Aug 30, 2011

Jalan Kenangan


Beberapa jam sahaja lagi sembahyang Hari Raya akan bermula. Saya akan bersembahyang di Putrajaya sahaja. Kembali ke rumah menikmati hidangan bersama anak-anak dan bermaaf-maafan. Selepas itu baru merancang untuk pulang ke kampung. Menziarahi kakak-kakak yang ada. Kemudian ke Rasah, Jiboi, Gedung Lalang, Sendayan melawat bapa dan ibu saudara yang telah uzur belaka. Esoknya bersambung lagi ke rumah saudara mara di kampung dan di Port Dickson.

Mungkin tiga hari baru cukup untuk menziarahi semuanya. Pilih yang 'motan' sahaja. Arwah abah ada 15 orang adik beradik dan arwah emak ada lima adik beradik. Kini hanya tinggal 10 sebelah abah dan dua orang sebelah emak. Sepupu saya sahaja sudah mencecah 120 orang. Apatah lagi anak buah dan cucu-cucu saudara. Kesimpulannya saya tidak mengenali mereka semua.

Inilah perjalanan yang saya tempoh semenjak saya membesar bersama arwah abah. Abah adalah anak sulung dalam keluarganya. Selepas sembahyang Hari Raya kami akan berkonvoi bersama-sama menaiki motosikal bersama Itam Suman dan Lang Joned ke rumah adik beradiknya. Hampir waktu asar baru kami sampai kembali ke kampung.

Hari ini semuanya telah tiada, biarlah saya sekeluarga kembali merintis jalan kenangan itu......................

Nota:

Motan = Penting/ utama, diambil dari padanan Bahasa Inggeris important

Aug 27, 2011

Jangan Tidur Lagi.....

Tinggal beberapa hari lagi kita akan merayakan Hari Kemenangan selepas merentas bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya juga sudah menamatkan siri jelajah dan berbuka puasa hampir di setiap negeri pada petang 25 Ogos 2009 lalu di Melaka.

Dua hari sebelumnya saya berbuka puasa bersama mangsa tragedi Sg Ruil yang ditempatkan di Dewan Jubli Perak, Cameron Highland. Insya Allah pada bulan Oktober nanti mereka akan kembali hidup selesa dengan rumah transit yang dibina di Kem Brinchang.

Malamnya saya menangguhkan untuk pulang ke Putrajaya. Hujan renyai beransur lebat itu menurunkan suhu malam sehingga 16 darjah celcius. Kesejukan amat terasa walaupun selimut tebal di hotel dibalut kemas ke badan.

Sambil menonton tv saya nikmati secawan nescafe panas. Aromanya yang wangi dan menyegarkan itu memanaskan badan. Malangnya dalam suasana dingin itu saya tidak dapat melelapkan mata sehingga ke pagi............ Mungkin kesan kafein.

Aug 18, 2011

Pokok DiGi

"Saya dulu pemandu teksi", akuinya tanpa kekok.


"Balik dari oversea tahun 1985 tak ada kerja,masa tu recession. Masa tu saya dah pun kahwin. Saya bergilir bawa teksi bapa mertua. Bapa mertua pagi saya petang dari jam 3 petang hingga 9 malam. Boleh tahan juga dapat RM800 sebulan selepas tolak sewa teksi."


"Saya tak kira jauh ke dekat. Penumpang naik saya buka meter, kalau seringgit pun seringgitlah, yang penting kita bekerja dengan tekun dan ikhlas. Kerana itu saya tak boleh terima kalau ada pemandu teksi yang kata nak bayar sewa teksi pun tak mampu"


Dia mengambil contoh bapa mertuanya sebagai pemandu teksi yang berjaya. "Bapa mertua saya setiap hari mengasingkan pendapatannya kepada tiga tabung, tabung insuran dan road tax kereta, tayar dan gaji dia. Jika ada duit lebih, dia balik rumah bawa buah tangan. Dulu saya fikir bapa mertua saya kedekut. Tapi caranya betul. Dia boleh dapat gaji RM2,000 setiap bulan".


