Dec 1, 2018

Pesanan Atuk.

Musim kenduri datang lagi. Cuti sekolah telah bermula. Kenduri kendara berada di merata-rata tempat. Minggu ini sahaja sudah ada empat jemputan. Paling jauh di Pasir Gudang, Johor Bharu. Paling dekat sekitar Putrajaya dan Puchong, Insya Allah kalau tiada keletihan dan kelelahan kami akan sampai.

Kehidupan kami sudah jauh berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Dulu-dulu masih ramai anak yang duduk serumah. Ramai juga yang masih ditanggung ongkosnya. Kini tiada lagi. Semua sudah berumah tangga. Sudah ada anak pun. Kami yang dulu sibuk mengurus itu ini, sudah mula cuci tangan. Hanya melihat perkembangan dari semasa ke semasa. Kalau patut diberi nasihat dinasihatkan. Kalau tak perlu jangan banyak sangat campur tangan. Hidup ini kena rasional. Ha ha ha.

Oleh kerana masa terluang (baca terbuang) yang banyak maka jemputan kenduri yang jauh adalah kesempatan kami untuk makan angin, Tidur semalam dua. Menikmati kelainan suasana di satu-satu bandar atau pekan kecil.  Amalan yang rasanya sesuai dengan kami yang sudah menjangkau usia emas ini. Mengeratkan silaturahim dan bermusafir sehari dua. Duduk di rumah pun hanya membesarkan perut sahaja,

Minggu lepas kami ke Seremban, jemputan walimatul urus rumah sepupu perempuan, saudara sebelah abah. Datang pun agak lewat. Kenduri pun sudah hampir usai. Berjumpa sepupu-sepapat yang jarang-jarang bertemu. Maklum sahajalah mereka juga sudah keluar dari kampung puluhan tahun lalu. Membina kehidupan bekeluarga dan tinggal juga merata-rata. Johor, Perak, Selangor, dan sebahagiannya masih menetap di Negeri Sembilan. 

Di penghujung petang itu, tuan rumah masih lagi menerima kunjungan satu keluarga kenalan lama kami sewaktu di kampung. Bang Mokhtar bukan sekampung, tapi tinggal di sebelah kampung kami. Beza umur kami dalam 10 tahun.  Petang itu dia membuka sirah keluarga, dari Rantau sampai ke Rembau. Hubung kait satu keluarga dengan satu keluarga mengikut jalur keturunan yang berangkai-rangkai. Sebahagiannya masih boleh diingat dan dikenali. Sebahagian lagi hilang begitu sahaja.

Apa pun dalam perbualan itu, ialah sejarah persahabatan bapanya dengan Datuk kami. Katanya hubungan mereka dahulu amat akrab. Bukan sahaja datang ziarah tapi bermalam dan bertukar-tukar pengetahuan mengenai agama.   

" Satu perkara sahaja yang abang ingat mengenai datuk kau, mengenai pergaulan mereka" 
" Apa dia bang" sampuk saya.
" Kalau Datuk kau tidur di rumah abang, dia selalu bangun dalam jam 4.00 pagi. Dia akan kejutkan abah abang. Salim, bangun, jangan lama sangat tidur, esok susah di sana (akhirat). Lepas tu mereka akan solat bersama".

Aku terfikir selepas 54 tahun selepas kematian Atok, pesanannya masih sampai lagi kepada cucunya. Apakah pesanan dan iktibar yang baik-baik yang boleh aku titipkan sehingga 60 tahun lagi pesanan itu sampai kepada cucu-cucuku pula.

4 comments:

Amie said...

Assalamualaikum,
sukanya saya baca tulisan tuan, cantik bahasanya, indah kiasannya,
banyak iktibarnya,
juga panduan untuk saya menghadapi usia senja bila tiba masanya nati.
Terima kasih.

nohas said...

Salam Pok Li, semoga sihat walafiat...
pesanan yg sangat baik..bekalan akhirat diperbanyakkan..

Pok Li said...

Terima kasih Amie. Selamat berkenalan.

Pok Li said...

Begitulah nohas. Umur dah semakin kurang. Bula-bila ne boleh pi.