Dec 26, 2012

Perginya Yang Comel

Tidak beberapa hari lagi kita akan menyambut tahun 2013. Insya Allah. Ramalan mengenai dunia kiamat juga sudah hilang ditelan masa. Sambutan Hari Krismas tetap meriah. Ramai pelancong luar negara yang memilih untuk menyambut Krismas di negara ini. Negara yang bukan sahaja aman sentosa tetapi mempunyai pelbagai macam budaya dan citarasa makanan. Sehingga ada yang terlajak untuk meneruskan cuti sehingga sambutan Tahun Baru 2013.
 
Saya seperti tahun-tahun lalu, mengemaskini fail-fail dalam storan komputer. Mana yang tidak diperlukan lagi dihantar ke "Recyle Bin" sebelum di 'delete' sepenuhnya. 'Folder' foto disusun semula menggunakan perisian Picasa. Perisian yang telah saya gunakan sejak 2004 lagi.  Ia dilengkapi dengan kemudahan suntingan dan e-mail bagi penghantaran foto secara pantas. Sepatah kata Indonesia., " Iya, saya kok senang sekali samanya".
 
Kemaskini folder foto ini menemukan saya kepada folder 'Yang Comel'. Apabila folder ini dibuka saya menemukan foto-foto 'kerani kesatuan' yang satu pejabat dengan kami. Foto ini telah diambil beberapa tahun sebelum saya pindah ke pejabat ini. Tidak ada yang menarik mengenai foto-foto tersebut kecuali seorang wanita berbadan 'bulat' yang tersenyum manis.
 
Oleh kerana dia seorang yang tekun bekerja, dan sering membelek rekod-rekod kesatuan, maka ruang untuk berinteraksi itu tidak kerap berlaku, kecuali sesekali menikmati bersama sarapan pagi di pantri. Beberapa bulan lepas dia telah membuat permohonan untuk menjadi rakan saya di facebook. Di facebook pun saya hanya sekadar melihat coretan-coretannya tanpa ada komen dan 'like'. Ia berlalu begitu sahaja. Sehingga  pada pagi 20 November 2012 itu coretannya sedikit ada kelainan.........
 
Seperti biasa tiada juga komen dan 'like'.  Petang Khamis itu kami pulang mengikut arah masing-masing. Cuma pada malamnya saya menerima  sms pendek. " Alizah kemalangan, kini dimasukkan ke ICU  HTJS". 
 
Besoknya  saya menunggu khabar. Tiada apa yang boleh  dilakukan kecuali berdoa.  Apa pun saya terpana catatannya di 'facebook'  itu benar.... usia juga mengejar kematian .... begitu juga perpisahan .... datang tanpa diundang...
 
Sesungguhnya kematian itu adalah peringatan kepada mereka yang masih hidup. Terlebih benar lagi firman Allah, "Tiap-tiap diri akan merasai mati dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan" - Al-Anbiya' :35.

Al-Fatihah.


Nota:

HTJS : Hospital Tuanku Jaafar, Seremban

Dec 21, 2012

Lama Sudah Tidak ke Bendang........

Lama sudah tidak ke bendang
Tinggi rumput dari padi
Sudah lama tidak ku pandang
Manakah tuan menghilang diri?

Pantun ini sahaja saya tujukan buat diri sendiri sebagai 'sindiran'.  Maklum sahaja sudah lama tidak menulis. Pantun itu mengingatkan saya kepada orang Melayu yang mempunyai adab sopan yang tinggi dan halus budayanya. Pantun yang diungkapkan begitu tertib untuk menyampaikan maksudnya sehingga tidak ada yang tersinggung dan terasa hati.Rangkap pantunnya lebih 'berlapik'. Kerana itu orang Melayu dahulu lebih gemar berkias dengan menggunakan pantun.

Semasa saya kecil dahulu, pantun popular yang di pantunkan orang ialah:

Mandi sama budak-budak
Air keruh di hulu
'Sejamba' dengan budak-budak,
Orang tua dahulu

Selalunya 'orang muda' tidak akan menjawab pantun ini. Lauk pauk yang terhidang akan dijamah dahulu oleh orang tua. Apa yang tinggal adalah baki-baki cubitan mereka terutama gulai ayam masak lauk cili api yang hanya ada dua 'kotong' sahaja dalam mangkuk. Setiap hidangan selalunya dikongsi berlima (sekarang berempat). Kalau ada orang tua yang bersifat 'kejam' langsung tidak tinggal sekotong pun. 'Melopong' lah.

Itu cerita zaman susah. Hari ini makan di rumah kenduri bukan sahaja mewah tetapi melimpah ruah. Lauk ayam sudah tidak lagi menjadi pilihan utama. Mereka lebih suka menikmati kambing golek dan sambal udang yang merah menyala. Begitu juga budaya berpantun, sudah semakin terhakis. Di majlis pertunangan dan perkahwinan sudah jarang kedengaran orang berpantun. Kalau ada pun tidak lagi secara spontan. Ia dikarang dan bunyinya tidak lagi 'menusuk kalbu'. Kata lainnya, orang Melayu sudah tidak pandai berpantun secara 'semula jadi". Kalau berpantun pun pantun dua kerat yang tak 'sihat' bunyinya seperti ;
 
Ayam berkokok atas batang
Ada rokok mintak sebatang

Oct 26, 2012

Kenapa Menyusahkan...


Malam tadi di hadapan Restoren ‘mamak kembar’ Presint 9 saya terkial-kial mengundurkan kereta untuk keluar. Tapi tetap tak lepas. Sebuah kereta berwarna putih yang diletakkan di tepi jalan menghalang  ‘bontot’ kereta saya keluar sepenuhnya. Masuk kembali  dalam petak ‘parking’ untuk memberi laluan pula kepada deretan kereta yang melalui lorong yang sempit itu. Saya mengira ini bukan kali pertama. Sudah berkali-kali saya tersekat kerana kereta lain menghalang keluar daripada tempat ‘parking’.  

Walaupun dengan ‘kesabaran’ yang tinggal sedikit saya akhirnya berjaya juga keluar dengan ‘susah payah’. Saya anggap ‘puak-puak’ ini bukan sahaja lemah IQ tetapi juga EQ.  Kalau nak beli barang atau berhenti sebentar ‘timbangkanlah’ persekitaran kita. Adakah kereta kita menghalang laluan orang lain atau adakah cara kita meletakkan kereta tidak memakan ruang sehingga kereta lain tidak boleh masuk di parking yang separuh kosong.  

Bukan sahaja mengenai parking, tetapi juga  ‘hal-hal lain’.  Beberapa hari lepas saya telah menegur seorang pemandu wanita yang meletakkan kereta di laluan sempit di kawasan letak kereta bangunan pejabat di Seremban. “Puan telah menghalang laluan, …. puan telah menghalang laluan ya”. Dua kali saya lontarkan kata-kata itu dari cermin tingkap kereta saya yang terbuka.  Ia menerima teguran saya dengan senyuman.  Alhamdulillah.

Petangnya sekali lagi kereta saya disekat untuk keluar. Parking betul–betul di belakang bonet kereta saya. Berkali-kali hon kereta dibunyikan . Turun  seorang wanita yang berurusan dengan sebuah pejabat kerajaan. Manis senyumannya. “Kenapa tak telepon….?. Saya tak melayannya,  “Cepatlah puan, saya nak hadir mesyuarat”… . Dia masuk ke keretanya dan mengangkat sekeping kertas atas dashboard. Baru saya faham maksudnya. Tapi manalah saya nak belek kereta dia depan belakang, sedangkan waktu tu hujan lebat. Sekali lagi saya fikir kenapa menyusahkan…….. grrrrrrrh.

Nota:

IQ = Intelligence Quotient
EQ = Emotion Quotient

Oct 25, 2012

Alam Misteri


Besok umat Islam akan menyambut Hari Raya Qurban. Sekali lagi kita kembali ke kampung, lebuhraya dan jalan raya kembali sesak.  Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eid Adha kepada rakan taulan dan rakan siber.

Minggu seterusnya akan diikuti pula kepulangan para jemaah haji ke tanahair. Insya Allah kita doakan mereka kembali dengan haji mabrur. Akan terdengar lagi cerita-cerita misteri mengenai diri mereka di tanah suci Makkah. Seorang penonton rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ musykil tentang apa petandanya, sewaktu beliau menunaikan haji dahulu melihat sekumpulan anjing di Masjidil Haram. Adakah anjing di Makkah?.

Saya mulakan dengan cerita misteri ini hanyalah sebagai pembuka kata. Kerana ramai sungguh daripada kaum Melayu ini yang amat gemar dengan cerita-cerita mistik dan hantu. Sehinggakan cerita karut marut ini telah begitu popular dan mengaut untung yang berbaloi kepada majalah, akhbar tabloid, dan filem yang mendokongnya.

Saya juga dulu, ulangi ya... dulu adalah peminat kisah-kisah hantu dan misteri jugak. Pelakon watak hantu dan misteri yang tersohor di Radio Singapura tahun 60an adalah Jah Lelawati. Hilaiannya dalam ‘Bangsawan di Udara’   memang menyeramkan. Apatah lagi rumah kami memang terpencil dan di pinggir hutan.  Jah Lelawati adalah penulis skrip dan pelakon bangsawan yang mempunyai ramai pengikut di Malaysia, Brunei dan sebahagian kawasan di Indonesia. Pernah juga berlakon dalam filem Anak Dara (1966) bersama Mat Sentol.

Tahun 1980an sehingga tahun 1990an saya ‘terperangkap’ pula dengan cerita Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) tulisan Tamar Jalis.  Kisah misteri SBDJ yang mengandungi 284 siri ini terus ditulis sehingga tahun 2005. Sebahagiannya telah dibukukan. Terjual melebihi sejuta  naskhah, jauh mengatasi jualan buku tulisan Sasterawan Negara. Satu sahaja yang amat menarik berkaitan cerita SBDJ ini ialah hubungan rapat seorang cucu dengan datuknya. Plot SBDJ boleh dijadikan kajian mengenai kehidupan misteri bangsa Melayu yang memang misteri. Penuh dengan dendam, pemujaan, sering ingin menunjukkan kelebihan, menduga-duga, bermuka-muka, cepat terasa dan pada masa sama memaparkan watak putih datuk Tamar Jalis, yang penyabar, kuat semangat, istiqamah, tegas dan amanah mewarnai dunia misteri Melayu itu.

Kegilaan saya mengenai kisah misteri dan ghaib ini sudah kendur dengan peralihan usia. Lebih banyak misteri alam ini pula yang perlu diperhatikan. Sesungguhnya alam ini lebih misteri daripada segala yang misteri. Kisah-kisah dan firman Allah  dalam Al-Quran mengenai perkara misteri dan ghaib telah banyak dikaji. Pelbagai jumpaan dan ilmu baru telah dizahirkan oleh saintis dan juga ilmuwan lain. Marilah kita bersama-sama pula kembali melihat kisah-kisah ghaib dan misteri yang dinyatakan dalam Al-Quran, mudahan-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang berfikir dan berjaya di dunia wal akhirah.  Amin.

Oct 8, 2012

Aku Suka Menulis

Sudah lama tidak menulis. Memasak juga tidak. Blog Biso Bonar ini dibiarkan kontang hampir sebulan tanpa dijamah.

Walaubagaimanapun pada masa sama saya telah meniti dari blog ke blog untuk melihat citrawarna yang pelbagai. Cerita seorang budak sehingga cerita seorang tua. Hingga terhenti di sebuah blog yang menitipkan petua-petua berguna kepada penulis blog yang sering kekeringan idea. Saya perturunkan linknya DI SINI.

Apa pun yang lebih penting ialah keinginan dan azam yang keras untuk menulis. Kalau dah jenis pemalas tu pemalas jugak, walaupun petua itu turun dari langit.......

Sep 18, 2012

Nasi Kandaq

Sabtu lepas saya mengulangi rutin mingguan menikmati nasi kandar. Berlaukan 'kacang' (bendi) dan telur rebus di Presint 14 dengan harga RM4.50 termasuk segelas teh tarik. Masih murah jika dibandingkan dengan makanan di Presint 9 atau Presint 16 yang 'mencongkam' harganya.
 
Saya adalah penggemar 'tegar' nasi kandar. Mungkin kerana pernah menetap di Pulau Pinang atau kerana kahwin 'anak mami' saya memang 'berahi' makan nasi kandar.
 
Semasa tinggal di Kg Rawana, Caunter Hall ( Jalan P.Ramlee) tahun 1983, nasi kandar di Jalan Dato Keramat masih lagi dijual dalam bakul rotan yang besar. Nasi disenduk menggunakan tangan kosong tanpa senduk atau sarung tangan plastik. Lauknya, 'kacang', ikan goreng, ikan atau daging masak kari, sotong goreng atau limpa goreng. Kuah 'campur' adalah keistimewaan nasi kandar.
 
Selepas puluhan tahun berlalu mamak tidak lagi menggunakan lagi tangan kosong menyenduk nasi. Masyarakat umum bukan sahaja mementingkan kebersihan tetapi juga soal halal dan haram.Kedai nasi kandar juga sudah melalui pelbagai perubahan.  Jika berkunjung ke Pulau Pinang ramai yang singgah di Restoren Kayu atau Restoren Pelita untuk menikmati nasi kandar dalam suasana yang lebih dingin dan selesa.
 
Sebagai 'orang lama' yang pernah bekerja di 'Tanjung' saya lebih seronok menikmati nasi kandar di kedai Simpang Enam, Kasim Nasi Kandar atau pun menikmati Meehon  Singapura (perasa kambing) di Craven A atau pun 'port' baru di Penang Road berhadapan Hotel Malaysia menikmati sup tulang cicah roti paun ;).
 
 
 
Nota:
 
Berahi: Suka melampau loghat Terengganu
Tanjung : Bandar Georgetown
Kacang : Sebutan penduduk Pulau keturunan mamak kepada sayur bendi
 

Aug 5, 2012

Turun Padang


Sudah 16 hari Ramadhan tahun ini kita lalui, InsyaAllah dengan tenang. Tahun ini saya merasa agak damai, kerana tidak terlalu sibuk berbuka di luar. Tahun lepas saya telah berbuka dari negeri ke negeri. Sebahagiannya terpaksa bermalam, sebahagiannya kembali semula ke rumah ketika waktu sudah dinihari. Begitulah perubahan hidup dari tahun ke tahun.

Tahun ini saya 'turun padang' di dapur menolong isteri. Setiap hari cuti saya akan mencuba resepi baru. Oleh kerana teknologi maklumat sekarang yang sudah canggih, resepi-resepi masakan hanya disemak melalui  'google'. Hanya dengan menaip beberapa patah aksara di telefon pintar, resepi lengkap sudah boleh diakses dan lauk pauk yang enak boleh dimasak. Akhirnya saya telah berjaya memasak beberapa resepi masakan yang menyelerakan seisi keluarga. Antaranya Udang Masak Lemak Kacang Panjang, Paprik Ayam, Ayam Goreng Halia, Sambal Ikan Bilis Kentang dan resepi-resepi yang mudah-mudah. Tanpa terlupa saya juga telah menyediakan Teh ala Arab yang enak rasanya.

Oleh kerana Teh Arab ini enak sangat rasanya saya turunkan resepinya yang diambil dari SINI

Resepi Teh ala Arab

Bahan-bahan:
6-7 uncang teh
1 liter air
direbus bersama untuk mendapatkan rasa teh yg kuat dan pekat
5ooml susu segar
gula secukupnya – jika guna susu pekat lagi lemak berkrim
secubit garam
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga

Cara-cara:
6-7 uncang teh, 1 liter airdirebus bersama untuk mendapatkan rasa teh yg kuat dan pekat
5ooml susu segar gula secukupnya – jika guna susu pekat lagi lemak berkrim secubit garam
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga.
campur semua bahan kacau ..akhir sekali masukkan bunga cengkih dan buah pelaga.

Selamat Mencuba

Jul 26, 2012

Selangkah Ke Hadapan

Seperti hari-hari biasa. Pulang daripada kerja melalui jalan persekutuan merentasi mukim Labu, Nilai, Dengkil sebelum ke Putrajaya. Pergerakan agak perlahan dan hanya boleh memecut selepas Bandar Baru Salak Tinggi sebelum membelok ke Kota Warisan. Hanya sedikit kelainan di bulan Ramadhan ini gerai dan pondok menjual juadah berbuka puasa bercambah di  sepanjang jalan. Segala macam air minuman dan segala macam juadah tersedia dijual.Sediakan sahaja wangnya!.

Setiap kali bulan Ramadhan tiba, semangat masyarakat Islam untuk berniaga begitu menggebu sekali. Sukar dipercayai bahawa begitu ramai yang mempunyai bakat berniaga. Kalau tidak menjual makanan pun mereka mengambil kesempatan untuk menjual bunga api. Malangnya semangat itu tidak lama. Habis sahaja bulan Ramadhan, gerai dan pondok itu tidak lagi kelihatan.

Sudah sewajarnya sebagai sebuah negara yang ramai penganut agama Islam, sebahagian besar pendapatan orang Islam harus kembali kepada orang Islam. Satu cara yang paling mudah ialah melalui dunia perniagaan. Kerana itu Rasulullah SAW menganjurkan orang Islam berniaga. Menurut baginda 9/10 daripada sumber rezeki adalah di bidang perniagaan. 

Saya percaya rezeki tersebut bukan sahaja kembali kepada peniaga Islam itu sahaja tetapi untuk kebaikan keseluruhan umat Islam. Ia ibarat satu pusingan ajaib, kerana keuntungan perniagaan tersebut akan dikenakan zakat perniagaan. Zakat ini apabila dikumpul di Baitulmal mampu dijana kembali untuk membantu umat Islam yang berhak. Malah sudah ada usaha membesarkan ekonomi Islam seperti yang dirintis oleh Jawhar dengan sokongan Baitulmal. Institusi ini telah melaksanakan projek kecil berimpak besar dengan membina Wakaf Mart di masjid-masjid di negara ini antaranya Wakaf Mart di Masjid Kariah Panchor Jaya dan Masjid Ampangan di Seremban. 

Jika sebahagian besar penganut Islam membeli barangan keperluan di Wakaf Mart ini ia bukan sahaja menggerakkan ekonomi Islam secara harmoni tetapi masjid juga kembali berfungsi mencantumkan urusan dunia dan akhirat secara barakah. Jika budaya Islam ini kembali ditatang sebagaimana selayaknya, tidak mustahil tanah-tanah wakaf juga boleh dibangunkan untuk pembinaan hotel, pusat perubatan dan ruang perniagaan.

Zaman kecemerlangan ekonomi Islam telah dibuktikan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai 'Bapa Ekonomi Islam'.  Ekonomi Islam begitu memuncak dalam dua tahun setengah pemerintahannya. Sehingga dicatat dalam sejarah bahawa tiada sesiapa yang layak untuk menerima zakat pada zamannya. Malahan kerana keadilan dan kekukuhan ekonominya sehingga serigala dan kambing pun boleh berkawan. Lihat di SINI.

Nota:
Jawhar ialah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji diisytiharkan penubuhannya pada 27 Mac 2004 bersamaan 6 Safar 1425H. Penubuhan jabatan ini merupakan titik permulaan dalam usaha Kerajaan Persekutuan membantu memajukan harta umat Islam sebagai sumber kekayaan dan kekuatan ummah pada masa hadapan.

Jul 24, 2012

Memilih Orang Berjaya

Memilih 'orang berjaya' rupanya bukan mudah. Kami telah menemui 62 calon yang layak. Ditemuduga dan ditimbangkan untuk diterima. Daripada jumlah itu hanya empat yang akan dipilih dan tiga lagi simpanan. Pastinya mencari yang terbaik, antara kelulusan, personaliti dan bakat. 

Tugasan yang akan disandang bukan saja memerlukan kecerdasan pemikiran, keupayaan berkomunikasi dengan baik tetapi kemahiran tambahan seperti kebolehan berbahasa, menulis dan tahu penggunaan media baru dan komputer. 

Tidak ramai yang memenuhi kriteria ini. Ada yang memiliki kelulusan baik, tetapi gagal pada perawakan. Percakapan tidak teratur. Tahap keyakinan diri rendah. Malah ada yang agak berlebihan berpakaian sehingga seperti 'model'. Tidak kurang juga yang memiliki etika rendah, masuk tanpa ucapan salam atau selamat pagi, lebih teruk melipat lengan baju sehingga siku. Pengetahuan am yang lemah. Kurang berusaha untuk mengetahui bidang tugas yang dipohon dan perihal organisasi. Tidak termasuk yang salah (atau sengaja ?) mengisi keputusan sijil di Portal SPA sehingga nampak begitu hebat, tetapi sijil asal tidak begitu. (Ingatan: calon-calon sebegini akan terus ditolak).

Emosi kami juga sering tergugah dengan rayuan daripada calon-calon yang berharap mereka ditawarkan pekerjaan ini. Ada menceritakan kesusahan kehidupan, ibu bapa bercerai, anak sulung yang terpaksa mengemudi keluarga, dan segala macam derita. Ia perlu juga ditimbangkan walaupun beberapa spesifikasi jawatan terpaksa diabaikan.

Berbelas calon juga yang sudah dikenalpasti layak. Tapi masih di peringkat saringan. Mereka tetap bergantung kepada kelebihan masing-masing, selain daripada kriteria kemiskinan, peningkatan taraf hidup ia juga bergantung kepada tuah. Siapa yang terpilih kami ucapkan selamat datang. Memilih 'orang berjaya' ini juga telah membawa saya ke Putrajaya, Sandakan dan Tawau menjelang Ramadhan.

Jul 19, 2012

Terbang Lagi

Minum kopi pahit setinggi 30,000 kaki dari  aras laut sambil mencelup biskut di tepi tingkap separa bujur kapal terbang amat mengasyikan. Kepulan awan di bawah perut kapal terbang kelihatan seperti ombak putih di lautan luas. Beberapa kepulan awan membentuk rangkaian pulau-pulau. Di kejauhan mega merah di kaki langit sedikit demi sedikit hilang apabila matahari lenyap ditelan malam. Masya Allah.

Pada kelajuan 850km/jam,tiada getaran kuat yang boleh mengocakkan air kopi yang diletakkan di atas meja kecil yang rata itu. Wrigth Bersaudara - Orville dan Wilbur mungkin tidak menduga bahawa pembuatan kapal terbang jauh lebih maju sekarang. Asas yang mereka letakkan dalam memenuhi dunia fantasi manusia untuk terbang telah dikotakan. Di zamannya kapal terbang hanya mampu terbang beberapa minit sehingga menjangkau ke beberapa jam. Kini kapal terbang bukan sahaja bertambah laju serta lama masa penerbangannya tetapi lebih ramai orang dan muatan yang boleh diterbangkan.

Cerita fantasi mengenai jentera terbang ini bukan baru. Dalam epik tua seperti Hikayat Sri Rama, sudah wujud tentera udara Ramayana. Ramayana ialah watak jahat yang melarikan Sita, isteri kepada Sri Rama.  Dalam peperangan membebaskan Sita, anak sulung Ramayana bernama Inderajit telah menggunakan jentera terbang melawan tentera Sri Rama yang di bantu oleh Hanuman (Beruk Besar).Tentera udara Ramayana ini akhirnya tewas juga kerana kecekalan dan semangat juang Sri Rama dan Laksamana yang memiliki pelbagai lagi kesaktian  ala animasi Dragon Ball..

Di dalam kepercayaan agama Islam kita juga tidak terlepas daripada dunia penerbangan. Ia dikisah dalam peristiwa Israk Mikraj apabila Rasulullah SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha dengan Buraq. Buraq ini diriwayatkan sebagai makhluk haiwan yang bermaksud 'kilat cahaya'. Pergerakannya teramat laju iaitu selangkah ia bergerak menjangkau sejauh mata memandang.

Penerbangan yang pantas masih menjadi igauan manusia hari ini. Cerita-cerita berkaitan UFO terus mendapat perhatian. Negara-negara maju seperti Amerika dan Britain terus membuat kajian berkaitan 'piring terbang' yang didakwa datang dari planet yang jauh dari bumi. Penemuan UFO sejak puluhan tahun lalu terus menjadi rahsia ketenteraan dan kajian sains yang tidak terungkaikan. Pembikinan filem berkaitan galaksi  dan Bima Sakti terus meraih keuntungan terutama filem-filem yang melibatkan keganasan 'alien' seperti  Star Wars  (1999), Pandorum (2009) dan Prometheus (2012).

Teknologi pesawat terbang ini sudah berlaku 100 tahun lalu dengan ratusan inovasi. Adakah 100 tahun akan datang manusia itu sendiri yang akan terbang. Jalan raya lebih lengang  dan angkasa kita pula penuh dengan jentera kecil yang terbang bagaikan 'kelkatu'. Wallahualam. 

Jul 17, 2012

Cerita Sambal

Foto Ehsan www.hazila.blogspot.com
Petang tadi saya telah turun ke dapur. Membuat sambal buah binjai yang ditiru bulat-bulat daripada resepi sebuah blog SEKILAU One. Tidak terlalu sukar. Hanya bakar seinci belacan, dua biji cili api, dan sesudu kecil gula pasir. Kesemua bahan ini ditumbuk kemudian ditambah beberapa hiris buah binjai yang sudah cukup masak. Kemudian ditumbuk lagi sehingga bahan-bahan tadi sebati. Petang tadi juga saya telah makan nasi melebihi had biasa. Hanya kerana berlaukan sambal binjai dan sekeping 'telur mata'.

Dua minggu lepas ketika di SMK Bekok, Segamat selepas mengadili sketsa 1Malaysia antara sekolah-sekolah  saya telah dijemput untuk menikmati jamuan tengahari. Selain daripada lauk pauknya yang enak, saya juga terlebih makan kerana Sambal Jawanya yang menyelerakan. Sambal Jawa ini juga mudah untuk disediakan. Saya belajar membuatnya ketika masih bujang dan tinggal serumah di Kerinchi dengan rakan-rakan keturunan Jawa dari Tanjung Karang dan Sekinchan 32 tahun dahulu.  

Ambil segengam ikan bilis yang telah dibersihkan kemudian digoreng sampai garing. Kemudian ikan bilis tersebut ditumbuk dengan beberapa biji cili api berwarna hijau sehingga lumat sebelum ditambah air asam jawa secukupnya. Sudah lama saya tidak membuat sambal ini.

Cara-cara membuat sambal juga berbeza-beza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ada masanya mengikut keperluan setempat. Ketika saya mengikuti kumpulan media dalam menyelami kehidupan nelayan di Kuala Kedah pada tahun 2004, saya telah diperkenalkan dengan 'Sambal Nelayan'. Rasanya menyengit sedikit, tetapi mampu mengurangkan mabuk laut kepada mereka yang baru dengan kehidupan laut. 

Sambal Nelayan ini disediakan ketika makan tengahari di atas tongkang bersama lauk sotong dan ikan segar yang baru dijaring. Penyediaannya juga mudah. Dua ulas bawang putih, dua biji lada besar dan seulas cili padi, sedikit gula dan garam ditumbuk sehingga lumat.  Aroma bawang putih ini seakan penawar dan apabila makan di tengah laut yang panas terik dan berangin,memang terasa segar dan merangsangkan.

Sudah tentu juga penyediaan sambal-sambal ini berbeza dengan sambal nasi lemak. Sambal nasi lemak bukan sahaja memerlukan lebih banyak bahan tetapi perlu juga dimasak lebih lama. Keenakan sambal nasi lemak boleh mempengaruhi penggemarnya. Sesetengah penggemar nasi lemak ada yang sanggup datang beratus-ratus kilometer atau bangun lebih awal kerana bimbang terlepas kenikmatan sambalnya.  Begitulah kegilaan manusia....... Salam Ramadhan dan Maaf Zahir Batin.

Jun 19, 2012

Zaaba Pemikir Ulung

Esok saya akan menghadiri Majlis Jejak Warisan Teratak Zaaba di Jempol.  Siapa yang tidak mengenali Zaaba?. Nama penuhnya Zainal Abidin bin Ahmad. Pendeta Zaaba dilahirkan di Kg Kerdas, Batu Kikir , Kuala Pilah (kini dalam daerah Jempol) pada tahun 1895.

Ketika tokoh besar ini meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 saya masih bersekolah menengah. Beliau menulis banyak buku terutama dalam tatabahasa Melayu seperti buku Ilmu Mengarang Melayu, Buku Pelita 1, Pelita 11 dan Pelita 111 yang masih sempat saya temui. Sesudah dewasa saya telah membaca beberapa buah buku karangan beliau antaranya 'Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri' (1982) yang sarat dengan kritikan terhadap perangai dan amalan orang Melayu yang merugikan.

Bagaimanapun beliau banyak menyumbang dan terbukti ketokohannya dalam bidang bahasa Melayu. Zaabalah yang menandai babak awal perkembangan ilmu bahasa dan linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920an, kira-kira satu dekad lebih awal daripada tokoh linguistik Amerika yang berpengaruh di Barat iaitu Leonard Bloomfield pada tahun 1930an dengan linguistik strukturalnya. Malah ia telah memperkenalkan konsep pola bunyi bahasa dalam analisisnya mengenai bahasa Melayu sejak 1930an lagi yang kini dikenali dengan istilah fonologi.  

Di negara ini pengaruh tatabahasa karangan Zaaba masih digunakan dalam sistem pendidikan negara sehingga tahun 1968. Bahkan buku Tatabahasa Dewan yang menjadi buku pegangan Kementerian Pelajaran Malaysia, misalnya masih tetap menggunakan buku Zaaba sebagai salah satu rujukan penting. 

Awal bulan ini di Seremban, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Kolokium Zaaba sebagai pemangkin kepada usaha melahirkan 1 juta Zaaba. Walaupun bunyinya terlalu retorik, tetapi langkah ini seharusnya disanjung. Apatah lagi selepas 39 tahun pemergiannya, tiada seorang pun lagi yang layak dinobatkan sebagai seorang Pendeta. Malah ia menjadi 'pusako' dan kebanggaan orang Negeri Sembilan.

Zaaba Melayu genius yang memiliki pemikiran jauh terkehadapan. Pelajar pertama lulus Senior Cambridge di Negeri Sembilan (1915), boleh berbahasa dalam empat bahasa, Inggeris, Melayu, Arab dan Belanda. Pernah dilantik sebagai pensyarah Bahasa Melayu di University of London (1947-1950) dan Pensyarah Kanan University Malaya di Singapura (1953). Beliau juga berjaya memperolehi Diploma Bahasa Arab di London dan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian dari University of London (1953) ketika berusia 58 tahun.

Segala jasa dan sumbangannya kepada negara telah meletakkan beliau sebagai karyawan yang tiada tolok bandingnya dengan penganugerahan 'Pendeta' oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 3 di Seremban pada tahun 1956. Beberapa tahun kemudian beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Kesusasteraan Melayu oleh Universiti Malaya (1959).  Anugerah terakhir sebelum permergiannya ialah Doktor Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (1973) yang tidak dihadirinya kerana uzur. Begitulah secebis kesohoran Tan Sri Dr Zainal Abidin bin Ahmad. Al Fatihah. 

Jun 18, 2012

Yang Ditunggu Telah Tiada, Yang Ada Sudah Pergi


http://andamananggun.fotopages.com/
Tajuk posting ini adalah kata-kata perbidalan orang Negeri Sembilan mengenai ikatan perkahwinan. Oleh kerana pegangan adat perpatih tidak lagi begitu kuat sekarang. Ramai di kalangan generasi baru sudah tidak mengetahui banyak perbidalan dan perkataan serta peraturan adat perpatih. Perbidalan ini pun saya perolehi ketika berbual dengan Dato' Akhir Zaman seorang dato lembaga dari Rantau (pekan kecil dalam daerah Seremban). Dahulu sebelum negara merdeka dato' lembaga ini mempunyai kuasa mengutip cukai dari peniaga-peniaga yang melalui Sungai Linggi.

Maksud perbidalan ini ialah apabila seseorang isteri yang dikahwini telah meninggal dunia, maka lucutlah kedudukan dan hak suami ke atas suku isteri. Kerana itu mengikut adat perpatih, suami yang kematian isteri ini akan dijemput semula oleh waris suku untuk kembali semula ke kampung halamannya. Adat ini dikenali sebagai istiadat 'menjemput'.

Itulah nasib 'semenda' yang amat ditakuti oleh kebanyakan 'lelaki luar' dari Negeri Sembilan yang menyangka apabila berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan  akan tergadailah harta bendanya apabila isterinya meninggal dunia. Bak kata pantun dua kerat orang 'nogori', 

                                           Tak tajak 'cangko',
                                           Tak beranjak, 'beranso'

Tetapi sebenarnya tidaklah  begitu. Mengikut adat perpatih, apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kampung ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki (semenda) akan mengusahakan tanah keluarga (tanah adat) isterinya dan terus menetap sehingga akhir hayatnya.  Kerana itu apabila isterinya ditakdirkan meninggal dunia, semenda ini terpaksa kembali ke kampung halamannya dan kebajikannya akan dijaga oleh waris sukunya pula. Itulah makna istiadat menjemput tadi. Satu lagi istilah yang cukup popular ialah 'masuk suku'. Ia dilakukan bagi orang luar Negeri Sembilan atau orang 'nogori' yang tidak mempunyai suku supaya apabila berlaku kematian isteri, suku angkat ini yang menguruskan kebajikan suami yang sudah menjadi duda.

Amat jauh berbeza keadaannya  pada masa sekarang, tidak ramai lagi pasangan yang berkahwin mendiami tanah-tanah adat ini. Kebanyakan tanah adat hanya tinggal terbiar dan tidak terurus. Pasangan baru lebih suka membeli rumah di taman-taman perumahan. Mereka juga lebih suka mendirikan kediaman di 'tanah-tanah tebus' daripada bergantung kepada tanah adat yang semakin kecil saiznya dan terpaksa terikat dengan peraturan adat istiadat ini. Jika isteri meninggal dunia pun, tiada siapa yang perlu datang 'menjemput' lagi dan tak perlu juga bersusah payah untuk 'masuk suku', kerana sudah boleh masuk penuh. Ha ha ha. 

Nota:
Cangko - Cangkul
Beranso - Perlahan-lahan keluar
Tanah tebus - Tanah hakmilik bebas

Jun 15, 2012

Bahasa Jiwa Bangsa

http://qayrolpem.blogspot.com/2011/01/bahasa-jiwa-bangsa_15.html
"Apa itu 'tating' ". Persoalan ini sahaja saya lontarkan pada seorang pelajar 'praktikal' di pejabat. "Entahlah (Pak) Cik".
"Tak tahu"
"Tak"
"Asal mana"
"Orang Negeri".
"Betul tak tahu"
"Betul". 

Malang betul. Perkataan itu telah hilang dalam kamus generasi muda anak Negeri Sembilan. Gadis manis ini baru sahaja berumur 24 tahun. Masih muda. Saya fikir banyak lagi loghat 'Nogori' yang dia tidak tahu. 

Jadi apa tating itu. Cer citer.

Tating ialah perbuatan menghidang makanan kepada tetamu di kenduri kecil atau kenduri kahwin. Ia dimulakan dengan membuat satu barisan panjang antara tujuh atau lapan orang dari dapur sehingga ke tempat jamuan. Hidangan makanan tadi akan diedarkan melalui rantaian manusia tadi. Ia dimulakan dengan 'air', 'jamba', pinggan, nasi. Tidak boleh salah. Tidak boleh nasi dulu atau pinggan dulu. Itu peraturannya dan budayanya.

Jika perkataan tating itu pun dia tak tahu, tentulah peraturan menghidang itu pun dia tidak tahu. Budayanya pun dia tidak tahu. Tidak hairanlah apabila semakin banyak bahasa lama hilang, semangat bahasa dan budayanya pun turut hilang. Kenapa boleh hilang dan lenyap?. Nak tahu juga ke jawapannya. Sebab hidup kita sudah semakin senang dan mewah. Semangat gotong royong pun sudah semakin pupus. Kita mahu cepat dan pantas. Kita pun tak mahu terlalu bersusah payah. Kalau kenduri, kita guna katering dan makan cara 'buffet'. Tak mainlah tating-tating tu.

Saya tanya lagi apa maknanya 'mengubah'. Satu lagi istilah 'nogori' yang dikaitkan dengan amalan gotong royong dan menanam padi. Dia mengeleng lagi. Kalau lah saya tanya apa maknanya perkataan lama seperti melansit, longot, menadir dan lain-lain lagi. Tentulah gelengnya semakin lama dan panjang. Dah tu camno....

Nota:

Air = air minuman
Jamba = Dulang yang mengandungi lauk-pauk
Mengubah= Anak benih padi yang dipindahkan dari tapak semaian ke petak sawah secara gotong-royong

Apr 6, 2012

Syiling Saya Banyak

Sudah dua tiga minggu saya ‘mengidam’ untuk makan mee kari. Gerai mee kari ini betul-betul bersebelahan stesyen minyak, jalan menghala ke Hospital Besar Tuanku Jaafar.  Tapi belum ada kesempatan. Gerai itu memang menjadi tumpuan ramai. Tidak kira bangsa.  Mee karinya stail masakan Cina tidak menggunakan santan (atau sedikit santan?).  Sebuah lagi gerai mee kari yang popular terletak di tengah pusat bandar Seremban. Peniaganya Cina Muslim, rasanya tidak jauh berbeza. Kalau berbeza pun susah nak cari tempat  ‘parking’ kereta .
Kesempatan itu datang juga akhirnya, minggu lepas. Sewaktu saya berdua sampai, gerai ini sudah penuh sesak. Adakah mereka  ‘mengidam’ macam saya juga. Wallahuallam. Menunggu sedikit lama, baru teh tarik dan semangkuk mee kari yang diidamkan itu sampai. Saya tidak kisah, kerana faham senarai menunggunya panjang.
Perbualan juga tidak banyak. Minum teh tarik dan menikmati mee kari di waktu pagi memang kusyuk. Kuah mee juga dihirup sehingga ke dasarnya. Slurpppp. Selesai.
“Kira kak berapa?”.
“RM8.30 sen”. Balas tauke kedai.  Saya menghulur RM10.00.
“30 sen ada ke?”. Saya meraba saku seluar. Hanya ada syiling 20 sen.
“20 sen boleh ke?, 10 sen lagi hapus kira lah”.
“Tak apa, saya ada banyak duit syiling”. Sambil dia memulangkan baki RM1.70.
Dalam hati saya berkata, “Mak ai, 10 sen pun berkira juga kah, kalau macam tu,  tak payah lah tanya duit syiling”.
Pagi itu saya rasa seolah-olah keluar dari  restoren 'kedai konsep' yang harganya tetap dan tidak boleh ditawar langsung.

Feb 28, 2012

Isteri Itu Sahabat

"Ingat ya, isteri itu sahabat. Saya ingatkan kepada yang tak ingat. Bukan kawan-kawan ya, .... bukan. Kawan-kawan tak akan jaga kita bila kita sakit, .... isteri lah. Oleh itu jaga isteri baik-baik. Masa muda mungkin kita ligat tapi bila tua isteri lah yang jaga kita"

Tidak perlu saya perkenalkan siapakah gerangan yang berpesan dengan ikhlas itu. Umurnya sudah 65 tahun dan memang layak untuk memberi nasihat. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini dia sering tidak sihat. Setiap kali keluar rumah beliau sering ditemani isteri sebagai 'sahabat'. Insya Allah, mudah-mudahan pesanan Y.Bhg Dato' ini antara petua membina rumah tangga bahagia.

Dalam ceramah keluarga bahagia, sering kali terdapat ustaz yang berpesan, "Ikutilah Rasulullah SAW sebagai contoh suami terbaik, memanggil nama isteri dengan panggilan yang mereka sukai. Dikisahkan bahawa Rasulullah meminum air dari satu gelas dengan isterinya Siti Aisyah, bahkan dari bekas bibir yang sama. Begitulah romantiknya Rasulullah yang sepatutnya di amalkan oleh para suami. Lepas ini tuan-tuan kena buat lah.......". Permintaan itu selalunya diselangi gelak ketawa para pendengar, kerana mereka tahu mereka tak mampu nak buat. " Tak biasalah..... komen seorang lelaki separuh baya. Ha ha ha 

Dahulu, ibu bapa Melayu sering membekalkan kepada anak dan menantunya yang berpindah rumah berupa alatan rumah tangga.  Antaranya bantal sebuah, pinggan sebuah, dan gelas sebuah. Kiasannya ialah mengajar pasangan baru itu berkongsi hak milik agar rumah tangga terbentuk dalam suasana aman dan romantis.

Adakah budaya itu wujud lagi kini?

Feb 22, 2012

Tukang Masak Kampung

Sabtu lepas saya berkesempatan hadir di majlis sambutan Maulidur Rasul SAW di sebuah perkampungan tradisional di Barat Daya Seremban, Kg Bt 3, Mambau. Nama asal kampung ini ialah Kg SC . Ia mengambil sempena peneroka asal kampung ini daripada bekas anggota SC atau ‘Special Constable’ (Polis Khas) zaman darurat dahulu.

Ceramah malam itu berkisar isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam masakini.

“Isu tingga solat, tingga poso… itu cerito lamo tuan-tuan. 'Ari' ni orang Islam sendiri bercakap mengenai kebebasan seks, berjuang menghalalkan hukum yang telah diharamkan oleh Allah. Berjuang untuk bebas keluar agama. Semuanya itu dek terperangkap dengan fahaman kebebasan hak asasi manusia. Pagi ni di pejabat, ‘ese’ tengok ada tiga salinan surat yang memohon keluar agamo….. apa nak jadi kito umat Islam sekarang. Ini tidak termasuk lagi sebaran ajaran Syiah yang sudah ada 6,000 pengikut di seluruh Negara…”

Walaupun ‘Sahibul Fadhilah’ itu kecil sahaja orangnya, tetapi malam itu beliau berjaya merangsang pemikiran ahli kariah terhadap cabaran dan perjuangan yang wajib dihadapi oleh orang Islam.

Selepas ceramah saya menikmati gulai tulang lembu yang segar dagingnya. Masak tempe campur perut dan petai yang ‘wow’ rasanya. Daging kambing masak kari yang menjadi kesukaan saya sejak dahulu lagi.

Itulah kehebatan orang kampung yang bersepakat untuk ‘masak sekampung’. Saya percaya ‘kepala dapurnya’ adalah tukang masak yang mahir menetapkan sukatan dan perencah yang betul dalam setiap masakan. Sudah dua tiga kampung yang saya jelajahi dan menikmati masakan mereka. Kampung ini adalah salah satu yang terbaik pada selera saya. Tiba-tiba sahaja saya teringat kepada Pok Heng (Ibrahim) tukang masak kampung di Alor Limbat, Marang. Bila lagi saya boleh merasa gulai kawahnya yang enak itu.

Nota:

Ari - Hari
ese - saya

Feb 19, 2012

Sekali Air Bah.......

Sudah lima bulan kembali ke ‘porak’ sendiri. Lebih khusus lagi bertugas di daerah Seremban, tempat kelahiran saya. Bersempadan dengan empat buah lagi daerah iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson dan Rembau kecuali Tampin. Mengikut Banci Penduduk 2010, jumlah penduduk Seremban ialah 555,935 orang. Ini bermakna separuh daripada jumlah 1.021 juta penduduk Negeri Sembilan datangnya dari daerah ini.


‘Kepulangan’ ini memberi kesempatan kepada saya menemui rakan-rakan satu kampung dan satu sekolah. Pertemuan itu berlaku secara sengaja dan tidak. Kadang-kadang di majlis keramaian. Kadang-kadang ketika melakukan tugas rasmi. Kadang-kadang di jalanan sahaja.

Selepas berbelas-belas atau berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa, uban sudah wajib ada dan kedutan juga sudah semakin ketara. Soalan-soalan, ‘Dah bermenantu ko?’ lebih kerap ditanyakan daripada ‘Berapa orang anak?’. Sudah ramai antara mereka yang mendapat cucu dan bergelar ‘datuk’.

Cuma ketika usai solat Maghrib di Masjid Jamik Rantau minggu lalu, saya menegur seorang ahli jamaah di sebelah saya. ”Tuan orang Ulu Lalang kan?’. Lelaki lengkap berbaju Melayu hijau tanpa samping itu menjawab, ‘Nama saya N… bin T… saya orang Setiawan’.

Jemaah di hadapan saya membenarkan telahan saya, ‘memang dia orang Ulu Lalang’. Tapi sejak ditinggalkan isteri,…….. begitulah. Pendek, tapi saya cukup faham.

Kalau benar memang dia adalah rakan sekolah saya sehingga tingkatan tiga. Kali terakhir bertemu waktu itu kami masih bujang, 27 tahun lalu. Saya bertugas di Georgetown, manakala dia pula di Pengkalan Tentera Udara Mata Kucing, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Tempat terakhir beliau bertugas ialah di Pengkalan Tentera Udara Kuantan, Pahang.

Ketika melalui Pekan Rantau Jumaat lepas, sekali lagi saya melihat kelibatnya, berjalan kaki dengan baju kumal dan memakai seluar lusuh yang sudah koyak.

‘Ya Allah yang menjadikan bumi dan langit serta segala kejadian di dalamnya. Ampuni lah dosanya dan dosa kami. Mudah-mudahan engkau kurniakan kami kesihatan tubuh badan, kewarasan akal fikiran, keluarga yang bahagia, anak-anak yang soleh dan solehah. Hitung lah amal kebajikan kami sebagai amalan yang diterima. Ampuni dosa-dosa kami serta menerima doa dan taubat kami. Janganlah kami dihukum dengan azab neraka atas perbuatan maksiat kerana kealpaan kami. Himpunkan kami dalam golongan mereka yang bersyukur dan tabah menerima ujian Mu. Mudah-mudahan kami dimasukkan ke dalam golongan yang beruntung. Amin.


Nota:
Porak : kawasan bercucuk tanam bersaiz kecil atau merujuk kawasan sendiri.

Feb 17, 2012

Sepi Itu Indah

Kenduri kahwin tidak lagi mengira musim. Seingat saya 25 tahun dahulu kenduri kahwin hanya diadakan pada musim cuti sekolah. Jemputan hanya di sekitar kampung dan kampung berdekatan. Kini hampir saban minggu kenduri kahwin diadakan. Jemputan juga semakin jauh bukan setakat sempadan kariah tetapi juga melepasi sempadan daerah dan negeri. Kaedah menjemput juga sudah pelbagai daripada jemput mulut, kad jemputan sehinggalah menggunakan sms, email dan ‘muka buku’.

Minggu lepas saya bersama isteri dari Putrajaya ke sebuah dewan di UKM, Bangi. Hadir majlis perkahwinan anak rakan di jabatan lama. Kami sampai pun di penghujung majlis. Jemputan sudah semakin ‘jarang’. Hajat hati untuk menemui rakan-rakan lama tidak tercapai. Nasib baik masih ada dua tiga orang kenalan yang juga terlewat sampai.

Kerana tidak ke mana-mana, petang itu saya habiskan masa dengan berbual-bual. Itu pun tidak lama, bila lagu-lagu yang diputarkan berbunyi semakin kuat, perbualan itu tamat dengan sendirinya. Ketika kami melangkah keluar dewan, saya terfikir alangkah seronoknya hadir di kenduri kahwin di Marang, Terengganu dahulu. Walaupun ‘senyap sunyi’ tapi boleh berbual tanpa ganguan.

p/s Mungkin kenduri kahwin anak kami nanti tak pakai PA System. Ha ha hah.

Feb 3, 2012

Hilang Ketika Sujud

Sambungan cerita..... ketika menuruni Bukit Putus jam sudah menunjukkan pukul 3.15 petang. Belum solat zuhur lagi. Membeluk ke stesyen minyak berdekatan di Paroi. Menanggalkan seluar dan memakai kain sebelum berwudhu.

Sebelum solat, mata saya tertancap pada peringatan kecil di pintu surau. "Harap maklum. Surau ini ditutup pada jam 10.00 malam kerana sering berlaku kecurian". 

Peringatan itu mengembalikan semula ingatan saya pada peristiwa malang dua wanita peserta  rombongan yang singgah di R&R Rawang beberapa minggu sebelum ini. Dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Waktu itu sudah hampir 6.00 petang. Mereka singgah untuk menunaikan solat Asar. Biasalah apabila ramai yang singgah untuk solat, surau yang kecil itu bertambah sempit. Mereka meletakkan beg-beg tangan berhampiran tempat sujud sebagai tujuan keselamatan.

Tapi apa boleh buat, langkah berjaga-jaga itu juga tidak selamat. Beg-beg tangan mereka hilang ketika sujud. Riuh rendahlah petang itu dengan muka penuh kerut dan ada air tergenang di matanya. Mungkin  tidak sangka, persinggahan petang itu membawa petaka.

Mengambil langkah keselamatan, saya solat di tepi dinding surau dengan seluar yang sudah dilipat berada rapat di samping. Petang itu solat saya tidak kyusu'.  He he he.

Jan 18, 2012

Daulat Tuanku

Sabtu lepas saya ke Sri Menanti. Menyaksikan sambutan Hari Keputeraan YDP Besar Negeri Sembilan ke-64. Sudah 12 tahun saya tidak menjejak kaki ke Istana Besar Sri Menanti. Istiadat bermula di padang Seri Menanti dengan pemeriksaan kawalan kehormat disudahi dengan pertunjukan 'akrobatik' bermotosikal PDRM. Mulai pagi itu rakyat Sri Menanti berhimpun di padang. Acara rakyat akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu. Persembahan pentas di Tasik Londah Naga, permainan gasing, acara melukis, pertandingan memancing, bola sepak antara kerabat dan aktiviti jual beli. Pekan Sri Menanti yang kecil itu kembali rancak bak kata talibun:

Yang capik datang bertongkat
Yang buta teraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjauan

12 tahun itu juga lanskap istana telah berubah. Dua bangunan baru, Balai Rong Seri dan Dewan Bankuet gah tersergam dibina bersebelahan Istana Besar Sri Menanti. Balai Rong Seri lebih luas, berupaya memuatkan 1,000 orang tetamu bagi upacara penyampaian darjah, bintang dan pingat kebesaran.  TV berlayar besar dilekatkan di dinding, jelas merakam setiap detik perjalanan majlis penganugerahan. Tidak lagi sesempit ruang Balai Rong Seri di dalam istana. Potrait YDP Besar dan Tuanku Ampuan terdahulu digantung di dinding Balai Rong Seri melonjak nostalgia lampau mengenai salasilah sistem beraja di Negeri Sembilan

Usai sahaja majlis penganugerahan, tetamu beralih menikmati santapan tengahari di Dewan Bankuet. Dewan ini dihiasi dengan lampu kristal berkerlipan dan hiasan dinding yang menyerlah. Makan tengahari itu lebih berselera lagi dengan dendangan penyanyi Aisyah. Koleksi lagu-lagu 60an dan lagu kotemporari begitu menyentuh hati termasuk lagu Tunang Pak Dukun (Pak Dukun Bertunang pulo... Bertunang Si Anak Daro.... )

Petang itu saya meninggalkan Istana Besar Sri Menanti melalui Kg Ulu Parit, Terachi. Istana yang setanding dengan keunikan Istana  Iskandariah di Kuala Kangsar dan Istana Pahang di Pekan. Istana lain saya kurang maklum kerana tidak pernah dijemput. Ha ha ha.

Jan 9, 2012

Ubat Oh Ubat

Hampir setiap kali pulang ke rumah, saya memilih untuk melalui Jalan Dato Hamzah melintasi Masjid Negeri, A&W sehingga di penghujung jalan simpang tiga akan terpempan dengan bangunan Seremban Parade. Di bawah jalan itu terdapat lembah bernama Taman Tasik Seremban. Taman ini menganjur panjang sehingga ke Hotel Royal Bintang di Jalan Taman Bunga.

Setiap petang ramai kaum Cina yang muda dan tua berlari-lari anak dan berjalan kaki di sekitar taman tersebut. Senaman dan aktiviti mengeluarkan peluh ini sudah menjadi budaya kehidupan mereka. Percayalah!, dimana-mana pun mereka tinggal mereka lebih unggul dalam menjaga kesihatan.

Agaknya benarlah tips penjual ubat yang mengatakan, kalau jual ubat kepada masyarakat Cina cukuplah dengan pujukan; " Apek aa kalau makan ini ubat aa, mesti badan sihat, umur panjang looo... . Pasti mereka beli.

Kalau jual ubat pada kaum India pula katakan begini; " Aya ini ubat bagus punya, Mahathir pun ada beli, Samy Vellu pun ada beli...... Agong pun makan jugak....". Pasti mereka tertarik untuk membeli kerana kaum India amat mementingkan status.

Kepada kaum Melayu cukuplah kalau katakan; "Bang ubat ni bagus bang. Kalau abang tak percaya, abang beli dulu.... petang ini abang makan dua biji. Malam nanti abang tengok...... puhhhh". Sambil jari telunjuk menegak ke atas macam simbol 1Malaysia tu. Tak perlulah saya terangkan maknanya. Kalau faham, baguslah. Kalau tak faham tak dapek den nak nolong eh doh.