubur. Anak yang kecewa ini telah membawa diri. Begitulah cerita dongeng yang mengaitkan ‘anak lari dari rumah’ kerana dahagakan kasih sayang ibu dan bapa. Mungkin juga kerana kesibukan bekerja sehingga tidak sempat menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak. Sempena sambutan Hari Pekerja saya mengucapkan selamat bertugas demi kebaikan negara dan agama tanpa melupakan tanggungjawab kepada keluarga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails