Dec 28, 2008

Diplomasi Seorang Raja

Walaupun saya sudah memutuskan untuk tidak menulis di blog ‘Biso Bonar’ hingga ke akhir tahun, namun berita kemangkatan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan tengahari semalam telah merubah keputusan saya. Baginda yang berusia 86 tahun telah mangkat pagi semalam selepas mengadu sakit kepala. Mula menaiki takhta kerajaan pada tahun 1967, apabila Yang Di Pertuan Besar Tuanku Munawir mangkat. Ketika dinamakan sebagai penganti raja ‘baginda’ sedang menuju ke Jepun untuk menjawat jawatan Duta Malaysia di sana. Sebagai rakyat Negeri Sembilan sudah tentu saya merasakan kehilangan seorang raja yang bukan sahaja sederhana, lembut pertuturannya, mesra dengan rakyat, peminat sukan terutamanya golf, bahkan ‘baginda’ seorang raja yang tinggi sifat diplomasinya.

Saya bukanlah orang rapat atau orang kuat istana yang mampu menceritakan seribu kenangan bersama ‘baginda’. Namun saya menjadi saksi kepada satu peristiwa, yang menggambarkan kebesaran jiwa dan sifat diplomasinya yang ‘hebat’. Di majlis tersebut, kedudukan baginda telah ‘dicemar’ dengan kejadian yang sepatutnya tidak berlaku. Pada tahun 1994, Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abd Rahman telah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke 10. Sebelum baginda berangkat ke Kuala Lumpur bagi tempoh lima tahun sebagai Yang Di Pertuan Agong, pelbagai acara rasmi telah di atur. Salah satunya ialah majlis perasmian dan menamakan bangunan dewan di Seri Menanti. Majlis ini mempunyai ‘sentimental value’ kepada baginda kerana dewan tersebut akan dinamakan dengan nama permaisurinya , ‘Tuanku Ampuan Najihah’.

Majlis pada petang itu berlangsung sederhana. Cuaca juga nyaman dan redup. Tetamu jemputan yang hadir ialah pemimpin-pemimpin politik, ketua-ketua jabatan, Dato-Dato Lembaga, Dato-Dato Adat, pemimpin-pemimpin masyarakat dan sebahagian ‘rakyat baginda’ di Sri Menanti. Lebih kurang 400 orang semuanya. Tiga buah kanopi berwarna putih itu penuh, selain rasa hormat dan sayang kepada ‘tuanku’ ia juga sebagai tanda ‘menjunjung kasih’ dan ucapan tahniah kepada ‘destinasi’ baginda dari Istana Besar Sri Menanti ke Istana Negara.

Oleh kerana YAB Menteri Besar tidak dapat hadir, tempatnya telah diwakilkan kepada ADUN kawasan berkenaan. Majlis dimulakan dengan lagu ‘state anthem’, doa dan ucapan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Entah dimana silapnya, ADUN yang membaca teks ucapan YAB Menteri Besar bukan sahaja betul-betul ‘membaca’ tetapi turut ‘merasmikan’ bangunan dewan tersebut. Gemparlah majlis, riuh-rendahlah seketika. Sekelian yang ada tertanya-tanya dan terpana, bagaimana ‘kesilapan besar’ itu boleh berlaku. Merahlah muka beberapa orang Dato Adat dan Dato Lembaga, ada yang bertempik, kerana ‘canggungnya’ perbuatan ADUN tersebut. Mujurlah tindakan cepat pengacara menjemput ‘Paduka Seri YDP Besar Negeri Sembilan’ menyampaikan titah dan mengumumkan nama bangunan dewan menyelamat keadaan. Ketika ‘baginda’ bertitah;

“Tak perlulah beta menamakan dewan ini, kerana sudah ramai yang menyebutnya. Cuma hasrat beta, melihat Sri Menanti terus dibangunkan selari dengan pembangunan yang berlangsung pesat di bandar dan daerah-daerah di negeri ini. Beta juga……….….”.

‘Baginda’ telah ‘bertitah’ hampir 20 minit tanpa teks. Sesuatu yang jarang berlaku. Bercerita mengenai permainan golf dan harapannya kepada pembangunan di Sri Menanti. Sesekali ‘baginda’ berjenaka, seolah-olah peristiwa yang ‘memalukan’ tadi tidak pernah berlaku. ‘Hebat’nya baginda kerana ‘menyimpan’ murkanya. Kalau raja itu bukan bernama ‘Tuanku Jaafar’ saya tak tahu apa akan jadi pada wakil rakyat itu. Ini adalah kisah yang tidak pernah dinukilkan dalam mana-mana akhbar. Saya coretkan kisah benar ini yang berlaku empat belas tahun dahulu sebagai kenangan saya kepada ‘baginda’, seorang raja yang sentiasa menyembunyikan ‘kukunya’. - Al-Fatihah.

