Sep 11, 2011

Dedikasi Untuk Ayah

Hujan lebat dan sesekali renyai itu mengiringi perjalanan kami  dari Putrajaya ke Gua Musang. Hanya selepas bandar Raub cuaca panas kembali. Alhamdulillah perjalanan hampir empat jam itu berjalan lancar.

Saya sampai di daerah ini ketika hampir waktu solat Zuhur. Gua Musang adalah daerah paling besar di Kelantan, bersempadan dengan Pahang di selatan, Terengganu di timur, Perak di barat manakala di utara bersempadan dengan daerah Jeli dan Kuala Kerai. Daerah yang mempunyai laluan keretapi  menghubungkan  pekan Gua Musang dengan pekan Gemas di Negeri Sembilan.

Petang itu saya menyaksikan persembahan dikir barat daripada Halim Yazid. Pendikir yang terkenal dengan lagu Anak Tupai. Usianya sudah separuh abad, tapi masih nampak muda dan lincah. Keistimewaannya, dia menggunakan lagu-lagu dikirnya sebagai motivasi kepada penonton dan pendengarnya. Lirik lagu-lagu dikir baratnya adalah rakaman kehidupan peritnya semasa kecil sehingga zaman remaja.

'Saya masa kecil hidup susah. Pergi sekolah berjalan kaki. Yuran sekolah RM3.90 sepenggal saya tak mampu bayar.... tapi ayah saya kata sekolahlah .... sekolah tak perlu duit. Bila cikgu mintak bayar yuran.... saya hanya jawap saya nak sekolah.  Bila cikgu minta lagi .... ambo royak ambo nok sekoloh.

Lagu Balik Asal diposting ini liriknya merakamkan sebahagian kecil daripada cerita kesusahan dan kepayahannya. Ketika orang lain mengikuti rombongan sekolah dia seorang yang tertinggal. Ketika dia memperolehi SPM pangkat satu, ayahnya terpaksa menjual ayam kesayangannya untuk menampung perbelanjaan Halim ke tingkatan enam. Apabila  Halim berjaya pula memasuki universiti, ayahnya terpaksa menjual tanah sekangkang kera milik keluarga mereka bagi mendapatkan duit RM1000.00.

Kerana itu tidak hairanlah jika Halim menujukan lagu ini khusus untuk ayahandanya yang tercinta. Ayahnya  sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan pendidikan anak-anak. Sepatah kata Halim; " Ayah saya tak sekolah, tapi ayah tetap suruh saya pergi sekolah. Kata ayah, sekolahlah, sekolah boleh jadikan kita kaya, jadikan kita besar, jadikan kita sohor.'

Sep 2, 2011

Sana Sini

Hari ini bertolak dari rumah ke pejabat dalam suasana yang tenang. KL masih belum sesak lagi. Merentasi tol Sungai Besi dengan lancar. Seakan memandu di tahun 80an.



Pejabat masih kosong. Menyelak dua tiga naskhah akhbar. Ceritanya pelbagai. Artis yang seronok menyambut Hari Raya dengan tujuh lapan pasang baju baru. Isu Mat Sabu dengan komunisnya. Kematian di jalanraya yang meningkat. Kisah kemeriahan Hari Raya dan sambutan kemerdekaan. Aktiviti rompak dan samun. Kisah simbah asid yang sadis. Sehinggalah kepada paparan kebuluran di Somalia yang memilukan.

Ribuan lagi cerita, peristiwa dan berita yang tidak sempat dirakam atau disiarkan. Sedih, memilukan, geram dan memualkan silih berganti.

Semalam saya sudah menamatkan 'ziarah kasih' sebelum menyambung semula lagi Sabtu ini. Ada dua tiga buah rumah saudara mara yang belum dijengah. Ahad ini saya akan menghantar Afif memasuki UM dan menghantar pulang Atiqah ke UKM.

Minggu hadapan saya akan bercuti selama seminggu, kemudian mengharungi semula KL yang sibuk dan tugas yang bertimbun. Masih ada masakah untuk membaca akhbar itu ?.


Nota:


UM = Universiti Malaya

UKM= Universiti Kebangsaan Malaysia

Sep 1, 2011

Ziarah Kasih

Sudah kembali di Putrajaya. Damai.

Perjalanan yang dirancang selepas solat sunat Eid Fitri dua hari lepas berjalan lancar. Berhari raya di kampung. Menziarahi pusara Abah, Emak, Atok, Nenek, Alang Joned, Wan Limah. Ada empat pusara baru. Wan Monah yang baru dibina 'kalang airnya'. Tiga lagi pusara belum ada batu nesan termasuk Induk Mirus (adik arwah emak) yang meninggal bulan Jun lalu.

Dari tanah perkuburan terus sahaja ke Seremban menziarahi bapa saudara Teh Kaya, 85 tahun. Sudah pelupa benar, beberapa kali bertanya, "Kau sapo?.

Dari sebuah rumah ke sebuah rumah hingga rumah Pak Ijaz di Port Dickson. Insya Allah kalau tiada aral melintang akan menunaikan Haji tahun ini. Mudahan-mudahan dikurniakan Allah kesihatan dan kekuatan kerana usianya sudah 77 tahun.

Alhamdulillah, perjalanan petang tadi lancar walau pun dari Seremban tersangkut-sangkut sehingga ke persimpangan Nilai Utara.

Besok kami akan menyambung lagi ziarah kasih ini, ke Kepong, Rawang dan Serendah. Menziarahi keluarga isteri. Nampaknya bonus tahun ini habis di jalanan sahaja. Ha ha ha.