Dec 18, 2009

Bola Hijrah

Hari ini adalah hari pertama tahun 1431 Hijrah. Bermakna sudah 31 tahun kita berada di abad ke 15 Hijrah. Peristiwa itu berlaku ketika saya sudah pun menetap di Kuala Lumpur. Ia jatuh pada 11 November 1980. Bagi memperingati tahun yang penuh sejarah itu saya telah membeli wang syiling kenangan Abad ke 15 yang dikeluarkan oleh Bank Negara dengan nilai $1.00.

Dikesempatan ini juga saya mengucapkan selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua rakan dan taulan, rakan-rakan blogger yang masih aktif menulis ataupun yang sudah ‘bersara’ tetapi masih rajin membaca blog rakan-rakan yang terus beraksi di alam maya ini. Doa saya semoga kalian dimurahkan rezeki, umur yang berkat, dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah, kewarasan dan keluasan berfikir, mudah melaksanakan urusan dunia begitu juga urusan akhirat. Mudah-mudahan juga amalan tahun lepas dan akan datang sebagai amalan yang diredhai oleh Allah swt yang telah menciptakan langit dan bumi dan segala isinya serta menjadikan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Insya Allah semoga kita juga dikurniakan kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Amin.

Kebetulan pula, selepas beberapa minit sahaja memasuki tahun baru hijrah, pasukan bola sepak negara telah berjaya mengotakan impian mereka untuk meraih pingat emas yang diidam-idamkan sejak 20 tahun dahulu. Sebagai rakyat Malaysia saya turut berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain bola sepak negara yang telah mengharungi perlawanan yang penuh getir sepanjang mereka berada di Ventiane. Sudah tentu nama K.Rajagobal jurulatih pasukan bola kebangsaan ini akan menjadi lebih tersohor selepas ini. Dari sebuah pasukan yang tidak diberi pengharapan tinggi tetapi kemudian pulang dengan membawa gelaran 'juara'.

Saya bukanlah peminat fanatik bola sepak yang sanggup menunggu berjam-jam di hadapan tv ataupun menghabiskan wang dan masa untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium. Malah tidak juga bersengkang mata dan bangun pagi hanya semata-mata untuk menonton pasukan bola yang saya minati. Saya lebih berminat untuk menyaksikan permainan badminton daripada bola. Namun demikian saya tidak terlupa untuk mengikuti perkembangan bola sepak negara. Malaysia sudah pernah mencipta nama besar di Asia Tenggara sebagai pasukan bola yang digeruni dan disegani. Saya berkesempatan menonton siaran langsung Malaysia lawan German di Sukan Olimpik Munich tahun 1972. Walaupun Malaysia ketika itu tewas 3-0 dan menjadi pasukan ‘kerdil’ dalam kumpulannya, tetapi ia tidak menjadi ‘pasukan belasahan’ seperti yang terjadi kepada pasukan bola sepak Timor Leste. Malaysia tetap hebat sehingga setiap kali Pesta Bola Merdeka diadakan, Malaysia tetap unggul sebagai juara yang sering bertemu di peringkat akhir dengan pasukan bola sepak Korea Selatan yang sudah jauh majunya sekarang.

Pemain-pemain pasukan bola sepak zaman 60an sehingga 80an terus menjadi lagenda yang sukar dicari ganti. Nama-nama seperti Ghani Minhat, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Isa Bakar, M.Chandran, R.Arumugam (penjaga gol) dan Mokhtar Dahari adalah tonggak pasukan bola sepak negara yang sentiasa menjadi sebutan dikalangan peminat sukan ini. Budak kecil sehingga kepada orang dewasa, mereka tetap kenal dan kagum dengan ‘bintang’ tersebut. Hari ini saya sendiri tidak mengingati siapakah nama pemain-pemain bola sepak yang mewakili negara atau yang mewakili pasukan bola sepak negeri-negeri. Begitulah merosotnya pemerhatian saya kepada perkembangan pemain-pemain bola sepak negara seperti merosotnya mutu pasukan bola sepak negara selepas tahun-tahun 90an.

Saya tetap teruja untuk melihat semula kecemerlangan pasukan bola sepak negara seperti zaman saya kecil dahulu. Adakah penantian saya itu sudah benar-benar berakhir dengan menyaksikan kebangkitan dan kemenangan pasukan bola negara di Sukan Sea di Vietnam …………………….. Wallahuallam.