Dec 26, 2008

Bermula Sekali Lagi.......

Agak terlewat saya 'mengemaskini' blog ini. Beberapa minggu terakhir ini saya semakin sibuk dan ‘kelelahan’. Mungkin ini posting terakhir saya sebelum kita menyambut Maal Hijrah 1430 Hijriah dan Tahun Baru 2009. Bertambahlah lagi umur kita dari setahun ke setahun. Mengikut kiraan tahun Hijriah, saya berusia genap 50 tahun pada 13 Muharram 1430 Hijrah, Jumaat minggu hadapan. Ini bermakna saya hanya ada 13 tahun sahaja lagi untuk menyamai umur Rasullulah saw yang kita kasihi, wafat. Jika sempat usia saya sehingga 63 tahun, saya menghitung-hitung, cukup kah amal ibadat saya selama ini untuk menghadapi hari kematian yang kekal abadi itu. Jika diberi pula ‘bonus’ umur sehingga 72 tahun mengikut standard jangka hayat lelaki di Malaysia, cukupkah perancangan yang saya sudah lakukan. Kerana dijangka inflasi akan meningkat melebihi 6% ketika itu. Makanan yang kita nikmati RM 20.00 sekarang akan berharga RM60 atau RM 70 pada 20 tahun akan datang. Inflasi perubatan juga naik hingga ke 15% setahun. Malah sudah ada kajian yang mengatakan 70% pesara menghabiskan wang KWSP atau pampasan dalam tempoh tiga tahun selepas bersara. Satu kenyataan yang menakutkan.

Itu pun kalau sampai, banyak juga rakan-akan sebaya yang sudah meninggal dunia dalam waktu terdekat ini. Meninggal dunia kerana penyakit ataupun kemalangan jalanraya. Dua hari lepas seorang kenalan saya di Kota Bharu tiba-tiba rebah dan meninggal dunia ketika sedang membeli baju persekolahan anak-anak. Begitulah rapuhnya umur kita. Ramai juga rakan-rakan seangkatan saya telah terkena penyakit ‘orang senang’, kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. Ada juga sudah mengalami penyakit-penyakit kronik seperti buah pinggang, kanser dan angin ahmar. Setiap kali saya berfikir perkara tersebut sebelum menyambut tahun baru semakin saya sedar bahawa kita hanyalah penumpang di dunia yang fana ini seperti kata pantun Melayu;

Halia ini tanam-tanaman
Ke Barat juga akan rebahnya
Dunia ini pinjam-pinjaman
Ke Akhiratnya juga akan sudahnya.

Redup bulan bagai nak hujan
Pasang pelita sampai berjelaga
Hidup mati ditangan tuhan
Tiada siapa dapat menduga

Apa pun janganlah kita berputus asa di atas rahmat Allah yang sentiasa menebarkan rezeki kepada makhluknya samada yang memohon ataupun tidak. Kepada yang menyimpan azam dan berjanji untuk menunaikan sepenuhnya di tahun hadapan, tunaikanlah. Jika masih ada yang berhutang dengan janji-janji samada kepada diri sendiri, anak-isteri, saudara-mara, rakan taulan, majikan, jiran-jiran, didoakan semoga tertunai jua janjinya di tahun hadapan.

Dikesempatan ini juga saya memohon maaf kepada rakan-rakan bloggers dan juga pengunjung, kalau sepanjang tiga bulan berblog ini secara tidak sengaja telah menulis perkara-perkara yang menyentuh perasaan. Akhirkata, semoga maju jaya dalam segala lapangan di sambutan Maal Hijrah 1430 dan 2009.



Dec 21, 2008

Kampung 'S'

Ayat ‘santau blog’ daripada Razor telah mengingatkan kepada sejarah hitam, kampung saya, ‘Kampung S'. Berpuluh-puluh tahun dahulu ia kerap dikaitkan dengan ‘permainan santau’, terutama di musim kenduri kahwin. Kebetulan pula bulan Disember ini juga sinonim dengan majlis ‘walimatul urus’ . Mawi dan Shikin juga sudah selamat diijabkabulkan dan sah sebagai pasangan suami isteri. Tahniahlah kepada mereka dan keluarga mereka. Didoakan semoga perkahwinan itu kekal abadi sehingga ke anak cucu. Janganlah dikemudian hari timbul cerita-cerita yang kurang enak dan kemudiannya menjadi cerita sensasi di tv dan media pulak.

Berbalik semula kepada cerita sejarah hitam ‘Kampung S’ tadi. Sepanjang tahun 1975 hingga 1977, kampung saya ini amat digeruni bukan kerana kehebatan ‘pasukan bola sepak’ atau ‘geng samsengnya’ tetapi dengan ‘permainan santaunya’. Ia telah menakutkan orang luar dan turut menakutkan orang kampung sendiri. Setiap kali ada kenduri kahwin, sebut sahaja ‘Kampung S’, tetamu jemputan akan merasa ‘liat’ untuk datang. Jika kerana bukan keluarga terdekat ataupun kerana kenalan rapat mereka lebih suka pergi ke kampung lain daripada datang ke ‘Kampung ‘S. Jika mereka datang pun mereka lebih selesa untuk mengambil lauk dan nasi sendiri daripada menikmati hidangan yang ‘ditating’. Tetapi itu bukan jaminan mereka tidak terkena santau. Kerana santau bukan sahaja boleh ‘dikenakan’ secara terus ke dalam makanan tetapi juga boleh di ‘hantar’ melalui angin.

‘Santau Angin’ ini makin lama semakin parah dari tahun ke tahun, setiap kali kenduri kahwin ‘usai’ akan ada seorang atau dua orang yang terkena santau ini. Samada mereka mengalami demam yang berulang-ulang, batuk, mengalami badan yang ‘seram-sejuk’ sepanjang hari, sakit-sakit sendi atau ‘melanus’. Kemuncak itu tiba pada tahun 1977, ‘permainan santau’ ini tidak lagi memilih mangsa dan majlis, mangsa boleh terkena samada di kenduri ‘doa selamat’, tolak-bala, berzanji, atau kenduri di surau dan masjid. Mangsa juga sudah tidak mengira jantina dan had umur, lelaki atau perempuan, tua, muda, kecil atau besar. Ia bukan sahaja setakat demam, batuk ataupun seram sejuk. Kesannya sudah semakin parah. Juhairi, budak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai meninggal dunia kerana ‘ilmu hitam’ ini. Manakala seorang lagi budak berusia enam tahun juga turut terkena ‘ilmu gila’ ini. Sukarnya untuk mengubati seorang budak sebesar itu. Perubatan tradisional yang dinamakan ‘berurah’ perlu meminum air kosong sebanyak tiga ‘jug’ dan dimuntahkan kembali. Jika betul terkena santau, mangsa akan mengeluarkan semula makanan dan minuman yang pernah dimakan dahulu bercampur rambut, miang rebung dan ‘bahan kotor’. Kemudian berpantang pula seperti perempuan bersalin selama 44 hari. Setiap hari perlu makan pelbagai jenis herba seperti cengkih, kulit kayu manis, air ibu kunyit……… sehingga masa berpantang tamat. Kemudian terpaksa ‘berpantang makan’ daripada makan cili api, rebung, air batu, limau, lauk serta sayuran yang dianggap ‘bisa’ seperti sotong, kerang, ikan tertentu dan pucuk labu. Berpantang antara setahun sehingga tiga tahun.

Kejadian ini telah menyebabkan orang kampung ‘hilang sabar’ bukan sahaja 'keadaan’ itu memalukan kampung tetapi mereka ‘phobia’ untuk mengadakan sebarang kenduri. Akhirnya penduduk sepakat membaca Yassin selama tiga hari berturut-turut bagi mengatasi musibah tersebut. Hebahan dibuat lebih kurang seminggu. Penduduk sudah nekad. Mereka kini memohon pertolongan Allah. Namun pada tarikh tersebut, majlis bacaan Yassin dibatalkan. Apapun kesannya amat menakjubkan, tanpa bacaan Yassin, ‘permainan santau’ ini telah hilang dan lenyap. Tiada lagi mangsa baru selepas itu. Kenduri kendara berjalan aman. Tiada lagi perasaan bimbang. ‘Kampung S’ tidak lagi digeruni. Selepas berpuluh-puluh tahun dan selepas beratus-ratus kenduri dilangsungkan, ramai yang sudah lupa dan tidak tahu siapakah ‘dalang’ disebalik semua itu. Ia masih suatu misteri. Misteri yang tidak pernah terbongkar.


Tating : Makanan yang dibawa menggunakan dulang, Ia diangkat dengan
mengadakan barisan panjang dari dapur ke khemah tetamu.

Melanus : Kehilangan tenaga dan tidak bermaya.