Dec 31, 2010

Mood Aku Terganggu (2)

Jam 8.30 malam tadi aku kembali dari kampung. Menziarahi kakak-kakak yang sudah berusia. Petang itu berlalu begitu sahaja dengan pelbagai cerita.



Singgah sebentar di R&R Seremban. Merentas lorong pejalan kaki berbumbung ke deretan kedai makan. Melalui tiga orang budak remaja dalam usia 12 hingga 14 tahun. Dua lelaki dan seorang budak perempuan.



"Pak Cik dermalah untuk anak yatim. Sesekali dermalah pakcik".



Mengutip derma untuk anak yatim itu bagus. Tapi siapa di belakang mereka ini. Kenapa dibiarkan anak-anak ini meminta derma dalam usia muda dan sudah malam pulak tu.


Pernah saya jumpa seorang gadis sunti mungkin berusia 15 tahun yang melilau di stesyen minyak. Waktu dah hampir maghrib tetapi dia masih lagi menjual kalender. Saya tanya mana 'ustaz'nya. Dia kata akan datang.


Petang itu saya jadi geram. "Bila ustaz awak nak datang. Kan ni dah waktu hampir maghrib. Awak pula perempuan.. Bla. Bla. Bla...... .


Bimbang saya memikirkan hal sebegini yang diambil mudah. Teringat saya kepada iklan 'budak perempuan hilang' berusia 14 tahun di setiap laluan tol 'Lekas' petang tadi. Apa akan jadi kepada budak tersebut kalau ada yang mengambil kesempatan.
Nota:
Lekas : Lebuhraya Kajang - Seremban

Mood Aku Terganggu

Pagi tadi selepas balik dari UKM, Bangi singgah sekejap di medan selera berhampiran rumah. Menemankan isteri yang tiba-tiba sahaja berselera untuk makan selepas pagi tidak bersarapan kecuali minum air milo segelas.

Saya menumpang sekaki dengan makan lempeng pisang yang masih panas berbalut daun pisang. Baunya wangi. Mengasyikkan. Minum pula dengan teh o Lycee sambil membaca suratkhabar yang masih penuh dengan cerita Malaysia Juara Bola.

Tapi mood saya terganggu bila juru jual datang. Jual 'perfume'. Datang lagi jual alat hiasan. Saya fikir tak ada tempat lain ke nak jual. Itu belum lagi datang yang hulur tisu atau buku dan minta kita beli.

Bukan tak boleh tapi saya fikir tak kena. Tempat makan, jual makanan sahaja lah.

Dec 30, 2010

Mudah-mudahan Allah Terima

Ketika ke Alor Gajah hari Isnin lalu. Sahabat lama saya Haji D telah pun mengemaskan barang-barang serta dokumen peribadinya untuk dibawa pulang ke terataknya di Segamat. Saya ucapkan selamat bersara. Seingat saya dia sudah bekerja melebihi 30 tahun. Jangan pula minggu pertama bersara dia masih lagi teringin untuk datang ke pejabat. Lalui lah hidup baru itu dengan setenang-tenangnya.
Maklum sahaja sekarang ini kerja di jabatan kerajaan sudah semakin tinggi cabarannya. Apatah lagi dalam zaman 'Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan' diperkukuhkan lagi dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sekarang. Kakitangan kerajaan digesa terus bekerja dalam budaya kreatif dan inovatif, cekap dan kompeten dan pelbagai lagi 'perkataan' yang 'muluk-muluk' bunyinya untuk menunjukkan perkhidmatan kerajaan sekarang perlu mencapai kelas dunia.


Seronok ke bersara ?. " Seminggu aje". Itu kata seorang guru kenalan saya.


"Bosannya duduk di rumah, nak pergi ke sekolah, kawan-kawan mengajar pulak" " Tak tau nak buat apa, last sekali pergi ke laut memancing".


Mungkin lain orang lain pula ragamnya. Ada yang seronok sangat bila bersara. " Bebas, dulu tersekat nak pergi dengar ceramah, nak belajar agama, nak campur orang".
Ada juga yang menghabiskan masa melancong mengikut pakej atau melancong secara persendirian di dalam negara dan ke luar negara. Bahagianya kannnn.


Tetapi saya kagum dengan sikap seorang kenalan, tiga bulan sebelum bersara, kesemua gajinya yang diambil disedekahkan kepada rumah anak yatim, surau dan masjid.


Mengapa pulak Pak Mat?. " Sahaja nak tebus masa lalu. Masa muda dulu banyak juga curi tulang, datang lewat, balik awal. Ada masa buat kerja tak berapa ikhlas. Dah tua-tua ni, dah nak bersara pulak, kena tebus semula lah. Mudah-mudahan Allah terima".


Saya juga sedang melalui lorong itu dan semakin hampir. Saya tidak tahu seronok atau tidak. Saya berdoa kepada Allah, semoga umur saya dipanjangkan untuk melaluinya.

Dec 27, 2010

Cucur Udang, Murtabak Hindustan

Pagi hari lagi saya sudah memandu ke Alor Gajah. Menghantar Along yang masih gigih menyambung pengajiannya di Uitm Melaka, Lendu. Untuk beberapa tahun lagi saya dan isteri akan berulang alik ke Melaka. Ia seakan menjadi amalan rutin. Dahulu ketika kami menetap di Terengganu, dalam setahun beberapa kali kami akan turun ke Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah dan Matrikulasi Johor di Tangkak selain daripada Uitm Pahang di Jengka. Tahun-tahun berikutnya kami turun pula ke Jengka, UKM di Bangi, CUCMS di Cyberjaya hanya menjenguk anak-anak yang menuntut ilmu. Itulah masanya kami berdua ambil kesempatan untuk 'makan angin' dan 'bercuti'.

Kini saya sudah kembali dan menetap di Putrajaya. Rutin itu sudah berkurangan, kerana anak-anak yang belajar tinggal berdekatan, kecuali Afif di Uitm Puncak Alam.

Apa pun tahun 2011 kami akan kembali 'mengembara'. Meneroka sebahagian daerah di Melaka. Membeli kuih dodol atau pun belacannya.Cuma bila menelefon seorang kawan di Alor Gajah, dia pulak sedang sibuk menguruskan persaraannya pada 1 Januari 2011. Saya ucapkan selamat bersara. Tiadalah lagi kawan lama untuk bersama menikmati cucur udang yang enak di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah yang tersohor itu. Dia akan kembali ke Segamat.
Apa pun saya berpesan, kalau saya turun ke Segamat, pelawalah untuk menikmati 'Murtabak Hindustan' yang juga amat enak di Medan Selera, Jalan Sultan, Segamat itu.

Kepada rakan-rakan blogger. Salam Hijrah dan Selamat Tahun Baru, semoga murah rezeki dan bertambah keberkatan umur.


Nota:
CUCMS - CyberJaya University College of Medical Sciences

Dec 19, 2010

Aku Mula Mengerti

Minggu lepas saya telah mencipta rekod untuk diri sendiri. Berjalan kaki selama lapan jam merentasi Hutan Simpan Kenaboi. Bermula jam 9.00 pagi melalui denai sarang pacat. Mengharungi sungai yang berbatu-batu dan air sehingga ke paras peha. Berjalan kaki hampir satu jam baru sampai ke 'permatang busut' hutan simpan itu. Menggalas beg berisi bekalan makanan menjadikan perjalanan itu lebih sukar. Menuruni bukit curam terpaksa dilakukan secara berhati-hati. Silap tempat berpijak boleh jatuh ke dalam jurang. Kemudian mendaki semula dengan tebing bukit yang lebih curam dan licin. Hujan yang turun menambah 'perisa' yang sedia ada.
Petang itu jam 5.00, kami sampai juga ke tapak khemah di pinggir Hutan Lipur Lata Kijang itu dengan keadaan lesu. Walaupun keletihan terpaksa juga memasak dalam keadaan hujan yang semakin lebat. Bukan mudah menghidupkan api. Terpaksa meracik halus buluh kering sebagai 'pemula api'. Nasib baik ada ahli kumpulan kami seramai 10 orang itu yang pakar menghidupkan api walaupun buluh dan kayu masih basah. Khemah terpaksa dirungkai semula bagi mengelakkan tempias hujan lebat. Petang itu cukuplah mee maggi sebagai pelapik perut. Malam itu kami tidur dalam kesejukkan menggigit tulang.
Pengalaman itu amat berharga sekali. Bukan kerana berjaya memecah rekod berjalan kaki. Bukan. Tetapi kerana mula memahami cara hidup Orang Asli. Ada lima Orang Asli yang menemani kumpulan kami sepanjang perjalanan itu. Itulah kehidupan mereka sehari-hari. Kami memahami makna 'kawasan rayau' mereka. Cara-cara membuat 'jerat belatik', 'ranjau' dan 'Tali'. Membina pondok 'pisang sesikat' dan 'pondok bermalam' daripada daun bertam, rotan semut dan rotan tikus. Membuat tanda amaran jika ada perangkap yang di pasang supaya tidak ada penduduk kampung yang terjebak. Begitu juga tentang pantang larang memasuki hutan dan membuat jerat. Mengenali beberapa jenis pokok seperti 'Tongkat Ali' , 'Kacip Fatimah' dan juga 'daun gulung' yang dibuat pembalut rokok.
Sewaktu memandu pulang ke rumah, terbayang kehidupan sukar mereka dalam hutan, mencari bekalan makanan melalui hasil buruan dan jualan hasil hutan. Perjalanan panjang di hutan itu mereka masih 'ikat perut', walaupun dibekalkan roti sandwich berinti telur rebus. Sedangkan kami seakan 'berkelah' mengadap nasi berlauk kari ayam dan ikan kering ketika makan tengahari di tepi Sungai Kenaboi yang dingin itu. Terlintas di fikiran saya, kejayaan saya berjalan kaki selama lapan jam itu tidak bermakna sama sekali buat mereka. Mereka bukan mementingkan rekod, yang penting ialah kelangsungan hidup.
Nota:
Permatang Busut - Puncak bukit terendah sebelum menuju puncak bukit atau gunung
Kawasan Rayau - Kawasan Orang Asli mencari hasil hutan, tempat berburu dan juga mendapatkan buah-buahan.