Aug 7, 2010

Tasik Temengor

Pertama kali saya melalui lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur ialah pada tahun 1984. Ketika itu menemani seorang kawan yang diarah bertukar dari Pulau Pinang ke Bachok, Kelantan. Jalannya masih sunyi. Sebahagian jalannya tidak baik, dan berlopak-lopak. Kami lalui juga beberapa kawasan tanah runtuh. Perjalanan pula terpaksa dilakukan sebelum hari gelap. Kereta yang kami naiki merangkak, lebih sembilan jam perjalanan baru sampai ke Kota Bharu.

Ancaman komunis ketika itu masih belum reda. Pos-pos tentera didirikan di puncak bukit yang strategik. Pos-pos ini masih dapat dilihat dari jalan yang berliku-liku dan jambatan panjang melalui Tasik Temengor, 'tasik buatan' terbesar yang indah dan mengasyikan. Nasib baik juga kami tidak bertembung dengan kawanan gajah yang sering melintasi laluan ini.

Selepas pengalaman pertama itu saya melaluinya lagi berkali-kali samada ke Kelantan atau ke Terengganu. Apabila menetap di Terengganu lebuhraya ini seakan 'wajib' dilalui bila 'pulang' ke Pulau Pinang. Berkali-kali juga saya singgah menikmati masakan panas di Pulau Banding di tepi Tasik Temengor itu.

Minggu lepas saya berpeluang sekali lagi menjejak kaki di lebuhraya ini. Kali ini bukan menikmati makanan panas di tepi Tasik Temengor tetapi menerokanya. Tasik seluas 15,000 hektar itu turut menjadi jalan penghubung ke RPS Kemar penempatan Orang Asli suku kaum Temiar.

Menaiki bot dari Pengkalan Trojen Temenggor ke RPS Kemar mengambil masa 45 minit. Sepanjang perjalanan saya terpesona dengan pemandangan menarik, pokok-pokok mati , cabang cabang sungai yang berlatarkan bukit-bukau dan gunung-ganang yang membiru. Masih terdapat beberapa kelompok barisan pokok getah yang selamat dari ditenggelami air di tepi tebing. Ia adalah saki baki kebun getah Kampung Temengor, Kampung Padang Cermin dan Kampung Ayer Kandar yang telah tenggelam di dasar tasik. Nama-nama kampung yang sedikit demi semakin menghilang seperti kayu mati dalam tasik yang mereput.

Pagi itu kami disambut dengan tarian 'sewang' dan 'tepok' dari rotan yang bersulam cantik oleh penduduk RPS Kemar. Budaya Orang Asli yang meraikan tetamu ini masih mudah ditemui di penempatan Orang Asli yang jauh dari Pekan Grik ini.

Kami berada di kampung ini sehingga petang, menikmati buah manggis, buah rambutan dan buah durian sehingga puas. Saya mengetahui satu perkara. Orang Asli di sini tak makan durian yang jatuh, jika mahu menikmatinya mereka memetiknya terus dari pokok.



Nota:

RPS Kemar adalah penempatan Orang Asli di Daerah Grik yang terawal dan terbesar di Semenanjung. Mengandungi 15 buah kampung dan 13 orang Batin dengan jumlah penduduk seramai 3,000+ orang. Mempunyai kemudahan asas yang mencukupi termasuk sekolah rendah, balairaya, bekalan air graviti dan elektrik menggunakan generator. Boleh dihubungi melalui jalan air dari Pengkalan Trojen, Temengor atau Pengkalan Pulau Banding. Melalui jalan darat pula merentasi hutan tebal ke Pekan Lasah di Sungai Siput yang mengambil masa lima hingga enam jam perjalanan.
RPS = Rancangan Penempatan Semula

Sewang= Tarian kerohanian untuk tujuan perubatan yang kini dipersembahkan untuk menyambut tetamu

Tepok: lilitan kepala yang dibuat daripada anyaman daun kelapa atau rotan.

11 comments:

zino said...

tak pernah lalu lagi situ.. banyak cerita yg kata pemandangan cukup cantik..

Pok Li said...

Zino
Lalu le sekali. Mungkin nak lalu dua kali. :)

Abu Aiman said...

pernah terlihat kelibat bontot gajah masa lalu di satu kawasan. Nasib baik dia dah melintas, menghilang ke celah2 pokok.

Pok Li said...

Abu Aiman
Gajah disini agak lebih tinggi daripada di zoo. Memang menggerunkan

sha said...

Pernah lalu sekali...pengalaman yg menarik

Don Balon said...

Memang sangat mengkagumkan tasik ini..bila melalui jambatan, sampai di tengah2 rasa sangat syahdu dan teruja. Ingin rasanya menetap di resort pinggir tasik tapi belum ada kesempatan.. :)

Pok Li said...

sha
Ada satu tasik lagi bernama Tasik Pergau di Kelantan di laluan sama. Kedua-duanya menarik.

Don Balon
Boleh cuba bermalam. Kalau ada keinginan boleh memancing di Sg Kedah dalam Tasik Temengor itu.

ikan emas said...

Wah Pok Li dah pandai tari sewang sekarang ya !!

bebaik tau !!

IE masih belum sampai ke Hutan Belum !

ikan emas said...

Pok Li,

selamat berpuasa ..
tahun ni mesti program Ramadhan berbeza dgn tahun lepas kan ??

Tirana said...

Dulu, masa tinggal di KB memang selalu lalui lebuhraya timur barat untuk balik ke penang. Pernah bermalam juga di tasik banding. Sekarang dah tinggal di KL, memang jarang lalui lebuh raya tu.

Pok Li said...

Ikan Emas

Salam Ramadhan. Tahun ini saya akan berbuka di negeri-negeri kecuali Perlis, Kedah, Sabah, Labuan, Sabah dan Sarawak.

Sewang tengok aje, belum cuba lagi ak.

Tirana
Sekarang dah ada lagi hotel baru. Mungkin boleh datang bermalam lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails