Sep 27, 2009

Materialistiknya Budak-Budak....

Setiap kali Hari Raya tiba. Anak-anaklah yang paling gembira. Bukan sahaja memakai pakaian baru tetapi juga ’mengutip’ duit raya dari abah, emak, atok, nenek, bapa saudara, mak saudara dan daripada jiran-jiran sekampung atau setaman. Selepas dua tiga hari berhari raya ada yang sudah mengumpul beratus-ratus ringgit. Ada juga yang hanya setakat puluhan ringgit. Itu pun sudah cukup bagus.

Semasa saya kecil, budaya memberi 'angpau' ini tidaklah terserlah. Ia hanyalah ’nasib’ jika tuan rumah hendak memberi. Kalau memberi pun tidaklah dalam sampul kecil seperti sekarang. Mereka hanya beri 10 sen atau 20 sen sahaja. Selalunya tuan rumah hanya menjamu mereka makan dengan kuih-kuih dan air sirap yang dicampur selasih. Tetap ada ’kelas’ walaupun tanpa Ribena.

Bila agaknya budaya ’angpau’ ini meresap ke dalam budaya Melayu. Saya tidak ingat dengan jelas. Tahu-tahu kita sudah ’meniru’ amalan kaum Tionghua itu. Jika tidak silap ia berkembang pada awal tahun lapan puluhan. Ia berkembang dengan cepat sekali. Mulanya sampul itu masih menggunakan warna merah (angpau). Hanya selepas itu barulah lahir sampul yang berwarna-warni. Bank, pasaraya, kedai kasut, kedai baju, telah ’menghadiahkan’ pelanggan-pelanggan mereka dengan ’sampul duit’ ini. Semenjak itu juga setiap tahun bank-bank menyediakan tukaran wang RM1, RM5, RM10 setiap kali menjelang Hari Raya. Kita sudah menjadi ’pemurah’ sepanjang bulan Syawal ini. Anak-anak pun semakin ramai datang ke rumah. Mereka datang dan ’gelisah’ bila hanya dijamu kuih-muih sahaja. ”Tak ada duit raya ke Mak Cik”. Bila diberi, mereka ’bersegera’ keluar pula ke rumah jiran yang lain. Budaya ’angpau’ ini telah meresap kuat dalam jiwa anak-anak, sehingga ada yang tidak menjamah pun kuih muih yang dihidangkan. Mereka meniti dari satu rumah ke satu rumah tanpa kecuali. Materialistiknya budak-budak kannnnnnn.......

Sep 23, 2009

Takbir Raya

Berhari raya di kampung macam dulu-dulu jugak. Petang itu kami berbuka beramai-ramai di hari terakhir Ramadhan. Jika dahulu hanya kami adik beradik yang menikmati ’lomang’ dan ’rondang’, ’Rebusan’ dan ’gulai lomak cili api’. Kini keluarga kami sudah semakin besar, sudah ada ipar duai, anak-anak, anak saudara dan juga cucu. Kami sudah menjadi ’orang tua’. Pusaka itu sudah bergilir. Abah dan emak sudah lama meninggalkan kami. Kalau mereka masih hidup tentu mereka ’riang’ melihat generasinya yang ’berkembang biak’. Petang itu kami ’makan besar’ sementara menanti pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Akhirnya sekali lagi malam itu kami bertakbir dari rumah ke rumah.

Seingat saya takbir dari rumah ke rumah ini sudah berlangsung lama. Sejak dari rumah kelahiran saya sebelum kami berpindah ke rumah baru. Rumah ’marhaen’ itu bertiang bulat beralas batu sungai, berlantai buluh dan berdinding ’pelupuh’. Lantai papan hanya ada di serambi, ruang tengah rumah dan dapur. Tiada bilik, bila malam tirai kain akan dilabuhkan. Atap rumah juga sering bocor. Setiap kali bocor abah akan menganyam atap baru daripada daun rumbia. Bila malam, bulan dan bintang boleh diintai dari ’tabir layar’ yang seakan tergantung di hujung bumbung. Walaupun untuk ke rumah kami terpaksa melalui ’lorong tikus’ rombongan takbir itu tetap akan tiba juga.

Rombongan takbir ini tidak ramai. Asalnya hanya ada tujuh lapan orang sahaja. Bertakbir Hari Raya dan berdoa. Memohon keampunan kepada yang hidup dan juga kepada yang sudah tiada, kekal amal ibadah, sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki, dipohon juga kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kemudian rombongan ini dihidangkan pula dengan juadah kuih-kuih lama, lemang bersama rendang, penganan(dodol), sirat, wajik, kuih bangkit, kuih bahulu, samprit, dan putu kacang. Berbual-bual ala kadar, sambil menggulung rokok pucuk atau menghisap rokok Gold Leaf, Star, Rough Rider atau rokok Tiga Lima. Biasanya jam 11 malam takbir di tujuh rumah itu usai.

Kini pengikut rombongan ini sudah semakin besar. Daripada tujuh lapan orang, kini sudah mencecah ke 25 orang. Alhamdulillah, ramai anak muda yang menjadi ahlinya. Apa pun bila kehidupan sedikit mewah di pertengahan tahun 70an, hidangan pula sudah mulai pelbagai, setiap rumah pasti ada hidangan ’istimewa’. Ada yang menghidangkan lontong, ada yang menghidangkan mee goreng, mee kari, laksa atau sate. Air juga sudah beraneka jenis daripada kopi, teh, sirap bandung, air bikarbonat hinggalah ke cendul. Begitu juga jenis kuih, sudah beragam. Kuih ’dulu-dulu’, samprit, putu kacang, sirat, wajik, bahulu dan penganan sudah jarang dihidang. Takbir Raya tetap rancak seperti dahulu, dan perut-perut mereka kembali ’memboyot’ seperti selalu...............

Sep 18, 2009

Berayakah Kita

Besok 19 September 2009, saya akan pulang ke kampung halaman. Beruntung saya masih ada kampung. Beruntung juga saya masih ada adik beradik di kampung. Beruntung juga saya masih ada rumah masak lomak cili api itu. Jika tidak saya tak tahu hendak berhari raya di mana. Mungkin di Marang. Mungkin juga di kampung isteri saya di Pulau Pinang. Mungkin juga tidur di hotel, paginya ke tanah perkuburan menziarahi pusara abah dan emak. Selepas itu solat sunat Eid Fitri. Ziarah beberapa buah rumah dan balik ke hotel lagi. Tentu menyedihkan bukan............ Kalau begitu jadinya, berayakah kita?.

Itu hanya sedikit cerita sedih, jika nak dibandingkan dengan kehilangan orang tersayang, kerana kemalangan jalanraya. Ketika mereka 'balik kampung' dalam suasana riang dan gembira. Ketika 'lomang' sudah 'dibolah'. Ketika 'rondang' telah dihidang. Ketika bilik sudah 'berkomeh'. Kerana itu berhati-hatilah ketika memandu. Kalau begitu jadinya, berayakah kita.

Ketika saya menulis ini, beberapa bunyi ’letupan’ terus berdentum dentam. Kalau bukan kerana Hari Raya sudah semakin hampir, saya fikir tentu ada berlaku kejadian tembak menembak di depan rumah. Suka betul mereka bermain ’letupan’ itu sehingga ada yang kehilangan ’jari’ dan ’tangan’. Rupa-rupanya mereka sering 'lupa' sejarah. Sejarah yang setiap tahun berulang. Kalau begitu jadinya berayakah kita?.

Apapun ceritanya saya tetap mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan-rakan blogger yang menjengok dan menjengah blog Biso Bonar ini tanpa rasa jemu. Begitu juga kepada pengikut dan pembaca tetap blog ini yang sering memberi pandangan, ulasan, dorongan dan segala macam komen. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Maaf Zahir dan Batin juga jika ada komen-komen saya yang tidak sewajarnya serta menyinggung rasa dan jiwa........ Begitu juga saya berdoa semoga kita bertemu lagi di bulan Ramadhan Al Mubarak yang sudah mula melangkah meninggalkan kita. Ya Allah, panjangkan umur kami. Mudah-mudahan Ramadhan ini bukan yang terakhir buat kami. Amin.
Kad Ihsan Sinzmanula

Sep 17, 2009

ABC

Dua hari lepas saya dan isteri telah ’turun’ ke Kuantan. Sebuah bandar yang pesat membangun. Bangunan perniagaan dan taman-taman perumahan sudah melebar sehingga ke pinggir bandar. Pasaraya dan pusat membeli belah pula semakin bertambah dan bercambah. Beberapa batang jalannya sentiasa sesak. Kuantan sudah menjadi bandar tersibuk di Pantai Timur.

29 tahun dahulu ketika pertama kali saya menjejak kaki ke bandar ini ia hanyalah sebuah ’bandar mati’. Selepas jam 8.00 malam tiada lagi kedai dibuka. Kalau ada pun Medan Selera di tepi sungai Kuantan itu sahaja. Tiada tomyam, tiada nasi berlauk, tiada masakan kampung, yang ada hanya nasi goreng. Gerai No6 Medan Selera itu sering menjadi pilihan saya. Bukan sahaja nasi goreng ayamnya yang enak, tetapi ABC specialnya memang sedap ’giler’.

Kami hanya sampai di Kuantan 15 minit lagi sebelum waktu berbuka. Saya tidak lagi mencari gerai No6 itu. Dari Jalan Beserah terus sahaja merentasi jambatan ke Tanjung Lumpur. Tanjung Lumpur kini sudah menjadi ’medan selera’ yang baru. Kedai makan sudah berderet panjang. Dulu Tanjung Lumpur hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Belum ada lagi jambatan. Kampung ini hanya ada sebuah jeti kayu dan beberapa buah bot penambang. Tambang bot dari Tanjung Lumpur ke Bandar Kuantan hanya 30 sen. Bot-bot ini juga yang menyambung perjalanan mereka ke Kg Selamat dan Tanjung Api.

Petang itu kami berbuka ala kadar sahaja.Tomyam, telur dadar, kailan dan martabak. Air Sirap Bandung dan Milo ’kosong’. ”RM 14.60 bang”. Harganya jauh lebih murah dari mereka yang sanggup membayar berpuluh-puluh dan beratus-ratus ringgit ’satu kepala’ untuk ’pakej berbuka puasa’. Peniaga sekarang begitu ’berani’ meletakkan harga tanpa rasa takut kehilangan pelanggan. Mungkin tidak seperti peniaga Gerai No6 Medan Selera, Jalan Besar itu, ketika saya datang kembali di tahun 1982, ABC Specialnya sudah tidak sesedap dulu.

”Kenapa dik, campurannya dah kurang ?”
”Harga barang dah naik bang,”. ” Kalau jual mahal sapa nak makan”

Harga ABC Special waktu itu baru berharga RM2.00. Dia sudah tidak berani menaikkan harga kerana takut tiada pembeli. Begitulah jarak masa yang berlalu. Ia bukan sahaja telah mengubah lanskap fizikal, tetapi juga berlaku perubahan sikap, pemikiran, ragam, tingkah laku, citarasa dan pandangan hidup. Hari ini jika ada yang jual ABC Special berharga RM 10.00 pun tetap ada yang beli woi.........

Sep 8, 2009

More, Ulau dan Bungkusan Plastik

Dua hari lepas saya telah turun ke kampung halaman. Mulanya saya ingin sahaja menaiki bas. Mudah dan tidak melelahkan. Sesekali menjadi penumpang dan ada yang memandu tentu lebih santai, terutama ketika mengharungi perjalanan yang jauh itu. Tetapi kerana anak-anak di Bangi dan Cyberjaya juga mahu menumpang pulang ke Terengganu sempena cuti Nuzul Quran terpaksa juga ’bawa’ kereta. Bertemankan isteri yang setia, kali ini saya lebih selesa menyusuri jalan pantai, Marang, Dungun, Kemaman lebuhraya Pantai Timur sebelum melencung ke Gambang melintasi sempadan Pahang ke Negeri Sembilan melalui Bandar Muadzam ke Keratong dan bernoktah di Seremban.

Malam itu kami menunaikan solat Isyak dan tarawih di surau kampung. Surau yang dibina oleh seorang ulama bernama Haji Othman 55 tahun dahulu. Tokoh ini lebih dikenali dengan panggilan Haji Semaun. Panggilan ini berpunca kerana beliau belajar dan menetap bertahun-tahun (menaun) di Mekah. Allahyarham hanya pulang ke tanahair selepas tamat perang Jepun. Namanya sebaris dengan nama-nama ulama yang terkenal di Negeri Sembilan. Buku-buku hasil penulisannya sebahagian diserahkan ke UKM sebagai ’pesaka’ dari seorang tokoh yang menyumbang kepada peningkatan syiar Islam di Negeri Sembilan.

Haji Semaun sudah lama meninggal dunia. Meninggal ketika saya di Darjah Lima (1971). Selepas itu satu persatu imam-imam di surau itu meninggal dunia. Abah, Long Awaluddin, Long Amat, Haji Mazri... kini ’tempat’ mereka telah diganti oleh abang-abang tua rakan sepermainan waktu kecil dahulu. Setiap kali berpaling memberi salam, muka-muka bersih itu sudah penuh jalur dan kedut tua. Ramai juga yang sudah berambut putih dan botak. Tersedar bahawa saya juga bukan berusia muda. Saya adalah pewaris-pewaris yang pernah memenuhi surau ini semasa kecil. Di surau ini tempat kami mengaji, di surau ini kami sering tidur selepas ’tadarus’. Di surau ini kami sering bergurau di saf belakang ketika orang tua kyusyuk sembahyang dibaris depan. Di surau ini juga kami sentiasa ternanti-nanti ’ulau’ atau ’more’ selepas solat terawih. Kini ’ulau’ itu tidak lagi berhidang, kalau ada pun hanya air kotak dan sebiji buah epal dalam bungkusan plastik. Mungkin juga kakak-kakak ’tua’ itu sudah tidak terdaya lagi hendak membasuh pinggan dan cawan yang bertimbun-timbun itu.