Dec 31, 2014

2015...... Aku Tunggu Kau Datang

Hari ini merupakan hari terakhir saya bertugas di Daerah Seremban. Selepas mudik dan menghilir selama tiga tahun dua bulan. Akhirnya ujian itu tamat. Tahun 2015 akan kembali bermaustatin sepenuhnya di Putrajaya. 

Angin 2015 sudah hampir benar. Semoga tahun 2015 akan memberi harapan indah buat kita. Tahun 2014 ... tahun tragis bagi negara dan dunia. Belum pudar rasanya kenangan kepada kehilangan MH370. Sehingga kini tiada petanda. Tragedi MH17 yang menelan korban besar. Banjir besar di negeri-negeri Pantai Timur yang belum usai sepenuhnya. Bagai dilanda dilanda tsunami. Mudah-mudahan dipermudahkan. Amin.  

Saya berdoa di tahun baru ini kehidupan kita akan jadi baik-baik sahaja. Mangsa banjir akan dapat kembali kuat dan diberi rezeki yang melimpah ruah. Mereka yang sudah lama kemurungan kembali ceria dan gembira. Pada yang pernah gagal, bangkitlah !. Berpeganglah kepada pepatah Jepun, " Jatuh ke tujuh kali, bangkit kali ke lapan".... Banzaaai.

Tulisan ini juga menutup tirai Blog 'Biso Bonar' tahun 2014. Sedih kerana tidak banyak kenangan yang dapat ditulis. Sebenarnya amat banyak. Mungkin keletihan dalam perjalanan (120 km setiap hari). Saya hampir sahaja sudah tawar hati untuk menulis. Semoga ia menyinar di tahun 2015. Mungkin.  

Apa pun saya memang teruja menanti tahun 2015. Pertama, kerana bertukar ke tempat baru, perjalanan ke tempat kerja pun tidak melebihi 10 kilometer. Tahun 2015 juga, Insya Allah saya bakal bergelar 'datuk'. Seorang lagi anakanda saya akan menaiki jinjang pelamin pada Februari 2015. Seorang lagi akan bertunang pada Jun 2015. Dua orang lagi akan menamat pengajian di peringkat Ijazah Julai 2015. Oh 2015...... Aku Tunggu Kau Datang.


Feb 13, 2014

Tempat Jatuh Lagi Dikenang.....

Dua minggu lalu saya ke Radio Negeri FM di Kompleks Penyiaran Sungai Gadut, Seremban. Stesyen radio yang terkenal dengan tagline “Ingat Sampai Bila-Bila”. Menjadi  tetamu kepada slot “Kemilau Negeri”, program bual bicara. 

Petang itu kami telah mengulas mengenai prinsip kelima Rukun Negara - kesopanan dan kesusilaan. Slot pendek selama 30 minit. Ia bukanlah program yang sarat dengan pertanyaan dan jawapan. Hanyalah perbualan santai antara saya dengan DJ Jaja, diselang-seli dengan lagu-lagu kotemporari.

Stesyen radio bukan asing buat saya. Pada tahun 1997 sehingga tahun 2000 saya pernah bertugas sebagai juruhebah di stesyen Radio 8 - Informasi Untuk Anda, di Angkasapuri. Bersiaran empat jam setiap hari. Berkongsi ‘konti’ dengan Radio 7 dan Suara Islam. Radio 7 sudah pun bertukar nama kepada Asyik FM, stesyen radio khusus buat masyarakat Orang Asli.

Malangnya selepas lapan tahun beroperasi, stesyen radio ini telah ditutup pada penghujung tahun 2005. Radio 8 berkonsepkan ‘Talk Radio’. Lagu-lagu bukan menjadi keutamaan, ia lebih tertumpu kepada slot bersama tetamu, penjelasan dasar-dasar kerajaan dan juga petikan ucapan pemimpin. Konsep radio ini telah diteruskan secara lebih tersusun oleh Radio Bernama pada tahun 2007. Satu-satunya radio yang mementingkan penyampaian berita dan maklumat, kupasan isu dan slot bersama tetamu. Sesuai dengan tagline “Berita Pantas Info Berterusan”.

Bertugas sebagai DJ atau juruhebah bukan semudah dan seseronok yang disangka. Banyak pantang larang yang perlu diketahui. Penuh cabaran dan dugaan yang perlu dilalui sepanjang masa. Ia bukan hanya habis di konti tetapi turut terlibat dalam dunia wartawan. Mencari bahan di lapangan, menyunting dan menerbitkan rancangan antara  tugas-tugas wajib selain menyediakan skrip semasa bersiaran.

Tugasan sentiasa mengejar ‘date line’ yang tak kunjung padam. Bertugas semasa Hari Raya sudah menjadi ‘kain basahan’ kami. Kepedihan hanya ‘terubat’ dengan panggilan pendengar atau berkongsi rasa dengan DJ stesyen lain.

Kini konti di radio lebih hebat teknologinya. Boleh dikatakan hampir automasi sepenuhnya dengan perkakasan Dalet. Semuanya 'digital'. Tiada lagi mesin  dan catridge. Lengkap dengan internet yang menghubungkan DJ dengan peminat.. Dahulu kami hanya ada mesin pemutar pita di belakang kerusi DJ. Disebelah kanan panel DJ terdapat pemain ‘catridge’ untuk memainkan jingle dan ‘ID station’ selain mesin pemain CD lagu. 

Bila sesekali kembali ke ‘konti’  teringat kisah-kisah lama, rakan-rakan lama, abang-abang DJ senior yang dianggap sebagai guru. Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi tempat bermain.

p/s Maaf tuan Megat pinjam foto. Ha ha hak.

Jan 25, 2014

Sabar Menanti 2

Kesabaran itu ada hikmahnya. Pada hari saya  bertolak ke Kota Kinabalu saya dijamu sepuas-puasnya  oleh Yahya dan Anna rakan di Labuan menikmati kuih cakoi bersalut mentega dan kaya. Bukan di Restoran Sabar Menanti tetapi di restoran lain. 

Walaubagaimanapun kenikmatan kuih cakoi itu sudah jauh merosot berbanding  dahulu. Mentega dan kaya tidak lagi setebal seperti sepatutnya, ia disalut nipis dan dipotong kecil. Mungkin kerana harga barang asas yang sudah naik atau pun peniaga cuba memaksimakan untung. Ada kemungkinan juga pewaris perniagaan itu tidak benar-benar menguasai ‘resepi asli’ makanan tersebut.

Mengekalkan rasa asli sesuatu makanan amat penting. Ia sebagai kuasa ajaib untuk mengekalkan tarikan pelanggan ke premis mereka. Pada tahun 1980 ketika mula-mula saya berkenalan dengan Bandar Kuantan, gerai nombor 6 di tepi sungai Kuantan yang dikenali sebagai ‘benteng’  itu menjual lychee kang  yang amat enak rasanya. Rasa asli resepinya begitu mengujakan dengan tambahan buah prune dan telur puyuh. Dijual pada harga RM1.60. Harga yang ‘boleh tahan’ juga pada masa itu.

Dua atau tiga tahun selepas itu, bila berkunjung ke Kuantan sekali lagi saya bertandang ke gerai yang sama. Memesan Lychee Kang yang ‘umpph’ ini.  Amat mengecewakan,  beberapa bahan utama telah dibuang daripada resepi aslinya.  Buah lychee, prune dan telur  puyuh sudah tiada lagi.

“Kenapa sudah kurang bahannya bang?”

“Harga barang dah naik lah dik… tak boleh nak buat macam dulu… tak boleh nak tampung ”

Nampaknya isu barang naik ini telah berlaku secara berulang-ulang. Tiada noktahnya. Cuma saya melihat perbezaan  corak pemikiran antara peniaga dahulu dan sekarang. Peniaga dahulu mungkin lebih peka terhadap nasib pelanggannya. Mereka rela mengekalkan harga untuk membolehkan pelanggan menikmati makanan yang sama walaupun mutu dan keperisaanya berkurangan. Berbanding peniaga sekarang bukan sahaja menaikkan harga lebih mahal tetapi rasa makanannya tidaklah sesedap mana.

Sudah tentu usia saya yang melepasi separuh abad ini telah menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan. Ada jenis makanan yang sudah atau sukar ditemui lagi untuk dinikmati. Teh Haji Hashim yang paling enak pernah saya minum tidak akan ditemui lagi. Kerana resepi campuran tehnya berkubur bersama tuannya. Pada masa yang sama puluhan resepi baru muncul dan dicipta. Tidak kurang juga resepi yang menjadi warisan telah hilang tanpa ada penggantinya.

Namun begitu ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) adalah contoh resepi warisan yang telah diniagakan secara komersil. Ia diperkenalkan oleh Kolonel Harland David Sanders  pada tahun 1930. Ayam goreng KFC  hampir sahaja boleh dinikmati di mana-mana di seluruh dunia. Ada juga restoran makanan Malaysia yang meniru konsep franchise tersebut tidak mencapai kejayaan. Antaranya ialah Restoran ‘Satay Ria’ yang pernah dibuka  sehingga ke London pada pertengahan tahun 1980an.


Begitu pun saya telah menikmati dua ketul ayam ‘crispy’, sekotak kentang goreng, teh ‘o’ panas secara percuma di KFC Lapangan Terbang Labuan. Habuan daripada MAS untuk saya terus ‘sabar menanti’ kerana jadual penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu ditunda dari jam 7.40 petang kepada 10.30 malam. Adoyai…….

Jan 19, 2014

Sabar Menanti

Mungkin kerana keseorangan atau pun kesunyian saya menulis lagi. Betul-betul di pusat Bandar Labuan. Nama asal Bandar Labuan ialah Bandar Victoria. Ini kali ketiga saya menjejak kaki di sini. Kali pertama pada tahun 2000, datang lagi pada tahun 2004 dan selepas 10 tahun kembali lagi menjejak kenangan. 

Apa yang istimewanya pulau ini. Itu kena datang sendiri le. Masing-masing ada cita rasa sendiri. Secara umum ia adalah pulau bebas cukai. 

Petang tadi saya hanya berjalan-jalan seorang diri mengikut langkah kaki. Memasukki pusat membeli belah di Ujana Kompleks Kewangan di Jalan Merdeka. Masih biasa-biasa sahaja. Restoran di barisan hadapan kompleks yang menjual roti canai ketika saya mula sampai di Labuan dahulu telah digantikan dengan restoran makanan segera. Pengusahanya dahulu seorang bekas tentera,   'orang semenanjung' jika tidak silap berasal dari Johor. 

Meninjau-ninjau dan berpusing-pusing dalam kompleks yang kelihatan suram membuatkan saya bosan. Akhirnya menyusur keluar menuju Medan Selera Labuan berhampiran Hotel Dorsett yang tersergam gagah. Boleh jadi saya terlalu awal tiba, gerai menjual kepak ayam panggang masih belum dibuka. Berjalan lagi merentasi Dataran Labuan ke Jalan Tun Mustapa. Di penghujung jalan bertemu Hotel Aifa dan Restoran Marry Brown. Mungkin kerana hari minggu, hotel dan restoren makan segera sentiasa ada pengunjung. 

Kerana perut mulai terasa lapar saya singgah di sebuah restoren berdekatan. Memesan teh 'o' panas, minum kegemaran saya mutakhir ini. Teh tarik minuman kegemaran sebelum ini sudah dikurangkan, kerana rasa 'sebu' dan mungkin tidak lagi sesuai kerana faktor kesihatan.

Sementara saya menunggu minuman, saya teringat bahawa restoran ini 14 tahun dahulu pernah saya tandangi. Menikmati minuman petang dengan kuih cakoi yang istimewa. Kuih cakoi yang dibelah dua itu disapukan dengan mentega dan kaya yang tebal. Jika ia diperkenalkan di Semenanjung dengan nama Cakoi Labuan pasti ia mendapat sambutan. 

"Dik bagi cakoi..."
" Tunggu encik, kami sedang goreng cucur udang"
"Oh.. ok.. ok..." saya membalas separuh kecewa.

Saya memesan cucur udangnya bernilai RM2.00. Air teh 'o' dan cucur sudah habis.

" Bila nak goreng cakoi dik...."
"Nanti encik kami sedang goreng pisang pulak"

Saya tidak boleh menunggu lagi, petang pun sudah semakin ke hujung, Solat Asar belum lagi tertunai. Nampaknya hajat saya tidak kesampaian. Saya tak boleh nak marah kerana nama restoran ini memang mencapai maksudnya.... ya Restoran Sabar Menanti.