May 25, 2010

Kekayaan Yang Hilang

Dua atau tiga hari yang lalu saya telah dikunjungi oleh seorang pemandu pelancong wanita. Jangkaan saya umurnya dalam 40an. Masih belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa German.

"Saya tak berani lagi nak berbual dalam bahasa tu, mungkin sedikit masa lagi"

Dia percaya bahawa semakin banyak 'nilai tambah' yang dia ada semakin tinggi dan laris perkhidmatannya. Dia bercerita mengenai pengalamannya sebagai seorang pemandu pelancong. Saya hanya melongo. Banyak perkara yang saya kurang arif mengenai kerjayanya. Pelancong Barat katanya lebih berminat melihat alam semula jadi dan perkampungan tipikal Melayu.

"Kita sudah mula kehilangan kampung Melayu yang macam itu, rumah Melayu lama yang masih baik terjaga juga sudah semakin berkurangan. Semua orang sudah beralih untuh hidup maju. Tiada lagi hendak menggali dan mandi di perigi. Menanam padi menggunakan kerbau. Semua sudah berubah. Akhirnya tiada lagi yang akan kekal begitu"

Saya percaya bahawa apa yang dijangkakan oleh pemandu pelancong itu benar belaka. Permainan-permainan kanak-kanak se zaman saya juga sudah jarang dimainkan. Adakah lagi permainan galah panjang di kampung, permainan polis sentri, bola randas, gasing keling, melastik, laili tamplong, enjit-enjit semut, batu simbang, laga spedo, sorok-sorok, pondok-pondok, lawan biji getah, getah targen, ketenteng......................... terlalu banyak kalau hendak disebut. Adakah lagi ?.

Bukan sahaja permainan, resam budaya juga telah hilang satu persatu. Saya masih sempat menyaksikan pengantin yang bertutup mukanya waktu diarak di atas pengandar yang diperbuat daripada buluh sebelum majlis persandingan. Bersanding waktu siang dan malam. Berdikir (bukan dikir barat) hingga satu dua pagi. Lagu-lagu dikir ketika memukul rebana, sekarang sudah digantikan dengan pukulan kompang dengan lagu-lagu moden. Begitu juga adat istiadat mendirikan rumah dengan menegakkan tiang seri, lengkap dengan jampi serapahnya. Adat berlenggang perut bagi wanita 'bunting' sulong. Adat mencecah tanah bagi anak yang ibunya sudah habis masa berpantang.

Saya juga turut percaya kebolehan dan kepandaian orang tua dahulu sudah tiada lagi kepada generasi baru. Emak saya seorang pencari urat kayu yang tersohor di kampungnya. Setiap kali perempuan lepas bersalin akan membeli perkakasan mandi dan minum air akar kayu daripada emak. Sepanjang masa cerek di dapur kayu rumah kami ada air urat kayu. Akar kayu begitu mudah ditemui dalam hutan kecil di belakang rumah. Waktu itu harga seikat urat kayu hanyalah antara RM0.50 sen sehingga RM1.00 (tahun 1960-1970an). Kerana itulah agaknya tiada siapa yang ingin belajar. Hasil pulangannya tidak tinggi. Kini harganya sudah meningkat berkali-kali ganda. Mereka yang berpengetahuan mengenai herba boleh menjadikan mereka kaya-raya. Saya terpaksa mengakui saya hanya memiliki kekayaan yang hilang.

14 comments:

Daun Bidara said...

semua beransur ansur hilang kampung dah jadi bandar

Pok Li said...

Daun Bidara
Ada juga hutan terus menjadi bandar. Macam Putrajaya yang saya huni sekarang

sha said...

'Kemajuan' sudah menelan semua 'kekayaan' budaya hidup kita...

Pok Li said...

sha
Ada juga yang menambah kekayaan kita. Tapi tak mungkin kita akan mngulangi masa lalu.

Kamsiah said...

salam..
ya..itu harga yg kita terpaksa bayar,atas nama kemajuan,kecanggihan,pembangunan...hingga makin hilang apa yg ditinggalkan oleh nenek moyang kita dulu...
sunnguh,,..saya amat rindu suasana kg zaman kecik2 dulu..main layang2 disawah,mandi sungai...
ahh anak2 sekarang tak mungkin merasai pengalaman mcm tu..
segalanya telah hilang,dek kerakusan sesetenah pihak mengaut untung...

Pok Li said...

kamsiah
Setuju. Anak-anak saya tidak lagi tahu bagaimana nak buat serunai daripada batang padi.

en_me said...

insaff kannns.. uhuhu

Pok Li said...

en_me
Begitulah encik...

Razali Razman said...

Salam Pok Li,

Walaupun saya lahir kat KL, bersyukur kerana boleh balik kampung mak di Muar masa kecik-kecik dulu...tapi sekarang pembangunan bandar telah beransur-ansur berkembang sehingga rumah kampung tu sekarang dah jadi rumah bandar. Kekayaan yang hilang ialah khazanah alam...tapi kekayaan yang ditambah ialah nilai tanah tu dah berlipat kali ganda...cuma diharap biarkanlah beberapa kawasan kampung dan hutan tidak diusik demi manfaat penduduk, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan anak cucu kita.

Pok Li said...

Razali Razman
Betul tidak semua kita hilang semua. Begitu juga kita tidak dapat semua

Tirana said...

Boleh dikatakan semua permainan kita dulu-dulu sudah pupus.. Anak-anak sekarang hanya pandai bermain permainan moden. Mungkin juga salah kita yang tidak menurunkan segala permainan tradisi itu kepada anak-anak.

Pok Li said...

Tirana
Mungkin kerana anak-anak kita pun tak tinggal di kampung dah.

Tirana said...

Pok Li, ada award untuk Pok Li di sini http://meniti-hari.blogspot.com/2010/06/you-are-best.html

Don Balon said...

Arus pembangunan kita bukanlah terlalu deras. Arus kita adalah arus yang tidak seimbang, mengalir dalam turbulent flow yang bercampur-baur, tidak terkawal, tidak disempadani budaya, jauh sekali ugama, dibejati pekong rasuah yang menggila.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails