Aug 13, 2010

Komtar dan Putu Mayam

Kembali ke Pulau Pinang kali ini memberi kesempatan untuk saya singgah di pejabat lama. KOMTAR, Tingkat 38. Hampir puluhan tahun saya tidak masuk ke pejabat ini. Sejak saya berpindah mulai tahun 1988 hanya sekali dua sahaja menjejaki kaki di sini.


Warna cat lif yang berbeza-beza untuk naik ke tingkat tertentu masih kekal macam dulu. Warna hijau muda untuk lif ke tingkat 26 sehingga 41. Untuk naik ketingkat lain perlu guna lif biru atau kuning. Semuanya ada 65 tingkat. Dari tingkat tiga ke tingkat 38 hanya mengambil masa 35 saat. Masih laju, dan ketika sampai ke tingkat 30 akan terasa seakan letupan kecil di telinga kerana tekanan udara yang berbeza.


Hanya tinggal dua orang sahaja 'orang lama'. Susun atur pejabat itu juga sudah bertukar. Sudah lebih banyak bilik. Tidak mudah lagi untuk melihat pandangan dari atas. Dulu saya sering melihat panorama Pulau Pinang dari pantri ketika minum pada waktu rehat. Melihat feri yang berulang alik dari Pangkalan Tun Uda ke Pengkalan Sultan Abd Halim di Butterworth. Melihat bas keluar masuk di Jalan Prangin, pusat perhentian Yellow Bus (kini tapak itu sudah jadi bangunan tambahan KOMTAR.


Berbasa-basi lebih kurang bersama Pengarah dan rakan lama. Cerita lama, cerita baru, cerita keluarga sehinggalah kepada cerita politik Pulau Pinang yang sentiasa panas dan menarik. Lebih kurang 40 minit saya turun dari KOMTAR. Jangan lama sangat, saya tak suka buang masa bekerja kawan-kawan.


Saya memecut dari Jalan Penang ke Bazar Ramadhan di Jalan Makloom. sebelah Kg Dodol, mencari kuih-muih. Petang itu saya beli putu mayam yang jarang di temui di Putrajaya.

Aug 12, 2010

Itulah Takdirnya

Orang-orang tua pernah berkata ajal maut, jodoh pertemuan, tanah perkuburan hanya ditentukan oleh Allah. Kita merancang, Allah merancang. Sesungguhnya perancanganNya lebih baik.

Pada entri yang lalu saya telah bercadang untuk berbuka puasa di hari pertama Ramadhan bersama Along, Angah dan isteri apabila kembali dari Kuantan. Tapi segala-galanya tidak terjadi apabila biras saya yang menetap di Pulau Pinang meninggal dunia jam 3.10 petang itu.

Sesudah Subuh di puasa hari pertama saya dan isteri bertolak ke Pulau Pinang. Tak ada cerita, masing-masing melayan fikiran sendiri.

Ketika sampai semuanya sudah usai. Jenazah sudah dikebumikan. Kami hanya pulang menziarahi kakak yang telah kehilangan seorang suami.

Petang itu saya bukan berbuka puasa bersama keluarga tetapi berbuka bersama ipar-duai yang tak pernah berlaku sejak 26 tahun perkahwinan kami. Itulah takdirnya

Aug 10, 2010

18 jam Sebelum Ramadhan

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Semoga kita dapat mengerjakan ibadah ini dengan tekun dan istiqamah. Berbuka dengan sederhana, berbelanja dengan berhemah dan bijaksana. Potongan ayat itu ditulis juga di facebook PokLi yang ditujukan kepada muslimin dan muslimat. Mudahan-mudahan rakan taulan dan saudara-mara membacanya. Begitu juga saya memohon maaf kepada rakan bloggers sekiranya terdapat kekhilafan secara sengaja atau tidak sengaja, mudahan-mudahan amal ibadah di bulan Ramadhan ini lebih kyusuk daripada dahulu.


Saya menulis entri ini selepas singgah makan-makan di Tanjung Lumpur, Kuantan. Makan ketam dan sotong yang enak rasanya dengan secangkir teh o kosong. Tanjung Lumpur dahulunya perkampungan nelayan yang sunyi. 30 tahun dahulu saya menyeberang sungai ini dengan perahu penambang, tambangnya hanya RM0.30 sen. Tapi kini ia sudah jauh maju. Mungkin ia maju kerana terbinanya sebatang jambatan.


Sehari lagi di Kuantan. Besok ada pertemuan penting di Wisma Sri Pahang. Mungkin tiada masa untuk melihat-lihat Bandar Kuantan yang semakin meriah. Meninjau-ninjau apa ada di Pekan Melayu atau bersantai di Teluk Cempedak. Khemah-khemah Bazaar Ramadhan sudah didirikan di atas padang pinggir Jalan Mahkota. Teringin rasanya menikmati suasana membeli hidangan berbuka puasa di sini. Tapi apakan daya. Besok petang saya harus kembali ke Putrajaya. Menyambut kedatangan Ramadhan bersama-sama keluarga. Insya Allah.

Aug 7, 2010

Tasik Temengor

Pertama kali saya melalui lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur ialah pada tahun 1984. Ketika itu menemani seorang kawan yang diarah bertukar dari Pulau Pinang ke Bachok, Kelantan. Jalannya masih sunyi. Sebahagian jalannya tidak baik, dan berlopak-lopak. Kami lalui juga beberapa kawasan tanah runtuh. Perjalanan pula terpaksa dilakukan sebelum hari gelap. Kereta yang kami naiki merangkak, lebih sembilan jam perjalanan baru sampai ke Kota Bharu.

Ancaman komunis ketika itu masih belum reda. Pos-pos tentera didirikan di puncak bukit yang strategik. Pos-pos ini masih dapat dilihat dari jalan yang berliku-liku dan jambatan panjang melalui Tasik Temengor, 'tasik buatan' terbesar yang indah dan mengasyikan. Nasib baik juga kami tidak bertembung dengan kawanan gajah yang sering melintasi laluan ini.

Selepas pengalaman pertama itu saya melaluinya lagi berkali-kali samada ke Kelantan atau ke Terengganu. Apabila menetap di Terengganu lebuhraya ini seakan 'wajib' dilalui bila 'pulang' ke Pulau Pinang. Berkali-kali juga saya singgah menikmati masakan panas di Pulau Banding di tepi Tasik Temengor itu.

Minggu lepas saya berpeluang sekali lagi menjejak kaki di lebuhraya ini. Kali ini bukan menikmati makanan panas di tepi Tasik Temengor tetapi menerokanya. Tasik seluas 15,000 hektar itu turut menjadi jalan penghubung ke RPS Kemar penempatan Orang Asli suku kaum Temiar.

Menaiki bot dari Pengkalan Trojen Temenggor ke RPS Kemar mengambil masa 45 minit. Sepanjang perjalanan saya terpesona dengan pemandangan menarik, pokok-pokok mati , cabang cabang sungai yang berlatarkan bukit-bukau dan gunung-ganang yang membiru. Masih terdapat beberapa kelompok barisan pokok getah yang selamat dari ditenggelami air di tepi tebing. Ia adalah saki baki kebun getah Kampung Temengor, Kampung Padang Cermin dan Kampung Ayer Kandar yang telah tenggelam di dasar tasik. Nama-nama kampung yang sedikit demi semakin menghilang seperti kayu mati dalam tasik yang mereput.

Pagi itu kami disambut dengan tarian 'sewang' dan 'tepok' dari rotan yang bersulam cantik oleh penduduk RPS Kemar. Budaya Orang Asli yang meraikan tetamu ini masih mudah ditemui di penempatan Orang Asli yang jauh dari Pekan Grik ini.

Kami berada di kampung ini sehingga petang, menikmati buah manggis, buah rambutan dan buah durian sehingga puas. Saya mengetahui satu perkara. Orang Asli di sini tak makan durian yang jatuh, jika mahu menikmatinya mereka memetiknya terus dari pokok.



Nota:

RPS Kemar adalah penempatan Orang Asli di Daerah Grik yang terawal dan terbesar di Semenanjung. Mengandungi 15 buah kampung dan 13 orang Batin dengan jumlah penduduk seramai 3,000+ orang. Mempunyai kemudahan asas yang mencukupi termasuk sekolah rendah, balairaya, bekalan air graviti dan elektrik menggunakan generator. Boleh dihubungi melalui jalan air dari Pengkalan Trojen, Temengor atau Pengkalan Pulau Banding. Melalui jalan darat pula merentasi hutan tebal ke Pekan Lasah di Sungai Siput yang mengambil masa lima hingga enam jam perjalanan.
RPS = Rancangan Penempatan Semula

Sewang= Tarian kerohanian untuk tujuan perubatan yang kini dipersembahkan untuk menyambut tetamu

Tepok: lilitan kepala yang dibuat daripada anyaman daun kelapa atau rotan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails