Dec 8, 2009

Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah

Saya tidak ‘rajin’ bercerita mengenai Bandar Marang. Kalau adapun posting saya mengenai asal-usul nama buah Duku di Kg Bukit Cherana. Kita sering bercerita mengenai perkara di luar lingkungan, sehingga terlupa banyak perkara dan cerita yang menarik berlaku di sekitar kita.

Ketika saya mula berhijrah ke sini empat tahun dahulu saya tidak menjangka ia hanyalah sebuah pekan kecil jika berdasarkan pada namanya, BANDAR MARANG. Bandar ini hanya ada beberapa buah deret kedai. Sederet di jalan Dungun, sederet di jalan Wakaf Tapai dan sederet lagi di Jalan Pantai yang kini lebih dikenali dengan nama Marang Waterfront. Ketika malam, bandar ini bertukar kelam. Kalau bukan kerana ada ‘traffic light’, saya fikir tiada kenderaan yang berhenti di bandar ini.

Apa pun, ketika bertemu Prof Dato’ Mohamad Abu Bakar anak jati Bandar Marang di Bengkel Local Agenda 21 Marang minggu lepas, saya lebih mengenali bandar ini. Dahulu Marang adalah perkampungan nelayan, tumpuan orang Cina mendirikan bangsal di tepi pantai tempat menjemur ikan. 'Orang hulu' menjual hasil-hasil kampung dengan perahu jalur. Ada yang menghilir jauh sehingga dari Kg Jenang (10 km dari Marang). Penduduk sekitarnya pula menangkap mengkabang, mengutip teritip, remis dan setiap tahun ada pesta air, mengejar itik dalam sungai dan memanjat tiang licin. Dua puluh atau tiga puluh tahun dahulu Bandar Marang dipenuhi oleh pelancung luar terutamanya 'Mat Salleh'. Setiap masa ‘mereka’ boleh ditemui di bandar ini, berjalan kaki, menaiki basikal atau menginap di sini seminggu dua. Kini ‘artifak’ itu sudah tiada, kampong tradisional Marang telah dipindahkan ke Sg Kerak, tiga kilometer dari lokasi asal. Hanya tinggal Kampung Alor Pak Bang, Kg Batu Merah dan Kg Paya yang tidak sampai 100 buah rumah. Deretan kedai beratap nipah sudah diganti dengan kedai batu. Masjid, Pasar Besar, Balai Polis, Bangunan Mara, Kompleks Pentadbiran dan Perpustakaan Awam semuanya ‘arca’ baru yang menghiasi Bandar Marang. Sedikit demi sedikit ia telah menghilangkan tarikan ‘mat saleh’ untuk datang melihat keunikan Bandar Marang.

Walaupun Marang belum berubah 360°, tetapi sudah mula membangun. Waktu malam, lampu-lampu neon berwarna-warni sudah indah terpasang. Lampu ‘high mask’ sudah menukar wajah kelam Bandar Marang kepada suasana yang lebih ceria. Bandar Marang telah berubah. Nasi lemak dahulu hanya berharga ‘se amah’ kini sudah naik sehingga ‘tiga amah’. Dulu bila saya mula berhijrah ke Marang. Kawan-kawan sering berkata, “untunglah kau Li, barang makan murah, ikan murah…..”. Lalu saya teringat kata seorang kawan; “tiada barang yang murah di sini, kalau ada pun air laut” :).




Nota :
Rajin : Loghat Terengganu seerti dengan selalu
Seamah : RM0.50
Tiga amah : RM1.50
Prof Dato' Mohamad Abu Bakar adalam mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan penyandang kursi Tun Abdul Razak, Universiti Ohio, Amerika Syarikat, 2005-2007

6 comments:

Tirana said...

Banyak tempat yang dulunya tempat jin bertendang dah jadi tempat manusia bertendang..hehehe..Kampung saya pun macam tu..sesekali balik tengok ada aje perubahannya. Kadang-kadang rindu pada suasana yang dulu...

p/s Wow, blog Pok Li dah berubah wajah.

Pok Li said...

Tirana
Saya juga suka perubahan. Namun pembangunan itu tetap lestari tanpa menggangu gugat alam sekitar dan kemurnian budaya.

Paparan berubah untu sambut tahun Hijrah dan Masehi yang semakin dekat. Salam Hijrah dan Tahun Baru.

en_me said...

air laut free jerr pokli kannns.. ehehe

Pok Li said...

en_me
Siapa sanggup minum air laut tu :)

nohas said...

Salam Hijrah 1431..sekali dilanda tsunami, musnah sama sekali..

Kdg2 perubahan ni satu pembaziran jg, mcm di 'hometown' saya, buat arca tu, arca ni, mcm2 arca sampai pondok telefon merah mcm kat London pun ada..jgn naik cukai pintu udahlah..

Pok Li said...

nohas
Betul tu. Apa pun harusnya pembangunan sikap juga seiring dengan pembangunan fizikal

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails