Feb 13, 2014

Tempat Jatuh Lagi Dikenang.....

Dua minggu lalu saya ke Radio Negeri FM di Kompleks Penyiaran Sungai Gadut, Seremban. Stesyen radio yang terkenal dengan tagline “Ingat Sampai Bila-Bila”. Menjadi  tetamu kepada slot “Kemilau Negeri”, program bual bicara. 

Petang itu kami telah mengulas mengenai prinsip kelima Rukun Negara - kesopanan dan kesusilaan. Slot pendek selama 30 minit. Ia bukanlah program yang sarat dengan pertanyaan dan jawapan. Hanyalah perbualan santai antara saya dengan DJ Jaja, diselang-seli dengan lagu-lagu kotemporari.

Stesyen radio bukan asing buat saya. Pada tahun 1997 sehingga tahun 2000 saya pernah bertugas sebagai juruhebah di stesyen Radio 8 - Informasi Untuk Anda, di Angkasapuri. Bersiaran empat jam setiap hari. Berkongsi ‘konti’ dengan Radio 7 dan Suara Islam. Radio 7 sudah pun bertukar nama kepada Asyik FM, stesyen radio khusus buat masyarakat Orang Asli.

Malangnya selepas lapan tahun beroperasi, stesyen radio ini telah ditutup pada penghujung tahun 2005. Radio 8 berkonsepkan ‘Talk Radio’. Lagu-lagu bukan menjadi keutamaan, ia lebih tertumpu kepada slot bersama tetamu, penjelasan dasar-dasar kerajaan dan juga petikan ucapan pemimpin. Konsep radio ini telah diteruskan secara lebih tersusun oleh Radio Bernama pada tahun 2007. Satu-satunya radio yang mementingkan penyampaian berita dan maklumat, kupasan isu dan slot bersama tetamu. Sesuai dengan tagline “Berita Pantas Info Berterusan”.

Bertugas sebagai DJ atau juruhebah bukan semudah dan seseronok yang disangka. Banyak pantang larang yang perlu diketahui. Penuh cabaran dan dugaan yang perlu dilalui sepanjang masa. Ia bukan hanya habis di konti tetapi turut terlibat dalam dunia wartawan. Mencari bahan di lapangan, menyunting dan menerbitkan rancangan antara  tugas-tugas wajib selain menyediakan skrip semasa bersiaran.

Tugasan sentiasa mengejar ‘date line’ yang tak kunjung padam. Bertugas semasa Hari Raya sudah menjadi ‘kain basahan’ kami. Kepedihan hanya ‘terubat’ dengan panggilan pendengar atau berkongsi rasa dengan DJ stesyen lain.

Kini konti di radio lebih hebat teknologinya. Boleh dikatakan hampir automasi sepenuhnya dengan perkakasan Dalet. Semuanya 'digital'. Tiada lagi mesin  dan catridge. Lengkap dengan internet yang menghubungkan DJ dengan peminat.. Dahulu kami hanya ada mesin pemutar pita di belakang kerusi DJ. Disebelah kanan panel DJ terdapat pemain ‘catridge’ untuk memainkan jingle dan ‘ID station’ selain mesin pemain CD lagu. 

Bila sesekali kembali ke ‘konti’  teringat kisah-kisah lama, rakan-rakan lama, abang-abang DJ senior yang dianggap sebagai guru. Benarlah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi tempat bermain.

p/s Maaf tuan Megat pinjam foto. Ha ha hak.

8 comments:

nohas said...

Mesti sedap suara Pok Li..juruhebah..saya dengar radio cuma dlm kereta saja..

radio sekarang lebih interaktif..tapi paling tak suka bila DJ dan pendengar ketawa trbahak-bahak online..bosan sungguh..

Pok Li said...

nohas
Etika juruhebah dahulu dengan sekarang dah jauh berbeza. Ayat-ayat seperti kau dan aku, terjerit-jerit dalam konti dah jadi mainan pulak. Kalau zaman saya dah kena gantung tu...

Bunda_nora said...

assalam,

zaman sekarang ni dah terlebih terbuka dan terlebih santai...

Pok Li said...

BUNDA

Ya setuju...

isabelle frankly said...

stail dolu ada bestnya yg tersendiri.
cuma zaman skrg ni dah jrg le dapat dengar

Pok Li said...

isabelle ....

Sekarang saya pun jarang dengar radio ha ha hak.

Kamsiah yusoff said...

mesti dulu2 ramai peminat perempuan ni..:)

Pok Li said...

Kamsiah

Masa dah berlalu tu.... ha ha hak