Ketika membaca akhbar Utusan Malaysia pagi tadi, mata saya terpaku kepada berita, murid nyaris buta akibat mercun. Menurut berita tersebut budak itu telah meleraikan bahan letupan tersebut kepada dua bahagian dan menyalakan sumbunya. Cara budak-budak sekarang bermain mercun. Mereka bukan sahaja kreatif tetapi melakukan eksperimen yang berbahaya. Ibu bapa pula gagal memantau pergerakkan anak-anak kerana sibuk membuat persiapan Hari Raya.
Penjualan mercun telah diharamkan oleh kerajaan. Bermain mercun bukan daripada budaya Melayu. Ia adalah budaya dari negara Cina sejak abad ke-13 lagi. Budaya ini kemudiannya tersebar ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan Jepun. Sesetengah negara menjadikan permainan mercun sebagai tradisi. Contohnya negara Amerika Syarikat, meraikan Hari Kemerdekaan mereka dengan permainan mercun skala besar. Manakala negara Jerman membenarkan permainan mercun setiap kali sambutan Tahun Baharu.
Semasa saya kecil, mercun bukanlah bahan larangan. Pada usia lima tahun, abah telah mengajar saya bermain mercun. Mercun tepek adalah mercun popular waktu itu. Ia dibungkus dengan gambar dewa Cina perempuan. Dengan menggunakan puntong kayu api dari dapur, sumbu mercun dicucuh ke bara api dan dilontar. Dam dum dam. Membakar mercun memang mengasyikkan. Apatah lagi jika ia dibaling dalam tong atau lubang. Bunyinya lebih mampat berbanding dilontar begitu sahaja. Sesekali mercun akan meletup juga di jari kerana sumbu mercun yang pendek. Jari berasa berdenyut-denyut dan telinga akan menjadi bingar. Main tetap main.
Ia diteruskan pula dengan membakar mercun lidi (saiznya kecil sebesar anak mancis). Seingat saya, mercun yang ada ketika itu tidak banyak jenis, selain dari mercun lidi dan mercun tepek, satu lagi ialah mercun roket. Jika mahu merasa lebih keseronokan saya akan pergi ke rumah jiran bermain meriam buluh. Letupan bunyi meriam buluh itu akan sentiasa disambut oleh bunyi letupan dari meriam buluh yang lain. Kami akan saling berbalas-balas tembak. Kerana keseronokan itu lah agaknya ramai budak-budak sekarang tidak sedar bahaya bermain mercun.
Setelah saya menjadi bapa budak. Saya melarang anak-anak saya bermain mercun. Pertama kerana merbahaya, kedua kerana membazir dan ketiga ia menggangu kenteraman dan keharmonian jiran-jiran. Beberapa minggu lepas, boleh dikatakan hampir setiap malam budak-budak bermain 'mercun bola' berhampiran rumah saya. Ia bukan sahaja menggangu tidur anak-anak kecil, tetapi juga menggangu solat tarawih di surau berdekatan. Selepas rondaan polis dibuat barulah aktiviti itu tidak berlaku lagi. Amatlah malang ketika umat Islam mengerjakan ibadat puasa, pada masa yang sama ada juga segelintir umat islam yang melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.
Sebagai renungan saya paparkan petikan email yang saya ambil dari group "Kenalan".
'Permainan yang merbahaya ini sudah menjadi kebiasaan di Taman Desa Dahlia, berhampiran Balai Raya dan Surau setiap hari selepas waktu berbuka. Kadangkala belarutan sehingga 11:00malam. Perkara ini telahpun dilapurkan kepada pihak Polis Senawang tetapi masih belum dapat perhatian mereka. Sedangkan rumah saya bedekatan dengan surau setiap kali "BOM" diletupkan anak kecil saya terkejut dan terus menangis. Apakah jiran yang lain tidak boleh dengar letupan "BOM" ini. Adakah mereka menunggu sehingga remaja nakal ini kehilangan anggota badan. Dua tahun lepas 3 buah rumah telah
pun terbakar di taman ini disebabkan permainan mercun.Harap email ini akan mendapat perhatian pihak yang perhatin"
pun terbakar di taman ini disebabkan permainan mercun.Harap email ini akan mendapat perhatian pihak yang perhatin"
No comments:
Post a Comment