Aug 31, 2009

52

Pagi tadi mata saya tetap terpaku melihat ulangan persembahan 'sempurna' Sudirman (Allahyarham) di TV3. Sudah lama saya tidak menemui kehebatan persembahan seorang artis yang benar-benar ’Malaysia’. Penyanyi yang bukan sahaja patriotik, berbudaya, humor, tetapi begitu dekat di hati peminatnya tanpa mengira darjat, bangsa, agama dan keturunan. Penyanyi sekarang mungkin boleh menyaingi persembahan pentasnya tetapi bukan semangat dan kata-katanya. Antaranya menyebut; ”Kemerdekaan bukan (sahaja) membebaskan diri dari penjajahan, kemerdekaan juga membebaskan dari kemalasan dan kemunduran”. Beliau telah membuat persembahan dengan ’hati’ bukan dengan kepala.

Malam tadi ketika Sambutan Hari Merdeka Peringkat Daerah Marang tidak ramai yang hadir untuk bacaan tahlil dan doa selamat. Bendera hanya berkibar di bangunan kerajaan, sedikit di bangunan-bangunan kedai. Bendera di kereta pun sudah semakin kurang. Adakah kita sudah semakin ’malas’ dan semakin ’mundur’ untuk merayakannya. Malahan kita sudah lama tewas kepada warga ’negara jiran’ yang sanggup menjahit sendiri bendera ’merah putih’ itu setiap kali sambutan hari kemerdekaan mereka.

Apa pun saya tetap mengingati dan merayakan Hari Kemerdekaan samada ia sambutan ke 52, 53, 54........ dan seterusnya. Kerana setiap kali datang 31 Ogos ia juga adalah hari ulangtahun pernikahan kami. Merdeka. Merdeka. Merdeka.........

Aug 29, 2009

Zara & Me


Tajuk posting kali ini bukan judul sebuah novel. Cuma dua nama yang saya gabungkan menjadi satu. Puan Zara seorang penulis kreatif. Manakala en_me pula seorang jurutera yang ’lumayan’. Mungkin juga judul tersebut boleh dijadikan plot novel yang menarik dan berkisar tentang kisah kerjaya yang berbeza antara seorang seniman dan karyawan. Novel yang berjaya memerlukan watak yang kukuh, persekitaran dan plot yang kemas, penuh dengan unsur-unsur dramatik, konflik, suspen, klimak dan peleraian yang menarik. Saya sering tertarik dengan filem-filem Korea yang selalu memulakan kisahnya dengan dunia kerjaya. Kemudian plotnya berkembang perlahan-lahan kepada cerita-cerita percintaan dan kehidupan yang mengesankan. Kerana itu saya sering mengikuti siri drama-drama Korea di TV. Tapi sekarang macam sudah kurang diputar. Boleh jadi ’rating’ penonton lebih ’berselera’ menengok filem hantu agaknya.

Saya bukan sengaja menggabungkan dua nama ini. Kebetulan Puan Zara dan en_me telah meng’tag’ saya dalam jarak masa yang hampir sama. Mudah ’gitu’ untuk dijawab sekali gus. Tapi saya tak akan menjawab semua sekali. Jika terlalu panjang tentu en_me tak akan habis baca kerana dia ‘anti-scrolling’. Kalau tak menjawab pula saya dah berjanji dengan Puan Zura bahawa satu hari nanti saya akan ambil juga award itewwwww.

Begitulah muqadimmah saya, kepada ’tag’ mereka. Akhirnya saya mengambil jalan tengah iaitu ada soalan yang akan saya jawab dan tidak. Satu soalan yang menarik dari en_me ialah kenapa Pok Li berblog ?. Mungkin jawapan ini sudah memadai ghitewwww.

Puan Zara juga janganlah merajuk kerana saya tak dapat menjawab kesemua soalannya. Sekurang-kurangnya ’tindak balas’ saya ini boleh memuaskan hati. Namun kerana percaya Puan Zara mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, bolehlah mengembara dalam blog Biso Bonar untuk menemui jawapan bagi soalan no.7, no 8. no.9 dan no.10. Walaupun begitu ada juga beberapa soalan yang saya ’op’ dulu. Begitu juga untuk meng ‘tag’ rakan-rakan blogger yang lain. Insya Allah akan sampai masanya, soalan-soalan dan ‘tag’ itu akan dijawab dan dipanjangkan juga. Tungguuuuuuuu.............di sana.


Nota:
Op (loghat Terengganu) = Tunggu

Aug 25, 2009

Jauh Di Mata Jauh Di Hati


Sesekali keluar daerah di bulan Ramadhan ini agak memenatkan. Kali ini ke Kemaman. Bandar yang terkenal dengan keenakan hidangan Sata. Pertama kali menikmatinya, saya terus 'jatuh cinta'. Emmmmmmm. Makanan yang dicampur ikan, tepung, garam dan gula. Juga sedikit lada.

Memandu dengan kelajuan sederhana mengambil masa dua jam dari Marang ke Bandar Kemaman. Sesekali ’berkelana’ seorang diri memutar semula ingatan silam. Bandar ini pertama kali saya jejaki dan ’teroka’ pada tahun 1981. Sudah banyak perubahan yang berlaku. Pasar babi di tepi sungai Kemaman itu sudah tiada lagi. Ia sudah menjadi laluan pejalan kaki dan taman rekreasi. Kedai getah milik seorang Datuk di tengah bandar itu juga sudah tiada. Pasarnya juga sudah semakin besar. Tiada lagi peniaga-peniaga wanita yang duduk di sepanjang kaki lima pasar ala ’Pasar Siti Khadijah’. Kedai ’mamak’ berhadapan pasar yang sering menjadi tumpuan kerana ayam gorengnya yang ranggup dan ’menjilat jari’ itu juga sudah tiada. Pasaraya Johan, pasaraya terawal di Kemaman juga sudah berganti tuan. Hotel Duen yang pernah saya menginap dahulu juga sudah berganti nama. Bandar Kemaman yang dahulu hanya terhenti di pinggiran jambatan Jalan Sulaiman sudah jauh melebar hala ke ’darat’. Jalan Dato Omar depan Hospital Kemaman sudah lama menjadi laluan utama Kuala Terengganu-Kuantan. Tidak perlu lagi melencung masuk ke pusat bandar. Dua puluh lapan tahun telah berlalu. Bersyukur kerana saya masih lagi hidup dan mampu mengingati beberapa ’titik tumpuan’ yang ada di ’Pekan Kemaman’ ketika itu.

Di bandar ini juga lahir seorang ’gadis’ yang pernah mencuri ’perhatian’ saya. Berhubungan berapa lama, akhirnya terputus. Mungkin kerana jarak, mungkin juga ikatan yang tidak kukuh atau yang pasti tiada jodoh. Kami pernah bekerja bersama di Kuala Lumpur terpisah selepas dia berpindah ke jabatan lain dan saya pula bertukar ke Pulau Pinang. Mungkin ada benarnya, kata perbidalan Melayu, Jauh di mata, jauh juga di hati.............

Aug 21, 2009

Andai Aku Tahu..............


Malam ini kita mula kembali bersolat tarawikh. Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana memanjangkan usia kita untuk menemui sekali lagi bulan yang penuh rahmat, keberkatan dan pengampunan ini. Tanpa membuang masa, saya mengucapkan selamat berpuasa dan Salam Ramadhan Al Mubarak kepada pengikut setia dan juga pembaca blog Biso Bonar ini.

Semalam saya telah hadir di Forum Perdana di Pekan Bukit Payong. Pekan kecil yang semakin berkembang maju dan membesar. Hanya 15 kilometer dari Bandar Marang. Pekan kecil yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Bandaraya Kuala Terengganu ke Bandar Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu. Forum kali ini telah menjemput beberapa orang personaliti yang tersohor, termasuk sepasang suami isteri yang menjadi pengendali rancangan motivasi keluarga di TV9. Mereka datang berpusu-pusu bukan sahaja untuk mendengar tetapi juga untuk melihat personaliti tersebut dengan ’mata kepala’ mereka sendiri. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama personaliti dambaan mereka itu

Sepanjang dua jam forum itu berlangsung tentunya tidak akan terlepas daripada menceritakan mengenai kelebihan bulan Ramadhan. Keberuntungan insan yang menemui Lailatul Qadr, yang menjanjikan ibadahnya terlebih baik setara 1,000 bulan.Terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka. Syaitan-syaitan dirantai, amalan-amalan yang sedikit dibalas dengan pembalasan-pembalasan yang tidak terjangka. Sebagaimana cerita pendek seorang panel forum itu.........

”Tersebut dalam sebuah kitab tasauf , kisah seorang penjual roti, yang setiap hari membawa pulang kerumahnya beberapa buku roti yang tidak habis dijual. Roti-roti ini disimpan manakala roti-roti lama yang bercendawan dilontar ke luar rumah. Sehingga satu hari dia terlihat seorang fakir mengutip roti-roti bercendawan yang dilemparkannya.

Lalu penjual roti ini melemparkan pula roti-roti yang masih baik kepada fakir itu dan berkata; ”Wahai fakir, tidak usahlah kamu memakan roti-roti bercendawan itu, ambillah roti-roti yang masih baik ini”. Bersyukurlah fakir itu kepada Allah kerana memberi rezeki yang lebih baik kepadanya hari itu.

Selepas beberapa tahun berlalu, penjual roti ini telah meninggal dunia dan rahmat Allah telah memasukkannya ke syurga. Di syurga tersebut beliau telah didudukan dalam sebuah mahligai yang indah dan besar. Maka bertanyalah penjual roti itu; ”Ibadah manakah yang aku lakukan sehingga memperolehi mahligai sebesar dan seindah ini”. Lalu dikhabarkan kepadanya, bahawa keistimewaan yang diperolehi itu adalah kerana ibadahnya mencampakkan roti kepada sifakir. Itu saja.

Maka kata penjual roti itu ” Andai ku tahu........begini besar balasannya, sudah tentu aku menjemput fakir itu naik ke atas rumah dan aku sendiri yang menyuapkan roti itu ke mulutnya. Pastilah aku dikurniakan mahligai yang lebih besar dan lebih indah. Masya Allah.

Aug 16, 2009

H1N1 atau Hini

Serangan H1N1 semakin parah. WHO (World Health Organization) meramalkan serangan wabak ini akan terus berlanjutan sehingga enam bulan atau ke setahun lagi. Jika masyarakat tidak mengambil serius terhadap langkah-langkah pencegahan, angka jangkitan mampu mencecah sehingga lima juta orang di seluruh dunia. Setakat ini negara kita sudah kehilangan 62 jiwa. Kerajaan juga tidak berminat untuk menamakan kawasan panas iaitu kawasan yang tinggi jangkitannya supaya rakyat terus peka kepada usaha pencegahan. Bersegeralah ke klinik atau ke hospital untuk mendapatkan rawatan jika mengalami selsema, demam dan sakit tekak yang melampau. Apa pun usaha mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Kerana itu elakkan ’bertandang’ ke tempat awam jika tidak perlu.

Dalam kesibukan menghadapi wabak ini, ramai juga yang membuat pelbagai andaian, cerita dan kesempatan. Saya petik sedikit dari Blog Azli Shukri - "Baru-baru ini saya difahamkan secara berjenaka, kononnya virus H1N1 boleh dicegah jika kita makan Kari Kepala Ikan banyak-banyak, benarkah begitu? Menurut rakan saya itu, mungkin secara bergurau, antara negara yang jarang dilaporkan jumlah kematian H1N1 ialah negara India. Menurutnya lagi, H1N1 tidak upaya masuk ke dalam tubuh badan orang yang kuat makan Kari Kepala Ikan. Hal ini adalah kerana kandungan yang terdapat dalam Kari Kepala Ikan ialah bahan yang boleh merangsang tubuh badan menjadi lebih berdaya tahan dan menguatkan lagi pertahanan tubuh badan (antibodies)". Sejauh mana kebenarannya juga belum juga dapat dipastikan.

Beberapa hari lepas, timbul pula cerita dari kawan saya bahawa bawang putih akan naik harganya dari RM1.70 sekilogram kepada RM2.50 sekilogram. Kenaikan harga tersebut dikaitkan pula dengan permintaan yang sangat tinggi kepada bawang tersebut di negara Cina. Khabarnya rakyat Cina kini memilih untuk memakan bawang putih sebagai usaha menentang serangan H1N1. Walaupun diakui bahawa bawang putih sebagai 'Raja Anti-biotik', masih juga tidak dapat dipastikan keberkesanannya menentang wabak ini.

Tiga hari lepas ketika berada di Pejabat Pos Kuala Terengganu, seorang penjual MLM juga berkempen secara ’bisik-bisik’ kepada kenalannya bahawa herbanya juga mampu mengelak dan merawat penyakit H1N1. Entahlah ketika kita berada dalam ’kesempitan’ ramai pula yang mencari ’kesempatan’.

Cuma satu perkara yang saya perasan Jumaat semalam, teks khutbah Tok Khatib tidak lagi menggunakan istilah H1N1, tetapi terus terang dengan sebutan ’selsema babi’. Boleh jadi kerana minggu lepas ada Tok Khatib yang tersasul membaca wabak H1N1 sebagai wabak ’Hini’. He he he.

Aug 13, 2009

Buat Baik Berpada-pada


Saya ketawa sendirian apabila melihat iklan pewangi kereta itu di tv. Kerana ’kewangiannya’ semua kereta yang dipandu oleh perempuan yang ’come lote’ itu mengalami ’kerosakan’. Sudah tentu ’kejadian’ itu tidak akan berlaku di alam sebenar.

Iklan bukan sahaja berperanan mempromosi barangan tetapi juga mempunyai unsur pendidikan bagi menjaga kebersihan diri, cara berpakaian, gaya pemakanan dan juga berkesan mengubah persepsi orang ramai kepada sesuatu barangan. Iklan telah banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Saya percaya bahawa sebahagian daripada kita tetap terkesan dengan pengaruh iklan. Walaupun iklan bukan seorang ’juru jual’ tetapi peranannya sebagai ’perangsang’ kepada penggalakan pembelian barangan memang memukau.

Saya tidak berhasrat untuk bercerita mengenai iklan. Cuma saya tertarik dengan plot iklan itu. Seorang lelaki kacak memandu sebuah kereta ’sporty’ dan berbekalkan pewangi kereta telah berjaya ’menumpangkan’ beberapa orang gadis cantik. Perjalanan selepas itu berlalu dengan perasaan riang ria dan ’gumbira’. Plot itu hampir sama dengan pengalaman yang saya lalui tetapi bukan penumpang perempuan tetapi lelaki.

Pada awal pagi di tahun 1998 saya telah bertolak dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur. Seperti biasa saya akan singgah di Perhentian Nilai untuk menunaikan solat subuh. Selesai sahaja menunaikan solat saya kembali ke kereta. Dalam suasana kelam, tiba-tiba sahaja muncul lembaga dari belakang pokok itu.

”Minta maaf bapak, tumpang bertanya, bagimana bisa mahu ke Salak Tinggi’.
’Aduh gimana boleh berada di perhentian ini’
”Saya naik bas ekspress, supirnya bilang turun saja disini kalau mau ke Salak Tinggi”

Ini dah jadi ’problem’ masalah. Oleh kerana memikirkan dia bersendirian, tanpa ragu-ragu saya mempelawa dia menumpang kereta hingga ke persimpangan lebuhraya ke Kajang. Dari sana dia boleh memanjat bukit kemudian menahan bas ke Kajang sebelum mengambil bas lain ke Salak Tinggi. Tetapi sebaik sahaja bersetuju untuk menumpangkannya, tiba-tiba sahaja keluar lagi dua ’lembaga’ dari sebalik bangunan surau itu dan terus masuk ke dalam kereta. Wah ini ’problem’ masalah juga ni.

Kerana memang sudah berhasrat untuk menumpangkan, saya teruskan sahaja niat itu. Malangnya dalam perjalanan, mereka berkeras supaya dihantar terus ke Salak Tinggi.

’Mana boleh pak, saya lagi kerja., mau cepat ’
’Saya ada permit lagi bapak, yang tiada permit pun orang berani hantar. Bilang saja berapa, kita bayar. Apa yang bapak takut’

Nampaknya keikhlasan saya telah cuba diinjak-injak. Nasib baiklah selepas tidak mahu mengalah akhirnya mereka turun juga dari kereta. Saya sudah nekad jika mereka tidak turun, saya akan memandu terus dan berhenti betul-betul di hadapan tangga Balai Polis Tol Sungai Besi itu. Perjalanan itu bukan lagi dalam keadaan riang ria dan ’gumbira’ tetapi penuh trauma.

Aug 9, 2009

Menjelang Ramadhan


Hawa bulan Ramadhan sudah semakin terasa. Buah Kurma sudah mula berlambak-lambak dijual di pasaraya di Kuala Terengganu. Walau pun ibadah puasa belum lagi bermula, kuih raya juga sudah mula dijual dan disusun bertingkat-tingkat. Terkehadapan betul perniagaan kita.

Minggu-minggu terakhir ini juga ‘rakyat’ Terengganu sudah bersepakat untuk bergotong royong membersihkan kubur dan masjid. Saya juga tidak pasti adakah amalan ini juga berlaku di negeri-negeri lain. Kerana sepanjang ingatan, ia tidak pernah berlaku di kampung saya. Kalau ada pun mereka berpakat-pakat membawa lauk-pauk dan kuih muih dari rumah ke majlis ‘tahlil’ pada Hari Raya ketiga di kawasan lapang berhampiran tanah perkuburan. Tentulah setiap negeri mempunyai persamaan dan perbezaan budaya.

Menjelang Ramadhan ini juga ’serangan’ selsema babi semakin menjadi-jadi. Setakat ini sudah 27 orang meninggal dunia. Semalam sahaja kematian sudah mencecah tiga orang sehari. Hari ini pula sudah mencecah sembilan orang. Ia bukan sahaja membimbangkan tetapi sudah sampai ke tahap menakutkan. Besok berapa pula......?. Wajarlah kita terus peka dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak kesihatan. Apatah lagi, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam keluarga kita, tentulah amat menyedihkan kerana Eid Fitri akan menjelang tiba selepas kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Tidak terlupa juga sejarah ’Blog Biso Bonar’ ini muncul di alam maya menjelang Ramadhan tahun lepas. Bermakna sudah setahun Hijriah saya menulis. Begitulah putaran masa, sehari, seminggu, sebulan dan setahun dirintis tanpa sedar. Posting di blog ini juga sudah mencecah angka ratusan. Lalu ingin ’ana’ bertanya, boleh ke ‘ana’ digelar penulis ?..... he he he .

Aug 6, 2009

Cinta Sejati


Sehari sebelum kami kembali ke Semenanjung sempat juga ’menyelongkar’ sebahagian kecil Pekan Sibu di pinggir Batang Rajang. Dari tempat penginapan kami jaraknya lebih kurang 46 kilometer. Jalan ke Sibu ’beralun’. Hampir sebahagian tanahnya, tanah gambut. Bandar Sibu dibina di atas ’Lembah Rajang’. Dua tiga rumah dipersimpangan Jalan Lada itu nampak senget kerana mendap. Pembinaan rumah agak mahal, kerana perlu di ’piling’ lebih dalam. Namun begitu Sibu tetap berbanga kerana memiliki Wisma San Yan, bangunan paling tinggi di Sarawak.

Melihat bandar Sibu di waktu petang amat mengasyikkan. Pertemuan antara beberapa batang sungai, Batang Oya, Batang Igan dan Batang Rajang. Bot-bot ekspress datang dan pergi dari pekan-pekan kecil di sekelilingnya, Song, Kapit, Kanowit, dan Belaga. Bot-bot ekspress yang panjang-panjang dan bersusun di pengkalan satu ’panorama’ indah yang tidak ditemui di negeri lain. Tiada ruang untuk mencuba. Mungkin satu hari nanti saya akan naik juga pengangkutan air yang tersohor di Sarawak ini.

Bandar Sibu juga bandar sejarah. Disinilah lahirnya Rosli Dhoby pejuang Sarawak. Rosli yang masih belasan tahun ketika itu telah menikam mati Sir Duncan George Stewart Gabenor ke 2 Sarawak di Kg Pulau. Kg Pulau itu sudah tiada lagi, ia sudah diganti dengan Sibu Water Front, yang terbentang di hadapannya Sungai Rajang dan dibelakangnya Hotel Paramount. Saya tidak berkesempatan untuk melihat pusaranya kerana ketika meninggalkan Bandar Sibu hari sudah beransur-ansur gelap. Hanya sempat melintasi sekolah menengah yang meletakkan namanya di Kg Nangka. Cuma mungkin ramai yang tidak mengetahui ’kekasih’ Rosli Dhoby masih lagi hidup, berusia 86 tahun dan bermaustautin di Kg Hilir, Bandar Sibu. ’Che Ani’ itu terus tidak berkahwin sampai kini, mungkin menyimpan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Boleh jadi itulah cinta sejati.

Aug 5, 2009

Fokker 50


Baru dua hari lepas saya kembali dari Bumi Kenyalang, Sarawak. Lebih tepat lagi dari Sibu. Mungkin langkah kami ’langkah kiri’. Ketika kami sampai, musim buah ’Dabai’ (sebutannya dabәi) baharu sahaja berakhir. Buah yang dikatakan amat sedap jika ditabur garam kemudian dijemur sebelum dimakan mentah begitu sahaja. Buah eksotik yang harga pasarannya mampu mencecah RM 16.00 sekilogram di pasar-pasar Bandaraya Kuching.

Sibu adalah pusat pengeluaran buah Dabai. Berada di tengah-tengah negeri Sarawak, lebih kurang 440 km melalui jalan darat ke Kuching. Lebih cepat jika menaiki kapal terbang, satu jam dengan Fokker 50 atau 45 minit dengan Boeing 737. Pengalaman pertama kali menaiki fokker memang menakutkan. Kapal berkipas dua ini bergegar setiap kali merempuh awan tebal. Kerap kali juga fokker ini ’terjun’ bila bertembung ’air-pocket’. Perut terasa kosong dan ’sayu’. Entah berapa kali tangan saya mencengkam kuat di lengan kerusi, menahan debaran. Seakan-akan menaiki roller-coaster. Pendaratannya juga tidak lancar. Hentakan kuat di landasan itu membimbangkan saya. Tapi apa pun bersyukur, kami selamat mendarat. Milo kotak yang diberikan semasa penerbangan ke Sibu masih lagi tersimpan dalam freeze di rumah tidak diminum............. :)


Nota:

Penerbangan menggunakan ATR, Fokker dan Twin Otter adalah perkhidmatan penerbangan luar bandar (RAS) yang disediakan oleh syarikat penerbangan MAS yang dinamakan MASWings. Meliputi 22 destinasi, 16 di Sarawak , lima di Sabah dan Labuan. Di Sarawak, ia menjadi pengangkutan penting dan penghubung kepada bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan pekan-pekan kecil, Marudu, Mukah dan Lawas. Turut menjadi pengangkutan penting untuk membawa barang-barang keluaran tempatan seperti di Tanjung Manis, Bario, Limbang, Long Akah, Long Lellang, Long Seridan, Mulu, Ba’ Kelallan dan Long Banga yang hanya ada tempat pendaratan dan berlepas yang pendek.

(Dipetik dari Majalah MAS – goingplaces, August 2009)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails