Jan 22, 2015

Nak Ku Nangis Tak Berair Mata...

Bulan ini sahaja 'ambo gi Kelate' dua kali. Mengikuti misi Jalinan Kembara Kasih anjuran jabatan, melawat rakan-rakan yang ditimpa musibah banjir. Bukan sahaja rumah yang terlibat, pejabat juga turut 'punoh'. Banjir yang berlaku kali ini 'luar biasa' mengatasi banjir 1926 dengan nama bah merah.

Selepas air surut keadaan pejabat Di Kuala Krai amat menyedihkan. Bau maung dari lumpur begitu menjengkelkan. Lumpur tebal hanya mampu dibersihkan selepas kami tiba dua minggu kemudian. Tanpa air bersih, bekalan api yang terputus apa yang boleh dibuat, selain merenung kosong dan melihat kemusnahan akibat 'kemarahan alam'. Seluruh aset musnah, tiada apa yang boleh diselamatkan. 

Mengikut cerita hujan di Kuala Krai tidak lebat. Ia hanya hujan biasa. Tapi ketentuan Allah, 'kun faya kun'. Berlaku seperti yang telah ditakdirkan. Ia disandarkan pula kepada cerita sebab dan akibat yang berpanjangan dan meleret-leret. Begitu juga pejabat di Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat. 

Apa pun 'ziarah kasih' kami yang baru berakhir semalam, lebih tertumpu kepada membantu dan merawat perasaan hiba mereka. Membina semula kehidupan baru. Mereka bukan sahaja kehilangan harta tetapi juga kehilangan kenangan. Foto, baju, cenderamata, sijil dan koleksi pribadi yang hilang sekelip mata. Air meningkat naik dengan pantas. Mereka terpaksa meninggalkan rumah apabila air sudah meningkat ke paras pinggang dan dada. Tiada apa yang dapat dipertahankan lagi hanya nyawa dan keluarga perlu diutamakan.

Sebahagian tempat, sejak 50 tahun dahulu tidak pernah terkena banjir. Kalau ada pun hanya separas buku lali atau betis. Rata-rata merasa bingung, Bak kata mereka, 'Air mari mano'. Dua hari kami di Kelantan kami sempat melawat 16 buah rumah sahabat kami dari 35 buah yang terkena musibah. Dari Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan berakhir di Gua Musang. Hampir separuh sudah kami jelajah. Kalau ada kesempatan lagi kami akan kembara lagi ke Pasir Putih, Bachok dan Jeli. Tanpa lupa rakan-rakan lain di Terengganu, Perak dan Pahang.

Ketika kesan banjir mula dihadam oleh mangsa di Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak, kini di Sarawak pula sedang dilanda banjir. Angka di pusat perpindahan banjir juga sudah meningkat lebih dari 3K orang. Sama-sama kita berdoa tiada kejadian buruk yang berlaku dan juga kehilangan nyawa.