Aug 7, 2015

Badan Ku Sakit Semua....

Sudah seminggu kembali dari Terengganu. Sebelum itu ke Bandar Muadzam, Pahang. Tidur di Hotel Tong Villion. 5.30 pagi sudah bergerak ke Batu Rakit, Kuala Terengganu. Solat Subuh di Gambang, Bersarapan dalam kereta. Nampak siksa kan. Tapi apa boleh buat urusan kerja harus dipatuhi.

Jam 9.00 pagi sudah sampai tepat pada masa dan destinasinya. Alhamdulillah Lebuhraya Pantai Timur yang baru di buka pada 7 Julai lalu telah memendekkan masa perjalanan walaupun jaraknya masih tetap jauh, 334km dari Bandar Muadzam.

Berada di Terengganu seakan-akan kembali semula ke 'kampung halaman'. Bertemu rakan-rakan lama apatah lagi suasana Hari Raya yang masih hangat. Habis tugas petangnya saya sudah terdampar di Hotel Midtown berhampiran Masjid Sultan Zainal Abidin, keletihan akhirnya tertidur. Niat hati untuk bersiar-siar di sekitar Bandar Kuala Terengganu terpaksa di tunda sehingga malam. Saya ke Sena Rendang  menikmati roti tempayan bersama dua rakan lama. Masih ummpph seperti lima tahun lalu.

Pagi esoknya saya ke Chendering menikmati Nasi Kerabu Cik Sitie. Berhampiran Simpang Empat Chendering, 'favourite' kami sekeluarga dulu. Rasanya agak sedikit menurun walaupun masih sedap. Kembali semula ke Pasar Payang membeli sedikit ole-ole Pantai Timur sebelum meninggalkan Bandar Kuala Terengganu melalui Jalan Kuala Berang ke Binjai Rendah. Singgah berhari raya di rumah kawan lama. 

Sewaktu keluar dari Binjai Rendah, terasa perasaan sayu menyucuk di dada. Seakan-akan saya baru saja hendak berpindah. Mungkin kerana banyak kenangan lama di Marang. Anak-anak pun sebahagian besar nya membesar di Marang. Malah besan saya pun orang Terengganu.

Kerana 'berahi' untuk melihat kediaman kami dahulu, perlahan-lahan saya memandu memasuki simpang Kg Undang menghala ke Bandar Marang, Melintasi Kg Seberang Marang kawasan rumah sewa kami dahulu dan berhenti sebentar di Kelulut membeli air nira.

Berhenti lagi di Kg Pasir Putih, membeli jagung dan kacang rebus. Gerainya sudah tidak lagi tersusun seperti dahulu akibat pembesaran jalan kepada dua lorong dari Kg Gong Balai sehingga ke Rantau Abang.

Selepas solat Jumaat di Chukai, perut sudah mula minta diisi. Kerana mengidam gulai kawah saya menangguhkan makan tengahari kepada jam 3.00 petang di Kedai Makan Nasi Kawah, Baging, di Cherating. Gulai kawah yang boleh 'angkat ibu jari' kata orang Kelantan. Hanya RM7.80 satu set.

Hajat hati untuk menikmati makan sedap-sedap di Pantai Timur sudah tertunai. Jagung dan kacang rebus yang dibawa pulang sudah lama habis. Tinggal air nira yang ada lagi berbaki sedikit. Empat hari lepas saya minum setengah gelas. Sebaik sahaja air nira sampai ke perut, rasa 'menyengau' menyerbu ke seluruh badan. Dah expired ke?. Sehingga hari ini padahnya masih terasa... badan-badan ku sakit semua......:(




   

Jul 15, 2015

Zaman Beredar Pusaka Bergilir

Bulan Ramadhan akan meninggalkan kita hanya dalam beberapa jam sahaja lagi. Bulan Syawal akan disambut dalam suasana meriah. Dijangka Jumaat ini. Dua kali khutbah, Khutbah Hari Raya dan Khutbah Jumaat. 

Tahun ini sudah diputuskan awal pagi berhari raya di Putrajaya sahaja. Menikmati juadah nasi himpit, rendang ayam dan kuah kacang. Selain kuih muih yang sudah dibeli sejak minggu lepas. Berkumpul dengan Along dan isteri, Atiqah, Afif sebelum ke Taman Equine, Sri Kembangan. Bergabung pula dengan keluarga besan, bapa mertua Afdhal yang tidak balik ke Terengganu kerana meraikan kedatangan cucu baru kami Muhammad Aqeel Syafiq. Hanya Angah tahun ini berhari raya di Batu Pahat kerana tugas. Sian ke Angah... 

Selepas solat Jumaat berangkat balik ke Kg Sega, Seremban. Berhari raya pulak dengan kakak-kakak yang dah semakin berusia. Petangnya ke rumah emak dan bapa saudara yang sudah semakin lanjut usianya. Mungkin malamnya balik semula ke Putrajaya atau tidur di rumah pusaka. Esok menyambung lagi ziarahnya. 

Tanpa lupa ziarah kubur abah dan emak yang sudah hampir 15 tahun meninggalkan kami. Masa begitu pantas. Sudah terasa semakin tua. Sudah bergelar Datok dan isteri pula sudah bergelar Nenek. Alhamdulillah baru ada seorang cucu. Benarlah perbilangan orang tua-tua, zaman beredar pusaka bergilir. 

Akhir kata. Selamat hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin. Berhati-hati di jalan raya.

Jan 22, 2015

Nak Ku Nangis Tak Berair Mata...

Bulan ini sahaja 'ambo gi Kelate' dua kali. Mengikuti misi Jalinan Kembara Kasih anjuran jabatan, melawat rakan-rakan yang ditimpa musibah banjir. Bukan sahaja rumah yang terlibat, pejabat juga turut 'punoh'. Banjir yang berlaku kali ini 'luar biasa' mengatasi banjir 1926 dengan nama bah merah.

Selepas air surut keadaan pejabat Di Kuala Krai amat menyedihkan. Bau maung dari lumpur begitu menjengkelkan. Lumpur tebal hanya mampu dibersihkan selepas kami tiba dua minggu kemudian. Tanpa air bersih, bekalan api yang terputus apa yang boleh dibuat, selain merenung kosong dan melihat kemusnahan akibat 'kemarahan alam'. Seluruh aset musnah, tiada apa yang boleh diselamatkan. 

Mengikut cerita hujan di Kuala Krai tidak lebat. Ia hanya hujan biasa. Tapi ketentuan Allah, 'kun faya kun'. Berlaku seperti yang telah ditakdirkan. Ia disandarkan pula kepada cerita sebab dan akibat yang berpanjangan dan meleret-leret. Begitu juga pejabat di Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat. 

Apa pun 'ziarah kasih' kami yang baru berakhir semalam, lebih tertumpu kepada membantu dan merawat perasaan hiba mereka. Membina semula kehidupan baru. Mereka bukan sahaja kehilangan harta tetapi juga kehilangan kenangan. Foto, baju, cenderamata, sijil dan koleksi pribadi yang hilang sekelip mata. Air meningkat naik dengan pantas. Mereka terpaksa meninggalkan rumah apabila air sudah meningkat ke paras pinggang dan dada. Tiada apa yang dapat dipertahankan lagi hanya nyawa dan keluarga perlu diutamakan.

Sebahagian tempat, sejak 50 tahun dahulu tidak pernah terkena banjir. Kalau ada pun hanya separas buku lali atau betis. Rata-rata merasa bingung, Bak kata mereka, 'Air mari mano'. Dua hari kami di Kelantan kami sempat melawat 16 buah rumah sahabat kami dari 35 buah yang terkena musibah. Dari Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan berakhir di Gua Musang. Hampir separuh sudah kami jelajah. Kalau ada kesempatan lagi kami akan kembara lagi ke Pasir Putih, Bachok dan Jeli. Tanpa lupa rakan-rakan lain di Terengganu, Perak dan Pahang.

Ketika kesan banjir mula dihadam oleh mangsa di Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak, kini di Sarawak pula sedang dilanda banjir. Angka di pusat perpindahan banjir juga sudah meningkat lebih dari 3K orang. Sama-sama kita berdoa tiada kejadian buruk yang berlaku dan juga kehilangan nyawa.