Jun 21, 2013

Seluang Jauh Melaut

Cepat sangat tahun ini berlalu. Baru sahaja rasanya melangkah. sudah pun sampai ke minggu 26. Umur pula sudah mencecah 53 tahun. Jika dinisbahkan dengan umur Rasulullah SAW, hanya berbaki 10 tahun sahaja lagi. 10 tahun bukan lama. Pejam celik, maut sudah sampai di halkum. Begitu berharganya masa. Begitu berharganya nyawa.

“Demi masa, sesungguhnya manusia ini dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar” – Surah Al-Asr 103 : 1-3.

10 tahun sebelum di Putrajaya saya berada di Bukit Beruntung, 10 tahun sebelumnya,  saya bertapak di Kuala Pilah. Anak-anak waktu itu masih lagi kecil. Sebahagiannya masih tidur dalam buaian. Beberapa minggu lepas saya telah kembali semula ke Kuala Pilah. Menerima undangan Cikgu Yunus,  jiran lama. Anakandanya Redzuan (Abot) sebaya anak kedua kami telah pun menaiki jinjang pelamin.  

Dua puluh tahun ditinggalkan. Masih ada sisa-sisa nostalgia yang kejap tersemat. Penghuninya yang dahulu muda-muda belaka sudah lanjut usia. Ada yang masih kekal tinggal di kawasan perumahan ini, ada yang sudah berpindah termasuk saya. Rosli, Ghani,  Ustaz Ahmad, Abang Malik dan hampir 10 insan lagi yang telah kembali ke rahmatullah. Mereka adalah peneroka taman yang sama-sama menghuni pada tahun 1990. Sama-sama membentuk Jawatankuasa penduduk dan surau, kumpulan berzanji dan badan khairat. Kami orang muda yang jadi tenaga penggerak waktu itu ………………………

Kini dalam usia tua saya masih lagi berkelana. Saya ibarat ikan seluang jauh melaut. Mungkin dua tiga tahun lagi saya akan kembali ke muara  Menetap di teratak kecil di Pekan Rantau, daerah kelahiran yang  telah membesarkan saya.

Ikan seluang jauh melaut
Sampai muara hanyut tenggelam
Kasih dan luka selalu berparut
Kenangan lama tetap mencongkam

6 comments:

Don Balon said...

Salam pokli,
sey yang tabik orang minangkabau, rawo, pahang dan perak sebab pantunnyalah, nak cuba buat seiras pun tak jadi :)

Mak Su said...

perantau yang ingin pulang ke kampung :)

nohas said...

Dua tiga tahun tak lama lagi..jgn sampai enam, tujuh tahun..

Pok Li said...

Don Balon
Tak apa pelan-pelan. Saya lebih kagum dengan pantun orang Sarawak. Ha ha hak.

Pok Li said...

Mak Su
Sudah pulang cuma belum menetap.

Pok Li said...

Nohas
Inshaa Allah. Semoga saya tidak berubah fikiran. :0

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails