Jun 26, 2009

Hitam dan Putih



Michael Jackson telah pun meninggal dunia. Dunia sudah kehilangan seorang penghibur yang hebat. Saya tak nak ulas berjela. Cuma saya terfikir keunikan manusia ini. Dunia melihat anak seni berkulit gelap ini ‘bertukar’ warna, hidung peseknya turut mengecil dan semakin mancung. Dia ‘mengorbankan’ kulit hitam dan bertukar kepada kulit putih kerana menginginkan sanjungan dari peminatnya di kalangan orang kulit putih. Tentulah jauh berbeza dengan Nelson Mandela yang terus ‘berkulit hitam’ dan ‘mengorbankan’ kebebasannya selama 27 tahun dengan perjuangannya bersama rakyat Afrika Selatan menentang dasar apartheid.

Perjuangan mereka berbeza untuk mencari kesaksamaan. Tetapi tentulah mereka yang memliki jati diri lebih dihargai.

p/s Saya bersyukur dengan warna kulit saya yang sawo matang ni


Jun 25, 2009

Hari Abah


Sudah 23 tahun saya bergelar Abah. Abah kepada lima orang anak. Tiga lelaki dan dua perempuan. Abah yang sinonim juga dengan panggilan babah, papa, ayah, daddy, dan yang sewaktu dengannya. Pantasnya masa berlalu, hampir sahaja saya tidak mengingati zaman kecil mereka. Bagaikan sekelip mata mereka telah membesar dan kami tidak lagi tinggal sebumbung. Pertemuan kami pun sudah jarang-jarang, mungkin hanya dua bulan sekali ataupun ketika musim cuti belajar. Rumah kami seperti rumah persinggahan. Sebulan dua di rumah mereka sudah pergi kembali ke kolej dan ke universiti. Antara mereka juga sudah jarang berjumpa. Lima orang anak yang berderet-deret dan ramai dahulu terasa kecil jumlahnya. Mereka sudah menginjak usia dewasa sekarang. Benar kata arwah Abah yang ada 15 orang adik beradik, ”Bila sudah tua ni Li, abah rasa macam tak ada adik beradik”. Maklum sahaja sebahagian besar adik-beradiknya telah keluar merantau. Ada yang menetap di Rasah, Sendayan, Ampangan, Kuala Lumpur dan Singapura.

Pertama kali membahasakan diri sebagai abah bersempena kelahiran anak sulung, terasa agak kekok. Tapi lama kelamaan ia menjadi fasih dan biasa. Gelaran itu disandang ketika usia saya hampir mencecah 27 tahun. Anak sulung saya dinamakan Muhammad Amir Sadiq. Kemaruknya seorang ‘bapa’ yang ingin menamakan anaknya dengan nama dan makna yang baik-baik akhirnya terlebih panjang. Setiap kali saya mengisi borang dan menulis buku latihannya, seringkali juga tidak mencukupi ruang apabila dicampur dengan nama ‘abahnya’. Mungkin kerana itu saya hanya menamakan anak kedua hingga kelima dengan nama yang lebih pendek. Kurang letih sedikit menulis.

Mendapat gelaran ‘abah’ juga bukan tiada ranjaunya. Benih kami yang pertama gugur ketika janin sudah mencecah empat bulan. Airmata isteri mengalir setiap kali saya datang melawatnya di Hospital Pulau Pinang. Impian kami untuk menimang cahaya mata pertama sudah berkecai, apatah lagi mendengar ’cakap-cakap’ orang ‘gugur kali pertama, sukar untuk mengandung lagi’. Jahat sungguh mulut mereka. Apa pun kalau sudah takdir dan rezeki, tak ke mana. Tak sampai setahun isteri saya mengandung lagi. Seingat saya inilah kandungan yang dijaga paling rapi sekali. Setiap detik kami menantikannya dengan penuh debaran dan pasrah. Setiap detik adalah masa-masa kritikal, ’trauma’ keguguran itu tidak mudah hilang, sehinggalah kandungan itu berusia lima bulan. Alhamdullilah, penat lelah ’menjaga’ itu berbaloi, lima jam dalam ’labour room’, bayi 3.5 kilogram itu lahir dengan di ’forcep’, penantian sembilan bulan 10 hari itu sudah berakhir dengan jayanya. :)

p/s Terima kasih juga buat pengunjung Blog Biso Bonar yang sudi mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada saya. Tidak terlewat juga untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada insan dan pengunjung yang bergelar bapa. Terima kasih juga buat Angah dan Alang yang hadiahkan abah ’talipinggang’. Perut abah masih ’maintain’ lagilah he he he .

Jun 21, 2009

Kuala Pilah Jalan Senaling


Tiga hari lalu saya telah menziarahi ‘Pokan Pilah’, bukan untuk pulang tapi untuk bertugas. Pekan yang telah merakamkan perjalanan hidup kami sekeluarga selama 10 tahun. Dua dari lima orang cahaya mata kami lahir di sini. Mereka membesar bersama 'kemajuan' pekan kecil ini. Bersekolah di SK Senaling, sebelum Along dan Angah meneruskan persekolahan di sekolah menengah berasrama di Seremban dan di Kuala Kubu Bharu. Alang, Acik dan Afif pula tidak sempat menghabiskan sekolah rendah mereka di sini. Mereka telah mengikut kami berpindah di Bukit Beruntung, kemudian berpindah lagi ke Marang, Terengganu. Walaupun begitu, loghat Negeri Sembilan mereka masih tetap tebal, ‘telor’ Pilah. Hanya anak bongsu kami, Afif, yang bersekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu kini lebih fasih menyebut ‘makang’ dari makan. Begitulah ceritanya bila ibu bapa berpindah randah. Ketika ibu dan ayah masih lagi terkial-kial memahami dan mencuba loghat baru, anak-anak pula begitu mudah bertutur loghat tempatan ‘semacam’ mereka lahir di situ.

Cuma bila singgah di pekan kecil ini, saya tetap ingat pantun lama ‘orang pilah’ yang 'tersohor' itu. Saya perturunkan dalam loghat ‘nogori’.

Kalau nak tau podehnyo lado
Dibolah-bolah digiling-giling
Kalau nak tau banyaknyo jando
Kolo Pilah jalan Senaling

Jun 18, 2009

Hadiah Yang Tersimpan


Jika boleh diibaratkan seperti orang memberi kuih ataupun juadah, saya sudah ada tiga pinggan kosong yang masih belum berbalas. Dua bulan yang lalu blog ini telah mendapat sekali lagi penghargaan oleh blogger Tirana untuk kali ketiga. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Tirana. Walaupun kesibukannya bertaraf ’gaban’, dia masih lagi menjengok blog dan tulisan saya yang sudah semakin tenggelam timbul sekarang ini. Saya juga berdoa semoga Tirana terus sihat dan meneruskan keaktifannya berblog. Saya juga minta maaf kepada Tirana kerana lambat betul untuk menyiarkan pemberian hadiah diblog ini. Sekarang pun sedang mencari-cari tag yang belum dijawab. Mungkin ini tabiat buruk saya yang suka bertangguh (bukan semua perkara).

Saya panjangkan juga hadiah tersebut kepada 11 rakan-rakan blogger yang saya kasihi (bunyi drum)............

1.AzD
2.Memang Lumayan
3.Anuar Manshoor
4.Melangkah 2009
5.Ikan Emas
6.Zara Aluwi
7.Budak Kejam
8.Peluru-peluru Dari langit
9.Orang Bukit
10.Mati Pikiran
11.Sembang Berapi

p/s minggu lepas saya sudah turun dan balik kampung di Seremban. Sekarang saya sedang bersiap-siap lagi turun ke Kuala Pilah pula. Malam nanti saya pasti boleh makan daging salai lagi....... ha ha ha .

Jun 11, 2009

Surat Untuk Tuhan


Cerita ini telah dipetik dari koleksi cerita sahabat saya ketika bersama-sama bertugas di Perlis tempoh hari. Banyak cerita-ceritanya menarik dan boleh dijadikan teladan dan sempadan. ”Minta maaflah Tuan Jamaluddin, kerana mengabadikan cerita ini dalam blog ’Biso Bonar’.”

Ceriteranya, pada satu hari seorang posmen telah pun selesai menyerahkan semua surat-surat kepada pemiliknya, kecuali sepucuk surat yang membuatkan dia merasa ’bengong’. Surat itu telah ditujukan kepada Tuhan Yang Maha Agong, beralamat, Jalan Syurga, Langit Ketujuh, Alam Semesta. Oleh kerana tidak menemui ’cara’ untuk menyampaikannya, posmen ini telah membuka surat itu dan membaca isi kandungannya. Tersentuhlah perasaannya kerana isi surat itu penuh ratapan dan pengaduan kepada Tuhan tentang kesusahan dan kesengsaraan hidupnya. Surat itu telah dikirim oleh seorang ibu tua yang memohon agar Tuhan meringankan beban hidup mereka sekeluarga dengan memberikan wang RM 500.00 sahaja.

Kerana terharu dengan isi surat yang begitu tulus dan mulus, dia telah berpakat dengan rakan-rakan posmen yang lain untuk menderma. Akhirnya selepas beberapa hari bersusah payah mengumpulkan derma, terkumpullah wang sejumlah RM 450.00. Walaupun tidak mencukupi, posmen tadi sudah berpuashati, sekurang-kurangnya dia telah menjalankan tanggungjawab selaku insan yang prihatin kepada kesusahan orang lain..

Tamat sahaja tugasnya pada hari itu dia telah bergegas pergi ke rumah perempuan tua itu. Berseri-serilah muka ibu tua itu apabila si posmen mengatakan bahawa suratnya telah dibalas. Oleh kerana terlalu gembira dia telah membuka surat itu di hadapan posmen dan mengira jumlah wang yang dia peroleh. Tanpa mengucapkan terima kasih ibu tua ini kembali masuk ke dalam rumah dan muncul semula dengan sebatang kayu api dan terus sahaja memukul posmen yang baik hati tadi.

Posmen yang masih ’bengong’ dan kesakitan itu terus bertanya, ”kenapa ibu pukul saya, sedangkan saya tidak bersalah”. Balas ibu tua itu, ”jangan kau berpura-pura baik, aku minta kepada Tuhanku sebanyak RM 500.00 tapi yang ada hanya RM 450.00, tentulah kau dah sunglap selebihnya.....”

Moral daripada cerita ini belum tentu niat baik akan dipandang baik. Keduanya jangan cuba-cuba mengambil alih kerja Tuhan.

Jun 10, 2009

100



Hari ini dan ketika ini genaplah sudah saya menulis sejumlah 100 posting. Penat juga, ’menghungap’ kata orang nogori. Apa pun saya bersyukur, kerana masih lagi terus menulis walaupun tidak serancak dahulu. Mungkin kejayaan ini tidak sebesar mana, tapi saya tetap berbangga dengan pencapaian ini, kerana menulis bukanlah mudah. Memang boleh menulis apa sahaja, tetapi bagi saya biarlah ia bermunafaat dan menjadi catatan sejarah kecil sepanjang perjalanan hidup yang saya lalui dan tempuhi. Apa yang dilihat, didengar, dialami dan yang saya fahami. Menulis blog hanyalah aktiviti santai yang menggembirakan, mungkin juga sebagai medan terapi minda dan emosi yang baik untuk kesihatan.

Banyak pengukuran kejayaan seseorang sering dikaitkan dengan angka 100. Perdana Menteri ke 6 negara telah dilantik pada 3 April lalu, bulan Julai ini genap 100 hari pertama pentadbirannya. Tunggulah ulasan dan analisis dari pelbagai pihak mengenai dasar-dasar yang dibawanya, terutama gagasan Satu Malaysia yang sedang hebat dipromosi sekarang. Adakah ’beliau’ akan mencapai KPInya.

Begitu juga bagi mereka yang berusia 100 tahun sekarang memang dianggap insan istimewa. Bukan sahaja kerana cukup ’asam garam’ melalui rencah kehidupan tetapi juga telah merentasi sejarah zaman, zaman penjajahan dan merdeka. Jika dia boleh menulis blog seperti kita sekarang, saya pasti dia mampu menulis mengenai kisah-kisah hidup para pejuang negara, seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman , atau intelek Melayu, Pendita Zaaba, Tok Kenali, Pak Sako dan kisah-kisah silam yang terpendam bagaikan ’karun’ sejarah.

Apapun saya sudah bersedia untuk menulis 100 posting lagi, sebagai satu azam, tanpa perlu menunggu tahun baru...................

Jun 5, 2009

Cerita Dari Tasik Timah Tasoh


Pertama kali menjejak kaki di Tasoh Lake Resort & Retreat, memang mengasyikkan. Padang hijaunya melandai sepanjang tasik, melengkung luas berlatarkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan negara Thailand. Terdapat beberapa buah blok bangunan pangsapuri, chalet dan tapak perkhemahan yang dipenuhi dengan pokok durian. Tidak ramai yang mengetahui di dasar tasik itu dahulu pertemuan dua sungai, Sungai Tasoh dan Sungai Timah. Air sungai ini kemudian diempang sehingga terbentuknya tasik buatan. Di dasar tasik ini juga sebuah kampung bernama kampung Tasoh turut tenggelam bersama masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan. Kampung ini telah menjadi nostalgia yang semakin ’hilang’. Penduduk kampung itu telah berkorban untuk sebuah ’jasa’, Tasik Timah Tasoh telah menjadi ’gudang’ air kepada Negeri Perlis.

Pengorbanan berlaku dalam dimensi yang pelbagai dan berbeza. Masih banyak perkara yang tidak kita ketahui. Ilmu manusia ini ibarat setitis air laut yang terjatuh dari paruh burung. Saya telah datang ke Tasik Timah Tasoh ini bersama rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Perlis untuk bertugas di perkhemahan pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh negeri Perlis. Petang itu di slot jati diri, tayangan dokumentari pendek mengenai kehidupan burung penguin menginsafkan saya. Bila tiba musim bertelur, ribuan pasangan penguin berkumpul di satu kawasan berhampiran laut. Selesai sahaja penguin betina bertelur ia akan menyerahkan ’amanah’ menjaga telur itu kepada penguin jantan. Penguin betina kemudian menyelam semula ke dasar laut untuk mencari makanan. Tinggallah sekumpulan besar penguin jantan ini menjaga amanah itu. Telur itu sentiasa berada di atas kaki dan dibawah perut mereka, kalau terjatuh, dalam beberapa saat sahaja telur itu akan membeku dibawah suhu yang kerap kali jatuh sehingga -15C◦. Mereka terus bertahan tanpa makan dan minum selama empat bulan. Kalau ada pun mungkin memakan sedikit makanan yang terdapat dalam ’kantung’ khusus untuk bekalan anaknya yang menetas nanti. Begitulah besarnya pengorbanan penguin jantan mengeramkan telur dalam suasana kepayahan dan cuaca sejuk. Maha Kaya Allah yang telah menciptakan kejadian alam ini dengan susunan yang teratur. Pengorbanan mereka lebih hebat dari manusia yang hanya pandai ’bercengkarama’ tetapi membuang keturunan mereka di lubang tandas dan tong sampah.

Jun 4, 2009

Menunggu Hari Gelap


Dari lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star ke Kangar menaiki teksi mengambil masa lebih kurang satu jam. Sesekali singgah di Bandar Kangar yang sudah lebih dari sedekad tidak dikunjungi membuatkan saya teruja untuk menerokainya. Selepas ’masuk’ hotel saya keluar kembali dengan berjalan kaki. Sementara menunggu hari gelap, satu persatu jalan di bandar ini saya jejaki, satu persatu juga bangunan dalam bandar ini saya temui, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), perhentian bas, perhentian teksi, Pasaraya The Store, bangunan lama dan baru, singgah sekejap di beberapa buah kedai buku dan akhirnya saya kepenatan dan lapar.

Mungkin juga sudah menjadi ’tabiat’ manusia, setiap kali datang ke tempat baru pasti mencari kelainan dan yang paling utama ialah makanan. Apatah lagi makanan di Perlis tentulah jauh berbeza dengan makanan di Terengganu yang manis-manis belaka itu. Akhirnya saya singgah di ’My Town Kopitiam’ di jalan Bukit Lagi menikmati hidangan ’Nasi Siam” . Nasinya dicampur dengan isi udang dan telur, ditambah dengan dua ketul ayam dan keropok udang bersama teh o limau panas. Mungkin juga kerana perut sudah’berkeroncong’, berselera betul saya makan petang itu.

Ketika balik menuju ke hotel, saya terlihat gerai Fatimah Nasi Kandar bersebelahan Pasaraya Aneka di Jalan Syed Alwi itu begitu ramai pelanggannya sehingga panjang beratur. Tentulah rasa masakannya begitu istimewa....., malangnya perut saya sudah kenyang. Kalau tidak kerana saya akan ke Tasoh Resort & Retreat di Beseri awal pagi besoknya, mungkin saya sanggup beratur juga........