Dec 31, 2010

Mood Aku Terganggu (2)

Jam 8.30 malam tadi aku kembali dari kampung. Menziarahi kakak-kakak yang sudah berusia. Petang itu berlalu begitu sahaja dengan pelbagai cerita.



Singgah sebentar di R&R Seremban. Merentas lorong pejalan kaki berbumbung ke deretan kedai makan. Melalui tiga orang budak remaja dalam usia 12 hingga 14 tahun. Dua lelaki dan seorang budak perempuan.



"Pak Cik dermalah untuk anak yatim. Sesekali dermalah pakcik".



Mengutip derma untuk anak yatim itu bagus. Tapi siapa di belakang mereka ini. Kenapa dibiarkan anak-anak ini meminta derma dalam usia muda dan sudah malam pulak tu.


Pernah saya jumpa seorang gadis sunti mungkin berusia 15 tahun yang melilau di stesyen minyak. Waktu dah hampir maghrib tetapi dia masih lagi menjual kalender. Saya tanya mana 'ustaz'nya. Dia kata akan datang.


Petang itu saya jadi geram. "Bila ustaz awak nak datang. Kan ni dah waktu hampir maghrib. Awak pula perempuan.. Bla. Bla. Bla...... .


Bimbang saya memikirkan hal sebegini yang diambil mudah. Teringat saya kepada iklan 'budak perempuan hilang' berusia 14 tahun di setiap laluan tol 'Lekas' petang tadi. Apa akan jadi kepada budak tersebut kalau ada yang mengambil kesempatan.
Nota:
Lekas : Lebuhraya Kajang - Seremban

Mood Aku Terganggu

Pagi tadi selepas balik dari UKM, Bangi singgah sekejap di medan selera berhampiran rumah. Menemankan isteri yang tiba-tiba sahaja berselera untuk makan selepas pagi tidak bersarapan kecuali minum air milo segelas.

Saya menumpang sekaki dengan makan lempeng pisang yang masih panas berbalut daun pisang. Baunya wangi. Mengasyikkan. Minum pula dengan teh o Lycee sambil membaca suratkhabar yang masih penuh dengan cerita Malaysia Juara Bola.

Tapi mood saya terganggu bila juru jual datang. Jual 'perfume'. Datang lagi jual alat hiasan. Saya fikir tak ada tempat lain ke nak jual. Itu belum lagi datang yang hulur tisu atau buku dan minta kita beli.

Bukan tak boleh tapi saya fikir tak kena. Tempat makan, jual makanan sahaja lah.

Dec 30, 2010

Mudah-mudahan Allah Terima

Ketika ke Alor Gajah hari Isnin lalu. Sahabat lama saya Haji D telah pun mengemaskan barang-barang serta dokumen peribadinya untuk dibawa pulang ke terataknya di Segamat. Saya ucapkan selamat bersara. Seingat saya dia sudah bekerja melebihi 30 tahun. Jangan pula minggu pertama bersara dia masih lagi teringin untuk datang ke pejabat. Lalui lah hidup baru itu dengan setenang-tenangnya.
Maklum sahaja sekarang ini kerja di jabatan kerajaan sudah semakin tinggi cabarannya. Apatah lagi dalam zaman 'Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan' diperkukuhkan lagi dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sekarang. Kakitangan kerajaan digesa terus bekerja dalam budaya kreatif dan inovatif, cekap dan kompeten dan pelbagai lagi 'perkataan' yang 'muluk-muluk' bunyinya untuk menunjukkan perkhidmatan kerajaan sekarang perlu mencapai kelas dunia.


Seronok ke bersara ?. " Seminggu aje". Itu kata seorang guru kenalan saya.


"Bosannya duduk di rumah, nak pergi ke sekolah, kawan-kawan mengajar pulak" " Tak tau nak buat apa, last sekali pergi ke laut memancing".


Mungkin lain orang lain pula ragamnya. Ada yang seronok sangat bila bersara. " Bebas, dulu tersekat nak pergi dengar ceramah, nak belajar agama, nak campur orang".
Ada juga yang menghabiskan masa melancong mengikut pakej atau melancong secara persendirian di dalam negara dan ke luar negara. Bahagianya kannnn.


Tetapi saya kagum dengan sikap seorang kenalan, tiga bulan sebelum bersara, kesemua gajinya yang diambil disedekahkan kepada rumah anak yatim, surau dan masjid.


Mengapa pulak Pak Mat?. " Sahaja nak tebus masa lalu. Masa muda dulu banyak juga curi tulang, datang lewat, balik awal. Ada masa buat kerja tak berapa ikhlas. Dah tua-tua ni, dah nak bersara pulak, kena tebus semula lah. Mudah-mudahan Allah terima".


Saya juga sedang melalui lorong itu dan semakin hampir. Saya tidak tahu seronok atau tidak. Saya berdoa kepada Allah, semoga umur saya dipanjangkan untuk melaluinya.

Dec 27, 2010

Cucur Udang, Murtabak Hindustan

Pagi hari lagi saya sudah memandu ke Alor Gajah. Menghantar Along yang masih gigih menyambung pengajiannya di Uitm Melaka, Lendu. Untuk beberapa tahun lagi saya dan isteri akan berulang alik ke Melaka. Ia seakan menjadi amalan rutin. Dahulu ketika kami menetap di Terengganu, dalam setahun beberapa kali kami akan turun ke Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah dan Matrikulasi Johor di Tangkak selain daripada Uitm Pahang di Jengka. Tahun-tahun berikutnya kami turun pula ke Jengka, UKM di Bangi, CUCMS di Cyberjaya hanya menjenguk anak-anak yang menuntut ilmu. Itulah masanya kami berdua ambil kesempatan untuk 'makan angin' dan 'bercuti'.

Kini saya sudah kembali dan menetap di Putrajaya. Rutin itu sudah berkurangan, kerana anak-anak yang belajar tinggal berdekatan, kecuali Afif di Uitm Puncak Alam.

Apa pun tahun 2011 kami akan kembali 'mengembara'. Meneroka sebahagian daerah di Melaka. Membeli kuih dodol atau pun belacannya.Cuma bila menelefon seorang kawan di Alor Gajah, dia pulak sedang sibuk menguruskan persaraannya pada 1 Januari 2011. Saya ucapkan selamat bersara. Tiadalah lagi kawan lama untuk bersama menikmati cucur udang yang enak di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah yang tersohor itu. Dia akan kembali ke Segamat.
Apa pun saya berpesan, kalau saya turun ke Segamat, pelawalah untuk menikmati 'Murtabak Hindustan' yang juga amat enak di Medan Selera, Jalan Sultan, Segamat itu.

Kepada rakan-rakan blogger. Salam Hijrah dan Selamat Tahun Baru, semoga murah rezeki dan bertambah keberkatan umur.


Nota:
CUCMS - CyberJaya University College of Medical Sciences

Dec 19, 2010

Aku Mula Mengerti

Minggu lepas saya telah mencipta rekod untuk diri sendiri. Berjalan kaki selama lapan jam merentasi Hutan Simpan Kenaboi. Bermula jam 9.00 pagi melalui denai sarang pacat. Mengharungi sungai yang berbatu-batu dan air sehingga ke paras peha. Berjalan kaki hampir satu jam baru sampai ke 'permatang busut' hutan simpan itu. Menggalas beg berisi bekalan makanan menjadikan perjalanan itu lebih sukar. Menuruni bukit curam terpaksa dilakukan secara berhati-hati. Silap tempat berpijak boleh jatuh ke dalam jurang. Kemudian mendaki semula dengan tebing bukit yang lebih curam dan licin. Hujan yang turun menambah 'perisa' yang sedia ada.
Petang itu jam 5.00, kami sampai juga ke tapak khemah di pinggir Hutan Lipur Lata Kijang itu dengan keadaan lesu. Walaupun keletihan terpaksa juga memasak dalam keadaan hujan yang semakin lebat. Bukan mudah menghidupkan api. Terpaksa meracik halus buluh kering sebagai 'pemula api'. Nasib baik ada ahli kumpulan kami seramai 10 orang itu yang pakar menghidupkan api walaupun buluh dan kayu masih basah. Khemah terpaksa dirungkai semula bagi mengelakkan tempias hujan lebat. Petang itu cukuplah mee maggi sebagai pelapik perut. Malam itu kami tidur dalam kesejukkan menggigit tulang.
Pengalaman itu amat berharga sekali. Bukan kerana berjaya memecah rekod berjalan kaki. Bukan. Tetapi kerana mula memahami cara hidup Orang Asli. Ada lima Orang Asli yang menemani kumpulan kami sepanjang perjalanan itu. Itulah kehidupan mereka sehari-hari. Kami memahami makna 'kawasan rayau' mereka. Cara-cara membuat 'jerat belatik', 'ranjau' dan 'Tali'. Membina pondok 'pisang sesikat' dan 'pondok bermalam' daripada daun bertam, rotan semut dan rotan tikus. Membuat tanda amaran jika ada perangkap yang di pasang supaya tidak ada penduduk kampung yang terjebak. Begitu juga tentang pantang larang memasuki hutan dan membuat jerat. Mengenali beberapa jenis pokok seperti 'Tongkat Ali' , 'Kacip Fatimah' dan juga 'daun gulung' yang dibuat pembalut rokok.
Sewaktu memandu pulang ke rumah, terbayang kehidupan sukar mereka dalam hutan, mencari bekalan makanan melalui hasil buruan dan jualan hasil hutan. Perjalanan panjang di hutan itu mereka masih 'ikat perut', walaupun dibekalkan roti sandwich berinti telur rebus. Sedangkan kami seakan 'berkelah' mengadap nasi berlauk kari ayam dan ikan kering ketika makan tengahari di tepi Sungai Kenaboi yang dingin itu. Terlintas di fikiran saya, kejayaan saya berjalan kaki selama lapan jam itu tidak bermakna sama sekali buat mereka. Mereka bukan mementingkan rekod, yang penting ialah kelangsungan hidup.
Nota:
Permatang Busut - Puncak bukit terendah sebelum menuju puncak bukit atau gunung
Kawasan Rayau - Kawasan Orang Asli mencari hasil hutan, tempat berburu dan juga mendapatkan buah-buahan.

Nov 24, 2010

Manja


'Ának' ini telah diberi nama 'Manja' kerana asyik menggesel siapa sahaja yang berada berdekatan. Telah diberi rehat dan rawat. Ngiauannya sudah hilang. Saya fikir dalam sebulan lagi ia akan menjadi seekor kucing yang cantik. 'Calit' seekor lagi kucing kami kini sudah ada teman. Selama ini ia sunyi 'keseekoran'.

Cuma dua hari ini ia agak 'celungap' dan 'kelahap'. Maklum sahaja tanpa cukup makan manusia pun saya fikir akan bertukar jadi macam tu. Berebut-berebut makanan dan sanggup mati kerananya.

Walaupun di negara ini kes kurang makanan tidak ketara. Malah ramai yang gemuk dan terlebih makan setiap hari.

Masa saya kecil dahulu makanan tidaklah semewah sekarang. Untuk makan lauk ayam kena tunggu orang kampung buat kenduri doa selamat, kenduri tahlil atau hari raya. Dalam mangkuk lauk ayam itu pun ada dua ketul sahaja. Setiap 'jamba' ada lima orang. Ayam yang dua ketul tadi kena berkongsi. Kalau ada orang tua, kena hormat untuk mereka ambil dulu seperti kata pantun yang popular masa tu.

Mandi mo budak-budak
Air koroh di hulu
'Sejamba' mo budak-budak
Orang tuo dulu

Tapi kalau nasi dah penuh atas ayam tu siapa nak ambil he he he.

Nota:
Celungap - Rajin menyelongkar dan mencuri makanan
Jamba - hidangan dalam dulang yang mengandungi empat atau lima jenis lauk
mo - bersama
koroh - keruh

Nov 23, 2010

Ajaibnya Kepantasan.

Entri saya pada bulan ini lebih banyak berkisar mengenai kedai makan. Dari Rembau sehingga ke Gelang Patah. Hampir semuanya sama. Lembap dan lambat. Kecuali kebanyakkan kedai mamak yang begitu pantas sekali layanannya. Belum sempat berfikir nak makan apa, pelayannya sudah ada di tepi meja dengan sebatang pensil dan sehelai kertas.

Ahad lepas ketika pulang dari Kuala Lumpur ke Putrajaya kami menyimpang ke Bandar Baru Bangi menjamu selera. Berjalan kaki dalam bangunan Mid Valley hampir dua jam telah berjaya melelah dan melaparkan kami. Singgah di sebuah restoran yang agak tersorok. 500 meter dari jalan besar. Memasuki kawasan restoran ini sahaja sudah membuka selera kami. Kawasan 'parkir'nya luas boleh memuatkan antara 50 buah ke 80 buah kereta. Pelanggannya ramai. Lanskapnya juga menarik. Ada air terjun lagi dengan sekumpulan ikan kap dalam kolam yang sederhana besar.

Seingat saya inilah restoran Melayu yang begitu pantas melayan pelanggan. Dalam tempoh kurang 10 minit, semua hidangan yang dipesan telah sampai. Saya percaya kenapa faktor ini telah membantu restoran ini mendapat pelanggan dari jauh dan dekat. Pendekatan perkhidmatannya hampir menyamai kedai mamak. Pekerja yang ramai, tukang masak juga ramai, ada screen besar. Mungkin yang belum ada ialah wifi.

Ramai yang bersetuju kalau saya katakan kepantasan itu satu ukuran pencapaian dan kejayaan. Semua kerja harus pantas. Jalanraya sudah digantikan dengan lebuhraya. Walaupun kita ada pos laju tetapi kita lebih memilih e-mail atau sms sebagai jalan pintas. Sudah juga tercipta rekod di Cina, bangunan hotel lima belas tingkat di siapkan dalam masa dua hari (video).

Kerana itu agaknya, apabila ada yang dihantar latihan 'survival' ke kampung pendalaman. Ada yang 'stress' dan 'sasau''. Maklum sahaja kehidupan pantas telah bertukar menjadi perlahan. Kehidupan kembali kepada cara lama. Masak air dan makanan terpaksa menggunakan kayu api. Mandi kena pergi ke sungai. Malamnya terkial-kial memasang api pelita dan kelambu. Perhubungan terputus, tiada lagi sms dan talian internet.

Saya tetap suka sekali sekala hidup 'lambat' seperti itu. Kerana saya pernah melaluinya. Tetapi bukan untuk selama-lamanya :)

Nov 21, 2010

Bukan Nama Sebenar

Boleh kata sudah beribu kali saya masuk kedai makan sejak kecil sehingga sudah tua ni. Macam-macam rasa. Ada yang saya datang dan datang lagi. Tak kurang yang saya taubat tidak akan masuk semula.

Isnin lepas saya ke Gelang Patah. Sebuah pekan kecil yang sudah bertukar menjadi bandar satelit. Kini sudah ada hotel empat bintang. Jaraknya lebih kurang 30 minit daripada Bandaraya JB.

Malam itu sebelum tidur kami berempat pusing-pusing di pekan kecil ini. Singgah di sebuah restoran di Taman Nusa Perintis. Restoren menjual masakan panas. Kelihatan ramai pelanggan yang duduk. Petua orang tua-tua, kalau ramai pelanggan maknanya makanannya sedap. Saya order mee goreng mamak dan segelas teh o.

Agak malang bagi kami yang baru tiba di Gelang Patah ini, ia bukan sahaja lambat tetapi apa yang kami pesan sudah jadi lain. Mee goreng mamak dah jadi mee goreng basah. Nasi Goreng kampung dah jadi Nasi Goreng Cina, Sup Ayam bertukar jadi Tomyam Ayam. Mungkin kalau restoren ini diberi nama semula, saya cadangkan namanya 'Restoren Bukan Nama Sebenar'.

Nov 20, 2010

Boleh Ke?

Kawan-kawan sering bertanya, 'Kenapa dah tak selalu menulis'.

Saya tak boleh menjawab dengan tepat. Kerana idea yang banyak itu tidak lagi selari dengan masa lapang . Ketika idea berpusu-pusu datang, masa itulah kesibukan kerja datang bertimbun-timbun. Ketika datang waktu senggang, keinginan untuk menulis itu sudah kendur pula, sekendur-kendurnya sehingga ke tahap nol.

Melihat kepada Blogroll yang berputar di Blog Biso Bonar, semakin ramai blogger yang sudah menyepikan diri dalam tempoh yang lama. Ada sebulan, ada tiga bulan, setahun pun ada. Pendek kata saya masih dikira aktif lagi lah, walaupun masa tenggelam lebih lama daripada masa timbul :).

Tertarik juga saya dengan azam blogger Bunga Cahaya untuk menulis satu entry setiap hari sehingga 31 Disember 2010. Azamnya bermula di hujung tahun dan mungkin akan bersambung dengan azam baru di tahun 2011.

Bukan sahaja saya kurang menulis, membaca blog rakan-rakan juga sudah semakin kurang. Hanya beberapa blog yang terpilih sahaja yang tetap dikunjungi. Almaklum sahaja tempat kerja saya sekarang sedang dalam proses penyusunan dan pengukuhan semula. Lebih kurang sebulan sahaja lagi. Tahun hadapan ia akan bertukar nama. visi yang baru, misi yang baru. Perbincangan demi perbincangan sedang berlangsung Dari satu kertas kerja ke satu kertas kerja. Dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat. Terasa benar hari-hari terasa berlalu dengan pantas sekali.

Teringin juga saya untuk buat 'pengukuhan' semula kepada blog Biso Bonar. Supaya ia 'remaja' kembali. Aktif dan produktif. Mungkin serupa seperti azam Bunga Cahaya - 1 Hari 1 Entri. Boleh ke?. :)

Nov 14, 2010

Roti Canai, Rebusan dan Teh O

Sabtu lepas saya ke Daerah Rembau menghadiri satu program bersama pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USIM) di Kg Ulu Cembong.

Petangnya 'putar-putar' di Pekan Rembau yang kecil itu. Singgah solat maghrib di Masjid Jamek Annur Rembau yang indah. Malam itu ada pasar malam yang meriah. Macam-macam ada. Saya tak berminat nak bersesak-sesak dalam pasar malam ketika hujan renyai-renyai pulak. Buat cemar kaki aje :).

Oleh kerana perut pun sudah terasa lapar saya singgah sahaja di sebuah kedai mamak berhampiran Medan Selera Pekan Rembau. Memesan roti canai kosong dan segelas air suam. Roti yang saya pesan dah lama sampai. Tapi air suam tidak sampai-sampai jugak. Senja itu saya hanya bayar roti canai sahaja.

Kata saya pada mamak kedai itu, "Awak punya roti sedap, tapi tak bagus ......air suam awak lambat siap dari kopi dan teh". Dia tidak minta maaf pun.

Saya tinggalkan kedai itu dengan rasa sebal. Malam itu kesebalan saya reda bila menikmati 'rebusan' dan teh o panas yang enak di Kg Ulu Cembong bersama penduduk kampung dan mahasiswa-mahasiswi USIM. Hujan masih lagi renyai.


Nota:

Rebusan : Masakan sup tulang.

Nov 6, 2010

Jagung Rebus, Jagung Manis

Petang semalam sewaktu balik dari Gua Musang saya singgah di Cameron Highland beli jagung RM10.00 tujuh tongkol. Saya beli lagi jagung yang sudah siap direbus empat tongkol, Rm3.00 setongkol, kongsi makan dengan rakan-rakan dalam kereta. Manis dan lazat, tapi mahal lah pulak.

Minggu sebelum itu saya tidur di Cameron Highland. Petangnya saya berjalan-jalan di pasar malam yang sentiasa ramai orang. Beli jagung rebus di gerai sepasang anak muda. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Mungkin adik beradik. Tapi iras mereka tak sama. Mungkin juga rakan kongsi niaga. Harga secawan baru RM2.50. Sedap dan berpatutan. Malam esoknya saya cari lagi gerai 'jagung mutiara' itu. Gerai itu tidak dibuka pula. :(

Hari ini saya rebus jagung yang saya beli. Walaupun rasanya tak sesedap jagung rebus dan jagung manis dicampur 'mentega' dan 'mayonnaise' itu. Tapi habis juga tiga tongkol saya kerjakan. :)

Oct 11, 2010

"Saya tak boleh berhenti"

Beberapa minggu lalu saya ke Kuantan. Menghadiri perkahwinan anak rakan di Indera Mahkota. Perjalanan pagi itu tenang aje. Memandu dengan kelajuan 100 kmj. Memandu sederhana laju lebih banyak faedahnya. Penat dah........asyik kena saman ekor aje.

Tiga jam setengah baru sampai di Kuantan dari Putrajaya. Selepas makan, saya bersembang dengan 'abang' di sebelah saya. Nak balik awal pun, letih lagi. Dia mengeluarkan sebatang rokok.

"Minta maaf saya nak merokok"
"Tak apa", kata saya. "Dulu saya pun merokok juga tapi dah berhenti"
"Oh ya ke". Saya tak boleh berhenti". "Dulu saya dah berhenti... lama juga 10 tahun, tapi saya jadi semput, nak melangkah pun tak berdaya. Akhirnya doktor suruh saya merokok balik." Sekarang saya dah tak ada hal, setakat nak meracun kebun, empat tong pam racun tu boleh saja".

Umurnya sudah 65 tahun, tinggal di Rancangan Felda di Kota Tinggi. Mungkin dia hanya seorang daripada 1 juta yang bernasib baik kerana rokok boleh 'menyembuhkannya' semula. Apa pun saya bersyukur kerana tanpanya saya lebih sihat.

Sep 15, 2010

Mamak Juga

Saya tidak bercuti panjang. Pagi Isnin sudah bekerja. Jalan agak lengang. Dari Putrajaya ke pejabat di Jalan Ampang ambil masa 35 minit. Rekod peribadi kot. Selalu jangan mimpilah. Paling awal pun satu jam.

Hari Selasa saya saya sudah ada di Angkasapuri, masuk radio lagi. Kali ini saya yang kena temu bual. Ha ha ha. Habis temu bual, hari sudah hampir tengahari. Saya ke kantin Angkasapuri. Masih tutup. Saya ke Bukit Aman, gerai di tempat parking itu pun tutup. Pergi pula meninjau di JAWI, tutup juga, ke Tupai-Tupai sebelah Bangunan Wisma Putra yang lama tutup juga. Semuanya tutup. Lama betul mereka ini cuti. Mungkin Ramadhan yang lalu mereka dah dapat untung besar kot.

Akhirnya, makan di NZ Jalan Ampang itu jugak. Restoren Mamak juga yang tak tutup. He he he.

Sep 13, 2010

Sms Raya

Beberapa bulan lalu saya telah kehilangan telefon. Banyak nombor telefon rakan-rakan yang tidak diselamatkan. Hilang begitu sahaja. Terkilannya sehingga sekarang.

Alhamdulillah, kedatangan bulan Syawal ini membawa rahmat. Ramai rakan taulan dan saudara mara yang hantar sms mengucapkan Selamat Hari Raya. Banyak nombor yang hilang saya dapat kembali. Termasuk kenalan lama yang sudah putus hubungan hampir lima tahun lalu. Mana dia dapat nombor saya wallahuallam. Saya dah janji dengannya untuk datang ke Kuala Pilah cuti Hari Malaysia ini selepas ziarah ke Melaka.

Terima kasih sms.




Sep 1, 2010

Destinasi Berbuka

Ramadhan tahun ini destinasi berbuka puasa saya di luar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Bermula di Gombak, kemudian Segamat, Johor, Manjong dan Lata Kinjang di Perak. Kerana perut kurang selesa saya tidak jadi berbuka di Melaka pada minggu lepas.

Tiada apa yang istimewanya, berbuka jauh-jauh begitu. Jika tidak bermalam, selepas sembahyang tarawih terus sahaja membelah malam balik ke rumah. Pukul satu atau dua pagi baru sampai. Boleh sahaja terus bersahur.

Minggu ini saya ada dua pilihan ke Lumut atau ke Kelantan. Saya tidak akan membuat pilihan. Saya tetap akan ke Lumut. Menjemput pulang 'Angah' yang sudah tamat kerja kursusnya di Hospital Manjung. Sekali lagi saya akan berbuka di Restoren Muroh di Teluk Batik yang enak hidangannya itewww. Besok harinya mungkin boleh membeli sotong kering di Lumut dan ketika menghala pulang boleh juga singgah membeli kerepek pisang dan ubi di Tanjung Karang. :)

Nota: Angah - Anak kedua saya (P)

Aug 13, 2010

Komtar dan Putu Mayam

Kembali ke Pulau Pinang kali ini memberi kesempatan untuk saya singgah di pejabat lama. KOMTAR, Tingkat 38. Hampir puluhan tahun saya tidak masuk ke pejabat ini. Sejak saya berpindah mulai tahun 1988 hanya sekali dua sahaja menjejaki kaki di sini.


Warna cat lif yang berbeza-beza untuk naik ke tingkat tertentu masih kekal macam dulu. Warna hijau muda untuk lif ke tingkat 26 sehingga 41. Untuk naik ketingkat lain perlu guna lif biru atau kuning. Semuanya ada 65 tingkat. Dari tingkat tiga ke tingkat 38 hanya mengambil masa 35 saat. Masih laju, dan ketika sampai ke tingkat 30 akan terasa seakan letupan kecil di telinga kerana tekanan udara yang berbeza.


