Sep 13, 2013

Roti Canai + Teh O = Gembira

Selepas beratus hari menangguhkan penulisan, saya menulis semula. Ia seperti cerita yo-yo yang tidak berkesudahan. Kemalasan untuk menulis itu berpunca daripada amalan bertangguh. Amat benar sekali kata perumpamaan Melayu iaitu 'kerja bertangguh tidah menjadi, kerja beransur tidak bertahan".

Kenapa bertangguh?. Ia berlaku kerana tiada tindakan dilakukan seiring dengan pemikiran yang sedang berlangsung. Seharusnya pemikiran bersatu dengan tindakan sekali gus. Ini yang disebut oleh Mario Teguh, seorang tokoh motivasi Indonesia yang menyebut, bahawa "kenapa rencana (perancangan) sering kali gagal?, ... kerana pemikiran tidak bersatu dengan tindakan"

Mungkin kita ingin dilihat peramah, tetapi reaksi kita bersama rakan-rakan tergambar seakan sukar didekati. Kita ingin menjadi kaya wang tetapi cara tindakan kita mungkin tidak ke arah itu. Lalu akhirnya cara pemikiran kita tidak sama dengan apa yang dilakukan. Seperti kata seorang sahabat saya, cakap-cakap tidak serupa bikin, bikin-bikin tidak serupa cakap atau yang lebih teruk lagi, cakap-cakap tetapi tidak bikin-bikin. 

Tidak begitu sukar untuk menjadikan kita dilihat peramah dan pemurah. Pagi tadi saya singgah minum pagi di kedai kopi di Ulu Lalang, Ia sehala dengan laluan saya ke pejabat. Kedai kecil ini bersambung dengan halaman rumahnya yang melandai dari bibir tebing jalanraya. Pengunjung setianya agak ramai. Ada roti canai, nasi goreng, mee goreng dan kuih muih. Kedai minum ini tidak jauh dari rumah saya. Rumah itu saya beli empat tahun lalu ketika  saya masih lagi berada di Terengganu. Dalam seminggu saya akan bermalam semalam atau dua malam. Kalau dibiarkan kosong bimbang dihuni oleh makhluk halus atau jin. Hari selebihnya saya akan berulang alik dari Putrajaya.

Saya menikmati sekeping roti canai dan teh o panas. Kerana tempat duduk yang terhad ada beberapa pelanggan yang berkongsi meja dengan saya. Masing-masing nampaknya hanyut dengan fikiran sendiri sambil menikmati hidangan pagi. Saya tidak mengambil masa panjang untuk minum. Selepas usai, saya segera memanggil isteri  tuan kedai. " Kira yang ini, yang abang ini punya dan yang abang tu jugak... ?. Dia mengira dalam keadaan terkial-kial ... "Semua sekali RM7.20 encik.....". 

Saya melihat muka 'abang-abang' yang saya belanja tadi menjadi ceria. Senyum mereka lebih lebar. Tiba-tiba sahaja mereka menyalami saya dan mengucapkan terima kasih. Saya telah membawa 'mood' gembira di pagi Jumaat ini. Sekurang-kurangnya mereka tak perlu membayar harga roti canai yang sudah naik RM0.20 sen sejak pagi semalam di kedai itu dari RM0.80 sen ke RM1.00.  Kalau mahu lihat orang gembira cubalah :). 




Jun 21, 2013

Seluang Jauh Melaut

Cepat sangat tahun ini berlalu. Baru sahaja rasanya melangkah. sudah pun sampai ke minggu 26. Umur pula sudah mencecah 53 tahun. Jika dinisbahkan dengan umur Rasulullah SAW, hanya berbaki 10 tahun sahaja lagi. 10 tahun bukan lama. Pejam celik, maut sudah sampai di halkum. Begitu berharganya masa. Begitu berharganya nyawa.

“Demi masa, sesungguhnya manusia ini dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar” – Surah Al-Asr 103 : 1-3.

10 tahun sebelum di Putrajaya saya berada di Bukit Beruntung, 10 tahun sebelumnya,  saya bertapak di Kuala Pilah. Anak-anak waktu itu masih lagi kecil. Sebahagiannya masih tidur dalam buaian. Beberapa minggu lepas saya telah kembali semula ke Kuala Pilah. Menerima undangan Cikgu Yunus,  jiran lama. Anakandanya Redzuan (Abot) sebaya anak kedua kami telah pun menaiki jinjang pelamin.  

Dua puluh tahun ditinggalkan. Masih ada sisa-sisa nostalgia yang kejap tersemat. Penghuninya yang dahulu muda-muda belaka sudah lanjut usia. Ada yang masih kekal tinggal di kawasan perumahan ini, ada yang sudah berpindah termasuk saya. Rosli, Ghani,  Ustaz Ahmad, Abang Malik dan hampir 10 insan lagi yang telah kembali ke rahmatullah. Mereka adalah peneroka taman yang sama-sama menghuni pada tahun 1990. Sama-sama membentuk Jawatankuasa penduduk dan surau, kumpulan berzanji dan badan khairat. Kami orang muda yang jadi tenaga penggerak waktu itu ………………………

Kini dalam usia tua saya masih lagi berkelana. Saya ibarat ikan seluang jauh melaut. Mungkin dua tiga tahun lagi saya akan kembali ke muara  Menetap di teratak kecil di Pekan Rantau, daerah kelahiran yang  telah membesarkan saya.

Ikan seluang jauh melaut
Sampai muara hanyut tenggelam
Kasih dan luka selalu berparut
Kenangan lama tetap mencongkam

May 15, 2013

Jauh Perjalanan, Luas Pandangan....

Kereta saya yang berusia enam tahun itu sudah merentasi perjalanan melebihi 190 ribu kilometer. Perbandingannya saya telah berada di separuh perjalanan ke bulan jika ada jalan raya dibina ke sana.

Sejak bertugas di Seremban, setiap hari saya meredah perjalanan 150 kilometer sehari. 5000 kilometer sebulan sudah menjadi lumrah.Begitulah kehidupan musafir di zaman moden ini. Keluar di waktu pagi dan pulang ketika azan maghrib dilaungkan. Bila akan berakhir. Saya belum lagi menepuk dada untuk membuat pertanyaan.

Jauh perjalanan, luas pandangan. Lama hidup banyak dirasa adalah perbidalan yang sangat sinonim dengan kehidupan saya sejak 10 tahun terakhir ini. Dari Kuala Lumpur ke Marang, kembali ke Putrajaya dan kini di Seremban.

Dua hari lepas anak buah saya telah ditawarkan kenaikkan pangkat dan diarah bertukar ke Klang. Perjalanan sehala dari Seremban ke Klang melebihi 90 kilometer. Dia merasa tidak mampu untuk berulang, berjauhan daripada suami dan anak-anak juga bukan pilihan.

Saya boleh menyelami kesusahannya, Pada tahun 1998 saya pernah berulang alik dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, 120 kilometer sehala. Akhirnya saya terpaksa menyewa bilik kecil di deretan bangunan kedai di Jalan Bangsar. Sehingga hari ini saya masih takjub, bagaimana saya boleh melakukannya selama tiga tahun berpisah dengan anak isteri dan pulang pada hujung minggu. Ada ketika yang sibuk tidak pulang hingga minggu ketiga.

Bersabar adalah perkataan yang mudah untuk diucapkan, tetapi ketabahan lah yang menentukan samada kita berjaya atau tidak melaluinya. Kepada mereka yang dinaikkan pangkat tetapi melalui ujian dan kegetirannya, bersabarlah. Manakala yang dinaikkan pangkat masih lagi terus selesa di tempat lama atau pun tidak berpisah dengan anak isteri, bersyukurlah.


May 13, 2013

Menaruh Harapan

PRU13 telah berlalu. Tapi raungannya masih lagi kedengaran sehingga hari ini. Memang sukar untuk redha terhadap apa yang terjadi. Saya bukan orang politik. Sesekali  saya menyampuk juga dalam FB. Sekadar memberi pandangan. Itu pun ada yang 'melangsang' tak puas hati dengan usikan-usikan nakal saya. Mungkin kerana taksub yang berlebihan atau pun mereka memang tegar dengan parti yang mereka sokong.
 
Latar belakang keluarga saya pun bukan daripada keluarga tegar berpolitik. Kaum kerabat saya lebih ramai golongan agamawan. Bapa saya dulu dipanggil 'Lebai', tetapi gelaran itu hilang apabila abah pulang dari tanah suci Makkah dengan panggilan 'Ngah Haji' pada tahun 1977.  Ia kekal sehingga bapa saya meninggal pada tahun 2003.
 
Selepas negara semakin aman, ramai di kalangan keluarga terdekat dan sepupu sepapat yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama. Ketika itu sekolah Agama adalah pilihan terakhir selepas sekolah Inggeris atau sekolah Melayu. Ramai daripada mereka yang mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti di Mesir, Jordan dan universiti dalam negara.  Sebahagiannya kembali dan bertugas sebagai 'kadi', ada yang bekerja sebagai guru, pensyarah atau membuka kelas tahfiz. Ada yang meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat Phd dalam bidang pengajian masing-masing.
 
Beberapa orang bapa saudara dan juga sepupu saya juga bertugas sebagai Imam di masjid dan surau terutama di sekitar bandar Seremban ini. Kehidupan mereka juga lebih selesa dengan kemudahan kediaman yang disediakan. Apabila kenduri kendara ramai yang datang membantu, sebahagian besar adalah anak-anak murid mereka daripada kelas-kelas pengajian yang dibuka dan ahli kariah. Oleh kerana bantuan yang diberikan berupa tenaga dan wang ringgit, maka selalunya kenduri yang dilangsungkan hanya menanggung kos yang minima. 
 
"Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya." ( Al-Israa' 17:21 )
 
Begitulah perubahan zaman, dahulu ramai ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak mereka  ke sekolah Inggeris tapi kini ramai pula yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama dan tahfiz Al-Quran. Penubuhan sekolah agama sains pada tahun 2001 telah membuahkan hasil. Dua tahun lepas solat tarawih di surau kediaman kami berimamkan seorang doktor perubatan yang baru balik dari Mesir.
 
Kini MRSM sejak tahun 2010 telah mengadakan program Ulul Albab. Pelajar-pelajarnya dibimbing untuk menghafal 30 juzuk Al Quran sebaik sahaja tamat di tingkatan lima. Saya percaya dalam tempoh sepuluh tahun lagi golongan profesional seperti doktor, jurutera, akauntan, ahli farmasi, ahli fizik, ahli kimia dan ramai lagi akan lebih memahami ilmu Islam. Mereka adalah generasi pelapis kepada kelahiran golongan mahir Al-Quran, Saintifik dan Ijtihad. Satu generasi baru yang diyakini mampu mencontohi kehebatan tamadun Islam di Andalusia.
 
Nota:
 
Melangsang - menyerang secara tiba-tiba
 

Feb 7, 2013

Saya Tak Percaya Awak Lagi.....

Sejak kebelakangan ini saya sering mengundur-undur waktu untuk pulang. Sehingga sering kali solat Maghrib berjamaah di Masjid Negeri. Masjid ini menjadi kemegahan Bandar Seremban. Ia telah dibina pada tahun 1966, bersebelahan Taman Tasik.

Bumbungnya dipengaruhi rekabentuk rumah Minangkabau. Terdapat sembilan ruang dan anjung dibina melambangkan sejarah asal nama Negeri Sembilan. Usia masjid ini juga sudah melepasi empat dekad. Dinding berhampiran mimbar diukir dengan khat ayat-ayat suci Al-Quran. Masjid ini dilengkapi dengan pejabat dan perpustakaan di tingkat bawah. Ruang solatnya di tingkat atas selari dengan bibir bukit di sebelah belakang. Kipas angin sudah diganti dengan penghawa dingin. Kesejukannya menikam tulang hitam. Apatah lagi jika musim hujan. ‘Mengelatuk’ den...

Usai solat sunat dan doa saya memandu perlahan menyusur keluar perkarangan masjid ke bandar Seremban. Bandar Seremban yang lengang di waktu malam. Sebaik sahaja melintasi bangunan Mahkamah Tinggi Syariah  Negeri Sembilan, sesusuk tubuh keluar dari pinggir jalan. Melambai-lambai dan menahan kereta saya.  Saya menurunkan cermin tingkap. Seorang wanita berusia 40an, berkulit kuning langsat, tidak tinggi sangat lebih kurang 160 sm. Berpakaian kemas, berbaju kurung dengan bertudung labuh. ‘Awning’ tudungnya penuh dengan labuci dan manik. Dikesamaran itu saya masih mengecam dia seorang wanita berketurunan Cina.
“Salam encik”
“Alaikummussalam “
“Boleh tolong ka?”
Pertuturan Melayunya tidak begitu fasih. Tapi masih boleh difahami.
“Saya mau balik Pot Likson,  …….. Pot Likson..”
“Port Dickson”, celah saya, Ya, ya… Pot Likson, sambil menghulur sekeping kad akuan mualaf dan Kad Pengenalan. Tertera namanya Siti Chin Abdullah.
“Apa boleh tolong”. Wah!, saya juga sudah pelat Cina.
Ceritanya dia terlewat sampai ke Pejabat Baitul Mal. Akhirnya terlepas menerima bantuan kewangan. Tersadai di Bandar Seremban kerana tiada tambang pulang. Bla Bla Bla…… . Mukanya kelihatan cemas, air matanya hampir menitik.
“Mintak maaf, …. malu mau mintak tolong”
“ Tak pa, tak pa, apa boleh tolong”
Selepas berbasa-basi, beberapa keping not berwarna merah bertukar tangan. Malam itu saya telah melakukan apa yang termampu sebagai seorang insan.  Kemudian menghantarnya sehingga ke perhentian teksi.
“Telima kasih, telima kasih… suaranya berbaur serak.

Babak 2

Selang sehari selepas itu, saya singgah lagi solat di Masjid Negeri. Usai solat dan berdoa, saya memandu keluar dari perkarangan masjid menghala pulang ke Putrajaya. Waktu yang hampir sama, jalan yang sama, seorang wanita ….. ya juga sama  … Siti Chin melambai-lambai dari tepi jalan.
Saya memberhentikan kereta dan menurunkan cermin tingkap.
“Kenapa ?”
“Oh encik ka?”
“ Encik boleh tolong lagi ka?”. Saya terdiam.
“Tak apa, kalau encik tak boleh tolong”,  katanya sambil mengundur kembali ke seberang jalan.
“ Oh, Siti….. bukan saya tak boleh tolong , ….. saya tak percaya awak lagi”.
Manusia boleh jual agama, manusia juga boleh jual maruah kerana sedikit kesenangan dunia. Mudahan-mudahan dia mendapat petunjuk sebagaimana Allah memberi dia petunjuk memeluk agama yang suci ini. Satu sahaja yang saya amat percaya kepada Siti Chin,  dia memang handal berlakon…...