Dec 15, 2008

Bila Hujan Di Tengahari........

Kepada yang mengikuti blog ‘Biso Bonar’ ini pasti tidak akan lupa kepada cerita Haji Ishak yang telah bersara dalam keadaan ‘berwang’. Selain daripada Haji Ishak, ramai lagi kawan-kawan saya yang telah meninggalkan ‘kerja kerajaan’ dengan membuka perniagaan sendiri. Ramai yang berjaya dan ramai juga yang tidak. Ada diantaranya sudah bertaraf jutawan tak kurang juga yang kemudiannya bertaraf ‘hutawan’. Begitulah takdir dan rezeki yang ditentukan oleh Allah mengikut usaha mereka.

Namun begitu bukan semua yang bersara jadi senang, berwang dan hidup dalam keadaan tenteram. Masih ramai daripada mereka selepas bersara ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sebahagiannya kerana tiada perancangan, manakala sebahagiannya pula kerana tersilap percaturan disaat akhir sehingga merubah segala-galanya. Pada akhir tahun 1997, seorang kenalan saya bernama Shahdan (bukan nama sebenar) telah bersara dan mendapat imbuhan termasuk sumber-sumber lain seperti simpanan ahli kesatuan, koperasi, insuran yang berjumlah lebih kurang RM 120,000. Bagi seorang kakitangan kerajaan yang berkhidmat selama 33 tahun, wang sebanyak itu memanglah berbaloi. Setiap kali berbual mengenai persiapannya melayari dunia persaraan dia seringkali teruja bercerita.

“Tak ada apalah Li, saya ingat, lepas ni hutang rumah langsailah. Tinggal pun tak banyak, RM 20,000 saja lagi. Tanah dusun pun ada dua ekar, bolehlah saya kerjakan sedikit-sedikit, tanamlah lebih kurang. Pokok durian, pokok kelapa memang dah ada. Pencen pun ada, saya ingat duduk surau sajalah Li, he,he,he…”.

Wajahnya kelihatan cerah membayangkan betapa bahagianya melalui zaman persaraan yang tak sampai lagi enam bulan. Setiap kali bercerita mengenai dunia persaraan, kelihatan Shahdan begitu optimis mengenai ‘masa depannya’.

‘Anak-anak pun tak ada yang sekolah lagi, tinggal kami berdua je. Lain-lain dah bekerja, tahun hadapan anak saya yang sulung, Insya Allah akan kahwin, datang lah nanti”

Pertengahan tahun 1997 saya telah berpindah ke Kuala Lumpur. Hubungan kami hanya setakat di talian telefon. Ada ketika saya menghubunginya dan pada ketika yang lain dia pula yang menghubungi saya. Beberapa bulan kemudian hubungan itu semakin longgar. Masing-masing sibuk dengan tugas dan hal masing-masing. Tentu sahaja Shahdan sibuk menguruskan banyak perkara berhubung persaraannya. Bagai kata perbidalan ‘jauh dimata, jauh jugalah dihati’.

Saya sudah hampir terlupa mengenai persaraannya, sehinggalah saya menerima kad jemputan ‘walimatul urus’ anak sulungnya akhir tahun 1998. Oleh kerana Shahdan adalah kawan lama, dan majlis kahwin ini pula adalah majlis perkahwinan anak sulungnya, saya telah melapangkan masa untuk pergi dan sekali gus menziarahinya. Saya merasa teruja untuk mengetahui perkembangannya selepas bersara. Terbayang di fikiran saya bahawa dia bukan sahaja sibuk di dusunnya yang dua ekar itu, tetapi juga menjadi ‘orang penting’ di surau taman perumahannya.

Disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan saya telah terlewat tiba dan hanya sampai lebih kurang pukul 4.00 petang di rumah pengantin. Ketika itu kehadiran jemputan sudah berkurangan. Rumah pengantin hanya dipenuhi oleh adik-beradik Shahdan dan keluarga ‘isterinya’ sahaja. Masa ‘senggang’ yang panjang dan tetamu pula tidak ramai telah memberi kesempatan untuk berbual-bual dengan dia. Alangkah terperanjatnya saya apabila dia mengatakan sudah bekerja hampir dua bulan di Kuala Lumpur. Timbul kemusyikilan dalam fikiran saya, kenapa dia tidak menghubungi saya. Apakah yang sudah terjadi.

Rupa-rupanya, perancangan dia untuk mengerjakan dusun dan ‘duduk’ di surau tidak menjadi. Selepas dia bersara ramai pula adik beradik, terutama adik-beradik sebelah isterinya yang merancang mengenai ‘masa depannya’. Dia telah diajak menceburi projek ‘menanam sayur’. Janji pulangan lumayan dalam waktu yang singkat telah mengaburi perancangan awalnya. Apa boleh buat, kerana kecetekan pengalaman, tanah yang kurang sesuai, pekerja yang kurang mahir serta modal pusingan pula hanya bergantung kepada duit simpanan Shahdan, projek sayur tadi telah gagal. Shahdan yang melabur hampir kesemua wang persaraannya telah mengalami kerugian. Perancangan ‘masa depannya’ telah berkecai. Hutang rumah masih belum langsai, potongan masih dibuat dari ‘wang pencennya’ Janjinya untuk duduk di surau juga turut ‘berderai’.

Malah saya lebih terperanjat lagi ketika memohon diri untuk ‘pulang’, dia juga kata dia juga akan pulang ke KL petang itu juga. Tiba-tiba sahaja hati saya terbetik. Takkan ketika menyambut menantu baru, kenduri kahwin belum selesai sepenuhnya, dia masih tergesa-gesa untuk ‘balik’. Isterinya yang luarbiasa ‘ramah’nya dahulu tidak pula menghalang, malah nampak lebih bersopan. Saya berdoa semoga apa yang saya fikirkan itu hanya sangkaan jahat saya sahaja. Saya tidak mahu kegagalan persaraannya turut membawa kepada kegagalan ‘mahligainya’.


Nota :
Hutawan : Banyak menanggung hutang

24 comments:

nohas said...

Adat manusia, apabila byk duit, ramai yg menghimpit, bila dah tersepit, saudara-mara hilang entah kemana..

Tersilap percaturan hidup, segala kepahitan terpaksa dimamah & ditelan jua, hidup perlu diteruskan.

"Don't put all eggs in one basket" - investment guru

RY said...

takut dgr citer ni...

Bonekahati said...

Salamz..
Terima kasih pokli sudi berkongsi cerita ni.. Sedikit sebanyak menyedarkan saya supaya lebih berhati-hati dgn duit simpanan.

yer lah bunyi untung besar kita manusia ni memang dah dasar tamak haloba mudah lah terkesan.

Ditambah pula keuntungan boleh dituai dalam masa yg singkat sapa tak nak kan..? duit berjuta pun sanggup labar.

Tapi itulah.., kita manusia ni tuhan bagi akal. Harus berfikir dgn waras. Jgn tamak haloba. Jgn pula menjadi anjing dgn bayang2, mendengar guruh dilangit air tempayan dicurahkan, burung terbang dipipiskan lada.

Harapnya kita semua ambil iktibar dr cerita yg Pokli tuliskan ini.

Anonymous said...

hmm, dah banyak kisah cam ni yer, dan biasanya bukan orang lain yg merosakkan perancangan kita, biasanya adik beradik atau keluarga terdekat jugak yg merosakkan..nasib badan, x dibantu mau putus sedara, dibantu habis harta

en_me said...

harap-harap encek shahdan (bukan nama sebenar) itteww sempat menunaikan haji.. gitteww

akuduniaku said...

salam

terasa macam kehilangan sesuatu lepas baca entry ni...

hurm...


salam

RAHISAM RAMLI said...

Salam Pok Li-gagal merancang, merancang kegagalan (pinjam bait lirik lagu M.Nasir dan siapa sy tak ingat) memang itu juga ada pada diri saya.

Pok Li said...

Orang Bukit
Begitulah nampaknya kita kena beringat dengan cabaran, terutama dari adik beradik

Pok Li said...

Razor
Saya lagi takut. Beberapa tahun lagi saya bersara juga he he he.

Pok Li said...

Kittun
Berdoa lah selalu semoga kita tak terlalu tamak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna

Pok Li said...

etomyam
Betul tu saudara mara punya hal kita juga yang terkena.

Pok Li said...

en me
Setakat ni belum lagilah. Doakan semoga cita-citanya itu termakbul.

Pok Li said...

Aiman

Rasa kehilangan emmm. Duit ke ?.

Pok Li said...

Saudara Rahisam
Saya pun sama juga. Tapi kita belajarlah dari kesilapan orang lain dan dari diri kita sendiri. Kegagalan guru yang terbaik.Caiyo.

Tirana said...

Kasih ibu membawa ke syurga..kasih ayah di masa hayatnya..kasih saudara ketika sama-sama berada..bila kita jatuh miskin, semua lari.. Kisah ni jadi pengajaran.. Dalam dunia sekarang ni...rasa macam dah tak boleh percayakan sesiapa walaupun saudara sendiri.

Unknown said...

Pencen...Perkataan yang paling tidak digemari orang bekerja makan gaji. Orang bekerja sendiri, relaks-relaks sahaja.

Maksudnya, itulah hikmah hadis Rasulullah tentang 1/10 rezeki daripada perniagaan.

Aiman said...

selamat sejahtera


penting untuk kita sentiasa ingat apa impian kita sebelum merubah fikiran kerana orang lain.

semoga kita semua mendapat pengajaran

Pok Li said...

Tirana
Ada ahli keluarga yang sanggup berkorban nyawa. Tapi dah semakin dihakis oleh perasaan mementingkan diri sendiri.

Pok Li said...

Saudara Anuar Manshor

Ada juga kakitangan yang seronok nak bersara. Mungkin ada sebabnya. Ramai juga yang sambung lagi dua tahun sehingga 58 tahun. :)

Pok Li said...

Offamir

Sama-sama ingat. Apa yang penting sendiri mau ingatlah. Caiyo.

FARYN said...

Salah percaturan,yg dirancang menjadi lebur.Harus diambil iktibar cerita kawan pokli ni.

GELIgeli said...

inilah dinamakan dunia..dan hidup..kalau tiada ada masalah..bukan hidup namanya.
resam manusia..tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Sebetulnya kita harus bersyukur dengan apa yang ada walaupun sedikit anugerah dilimpahiNya.

Selalunya, sudah ada biduk, serempu (sejenis sampan) pula yang dicari. Dah ada sirih nak makan sepah pula dan dah ada tangga, teringin pula hendak panjat tiang.
Walaupun apa yang berlaku..hidup perlu ceria..yang kita dukakan..dan carilah penawar..untuk itu..kita perlu rasa geli dan digelikan serta sanggup digelikan.

CIVIC Power said...

Sedih juga cerita Pok-Li ttg kwan Pok-Li tu. Teringat saya pada arwah emak saya yng tidak sempat bersara dalam jawatannya. Setahun sebelum bersara dia pulang ke Rahmatullah. Banyak impian dan angannya dengan wang KWSP yang ada untuknya. Menamam sawit x pun berniaga kecil-kecilan semuanya tinggal cadangan.
Semoga dosa ibu bapa kt diampunkan oleh Allah s.w.t. Amin.

Pok Li said...

Geli-Geli
Memang hebat tuan punya gurindam, terpesona saya.

Civic Power

Mungkin generasinya boleh jadi penyambung hasrat dan impian ibu.