Hanya tinggal dua orang sahaja 'orang lama'. Susun atur pejabat itu juga sudah bertukar. Sudah lebih banyak bilik. Tidak mudah lagi untuk melihat pandangan dari atas. Dulu saya sering melihat panorama Pulau Pinang dari pantri ketika minum pada waktu rehat. Melihat feri yang berulang alik dari Pangkalan Tun Uda ke Pengkalan Sultan Abd Halim di Butterworth. Melihat bas keluar masuk di Jalan Prangin, pusat perhentian Yellow Bus (kini tapak itu sudah jadi bangunan tambahan KOMTAR.


Berbasa-basi lebih kurang bersama Pengarah dan rakan lama. Cerita lama, cerita baru, cerita keluarga sehinggalah kepada cerita politik Pulau Pinang yang sentiasa panas dan menarik. Lebih kurang 40 minit saya turun dari KOMTAR. Jangan lama sangat, saya tak suka buang masa bekerja kawan-kawan.


Saya memecut dari Jalan Penang ke Bazar Ramadhan di Jalan Makloom. sebelah Kg Dodol, mencari kuih-muih. Petang itu saya beli putu mayam yang jarang di temui di Putrajaya.

Aug 12, 2010

Itulah Takdirnya

Orang-orang tua pernah berkata ajal maut, jodoh pertemuan, tanah perkuburan hanya ditentukan oleh Allah. Kita merancang, Allah merancang. Sesungguhnya perancanganNya lebih baik.

Pada entri yang lalu saya telah bercadang untuk berbuka puasa di hari pertama Ramadhan bersama Along, Angah dan isteri apabila kembali dari Kuantan. Tapi segala-galanya tidak terjadi apabila biras saya yang menetap di Pulau Pinang meninggal dunia jam 3.10 petang itu.

Sesudah Subuh di puasa hari pertama saya dan isteri bertolak ke Pulau Pinang. Tak ada cerita, masing-masing melayan fikiran sendiri.

Ketika sampai semuanya sudah usai. Jenazah sudah dikebumikan. Kami hanya pulang menziarahi kakak yang telah kehilangan seorang suami.

Petang itu saya bukan berbuka puasa bersama keluarga tetapi berbuka bersama ipar-duai yang tak pernah berlaku sejak 26 tahun perkahwinan kami. Itulah takdirnya

Aug 10, 2010

18 jam Sebelum Ramadhan

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Semoga kita dapat mengerjakan ibadah ini dengan tekun dan istiqamah. Berbuka dengan sederhana, berbelanja dengan berhemah dan bijaksana. Potongan ayat itu ditulis juga di facebook PokLi yang ditujukan kepada muslimin dan muslimat. Mudahan-mudahan rakan taulan dan saudara-mara membacanya. Begitu juga saya memohon maaf kepada rakan bloggers sekiranya terdapat kekhilafan secara sengaja atau tidak sengaja, mudahan-mudahan amal ibadah di bulan Ramadhan ini lebih kyusuk daripada dahulu.


Saya menulis entri ini selepas singgah makan-makan di Tanjung Lumpur, Kuantan. Makan ketam dan sotong yang enak rasanya dengan secangkir teh o kosong. Tanjung Lumpur dahulunya perkampungan nelayan yang sunyi. 30 tahun dahulu saya menyeberang sungai ini dengan perahu penambang, tambangnya hanya RM0.30 sen. Tapi kini ia sudah jauh maju. Mungkin ia maju kerana terbinanya sebatang jambatan.


Sehari lagi di Kuantan. Besok ada pertemuan penting di Wisma Sri Pahang. Mungkin tiada masa untuk melihat-lihat Bandar Kuantan yang semakin meriah. Meninjau-ninjau apa ada di Pekan Melayu atau bersantai di Teluk Cempedak. Khemah-khemah Bazaar Ramadhan sudah didirikan di atas padang pinggir Jalan Mahkota. Teringin rasanya menikmati suasana membeli hidangan berbuka puasa di sini. Tapi apakan daya. Besok petang saya harus kembali ke Putrajaya. Menyambut kedatangan Ramadhan bersama-sama keluarga. Insya Allah.

Aug 7, 2010

Tasik Temengor

Pertama kali saya melalui lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur ialah pada tahun 1984. Ketika itu menemani seorang kawan yang diarah bertukar dari Pulau Pinang ke Bachok, Kelantan. Jalannya masih sunyi. Sebahagian jalannya tidak baik, dan berlopak-lopak. Kami lalui juga beberapa kawasan tanah runtuh. Perjalanan pula terpaksa dilakukan sebelum hari gelap. Kereta yang kami naiki merangkak, lebih sembilan jam perjalanan baru sampai ke Kota Bharu.

Ancaman komunis ketika itu masih belum reda. Pos-pos tentera didirikan di puncak bukit yang strategik. Pos-pos ini masih dapat dilihat dari jalan yang berliku-liku dan jambatan panjang melalui Tasik Temengor, 'tasik buatan' terbesar yang indah dan mengasyikan. Nasib baik juga kami tidak bertembung dengan kawanan gajah yang sering melintasi laluan ini.

Selepas pengalaman pertama itu saya melaluinya lagi berkali-kali samada ke Kelantan atau ke Terengganu. Apabila menetap di Terengganu lebuhraya ini seakan 'wajib' dilalui bila 'pulang' ke Pulau Pinang. Berkali-kali juga saya singgah menikmati masakan panas di Pulau Banding di tepi Tasik Temengor itu.

Minggu lepas saya berpeluang sekali lagi menjejak kaki di lebuhraya ini. Kali ini bukan menikmati makanan panas di tepi Tasik Temengor tetapi menerokanya. Tasik seluas 15,000 hektar itu turut menjadi jalan penghubung ke RPS Kemar penempatan Orang Asli suku kaum Temiar.

Menaiki bot dari Pengkalan Trojen Temenggor ke RPS Kemar mengambil masa 45 minit. Sepanjang perjalanan saya terpesona dengan pemandangan menarik, pokok-pokok mati , cabang cabang sungai yang berlatarkan bukit-bukau dan gunung-ganang yang membiru. Masih terdapat beberapa kelompok barisan pokok getah yang selamat dari ditenggelami air di tepi tebing. Ia adalah saki baki kebun getah Kampung Temengor, Kampung Padang Cermin dan Kampung Ayer Kandar yang telah tenggelam di dasar tasik. Nama-nama kampung yang sedikit demi semakin menghilang seperti kayu mati dalam tasik yang mereput.

Pagi itu kami disambut dengan tarian 'sewang' dan 'tepok' dari rotan yang bersulam cantik oleh penduduk RPS Kemar. Budaya Orang Asli yang meraikan tetamu ini masih mudah ditemui di penempatan Orang Asli yang jauh dari Pekan Grik ini.

Kami berada di kampung ini sehingga petang, menikmati buah manggis, buah rambutan dan buah durian sehingga puas. Saya mengetahui satu perkara. Orang Asli di sini tak makan durian yang jatuh, jika mahu menikmatinya mereka memetiknya terus dari pokok.



Nota:

RPS Kemar adalah penempatan Orang Asli di Daerah Grik yang terawal dan terbesar di Semenanjung. Mengandungi 15 buah kampung dan 13 orang Batin dengan jumlah penduduk seramai 3,000+ orang. Mempunyai kemudahan asas yang mencukupi termasuk sekolah rendah, balairaya, bekalan air graviti dan elektrik menggunakan generator. Boleh dihubungi melalui jalan air dari Pengkalan Trojen, Temengor atau Pengkalan Pulau Banding. Melalui jalan darat pula merentasi hutan tebal ke Pekan Lasah di Sungai Siput yang mengambil masa lima hingga enam jam perjalanan.
RPS = Rancangan Penempatan Semula

Sewang= Tarian kerohanian untuk tujuan perubatan yang kini dipersembahkan untuk menyambut tetamu

Tepok: lilitan kepala yang dibuat daripada anyaman daun kelapa atau rotan.

Jul 12, 2010

Ramalan

Demam bola sepak sudah selesai. Sepanyol telah menang. Tahniah pada Don Balon penyokong kuat pasukan Spain itu. Pasukan Jerman yang saya harapkan sampai ke perlawanan akhir terkandas jua kepada pasukan yang sedang tersohor sekarang, Sepanyol.

Sekali lagi dunia terpana dengan kebolehan Paul- Sotong. Apa pun jangan terlalu terpengaruh dengan cerita ramal meramal ini kerana kita sebagai umat Islam tentu ada batasnya.

Saya tidak menonton perlawanan akhir itu. Lebih seronok tidur daripada berjaga. Belum pernah sekali pun saya 'bangun malam' untuk menonton perlawanan bola sepak. Boleh jadi saya sanggup berjaga, jika Malaysia yang berada di perlawanan akhir itu. Tapi bila ... ?. Boleh ke Sotong itu meramal :)

Jul 10, 2010

Jubli Emas


Saya tidak menyambutnya. Saya bertugas luar, di Kuala Pilah. Mungkin makan tengahari dengan hidangan istimewa daripada Dato' Hasan di Restoren Warisan, Terachi itu bolehlah saya anggap sebagai jamuan Hari Lahir. He he he.

Jika saya ini sebagai instiutusi tertentu, sudah tentu kedatangan ulangtahun ini akan disambut dengan meriah. Selalunya sambutan Ulangtahun ke 50 itu telah dirancang setahun lebih awal. Jika mampu mereka akan menjemput PM untuk merasmikan majlis ulangtahun tersebut. Lebih gah lagi kalau SPB Yang Di Pertuan Agong merasmikannya. Sepanjang tahun itu akan diadakan pelbagai lagi majlis. Begitulah sukarianya mereka merayakan sesuatu pada angka 50 itu. Angka yang dianggap sama mutunya dengan emas. Emas yang melambangkan kejayaan, kekayaan dan kematangan.

Cuma saya terfikir bahawa saya telah meninggalkan angka 40an itu selama-lamanya. Setapak demi setapak, jengkal demi sejengkal saya akan sampai juga ke angka 60 tahun. Insya Allah. Adakalanya saya teruja juga dengan gelaran warga emas itu tetapi dalam masa yang sama turut gentar bahawa garisan penamat itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.

Jul 4, 2010

Combat

Ketika kecil dahulu saya cukup meminati filem Combat yang dibintangi oleh Vic Morrow yang memegang watak Sarjan Saunders. Sebuah program tv yang mengisahkan Peperangan Dunia ke 2. Kisah peperangan antara tentera Amerika Syarikat dengan tentera Jerman. Setiap kali episod ini berakhir, kemenangan akan dimiliki oleh tentera Amerika Syarikat. Tentera Jerman digambarkan sebagai pasukan yang sering kalah, taktik dan strategi peperangan mereka dangkal dan tidak setanding dengan kehebatan kumpulan elit pimpinan Sarjan Saunder atau pun Lt. Hanley.

Inilah gambaran-gambaran 'kemenangan' Amerika Syarikat yang selalu dicanai dengan pengolahan yang baik oleh industri filem negara mereka. Masyarakat dunia terus diresapi dengan kehebatan Amerika Syarikat melalui filem-filem perang mereka. Mereka telah mencipta 'kemenangan-kemenangan' yang tidak pernah wujud di Vietnam dalam siri 'Ramboo' yang mereka sebarkan ke seluruh dunia. Begitu hebat pengaruh media mereka bukan sahaja berjaya mengubah cara dan gaya hidup kita melalui pakaian, cara makan, cara berhibur tetapi juga cara kita berfikir. Kita bukan setakat menjilat jari tetapi juga telah 'menjilat' apa sahaja yang disodorkan oleh media mereka. Sehinggakan rancangan realiti tv Malaysia juga berlambak meniru rancangan tv Amerika Syarikat seperti Malaysia Idol yang disadur daripada program American Idol.

Walaupun Jerman digambarkan sebagai 'tentera bodoh' dalam filem Combat, mungkin juga kerana dendam dan propaganda Yahudi yang masih pedih dengan pembunuhan jutaan bangsa mereka ketika zaman Nazi dibawah pimpinan Adolf Hitler. Jerman akhirnya bangkit sebagai sebuah negara yang menguasai ilmu dan teknologi, ilmu kemanusiaan, sains dan sosial. Tidak terkecuali menempa nama dalam bidang olahraga dan sukan.

Ketika perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 sedang berlangsung sekarang, Jerman masih lagi unggul sehingga sekarang. Pasukan bola sepak Amerika Syarikat sudah lama angkat kaki. Tiba-tiba sahaja saya menjadi penyokong pasukan Jerman. Pasukan yang telah 'membelasah' pasukan Argentina 4-0. Hasrat Diego Maradona untuk lari berbogel tidak tercapai. Sebelum itu Jerman juga telah 'melanyak' England dengan 4-1. Jerman akan bertemu Sepanyol pula selepas ini. Pengamatan saya dari perlawanan bola yang melibatkan pasukan Jerman, sekali lagi saya yakin Jerman akan beraksi di perlawanan akhir. Saya tetap akan menanti perlawanan tersebut. Sekali lagi, tiba-tiba sahaja saya ghairah pula untuk menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia ketika acara ini sudah berada di penghujungnya. Adakah Jerman akan berjaya dalam combatnya.

Jul 3, 2010

Kehilangan

Hujung bulan Mei yang lalu seorang kenalan menghantar mesej dalam facebook saya. "H/phone hilang - mohon no baru".

Nampaknya nasib malang rakan tadi telah berjangkit kepada saya. Kehilangan telefon bimbit. Kebiasaannya saya meletakkan di pinggang. Hari tu saya letak di atas tempat duduk pemandu. Boleh jadi ketika keluar kereta ia terseret, jatuh dan ditemui oleh 'makhluk asing'.

Telefon bimbit itu tidaklah mahal. RM400+ pada tahun 2006. Itu pun selepas telefon 'doraemon' saya hilang dalam keadaan yang hampir sama. Bezanya saya letak telefon itu di atas bumbung kereta sebelum membuang pasir dari 'car mat'. Lepas itu terus sahaja memandu. Selepas memandu berkilometer jauhnya baru tersedar saya telah 'kehilangan' sesuatu.

Walaupun saya sudah membeli telefon bimbit yang baru dan lebih canggih. Tetap tidak selesa. Bukan sahaja terpaksa belajar ragamnya tetapi saya telah 'kehilangan' banyak nombor penting. Kenapalah yang terjumpa tu tak nak pulangkan balik. Saya bukan lagi mahu telepon itu tapi 'khazanah' yang ada dalamnya. Ada maklumat dan tarikh-tarikh penting yang saya tak simpan dalam mana-mana buku.

Pesan saya, kalau jumpa telepon, tak kira murah atau mahal, baru atau lama, hubungilah pemiliknya. Mana tahu ada 'sesuatu' yang tersimpan yang lebih mahal dari harga telefon itu.

Jun 29, 2010

Wang Mudah

Beberapa minggu lalu saya mengisi petrol di sebuah stesyen minyak Lebuhraya Plus Seremban Kuala Lumpur.
"Bang, minta tolong bang".
Seorang anak muda, umur lebih kurang 25 tahun bergegas dengan motorsikalnya di belakang kereta saya.
"Ya, nak tolong apa".
"Tolong bagi RM5.00 bang, wallet saya hilang, saya nak balik Cheras, nak isi minyak duit tak ada..bla...bla....bla...

"Tunggu sekejap saya habis isi minyak ya".
"Ok bang. Terima kasih bang".

Saya mengeluarkan dompet duit. Tak ada duit kecil. Hanya not RM1.00 itu pun ada RM3.00.
"Cukuplah kot, Cheras pun tak jauh.....
" Tak apa le bang, terima kasih bang"

Sebaik sahaja saya memasuki kereta. Budak muda itu terus sahaja meluncur laju keluar dari stesyen minyak. Saya terfikir, benarkah motorsikalnya tak ada minyak atau taktik untuk dapat duit secara mudah. Boleh jadi saya berprasangka.

May 25, 2010

Kekayaan Yang Hilang

Dua atau tiga hari yang lalu saya telah dikunjungi oleh seorang pemandu pelancong wanita. Jangkaan saya umurnya dalam 40an. Masih belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa German.

"Saya tak berani lagi nak berbual dalam bahasa tu, mungkin sedikit masa lagi"

Dia percaya bahawa semakin banyak 'nilai tambah' yang dia ada semakin tinggi dan laris perkhidmatannya. Dia bercerita mengenai pengalamannya sebagai seorang pemandu pelancong. Saya hanya melongo. Banyak perkara yang saya kurang arif mengenai kerjayanya. Pelancong Barat katanya lebih berminat melihat alam semula jadi dan perkampungan tipikal Melayu.

"Kita sudah mula kehilangan kampung Melayu yang macam itu, rumah Melayu lama yang masih baik terjaga juga sudah semakin berkurangan. Semua orang sudah beralih untuh hidup maju. Tiada lagi hendak menggali dan mandi di perigi. Menanam padi menggunakan kerbau. Semua sudah berubah. Akhirnya tiada lagi yang akan kekal begitu"

Saya percaya bahawa apa yang dijangkakan oleh pemandu pelancong itu benar belaka. Permainan-permainan kanak-kanak se zaman saya juga sudah jarang dimainkan. Adakah lagi permainan galah panjang di kampung, permainan polis sentri, bola randas, gasing keling, melastik, laili tamplong, enjit-enjit semut, batu simbang, laga spedo, sorok-sorok, pondok-pondok, lawan biji getah, getah targen, ketenteng......................... terlalu banyak kalau hendak disebut. Adakah lagi ?.

Bukan sahaja permainan, resam budaya juga telah hilang satu persatu. Saya masih sempat menyaksikan pengantin yang bertutup mukanya waktu diarak di atas pengandar yang diperbuat daripada buluh sebelum majlis persandingan. Bersanding waktu siang dan malam. Berdikir (bukan dikir barat) hingga satu dua pagi. Lagu-lagu dikir ketika memukul rebana, sekarang sudah digantikan dengan pukulan kompang dengan lagu-lagu moden. Begitu juga adat istiadat mendirikan rumah dengan menegakkan tiang seri, lengkap dengan jampi serapahnya. Adat berlenggang perut bagi wanita 'bunting' sulong. Adat mencecah tanah bagi anak yang ibunya sudah habis masa berpantang.

Saya juga turut percaya kebolehan dan kepandaian orang tua dahulu sudah tiada lagi kepada generasi baru. Emak saya seorang pencari urat kayu yang tersohor di kampungnya. Setiap kali perempuan lepas bersalin akan membeli perkakasan mandi dan minum air akar kayu daripada emak. Sepanjang masa cerek di dapur kayu rumah kami ada air urat kayu. Akar kayu begitu mudah ditemui dalam hutan kecil di belakang rumah. Waktu itu harga seikat urat kayu hanyalah antara RM0.50 sen sehingga RM1.00 (tahun 1960-1970an). Kerana itulah agaknya tiada siapa yang ingin belajar. Hasil pulangannya tidak tinggi. Kini harganya sudah meningkat berkali-kali ganda. Mereka yang berpengetahuan mengenai herba boleh menjadikan mereka kaya-raya. Saya terpaksa mengakui saya hanya memiliki kekayaan yang hilang.

May 23, 2010

Mari Belajar

Semalam saya membeli tombol pintu.

"Macam mana nak pasang"

Pembantu kedai itu menerangkan langkah-langkah memasang tombol pintu itu satu-persatu.

"Bukak ini dulu". 'Ini besi dua-dua kena tarik dulu, kemudian masuk dalam lubang di tengah-tengah". Bla Bla Bla.

Bahasa Melayunya agak pelat, tapi bukan orang Indonesia, mungkin warga Myanmar. Saya telah belajar sesuatu yang baru. Cara-cara memasang tombol pintu. Percuma.

Ia berlaku pada hari Jumaat lepas. Paginya saya ke Pos Betau di Kuala Lipis. Dari Pekan Lipis jalannya tidak rata dan berliku-liku. Melalui tiga empat simpang menghala ke Sg Koyan. Jika tidak biasa mungkin boleh sesat. Mujurlah waktu kembali ke Kuala Lumpur terus melencung ke Pekan Raub yang lebih pendek jaraknya.

Hampir jam 10.00 malam baru sampai di rumah. Isteri saya masih lagi menonton tv. Biasanya dia sudah lama memasuki kamar tidur.

"Pintu bilik tak boleh dibuka. Dah rosak". "Budak-budak dah cuba, tapi tak boleh jugak"

Wah, takkan nak tidur di ruang tamu pulak. Semua pakaian dan alatan mandi semua di dalam bilik. Malam itu dalam keletihan saya bertukang. Hanya menggunakan tukul besi dan pemutar sekeru, tombol pintu yang rosak itu pecah saya kerjakan. Jam 11.00 malam baru kerja-kerja itu selesai. Puas hati. Merosakkan tak perlu belajar. Kepandaian semulajadi. Ha ha ha.

May 20, 2010

Tips Penjagaan Anak

"Encik boleh bagi petua ke macam mana nak jaga anak". Saya terkedu. Ának buah' saya baru berusia 31 tahun. Bapa muda. Mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Yang kecil baru berusia dua tahun.

"Apa masalahnya".
"Anak saya terlalu manja". "Kalau kena marah dia akan telefon datuknya di kampung". Wah hebat ini. Anak sulung lelaki, baru berusia lima tahun tapi sudah memiliki 'talian hayat'.

Anak saya sudah besar belaka. Hampir terlupa bagaimana saya 'menjaga' mereka semasa kecil. Lagi pun datuknya tidak pernah campur tangan. Saya tidak berani hendak beri pandangan. Kerana setiap keluarga ada cara tersendiri dan sesuai untuk keluarga mereka. Cuma saya katakan "Asasnya didiklah anak-anak mengikut landasan agama". Sebagaimana Saidina Ali r.a yang menitipkan tips penjagaan anak dalam ungkapan yang masyhur. "Ajaklah anak kamu bermain pada tujuh tahun pertama, displinkan anak kamu pada tujuh tahun kedua dan bersahabatlah pada anak usia tujuh tahun ketiga"

Saya telah melalui ketiga-tiga zaman tersebut. Anak saya yang sulung sudah berusia 23 tahun. Dia sering menjadi 'sahabat' saya jika tidak bersama isteri. Berbual-bual panjang sambil minum-minum kopi di Alamanda atau Presint 9. Mendengar cerita-cerita dari laman web yang dia baca. Bertukar-tukar fikiran serta cuba melihat dunia kini dari perspektif orang muda. Anak kelima pula sudah melepasi 18 tahun. Meriahnya setiap kali berkumpul kerana masing-masing ada cerita yang berbeza-beza.

Masa kecil dahulu Along sering mandi bersama-sama. Ketika tadika, setiap pagi saya terpaksa mendukungnya dari bilik tidur sehingga ke bilik air. Setiap tahun anak-anak yang terpaksa didukung bertambah. Ha ha ha.

Jika ada peluang saya sering bercerita. Cerita dongeng. Nama mereka akan menjadi watak-watak utama dalam cerita-cerita kembara saya. Ada yang menjadi gergasi. Ada yang menjadi raja, ada yang menjadi puteri. Saya adalah Tukang Karutnya.

Itu adalah secebis kenangan manis masa silam yang tidak akan kembali lagi. Kami hanya kekal muda dan mereka tetap comel dalam foto-foto yang kami 'tangkap'. Petang itu saya berpesan pada 'bapa muda' itu "Jangan marahkan anak, bermainlah dan berilah mereka nasihat'". Ïnsya Allah, dia tak akan telepon datuknya lagi".

May 18, 2010

Selamat, Selamat, Selamat


Tiga hari lepas kita baru sahaja menyambut Hari Guru. Saya hanya sempat mengucapkannya di Facebook. Mengingati semula guru-guru yang masih hidup dan yang sudah kembali ke alam baqa. Saban tahun saya kehilangan guru-guru yang pernah mengajar saya samada di sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Guru-guru mengaji Al-Quran dan agama. Juga kepada mereka yang saya anggap guru walaupun bukan seorang 'cikgu'.

Beberapa tahun lepas saya berjumpa Cikgu Bakar. Cikgu yang mengajar mata pelajaran lukisan ketika saya di Tingkatan Lima. Walau pun tidak mengambil mata pelajaran itu tetapi saya tetap berada dalam kelasnya. Jenakanya sering membuatkan kami rasa gembira. Setiap kali melukis gambar kereta dia tetap melukis gambar kereta Volkswagen . "Ini lah kereta yang paling senang dilukis" dakwanya. Semua pelajar akan ketawa kerana tahu itu adalah jenama kereta miliknya. Selepas dia menukar kereta dia tidak lagi melukis kereta Volkswagen.

Pertemuan itu hanya sebentar. Usianya sudah 77 tahun. Bersamanya seorang cucu lelaki yang comel berusia lebih kurang 5 tahun. Ketika saya menyalaminya, dia memegang erat dan lama tangan saya.

"Maaf, cikgu tak ingat kamu". Katanya sedikit kesal. "Tak apa cikgu". Kata saya pendek. Masih segar dalam ingatan kata-katanya dahulu, "Saya selalu mengingati tiga murid, seorang yang nakal, seorang yang cerdik dan seorang lagi pemain bola sepak sekolah". Memang patut pun dia tidak mengingati saya, saya 'budak pendiam' di sekolah, tidak juga cerdik dan cemerlang, juga bukan pelajar pintar bola yang sering mengikuti latihan di bawah bimbingannya.

Selepas berbasa-basi, kami berpisah lagi. Saya lihat matanya berkaca. Mungkin rasa gembira menemui murid yang sudah tua. Atau rasa tersentuh kerana masih ada anak murid yang sudi menegurnya lagi. Mungkin juga ada perkara lain yang dia sedang fikir. Entahlah.

Apa pun Afif anak bongsu saya tidak berjaya dalam permohonannya untuk menjadi guru. Surat rayuannya juga tidak membuahkan hasil. Buat masa sekarang dunia guru yang diidamkannya tidak menjadi kenyataan. Apa pun 23 Mei ini dia menuju takdirnya untuk belajar di Uitm dalam bidang kejuruteraan kimia. Dia menolak untuk ke Matrikulasi Pahang, di Gambang. Begitulah kehidupan ini kerap kali kita tidak menguasai apa yang kita kehendaki secara mutlak.

Cuma saya hanya mengambil kesempatan di bulan Mei ini untuk membuat ucapan Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Guru, Selamat Hari Jururawat, Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Belia, Selamat Hari Lahir, Selamat Raja Sehari. Tidak lupa juga cuba mengulangi semula kata-kata DJ terkenal Radio Pulau Mutiara tahun 90an dulu, Yaafar Sahab, dengan jeritannya di pagi-pagi hari dengan ungkapan ....Selamat, Selamat, Selamat, Selamaaaaaaaaaat.

Apr 29, 2010

Angin Baru

Selepas bertukar saya tak mempunyai banyak masa untuk menulis. Pagi-pagi lagi sudah turun tanah, hampir maghrib baru sampai kembali ke rumah. Begitulah kehidupan di bandaraya yang padat ini. Kesilapan menghitung masa menyebabkan kita 'terpanggang' dalam kesesakan yang tak kunjung sudah.

Mungkin kehidupan di daerah seperti Marang yang telah saya tinggalkan lebih santai. Turun dari rumah jam 7.30 pagi, 743 pagi sudah terpacak ditempat kerja. Selalunya kita tidak selesa dengan cara dan corak penghidupan baru. Zon selesa yang dilalui selama bertahun-tahun telah menimbulkan rasa enggan kita untuk 'meneroka' semula. Kerana itu ramai yang memilih untuk tidak lagi berpindah randah. Apatah lagi kalau usia sudah semakin senja. Tidak lagi suka menempuh persekitaran baru. Tidak suka lagi mencuba pekerjaan baru. Semuanya tidak lagi.... . Kalau ya pun, mungkin mencuba makanan baru sahaja. He he hek.

Cuma saya tersedar ada perubahan gaya hidup yang berlaku secara 'paksaan' tanpa kita rasai. Selepas bertahun-tahun berkahwin, saya masih merindui untuk makan taugeh kasar. Selepas bertahun-tahun berkahwin saya tetap merindui untuk makan kacang panjang. Kerana sejak berumah tangga saya telah 'berkorban' menuruti selera isteri yang lebih suka makan taugeh halus dan menghidangkan kacang buncis kegemarannya. Hanya beberapa minggu yang lalu 'mimpi' apa isteri saya, memasak taugeh kasar campur tauhu goreng yang enak sekali rasanya. Mungkin dia tersedar bahawa saya telah 'berkorban' terlalu lama agaknya. He he hek.

Saya percaya ramai antara kita yang 'berkorban' untuk perkara-perkara kecil sebegini tanpa rasa kecil hati pun. Isteri saya juga sudah 'berkorban' begitu lama, kerana jarang memasukan menu ikan dalam hidangan kami, kerana saya tidak memakannya. Begitulah perubahan-perubahan yang berlaku apabila 'angin baru' datang menjengah dalam kehidupan kita. Kita akan cuba menyesuaikan diri sehingga kita kembali kepada zon selesa sekali lagi. Sekali lagi saya menerima 'angin baru'. Sekali lagi saya terpaksa 'berkorban' . Masa bersama keluarga semakin kurang. Masa bersama blog juga sudah kurang. Mungkin hanya turun sesekali melepaskan ;rindu dendam'. Hu hu huk.

p/s sesekali masak le makanan yang suami atau isteri gemar waktu mereka kecil dulu. He he hek.

Apr 11, 2010

Dato' Oh Dato'

Minggu lepas. Bukan. Tiga minggu lepas saya mengikuti sambutan Maulidur Rasul di Rantau. Pekan yang penuh nostalgia. Saya tercari-cari kawan-kawan lama 'kok' ada. Maklum sahaja meninggalkan sekolah menengah tahun 1977. Kalau berjumpa pun mungkin kepala mereka sudah botak. Kalau berambut pun mungkin sudah beruban penuh. Kalau perempuan, mungkin sudah berisi atau kurus macam dulu jugak. Yang meninggal jangan ceritalah. Ramai sudah.

Akhirnya saya singgah di sebuah meja. Ada tiga orang yang nampak lebih 'senior' daripada saya.

'Tuan boleh saya tumpang duduk', saya berbahasa.
'Boleh, boleh, sila...sila, kata mereka serentak.

'Tuan dari mana' kata saya memulakan perbualan kepada seorang 'senior' yang nampak lebih segak.

Tiba-tiba sahaja dia merenung dalam ke muka saya, sambil meluahkan perasaan tak puas hatinya, "Kau tak kenal aku, hairan.... hairan. Aku Dato A kau tak kenal..... hairan.

'Memang saya tak kenal tuan, saya dah keluar dari kampung tahun 1978, lama tuuu'.

'Tak kan tak kenal, masa tu.... I'm still around' getusnya

Wah dia nak perang dengan saya ni. 'Minta maaf tuan, memang saya tak kenal tuan. Kalau balik pun balik kampung saya aje. Tuan pulak kenal ke saya". Saya menerjah soalan yang sama pada 'Dato' yang 'hebat'ini.

Cerita seterusnya tidak payahlah saya cerita. Cuma saya turut juga berarak dan berselawat dari padang SK Dato Akhir Zaman itu sehingga ke Petronas Jalan Rantau Linsum. Saya pun tak lama juga di majlis tersebut. Habis berarak terus sahaja balik ke Kuala Lumpur. Tak sempat nak dengar ceramah sahabat saya Ustaz Nor Azamir, Timbalan Mufti Negeri Sembilan itu.

Cuma dalam perjalanan pulang saya terfikir, kenapa 'Dato' sorang ini aje yang 'kureng' sikit. Sedangkan dua adiknya yang bergelar 'Dato', tak kisah pun orang kenal ke tidak. (Adik-adiknya saya kenal kerana satu sekolah). Lalu saya teringat pepatah Melayu "Lain Padang Lain Belalang, Lain Orang Lain Ragamnya'.

Nota:

Kok = Kalau

Mar 24, 2010

Dari Studio ke Studio

Minggu lepas saya tidak kembali ke Terengganu. Sepanjang minggu ini asyik terkejar-kejar ke hulu ke hilir. Mengejar program yang tak kunjung sudah. Hari Jumaat lepas ke Kuala Lipis lagi. Bermalam semalaman. Sabtunya balik ke KL. Terlupa lagi membeli sambal hitam, menu istimewa dari Bandar Lipis itu.

Pagi Ahad saya sudah berada di Media Prima menemani VIP ke Slot Nasi Lemak Kopi O, TV 9. Ketika VIP ditemubual, saya belasah aje nasi lemak dan kopi O di luar studio. Ha ha ha.

Kehidupan bujang di KL ini membosankan. Kerana bosan petangnya saya melangkah ke Rancangan Aiminnal di Auditorium Perdana, Angkasapuri. Melihat peserta India dan Cina menyanyi lagu Melayu. Boleh tahan jugaklah untuk menghilangkan bosan dan kantuk.

Isninnya saya ke Angkasapuri lagi. Tapi kali ini bukan studio tv tapi studio radio. Bertemu kawan lama. Mahat anak China. Orang Asli. Dulu tinggal di Bukit Lanjan. Bila penempatan itu dibangunkan ia berpindah ke Damansara Perdana. Seorang yang 'simple'. Banyak menulis cerita-cerita rakyat Orang Asli. Terbaru dia telah selesai menulis kisah kehidupan masyarakat Orang Asli. Novelnya berjudul 'Hamba'. Terbit nanti ingin saya membelinya. Memahami nilai dan budaya masyarakat misteri itu.

Cuma saya tertawa mendengar pantunnya:

Anak cicak di atas batu
Entah bergolek entah tidak
Bila terpacak di kedai samsu
entah balik entah tidak

Mar 10, 2010

Aku Sudah Pindah

Saya tidak sempat menulis panjang mengenai cerita-cerita di bulan Februari. Cerita itu terhenti. Rasanya tidak sesuai lagi untuk mengimbas cerita yang tidak sudah itu. Kini sudah berada di bulan Mac. Cerita baru akan bermula lagi. Semalam saya baru balik dari Kuantan. Besok akan ke Taman Negara. Opps, terlupa .... tidak jadi... kerana urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan.

Apa pun kini tulisan semakin pendek. Kerana tiada lagi masa santai. Cuma satu yang ingin dimaklumkan ' Aku sudah pindah'. Bangunan ini saya lalui setiap hari.

Feb 24, 2010

6918

Cerita seterusnya. Cuti Tahun Baru Cina juga sudah berlalu. Anak-anak sudah kembali semula ke kolej. Tinggal semula penghuni asal, bukan berdua tapi berempat. Saya dan isteri. Anak sulong dan bongsu yang sedang menunggu peluang menyambung pelajaran lagi.
Cuti Tahun Baru Cina yang lalu telah menemukan kembali kami anak-beranak. Petang itu kami makan besar walaupun bukan 'makan besar' Tahun Baru Cina. Masing-masing bercerita tentang pelbagai kisah. Tentang kampus. Tentang rakan taulan mereka. Tentang harapan mereka. Apa yang paling menarik ialah mengenai rahsia tarikh lahir. Kami akhirnya bergilir-gilir menurunkan tarikh lahir dalam petak tiga segi yang sistematik itu. Alang yang pernah hadir di Seminar Kenali Potensi Diri Dr.Azizan telah menjadi 'moderator'. Setiap kombinasi nombor diberi maksud tertentu. Dari nombor akar hinggalah kepada nombor-nombor yang mampu mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri.
Saya tak mahu komen mengenai benar atau tidaknya bacaan nombor itu. Cuma sering tersedar, setiap orang daripada kita akan terus cuba mengenali dirinya sendiri. Sebaik dan sehampir mungkin. Malah yang lebih parah sehingga sanggup menilik dan cuba meramal kehidupannya pada masa hadapan. Sehingga kita terlupa menjaga aqidah, terlupa bahawa qada dan qadar itu adalah kententuan Ilahi. Sebagaimana diriwayatkan oleh Salman Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah (saw) bersabda: “Tidak tertolak qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.” (Hadis Riwayat Tirmidzi). Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang sering berdoa, berusaha dan suka membuat kebajikan. Amin.
Apa pun saya tetap merasa seronok bila pada satu hari di sebuah bengkel kereta, pomen kereta berbangsa Cina itu menafsir nombor kereta milik saya 6918, dengan makna "Satu Hari Jadi Kaya'. Ha ha ha.

Feb 23, 2010

I Know Bakul I Know Basket

Sebelum menjawab kenapa saya tergesa-gesa sangat menyiapkan kerja-kerja pejabat, eloklah rasanya saya bercerita mengenai kisah-kisah di awal tahun 2010 yang menarik perhatian.

Ketika musim cuti sekolah akan berakhir dan Sambutan Tahun Baru Cina akan bermula saya turut bersama bersesak-sesak membeli belah di pasaraya ternama di Kuala Terengganu. Pasaraya yang menikmati keuntungan sehingga RM19 juta setahun. Teruja juga melihat ibu-bapa yang membeli pakaian sekolah anak-anak di hujung tahun. Beratus-ratus ringgit juga belanja yang terpaksa dikeluarkan. Zaman itu sudah saya lalui berbelas-belas tahun lamanya. Lega rasanya bila anak bongsu saya telah pun menamatkan zaman persekolahannya tahun lepas. Tahun ini tidak perlu berbelanja lagi walau sesen pun. Bukan sahaja belanja pakaian tetapi juga pelbagai yuran dan bayaran-bayaran lain. Syabas dan tahniah ditujukan kepada ibu-bapa yang terus berjuang untuk pendidikan dan kecemerlangan anak-anak.

Cuma saya perasan petugas pasaraya ternama itu sudah begitu keletihan melayan karenah pelanggan. Pelanggan datang bertali arus. Kaunter bayaran beratur panjang. Setiap lorong sesak. Ketika saya tercari-cari bakul untuk dibeli, saya tanyakan petugas di lorong alatan plastik itu. "Ada bakul tak?". Dia menggeleng-gelengkan kepala. Oleh kerana rupanya iras warga Bangladesh saya bertanya sekali lagi. "Can you give me a basket, please". Sekali lagi dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Separuh berbisik, terpacul dari mulut " Faham ke tak faham dia ni". Tiba-tiba aje dia menjawab, "I know bakul. I know basket". Oh faham rupanya. Wa ka ka ka.

Feb 22, 2010

Akan Datang

Sudah beberapa minggu saya tidak menulis. Ingin rasanya menulis setiap hari tanpa henti. Apakan daya beberapa perkara yang tidak diduga kerap menghalang harapan dan niat saya. Kalau menjadi wartawan sudah lama agaknya saya kena buang.


Tahun 2010 ini benar-benar melelahkan bukan sahaja baru memulakan perniagaan dari rumah tetapi juga bebanan tugas pejabat yang harus diselesaikan secepat mungkin. Kenapa ?.... Itu akan saya jawab dalam posting saya yang akan datang. Jawaban yang pasti menentukan arah tuju dan perspektif baru penulisan saya nanti.


Tunggu. Next change, coming soon. Ha, ha, ha.

Feb 5, 2010

Blogger Tua

Hari ini tanggal 5 Februari 2010. Cukup sudah satu tahun lima bulan saya menulis di blog Biso Bonar-Bermula Di Kaki Lima Berakhir Di Kaki Langit. Usia saya baru sahaja merentasi separuh abad lamanya. Belum lagi layak untuk digelar blogger paling tua. Ramai lagi yang lebih ‘senior’. Ramai juga yang boleh menulis dan bercerita bermacam-macam isu, peristiwa, pengalaman dan pemerhatian yang lebih tajam daripada saya. Namun demikian saya masih belum berjumpa blogger tertua di Malaysia kecuali Che Det. Usia Tun sudah melepasi 84 tahun dan masih lagi aktif menulis dan mengulas mengenai isu dan peristiwa yang menarik perhatiannya.

Walaubagaimanapun saya lebih kagum dengan seorang nenek yang mula aktif menulis ketika usianya mencecah 95 tahun. Entri pertamanya berjudul ‘Hello Pelayar Internet’ mencatatkan:

Teman-teman di internet. Hari ini saya berusia 95 tahun. Nama saya Maria Amelia lahir di Muxia, pada 23 Disember 1911. Hari ini adalah hari lahir saya dan cucu saya yang kedekut itu hanya menghadiahkan saya sebuah blog. Saya berharap dapat menulis dan bercerita mengenai pengalaman wanita seusia saya.

Beliau terus menulis sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 97 tahun (20 Mei 2009). Selama dua tahun empat bulan, blognya telah dikunjungi oleh 1.5 juta orang dari lima benua di seluruh dunia. Blognya cukup popular dan entrinya sentiasa mendapat ‘hit’ yang tinggi. Dia bukan seorang bekas Perdana Menteri, tetapi hanya seorang nenek. Mereka tertarik kepada ceritanya, ulasan politik dan peristiwa semasa. Apatah lagi mengenai cerita-cerita kehidupan lampaunya yang menjadi misteri kepada generasi baru. Catatan di ‘kepala’ blognya – A Mis 95 Anos ( Blogger 95 Tahun) mengambarkan perasaannya dengan nukilan - Pada 23 Disember 2006, cucu saya memberi blog ini ketika usia saya 95 tahun ... dan hidupku berubah ... Sekarang saya boleh berkomunikasi dengan setiap orang.

Cuma saya hanya bertanya pada diri sendiri, sanggupkah saya terus menulis sehingga ke akhir hayat seperti nenek Maria itu…………….. Apa pun saya sudah kembali lagi untuk menulis ha ha ha.

Jan 20, 2010

Aku Ingin Rehat

Tanpa ucapan selamat tahun baru, saya akhirnya muncul di penghujung bulan Januari 2010. Dari hari ke hari saya ingin menulis. Tapi ruang itu sudah semakin kecil. Ketika ini apa yang boleh saya katakan ......saya cuma ingin BEREHAT. Harap-harap saya tetap ada tenaga semula selepas berehat panjang. Ini lah entri saya yang pertama di tahun 2010 ini. Yahoooooooo......