Mar 29, 2009

Mengah


Minggu lepas sekali lagi saya ke Kuala Terengganu, berurusan dengan sebuah pejabat. Terpaksa menongkah naik ke tingkat tiga. Huh... mengahnya... Teringat lama dah tak berjalan kaki setiap pagi 30 minit di sepanjang Pantai Rhu Muda. Petanda perlu semula berjalan kaki setiap pagi. Bila ye....... mungkin minggu ini, mungkin minggu depan atau berjalan kaki dalam rumah aje :)



p/s Mengah'' dah nak tulis panjang-panjang.

Mar 24, 2009

Guru


Keputusan SPM telah diumumkan beberapa minggu yang lalu. Ramai yang telah menitiskan air mata kerana kejayaan. Nik Nur Madihah pelajar miskin yang meraih 20 A bukan sahaja membawa cerita yang mengharukan tetapi juga membawa cerita gembira apabila ditawarkan dengan pelbagai peluang dan keistimewaan termasuk belajar dalam dan luar negara. Seorang anak nelayan yang bukan sahaja mampu merubah nasibnya, insya Allah pasti mampu mengubah juga kehidupan keluarganya..

Keesokannya terpampang di muka hadapan dipenuhi dengan cerita Nik Nur Madihah. Jika ada cerita guru Madiha yang mendokong dari belakang hanya tersiar dimuka empat. Guru itu yang mempunyai keistimewaan mengenal pasti murid-murid yang cemerlang dan terus dibimbing untuk terus cemerlang. Sudah ada anak muridnya yang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat pengajian doktor Falsafah. Guru itu yang telah berkorban untuk membantu dan mengadakan kutipan untuk membantu Madihah berjumlah RM200.00 sebulan. Begitulah usaha guru tersebut yang tidak dihebahkan beritanya sebesar cerita kejayaan pelajar.

Ketika saya hadir di Mesyuarat Permuafakatan Ibubapa dua hari lepas, teruja saya apabila pengetuanya bercerita mengenai pencapaian cemerlang sekolahnya yang menduduki nombor 'wahid' seluruh Terengganu. Apa pun perasaan saya tersentuh apabila pengetua ini turut terkilan kerana ketika kegembiraan mereka mendapat keputusan terbaik mereka lebih asyik bersms dan menelefon kesana-sini daripada mencari guru-guru yang sebelum ini bertungkus lumus mengajar mereka. Guru-guru yang tidak inginkan sebarang pulangan kecuali ucapan terima kasih. Ceritanya masih bersambung, katanya ada juga seorang pelajar yang dilarang mengambil keputusan kerana berambut panjang. Mungkin itu peraturan sekolah tersebut. Kali kedua dia datang lagi, pengetua tetap dengan peraturannya, datang dengan berambut pendek dan keputusan akan diberi.. Malangnya pelajar ini datang lagi untuk kali ketiga dan masih lagi berambut panjang. Pelajar cemerlang yang mendapat 10 A ini cerdik tetapi tidak bijak. Nasihat dan teguran pengetua itu tidak lagi di pedulikan. Sudah tentulah tidak mengherankan jika pelajar yang tidak secerdik pelajar tadi bukan sahaja bersikap kurang ajar tetapi juga sanggup membelasah atau membakar kereta gurunya sendiri.

Saya ingin berkongsi sebuah cerita bagaimana seorang guru yang pernah mengajar di sekolah Cina telah memohon mengajar di sekolah kebangsaan. Cukup setahun mengajar di sekolah kebangsaan dia memohon kembali mengajar di sekolah Cina. Ramai rakan-rakan guru yang bertanya kepadanya kenapa pula selepas bersusah payah memohon untuk mengajar di sekolah kebangsaan, tiba-tiba ingin kembali bertukar ke sekolah Cina. Katanya, di sekolah Cina apabila pelajarnya diambil tindakan tatatertib, pelajar itu akan dipanggil bersama ibubapa mereka. Dibilik pengetua turut hadir dua orang guru yang tegap badannya. Tujuannya, jika pengetua memberi tahu salah laku pelajar dan tindakan displin yang dikenakan, ditakuti bapa pelajar yang marah ini akan membelasah pelajar tadi, dan guru-guru tersebut bertindak melindungi murid tersebut. Tetapi di sekolah kebangsaan keadaan sebaliknya berlaku, dua orang guru yang tegap-tegap juga dipanggil bukan kerana ingin melindungi murid tetapi ditakuti ketika pengetua memberitahu salah laku dan tindakan displin kepada pelajar, pengetua pula yang mungkin dibelasah.

Mar 20, 2009

Kampung Ku Dua Tingkat


Musim cuti telah hampir sampai ke penghujungnya. Ramai daripada keluarga atau anak-anak yang bercuti di kampung akan kembali semula ke kediaman atau asrama sekolah masing-masing. Besok kami juga akan menghantar semula anak bongsu, Afif pulang ke sekolahnya di Kuala Terengganu. Ketika kami tinggal di Kuala Pilah dan di Bukit Beruntung dahulu, kami tidaklah menunggu cuti persekolahan yang panjang untuk pulang ke kampung. Cukuplah dengan cuti hujung minggu. Samada menikmati masakan emak yang masih 'ada' lagi ketika itu ataupun hanya menjengok kakak-kakak yang masih lagi tinggal di kampung selepas ketiadaan emak dan abah. Tambahan pula kami hanya empat adik beradik yang masih hidup, saya anak bongsu dan lelaki tunggal dalam keluarga. Tiga orang abang dan seorang kakak saya telah meninggal dunia dalam kepayahan musim Jepun yang penuh penderitaan. Makan nasi ubi, lauk ubi, kuih ubi dalam tahun-tahun yang juga digelar sebagai 'zaman ubi kayu'. Kerana itu wujud juga perasaan cemburu melihat rakan-rakan lain yang memiliki abang. Nampaknya saya tidaklah 'bertuah' seperti Afif yang ada abang dan kakak.

Sewaktu anak-anak saya kecil dahulu saya sering menguji kefahaman mereka tentang sesuatu perkara dengan menulis karangan. Oleh kerana mereka sering dibawa balik ke kampung saya telah meminta mereka menulis karangan yang bertajuk "Kampung ku". Dalam ramai-ramai anak saya itu ada juga yang menulis ‘ Bapa saya selalu membawa kami balik kampung. Jarak kampung saya lebih kurang 60 km. Kampung saya sangat cantik. Kampung saya dua tingkat. Kami selalu tidur beramai-ramai di tingkat bawah………....

Alamak....., rupanya anak saya yang ketika itu sudah pun di darjah empat masih tidak lagi memahami apa maksud 'kampung'. Kampung yang dia faham ialah rumah ‘datuk dan nenek’nya. Bukannya sebuah kampung tradisional yang mempunyai nilai-nilai kejiranan, hubungan silatur rahim antara keluarga yang berangkai-rangkai jurai keturunannya. Alahai anak ku.....

Mar 17, 2009

Bokor


Malam tadi saya agak terlewat masuk tidur daripada jadual biasa. Selalunya selepas solat Isyak saya akan merebahkan saja badan yang beratnya hanya kurang lebih 58 kg yang ideal dengan ketinggian 165 cm ini. Mungkin juga saya telah terperangkap dengan keasyikan menonton cerita di TV. Bermula dengan cerita Jula-Juli di TV9, sehinggalah menonton filem Bujang Lapok di TV2 lakonan tokoh legenda filem Melayu, P.Ramlee. Sebuah kisah masyarakat yang ‘dibalut’ dengan plot yang menarik, percintaan uda dan dara, kahwin paksa, krisis keluarga, isu hantaran, beban hutang, perempuan meminang lelaki dan terselit juga dicelah-celahnya babak-babak ‘sindiran’ terhadap sifat ‘kepura-puraan’ manusia. Kisah filem yang masih tetap ‘sesuai’ walaupun sudah ‘lusuh’ diputar.

Secara kebetulan kisah itu diputar kembali ketika musim kenduri kahwin sedang rancak sekarang. Kenduri kahwin pun sudah tidak lagi mengira hari. Pendek kata setiap hari ada sahaja jemputan. Tidak termasuk keluhan rakan-rakan yang tidak ‘tertahan’ dengan banyaknya jemputan sehingga lima enam kenduri sehari. Terpaksa juga memilih-milih mana satu jemputan yang hendak diutamakan. Itulah ‘penyakitnya’ kalau ramai yang mengenali kita dan ‘sakit’ jugalah poketnya. Cuma di Terengganu ini, janganlah merasa pelik, jika dua tiga majlis ‘walimatul urus’ yang kita hadir tuan rumahnya ‘menolak’ untuk menerima wang ketika bersalam. Kerana tujuan mereka mengadakan kenduri itu atas niat bersyukur atau bersedekah sahaja. Terutamanya bagi perkahwinan anak lelaki. Begitulah adat yang berbeza-beza. Lain padang, lainlah belalangnya. Lain negeri lainlah adatnya.

Sepertimana juga adat di kampung saya yang hampir menjadi wajib menyiapkan 'bokor’ kepada pasangan pengantin baru. Bokor ini biasanya dibawa oleh pasangan pengantin ke rumah bapa dan emak saudara atau saudara mara terdekat selepas berkahwin. Ia sebagai budaya kenal mengenal antara pasangan dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Ketika saya berkahwin dahulu emak sudah pun mengacau ‘penganan’ sebulan lagi sebelum tarikh kenduri. Penganan ini kemudian diisi dalam sebuah bekas yang disebut 'bokor'. Ketika pergi berziarah kerumah bapa dan ibu saudara, bokor ini akan dibawa bersama sebagai 'buah tangan' kepada tuan rumah. Ketika kami balik bokor itu akan dipulangkan semula dan 'penganan' tadi diganti pula dengan 'duit'. Simboliknya 'pasangan muda' perlu datang ke rumah keluarga yang lebih tua untuk merapatkan hubungan dan belajar adat 'bertandang' ke rumah orang, janganlah datang 'berlenggang' sahaja bawalah sedikit 'buah tangan'. Begitu juga duit balasan yang diberi tidaklah sebanyak mana tetapi juga adalah sebagai simbolik tanda doa restu, sokongan dan sedia membantu untuk memberi nasihat dan buah fikiran kepada 'pasangan' yang baru sahaja melalui alam rumah tangga itu.

Hari ini adat budaya membawa bokor ke rumah saudara mara sudah semakin pupus. Pasangan pengantin pula selepas majlis kenduri sudah ‘tergopah-gapah’ untuk pergi berbulan madu. Selepas berbulan madu dan menghabiskan cuti, mereka terus sahaja kembali bekerja. Mungkin selepas berbulan-bulan berkahwin ada yang masih belum kenal bapa saudara dan emak saudara atau sepupu sepapat pihak lelaki atau pihak perempuan. Apo nak dikato, zaman dah berubah dunia dah maju.
Nota:
penganan - dodol
bokor - bekas bertutup berbentuk bulat dan bertangkai untuk meletakkan makanan

Mar 15, 2009

Kejutan


Minggu lepas saya telah mengucapkan selamat hari lahir kepada isteri tersayang. Sebelum ini jarang-jarang saya peduli tentang sambutan hari kelahiran itu. Sewajarnya selepas lama merentasi alam perkahwinan, sekali-kali perlu juga membuat kejutan untuk mengeratkan tali perkahwinan yang sudah memasuki tahun ke 24. Tahun hadapan ialah sambutan Jubli Perak. Mungkinkah ada sambutan yang hebat-hebat,…… masih lagi dalam pertimbangan :). Apa pun tempoh yang begitu lama amat mengujakan kami untuk terus mengharungi bahtera rumah tangga sebagai sepasang suami isteri yang kekal aman dan bahagia. Perkahwinan yang telah dilalui dalam pelbagai ragamnya. Ada ketikanya panas, ada ketikanya dingin, bergelombang dan tenang. Semoga doa kedua ibu-bapa kami, saudara-mara dan rakan taulan pada hari perkahwinan kami dahulu telah dimakbulkan Allah. Semoga tiada ujian berat yang datang selepas ini, maklum sahajalah kita tidak mampu menjangka apa yang akan berlaku ‘waimma’ seminit kehadapan.

Bersempena sambutan hari lahir isteri, kami telah juga menghabiskan masa di hujung minggu lepas dengan meronda-ronda dan singgah dibeberapa buah ‘Rumah Batik’ di Kuala Terengganu. Akhirnya ‘berkenan’ juga untuk membeli kain sutera Terengganu yang terkenal halus buatannya itu. Hadiah hari lahir yang ke 49 tahun. Kejutan kali kedua dari suami yang jarang-jarang membelikan hadiah itewww. :0

Tentulah kejutan demi kejutan itu berlaku sepanjang hidup kita. Pelbagai bentuk dan pelbagai ragamnya. Cuti sekolah sudah bermula sekarang, 41 tahun dahulu ketika musim begini saya menerima kejutan pertama dalam hidup. Ketika usia saya mencecah lapan tahun sepupu lelaki sebelah keluarga emak mati lemas di Sungai Kundur. Jarak umur kami hanya tiga tahun. Musim-musim cuti sekolah seperti ini adalah masa-masa yang paling dinanti-nantikan kerana arwah Aman akan pulang sehari dua ke ‘kampung’. Oleh kerana tiada sepupu lelaki lain di sebelah keluarga emak, maka ikatan kami begitu rapat sekali. Pada masa-masa lain kami akan ‘bercuti’ pula ke Kg Kundur bertemunya yang kebetulan tinggal bersama Atok dan Nenek. Bertahun-tahun selepas itu saya rasa kehilangan ‘dia’ terutamanya bila datangnya cuti sekolah seperti sekarang. Walau pun masih ramai lagi sepupu lelaki saya sebelah keluarga abah, saya masih tidak lupa kepada wajahnya yang ceria, setiap kali dia ‘pulang’ kami akan bermain ‘kojar kojir’, memanjat pokok ‘beweh’, atau sama bermain-main dengan sepupu perempuan ‘lai li tamplong’, ‘enjit-enjit semut’, laga biji getah, bermain kapal terbang kertas………..

Namun begitu saya masih tetap terkejut, ketika di tempat kerja teringat nak makan lauk itu nak makan lauk ini, bila balik makan tengahari lauk itu sudah terhidang pun di atas meja. Mungkin juga kerana sudah lama 'serumah' gelombang pemikiran saya dan isteri dah jadi satu……. :)



Nota :

Kojar-Kojir - Berkejar-kejaran

Beweh - Jambu Batu

Mar 10, 2009

Khutbah dan Buah Mangga


“Assalamualaikum……..”
“Assalamualaikum……..”
“Assalamualaikum........”
Laungan itu makin kuat
"Alaikumussalam". Saya menjengolkan muka di depan pintu yang baru terbuka.
"Nak apa"
"Nak pelam pok"
"Ambil le.."


Saya terus menutup pintu. Berdebab-debab bunyinya buah mangga jatuh ke bumi bertingkah dengan bunyi sorakan budak-budak berusia 7 hinga 12 tahun itu. Saya tak peduli sangat tentang buah mangga itu. Pokok itu pun bukan pokok mangga saya. Saya menyewa rumah ini pun dari seorang guru. Ada lima batang pokok mangga yang sentiasa berbunga dan berbuah pada musimnya. ‘Puas’ sudah kami sekeluarga menikmati buah mangga ini. Ada yang jatuh sendiri, ada juga yang saya kait dan agihkan kepada jiran-jiran keliling. Atau pun menungu makcik yang saya fikir sudah berusia 70 tahun tapi masih kuat menunggang basikal, bekerja di kilang keropok lekor di ujung kampung Rhu Muda itu. Dia sering berhenti bila melihat pokok mangga yang lebat buahnya ini. Masih kuat juga ‘nenek’ ini makan asam.

Apa kaitan dengan kumpulan budak itu. Tiga tahun dahulu budak-budak ini senyap-senyap sahaja mengait buah mangga ini. Menunggang basikal sambil seorang lagi berdiri mencapai buah mangga yang terjulai dibawah dahan. Ataupun terhendap-hendap dan kemudian melonjak pantas sebelum merentap dua tiga biji mangga muda. Sesekali anak saya menyorak dari dalam rumah, hilang sekejap, datang lagi, sorak.. hilang… datang lagi… sorak…... Akhirnya saya hilang sabar. Saya telah pergi ke kelompok budak-budak itu lebih kurang tujuh lapan orang. Ada dua tiga orang yang lari bertempiaran dan memecut serta hilang di hujung selekoh. Yang tinggal kelihatan ragu-ragu dengan kedatangan saya.

"Bukan saya pok"
"Bukan saya pok"
"Budok yang lari tuh.."

Saya tidak kisah alasan itu. Selepas memberi salam, sekurang-kurangnya mereka bersangka baik. Saya akhirnya berkhutbah pendek. Mengenai dosa dan pahala,

“Susoh ke mung nok minta izin..Dok tahu ke mencuri tu dosa. Dosa tu sokmo-sokmo masuk neraka. Tau dok makang haram tu masuk neraka. Kalau mung nok.... minta . Jangan dok minta. jangan mudoh-mudoh jadi pencuri..........bla..bla..bla

Nampaknya petang itu saya menjadi ustaz yang baru nak start. Singkat sahaja khutbah saya . Selepas bersalam-salam dan menepuk-nepuk bahu budak yang masih 'hijau' ini saya kembali kerumah. Kerana saya tahu kalau budak-budak ini dimarah dan dimaki atau enggan memberi, mereka tetap akan mencuri. Alhamdulillah , syukur selepas itu …….pasti ada salam setiap kali mangga itu berbuah.
p/s betul ke cakap Terengganu saya tu :)

Mar 8, 2009

Ya Rasulullah saw


Tanggal 12 Rabiul Awal datang lagi. Sekali lagi kita memperingati dan menyambut kedatangan hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.aw. Nabi pilihan Allah yang telah diangkat menjadi Rasul terakhir. Tiada lagi nabi selepasnya. Jika ada yang mengaku menjadi Nabi ataupun Nabi Melayu, janganlah terpedaya dengan pembohongan yang nyata itu.

Sewaktu kecil, pagi-pagi lagi kami akan memakai baju Melayu dan berarak dari surau-surau dalam kampung kami menuju ke masjid. Begitu meriah, bersalawat sepanjang jalan dan kemudian mendengar ceramah dari penceramah undangan. Sirah Rasulullah dikupas satu persatu dari kelahiran Nabi ditahun gajah, kehancuran tentera Abrahah, ibu susuan Nabi Halimatus Saadiah, dada Rasulullah dibedah dan disiram dengan air zam-zam. Sirah Nabi ini diulang-ulang saban tahun.

Tidak juga terlepas cebisan kisah Rasulullah dalam peristiwa Israk Mikraj. Bermula perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum menaiki buraq ke Sidratul Muntaha. Cuma kini Masjidil Aqsa yang terletak dibumi Palestin itu masih ditawan oleh tentera zionis. Masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam. Masjid yang menjadi pintu kepada Rasulullah menaiki langit untuk menerima perintah solat. Masjid yang akrab dengan sejarah agama samawi tetapi masih terjajah. Ketika hayat Rasulullah, baginda menghantar beberapa pasukan tentera untuk membebaskan Masjidil Aqsa daripada tangan kerajaan Rom. Masjidil Aqsa hanya ‘terbebas’ dizaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab. Terjajah lagi kepada tentera salib dan dibebaskan semula oleh panglima Islam Salahuddin Al Ayubi pada tanggal 27 Rajab 583H bersamaan dengan peristiwa Israk Mikraj itu. Pasti yang mengkaji sejarah Islam tidak akan lupa kepada kata-kata keramat Salahudin Al Ayubi “ Siapa yang dapat menguasai Masjidil Aqsa maka mereka juga yang menguasai dunia”. Benarlah kata-kata Salahudin Al-Ayubi itu, hari ini bangsa Yahudi terus ‘menjajah’ Masjid Al-Aqsa dan menguasai percaturan ekonomi, politik, sosial dunia dengan azam untuk menghancurkan budaya bangsa lain dan menunggangi mereka untuk kepentingan zionis.


Semoga kita terus memperbanyakkan salawat keatas junjungan Nabi Muhammad saw. Meningkatkan ilmu dan amal, berdoa secara istiqamah dan yakin bahawa kemenangan itu tetap akan datang dan tiba sebagaimana janji Allah dan Rasulnya.
p/s Masih teringat semasa kecil 'berarak' menempuh debu dan lecah dijalan kampung sempena Sambutan MauliduRasul ialah............ Pok Li

Mar 6, 2009

Bukit Putus


Beberapa hari yang lalu laluan Bukit Putus telah ditutup kerana kejadian tanah runtuh. Kalau dari Seremban inilah laluan rentas paling pendek ke Kuantan atau ke Mersing. Seingat saya laluan ini jarang ditutup kerana tanah runtuh, kalau adapun kerana kemalangan jalanraya.

Laluan Bukit Putus tidaklah terlalu panjang, hanya lapan kilometer sahaja. Empat kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit. Puncak bukit itu menjadi sempadan antara dua daerah, Seremban dan Kuala Pilah. Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai oleh ramai pemandu. Selekohnya tajam dan agak sempit. Mungkin ‘mengerikan’ bagi pemandu baru atau yang baru pertama kali melaluinya. Saya telah melaluinya bertahun-tahun lamanya ketika menetap di Kuala Pilah. Laluan yang sebahagiannya telah termasuk dalam catatan perjalanan hidup saya. Kereta yang saya pandu pernah berpusing 360 darjah ketika mengambil selekoh landai berhampiran pokok ‘tulang daing’di selekoh kedua mendaki puncak bukit ini. Syukurlah tiada kereta dan lori yang melintas. Kalau tidak mungkin sudah menjadi berita utama. Sekali lagi ketika pulang dari melihat anak bongsu yang masuk wad di Hospital Seremban, sebuah motorsikal yang dipandu laju tergelincir di garisan putih pembahagi jalan dan hampir menerobos hadapan kereta kami. Berbulan-bulan lamanya saya ‘trauma’ apabila berselisih dengan motorsikal di selekoh.

Apapun di kaki Bukit Putus inilah terletaknya Hutan Lipur Ulu Bendol yang terkenal itu. Hutan Lipur yang menjadi tempat perkelahan kami sekeluarga. Jika ada kesempatan dihujung-hujung minggu, kami akan membawa bekalan makanan, menghamparkan tikar dan berehat-rehat di tepi sungai yang jerneh airnya itu. Memerhatikan anak-anak kami yang masih kecil ketika itu meniti batu-batu dan bermain air yang dingin. Setelah mereka ‘terketar-ketar’ kesejukan barulah perkelahan itu tamat.. Nostalgia itu bagaikan baru berlaku semalam. Sudah sepuluh tahun saya tidak ‘menjengok’ hutan lipur ini. Sesekali kami melintasi kawasan ini sudah ada dua tiga bangunan baru dibina dikiri dan dikanannya. Adakah airnya masih dalam seperti dulu, ataupun sudah semakin cetek, entahlah.

Kini Lebuhraya Kuala Pilah-Seremban sedang dibina merentasi bukit-bukau itu. Masa untuk ke Seremban dan ke Kuala Pilah akan menjadi lebih cepat dan pantas. Laluan alternatif ke Pantai Timur ini akan lebih ramai penggunanya. Perjuangan penduduk Kuala Pilah sejak bertahun-tahun lamanya untuk ‘meluruskan’ jalan Bukit Putus telah pun tercapai. Saya percaya selepas lebuhraya ini siap Pekan Kuala Pilah akan berubah wajah dan lebih meriah. Pekan kecil yang bukan sahaja bersejarah tetapi turut melahirkan seorang tokoh politik negara yang disegani, Tun Ghaffar Baba (Allahyarham).