Dec 10, 2009

Chef Li


Sudah hampir benar ke hujung tahun. Tahun 2010 akan menjelma hanya beberapa minggu dari sekarang. Minggu ini kami akan berkumpul semula
Afif anak bongsu saya baharu sahaja selesai peperiksaan SPMnya. Alang akan balik dari 'Opkim', Pulau Bum-Bum di Sabah, Atiqah juga akan pulang
dari 'Opkim' di Arau Perlis. Angah sudah beberapa hari pulang dari Cyberjaya dan Along juga sudah beberapa bulan pulang selepas tamat belajar di Uitm.

Atas pemintaan anak-anak minggu ini sekali lagi saya akan turun ke dapur. Menunjukkan bakat lama yang sudah hampir berkarat itu. Minggu lepas saya sudah masak nasi beriani dan kari daging. Minggu ini tak tahu lagi. Masih berkira-kira. Boleh jadi nasi lemak kukus dengan sambal ikan bilis atau pun tomyam yang lebih wangi aromanya jika dicampur dengan lada 'capsicum'. Saya bukan pandai sangat memasak, tapi mungkin kerana pengalaman 'dolu-dolu', bila isteri bersalin atau sakit sayalah akan jadi penganti ibunya. Boleh jadi kerana itu agaknya anak-anak masih rindukan masakan 'Chef Li' itewwww.
Nota:
Opkim : Operasi Khidmat Masyarakat
Capsikum : Lada Benggala

Dec 9, 2009

Spedo

Ketika membeli setem bernilai RM0.30 sen di pejabat pos pagi tadi saya cukup tertarik dengan gambar ‘Fighter Spider’ dari spesies Thiania bhamoensis itu. Semasa saya kecil-kecil dahulu inilah ‘spedo’ yang sering kami cari, terutama musim cuti sekolah seperti sekarang.

‘Spider’ ini selalunya bersarang di daun palas atau pun di rimbunan daun pandan. Sarangnya dibina dari daun-daun yang digam kejap dengan benang halus dari perutnya. Hanya ‘spider’ jantan sahaja yang ditangkap. Tidak sukar untuk membezakan antara ‘spider’ jantan dengan ‘spider’ betina. Spider jantan di kepalanya ada tompok putih, spider betina macam gambar dalam setem itulah, kepalanya berwarna hitam. Ia kemudian disimpan dalam kotak mancis yang sudah dialas daun.

‘Spider’ ini kemudian akan dilagakan. ‘Spider’ jantan yang lebih panjang jangkirnya selalunya lebih kuat. ‘Spider’ jantan yang ditangkap bersama pasangannya pula dianggap lebih degil dan sukar menyerah kalah. Sekurang-kurangnya seekor spider boleh bertahan ‘berlaga’ sehingga lima kali atau enam kali. Setiap kali kalah ia akan dibebaskan semula. Setiap hari akan ada juara ‘spedo’ yang ditabalkan. Itu pun tidak akan bertahan lama. Esok akan ada lagi pencabar baru. Tiada pertaruhan seperti laga spider di Filipina. Ia adalah keseronokan budak-budak dahulu. Kini bukan sahaja permainan itu tidak lagi dikenali, mungkin juga ramai yang tidak tahu tentang kewujudannya.

Dec 8, 2009

Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah

Saya tidak ‘rajin’ bercerita mengenai Bandar Marang. Kalau adapun posting saya mengenai asal-usul nama buah Duku di Kg Bukit Cherana. Kita sering bercerita mengenai perkara di luar lingkungan, sehingga terlupa banyak perkara dan cerita yang menarik berlaku di sekitar kita.

Ketika saya mula berhijrah ke sini empat tahun dahulu saya tidak menjangka ia hanyalah sebuah pekan kecil jika berdasarkan pada namanya, BANDAR MARANG. Bandar ini hanya ada beberapa buah deret kedai. Sederet di jalan Dungun, sederet di jalan Wakaf Tapai dan sederet lagi di Jalan Pantai yang kini lebih dikenali dengan nama Marang Waterfront. Ketika malam, bandar ini bertukar kelam. Kalau bukan kerana ada ‘traffic light’, saya fikir tiada kenderaan yang berhenti di bandar ini.

Apa pun, ketika bertemu Prof Dato’ Mohamad Abu Bakar anak jati Bandar Marang di Bengkel Local Agenda 21 Marang minggu lepas, saya lebih mengenali bandar ini. Dahulu Marang adalah perkampungan nelayan, tumpuan orang Cina mendirikan bangsal di tepi pantai tempat menjemur ikan. 'Orang hulu' menjual hasil-hasil kampung dengan perahu jalur. Ada yang menghilir jauh sehingga dari Kg Jenang (10 km dari Marang). Penduduk sekitarnya pula menangkap mengkabang, mengutip teritip, remis dan setiap tahun ada pesta air, mengejar itik dalam sungai dan memanjat tiang licin. Dua puluh atau tiga puluh tahun dahulu Bandar Marang dipenuhi oleh pelancung luar terutamanya 'Mat Salleh'. Setiap masa ‘mereka’ boleh ditemui di bandar ini, berjalan kaki, menaiki basikal atau menginap di sini seminggu dua. Kini ‘artifak’ itu sudah tiada, kampong tradisional Marang telah dipindahkan ke Sg Kerak, tiga kilometer dari lokasi asal. Hanya tinggal Kampung Alor Pak Bang, Kg Batu Merah dan Kg Paya yang tidak sampai 100 buah rumah. Deretan kedai beratap nipah sudah diganti dengan kedai batu. Masjid, Pasar Besar, Balai Polis, Bangunan Mara, Kompleks Pentadbiran dan Perpustakaan Awam semuanya ‘arca’ baru yang menghiasi Bandar Marang. Sedikit demi sedikit ia telah menghilangkan tarikan ‘mat saleh’ untuk datang melihat keunikan Bandar Marang.

Walaupun Marang belum berubah 360°, tetapi sudah mula membangun. Waktu malam, lampu-lampu neon berwarna-warni sudah indah terpasang. Lampu ‘high mask’ sudah menukar wajah kelam Bandar Marang kepada suasana yang lebih ceria. Bandar Marang telah berubah. Nasi lemak dahulu hanya berharga ‘se amah’ kini sudah naik sehingga ‘tiga amah’. Dulu bila saya mula berhijrah ke Marang. Kawan-kawan sering berkata, “untunglah kau Li, barang makan murah, ikan murah…..”. Lalu saya teringat kata seorang kawan; “tiada barang yang murah di sini, kalau ada pun air laut” :).




Nota :
Rajin : Loghat Terengganu seerti dengan selalu
Seamah : RM0.50
Tiga amah : RM1.50
Prof Dato' Mohamad Abu Bakar adalam mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan penyandang kursi Tun Abdul Razak, Universiti Ohio, Amerika Syarikat, 2005-2007

Dec 4, 2009

Tuah Hijrah

Saya tidak pernah tinggal di luar negara. Kalau ada pun hanya sekadar beberapa hari dan kembali semua ke tanahair. Sudah tentu saya tidak mampu meneka perasaan mereka apabila bertemu dengan rakyat Malaysia selepas bertahun-tahun bermastautin di negara orang. Boleh jadi seronok sangat. Boleh jadi tak rasa apa-apa pun.

Kini saya hanya berada di negeri orang, Terengganu. Penghujung bulan ini genap empat tahun saya ‘membumi’ di Marang. Belum lama sangat tapi sesekali berjumpa orang ‘nogori’ saya rasa cukup seronok, Berbual dalam loghat ibunda terasa ‘kesodapan’ yang tak dapat digambarkan. Tidak ramai orang NS di Terengganu. Kalau ada pun terpisah-pisah. Tidak mengaku ‘orang negeri’ pun ada. Biasalah ragam manusia. Tidak menghairankan sangat, kerana yang tak mengaku Melayu pun dah ramai juga.

Apa pun mulai Oktober lalu saya sudah mendaftar sebagai ahli PEWARIS (Persatuan Waris dan Anak Negeri Sembilan). Terima kasih kepada Datuk Zaki yang menjadi pengasas dan pengerusi persatuan ini sejak tahun 2006. Walaupun persatuan ini tidak berdaftar tapi cukuplah sebagai wadah untuk menemukan lebih 300 orang ‘anak nogori’ di perantauan. Ada yang sudah merantau sehingga 60 tahun, berkahwin, beranak-pinak, bercucu dan bercicit. Ada yang sudah menjadi orang penting kerajaan negeri, pensyarah universiti, guru-guru, pengurusan tertinggi jabatan kerajaan, syarikat swasta, perbankan, pengusaha motel dan chalet serta klinik sendiri. Itulah tuahnya berhijrah.

Saya hanyalah sebahagian daripada mereka yang berhijrah untuk sementara waktu. Satu hari nanti Insya Allah saya pasti akan kembali juga ke kampung halaman, bagai kata perbidalan, sejauh-jauh seluang melaut, ke hulu sungai juga tempat kembali. Cuma kalau saya rindu hendak makan rendang dan gulai lemak cili api saya akan ke Kedai Kak Yah di Jalan Cerung Lanjut, Kuala Terengganu atau ke Restoren My Mum Nasi Lemak di Gong Badak.

P/S SALAM HIJRAH DAN SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM 1431H.