Dec 28, 2011

KPI

Tulisan saya tidak melebihi 100 posting setahun. Jika dibahagi dengan 12 bulan hanya dua atau tiga posting sahaja sebulan. Maknanya amat jauh panggang daripada api untuk dikategorikan sebagai blogger aktif. Kata orang sekarang tidak mencapai KPI. Namun saya tetap bersyukur kerana berjaya menulis 205 posting sejak empat tahun lalu di zon-zon yang berbeza.

Semalam saya ke Jaya Jusco, Seremban 2, meluruskan pangkal lengan menghayun bola bowling. Boleh tahan juga, lepas juga 100 mata setiap frame. Sesekali bermain bowling boleh juga menghilangkan stress sambil bersorak-sorak macam 'remaja' kembali.

Sebelum bermain saya meninjau-ninjau juga permainan mesin di sebelah gelanggang bowling itu. Ramainya golongan remaja. Saya agak 'ralit' menyaksikan seorang budak berumur sekitar lima tahun yang memandu laju kereta dalam mesin permainannya. Begitu bersungguh-sungguh. Meliuk lintuk badannya menukar gear dan memutar streng 'kereta'. Ia memecut laju dengan kepantasan 230km/j, setiap kali melepasi garisan permulaan, 'times extended' akan terpapar. Bermula dengan nombor 30 dia berjaya menduduki tempat ke 12. Hebat.

Pada pengamatan saya, budak ini telah melepasi KPI permainan itu. Bukan sahaja kerana umurnya yang rendah, tetapi tahap kesukaran permainan itu di tahap paling sukar. Saya percaya jika semangat untuk menang perlumbaan itu diterapkan dalam kehidupan dewasanya pasti dia muncul juara. Kalau dia penulis blog mungkin juga mampu menulis tiga artikel sehari. Ha ha hak.  

Dec 27, 2011

Kemabal

Kegilaan menulis itu terhenti secara tiba-tiba. Sedar-sedar sudah hampir penghujung tahun 2011. Mungkin kerana kejutan berpindah. Kehidupan  sering tak terjangkakan. Mungkin itu takdirnya.

Kehidupan baru bermula lagi. Putaran itu semakin lama dirasai semakin ligat. Memahami semula selok tempat baru memakan masa. Secepatnya dalam tempoh tiga bulan. Kayu ukur selalunya diletakan dalam tempoh 100 hari. Samada kita berubah atau terus statik tanpa melakukan sesuatu.

Pertuturan pelat KL sudah lebur. Ia digantikan dengan bahasa negeri yang 'pokek'. 'Eden' dan 'Ese' sudah bersilih ganti mengantikan aku dan saya. Daging salai, gulai pisang, gulai petai dan segala macam masakan tradisional Negeri Sembilan sudah kembali dinikmati sepuas-puasnya. Perbendaharaan kata  juga semakin bertambah.Kalau semalam berlaukan daging salai, hari ini makan gulai ayam campur 'kemabal'. Tahu ke apa itu 'kemabal'. Kemabal ialah nangka muda yang dipotong-potong dan dicampur ke dalam gulai masak lemak cili api ayam atau daging. Nikmatnya, emak mentua lalu kat belakang pun tak sedar.

Pokek = pekat/loghat Negeri Sembilan yang sejati.


Oct 1, 2011

Yek Sayek Nyok

Wisma Selangor Dredging
Akhirnya titik noktah itu sampai juga. Melangkah keluar dari Wisma Selangor Dredging, memandu dengan rasa sayu meredah Jalan Ampang. Membelok ke Jalan P.Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Conlay sebelum memasuki lebuhraya PLUS ke Putrajaya. Luarbiasa. Petang itu laluan mudah untuk sampai ke rumah.

Selepas setahun enam bulan berulang alik dari Putrajaya ke Kuala Lumpur akhirnya ia tamat semalam. Mulai Isnin ini saya akan memulakan destinasi baru meredah 60km ke selatan menuju ibu negeri Negeri Sembilan. Bermula lagi satu lembaran baru.

Perjalanan hidup yang begitu panjang ini akhirnya berlabuh di 'lopak' sendiri. Bak kata pepatah 'setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya hinggap di belakang kerbau juga'. Selepas 14 tahun meninggalkan tanah tumpah darah akhirnya saya kembali lagi.

Saya telah meninggalkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenangan yang mendalam. Ia ibarat sebuah 'negeri kecil' yang menjaga kepentingan dan kebajikan Orang Asli sejak ia ditubuhkan pada tahun 1954. Jabatan yang telah mencurahkan begitu banyak kemudahan kepada masyarakat Orang Asli. Senarainya begitu panjang. Bermula dengan rumah percuma, air bersih, bekalan elektrik, jalan kampung, pembangunan ladang, bangunan sekolah, wang saku pelajar, tambang pengangkutan, biasiswa universiti, program pelajar ke luar negara, pembangunan usahawan, pembangunan minda, penjagaan kesihatan, doktor udara, rumah transit kesihatan, hospital ......... bla bla bla. 

Sehingga saya terfikir kalau saya ada anak kecil mahu sahaja saya meletakkan bangsanya Orang Asli  kerana keistimewaannya yang pelbagai. Hanya bangsa ini sahaja yang ada jabatan dan sebuah Hospital Orang Asli yang terletak di Gombak. 

Bangsa nomad ini telah berjaya memutar perubahan dari dunia buta huruf kepada dunia usahawan dan cendiakawan.  Berpuluh pelajar mereka keluar dari Institusi Pengajian Tinggi setiap tahun. Sudah ramai yang bergelar Doktor Perubatan dan Doktor Falsafah. Mereka bukan bangsa terpinggir tetapi bangsa terpilih. 

Saya bukan sahaja telah meninggalkan jabatan ini, tetapi juga kenangan kembara dari satu kampung ke satu kampung di pedalaman. Dari Pos Brooke di Kelantan,  sehingga ke Sungai Layau di Johor. Meninggalkan juga rakan-rakan seperjuangan.  Terima kasih dan Selamat Tinggal. YEK SAYEK NYOK.

Nota:
Yek Sayek Nyok : Saya Sayang Kamu
Lopak : petak sawah/ kiasan kepada kepunyaan kita

Sep 11, 2011

Dedikasi Untuk Ayah

Hujan lebat dan sesekali renyai itu mengiringi perjalanan kami  dari Putrajaya ke Gua Musang. Hanya selepas bandar Raub cuaca panas kembali. Alhamdulillah perjalanan hampir empat jam itu berjalan lancar.

Saya sampai di daerah ini ketika hampir waktu solat Zuhur. Gua Musang adalah daerah paling besar di Kelantan, bersempadan dengan Pahang di selatan, Terengganu di timur, Perak di barat manakala di utara bersempadan dengan daerah Jeli dan Kuala Kerai. Daerah yang mempunyai laluan keretapi  menghubungkan  pekan Gua Musang dengan pekan Gemas di Negeri Sembilan.

Petang itu saya menyaksikan persembahan dikir barat daripada Halim Yazid. Pendikir yang terkenal dengan lagu Anak Tupai. Usianya sudah separuh abad, tapi masih nampak muda dan lincah. Keistimewaannya, dia menggunakan lagu-lagu dikirnya sebagai motivasi kepada penonton dan pendengarnya. Lirik lagu-lagu dikir baratnya adalah rakaman kehidupan peritnya semasa kecil sehingga zaman remaja.

'Saya masa kecil hidup susah. Pergi sekolah berjalan kaki. Yuran sekolah RM3.90 sepenggal saya tak mampu bayar.... tapi ayah saya kata sekolahlah .... sekolah tak perlu duit. Bila cikgu mintak bayar yuran.... saya hanya jawap saya nak sekolah.  Bila cikgu minta lagi .... ambo royak ambo nok sekoloh.

Lagu Balik Asal diposting ini liriknya merakamkan sebahagian kecil daripada cerita kesusahan dan kepayahannya. Ketika orang lain mengikuti rombongan sekolah dia seorang yang tertinggal. Ketika dia memperolehi SPM pangkat satu, ayahnya terpaksa menjual ayam kesayangannya untuk menampung perbelanjaan Halim ke tingkatan enam. Apabila  Halim berjaya pula memasuki universiti, ayahnya terpaksa menjual tanah sekangkang kera milik keluarga mereka bagi mendapatkan duit RM1000.00.

Kerana itu tidak hairanlah jika Halim menujukan lagu ini khusus untuk ayahandanya yang tercinta. Ayahnya  sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan pendidikan anak-anak. Sepatah kata Halim; " Ayah saya tak sekolah, tapi ayah tetap suruh saya pergi sekolah. Kata ayah, sekolahlah, sekolah boleh jadikan kita kaya, jadikan kita besar, jadikan kita sohor.'

Sep 2, 2011

Sana Sini

Hari ini bertolak dari rumah ke pejabat dalam suasana yang tenang. KL masih belum sesak lagi. Merentasi tol Sungai Besi dengan lancar. Seakan memandu di tahun 80an.



Pejabat masih kosong. Menyelak dua tiga naskhah akhbar. Ceritanya pelbagai. Artis yang seronok menyambut Hari Raya dengan tujuh lapan pasang baju baru. Isu Mat Sabu dengan komunisnya. Kematian di jalanraya yang meningkat. Kisah kemeriahan Hari Raya dan sambutan kemerdekaan. Aktiviti rompak dan samun. Kisah simbah asid yang sadis. Sehinggalah kepada paparan kebuluran di Somalia yang memilukan.

Ribuan lagi cerita, peristiwa dan berita yang tidak sempat dirakam atau disiarkan. Sedih, memilukan, geram dan memualkan silih berganti.

Semalam saya sudah menamatkan 'ziarah kasih' sebelum menyambung semula lagi Sabtu ini. Ada dua tiga buah rumah saudara mara yang belum dijengah. Ahad ini saya akan menghantar Afif memasuki UM dan menghantar pulang Atiqah ke UKM.

Minggu hadapan saya akan bercuti selama seminggu, kemudian mengharungi semula KL yang sibuk dan tugas yang bertimbun. Masih ada masakah untuk membaca akhbar itu ?.


Nota:


UM = Universiti Malaya

UKM= Universiti Kebangsaan Malaysia

Sep 1, 2011

Ziarah Kasih

Sudah kembali di Putrajaya. Damai.

Perjalanan yang dirancang selepas solat sunat Eid Fitri dua hari lepas berjalan lancar. Berhari raya di kampung. Menziarahi pusara Abah, Emak, Atok, Nenek, Alang Joned, Wan Limah. Ada empat pusara baru. Wan Monah yang baru dibina 'kalang airnya'. Tiga lagi pusara belum ada batu nesan termasuk Induk Mirus (adik arwah emak) yang meninggal bulan Jun lalu.

Dari tanah perkuburan terus sahaja ke Seremban menziarahi bapa saudara Teh Kaya, 85 tahun. Sudah pelupa benar, beberapa kali bertanya, "Kau sapo?.

Dari sebuah rumah ke sebuah rumah hingga rumah Pak Ijaz di Port Dickson. Insya Allah kalau tiada aral melintang akan menunaikan Haji tahun ini. Mudahan-mudahan dikurniakan Allah kesihatan dan kekuatan kerana usianya sudah 77 tahun.

Alhamdulillah, perjalanan petang tadi lancar walau pun dari Seremban tersangkut-sangkut sehingga ke persimpangan Nilai Utara.

Besok kami akan menyambung lagi ziarah kasih ini, ke Kepong, Rawang dan Serendah. Menziarahi keluarga isteri. Nampaknya bonus tahun ini habis di jalanan sahaja. Ha ha ha.

Aug 30, 2011

Jalan Kenangan


Beberapa jam sahaja lagi sembahyang Hari Raya akan bermula. Saya akan bersembahyang di Putrajaya sahaja. Kembali ke rumah menikmati hidangan bersama anak-anak dan bermaaf-maafan. Selepas itu baru merancang untuk pulang ke kampung. Menziarahi kakak-kakak yang ada. Kemudian ke Rasah, Jiboi, Gedung Lalang, Sendayan melawat bapa dan ibu saudara yang telah uzur belaka. Esoknya bersambung lagi ke rumah saudara mara di kampung dan di Port Dickson.

Mungkin tiga hari baru cukup untuk menziarahi semuanya. Pilih yang 'motan' sahaja. Arwah abah ada 15 orang adik beradik dan arwah emak ada lima adik beradik. Kini hanya tinggal 10 sebelah abah dan dua orang sebelah emak. Sepupu saya sahaja sudah mencecah 120 orang. Apatah lagi anak buah dan cucu-cucu saudara. Kesimpulannya saya tidak mengenali mereka semua.

Inilah perjalanan yang saya tempoh semenjak saya membesar bersama arwah abah. Abah adalah anak sulung dalam keluarganya. Selepas sembahyang Hari Raya kami akan berkonvoi bersama-sama menaiki motosikal bersama Itam Suman dan Lang Joned ke rumah adik beradiknya. Hampir waktu asar baru kami sampai kembali ke kampung.

Hari ini semuanya telah tiada, biarlah saya sekeluarga kembali merintis jalan kenangan itu......................

Nota:

Motan = Penting/ utama, diambil dari padanan Bahasa Inggeris important

Aug 27, 2011

Jangan Tidur Lagi.....

Tinggal beberapa hari lagi kita akan merayakan Hari Kemenangan selepas merentas bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya juga sudah menamatkan siri jelajah dan berbuka puasa hampir di setiap negeri pada petang 25 Ogos 2009 lalu di Melaka.

Dua hari sebelumnya saya berbuka puasa bersama mangsa tragedi Sg Ruil yang ditempatkan di Dewan Jubli Perak, Cameron Highland. Insya Allah pada bulan Oktober nanti mereka akan kembali hidup selesa dengan rumah transit yang dibina di Kem Brinchang.

Malamnya saya menangguhkan untuk pulang ke Putrajaya. Hujan renyai beransur lebat itu menurunkan suhu malam sehingga 16 darjah celcius. Kesejukan amat terasa walaupun selimut tebal di hotel dibalut kemas ke badan.

Sambil menonton tv saya nikmati secawan nescafe panas. Aromanya yang wangi dan menyegarkan itu memanaskan badan. Malangnya dalam suasana dingin itu saya tidak dapat melelapkan mata sehingga ke pagi............ Mungkin kesan kafein.

Aug 18, 2011

Pokok DiGi

"Saya dulu pemandu teksi", akuinya tanpa kekok.


"Balik dari oversea tahun 1985 tak ada kerja,masa tu recession. Masa tu saya dah pun kahwin. Saya bergilir bawa teksi bapa mertua. Bapa mertua pagi saya petang dari jam 3 petang hingga 9 malam. Boleh tahan juga dapat RM800 sebulan selepas tolak sewa teksi."


"Saya tak kira jauh ke dekat. Penumpang naik saya buka meter, kalau seringgit pun seringgitlah, yang penting kita bekerja dengan tekun dan ikhlas. Kerana itu saya tak boleh terima kalau ada pemandu teksi yang kata nak bayar sewa teksi pun tak mampu"


Dia mengambil contoh bapa mertuanya sebagai pemandu teksi yang berjaya. "Bapa mertua saya setiap hari mengasingkan pendapatannya kepada tiga tabung, tabung insuran dan road tax kereta, tayar dan gaji dia. Jika ada duit lebih, dia balik rumah bawa buah tangan. Dulu saya fikir bapa mertua saya kedekut. Tapi caranya betul. Dia boleh dapat gaji RM2,000 setiap bulan".


" Kini dia dah bersara dari bawa teksi. Permit teksi dia tak bagi kat saya atau anaknya. Dia bagi kat kawan baiknya yang sama-sama bawa teksi tapi masih menyewa permit. Dia urus tanpa kenakan sebarang bayaran. Simpatinya tinggi. Saya memang hormati sikapnya".


" Lepas bersara dia balik kampung dan bina rumah. Kerja kampung macam orang lain. Allah murahkan rezekinya, sebuah syarikat komunikasi sewa tapak di tanahnya untuk dirikan antena pemancar. Dapatlah sewanya RM2,000 jugak sebulan."


Itulah cerita pendek dari Saudara N yang kini menjawat jawatan penting di sebuah organisasi yang berkait rapat dengan peningkatan ekonomi Bumiputera.


Kisah ini mengingatkan saya pada Firman Allah SWT yang bermaksud:" Sesiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya pula." (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Aug 17, 2011

Lemasnya

Pagi semalam saya berada di sebuah majlis perasmian. Berada dalam majlis yang lambat usai memang melemaskan. Menanti ketibaan VIP sahaja mengambil masa satu jam.



Mungkin benar kata sahabat saya, "semakin mundur sesebuah negara, semakin lambat majlis itu selesai". Dia mengambil contoh sesetengah negara di Afrika. Penduduknya terpaksa menunggu sehari suntuk sebelum pemimpin mereka datang. Bertemu dan berucap dalam beberapa jam, pemimpin kembali ke ibukota, penduduk pula terpaksa menghabiskan masa panjang untuk pulang ke rumah.


Negara kita hampir maju, tetapi 'tabiat' mengadakan majlis dalam tempoh yang lama masih berlaku. Kerap kali VIP yang ditunggu lewat tiba. Kita mungkin tidak boleh lagi membuang masa hanya untuk menunggu ketibaan seorang pemimpin. Sepatutnya pemimpin yang terpaksa tunggu kita.:)

Aug 16, 2011

Sepanjang Perjalanan

Semalam, sepanjang perjalanan ke Seremban tidak banyak kelihatan rumah mengibarkan bendera. Kalau ada pun satu dua di kereta. Teringat saya pada tahun 1995 apabila sebuah syarikat pencetak bendera menawarkan hadiah lumayan, berebut-rebut kita memasang bendera di rumah dan di kereta.

Selepas bertahun-tahun kita merdeka, rasa patriotik itu luntur begitu sahaja. Kita jarang 'terusik' walaupun Jalur Gemilang negara dipijak dan dibakar. Bandingkan dengan rakyat yang memiliki Sang Saka Merah Putih. Mereka sanggup membeli kain, menjahit dan mengibarkan bendera setiap kali hari merdeka negara mereka tiba tanpa dipaksa.

Mungkin tahun ini kita lebih terleka kerana sibuk dengan juadah berbuka dan persiapan Hari Raya.

Aug 14, 2011

Ziarah Ramadhan

Tahun ini sekali lagi disepanjang bulan Ramadhan saya kembara dari satu negeri ke satu negeri. Khamis lepas berbuka di Ipoh. Semalam saya berbuka di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan atau nama lamanya Pantai Cinta Berahi. Batu granit selebar ukuran 2'x2' diatur sepanjang pantai bagi mengelakan hakisan ombak. Pantainya agak sempit. Ketika hari cuti pelbagai layang-layang dijual dalam pelbagai bentuk dan warna. Di bulan Ramadhan pantai ini sunyi kecuali bunyi ombak.

Petang itu kami berbuka puasa mengadap Laut Cina Selatan. Menikmati ayam percik, telur itik, kuih akok dan jala emas. Selepasnya kami sama-sama solat maghrib, tazkirah, solat Isyak dan tarawih.

Hari ini saya berbuka di rumah bersama keluarga. Masih ada lagi 'ole-ole' dari Kelantan yang sama-sama kami nikmati, murtabak raja dan serunding daging. Terima kasih kepada rakan-rakan di Kota Bharu yang juga bekalkan kami buah kurma dan kuih bangkit.

Esok saya akan kembara lagi ke Negeri Sembilan. Selepas itu ke Selangor, Johor, Perak, Pahang dan berakhir di Melaka. Insya Allah.

Aug 12, 2011

Rendang Ayam Pulut Durian

Minggu lepas saya kembali ke kampung. Berbuka puasa bersama kakak sulung, kakak tengah dan kakak bungsu. Kakak sulung sudah mencecah usia 63 tahun. Seronoknya berbuka beramai-ramai menikmati lauk rendang ayam masakan 'nogori' dan bubur durian berbuah sulung.


Kalau dahulu kami hanya berbuka empat beradik bersama abah dan emak. Kini sudah berkembang biak sehingga 27 orang. Andaikata tiga lagi abang dan seorang kakak saya tidak meninggal sewaktu kecil, mungkin petang itu sudah menjadi kenduri BESAR.

Aug 4, 2011

Bila Mesin Buat Silap.......

Saya mula menjadi pelanggan bank pada tahun 1982 ketika bertugas di Pulau Pinang. Itu pun untuk urusan gaji sahaja. Ketika bertugas di sebuah jabatan di Kuala Lumpur pada tahun 1980, apabila tiba hari gaji kami akan beratur panjang di luar sebuah bilik khas. Bilik ini dikawal oleh dua orang polis. Ketua Kerani dan dua orang pembantunya akan menyiapkan sampul surat dan mencatatkan butiran penyerahan gaji kepada kakitangan. Hanya kakitangan yang bergaji RM500 ke atas sahaja yang layak membuka akaun bank.



Perkhidmatan bank kini sudah begitu maju, sehingga urusniaga boleh dilakukan dengan menggunakan telefon bimbit. Ramai yang sudah tidak lagi ke bank untuk urusan pembayaran bil atau pembiayaan kerana boleh dilakukan secara 'on-line'. Namun begitu kaunter bank masih belum kosong. Masih ramai lagi yang suka berurusan secara bersemuka.


Tengahari semalam saya juga ke bank di Putrajaya kerana sedikit urusan. Di kaunter aduan kelihatan seorang lelaki yang berpeluh dalam udara yang dingin. Ceritanya ketika dia mengeluarkan wang, wang tidak keluar walaupun transaksi menyatakan ia berjaya. Lebih malang lagi ia memang mengharapkan wang itu yang baru sahaja di 'bank-in' oleh isterinya di Ipoh.

Dalam dunia yang canggih ini, kesilapan mesin yang tiba-tiba terjadi sering buat kita gelabah.

Aug 1, 2011

Bukan Kerana Nama

Semalam saya menikmati lagi durian kampung di Paya Lebar, Hulu Langat. Percuma. Salihai yang belanja. Salihai berbangsa Cina.


"Dia budak Pulau Ketam, kahwin dengan Yanti anak Orang Asli Sg Lalang". Penjelasan itu datangnya daripada Haji Esa Ibrahim Shah seorang pendakwah bebas.


" Saya mula berdakwah ni sejak saya bersara. Sudah 25 tahun dah... ".

Pak Haji Esa masih kuat. Ketika usianya 80 tahun ia masih lagi berulang dari kediamannya di Kemensah Height, Ulu Kelang, 40km ke kampung ini. Bermula dengan seorang penduduk kini sudah lahir 20 buah keluarga Orang Asli Islam.

Pak Haji Esa bersama rakan-rakannya juga membina surau An-Nur daripada pelbagai sumbangan dan dana simpanannya. Kini rakan-rakan seangkatannya sudah ramai yang uzur dan meninggal dunia. Tinggal Haji Esa dan isteri menjadi teman dalam usaha dakwahnya. Mencari keredhaan, bukan kerana nama.......

Jul 29, 2011

Matang Dewasa


Temerloh dikenali sebagai 'Bandar Ikan Patin' atau pun 'Daerah Titik Tengah Semenanjung'.


Saya rentasi lagi daerah ini hingga ke Kg Pian, Penderas menghadiri satu program masyarakat.

Sementara menunggu kedatangan VIP saya singgah di gerai NADI sekadar bertanya hal-hal kesihatan diri.


"Dah tua ni kena ambil tahu lebih banyak hal kesihatan", kata saya kepada Rozithiah, jururawat berbadan gempal tapi berwajah manis.


"Umur macam encik belum tua lagi, mengikut WHO usia tua hanya 65 tahun ke atas. Usia macam encik ni baru di peringkat matang dewasa". Terima kasihlah Rozithiah yang buat saya rasa muda kembali.

Apa pun salam Ramadhan buat rakan-rakan di dunia nyata dan alam maya. Semoga kita dapat mengerjakan amal ibadat ini dalam keadaan sihat walafiat.


Nota:


NADI = National Diabetes Institute, Malaysia


WHO = World Health Organization

Jul 27, 2011

Peminta Sedekah Tidak Boleh Memilih

Dua hari lepas saya ke Kedah. Malamnya saya minum-minum di tepi Stadium Darul Aman bersama-sama 'Z' kawan serumah di KL sewaktu bergelandangan di penghujung tahun 90an.


Ketika itu dia masih bujang dan saya pula hidup 'membujang'. Meminati seni teater. Daripada berjinak-jinak dengan dunia teater sehingga dia berjaya menulis beberapa skrip teater, berlakon dan mengarahkan teater.



Mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan. Beralih menjadi agen insuran. Kesukaran hidup di Kuala Lumpur menyebabkan ia pasrah untuk kembali semula ke Alor Star, bandar kelahirannya. Pulang untuk mencari rezeki yang lebih baik. Sekali gus mendirikan rumah tangga.



Sebelum meninggalkan KL, dia berkata "Belikan aku sepatu kulit, untuk hari perkahwinan aku". Balas saya, 'Nanti aku belikan kasut PVC sahaja, peminta sedekah tidak boleh memilih". Ha. Ha.Ha.



Saya tidak menghadiri perkahwinannya, cukuplah kasut kulit sebagai galang ganti. Kini kehidupannya nampak lebih berbaloi dari dahulu. Pengalamannya di KL mendewasakannya di Alor Star.



Gurauan saya itu masih lagi dia ingati. Serangkap pepatah Jepun yang dalam maknanya.

Jul 20, 2011

Jambu Tanpa Biji

Saya sudah kembali ke Putrajaya. Perjalanan pulang melelahkan, hampir tiga suku perjalanan tidur sahaja. Al maklum bahana kantuk berjaga malam itu masih belum lagi usai.



Singgah di R&R Tapah untuk solat. Kemudian menikmati segelas teh tarik dan kacang rebus yang tak berapa lembut. Sebelum perjalanan pulang, meninjau sebaris dua kedai untuk membeli 'buah tangan' buat isteri yang ditinggalkan. Mungkin betul kata pepatah, 'Sayang isteri tinggal-tinggalkan. Kalau tidak kerana selalu 'keluar kawasan' jarang saya membeli. Maklum sahaja kami sudah tinggal berdua sahaja kini :).

Jul 19, 2011

Ulangan

Bermalam sehari lagi di Grik. Malamnya sehingga pagi menelusuri Tasik Banding dalam suasana gelap dengan bot. Walaupun saya bukan kaki pancing tapi malam itu saya berjaya menaikkan lima ekor ikan Baung dan seekor ikan Selat, sudah boleh dianggap 'lulus'.

Tahun lepas di tasik yang sama saya diajar oleh Dato S belajar memancing dengan menggunakan mesin joran. Terkial-kial melontar tali umpan ke tasik. Mungkin kerana nasib atau pun tuah, saya dapat juga menaikan seekor ikan. Ikan apa? saya sudah lupa. Sehingga jam tiga pagi tiada lagi hasil. Membosankan. Nasib baik ada buah durian yang boleh dijadikan habuan.

Malam tadi agak berbeza, semakin pagi semakin mengasyikkan. Pancing yang dilontar sentiasa meraih rezeki. Jam 3.30 pagi kami meninggalkan 'lubuk ikan' itu untuk pulang ke hotel. Dari jauh kami terdengar jeritan gajah mengimbau bukit. Tasik Banding saya akan datang lagi.

Jul 17, 2011

Sama Tapi Tak Serupa (2)

Ketika posting ini disiarkan saya sedang berada dalam denyutan malam di Pekan Grik. Perjalanan dari Putrajaya ke Pekan Grik mengambil masa empat jam. Sempat lagi singgah di R&R Sg Perak.



Lebuhraya Grik Kuala Kangsar yang siap sepenuhnya pada tahun 2002 telah menjimatkan masa perjalanan. Di laluan ini juga terletak Muzium Arkeologi Lenggong yang terkenal dengan 'Perak Man'. Lebuhraya ini juga sebagai penghubung antara Pantai Timur dan Pantai Barat dengan lebih selesa.



Tahun 2001 saya kerap melalui jalan ini menghantar 'Angah' belajar di MRSM Chenderoh. Ketika itu peristiwa Al-Maunah masih segar lagi dalam ingatan rakyat Malaysia. Saya berkesempatan melalui jalan lama dan selekoh tajam di Kg Sauk, Bukit Jenalik tempat kejadian tersebut berlaku.

Peristiwa itu berlaku pada bulan Julai 2000. Sudah 11 tahun berlalu. Jalan yang berliku-liku bagai ular dipalu sudah lurus dan luas. 'Angah' sudah pun lama meninggalkan MRSM Chenderoh.


Sesekali melalui jalan ini mengingatkan saya kepada nostalgia lama. Cuma yang tidak mungkin ditemui lagi ialah MRSM Chenderoh yang sudah di tukar nama kepada MRSM Lenggong.

(Gambar Tasik Raban )

Jul 10, 2011

Cerita Dua DJ

Sudah dua bulan tidak menulis. Blog ini pun sudah jarang dilawati orang. Kalau asyik terpapar cerita itu aje siapa yang nak tengok. Betul kan.

Mungkin ia boleh dikaitkan dengan sebuah cerita klasik mengenai persaingan dua buah stesyen radio. Dj A memang populer habis. Seorang lagi DJ B yang mengikuti rapat tetapi tidak mampu untuk menyaingi kehebatan DJ A.

Pemilik radio DJ B telah menawarkan wang bersamaan RM1 juta untuk DJ A pindah sahaja ke Radio B. Tapi DJ A menolak tawaran tersebut.

Pemilik Radio B kata, " Kalau kau tak nak masuk radio aku pun tak apa, aku bagi je sejuta ni, kau berehatlah setahun".

Mungkin kerana lebih tertarik dengan tawaran kedua, DJ A ini telah menghilangkan diri selama setahun, bersantai dan menikmati duit percuma yang diperolehi.

Semasa ketiadaan DJ A, populariti DJ B telah meningkat dengan mendadak. Genap setahun berehat DJ A kembali semula bertugas. Namun popularitinya jatuh merudum. Ia sudah jauh ditinggalkan oleh DJ B.

Selain daripada helah perniagaan, moral cerita ini kalau nak popular kena tulis hari-hari le.

Jul 9, 2011

Hari Yang Bermakna

Semalam tahun ke 51 saya dilahirkan ke dunia. Alhamdulillah, sebesar-sebesar kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat kehidupan.

Terima kasih kepada rakan taulan yang telah menghantar ucapan selamat hari lahir melalui facebook dan sms.

Terima kasih juga kepada isteri dan anak-anak yang juga mengucapkan selamat hari lahir.

Terima kasih juga kepada Hafizal anak buah di pejabat yang belanja saya makan KFC di KLCC.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang menyanyikan lagu "Allah selamatkan kamu" sewaktu pagi-pagi lagi di pejabat.

Meriah.Meriah. Meriah.

Ada ketikanya kemeriahan itu lahir tanpa tiupan lilin dan hidangan kek.


Apr 3, 2011

Legenda Tok Kelembai

Malam tadi saya telah menyaksikan pementasan drama masyarakat Orang Asli bertajuk Legenda Tok Kelembai di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia.

Jalan ceritanya mudah. Tok Kelembai adalah Batin kepada suku kaum Che Wong yang handal mengubati pelbagai penyakit menggunakan kuasa alam. Kehebatan ini telah menimbulkan rasa iri hati kepada dua orang lagi sahabatnya Tok Hitam dan Tok Jernang.


Sang Kelembai yang bersedih dengan keadaan itu telah membawa diri ke Gunung Benung dan menyumpah dirinya menjadi batu.


Peristiwa itu telah menyedarkan Tok Hitam dan Tok Jernang yang menyesal kerana sifat dengki mereka telah menyebabkan perkampungan mereka huru hara. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk kembali bersatu padu dan menghindarkan diri daripada menyimpan perasaan dengki kepada orang lain.


Begitulah secebis kisah masyarakat yang berlaku di mana sahaja samada di alam sebenar atau pun dalam filem dan drama. Selalunya bila ada tokoh berkebolehan mereka sering difitnah dan dipandang serong. Bila mereka ini telah tiada barulah nama mereka dipuja dan dipuji sehingga melangit tahapnya.


Malam itu juga saya teruja makan pulut dalam 'periuk kera' yang didatangkan khas dari Tasik Bera, makanan tradisi Orang Asli suku kaum Semelai.

Tiada Siapa Dapat Menduga

Pada Jumaat lepas saya menerima sms. Seorang lagi sahabat meninggalkan alam fana ke alam baqa. Al Fatihah.


Jumaat minggu sebelumnya, saya menerima sms bahawa beliau dilanggar motorsikal ketika melintas jalan selepas selesai solat Jumaat. Koma dan dihantar ke HUSM Kubang Kerian, Kelantan.

Demikianlah cerita Encik Atan yang masih sihat walafiat 'hilang' kerana kemalangan jalan raya.

Encik Atan adalah kawan lama saya. Kami mula berkenalan ketika bertugas di Pilihanraya Sarawak pada tahun 1996. Tinggal sebilik di sebuah hotel di Pekan Betong dalam Bahagian Sri Aman. Sudah 15 tahun berlalu. Masih teringat makan bersama ayam golek di pekan Betong yang terkenal enak. Begitu juga sama-sama menikmati nenas Sarawak waktu sarapan pagi. Memang manis.

Dalam masa dua minggu itu kami sempat sampai ke Lubok Antu dan Saratok sebelum kembali semula ke Semenanjung.

Selepas 10 tahun terpisah, saya kembali bekerja bersamanya di Terengganu pada tahun 2006. Cuma saya di Marang dan dia di Setiu. Arwah bersara tahun 2009 dan memilih untuk menetap di Marang walaupun dia kelahiran 'Kemamang'.

Sesekali dia datang ke pejabat bercerita tentang dunia persaraan, mengenai kerja-kerja kemasyarakatan di taman kediamannya. Awal tahun 2010 saya kembali semula ke Kuala Lumpur. Itulah tahun terakhir pertemuan kami.

Saya bercadang jika turun ke Marang saya akan singgah menziarahinya di Serating. Apakan daya tiada siapa dapat menduga ketentuan Ilahi. Doa saya semoga 'arwah' tergolong dalam golongan yang diterima amalannya dan terpilih untuk memasuki syurga Allah. Amin

Mar 25, 2011

Mencari Warna Diri

Sekali lagi saya berada di Port Dickson. Pantainya yang landai dan pekannya yang sederhana, menggamit ramai pelancong untuk datang lagi. Port Dickson adalah tempat pilihan kami berbulan madu 26 tahun dahulu. Kini semuanya sudah menjadi kenangan. Tidak banyak yang berubah hanya hotel-hotel baru yang tumbuh sepanjang pantai dari pusat bandar sehingga ke Teluk Kemang.


Kali ini saya datang berkursus. Kursus mempelajari kemahiran perundingan berkesan. Ia bukan sahaja mengenai kemahiran perundingan tetapi juga mengenali aura diri melalui warna. Sejauh mana aura warna diri mempengaruhi keberkesanan kita dalam perundingan. Kenapa perundingan kita sering gagal. Apa kelemahan dan kekuatannya. Bagaimana potensi diri dan tenaga dalaman boleh menjadi 'booster' kepada keberkesanan komunikasi.


Kelas baru sahaja bermula. Warna diri sama dengan warna tulang sulbi. Tulang sulbi pula memiliki tujuh warna dari warna-warna pelangi. Kata fasilitator kursus, untuk mengetahui warnanya, perlu dibakar dengan kepanasan 3000 darjah Celcius, sebelum dicanai dengan intan. Apa pun masih ada kaedah lain untuk mengetahui warna diri tanpa proses itu. Saya tetap menanti sehingga kursus ini tamat. Ada kah warna diri saya biru, hijau, kuning atau putih.

Mar 21, 2011

Lamanya

Beberapa minggu lalu saya ke klinik kerajaan di Putrajaya. Jam baru 7.40 pagi tapi sudah ramai yang menunggu. Nombor dipanggil untuk pendaftaran, menunggu lagi di unit 'Triage'. Diberi nombor lagi sebelum berjumpa doktor.


Mungkin sudah terlalu ramai pesakit agaknya, sehingga daripada mula mendaftar sehingga mengambil ubat mengambil masa tiga jam. "Kalau nak cepat pergi klinik bayar lah bang". Perkataan itu datang dari lubuk hati saya.


Malamnya saya hantar isteri yang sakit bahagian belakang ke 'klinik bayar'. Tidak cepat juga. Sampai terlena saya di kerusi menunggu, isteri saya masih lagi belum dipanggil. Walaupun lama menunggu bayarannya tetap mahal jugak hu hu:(.

Feb 17, 2011

Dulu dan Kini ........

Semalam saya telah menaip nama seorang rakan ketika sama-sama belajar 33 tahun dahulu di carian Facebook. Kerana namanya agak ganjil carian saya menjadi lebih mudah. Wajahnya tidak jauh berbeza ketika usianya masih muda.

Saya mencoretkan sedikit pertanyaan, adakah dia masih ingat lagi rakan-rakan lama yang tinggal di asrama dahulu. Jawapannya sama dengan jangkaan saya, sebahagian masih ingat, sebahagian lagi sudah luput dari ingatan. Mungkin perlu sedikit masa untuk mengingat kembali. Dia sudah berpindah dan bekerja di selatan tanah air melebihi 20 tahun. Tahun hadapan dia akan bersara. Cepatnya masa berlalu.

Kalau saya mencuba lagi, mungkin ada seorang dua kawan lama yang boleh ditemui. Mungkin juga dia kenal, mungkin juga tidak. Tahun lepas saya menemui rakan sekelas yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Putrajaya. Kalau bukan kerana namanya disebut saya mungkin tidak mengenalinya lagi. Dulu dia seorang gadis ayu yang menarik. Kini bukan tidak cantik, tapi mungkin tidak lagi menjadi pilihan saya. Ha ha hak.

Feb 16, 2011

Tak Boleh Jawap (2)

Saya tak boleh nak jawap komen dari rakan-rakan blogger. Mungkin ada yang tak kena. Saya tak ada masa nak buat semakan apa yang perlu di betulkan. Ada yang boleh beri komen .....

Feb 15, 2011

Tak Boleh Jawap

Pagi minggu lepas saya hubungi seseorang.

"Assalamualaikum"

"Saya tak boleh jawap"

"Assalamualaikum"

"Saya tak boleh jawap"


Dia kata dia tak boleh jawab, tapi dia jawab juga. Mana satu yang betul. Lalu saya tanya dia.


"Kenapa tak boleh jawab"

"Saya dalam tandas...."

"Opppsss....


* Cuma saya masih musykil mana satu ejaan yang betul jawab atau jawap.

Feb 13, 2011

Kapal Terbang

Dalam tempoh kurang 24 jam saya telah kembali semula ke Putrajaya dari Kota Bharu. Pada pagi Sabtu saya telah berlepas dari LCCT. Tengaharinya menikmati hidangan lazat di Restoren Nasi Ulam Kraftangan di Kota Bharu. Berbengkel semalaman di Renaissance dan sambung semula pada sesi pagi.


Kesuntukkan masa menyebabkan hidangan makan tengahari tidak sempat dijamah kerana terburu-buru ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Alhamdulillah masih ada rezeki dengan nasi briani dalam perut Air Asia. Enaknya........


Sebelah tempat duduk saya seorang ibu memangku anak perempuan comel. Usianya mungkin dua tahun. Mata bundarnya mengingatkan saya pada mata anak-anak saya semasa mereka kecil.. Kecil-kecil lagi dah naik kapal terbang. Bertuahnya. Saya tidak ada peluang seperti itu. Kalau ada pun naik kapal terbang 'fun fair'.


Pertama kali saya naik kapal terbang ketika umur saya 33 tahun. Ha ha ha.

Jan 4, 2011

Di sini Tiada Duit

'Di sini Tiada Duit' adalah tajuk posting sebuah blog politik. Ia menceritakan 'kebimbangan' seorang lelaki yang takut kehilangan wang lalu menanamnya dalam sebuah lubang yang digalinya di pinggir hutan. Selepas menimbus lubang tersebut ia memacakkan paparan, "Di sini tiada duit'.

Cerita ini dikiaskan kepada seorang ahli politik yang menolak sebarang andaian terdapat usaha damai antara dua parti Melayu semata-mata kerana beliau hadir di suatu majlis yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti seterunya. Secara mudah, kenapa harus bimbang tentang andaian itu jika memang isu itu memang tiada.

Saya tidak berminat untuk mengulas cerita-cerita politik tersebut. Pertama kerana saya bukan orang politik. Kedua saya akan menentukan pilihan apabila sampai masanya nanti. Cuma saya ingin menambah cerita yang tidak tamat. itu.

Cerita itu telah saya baca ketika berumur tujuh atau lapan tahun. Ia dipetik daripada sebuah buku himpunan cerita-cerita teladan kanak-kanak. Buku cerita itu pun telah hilang (dibakar?) ketika rumah kami dibesarkan lagi.

Penghujung ceritanya, seorang lelaki lain bernama Abu Tausi telah memerhati kejadian tersebut dengan asyiknya. Sebaik sahaja lelaki yang empunya wang itu beredar, ia bersegera pula menggali lubang tersebut dan mengambil wang yang ada.

Namun tindakannya lebih 'bodoh' dari lelaki yang pertama tadi, kerana ia memacak pula paparan yang tertulis, "BUKAN ABU TAUSI YANG MENCURINYA'

Kalau ia hendak dikiaskan juga kepada ahli politik, siapakah agaknya .....

Jan 1, 2011

Mood Aku Terganggu (3)

Selamat Tahun Baru diucapkan buat yang singgah dan membaca blog Biso Bonar ini. Tarikh 1.1.11 adalah sepasang nombor kembar yang cukup cantik. Entah berapa ramai yang membida nombor tersebut untuk pendaftaran kenderaan mereka. Mungkin habis juga bertaruh beribu-ribu ringgit. Tapi tentunya jauh lebih murah daripada MCA1 yang dibida dengan nilai RM300,100. Kata bidalan 'mahal rantai daripada beruk'.

Ramai juga yang melangsungkan perkahwinan hari ini, Ddiucapkan tahniah semoga kekal abadi sehingga ke akhir hayat. Adakah mungkin pasangan pengantin tersebut bercita-cita juga untuk mendapatkan 11 orang anak. Saya fikir dalam keadaan sekarang tak ramai yang berhasrat begitu.

Di pagi tahun baru ini juga saya ke Melaka sekali lagi. Sebelum bertolak saya melihat seimbas lalu cukai jalan kereta. Tarikh tamat tempoh 15 Januari 2011. Tak berapa hari lagi tu. Kena semak ada saman ke tidak. Sambil memanaskan enjin saya taip mesej sms POLIS SAMAN WNY**** dan 'send' ke 15888. Mak ai. dah ada dua saman bernilai RM600. Taip pula nombor kereta satu lagi. Mak aiiii... ada 9 saman..... .

Di pagi tahun baru ini betul-betul menganggu mood saya. Alahai saman ekor......