Dec 4, 2008

Hitam Putih Perjalanan

Minggu lepas kami telah merentasi banjaran Titiwangsa ke Pantai Barat. Janji dengan isteri untuk ‘balik’ ke Pulau Pinang yang tertangguh beberapa kali akhirnya tertunai juga. Kali ini kami pulang bukan berdua tapi berlima. Pulang bersama anak lelaki kami, Along, Alang, dan anak bongsu kami, Afif. Pulang ketika musim tengkujuh sedang 'menggila' di Pantai Timur. Dari Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Pasir Puteh, Tanah Merah, Jeli hingga ke Grik, hujan tidak berhenti-berhenti. Perjalanan yang penuh bimbang, mana tahu tersangkut dimana-mana. Alhamdulillah, akhirnya petang itu kami sampai juga di Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. Pulau Mutiara yang banyak kenangan. Disinilah jodoh pertemuan kami. Disinilah juga tiga anak kami lahir. Enam tahun saya bermaustatin disini, bekerja, bercinta, berkahwin dan berkeluarga sebelum memutuskan untuk ‘balik kampung’ ke Negeri Sembilan.

Dua puluh tahun Pulau Pinang saya tinggalkan. Ada yang kekal, berubah dan bertambah. Tak kurang juga yang hilang dan pupus. Ketika mula-mula menjejak kaki ke Pulau Pinang pada tahun 1982, Jambatan Pulau Pinang dalam perancangan untuk dibina. Komtar sedang dalam pembinaan menaranya. Kini selepas 20 tahun, Jambatan Pulau Pinang sudah begitu sesak dan sedang dibesarkan lagi. Pembangunan juga semakin melebar, dari Bandar Geogetown sudah melimpah ke Jelutong, Air Itam, Tanjung Tokong, Bayan Baru dan Bayan Lepas. Jalan-jalan sudah semakin ‘padat’. Bermula dari jambatan sehinggalah ke jalan-jalan di Bandaraya ini. Keseronokan memandu 10 -15 tahun dahulu sudah ‘hilang’. Niat hati nak pusing ‘Pulau’, kegemaran yang saya lakukan setiap kali ‘pulang’. Bermula dari Jalan P. Ramlee ke Padang Kota Baru, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Feringhi, Teluk Bahang, melalui jalan berbukit dan berliku ke Balik Pulau. Kemudian ‘kembali’ semula melalui Pondok Upeh, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Uban, Gelugor dan berakhir di Jelutong. Hasrat itu tidak tertunai, kerana jalanraya semakin sesak bertembung dengan ‘cuti sekolah’ serta bermulanya ‘Pesta Pulau Pinang’. Cuma ‘idaman’ isteri saya sahaja yang terpenuh, makan ‘takua rendang’, cendul, laksa penang, mee kuah, rojak pasembur, sotong bakar dan nasi kandar. Makanan yang sudah lama tidak dinikmatinya. Akhirnya kami tidak pergi kemana-mana, hanya sempat ‘bertandang’ di Chowrasta membeli buah pala, mangga jeruk, kuah rojak ……… sebelum ke Prangin Mall, bersebelahan Komtar.

Tatkala hujan lebat ‘terus mengganas’ di Terengganu, kami masih lagi meneruskan perjalanan ke utara, Alor Star. Ketika 'berita' melaporkan sudah ramai mangsa banjir dipindahkan terutama di Marang, kami berdoa rumah kami selamat. Rumah sewa kami hanya 50 meter dari Sungai Marang. Sudah dua tahun kami menetap di sana. Kami masih ‘selamat’ walaupun air sungai selalunya melimpahi tebing. ‘Amaran awal’ itu datang, ketika kami sedang sibuk bersiap-siap untuk pulang. Mesej dari jiran kami itu telah merubah segala-galanya.

“ Banjir, Air dah nak masuk rumah” 5:54:09 am, 1 Dis 2008.

Walaupun ‘mood’ percutian sudah musnah, kami masih sempat lagi ke Pekan Rabu, beli lagi sedikit ole-ole, kuih karas, minyak gamat, kuih bangkit, kuih putu, bahulu sebelum memecut laju menghala ke Pantai Timur. Cuaca panas sehingga di Grik sahaja. Sebaik sahaja memasuki sempadan Kelantan, Jajahan Jeli, hujan mula renyai, diikuti kabus tebal, kami terasa seakan melalui titian di awan tinggi. Semakin kami menghampiri Terengganu hujan semakin lebat bersama angin kencang. Kami berdoa supaya tiada jalan yang ditutup. Kelajuan tidak membantu kami, mesej kedua datang lagi, “Dapur abg. Pintu blkg dah masuk air dah” 1.59.59 pm 1 Dis 2008.

Selepas melalui ‘marathon’ yang panjang sejauh 615km , merempuh beberapa batang jalan yang penuh airnya, hujan yang lebat dan cuaca yang kelam, akhirnya kami berjaya juga sampai di Marang. Apa pun rumah kami sudah dipenuhi air. Buku-Buku, alat-alat letrik, kain baju, sedang di keringkan sekarang………….

p/s pengajarannya musim hujan jangan jalan jauh-jauh.

Takua rendang = Tahu goreng yang di hidangkan bersama sos pencicah, cucur dan timun.

28 comments:

akuduniaku said...

salam Pok Li

semoga banjir kali ni ta banyak merosakkan harta benda Pok Li..

P/s: hati hati ngn air banjir...sb ianya sangat kotor..

Unknown said...

Salam Pok Li...

Harap barang semua dah kering...tapi nasib baik Internet masih boleh jalan. Kalu takde Internet sekarang rasa macam susah pulak...

Cerita pasal Pulau Pinang, satu aje saya ingat, traffic dan pemandunya. Kalau pergi sana, mesti bawak slow & lebih berhati-hati.

Nampak macam seronok Pok Li jelajah Malaysia naik kereta...saya pun nak cuba...

Tirana said...

Pok Li, harta benda yang rosak, insyaAllah boleh dicari ganti, tapi kalau nyawa melayang.. Alhamdulillah Pok Li selamat dalam perjalanan.

RY said...

kami tak teruk sgt. x sampai dlm rumah. tapi banjir mcm biasa lah...seronok..hihi

en_me said...

me tak paham one uooolsss.. hingatkan gi penang nak lari musim tengkujuh, tapi balik semula rumah dgn kebanjiran ittewww.. siannyer kannns

RAHISAM RAMLI said...

Salam pok li-kesian rasanya kepada mangsa banjir. Apapun sabar la Pok Li, moga keadaan beransur pulih.

HABIHA69 said...

assalamualaikum Pok Li saya tumpang bersedih di atas ujian yang ditempuhi kali ini...harap-harap barang-barang tak banyak yang rosak... tentu Pok Li & Family penat nak kemas rumah yang dah di masukki air bah...hati-hati lah Pok Li Musim tengkujuh masih ada lagi kan...Sabarlah Ye...ujian dari Allah tu..

Bonekahati said...

Salamz..
Kat sini pun banjir juga..
Tapi alhamdulillah rumah saya tak kena banjir. Kepada Pokli bersabarlah itu salah satu ujian.

Prasert Chaipradit said...

Kampung saya pun dilanda banjir, Pok Li, tapi belum sampai kena pindah. Banjir tahun ni begitu pantas, air naik dalam sekelip mata.

Masa budak-budak dulu, minta cepat-cepat banjir kerana nak pergi memukat ikan kat sawah. Ikan lampam, ikan puyu, ikan haruan banyak. Tapi sekarang dah banyak yang pupus.

nohas said...

Semoga tabah, Pok Li. Kat KL banjir selalu, tak kira musim...pening2..

"Sekali air bah, sekali pantai berubah". Begitulah juga arus pembangunan berubah mengikut zaman..tapi sekarang dah masuk dlm list "UNESCO world heritage site", semoga Penang kekal seperti adanya..

Pok Li said...

Aiman
Tak banyak yang rosak tapi banyak benda yang kena pilih dan buang

Pok Li said...

Saudara Razali

Seronok kembara bawa kereta kerana boleh singgah kat mana-mana sesuka hati.

Pok Li said...

Tirana
Masih selamat. Insya Allah

Pok Li said...

Razor

Ramai yang seronok dan bermain pesta air ni.Tetapi kalau air dah besar pasti dukacita kan.

Pok Li said...

Saudara Rahisam

Dua hari ini cuaca baik. Tak tahu lagi esok lusa. Banjir tidak berlaku dikawasan ini selama 11 tahun. Tahun ini banjir agak serius.

Pok Li said...

en_me

Ingatkan banjir di Penang. Rupanya banjir di Marang :(

Pok Li said...

HABIHA_69

Bimbang juga, hari ini cuaca mendung pulak. Musim tengkujuh hanya berakhir awal Januari. Doakan saya ustaz jangan masuk air lagi. Letih.....

Pok Li said...

kittun
Semoga tak hujan lagi. Doa lah sama-sama

Pok Li said...

Orang Bukit

Penang sudah berubah tapi banyak keunikannya. Lautnya masih cantik. Cuma dah semakin sesak itu je.

Pok Li said...

Mongkut

Banjir macam pesta pulak di Terengganu. Tapi kalau dah kena pindah sedih juga.

Unknown said...

Salam Aidil Adha

Pok Li said...

Pendekar
Selamat Aidil Adha juga

cinta said...

Tumpang simpati atas apa yg tlh berlaku pada umah serta anak kucing Pok Li. Banyak-banyakkan bersabar. Setiap apa yg berlaku pasti ada hikmahnya. Selamat Menyambut Aidil Adha.

Pok Li said...

Diana

Eh, skrip kucing tu tak masuk lah. he..he..he. Selamat Idul Adha

Anonymous said...

anak sedara sy pun nama afif juga..=)

harap pok li sabau banyak2 dengan dugaan ni,nak dekat2 raya korban ni,bykla masalah yg mendatang yer

apa2 pun selamat Eidul Adha Pok Li

p/s:nak duit raya pok li..hahahha

Don Balon said...

Pokli,
Lama tak masuk blog pokli..
koi pun lama tok update blog koi sendiri..koi kursus sebulan november baru ni.. baru tadi koi update..

apapun koi harap pokli bersabar..
mungkin ada hikmahnya..
koi tok pernoh merasa banjir dan mintak dijauhkan..

Pok Li said...

Puan Jawahir

kawasan saya ni 11 tahun dah tak banjir. Apa nak kata tahun ni kena juga. Duit raya... kena bagi no akaun la.... he.. he.. he.

Pok Li said...

Don Balon

Yang sedih banyak photo yang rosak, termasuk photo kahwin dan masa pok li muda dulu. Macho .. tu.