Jan 25, 2014

Sabar Menanti 2

Kesabaran itu ada hikmahnya. Pada hari saya  bertolak ke Kota Kinabalu saya dijamu sepuas-puasnya  oleh Yahya dan Anna rakan di Labuan menikmati kuih cakoi bersalut mentega dan kaya. Bukan di Restoran Sabar Menanti tetapi di restoran lain. 

Walaubagaimanapun kenikmatan kuih cakoi itu sudah jauh merosot berbanding  dahulu. Mentega dan kaya tidak lagi setebal seperti sepatutnya, ia disalut nipis dan dipotong kecil. Mungkin kerana harga barang asas yang sudah naik atau pun peniaga cuba memaksimakan untung. Ada kemungkinan juga pewaris perniagaan itu tidak benar-benar menguasai ‘resepi asli’ makanan tersebut.

Mengekalkan rasa asli sesuatu makanan amat penting. Ia sebagai kuasa ajaib untuk mengekalkan tarikan pelanggan ke premis mereka. Pada tahun 1980 ketika mula-mula saya berkenalan dengan Bandar Kuantan, gerai nombor 6 di tepi sungai Kuantan yang dikenali sebagai ‘benteng’  itu menjual lychee kang  yang amat enak rasanya. Rasa asli resepinya begitu mengujakan dengan tambahan buah prune dan telur puyuh. Dijual pada harga RM1.60. Harga yang ‘boleh tahan’ juga pada masa itu.

Dua atau tiga tahun selepas itu, bila berkunjung ke Kuantan sekali lagi saya bertandang ke gerai yang sama. Memesan Lychee Kang yang ‘umpph’ ini.  Amat mengecewakan,  beberapa bahan utama telah dibuang daripada resepi aslinya.  Buah lychee, prune dan telur  puyuh sudah tiada lagi.

“Kenapa sudah kurang bahannya bang?”

“Harga barang dah naik lah dik… tak boleh nak buat macam dulu… tak boleh nak tampung ”

Nampaknya isu barang naik ini telah berlaku secara berulang-ulang. Tiada noktahnya. Cuma saya melihat perbezaan  corak pemikiran antara peniaga dahulu dan sekarang. Peniaga dahulu mungkin lebih peka terhadap nasib pelanggannya. Mereka rela mengekalkan harga untuk membolehkan pelanggan menikmati makanan yang sama walaupun mutu dan keperisaanya berkurangan. Berbanding peniaga sekarang bukan sahaja menaikkan harga lebih mahal tetapi rasa makanannya tidaklah sesedap mana.

Sudah tentu usia saya yang melepasi separuh abad ini telah menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan. Ada jenis makanan yang sudah atau sukar ditemui lagi untuk dinikmati. Teh Haji Hashim yang paling enak pernah saya minum tidak akan ditemui lagi. Kerana resepi campuran tehnya berkubur bersama tuannya. Pada masa yang sama puluhan resepi baru muncul dan dicipta. Tidak kurang juga resepi yang menjadi warisan telah hilang tanpa ada penggantinya.

Namun begitu ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) adalah contoh resepi warisan yang telah diniagakan secara komersil. Ia diperkenalkan oleh Kolonel Harland David Sanders  pada tahun 1930. Ayam goreng KFC  hampir sahaja boleh dinikmati di mana-mana di seluruh dunia. Ada juga restoran makanan Malaysia yang meniru konsep franchise tersebut tidak mencapai kejayaan. Antaranya ialah Restoran ‘Satay Ria’ yang pernah dibuka  sehingga ke London pada pertengahan tahun 1980an.


Begitu pun saya telah menikmati dua ketul ayam ‘crispy’, sekotak kentang goreng, teh ‘o’ panas secara percuma di KFC Lapangan Terbang Labuan. Habuan daripada MAS untuk saya terus ‘sabar menanti’ kerana jadual penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu ditunda dari jam 7.40 petang kepada 10.30 malam. Adoyai…….

Jan 19, 2014

Sabar Menanti

Mungkin kerana keseorangan atau pun kesunyian saya menulis lagi. Betul-betul di pusat Bandar Labuan. Nama asal Bandar Labuan ialah Bandar Victoria. Ini kali ketiga saya menjejak kaki di sini. Kali pertama pada tahun 2000, datang lagi pada tahun 2004 dan selepas 10 tahun kembali lagi menjejak kenangan. 

Apa yang istimewanya pulau ini. Itu kena datang sendiri le. Masing-masing ada cita rasa sendiri. Secara umum ia adalah pulau bebas cukai. 

Petang tadi saya hanya berjalan-jalan seorang diri mengikut langkah kaki. Memasukki pusat membeli belah di Ujana Kompleks Kewangan di Jalan Merdeka. Masih biasa-biasa sahaja. Restoran di barisan hadapan kompleks yang menjual roti canai ketika saya mula sampai di Labuan dahulu telah digantikan dengan restoran makanan segera. Pengusahanya dahulu seorang bekas tentera,   'orang semenanjung' jika tidak silap berasal dari Johor. 

Meninjau-ninjau dan berpusing-pusing dalam kompleks yang kelihatan suram membuatkan saya bosan. Akhirnya menyusur keluar menuju Medan Selera Labuan berhampiran Hotel Dorsett yang tersergam gagah. Boleh jadi saya terlalu awal tiba, gerai menjual kepak ayam panggang masih belum dibuka. Berjalan lagi merentasi Dataran Labuan ke Jalan Tun Mustapa. Di penghujung jalan bertemu Hotel Aifa dan Restoran Marry Brown. Mungkin kerana hari minggu, hotel dan restoren makan segera sentiasa ada pengunjung. 

Kerana perut mulai terasa lapar saya singgah di sebuah restoren berdekatan. Memesan teh 'o' panas, minum kegemaran saya mutakhir ini. Teh tarik minuman kegemaran sebelum ini sudah dikurangkan, kerana rasa 'sebu' dan mungkin tidak lagi sesuai kerana faktor kesihatan.

Sementara saya menunggu minuman, saya teringat bahawa restoran ini 14 tahun dahulu pernah saya tandangi. Menikmati minuman petang dengan kuih cakoi yang istimewa. Kuih cakoi yang dibelah dua itu disapukan dengan mentega dan kaya yang tebal. Jika ia diperkenalkan di Semenanjung dengan nama Cakoi Labuan pasti ia mendapat sambutan. 

"Dik bagi cakoi..."
" Tunggu encik, kami sedang goreng cucur udang"
"Oh.. ok.. ok..." saya membalas separuh kecewa.

Saya memesan cucur udangnya bernilai RM2.00. Air teh 'o' dan cucur sudah habis.

" Bila nak goreng cakoi dik...."
"Nanti encik kami sedang goreng pisang pulak"

Saya tidak boleh menunggu lagi, petang pun sudah semakin ke hujung, Solat Asar belum lagi tertunai. Nampaknya hajat saya tidak kesampaian. Saya tak boleh nak marah kerana nama restoran ini memang mencapai maksudnya.... ya Restoran Sabar Menanti.