" Kini dia dah bersara dari bawa teksi. Permit teksi dia tak bagi kat saya atau anaknya. Dia bagi kat kawan baiknya yang sama-sama bawa teksi tapi masih menyewa permit. Dia urus tanpa kenakan sebarang bayaran. Simpatinya tinggi. Saya memang hormati sikapnya".


" Lepas bersara dia balik kampung dan bina rumah. Kerja kampung macam orang lain. Allah murahkan rezekinya, sebuah syarikat komunikasi sewa tapak di tanahnya untuk dirikan antena pemancar. Dapatlah sewanya RM2,000 jugak sebulan."


Itulah cerita pendek dari Saudara N yang kini menjawat jawatan penting di sebuah organisasi yang berkait rapat dengan peningkatan ekonomi Bumiputera.


Kisah ini mengingatkan saya pada Firman Allah SWT yang bermaksud:" Sesiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya pula." (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Aug 17, 2011

Lemasnya

Pagi semalam saya berada di sebuah majlis perasmian. Berada dalam majlis yang lambat usai memang melemaskan. Menanti ketibaan VIP sahaja mengambil masa satu jam.



Mungkin benar kata sahabat saya, "semakin mundur sesebuah negara, semakin lambat majlis itu selesai". Dia mengambil contoh sesetengah negara di Afrika. Penduduknya terpaksa menunggu sehari suntuk sebelum pemimpin mereka datang. Bertemu dan berucap dalam beberapa jam, pemimpin kembali ke ibukota, penduduk pula terpaksa menghabiskan masa panjang untuk pulang ke rumah.


Negara kita hampir maju, tetapi 'tabiat' mengadakan majlis dalam tempoh yang lama masih berlaku. Kerap kali VIP yang ditunggu lewat tiba. Kita mungkin tidak boleh lagi membuang masa hanya untuk menunggu ketibaan seorang pemimpin. Sepatutnya pemimpin yang terpaksa tunggu kita.:)

Aug 16, 2011

Sepanjang Perjalanan

Semalam, sepanjang perjalanan ke Seremban tidak banyak kelihatan rumah mengibarkan bendera. Kalau ada pun satu dua di kereta. Teringat saya pada tahun 1995 apabila sebuah syarikat pencetak bendera menawarkan hadiah lumayan, berebut-rebut kita memasang bendera di rumah dan di kereta.

Selepas bertahun-tahun kita merdeka, rasa patriotik itu luntur begitu sahaja. Kita jarang 'terusik' walaupun Jalur Gemilang negara dipijak dan dibakar. Bandingkan dengan rakyat yang memiliki Sang Saka Merah Putih. Mereka sanggup membeli kain, menjahit dan mengibarkan bendera setiap kali hari merdeka negara mereka tiba tanpa dipaksa.

Mungkin tahun ini kita lebih terleka kerana sibuk dengan juadah berbuka dan persiapan Hari Raya.

Aug 14, 2011

Ziarah Ramadhan

Tahun ini sekali lagi disepanjang bulan Ramadhan saya kembara dari satu negeri ke satu negeri. Khamis lepas berbuka di Ipoh. Semalam saya berbuka di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan atau nama lamanya Pantai Cinta Berahi. Batu granit selebar ukuran 2'x2' diatur sepanjang pantai bagi mengelakan hakisan ombak. Pantainya agak sempit. Ketika hari cuti pelbagai layang-layang dijual dalam pelbagai bentuk dan warna. Di bulan Ramadhan pantai ini sunyi kecuali bunyi ombak.

Petang itu kami berbuka puasa mengadap Laut Cina Selatan. Menikmati ayam percik, telur itik, kuih akok dan jala emas. Selepasnya kami sama-sama solat maghrib, tazkirah, solat Isyak dan tarawih.

Hari ini saya berbuka di rumah bersama keluarga. Masih ada lagi 'ole-ole' dari Kelantan yang sama-sama kami nikmati, murtabak raja dan serunding daging. Terima kasih kepada rakan-rakan di Kota Bharu yang juga bekalkan kami buah kurma dan kuih bangkit.

Esok saya akan kembara lagi ke Negeri Sembilan. Selepas itu ke Selangor, Johor, Perak, Pahang dan berakhir di Melaka. Insya Allah.

Aug 12, 2011

Rendang Ayam Pulut Durian

Minggu lepas saya kembali ke kampung. Berbuka puasa bersama kakak sulung, kakak tengah dan kakak bungsu. Kakak sulung sudah mencecah usia 63 tahun. Seronoknya berbuka beramai-ramai menikmati lauk rendang ayam masakan 'nogori' dan bubur durian berbuah sulung.


Kalau dahulu kami hanya berbuka empat beradik bersama abah dan emak. Kini sudah berkembang biak sehingga 27 orang. Andaikata tiga lagi abang dan seorang kakak saya tidak meninggal sewaktu kecil, mungkin petang itu sudah menjadi kenduri BESAR.

Aug 4, 2011

Bila Mesin Buat Silap.......

Saya mula menjadi pelanggan bank pada tahun 1982 ketika bertugas di Pulau Pinang. Itu pun untuk urusan gaji sahaja. Ketika bertugas di sebuah jabatan di Kuala Lumpur pada tahun 1980, apabila tiba hari gaji kami akan beratur panjang di luar sebuah bilik khas. Bilik ini dikawal oleh dua orang polis. Ketua Kerani dan dua orang pembantunya akan menyiapkan sampul surat dan mencatatkan butiran penyerahan gaji kepada kakitangan. Hanya kakitangan yang bergaji RM500 ke atas sahaja yang layak membuka akaun bank.



Perkhidmatan bank kini sudah begitu maju, sehingga urusniaga boleh dilakukan dengan menggunakan telefon bimbit. Ramai yang sudah tidak lagi ke bank untuk urusan pembayaran bil atau pembiayaan kerana boleh dilakukan secara 'on-line'. Namun begitu kaunter bank masih belum kosong. Masih ramai lagi yang suka berurusan secara bersemuka.


Tengahari semalam saya juga ke bank di Putrajaya kerana sedikit urusan. Di kaunter aduan kelihatan seorang lelaki yang berpeluh dalam udara yang dingin. Ceritanya ketika dia mengeluarkan wang, wang tidak keluar walaupun transaksi menyatakan ia berjaya. Lebih malang lagi ia memang mengharapkan wang itu yang baru sahaja di 'bank-in' oleh isterinya di Ipoh.

Dalam dunia yang canggih ini, kesilapan mesin yang tiba-tiba terjadi sering buat kita gelabah.

Aug 1, 2011

Bukan Kerana Nama

Semalam saya menikmati lagi durian kampung di Paya Lebar, Hulu Langat. Percuma. Salihai yang belanja. Salihai berbangsa Cina.


"Dia budak Pulau Ketam, kahwin dengan Yanti anak Orang Asli Sg Lalang". Penjelasan itu datangnya daripada Haji Esa Ibrahim Shah seorang pendakwah bebas.


" Saya mula berdakwah ni sejak saya bersara. Sudah 25 tahun dah... ".

Pak Haji Esa masih kuat. Ketika usianya 80 tahun ia masih lagi berulang dari kediamannya di Kemensah Height, Ulu Kelang, 40km ke kampung ini. Bermula dengan seorang penduduk kini sudah lahir 20 buah keluarga Orang Asli Islam.

Pak Haji Esa bersama rakan-rakannya juga membina surau An-Nur daripada pelbagai sumbangan dan dana simpanannya. Kini rakan-rakan seangkatannya sudah ramai yang uzur dan meninggal dunia. Tinggal Haji Esa dan isteri menjadi teman dalam usaha dakwahnya. Mencari keredhaan, bukan kerana nama.......

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails