Sep 25, 2008

Cerita Kematian


Pagi kelmarin ketika saya sedang ‘upload’ kandungan ke blog ini, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Panggilan daripada rakan lama di Rompin, Roplan. Khabar dukacita. Isteri kepada staffnya meninggal dunia kerana mengidap penyakit tiroid. Ajalnya sampai ketika tersedak  minum air di waktu. Usianya baru 37 tahun, masih muda. Jenazahnya dibawa dari Rompin, Pahang ke Kampung Rusila, Marang.

Ketika keranda ditimbus secara perlahan-lahan ke liang lahad, airmata suaminya mengalir deras. Saya tidak dapat meneka apa yang sedang bermain dalam fikirannya, tetapi saya boleh rasa apa yang dia alami. Dia kehilangan isteri dan ibu kepada empat orang anak yang masih kecil. Hari Lebaran tahun ini tentulah membawa cerita yang berbeza. Kegembiraan berganti dukacita. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Innalillahi wainna ilaihi rojiun.

Saya sendiri telah melalui peristiwa kematian orang tersayang. Tahun 2001, ibu saya telah pergi ke alam baqa pada hari ke 22 Ramadhan. Walaupun saya telah berkahwin, beristeri dan mempunyai anak, kehilangan ibu amat dirasai. Setiap kali pulang ke kampung, setiap kali itu juga terasa ibu masih hidup. Masih jelas dalam ingatan, setiap kali menyambut Hari Lebaran, emaklah insan yang paling sibuk. Pintu pagar rumah akan dicat, setiap inci rumah dibersihkan. Langsir-langsir dipasang baru. Pinggan mangkuk hidangan hari raya dibasuh dan dikeringkan. Penganan (dodol) di kacau. Telur di pukul di dalam pasu untuk membuat bahulu. Kuih sirat, samprit, kuih bangkit, wajik, kuih putu, kuih goyang menjadi kuih wajib yang perlu ada. 

Emak juga ramai kawan-kawan. Dia terkenal rajin di kampung. Dari awal pagi sampai ke petang, emak tidak pernah penat untuk melakukan pelbagai perkara. Menoreh, mengangkit susu getah, memasak, membasuh, membersihkan kebun, mencari akar kayu (ibu saya mahir mencari akar kayu untuk kegunaan perempuan selepas bersalin) sehinggalah menjadi ‘kepala masak’ jika ada kenduri kendara di kampung. Emak saya seakan berurat dawai, bertulang besi. Kerana itu pada hari pengebumiannya, begitu ramai kehadiran menziarahi dan solat jenazahnya sebagai penghormatan terakhir. Emak meninggal ketika berusia 75 tahun, mengalami sesak nafas, komplikasi daripada penyakit lemah jantung yang telah lama dihidapinya. Setiap kali berhari raya di kampung saya akan kehilangan banyak perkara, sentuhan, masakan, kueh-mueh, dan cerita-cerita zaman lampau emak. 

Abah amat berdukacita selepas kematian emak. Pasangan yang telah selama 56 tahun. Berkahwin ketika Bandar Seremban diserang dan dibom oleh tentera Jepun. Pasangan ini telah dikurniakan lapan orang cahaya mata. Empat masih hidup, manakala empat lagi meninggal dunia sewaktu kecil. Bersama-sama melalui zaman sukar, pendudukan Jepun, pemerintahan komunis 14 hari, zaman orang putih datang balik, perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan sehinggalah sampai ke zaman merdeka, senang dan mewah. Bermula dengan menumpang berteduh di rumah bapa mertua, penerima bantuan zakat, akhirnya mampu memiliki beberapa bidang tanah dan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Akhirnya tercapai juga hasrat mereka untuk mengerjakan ibadat haji, rukun Islam yang ke lima beberapa kali.

Kematian ibu menjadikan abah berduka cita. Apatah lagi setahun selepas kematian emak adiknya yang paling rapat, Pak Lang meninggal dunia pula. Dua tahun itu adalah tahun kesedihan kepada abah. Ia kehilangan dua orang yang paling mengambil berat tentang kesihatannya. Abah ketika itu sudah menghidap penyakit angin ahmar. Berkat doa, perubatan moden dan tradisional, abah masih boleh mandi sendiri, memakai baju sendiri dan ke tandas sendiri. Untuk keluar ke halaman rumah ia perlu juga dipimpin. Selalunya abah akan menghabiskan masa di kerusi malas di hadapan rumah melihat orang lalu lalang. 

Kesihatannya dari hari ke sehari semakin merosot.  Seminggu sebelum menyambut bulan Ramadhan abah dimasukan ke hospital kerana darah tingginya naik mendadak. Abah berada dalam keadaan separuh sedar. Selepas segala usaha yang diambil tidak juga mendatangkan hasil positif, pihak hospital meminta kami sekeluarga membawa abah pulang ke rumah. Kami tahu bahawa ajal abah sudah semakin hampir. 1 Ramadhan, tahun 2003, selepas dua tahun kematian emak, kami kehilangan lagi seorang insan yang tiada gantinya. 

Hari lebaran tahun itu saya merasakan kehilangan yang amat sangat, kerana sepanjang usia saya dari kecil sehingga berkahwin dan mempunyai anak, saya masih bersama abah berhari raya. Selesai sahaja menunaikan solat Id Fitri, abah tidak terus pulang ke rumah. Kami akan terus ke rumah adik beradiknya seramai sembilan orang di sekitar kampung dan Bandar Seremban. Hari Raya kedua dan ketiga Abah pula menyambut kunjungan balas adik beradiknya. Ini adalah rutin kami setiap kali datangnya hari lebaran. Hubungan abah dengan adik beradiknya amat rapat. Abah selalu menjadi rujukan jika ada masalah keluarga selain Pak Lang. Kehilangan Abah bukan sahaja dirasakan oleh kami, adik-adik dan anak buahnya tetapi juga kenalannya dan warga kampung. 

Setiap kali berhari raya di kampung, saya akan mengikuti semula jejak Abah ke rumah adik beradiknya. Walaupun kami melalui jalan yang sama, tetapi tetap tidak sama seperti bersama Abah.

Kini bulan Ramadhan datang lagi setiap tahun. Cerita kematian tetap ada. Cuma cara kematian itu sahaja yang berbeza-beza. Saya terus berdoa, agar mendapat kematian husnul-khatimah.

“Dan sungguh kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) dari orang- orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkan dari siksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Q.S. Al-Baqarah:96).

1 comment:

Anonymous said...

salam pokli...

bile bace blog pokli, tersentuh plak.
rase beruntung sbb masih ade org tue di sisi. tak dpt bygkn klu ape yg dh terjadi pd pok li, berlaku kt saye.