Dec 28, 2008

Diplomasi Seorang Raja

Walaupun saya sudah memutuskan untuk tidak menulis di blog ‘Biso Bonar’ hingga ke akhir tahun, namun berita kemangkatan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan tengahari semalam telah merubah keputusan saya. Baginda yang berusia 86 tahun telah mangkat pagi semalam selepas mengadu sakit kepala. Mula menaiki takhta kerajaan pada tahun 1967, apabila Yang Di Pertuan Besar Tuanku Munawir mangkat. Ketika dinamakan sebagai penganti raja ‘baginda’ sedang menuju ke Jepun untuk menjawat jawatan Duta Malaysia di sana. Sebagai rakyat Negeri Sembilan sudah tentu saya merasakan kehilangan seorang raja yang bukan sahaja sederhana, lembut pertuturannya, mesra dengan rakyat, peminat sukan terutamanya golf, bahkan ‘baginda’ seorang raja yang tinggi sifat diplomasinya.

Saya bukanlah orang rapat atau orang kuat istana yang mampu menceritakan seribu kenangan bersama ‘baginda’. Namun saya menjadi saksi kepada satu peristiwa, yang menggambarkan kebesaran jiwa dan sifat diplomasinya yang ‘hebat’. Di majlis tersebut, kedudukan baginda telah ‘dicemar’ dengan kejadian yang sepatutnya tidak berlaku. Pada tahun 1994, Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abd Rahman telah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke 10. Sebelum baginda berangkat ke Kuala Lumpur bagi tempoh lima tahun sebagai Yang Di Pertuan Agong, pelbagai acara rasmi telah di atur. Salah satunya ialah majlis perasmian dan menamakan bangunan dewan di Seri Menanti. Majlis ini mempunyai ‘sentimental value’ kepada baginda kerana dewan tersebut akan dinamakan dengan nama permaisurinya , ‘Tuanku Ampuan Najihah’.

Majlis pada petang itu berlangsung sederhana. Cuaca juga nyaman dan redup. Tetamu jemputan yang hadir ialah pemimpin-pemimpin politik, ketua-ketua jabatan, Dato-Dato Lembaga, Dato-Dato Adat, pemimpin-pemimpin masyarakat dan sebahagian ‘rakyat baginda’ di Sri Menanti. Lebih kurang 400 orang semuanya. Tiga buah kanopi berwarna putih itu penuh, selain rasa hormat dan sayang kepada ‘tuanku’ ia juga sebagai tanda ‘menjunjung kasih’ dan ucapan tahniah kepada ‘destinasi’ baginda dari Istana Besar Sri Menanti ke Istana Negara.

Oleh kerana YAB Menteri Besar tidak dapat hadir, tempatnya telah diwakilkan kepada ADUN kawasan berkenaan. Majlis dimulakan dengan lagu ‘state anthem’, doa dan ucapan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Entah dimana silapnya, ADUN yang membaca teks ucapan YAB Menteri Besar bukan sahaja betul-betul ‘membaca’ tetapi turut ‘merasmikan’ bangunan dewan tersebut. Gemparlah majlis, riuh-rendahlah seketika. Sekelian yang ada tertanya-tanya dan terpana, bagaimana ‘kesilapan besar’ itu boleh berlaku. Merahlah muka beberapa orang Dato Adat dan Dato Lembaga, ada yang bertempik, kerana ‘canggungnya’ perbuatan ADUN tersebut. Mujurlah tindakan cepat pengacara menjemput ‘Paduka Seri YDP Besar Negeri Sembilan’ menyampaikan titah dan mengumumkan nama bangunan dewan menyelamat keadaan. Ketika ‘baginda’ bertitah;

“Tak perlulah beta menamakan dewan ini, kerana sudah ramai yang menyebutnya. Cuma hasrat beta, melihat Sri Menanti terus dibangunkan selari dengan pembangunan yang berlangsung pesat di bandar dan daerah-daerah di negeri ini. Beta juga……….….”.

‘Baginda’ telah ‘bertitah’ hampir 20 minit tanpa teks. Sesuatu yang jarang berlaku. Bercerita mengenai permainan golf dan harapannya kepada pembangunan di Sri Menanti. Sesekali ‘baginda’ berjenaka, seolah-olah peristiwa yang ‘memalukan’ tadi tidak pernah berlaku. ‘Hebat’nya baginda kerana ‘menyimpan’ murkanya. Kalau raja itu bukan bernama ‘Tuanku Jaafar’ saya tak tahu apa akan jadi pada wakil rakyat itu. Ini adalah kisah yang tidak pernah dinukilkan dalam mana-mana akhbar. Saya coretkan kisah benar ini yang berlaku empat belas tahun dahulu sebagai kenangan saya kepada ‘baginda’, seorang raja yang sentiasa menyembunyikan ‘kukunya’. - Al-Fatihah.

Dec 26, 2008

Bermula Sekali Lagi.......

Agak terlewat saya 'mengemaskini' blog ini. Beberapa minggu terakhir ini saya semakin sibuk dan ‘kelelahan’. Mungkin ini posting terakhir saya sebelum kita menyambut Maal Hijrah 1430 Hijriah dan Tahun Baru 2009. Bertambahlah lagi umur kita dari setahun ke setahun. Mengikut kiraan tahun Hijriah, saya berusia genap 50 tahun pada 13 Muharram 1430 Hijrah, Jumaat minggu hadapan. Ini bermakna saya hanya ada 13 tahun sahaja lagi untuk menyamai umur Rasullulah saw yang kita kasihi, wafat. Jika sempat usia saya sehingga 63 tahun, saya menghitung-hitung, cukup kah amal ibadat saya selama ini untuk menghadapi hari kematian yang kekal abadi itu. Jika diberi pula ‘bonus’ umur sehingga 72 tahun mengikut standard jangka hayat lelaki di Malaysia, cukupkah perancangan yang saya sudah lakukan. Kerana dijangka inflasi akan meningkat melebihi 6% ketika itu. Makanan yang kita nikmati RM 20.00 sekarang akan berharga RM60 atau RM 70 pada 20 tahun akan datang. Inflasi perubatan juga naik hingga ke 15% setahun. Malah sudah ada kajian yang mengatakan 70% pesara menghabiskan wang KWSP atau pampasan dalam tempoh tiga tahun selepas bersara. Satu kenyataan yang menakutkan.

Itu pun kalau sampai, banyak juga rakan-akan sebaya yang sudah meninggal dunia dalam waktu terdekat ini. Meninggal dunia kerana penyakit ataupun kemalangan jalanraya. Dua hari lepas seorang kenalan saya di Kota Bharu tiba-tiba rebah dan meninggal dunia ketika sedang membeli baju persekolahan anak-anak. Begitulah rapuhnya umur kita. Ramai juga rakan-rakan seangkatan saya telah terkena penyakit ‘orang senang’, kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. Ada juga sudah mengalami penyakit-penyakit kronik seperti buah pinggang, kanser dan angin ahmar. Setiap kali saya berfikir perkara tersebut sebelum menyambut tahun baru semakin saya sedar bahawa kita hanyalah penumpang di dunia yang fana ini seperti kata pantun Melayu;

Halia ini tanam-tanaman
Ke Barat juga akan rebahnya
Dunia ini pinjam-pinjaman
Ke Akhiratnya juga akan sudahnya.

Redup bulan bagai nak hujan
Pasang pelita sampai berjelaga
Hidup mati ditangan tuhan
Tiada siapa dapat menduga

Apa pun janganlah kita berputus asa di atas rahmat Allah yang sentiasa menebarkan rezeki kepada makhluknya samada yang memohon ataupun tidak. Kepada yang menyimpan azam dan berjanji untuk menunaikan sepenuhnya di tahun hadapan, tunaikanlah. Jika masih ada yang berhutang dengan janji-janji samada kepada diri sendiri, anak-isteri, saudara-mara, rakan taulan, majikan, jiran-jiran, didoakan semoga tertunai jua janjinya di tahun hadapan.

Dikesempatan ini juga saya memohon maaf kepada rakan-rakan bloggers dan juga pengunjung, kalau sepanjang tiga bulan berblog ini secara tidak sengaja telah menulis perkara-perkara yang menyentuh perasaan. Akhirkata, semoga maju jaya dalam segala lapangan di sambutan Maal Hijrah 1430 dan 2009.



Dec 21, 2008

Kampung 'S'

Ayat ‘santau blog’ daripada Razor telah mengingatkan kepada sejarah hitam, kampung saya, ‘Kampung S'. Berpuluh-puluh tahun dahulu ia kerap dikaitkan dengan ‘permainan santau’, terutama di musim kenduri kahwin. Kebetulan pula bulan Disember ini juga sinonim dengan majlis ‘walimatul urus’ . Mawi dan Shikin juga sudah selamat diijabkabulkan dan sah sebagai pasangan suami isteri. Tahniahlah kepada mereka dan keluarga mereka. Didoakan semoga perkahwinan itu kekal abadi sehingga ke anak cucu. Janganlah dikemudian hari timbul cerita-cerita yang kurang enak dan kemudiannya menjadi cerita sensasi di tv dan media pulak.

Berbalik semula kepada cerita sejarah hitam ‘Kampung S’ tadi. Sepanjang tahun 1975 hingga 1977, kampung saya ini amat digeruni bukan kerana kehebatan ‘pasukan bola sepak’ atau ‘geng samsengnya’ tetapi dengan ‘permainan santaunya’. Ia telah menakutkan orang luar dan turut menakutkan orang kampung sendiri. Setiap kali ada kenduri kahwin, sebut sahaja ‘Kampung S’, tetamu jemputan akan merasa ‘liat’ untuk datang. Jika kerana bukan keluarga terdekat ataupun kerana kenalan rapat mereka lebih suka pergi ke kampung lain daripada datang ke ‘Kampung ‘S. Jika mereka datang pun mereka lebih selesa untuk mengambil lauk dan nasi sendiri daripada menikmati hidangan yang ‘ditating’. Tetapi itu bukan jaminan mereka tidak terkena santau. Kerana santau bukan sahaja boleh ‘dikenakan’ secara terus ke dalam makanan tetapi juga boleh di ‘hantar’ melalui angin.

‘Santau Angin’ ini makin lama semakin parah dari tahun ke tahun, setiap kali kenduri kahwin ‘usai’ akan ada seorang atau dua orang yang terkena santau ini. Samada mereka mengalami demam yang berulang-ulang, batuk, mengalami badan yang ‘seram-sejuk’ sepanjang hari, sakit-sakit sendi atau ‘melanus’. Kemuncak itu tiba pada tahun 1977, ‘permainan santau’ ini tidak lagi memilih mangsa dan majlis, mangsa boleh terkena samada di kenduri ‘doa selamat’, tolak-bala, berzanji, atau kenduri di surau dan masjid. Mangsa juga sudah tidak mengira jantina dan had umur, lelaki atau perempuan, tua, muda, kecil atau besar. Ia bukan sahaja setakat demam, batuk ataupun seram sejuk. Kesannya sudah semakin parah. Juhairi, budak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai meninggal dunia kerana ‘ilmu hitam’ ini. Manakala seorang lagi budak berusia enam tahun juga turut terkena ‘ilmu gila’ ini. Sukarnya untuk mengubati seorang budak sebesar itu. Perubatan tradisional yang dinamakan ‘berurah’ perlu meminum air kosong sebanyak tiga ‘jug’ dan dimuntahkan kembali. Jika betul terkena santau, mangsa akan mengeluarkan semula makanan dan minuman yang pernah dimakan dahulu bercampur rambut, miang rebung dan ‘bahan kotor’. Kemudian berpantang pula seperti perempuan bersalin selama 44 hari. Setiap hari perlu makan pelbagai jenis herba seperti cengkih, kulit kayu manis, air ibu kunyit……… sehingga masa berpantang tamat. Kemudian terpaksa ‘berpantang makan’ daripada makan cili api, rebung, air batu, limau, lauk serta sayuran yang dianggap ‘bisa’ seperti sotong, kerang, ikan tertentu dan pucuk labu. Berpantang antara setahun sehingga tiga tahun.

Kejadian ini telah menyebabkan orang kampung ‘hilang sabar’ bukan sahaja 'keadaan’ itu memalukan kampung tetapi mereka ‘phobia’ untuk mengadakan sebarang kenduri. Akhirnya penduduk sepakat membaca Yassin selama tiga hari berturut-turut bagi mengatasi musibah tersebut. Hebahan dibuat lebih kurang seminggu. Penduduk sudah nekad. Mereka kini memohon pertolongan Allah. Namun pada tarikh tersebut, majlis bacaan Yassin dibatalkan. Apapun kesannya amat menakjubkan, tanpa bacaan Yassin, ‘permainan santau’ ini telah hilang dan lenyap. Tiada lagi mangsa baru selepas itu. Kenduri kendara berjalan aman. Tiada lagi perasaan bimbang. ‘Kampung S’ tidak lagi digeruni. Selepas berpuluh-puluh tahun dan selepas beratus-ratus kenduri dilangsungkan, ramai yang sudah lupa dan tidak tahu siapakah ‘dalang’ disebalik semua itu. Ia masih suatu misteri. Misteri yang tidak pernah terbongkar.


Tating : Makanan yang dibawa menggunakan dulang, Ia diangkat dengan
mengadakan barisan panjang dari dapur ke khemah tetamu.

Melanus : Kehilangan tenaga dan tidak bermaya.

Dec 18, 2008

Wawancara Bersama Razor

Tersinggung habis Razor bila saya mendahulukan menjawab tag daripada Pasa Sanda 'awek cun' dari Kuantan itu. Oleh kerana harapannya yang tinggi, saya jawab juga 'tag' darinya yang digelar 'santau blog' itu. Oleh kerana soalannya banyak sungguh, saya terpaksa menjawab secara ringkas tanpa bercerita.


Soalan 1. Pernah tak anda jalan sorang2, pastu terserempak dengan couple. Si perempuan (kalau anda lelaki dan vice versa la sendiri) asyik pandang2 anda.


Lama dah tak jalan sorang. Masa bujang dulu, selalulah. Mungkin bukan ‘couple’ sahaja yang asyik pandang-pandang. Ramai yang pandang-pandang gitu. Kerana muka saya jenis ‘bulan tersenyum’.


2. Pernah tak orang ingat anda bukan anda yang sepatutnya. (Cth: eh, ko ni dah kahwin kan? Eh, ko ni kerja spital kan? Eh, ko ni belajar lagi kan? Eh, ko ni adik hans Isaac kan? Eh, ko ni yang aku jumpa kat Lombok kan?)

Link blog saya Kenalkah Saya ?

3. Pernah tak drive dan sesat. Atau pun jadi co-pilot tapi anda punca kesesatan.
Saya tak pernah kata sesat, saya kata 'explore'. Walaupun jalan mungkin jauh. Tapi tak apalah, janji sampai. Cuma pernah berhariraya rumah kawan tiga tahun lepas di Ampang Tambahan, berkonvoi dengan kawan-kawan satu pejabat, siap peta dan panduan telefon lagi ke rumah kawan tapi akhirnya kena tunggu juga 'kawan' itu datang jemput di stesyen minyak. Sesat ke tu he he he.
4. Apa cita2 yang orang tak nak buat tapi anda je beria2 nak jadi.
Juruhebah. Akhirnya part-time DJ Motoria-Eon, jual kereta Proton. Masih ingat ke? dari tahun 1997-1998, kereta terpakai Proton yang sudah 'direfurbish' dijual di Pesta Motoria-Eon. Kemudiannya di tutup kerana rugi. Kembara juga di bandar-bandar besar dan kecil, Kuala Lumpur, Syah Alam, Seremban, Tapak Pesta Pulau Pinang , Seberang Jaya, Kajang dan Ipoh. Meriah tu. Peristiwa 10 atau 11 tahun lalu.
5. Kalau ada, ceritakan satu dari kisah2 sedih dalam hidup anda. (tak payah cari yang 'paling sedih' sbb aku tahu, korang bukan ingat sangat pun).
Link blog saya Cerita Kematian.
6. Kalau anda seorang yang pernah nakal dan jahat, cuba ingatkan satu kes yang anda nyesal tak sudah lepas buat kerja tu.
Bunuh katak waktu kecil. Kerana percaya tayar yang saya selalu main hilang disorok katak. AMARAN: Jangan racuni anak kita dengan perkara tahyul.
7. Apa perkara yang anda suka buat sejak dua menjak ni?
Berblog, Facebook dan tangkap gambar.
8. Apa pesanan penjaga anda yang paling diingat dan selalu membuatkan anda beringat2?
Pak Lang saya (bapa saudara adik bapa saya) berpesan, "Dah kawin ni jago elok-elok, tanggung jawab tu dah ado. Jangan macam bolum kawin" . Ingatan Pak Lang atas jambatan Pulau Pinang tahun 1985 selepas selesai majlis perkahwinan kami di Kg Rawana.
9. Apakah ketakutan yang masih menghantui anda?
Bot tersadai dilautan. Lihat blog saya Marhaban Ya Ramadhan (2)

Itulah soalan dari Razor dan jawapan dari saya. Lotih den. Ada yang dijawab dengan panjang lebar dan ada juga yang dijawab seringkas-ringkasnya.

Dec 17, 2008

Alahai Pasa Sanda, Pasa Sanda

Ketika membaca Blog The Spiral Eyes petang tadi, saya sudah terkena ‘jerat’ tag ini. Kalau tak dijawab, ada ke kena jadah dengan budak ‘Pasa Sanda’ yang baru berusia 22 tahun itu. Katanya lagi, sekali sekala bergurau senda membolehkan saya kembali muda berbelas-belas tahun. Lawaknya dia. Oleh kerana sekali-sekala, boleh juga lah. Kalau selalu tentulah hodoh nampaknya. Oleh kerana blog ini memang blog bercerita, saya juga nak cerita jugalah mengenai beg duit atau ‘wallet’saya ini. Wallet yang saya beli ini pun rasanya dah mahal sangat. Harganya RM 40.00 sahaja. Jenama ‘Horse’, hebat ke jenama tu?. Sebab saya tak pernah beli pakai jenama. Kalau nampak cantik dan banyak ‘kocek’ saya belilah. Sebelum ini beli yang harga RM 10 ke RM 15 di pasar malam. Pakai dua tiga bulan dah koyak rabak. Betul kata pepatah Melayu ‘Alah membeli menang memakai”. Rasanya dah hampir satu tahun setengah saya guna 'wallet' ini. Saya tak ingat beli dimana. Di Mydin ke atau di Giant. Tapi hati saya kuat mengatakan beli di Mydin sebab saya ada kad Meriah Mydin he he he.
Dalam beg saya ini tiada ‘tangkal azimat’ atau ‘ibu duit’ yang sesetengah orang percaya boleh mengekalkan duit tak habis-habis dan ada juga kata duit tu boleh 'beranak'. Pernah kah dengar cerita itu ?. Dalam beg duit saya pun ada lah beberapa ‘hinggit’, buat belanja beli petrol, minum pagi, atau keperluan yang tak disangka-sangka. Kalau banyak lagi saya simpan di kocek belakang. Kalau kena kebas pun adalah lagi saki bakinya dihujung-hujung bulan ni. Apa pun saya tak nak tag sapa-sapa…… biar ajelah Pasa Sanda dengan labu-labunya.
p/s Minta maaflah Pasa Sanda kerana pakai kamera h/phone yang dah tua usianya macam tuan dia jugak :)

Dec 15, 2008

Bila Hujan Di Tengahari........

Kepada yang mengikuti blog ‘Biso Bonar’ ini pasti tidak akan lupa kepada cerita Haji Ishak yang telah bersara dalam keadaan ‘berwang’. Selain daripada Haji Ishak, ramai lagi kawan-kawan saya yang telah meninggalkan ‘kerja kerajaan’ dengan membuka perniagaan sendiri. Ramai yang berjaya dan ramai juga yang tidak. Ada diantaranya sudah bertaraf jutawan tak kurang juga yang kemudiannya bertaraf ‘hutawan’. Begitulah takdir dan rezeki yang ditentukan oleh Allah mengikut usaha mereka.

Namun begitu bukan semua yang bersara jadi senang, berwang dan hidup dalam keadaan tenteram. Masih ramai daripada mereka selepas bersara ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sebahagiannya kerana tiada perancangan, manakala sebahagiannya pula kerana tersilap percaturan disaat akhir sehingga merubah segala-galanya. Pada akhir tahun 1997, seorang kenalan saya bernama Shahdan (bukan nama sebenar) telah bersara dan mendapat imbuhan termasuk sumber-sumber lain seperti simpanan ahli kesatuan, koperasi, insuran yang berjumlah lebih kurang RM 120,000. Bagi seorang kakitangan kerajaan yang berkhidmat selama 33 tahun, wang sebanyak itu memanglah berbaloi. Setiap kali berbual mengenai persiapannya melayari dunia persaraan dia seringkali teruja bercerita.

“Tak ada apalah Li, saya ingat, lepas ni hutang rumah langsailah. Tinggal pun tak banyak, RM 20,000 saja lagi. Tanah dusun pun ada dua ekar, bolehlah saya kerjakan sedikit-sedikit, tanamlah lebih kurang. Pokok durian, pokok kelapa memang dah ada. Pencen pun ada, saya ingat duduk surau sajalah Li, he,he,he…”.

Wajahnya kelihatan cerah membayangkan betapa bahagianya melalui zaman persaraan yang tak sampai lagi enam bulan. Setiap kali bercerita mengenai dunia persaraan, kelihatan Shahdan begitu optimis mengenai ‘masa depannya’.

‘Anak-anak pun tak ada yang sekolah lagi, tinggal kami berdua je. Lain-lain dah bekerja, tahun hadapan anak saya yang sulung, Insya Allah akan kahwin, datang lah nanti”

Pertengahan tahun 1997 saya telah berpindah ke Kuala Lumpur. Hubungan kami hanya setakat di talian telefon. Ada ketika saya menghubunginya dan pada ketika yang lain dia pula yang menghubungi saya. Beberapa bulan kemudian hubungan itu semakin longgar. Masing-masing sibuk dengan tugas dan hal masing-masing. Tentu sahaja Shahdan sibuk menguruskan banyak perkara berhubung persaraannya. Bagai kata perbidalan ‘jauh dimata, jauh jugalah dihati’.

Saya sudah hampir terlupa mengenai persaraannya, sehinggalah saya menerima kad jemputan ‘walimatul urus’ anak sulungnya akhir tahun 1998. Oleh kerana Shahdan adalah kawan lama, dan majlis kahwin ini pula adalah majlis perkahwinan anak sulungnya, saya telah melapangkan masa untuk pergi dan sekali gus menziarahinya. Saya merasa teruja untuk mengetahui perkembangannya selepas bersara. Terbayang di fikiran saya bahawa dia bukan sahaja sibuk di dusunnya yang dua ekar itu, tetapi juga menjadi ‘orang penting’ di surau taman perumahannya.

Disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan saya telah terlewat tiba dan hanya sampai lebih kurang pukul 4.00 petang di rumah pengantin. Ketika itu kehadiran jemputan sudah berkurangan. Rumah pengantin hanya dipenuhi oleh adik-beradik Shahdan dan keluarga ‘isterinya’ sahaja. Masa ‘senggang’ yang panjang dan tetamu pula tidak ramai telah memberi kesempatan untuk berbual-bual dengan dia. Alangkah terperanjatnya saya apabila dia mengatakan sudah bekerja hampir dua bulan di Kuala Lumpur. Timbul kemusyikilan dalam fikiran saya, kenapa dia tidak menghubungi saya. Apakah yang sudah terjadi.

Rupa-rupanya, perancangan dia untuk mengerjakan dusun dan ‘duduk’ di surau tidak menjadi. Selepas dia bersara ramai pula adik beradik, terutama adik-beradik sebelah isterinya yang merancang mengenai ‘masa depannya’. Dia telah diajak menceburi projek ‘menanam sayur’. Janji pulangan lumayan dalam waktu yang singkat telah mengaburi perancangan awalnya. Apa boleh buat, kerana kecetekan pengalaman, tanah yang kurang sesuai, pekerja yang kurang mahir serta modal pusingan pula hanya bergantung kepada duit simpanan Shahdan, projek sayur tadi telah gagal. Shahdan yang melabur hampir kesemua wang persaraannya telah mengalami kerugian. Perancangan ‘masa depannya’ telah berkecai. Hutang rumah masih belum langsai, potongan masih dibuat dari ‘wang pencennya’ Janjinya untuk duduk di surau juga turut ‘berderai’.

Malah saya lebih terperanjat lagi ketika memohon diri untuk ‘pulang’, dia juga kata dia juga akan pulang ke KL petang itu juga. Tiba-tiba sahaja hati saya terbetik. Takkan ketika menyambut menantu baru, kenduri kahwin belum selesai sepenuhnya, dia masih tergesa-gesa untuk ‘balik’. Isterinya yang luarbiasa ‘ramah’nya dahulu tidak pula menghalang, malah nampak lebih bersopan. Saya berdoa semoga apa yang saya fikirkan itu hanya sangkaan jahat saya sahaja. Saya tidak mahu kegagalan persaraannya turut membawa kepada kegagalan ‘mahligainya’.


Nota :
Hutawan : Banyak menanggung hutang

Dec 13, 2008

Rumah Melayu


Sepanjang kehidupan yang kita lalui banyak perkara yang berubah dan terus berubah mengikut peredaran zaman. Seringkali juga kita tidak sedar mengenai perubahan-perubahan kecil yang berlaku itu. Nostalgia itu datang ketika banjir melanda kediaman kami baru-baru ini. Air yang masuk bukan sahaja telah merosakkan barang dan alatan rumah,tetapi sebahagiannya terpaksa dicuci,dibersih dan dikeringkan. Sementara masih berjaga-jaga dan bimbang air naik lagi, kami hanya duduk di lantai beralaskan tikar.

Sewaktu saya kecil setiap kali berkunjung kerumah jiran atau orang kampung mereka akan membentang tikar mengkuang yang baru dan berwarna-warni. Kemudian tetamu dijemput duduk di atas tikar ini samada di ‘tengah rumah’ (rumah induk) ataupun duduk di serambi sebelum jamuan disediakan. Jika mereka letih bersila, mereka akan bersandar sahaja ke dinding.

Awal tahun 70an perubahan besar berlaku kepada orang kampung. Mereka sudah mula terdedah kepada corak kehidupan moden. Sette (orang kampung saya panggil ‘kusyen) sudah mula menghiasi rumah-rumah mereka. Meja makan juga sudah mula menghiasi ruang tengah rumah atau pun di ruang dapur menggantikan sedikit demi sedikit cara santai kehidupan tradisional orang Melayu. Rumah saya di antara paling awal membeli ‘kusyen’ ini. Dibeli ketika sambutan Eid Fitri hampir menjelang tiba. Ketika ‘Raya’ berebut-rebut kawan-kawan saya duduk diatas ‘kusyen’ ini kerana bukan sahaja ia jarang ditemui di kampung tetapi juga dianggap barangan mewah. Sette yang dibeli pada harga RM300.00 pada tahun 1971 itu masih lagi menghiasi ‘induk dapur’ di rumah saya di kampung. Masih cantik,barangkali juga sudah termasuk kategori barangan antik.

Tikar mengkuang berharga RM10.00, sudah tidak lagi popular. Seingat saya kali terakhir penjualan tikar-tikar mengkuang ini dijual pada penghujung tahun 70an. Makcik-makcik yang berusia 60 an datang berjual dari rumah ke rumah dengan menjunjung tikar-tikar di atas kepala mereka. Dapatlah mereka sedikit upah, dari hasil jualan itu. Apa pun, tikar mengkuang dianggap sudah ketinggalan zaman. Orang kampung tidak lagi ‘ghairah’ membeli tikar-tikar ini. Penjualan tikar akhirnya terhenti. Penjual tikar dari Kuala Sungai Baru, Melaka ini tidak datang lagi. Bukan sahaja jauh tapi tidak lagi berbaloi. Perniagaan tikar sudah lenyap. Orang Melayu lebih suka duduk di atas kerusi dan ‘sette’ daripada duduk di atas tikar dan lantai. Oang Melayu sudah berubah.

Hari ini orang Melayu bukan sahaja sudah lupa kepada ‘tradisi’ membentang tikar ini, tetapi juga sudah mula mengamalkan kehidupan mewah dengan membeli peralatan rumah yang canggih dan mahal. Kepada mereka yang ‘berwang’ juga ‘ghairah’ untuk membeli dan mendiami rumah-rumah mewah di lereng-lereng bukit meniru tradisi masyarakat lain. Apabila terkena musibah banjir atau pun tanah runtuh seperti Bukit Antarabangsa mereka sedih kerana harta benda mereka yang rosak dan punah. Akhirnya mereka menuding telunjuk kepada banyak pihak dan terlupa menuding kepada diri sendiri. Kalau takutkan rumah dilanda ombak jangan berumah ditepi pantai, kalau takut rumah runtuh jangan berumah dilereng bukit. Malah teringat juga kepada kata-kata sahabat saya yang pernah melontarkan falsafah hidupnya; “ Hidup ini sebenarnya murah, kita sahaja yang menjadikannya ‘mahal’.

Dec 11, 2008

Benci Tapi Rindu

Selepas tiga bulan berblog, ada ketikanya terasa penat juga untuk menulis dan berfikir. Ada ketikanya saya begitu sibuk, bercuti dan berpergian. Sebahagiannya menulis pengalaman diri sendiri dan peristiwa di sekitar yang sempat dirakam dan tidak. Kali ini saya pinjam pengalaman orang lain yang amat menyentuh perasaan yang saya angkat dari e-mail melalui group SIM yang tidak dipinda. Ikutilah ceritanya, cerita cinta :) ...........


ORANG kata, jangan benci sangat pada seseorang, kelak kita akan menyintainya separuh mati. Walau tidak termaktub dalam kitab, namun kata-kata inilah yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Pepatah Inggeris pula ada menyebut, it takes a second to know someone, a minute to like someone, an hour to love someone but it takes the rest of your life to forget your love ones. Tiada kajian saintifik membuktikan kesahihannya kerana proses kehidupan manusialah yang menjadi saksi kebenaran pepatah tersebut. Kata orang, cinta pertama sukar dilupakan walau datang cinta lain kemudiannya. Aku menyangkal. Perjalanan hidupku membuktikan sebaliknya. Tidak semua orang bertuah memiliki cinta pertama sebagai cinta sejati. Bagiku, cinta pertama untuk dikenang. Cinta yang datang kemudiannya mungkin cinta sejati ......Kita tidak tahu bila kita akan bertemu cinta sejati kita. Mungkin pada cinta pertama, kedua, ketiga atau akhirnya kita menyedari bahawa cinta sejati kita hanyalah pada Ilahi......

Namun aku bersyukur kerana cinta sejatiku pada Penciptalah yang mempertemukanku dengan insan yang salah dahulu sebelum menemui cinta sejatiku. Usiaku genap 22 tahun tiga hari lepas. Aku punya kisah cinta yang padan dengan pepatah tersebut. Ya, kerana bencilah aku menahan rasa cinta separuh mati kini. Walaupun baru ku tinggalkan hampir empat bulan lalu, aku yakin dan percaya, cinta itulah yang akan terus ku kenang selamanya. Dia, banyak mengajarku bidang ilmu yang ku cintai, arkitektur. Dia dengan sinis, sering menegurku tanggungjawab dan peranan seorang insan. Dia, ku tinggalkan bersama kenangan. Pastilah kerana cintaku ini pernah bergelar pensyarahku, juga mantan suamiku.
"Saya cabar awak.""Saya cabar awak kahwin dengan saya sebaik saja awak habis belajar, which means in this three months time. It's just a challenge. If you aren't dare to, i bet you to tell me all the reasons why you hate me so much. Well, what would you say?"
Cabarannya langsung tidak mengujakan namun ayat terakhirnya benar-benar mencabarku. Aku terima cabarannya asalkan dia juga menyahut cabaranku - kecuali ketika upacara membatalkan wuduk di majlis akad nikah, aku mencabarnya agar tidak langsung menyentuhku. Saat dia menyentuhku, talak jatuh ke atasku. Dengan wajah selamba dan senyuman sinis, dia menyahut cabaranku. Termeterailah perjanjian kami malam itu bersaksikan rakan-rakanku. Gila. Lawatan akademik yang paling menyayat hati. Rakan-rakan menghakimi perbuatanku. Pelbagai pertanyaan mereka lontarkan. Pulang dari Bali dan kembali meneruskan pengajian, saban hari mereka memujukku melepaskan cabaran. Asal saja Encik Zhafran mengajar, suasana janggal. Kerap dia menghasutku dengan sinis supaya melepaskan cabarannya. Lemas, kadangkala berasa hampir tewas namun janji tetap janji. Aku mahu lebih tabah, lebih kuat. Cukuplah kisah lama. Hakikatnya aku tidak tahu salahku hingga begitu sekali dia membenciku. Aku hanya insan biasa dengan rutin hidup normal, suka mengelamun dan tiada keistimewaan lain.


Seingatku, hari pertama semester ketiga, dia hadir memperkenalkan diri sebagai Encik Zhafran, mengajar reka bentuk seni bina. Panggilan formal dan santai, Sir Zhafran. Satu tabiatnya, setiap kali dia bertanya ya atau tidak, kami perlu menjawab, "Yes sir!" atau "No Sir!" dengan tegas. Aneh.. Entah mengapa, setiap kali dia menyebut namaku, Aisyah, aku rasa menyampah. Walaupun begitu, aku tetap menghormatinya. Dia prihatin dengan kerjaku, tidak pernah sekalipun dia mungkir singgah di mejaku ketika sesi tutorial. Komennya yang tegas dan membina menyenangkanku. Realitinya, dia juga penyumbang kepada kejayaanku beroleh A dalam subjek tersebut. Untuk itu, aku amat berterima kasih. Entah mana silapnya, sikap ramah dan prihatinnya terhadapku cuma bertahan satu semester sahaja. Menginjak ke semester keempat, ada saja sikap dan perbuatanku yang tidak kena di matanya. Sesi tutorial, dia tidak lagi singgah di mejaku. Sesi pembentangan, dia jarang menumpukan perhatian namun banyak pula komen dan sindirannya. Kadangkala, terasa seperti diaibkan. Rakan-rakan menyuruhku bersabar. Mereka juga hairan dengan perubahan tingkahnya terhadapku. Aku muhasabah diri, mencari khilaf yang mungkin menggurisnya. Namun aku buntu. Perasaanku yang sedih dengan perlakuannya bertukar benci lalu aku juga bersikap dingin terhadapnya. Benar, kebencian bernanah andai kita tidak merawatnya.

Setahun dibiar, akhirnya 'nanah' itu pecah lalu terluahlah segala kebencian. Malam persembahan kebudayaan Malaysia - Bali menjadi saksi kebencian kami yang akhirnya bertukar tragedi. Dalam amarah, kami saling mencabar disaksikan rakan-rakan. Aku akan pastikan kemenangan milikku. Menghormati syariat dan adat, dia melakukan semua yang sepatutnya menghantar rombongan dan merancang majlis. Ibu tergamam tatkala cincin emas dihulurkan Datin Afifah. Bila ditanya, tenang saja kami menjawab, dah jodoh. Kami memang pandai berlakon, mesra dan ramah di khalayak ramai. Rabu, peperiksaan akhir tamat. Sabtu, hari 'bahagiaku' menjelang. Majlis akad nikah bersekali resepsi disambut meriah. Tidak henti-henti aku menguntum senyum 'bahagia'. Pastilah, sebentar nanti aku akan memenangi cabaran ini.. Hatiku ketawa puas. Selepas Zuhur, bersaksikan seluruh ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan, kami diijabkabul. Saat bertentang mata dengannya dan menguntum senyum, aku sayu. Walaupun sekadar permainan, akhirnya aku bergelar isteri. Bodohkah aku? Cabaran bertukar tangan. Kehidupan kami unik. Tiada bulan madu. Di kondonya, kami tinggal berlainan bilik. Dingin dan terasing. Tiada interaksi yang kerap, bertegur sekadar bertanya perkara yang patut, mengejutkan Subuh atau saling menyindir. Makan biasanya asing, dia di dapur dan aku di hadapan televisyen .....

Aku menjalani kehidupan yang bahagia sepanjang menyiapkan tesis akhir pengajian bersama 'suamiku'. Dia juga berpegang pada janji. Aku rasa selamat walau tidak mengunci pintu bilik di malam hari. Keadaannya yang demam teruk satu pagi sebulan selepas pernikahan kami menyedarkanku. Dalam demam dan batuk, dia berkeras tidak mengizinkanku menyentuhnya, bimbang nanti jatuh talak. Gila aku dibuatnya. Ku tegaskan sekali lagi syarat cabaran, hanya dia yang tidak boleh menyentuhku, bukan aku. Selama tiga hari menjaganya, aku menyediakan makanan, menyuapkan ubat, menuam dahinya, mengelap badannya malah menemankannya hingga tidur. Kami cuma diam, kadangkala aku perasan genangan air matanya. Sepanjang itu dia berusaha tidak menyentuhku. Betapa dia berpegang pada janji. Aku bungkam. Mengapa? . Selepas dia pulih, kehidupan kami kembali normal. Runsing dengan sikapnya dan tertekan menyiapkan tesis, fikiran dan kesihatanku terganggu. Walaupun demam, aku nekad menyudahkannya. Gagal. Panas badan menghentikanku. Tinggal beberapa muka lagi ketika aku tertidur di depan komputer pukul empat pagi.. Jam satu petang terjaga, aku panik. Komputerku ditutup. Pandanganku menangkap tiga buah buku berkulit keras siap dijilid dengan namaku di atasnya. Ku semak hingga helaian terakhir. Itu tesisku! Semua fakta dan hujah yang ku lakarkan disampaikan dengan terperinci, padat dan lengkap dengan gambarajah . Sebahagiannya bukan kerjaku, pasti kerja dia. 'Maaf saya siapkan, takut awak tak sempat hantar sebelum pukul 5. Jangan risau, saya bukan pensyarah penilai. Makanan dah disediakan, makanlah. Kalau tak larat drive, call me, i'll fetch you. I'm half day today. So then, take care. Again, sorry.-Zhafran.


Nota kecil tersebut membuatkanku terjelepok ke lantai. Aku menangis, meraung kecil. Geram dan menyampah, sebal. Cukuplah! Tiga bulan sebumbung dengannya, aku tidak sanggup berpura-pura lagi. Aku perlu segera keluar dari rumahnya dan hilang daripada pandangannya. Aku tak mampu terus bersamanya. Aku nekad menerima tawaran belajar ke Glasgow .Tanpa perasaan, ku nyatakan hasrat dan minta dia melepaskanku dengan alasan aku ingin mencari cinta pertamaku. Lama dia diam, kemudian mengangguk dan berlalu. Ibu bapaku hanya ku beritahu tentang hasrat menyambung pengajian. Lapangan terbang menyaksikan pertemuan dan perpisahan. Di sini juga ada ketawa dan air mata. Dan malam itu, aku ditemani keluarga dan Zhafran. Dia banyak mendiamkan diri, sekali-sekali melayan adik-adikku dan tersenyum memandangku. Saat perpisahan, aku menyalami seluruh ahli keluargaku. Sampai giliran Zhafran, keluargaku menjauh. Hanya aku dan dia. Tiba-tiba, dia menyentuhku, menarik tanganku bersalam dengannya. Hatiku luruh. Perlahan-lahan ku tunduk mencium tangannya. Air mataku bergenang. Bangkit semula, dia mencium dahiku lama. Dengan perlahan, dia berbisik, "Saya lepaskan awak. Carilah cinta awak. Saya doakan awak bahagia". Lambaian terakhirku pada mereka disertai deraian air mata yang deras mengalir. Aku sebak, amat. Hingga mereka hilang daripada pandangan, aku hanya nampak Zhafran dan senyuman ikhlasnya. Aku menangis dan menangis. Aku mengerti segala yang berlaku, aku yang memintanya. Namun hatiku benar-benar pedih. Tamatlah cabaran, perjanjian dan hubungan kami. Tapi aku pasti, sesuatu telah lama lahir dalam hatiku. Sebelum berlepas, nombor Zhafran ku dail. Lama baru ku dengar suaranya. Hatiku pedih.


"Kita kalah. Tapi saya kalah teruk bila awak tak tanya alasan membenci awak." Sir, I hate you. I have to since I realized that i've fallen into you the second you call out my name years ago and I can't believed it. "Saya bukan gadis suci. Memang saya masih dara tapi Ashraf dah terlalu banyak menyentuh saya. Saya kesal dan saya bertaubat. Tapi saya rasa jijik, benci diri sendiri. Saya tak layak untuk sesiapa. Untuk itu, saya tak sanggup menyintai awak. Lepas kahwin, saya semakin membenci diri kerana saya sedar awak sayangkan saya. Tapi saya tak layak untuk awak!" Aku teresak. "I'm sorry i love you sir. But i'm so sorry i can't love you. Take care."

Cintaku berakhir di situ. Di bumi Inggeris ini, aku belajar mengubati hati, menyibukkan diri dengan tugasan dan kuliah. Aku jumpa Ashraf, dia sudah berubah, juga minta ku kembali padanya. Maaf, hatiku bukan lagi untuknya. Sesekali ingatanku melayang mengenang Zhafran. Kadangkala termimpikannya dan apabila sedar, aku menangis. Sejak di KLIA, kami sudah tidak berhubung. Mungkin dia juga sepertiku, ingin melupakan satu sama lain dan memulakan hidup baru. Melupakan? Semakin ku berusaha, semakin ku sedari betapa ku merinduinya.Petang Khamis itu, aku bersiap ke masjid untuk bacaan Yassin. Musim luruh yang nyaman menenangkan hatiku tatkala menyusuri jalan. Pemandangan hijau dan lautan langit biru mengasyikkanku. Bam! Berpinar kepalaku terlanggar tiang lampu di tepi kawasan masjid. Dahi ku gosok, cuba mengesan sebarang perubahan." Langsung tak berubah, suka mengelamun." Aku tersentak lalu berpaling ke arah suara itu. Wajah yang ku rindui itu kini di hadapanku, sedikit cengkung. "Ikut saya." Zhafran terus menarik lenganku dan mengheretku ke pintu masjid. Agak ramai orang di dewan utama. Dia berpusing memandangku. Matanya menjilat wajahku lama. Aku diam, berdebar."Saya tahu awak ada banyak soalan tapi kita boleh cerita nanti." Sekarang ni, saya nak kita masuk dalam dan nikah semula. "Jantungku seolah terhenti." Kutatapnya dalam. Tanpa sedar aku menapak selangkah ke belakang. Dia menghela nafas. "Aisyah, awak tahu tak saya dah lama sayangkan awak?""Setiap kali saya panggil nama awak, hati saya berdebar. Saya rasa bersalah, saya tak patut jatuh cinta pada pelajar sendiri. Sebab itulah saya dingin terhadap awak untuk mengurangkan rasa bersalah saya. Tapi tak sangka perbuatan saya menyusahkan hingga awak membenci saya. Malam tu di Bali , sebenarnya saya melamar awak takut-takut. Tapi lain pula jadinya." Aku tergamam dengan penjelasannya."Semua orang buat kesilapan Aisyah, saya pun. Tapi yang penting ialah cara kita menanganinya, siapa kita pada hari ini dan apa kita nak jadi nanti. Kisah silam awak langsung tak mencacatkan perasaan saya terhadap awak." Dia berhenti."Sebulan saya di sini mencari awak, mengikuti rutin harian awak, memandang awak dari jauh. Saya tunggu awak habis edah. Saya tak nak rujuk, nanti kena sambung cabaran dulu. Saya nak nikah semula dengan awak, saya nak awak jadi isteri saya semula." Matanya bergenang. "Saya bukan malaikat. Tak ada satu ketika pun saya tak rasa nak sentuh awak. Bila awak tidur, saya masuk bilik tengok awak. Saya teringin usap awak, teman awak tidur. Saya geram tengok awak ketawa depan TV. Dulu masa awak jaga saya, saya rasa susah sangat. Saya sedih kenapa kita jadi macam tu." Terdengar esakan.. "Aisyah, i need you, i love you so much. I can't be apart from you anymore. Will you take your stupid ex-hubby as your real husband again?" Terlalu pantas dan mengejutkan. Sebak dan terharu. Lidahku kelu, air mataku sedari tadi tidak berhenti. Lama ku terdiam, cuba mencerna kata-katanya."Aisyah, yes or no?" Lamunanku tersentak. "Yes sir! I do!"Opss! Dia senyum. Aku tunduk malu. Orang kata, jika kita cintakan seseorang, bebaskan dia. Jika dia kembali, maknanya dia memang tercipta untuk kita. Aku melepaskan Zhafran namun dia kembali semula padaku. Dia menyedarkanku bahawa kita tidak boleh pilih dengan siapa kita hendak jatuh cinta. Dia membuatkan aku yakin pada diriku.. Banyak perubahan berlaku padaku sepanjang mengenalinya. Dia membuatkan aku percaya, sesiapa jua berhak untuk bahagia kerana bahagia diusahakan oleh kita sendiri.Luahkan hasrat dan impian kita dengan ikhlas dan berusaha memperolehinya ..... Tiada doa yang tidak didengar, tiada usaha yang disia-siakan. Percaya pada diri dan hati kita. Cintailah diri dan cintailah segala yang kita ada, jangan persiakannya. Oleh itu, Zhafran, terima kasih untuk segalanya.

Dec 9, 2008

Si Tanggang

Sewaktu menunggu-nunggu ketibaan sahabat yang ‘berjanji’ untuk datang kerumah di petang Hari Raya semalam, Angah, anak perempuan saya, telah menayangkan sebuah filem dokumentari pendek sebuah kisah benar berjudul ‘Christian The Lion’. Filem ini mengisahkan dua orang lelaki yang bersahabat baik telah memelihara seekor anak singa yang diberi nama ‘Christian’. Oleh kerana ‘Christian’ ini semakin hari semakin membesar, ia kemudiannya telah dilepaskan ke hutan untuk menjalani kehidupan liarnya. Selepas beberapa tahun ‘anak singa’ ini dilepaskan, kedua-dua lelaki ini telah menempuh perjalanan sejauh 5,000 km dari London ke Kenya semata-mata untuk bertemu ‘Christian’. Mereka sebelum itu telah dingatkan, belum pasti ‘anak singa’ itu masih mengenali mereka lagi kerana perpisahan yang agak lama. Kisah ini memang mengharukan bukan sahaja ‘anak singa’ yang telah menjadi ‘raja singa’ itu mengenali lagi ‘keluarga angkatnya’ tetapi juga telah menyambut mereka dengan ‘jilatan’ dan pelukan penuh kasih sayang.

Selepas menonton filem dokumentari pendek ini saya berfikir panjang mengenai cerita seorang kawan ketika berbual-bual di Kuala Terengganu beberapa bulan yang lalu. Kisah benar mengenai sebuah keluarga di kampungnya. Kisahnya bermula dengan perkahwinan seorang lelaki tanpa restu ibu. Beberapa tahun selepas berkahwin mereka telah dikurniakan dengan tiga orang anak. 'Malang selalunya tidak berbau’, ajal maut di tangan Allah, lelaki ini telah meninggal dunia. Menambahkan kesedihan, penama simpanan, insuran dan pampasan masih lagi diletakan atas nama ibu lelaki ini. Tidak tahu hendak kemana, apatah lagi isteri lelaki ini tidak bekerja dan anak-anak pula masih kecil mereka terus tinggal dirumah mertua dan mengharapkan 'belas ehsan' mereka. Perkahwinan tanpa restu ini pastinya keluarga ini ibarat 'melukut ditepi gantang'. Mereka terpinggir dan dipandang rendah oleh adik beradik dan ipar duai keluarga suaminya. Apa yang dia boleh lakukan, untuk pulang kerumah ibubapanya pun, mereka juga hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Untuk tidak menanggung kesusahan dan menyusahkan keluarga sendiri lebih baik sahaja ‘berteduh’ di rumah ibu mertua walaupun terpaksa bertahan dengan karenah mereka.

Masa terus berlalu. Dalam diam-diam ibu mertuanya telah memberi perhatian yang ‘lebih’ kepada ‘anak lelaki sulung’ perempuan ini. Layanannya lebih baik berbanding dengan adik-adiknya yang lain. Boleh jadi kerana ‘cucunya’ ini lebih cemerlang dalam pencapaian akademiknya. Lebih jauh lagi ia bukan sahaja telah ‘dimanjakan’ tetapi juga 'dihasut' untuk ‘membenci’ ibunya. Oleh kerana kesungguhannya belajar, ‘cucu’ ini telah berjaya dalam pelajarannya sehingga berjaya menjejaki kaki ke ‘menara gading’. Kini ‘cucu’ ini sudah berjaya dan berkerjaya.

‘Isteri lelaki’ tadi yang telah tinggal berbelas-belas tahun bersama ibu mertuanya serta sudah ‘puas’ dipandang rendah, dicaci dan dihina akhirnya telah berpindah bersama-sama anak-anaknya ke rumah sewa. Tinggallah anak lelaki, ‘cucu’ kesayangan neneknya yang enggan berpindah sama. Kata orang tua-tua ‘kasih ibu, sepanjang jalan' , tetap setia datang menjengok anak lelakinya setiap kali dia pulang kerumah neneknya. Petang itu terbayang-bayang dimata saya, di hari baik bulan baik ini seorang perempuan yang pucat mukanya, berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah ‘ibu mertua’nya untuk menjenguk anaknya yang tak pernah pulang………………....

Dec 7, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Saya mengucapkan 'Selamat Aidil Adha' kepada semua pengunjung yang mengunjung 'Blog Biso Bonar' dan Blog Bila Masa Terakam . Bersyukur kerana kita dilahirkan dalam agama Islam, dan lahir di tanahair Malaysia yang tercinta ini. Mohon Maaf Zahir dan Batin, jika sepanjang berblog ini ada bahasa yang terkasar dan menyinggung perasaan.
Saya juga merakamkan rasa simpati kepada mereka yang menjadi mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan ketika kedatangan satu hari perayaan Islam yang sepatutnya disambut dalam suasana kegembiraan. Semoga ia sebagai ujian dan dugaan yang lebih ringan daripada ujian yang didatangkan Allah kepada Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim. Begitu juga kepada mereka yang ditimpa musibah tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dalam keadaan kepayahan, kehilangan nyawa dan harta benda.

Kita juga berdoa supaya mereka yang menunaikan Haji tahun ini dilimpahi dengan kesempurnaan ibadat dan memperolehi Haji Mabrur. Begitu juga ibadat korban kita, semoga dikira sebagai amalan solehin dan diterima umpama penerimaan korban Habil anak Nabi Adam alaihissallam.

Dec 6, 2008

Rumah Tanpa Penghuni

Kali terakhir saya datang ke ‘rumah’ ini, tujuh atau lapan tahun dahulu. Kepulangan kali ini memberi kesempatan semula kepada kami untuk melawatnya sekali lagi.. Apatah lagi rumah mertua saya sekampung dengan ‘Rumah P. Ramlee’. Rumah yang sekarang kelihatan lebih kemas, terjaga dan bersih. Memasuki rumah ini seakan-akan kembali semula ke tahun 30an. Bertangga batu, serambi dan ‘tengah rumah’ agak sederhana luas. Rumah berbilik satu ini lengkap dengan katil besi yang dipasang kelambu bersulam bermotif bunga keduduk serta meja solek kecil, sempurna menghiasi bilik Ruang dapur yang berada di belakang dilengkapi dapur kayu, rak pinggan mangkuk dan tempayan menyimpan air bersih betul-betul mempersonakan. Catatan di pintu masuk rumah ini melakarkan sejarah ringkas bagaimana Tan Sri P. Ramlee bermula dan tercebur kedalam dunia seni. Perenggan terakhir catatan itu digambarkan secara berseni - [ Pada 8 Ogos 1948, P. Ramlee bersama Sukardi menaiki keretapi di Prai untuk berhijrah ke Singapura, maka bermulalah satu era baru dalam dunia muzik dan perfileman Melayu – satu dunia fantasi yang dicipta oleh seorang pemimpin seni telah menggembirakan jutaan manusia. Semua ini berlaku kerana seorang jejaka yang tinggi lampai lagi berjerawat berani mengikat janji dengan takdir ] .

Saya tidak mengenali atau pernah berjumpa Allahyarham P. Ramlee sewaktu hidupnya. Semasa kecil sehingga sekarang saya cukup minat dengan lagu ‘Dendang Perantau’ ciptaan dan nyanyiannya yang menandakan Idul Fitri akan tiba. Filem-filem lakonannya, Semerah Padi, Madu Tiga, Penarik Beca, Labu-Labi, dan berpuluh lagi filemnya sudah ditonton sejak kecil lagi. Hingga sekarang filem-filemnya masih lagi diputar, diulas, dijadikan bahan kajian dan karyanya terus diminati. Ia bukan sahaja ‘ever green’ tetapi menjadi khazanah negara yang tiada tolok banding nilainya.

Beliau meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun pada tahun 1973. Waktu itu saya tidak merasakan apa-apa mengenai berita kematiannya. Namun semakin saya dewasa semakin saya mengkaguminya, P.Ramlee tokoh seni yang mempunyai pelbagai kebolehan yang tidak dipunyai oleh orang lain. Sebutkan saja peranan ‘apa’, penyanyi, pelakon, pemuzik, penggubah lagu, pengarah filem, penulis skrip, pelawak, ‘p’ dan ‘p’ lagi. Seakan-akan ‘P’ pada pangkal namanya itu mewakili segala gelaran dalam bidang seni. Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh adalah nama sebenar P.Ramlee yang lahir pada 22 Mac 1929 di rumah beratap nipah berlantai papan ini. Kayu rumah ini diambil dari rumah yang di robohkan di Lorong Yahudi (kini Lorong Selamat) dan digunakan untuk membina rumah di Kg Rawana, Jalan Caunter Hall ( kini Jalan P. Ramlee). Teuku Zakaria telah menukar namanya kepada P. Ramlee ketika memasuki pertandingan ‘Lagu Keroncong Seluruh Pulau Pinang’ pada tahun 1947. Kemenangan seterusnya dalam pertandingan ‘Bintang Utara Malaya’ telah mengangkatnya sebagai biduan berbakat. Ketika P.Ramlee menyanyikan lagu ‘Azizah’ di Pesta Pertanian, Butterworth ianya telah memikat B.S Rajhans, pengarah dari Singapura yang sedang mencari bakat-bakat baru. Beliau kemudian membuat tawaran kepada P.Ramlee dan kawannya Sukardi suatu peluang ke alam perfileman di Shaw Brothers Malay Film Production di Singapura. Langkah pertamanya ini hanyalah ‘perintis’ kepada suatu ketetapan takdir bahawa beliau akhirnya akan bergelar ‘Seniman Agung’.

Melepasi tiga dekad Allahyarham P.Ramlee meninggalkan alam fana ini, ‘Rumah Tanpa Penghuni’ ini masih lagi di kunjungi oleh ramai orang, pelancong, peminat, pengkritik, pengkaji filem, budayawan dan ahli akademik. P. Ramlee sebenarnya masih lagi ‘hidup’ di dalam hati dan jiwa keluarganya, pencinta dan pengkagum hasil seni termasuk mereka yang kenal ‘Seniman Agung’ ini melalui filem lakonannya dan lagu-lagu nyanyiannya yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ – Al Fatihah.

Dec 4, 2008

Hitam Putih Perjalanan

Minggu lepas kami telah merentasi banjaran Titiwangsa ke Pantai Barat. Janji dengan isteri untuk ‘balik’ ke Pulau Pinang yang tertangguh beberapa kali akhirnya tertunai juga. Kali ini kami pulang bukan berdua tapi berlima. Pulang bersama anak lelaki kami, Along, Alang, dan anak bongsu kami, Afif. Pulang ketika musim tengkujuh sedang 'menggila' di Pantai Timur. Dari Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Pasir Puteh, Tanah Merah, Jeli hingga ke Grik, hujan tidak berhenti-berhenti. Perjalanan yang penuh bimbang, mana tahu tersangkut dimana-mana. Alhamdulillah, akhirnya petang itu kami sampai juga di Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. Pulau Mutiara yang banyak kenangan. Disinilah jodoh pertemuan kami. Disinilah juga tiga anak kami lahir. Enam tahun saya bermaustatin disini, bekerja, bercinta, berkahwin dan berkeluarga sebelum memutuskan untuk ‘balik kampung’ ke Negeri Sembilan.

Dua puluh tahun Pulau Pinang saya tinggalkan. Ada yang kekal, berubah dan bertambah. Tak kurang juga yang hilang dan pupus. Ketika mula-mula menjejak kaki ke Pulau Pinang pada tahun 1982, Jambatan Pulau Pinang dalam perancangan untuk dibina. Komtar sedang dalam pembinaan menaranya. Kini selepas 20 tahun, Jambatan Pulau Pinang sudah begitu sesak dan sedang dibesarkan lagi. Pembangunan juga semakin melebar, dari Bandar Geogetown sudah melimpah ke Jelutong, Air Itam, Tanjung Tokong, Bayan Baru dan Bayan Lepas. Jalan-jalan sudah semakin ‘padat’. Bermula dari jambatan sehinggalah ke jalan-jalan di Bandaraya ini. Keseronokan memandu 10 -15 tahun dahulu sudah ‘hilang’. Niat hati nak pusing ‘Pulau’, kegemaran yang saya lakukan setiap kali ‘pulang’. Bermula dari Jalan P. Ramlee ke Padang Kota Baru, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Feringhi, Teluk Bahang, melalui jalan berbukit dan berliku ke Balik Pulau. Kemudian ‘kembali’ semula melalui Pondok Upeh, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Uban, Gelugor dan berakhir di Jelutong. Hasrat itu tidak tertunai, kerana jalanraya semakin sesak bertembung dengan ‘cuti sekolah’ serta bermulanya ‘Pesta Pulau Pinang’. Cuma ‘idaman’ isteri saya sahaja yang terpenuh, makan ‘takua rendang’, cendul, laksa penang, mee kuah, rojak pasembur, sotong bakar dan nasi kandar. Makanan yang sudah lama tidak dinikmatinya. Akhirnya kami tidak pergi kemana-mana, hanya sempat ‘bertandang’ di Chowrasta membeli buah pala, mangga jeruk, kuah rojak ……… sebelum ke Prangin Mall, bersebelahan Komtar.

Tatkala hujan lebat ‘terus mengganas’ di Terengganu, kami masih lagi meneruskan perjalanan ke utara, Alor Star. Ketika 'berita' melaporkan sudah ramai mangsa banjir dipindahkan terutama di Marang, kami berdoa rumah kami selamat. Rumah sewa kami hanya 50 meter dari Sungai Marang. Sudah dua tahun kami menetap di sana. Kami masih ‘selamat’ walaupun air sungai selalunya melimpahi tebing. ‘Amaran awal’ itu datang, ketika kami sedang sibuk bersiap-siap untuk pulang. Mesej dari jiran kami itu telah merubah segala-galanya.

“ Banjir, Air dah nak masuk rumah” 5:54:09 am, 1 Dis 2008.

Walaupun ‘mood’ percutian sudah musnah, kami masih sempat lagi ke Pekan Rabu, beli lagi sedikit ole-ole, kuih karas, minyak gamat, kuih bangkit, kuih putu, bahulu sebelum memecut laju menghala ke Pantai Timur. Cuaca panas sehingga di Grik sahaja. Sebaik sahaja memasuki sempadan Kelantan, Jajahan Jeli, hujan mula renyai, diikuti kabus tebal, kami terasa seakan melalui titian di awan tinggi. Semakin kami menghampiri Terengganu hujan semakin lebat bersama angin kencang. Kami berdoa supaya tiada jalan yang ditutup. Kelajuan tidak membantu kami, mesej kedua datang lagi, “Dapur abg. Pintu blkg dah masuk air dah” 1.59.59 pm 1 Dis 2008.

Selepas melalui ‘marathon’ yang panjang sejauh 615km , merempuh beberapa batang jalan yang penuh airnya, hujan yang lebat dan cuaca yang kelam, akhirnya kami berjaya juga sampai di Marang. Apa pun rumah kami sudah dipenuhi air. Buku-Buku, alat-alat letrik, kain baju, sedang di keringkan sekarang………….

p/s pengajarannya musim hujan jangan jalan jauh-jauh.

Takua rendang = Tahu goreng yang di hidangkan bersama sos pencicah, cucur dan timun.

Dec 2, 2008

Kenalkah Saya ?


Sudah menjadi ‘kebiasaan’ setiap kali menghadiri majlis kenduri kahwin, majlis perpisahan, majlis ‘makan-makan’ saya sering di tegur oleh kenalan baru atau tetamu dengan ungkapan yang hampir sama;

‘Eh macam pernah nampak lah abang ni’
‘Saya pernah jumpa pak cik ni, kat mana ya”
‘Ya lah, macam pernah tengok abang ni, bukan abang ke yang pakai kereta……..tu’

Saya selalunya tak ambil ‘pusing’ sangat mengenai ungkapan itu. Al-maklum sahaja semakin lama hidup semakin banyak benda yang dirasa dan semakin banyak juga perkara yang dilihat. Daripada perkara yang biasa-biasa hinggalah kepada perkara yang aneh-aneh dan ganjil-ganjil.. Tak kurang juga yang mendakwa pernah jumpa saya di Johor, di Melaka, Pulau Pinang, Kedah malah lebih terperinci lagi;

‘Tak silap, saya jumpa abang di Pudu Raya dua hari lepas’. Betul tak?.
‘Tak kan abang dah lupa kita pernah berbual kat ‘bus stop’ Kuala Terengganu tiga empat hari lepas”

Biasanya saya malas nak bertengkar untuk mengatakan tidak. Saya hanya mengangguk atau paling tidak berkata; Biasa la tu bang, muka saya ni memang ada kat mana-mana”. “Mungkin pelanduk dua serupa”. Mungkin juga muka macam saya ni memang ramai…..ha, ha, ha…….. Cuma satu tempat sahaja yang saya idam-idam nak dengar. Jumpa saya di Mekah. Kalau ada sahihlah martabat saya dah semakin tinggi….. he…he .. :).

Apa pun perkara tersebut tidak lah begitu mengherankan saya berbanding dengan ungkapan-ungkapan yang lebih pelik.

“Pak Cik kenal ke saya ?
“Abang kenal tak saya?
“Man, takkan kau tak kenal aku?,

Selalunya saya jarang menjawab. Kebiasaanya mereka bukan sahaja ‘serkap jarang’ dan berpura-pura mengenali saya tetapi di hujung perbualan mereka selalunya akan ‘mencipta’ pelbagai cerita duka lara yang mengharukan. Ibu sakit, ayah sakit, anak sakit atau paling tidak pun diri mereka yang ‘sakit’ dan memerlukan bantuan. Lebih hebat lagi, mereka pula yang menetapkan berapa ‘Ringgit Malaysia’ yang perlu kita beri.

“Lima Ringgit bang, saya makan pun belum ni”
“ Bagi sepuluh lah Man, tambang teksi lagi, makan lagi”
“ Bagi sepuluh lah Pak Cik, saya kira pinjam dulu, nanti ada duit saya bayar lah”

Walaupun kita sedar bahawa sebahagian daripada mereka bukan jujur dan bercakap benar, tapi kita ‘hulur’ juga atas dasar peri kemanusiaan. Namun begitu, tentunya saya lebih heran kepada mereka yang menjadi mangsa ‘pelakon-pelakon bajingan’ yang menyamar sebagai pegawai penguatkuasa, orang penting ‘kerajaan’, kerabat diraja, pakar pelaburan, pakar kecantikan, pakar perancang kewangan yang bermula dengan ungkapan ‘KENALKAH SAYA?’, sehingga menyebabkan mereka tertipu bukan sahaja beribu-ribu ringgit malah ada juga yang sampai berjuta-juta ringgit serta hilang harta dan kehormatan.

Nov 26, 2008

Du...Du....Du...Ku..

Dalam perjalanan pulang dari Jengka ke Marang, kami telah menyusuri ‘jalan persekutuan’ melalui kampung-kampung tradisional dan pekan-pekan kecil, Bukit Tajau, Maran, Kg New Zealand, Kg Paya Bungur dan Gambang sebelum berehat di Bandar Kuantan. Perjalanan melalui kampung-kampung tradisional dan pekan-pekan kecil ini lebih santai berbanding melalui lebuhraya yang luas jalannya, dan menyebabkan saya lebih cepat mengantuk. :(

Ketika melepasi Hutan Rekreasi Berkelah, Gambang saya ‘perasan’ banyak gerai yang menjual buah durian. Kami membuat keputusan untuk singgah dan kalau ada yang ‘berkenan’, kami bercadang untuk membeli sebiji dua. Sekurang-kurang boleh juga menikmati durian yang berbuah ‘salah musim’ ini. Semasa saya kecil dahulu saya memang ‘hantu’ durian. Jika musim durian saya jarang menyentuh nasi. Saya boleh makan durian dari tujuh ke 10 biji sehari. Apatah lagi ketika itu di sekeliling rumah kami ada lapan batang pokok ‘durian kampung’, samada yang ditanam oleh nenek kami dahulu atau pun emak saya. Rasanya pun pelbagai, dari yang rasa sedikit pahit hinggalah kepada durian tembaga yang lemak manis rasanya. Tetapi setelah berusia ini saya hadkan kepada satu atau dua biji sahaja. Maklum sahaja lah kena jaga juga kesihatan diri.

Bercerita mengenai buah-buahan ini, beberapa bulan dahulu saya telah berkesempatan singgah di sebuah kampung bernama Kampung Bukit Cherana dalam Mukim Alor Limbat, Marang. Kampung ini terletak lebih kurang 25 km dari Bandar Marang dan 25 km juga dari Bandaraya Kuala Terengganu. Kampung ini telah dipilih oleh Jabatan Pertanian untuk menjayakan projek ‘homestay’. Ketika bersama-sama meninjau projek ini, Penghulu Mukim Alor Limbat telah mengajak saya melawat tapak bersejarah mengenai asal-usul nama buah duku yang kita makan atau tanam itu. Tanpa perlu menulis panjang saya perturunkan keterangan dari ‘papan penerangan’ tersebut.……………………

[ Mengikut sejarah, pokok Duku Terengganu merupakan sejenis pokok liar hutan yang mana telah ditemui oleh seorang hamba rakyat di Kampung Bukit Cherana, Marang sejak 300 tahun yang lepas. Menurut ceritanya buah pokok ini telah dipersembahkan kepada Sultan kerana di dapati ianya begitu manis dan lazat. Lantas selepas itu Tuanku telah menanyakan nama buah yang dipersembahkan.

Beliau kemudiannya, mengucapkan secara tergagap-gagap, ungkapan du…du…. du…..dan diikuti dengan ku, yang mana “KU” dalam konteks ini dirujuk kepada Tuanku. Maka bermula dari situlah Tuanku menamakannya sebagai buah duku……….]

Begitu lah cerita asal usul bagaimana buah ‘Duku’ mendapat nama. Pokok Duku yang ada di taman tersebut sudah berusia 250 tahun. Pokok tersebut merupakan generasi kedua pokok duku sebelum ini yang mati terbakar ketika zaman penjajahan Jepun. Penghulu Mukim itu juga mendakwa pokok itu bukan sahaja tertua di Terengganu tetapi juga tertua di dunia. Betul lah kata perbidalan Melayu ‘ Lautan Dalam Sudah Diselam , Tempayan Di Dapur Siapa Menyelam’. Yang bermaksud, pelbagai perkara diluar lingkungan kita sudah kita ketahui, tetapi kurang mengambil tahu perkara-perkara yang berada di sekeliling kita.

Jika ada yang teringin merasai nikmat tinggal di kampung, makan buah duku ‘tertua di dunia’ bolehlah datang bercuti di Homestay Kg Bukit Cherana............. :)

Nov 23, 2008

Bila Gambar Bercerita........

Minggu lepas, ketika menjemput pulang anak lelaki saya dari Uitm Jengka, Pahang, saya telah sempat berbual dengan seorang ‘budak’ perempuan bernama Farah Hidayu dari Jerantut. Dia datang bersama keluarga untuk mengambil pulang abang sepupunya. Usianya baru 15 tahun. Perwatakannya menarik dan ramah. Sedang menunggu keputusan peperiksaan PMR.. Hujung bulan Disember ini dijangka keputusannya akan diumumkan. Harapan dan keyakinannya tinggi untuk memperolehi keputusan terbaik 8A. Apatah lagi dia anak sulung. Pasti dia mahu menjadi ‘idola’ kepada adik-adik untuk mengikuti jejak langkahnya. Sebelum dia pulang sempat saya mengucapkan selamat berjaya. Caiyo. Insya Allah semoga tuhan makbulkan doanya.

Tiada apa lagi yang saya nak ceritakan mengenai Farah Hidayu. Saya hanya mengenalinya beberapa minit sahaja. Cuma wajah dan ketinggiannya hampir sama dengan seorang ‘budak perempuan’ di pusat membeli belah di Pekan Baru, Bandung. Bandung yang terkenal dengan nama ‘Kota Kembang’ atau digelar ‘Kota Parijs van Java’. Gambar ‘budak perempuan’ itu saya paparkan di blog ‘Bisa Bonar’ ini. ‘Ika’ baru berusia 11 tahun tetapi ia sudah menjadi ‘penyanyi jalanan’. Walaupun dia tahu kami hanya lah ‘jutawan segera’ dan telah kembali menjadi ‘orang biasa’ selepas membeli belah, Ika tetap menghiburkan kami dengan nyanyiannya. Ika mengharapkan kami memberinya wang sekitar Rp 1000 atau Rp 2000 atau Rp 500 dan Rp 200 ‘wang perak’ bagi menampung makan petang bersama adik-adiknya yang masih kecil. Setiap kali bas ‘pariwisata’ berhenti di Pasar Baru dia akan menyanyi dan menghiburkan pelancong secara solo ataupun berduet bersama adiknya yang baru berusia tujuh tahun. Saya tidak mengenali ibu dan bapanya. Tapi saya pasti kemiskinan dan kesukaran mencari ‘rupiah’ telah memaksa mereka dan ‘Ika’ menjadi ‘penyanyi jalanan’ dan melakukan apa sahaja pekerjaan. Daripada menjual ‘key chain’, pen, kain batik, beg kain, selipar, ketayap dan segala macam barang sehinggalah menjadi peminta sedekah, pengutip botol dan penyelongkar sampah. Jika kita menjadi pemerhati yang baik, kita akan menyedari kehadiran mereka dimana-mana sahaja samada di Pekan Baru, Cihempelas, Bandung, atau di Tanah Abang, Mangga 2 di Jakarta dan lain-lain tempat membeli belah yang popular kecuali di Rumah Mode, Bandung yang eksklusif tempatnya.

Apabila malam datang mereka ini tidur di tepi-tepi jalan, di lorong-lorong sempit dan kaki lima serta di dalam tong-tong sampah yang menjadi ‘rumah’ mereka. Mereka sering berebut dan mempertahankan kawasan ‘cari makan’ masing-masing. Ketika bersiap-siap untuk pulang, menuju ke Lapangan Terbang Sukarno-Hatta dari Hotel Travellers, Jakarta, saya masih sempat menonton berita TV di saluran ‘Indosiar’. Seorang ‘penyelongkar sampah’ berusia 71 tahun dibunuh oleh ‘pesaingnya’ di Jakarta Pusat. Begitulah kehidupan di kotaraya yang padat dengan penduduk ini. 12.5 juta orang di waktu siang dan 10 juta di malam hari. Kotaraya Jakarta seluas 670 km persegi ini setiap detik melakarkan 1001 cerita suka dan duka, sedih dan rintihan. Mereka yang kaya berebut cara ‘orang kaya’, yang miskin dan merempat berebut cara ‘orang miskin’ dan merempat. :(

Tetapi dalam melihat ‘kebobrokan’ itu saya masih melihat ‘nilai baik’ warga Jakarta.Walaupun motorsikal semakin membanjiri jalan-jalan di Pulau Jawa. Memandu laju dicelah-celah ‘kemacetan’ Kotaraya Jakarta. Mereka masih tetap sopan. Mereka hanya ada kumpulan dan geng ‘Ojek’. Bukannya geng atau kumpulan Mat Rempit dan Minah Rempit. Geng dan kumpulan yang bukan sahaja kurang ajar, tetapi juga kurang moral. Tiba-tiba sahaja saya jadi geram dan mual dengan gelagat mat rempit dan ‘aweknya’ yang sengaja buat ‘wheelie’ di hadapan kereta saya di Pantai Batu Burok semalam. Sepatutnya ‘kamu’ lebih bernilai walaupun hanya menjadi ‘penyanyi jalanan’………….

Catatan:

Nilai RM 1.00 = Rp 3,000 (tertakluk kepada pasaran matawang)
Wang Perak : Wang syiling
Parawisata : Pelancong/Pelancongan
Bobrok : kacau bilau
Macet: Kesesakan
Ojek: Motorsikal penumpang
Wheelie : memandu motorsikal dengan satu tayar ke atas

Nov 21, 2008

Penkid Kah Dia...............?


Musim cuti sekolah datang lagi. Anak bongsu saya di SMK Sains Terengganu (Sester) sudah pun pulang. Dua hari yang lepas saya telah menjemput anak lelaki saya bersama barang-barangnya dari UitM Jengka, kerana cuti semester juga sudah bermula. Saya telah mengharungi jarak sejauh 650 km, sebelas jam perjalanan pergi dan balik. Terpaksa ‘nap’ dua kali baru sampai ke rumah. Terasa letih lah pulak. Bulan hadapan anak-anak saya di Cyberjaya University, di UKM, dan Matrikulasi Negeri Sembilan juga akan pulang kerumah. Sekali lagi mereka akan berkumpul bersama-sama kami. Meriahnya. Ada yang sudah bercadang menjemput rakan-rakan sekampus datang ke rumah. Datang melihat keindahan bumi Terengganu. Tapi boleh tengok ke?. Sekarang musim hujan di Terengganu. Nak tengok Monsoon Cup boleh lah. Kak Cek dan Kandak (kakak saya) sekeluarga di kampung juga sudah telefon nak datang juga bulan hadapan. Bermalam semalam dua dan pergi menyaksikan perkahwinan Mizi, rakan karib anak buah saya Muiz, di Setiu. Sekali lagi meriahnya berkumpul adik beradik. Akan panjanglah malam itu dengan cerita-cerita dari kampung :). Walau apa pun sebelum mereka semua ‘menyerbu’ balik dan datang ke rumah, saya telah bercadang untuk meneruskan perjalanan saya yang tertunda dahulu untuk balik ke Pulau Pinang minggu hadapan.

Itu bukan ceritanya. Ceritanya musim sekolah ini telah mengingatkan saya kepada seorang rakan lama, Zalmi. Saya mengenali Zalmi ketika kami sama-sama masuk ke Tingkatan Satu di SMK Rantau pada tahun 1973. Zalmi seorang ‘budak lelaki’ yang sihat. Badannya agak berisi. Berkulit cerah. Wajahnya iras anak ‘Cina’. Rambutnya sering pendek. Pembersih orangnya. Tuala kecil sentiasa diletakkan di kolar baju. Sentiasa ada ‘bocong’ bekalan air kosong untuk diminum. Selain daripada itu tiada yang istimewanya mengenai Zalmi. Jika ada pun dia dilantik menjadi ‘ketua kelas’. Cuma ada beberapa perkara yang ‘pelik’ mengenai Zalmi. Setiap kali masa PE , guru PE akan mengarahkan dia duduk di tepi padang. Jika kami bermain bola, dia tak akan terlibat walaupun menjadi penjaga gol. Begitu juga sewaktu kelas pertanian. Ketika kami beramai-ramai mencangkul membuat batas, menyiram pokok di tengah panas, Zalmi akan duduk ditempat teduh, sambil memerhati kami membuat kebun. Kawan-kawannya juga agak terbatas. Seingat saya dia lebih suka berkawan dengan budak perempuan. Kalau ada pun kawan lelaki tidak begitu rapat. Pendek cerita, Zalmi adalah ‘rakan sekelas’ yang ganjil. Malah sudah ada cerita Zalmi ada ‘penyakit’. Entahlah.

Musim persekolahan baru, saya sudah berada di Tingkatan Dua. Kami dan rakan-rakan berjumpa sekali lagi, kecuali Zalmi. Dengar khabarnya sudah berpindah ke sekolah lain, SMK Sendayan dan tinggal bersama ibu saudaranya untuk mengubati ‘penyakitnya’ itu. Noktah. Tiada lagi cerita mengenainya. Tak sampai sebulan, kami sudah melupakan Zalmi budak ‘ganjil’ itu. Kami juga tidak lagi tertanya-tanya, kenapa ada yang tak boleh PE, tak boleh buka baju, tak mencangkul, tak bergaul dengan budak lelaki, dan kenapa tak boleh gurau-gurau. Semuanya tiada lagi soalan. Tahun persekolahan akhirnya sampai juga ke penghujung.. Sekali lagi kami bercuti. Hora- Horee lagi. :)

Tahun 1975, kami sudah jadi budak besar, walaupun masih berseluar pendek (masa tu peraturan sekolah bermula Tingkatan Empat sahaja baru dibenarkan memakai seluar panjang). Tahun itu kami berada di Tingkatan Tiga, tahun menghadapi peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Berjumpa kembali kawan-kawan lama dan juga kawan baru. Paling mengejutkan, kami bertemu kembali dengan Zalmi. Zalmi yang sudah berpindah sekolah setahun yang lalu. Betul dan benarlah, setahun perpisahan kami Zalmi telah pulih dari ‘penyakitnya’. Namun Zalmi sekarang bukan lagi ‘budak lelaki’ yang berisi badannya. Berambut pendek. Berseluar pendek dan berkulit cerah. Zalmi benar-benar sudah bertukar, 360 darjah. Zalmi sekarang sudah berambut panjang, sudah memakai ‘gaun’ sekolah biru yang kemas. Pinggangnya kelihatan ramping. Kulit cerahnya semakin gebu. Wajah iras Cinanya itu telah menjadikan ia seorang gadis yang menawan. Ohhhh… Zalmi rupanya kau seorang perempuan………..

Gambar Hiasan Sahaja

Nap - Tidur sebentar

Bocong- Botol/bekas air

Nov 20, 2008

Diserang Pengunjung Lucah

Perkara pertama yang saya lakukan ketika pulang dari Indonesia ialah menjengok blog "Biso Bonar". Terdapat lebih kurang 14 komen. Saya baca satu persatu sehinggalah ke komen no 14. Komen no 14 memang melampau. Ia bukan komen tetapi karangan panjang cerita lucah. Ia membuat saya 'terpana'. Akhirnya saya belajar satu perkara. Jika 'keluar jauh', pastikan 'comment moderate' ditanda 'Always'. Jika tidak bukan sahaja 'blog' itu diceroboh, tapi sempat lagi penceroboh meninggalkan 'najis'. Apalah nasib, baru tiga bulan berblog dah ada 'pengunjung' yang 'kencing' ......................:(

Nov 18, 2008

Ole-Ole Dari Seberang


Sepanjang empat hari berada di Indonesia, saban hari ‘korannya’ menukilkan artikel mengenai Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Rakyat Indonesia begitu 'kagum' dengan Obama. Apatah lagi Barrack Obama pernah menetap di Indonesia dan bapa tirinya Lolo Soetoro adalah warga Indonesia. Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudiyono yang hadir di persidangan G-20 minggu lalu di Washington turut mengharapkan hubungan Indonesia dan Amerika akan lebih intim selepas Barack Obama menduduki White House dengan rasminya.

Ketika membelek-belek akhbar "Seputar Indonesia" yang dibeli dengan harga Rp 3,000 (RM1) saya tertarik dengan sebuah artikel bertajuk “Menang Jangan Sombong, Kalah Jangan Bohong” yang ditulis oleh mahasiswi Universiti Bandung, Lyda Okva Anjelia. Saya salin sepenuhnya artikel tersebut untuk tatapan dan renungan kita…….

[Seminggu lalu warga dunia memusatkan perhatian pada pemilihan presiden Amerika Serikat (AS) yang dimenangkan oleh Barack Obama. Sebahagian masyarakat Indonesia ikut mengelu-ngelukan kemenangan presiden kulit hitam pertama di AS ini.

Ada sebuah pertunjukan moral menakjubkan dari negara yang mungkin kalau kita perbandingkan soal kekayaan adat-istiadatnya dengan Indonesia akan kalah jauh. Kita dapat lihat bagaimana Obama bersikap terhadap McCain saat menang. Rasa ‘jumawa’-hal yang wajar pada semua manusia - itu ada, namun tak sampai pada taraf berlebih-lebihan. Sebaliknya bagaimana McCain bersikap terhadap Obama saat menerima kekalahannya mencontohkan sikap pemimpin sejati yang dengan sportif dan kesatria menerima kekalahan

Saya terkesima ketika menonton pidato kekalahan McCain di video. Begitu bijaksana ketika McCain mengatakan “ A little while ago, I had the honor of calling Senator Barack Obama to congratulate him” yang disusuli dengan gemuruh kekecewaan pendukungnya. Menanggapi teriakan “huuuu” para pendukungnya, dengan segera McCain mengangkat kedua telapak tangannya mengajak mereka untuk berhenti mengeluarkan kekecewaan. Sesaat kemudian bisa kita lihat begitu khidmatnya Mc Cain bisa mempengaruhi warga Amerika untuk ikut bersikap kesatria dengan menerima kekalahan dan mendukung pihak lawan.

Telah banyak kalangan yang menyindir elite politik kita untuk meniru sikap legowo McCain. Senator tua itu dengan bijak mengatakan akan turut membantu Obama mempimpin AS menghadapi tantangan yang akan dihadapi .

Coba bandingkan dengan elite politik di negara kita . Dalam pemilu 2004 lalu, misalnya , mungkin ‘anda’ pun tahu calon yang mengungkapkan bahawa kekalahannya hanya kekurangan suara yang kapan-kapan akan diambil dan direbut kembali pada 2009?. Kata-kata ‘merebut kembali’ mencirikan sikap calon pemimpin yang hauskan kekuasaan, bukan pemimpin yang mementingkan rakyat.

Semoga pada Pemilu 2009 mendatangkan panggung demokrasi Indonesia menjadi lebik baik. Siapa pun yang menang tidak menyombongkan kemenangannya, yang kalah tidak membohongi diri sendiri dengan sibuk mencari bukti kecurangan untuk menggugat kemenangan lawan.]


Saya tidak bercadang untuk memberi komen panjang mengenai artikel ini, cuma ia adalah satu teladan yang wajar direnungi. Seharusnya kita 'berlapang dada' apabila mengalami kekalahan dan tidak terlalu 'berbangga' dan tidak pula memandang rendah kepada 'lawan' yang kalah. Samada pertandingan tersebut dalam pilihanraya umum, merebut jawatan parti, jawatan dalam persatuan atau pun ketika perlawanan sukan.

Dalam kesibukan jadual membeli belah dan terperangkap dalam 'kemacetan' Bandaraya Jakarta kami sempat juga memenuhi jadual melawat Ibupejabat ANTARA di Jakarta Pusat – salah satu ‘kantor’ berita terbesar di Indonesia. Kantor ANTARA telah ditubuhkan pada tahun 1937 sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan lagi. Salah seorang pengasasnya yang turut memainkan peranan dalam menamatkan konfrontasi antara Malaysia-Indonesia ialah Adam Malik. Perjanjian itu telah adakan di Bangkok pada tahun 1966.

Ketika sesi dialog antara kami dan Bapak Saiful Bahari, Ketua Editor ANTARA, ANTARA bukan sahaja membekalkan berita seperti fungsi utama Bernama di Malaysia tetapi juga mendukung ‘kebebasan media’ selepas ‘Order Suharto’ tumbang dan digantikan dengan ‘Order Reformasi’ sejak tahun 1998. Pendiriannya jelas melalui pernyataan sinisnya, “ Jika Bapak Menteri telpon untuk ajak minum kopi bisa, tapi kalau telpon kerna berita, tidak usah”.

Walaupun Ketua Editor ANTARA ini berbangga dengan nikmat ‘kebebasan media’ yang diperolehi ketika ini di Indonesia, tetapi dia dengan jujur menjawab soalan, "Adakah ‘rakyat Indonesia’ sudah benar-benar menerima kebebasan media yang diamalkan di Indonesia sekarang ?". Bapak Saiful Bahari tidak menolak natijah kebebasan berita telah menyebabkan pergeseran kaum Dayak dan Madura lebih sengit. “Memang tidak dinafikan bahawa kebebasan media telah juga menjadi pergeseran antar agama, antar suku kaum, antar bangsa ……… namun ANTARA bertanggungjawab untuk menyiarkan berita, pandangan dan kritikan daripada masyarakat termasuk kritikan kepada pemerintah, ..............selain kita juga bertanggungjawab menjelaskan dasar-dasar pemerintah yang kurang jelas kepada rakyat, …….. saya juga setuju ramai rakyat Indonesia masih mengidam kehidupan yang aman, berperaturan, barang-barang keperluan yang murah seperti di zaman Presiden Suharto”........... “Sehingga sekarang rakyat Indonesia masih mengidamkan seorang pemimpin yang kuat untuk mentadbir Indonesia”

Kerana begitulah keinginan rakyat dan masih mencari-cari Presiden yang lebih 'tangguh' maka lebih ramai nama yang disebut-sebut untuk bertanding jawatan Presiden dalam Pemilu 2009. Salah seorang daripadanya ialah bekas Presiden Indonesia sebelum ini, ‘Gus Dur’. Kebebasan media' yang juga sudah menjadi cara hidup rakyat Indonesia masakini, telah mewujudkan sebuah stesyen TV, bernama 'MetroTV' yang bukan sahaja meletakkan 'tagnya' sebagai "TV Saluran Politik " tetapi juga bebas menyiarkan manifesto calon-calon Presiden yang akan bertanding pada Pemilu 2009 nanti.

Nov 12, 2008

Menuju Ke Seberang


Kata orang tua-tua, 'jauh perjalanan luas pandangan'. Kerana itu saya menerima pelawaan untuk menyertai rombongan ke Bandung dan ke Jakarta. Sebentar lagi saya akan bertolak ketika musim monsun baru bermula di Terengganu. Saya berdoa semoga perjalanan ini akan selamat di permulaan dan selamat juga di akhirnya. Kerana waktu yang semakin mendesak saya tidak dapat terus menulis ........... Selamat bertemu lagi. Kapan ?. Minggu hadapan...... Insya Allah.

Nov 9, 2008

Award, Hadiah dan Hamper

Ketika Anugerah Skrin 2008 sedang disiarkan secara langsung di TV 3 . Blog Biso Bonar telah dianugerahkan ‘Award’ oleh Tirana seorang blogger yang aktif di dunia maya. Anugerah ini saya perolehi dari ‘award’ yang dipanjangkan oleh Tirana daripada seorang blogger lain adik Grape. Bulan Oktober yang lalu seorang lagi blogger saudara Rahisam, telah meletakkan satu ‘tagline’ ‘Jalan-Jalan Cari Ilmu’ kepada blog ini selepas tersiarnya posting “ Pesaka Pengkalan Berangan”. Saya terharu atas anugerah dan juga tagline itu kerana tidak menyangka ‘gaya’ penulisan saya boleh ‘diterima pakai’. Maklumlah saya bukan seorang penulis dan menulis bukanlah kerjaya saya. Ia hanya bermula tanpa sengaja apabila kelima-lima anak-anak kami belajar di IPT dan SBP. Waktu senggang itu telah ‘melahirkan’ hobi baru, ‘menulis blog’. Saya juga terangsang kerana dalam waktu yang singkat telah mendapat galakan daripada rakan-rakan di alam maya ini untuk terus menulis. Saya ibarat ‘budak baru belajar’. Baru tiga bulan ‘bertatih’ dalam dunia blog ini. Samada saya mampu bertahan atau tidak, masa sahaja yang akan menentukannya……...






Pemberian 'Award' ini telah mengingatkan saya kepada dunia persekolahan waktu kecil dahulu. Setiap tahun PIBG akan mengadakan Majlis Persembahan dan Penyampaian Hadiah. Ahli-ahli PIBG begitu akrab sekali. Saya bukan sahaja menyaksikan persembahan rakan-rakan, menyanyi lagu ‘Resam Dunia’, menari ‘tarian piring’ dan melakonkan drama pentas pertikaman ‘Hang Tuah dan Hang Jebat’ tetapi juga persembahan lawak jenaka yang dilakonkan oleh bapa dan guru. Sehingga ke usia saya sekarang dan telah hadir berkali-kali di majlis penyampaian hadiah, belum pernah saya menyaksikan ibubapa atau guru mengadakan persembahan pentas seperti itu dihadapan anak dan pelajar mereka sendiri. Hadiah-hadiah kemudian diberikan kepada murid-murid yang mencapai keputusan akademik yang cemerlang. Ia bertujuan merangsang mereka untuk belajar lebih rajin dan tekun lagi. Jika bukan menerima hadiah kerana pencapaian akademik, sekurang-kurangnya mereka diberi hadiah kerana kehadiran penuh ke sekolah :)

Tiga hari yang lepas saya telah menghadiri Majlis Akhir Tahun anjuran Kelab Guru dan Staf sebuah sekolah di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Majlis ini bertujuan untuk merapatkan silaturahim dikalangan guru-guru yang berjumlah hampir seratus orang itu. Majlisnya rengkas sahaja, di mulai dengan doa, ucapan pengetua, ‘makan-makan’ dan kemudian mengadakan cabutan bertuah. Sebelum majlis berakhir, Pengetua sekolah telah menyampaikan hamper kepada guru dan staf yang memberi sumbangan dan komitmen yang tinggi kepada peningkatan pencapaian akademik dan juga penambahbaikan imej sekolah. Hamper-hamper tersebut tidaklah ‘bernilai tinggi’. Ia hanyalah sebagai simbol penghargaan kepada komitmen dan sumbangan mereka kepada sekolah. Saya percaya ramai diantara kita merasa gembira dan seronok apabila sumbangan yang dilakukan dihargai walaupun ia tidak diringi dengan pemberian award, hadiah dan juga hamper.



IPT : Instiutut Pengajian Tinggi
SBP: Sekolah Berasrama Penuh

Nov 7, 2008

Musim Haji Tiba Lagi


Sudah lebih daripada satu minggu kita meninggalkan bulan Syawal. Sudah lebih satu minggu juga kita berada di bulan Zulkaedah. Bulan yang menyaksikan ramai rakan dan kenalan, saudara-mara pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Makkah. Minggu lepas saya telah menziarahi kakak sepupu di kediamannya di Jalan Bukit Besar, Kuala Terengganu. Ini kali kedua, dia dan suaminya menunaikan fardhu haji. Persediaannya nampak ringkas. Tiada kenduri dan jamuan.

“ Jiran-jiran pun tak tau Kak Long pergi ni’
“ Mungkin esok lusa Kak Long bagi tau lah”
“Ini kali kedua pergi, tak payah heboh-heboh sangat” ‘Gitu ke’ fikir saya.
“Tiga hari lagi Kak Long akan turun ke KL, tidur rumah Lily, lepas tu tidur rumah Nina kat Putrajaya”. “Lepas tu biar Amir aje yang hantar Kak Long ke airport”. “Yang lain tu tak payahlah”. Lily anaknya yang sulong, Nina anak keduanya dan Amir pula adalah anak adik perempuannya yang ‘dibesarkan’ sejak kecil. Ketika entri ini tersiar mereka sudah pun berada di Kota Makkah.

Malam tadi saya telah hadir kenduri ‘tahlil’ sahabat saya Ayob di Darat Pak Chang, Marang. Selepas menangguhkan pemergiannya tahun lalu, akhirnya ‘seru’ itu sampai juga. Inilah kali pertama dia menunaikan fardhu haji. Kali pertama juga dia akan mendirikan solat di hadapan dan mengadap Kaabah. Menyaksikan keindahan Masjidil Haram dengan ‘mata dan kepalanya’ sendiri. Minum air zam-zam sepuas-puasnya. Solat sunat di Hijr Ismail dan Makam Ibrahim. Berdoa dan memohon keampunan di Multazam. Mengucup Hajar Aswad, dan mengerjakan rukun-rukun dan syarat wajib haji serta menziarahi makam Nabi saw di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah. Bertuahlah Ayob kerana menjadi tetamu Allah.

Pemergian ke Makkah sekarang begitu mudah. Hanya menaiki pesawat terbang, selama tujuh atau lapan jam sudah mendarat di Makkah atau di Jeddah. Rombongan menghantar ke Terminal Lapangan Terbang pun sudah semakin kecil bilangannya, hanya sebuah atau dua buah kereta. Itu pun dikalangan adik beradik dan anak beranak sahaja. Mendengar cerita, lima atau enam orang dari satu kampung atau satu taman pergi menunaikan haji ke Makkah juga sesuatu yang lumrah..

Jauh benarlah bezanya ketika Tok Abu dan isterinya Wan Redup ‘naik haji’ pada tahun 1967 dahulu. Pasangan suami isteri ini adalah jiran kami. Ke Makkah waktu itu masih menggunakan kapal laut. Kapal Bunga Raya. Lama sebelum berangkat, mereka sudah bersiap sedia dengan pelbagai kelengkapan. Bukan sahaja membawa kelengkapan haji, pakaian dan ubat-ubatan tetapi termasuk juga bekalan makanan. Ikan kering, lada kering, kerisik,belacan, beras, rempah-ratus,............ dan dapur. Tiada pakej makanan seperti sekarang untuk jamaah haji. Mereka terpaksa menyediakan beg baju dan peti ‘besar’ untuk mengisi barangan tadi termasuk ‘KAIN KAPAN’. Kebiasaanya mereka akan ‘belayar’ sebelum bulan Ramadhan atau ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Sebelum ‘belayar’, Tok Abu dan Wan Redup telah mengadakan kenduri ‘tolak bala’, berdoa kepada Allah, supaya selamat perjalanan pergi dan kembali. Kenduri itu telah dihadiri oleh kenalan, saudara-mara, ipar-duai, adik beradik dan orang kampung. Masing-masing mengambil kesempatan untuk sama-sama bermaaf-maafan, saling halal menghalalkan yang termakan dan terminum serta perbuatan yang ‘lebih kurang’. Tetamu menitipkan wang dan bekalan makanan kepada bakal haji dan hajah ini. Mereka tidak pasti adakah mereka ‘panjang umur’ untuk kembali semula ke kampung. ‘Pelayaran’, mereka bukan tujuh atau lapan jam. Bukan juga seratus dua ratus kilometer, tetapi mengambil masa sebulan lebih dan beribu kilometer jauhnya. Mengharungi lautan luas, Lautan India, Teluk Benggala, singgah di Ceylon (Sri Langka) merentasi Laut Arab, Pelabuhan Aden sebelum berlabuh diperhentian terakhir, Jeddah. Pemergian Tok Abu dan Wan Redup telah dihantar dengan rasa pilu. ‘Orang kampung’ telah menyewa sebuah bas, menghantar ‘suami isteri’ ini ke Port Swettenham (Pelabuhan Klang). Mereka bimbang inilah pertemuan terakhir mereka. Sebelum bertolak azan dilaungkan, sebaik sahaja rombongan bergerak, beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan ke udara. Haji Abu dan Hajah Redup sudah lama meninggal dunia. Namun begitu Haji Abu sempat sekali lagi menunaikan fardhu haji menaiki kapal terbang tanpa perlu membawa ‘dapur’ dan ‘kain kapan’………. :)


.

Nov 5, 2008

Bagaimana Menjadi Kaya


Semalam saya telah memasuki sebuah bank yang popular di Jalan Paya Keladi, Kuala Terengganu. Bank ini bukan sahaja popular tetapi juga telah mencipta sejarah dengan melancarkan iklannya di pesawat terbang Air Asia. Begitulah ‘gah’nya bank ini, mengeluarkan berjuta-juta ringgit zakat perniagaan dan diramal meraih keuntungan RM 1 bilion pada penghujung tahun ini. Bank tersebut juga percaya bahawa krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang tidak menjejaskan operasinya. Malah amat yakin kepada keupayaan pelanggan-pelanggannya untuk membayar balik pinjaman.

Ketika menunggu-nunggu nombor giliran, saya ‘bertegur sapa’ dengan seorang anggota polis berpangkat koperal. Perbualan kami hanya berkisar kepada cerita biasa-biasa sahaja, sehingga lah saya bertanya tentang urusannya ke bank itu.

“Saya dah meminjam hampir 15 tahun”,
“Dari bujang lagi”.
“Nak menyimpan sendiri susah”
“Cara paling mudah, saya pinjam”
“ Tapi saya pinjam bukan untuk joli”
“Saya simpan”
“Ada RM 100,000 dah ke”. Tingkah saya
Matanya memandang ke siling. Macam duit nya ada kat situ pulak.
“Ada lah sikit-sikit”, Tapi senyumannya lebar.
“Saya dah beli rumah dua buah”
“ Sebuah tu saya beli di Gong Badak”
“Sekarang budak-budak UMT yang sewa, RM 500 sebulan’
“Kira macam saya tak payah bayar lah, dia orang yang bayar”.
“Saya dah beli tanah juga tiga ekar di Pahang, kongsi adik beradik”

Kalau bukan kerana nombor gilirannya dipanggil, saya pasti akan berkongsi cerita ‘kejayaannya' itu. Saya percaya Koperal polis tadi tidak belajar secara formal untuk menambah simpanan dan mengumpul asetnya. Saya juga percaya dia tidak pernah mendapatkan nasihat daripada perunding kewangan. Dia hanya belajar dan dinasihati oleh rakan-rakan seniornya secara percuma. Motonya mudah, ‘Meminjam dan Menyimpan’. Sudah tentu dia percaya kepada ‘nasihat’ tersebut kerana melihat rakan seniornya bersara dalam keadaan ‘berwang’ dan ‘berharta’. Jangkaan saya umurnya baru mencecah 40 tahun. Saya juga percaya jika dia terus mengekalkan tabiat menyimpan dan menambah aset sedikit demi sedikit, dia juga akan bersara dalam keadaan ‘berwang’ dan ‘berharta’.

“ Huuui…seronok encik, hujung tahun tengok duit kita bertambah”.
“Walaupun saya meminjam, setakat kawan-kawan ajak belanja Kentucky saya tak lari” :).

Cerita koperal polis ini bukanlah cerita aneh. Malah ia juga bukan cerita baru. Sebahagian daripada cerita tersebut telah ditulis dalam buku pengurusan kewangan, termasuk buku-buku yang berjudul “Bagaimana Menjadi Kaya”. Pengalaman koperal ini telah mengingatkan saya kembali kepada seorang kawan yang kini telah juga bersara dalam keadaan ‘berwang’ dan ‘berharta’.


Haji Ishak telah mula menyimpan sejak awal tahun 1980 an lagi. Ketika itu ASN baru sahaja dilancarkan. Dia nekad menyimpan RM1000 sebulan selama enam tahun berturut-turut. Takdir telah menyebelahinya. Tahun 1990 ASN telah memberi dividen dan bonus yang tinggi kepada pendepositnya. Selepas tabungan ASN nya penuh ia beralih pula kepada tabungan ASB. Hari ini dia bukan sahaja memiliki sebuah rumah ‘bungalow’ tetapi juga sebuah rumah ‘tradisional’. Memiliki berpuluh-puluh ekar tanah, beberapa buah kereta dan turut berbahagia dengan pencapaian akademik anak-anak yang sebilangannya sudah mempunyai profesyen sendiri. Apa yang istimewanya, Haji Ishak bukan ‘orang berniaga’ dan ‘berpangkat besar’. Haji Ishak adalah orang biasa yang telah menjadi luarbiasa. Dia telah berjaya mengubah takdirnya. Dia telah sanggup ‘berakit – rakit dahulu, berenang-renang ketepian’. Sebelum bersara pada tahun 2004 dia sudah mempunyai pendapatan melebihi RM 6,000 sebulan, jauh melebihi pendapatan pegawai-pegawai kanan dipejabatnya. Mungkin dia tidak pandai melabur tetapi dia tahu mengurus kewangannya.

“ Aku sepatutnya dah boleh pakai kereta Merc dah, Li”
“Tapi cukup lah aku pakai Waja ni saja”


Tidak sukar menjadi kaya, ia boleh dipelajari, yang perlu hanya sedikit usaha dan banyak bersabar. Hari ini ramai yang tidak belajar untuk kaya tetapi masih bercita-cita untuk kaya, dan berangan-angan untuk menjadi ‘jutawan'. Kerakusan manusia yang mementingkan kebendaan, status, wang dan penghormatan telah menyebabkan ramai diantara kita yang mencari ‘jalan pintas’. Tidak hairanlah jika beribu-ribu orang telah terjebak dengan pelbagai skim cepat kaya. Mereka tidak mengira latar belakang syarikat yang menjalankan skim tersebut, asalkan mereka boleh mencipta kekayaan dan kesenangan dalam ‘satu malam’. Mereka juga tidak ambil pusing pelbagai nama skim yang muluk-muluk dan pelik-pelik asalkan ia berakhir dengan gelaran ‘jutawan’.

Kegagalan memahami kaedah mengurus wang dan juga bentuk pelaburan, dimanupulasi sebaik-baiknya oleh 'pencipta mimpi' ini. Walaupun sudah banyak syarikat ‘skim cepat kaya' yang digantung operasi dan dihadapkan ke mahkamah. Berpuluh-puluh lagi syarikat yang hampir sama tumbuh semula ‘bagai cendawan selepas hujan’. Manusia selalunya tidak pernah serik. Ada yang sudah terkena pun masih lagi mencuba nasib. Mereka sering berpegang kepada pepatah, ‘Untung Sabut Timbul, Untung Batu Tenggelam’. Apa pun mereka jarang mendapat sabut itu …………..





UMT : Universiti Malaysia Terengganu