Sep 10, 2008

PATI, PKM dan PKR (1)


Tiba-tiba sahaja perasaan pilu, nyilu dan nyeri silih berganti bila menonton Buletin Utama TV3 dua malam dahulu. Mangsa pecah rumah Raja Noraina Raja Ahmad mati akibat didera dan dikelar dalam kejadian pecah rumah di Seksyen 13, Shah Alam. Innalilahi wainna ilaihi rojiun. 

Dua anaknya terpaksa terjun tingkap, seorang cedera manakala seorang lagi patah pinggang. Takziah kepada keluarga Raja Noraina. Semoga Allah mengantikan kesedihan keluarga ini dengan ketenangan dan kegembiraan sebagaimana Nabi Ayob A.S. diberi ganti yang lebih baik selepas diuji dengan penyakit, kehilangan anak, harta benda dan isteri.

Kedua-dua penjenayah yang terbabit telah ditembak mati oleh polis yang dikenali sebagai warga Indonesia, pendatang tanpa izin. (PATI).

Masih tertancap kuat lagi dalam ingatan, beberapa bulan lalu sewaktu kakak sulung menelefon dari kampung.

"Acik masuk hospital, kepalo eh kono jahit".

" Apa kono eh".

Cerita kakak saya semakin panjang. Rumah pusaka kami dimasuki kumpulan pecah rumah. Rumah pusaka di kampung dihuni oleh kakak selepas dia bersara sebagai jururawat desa. Kakak saya telah ditekup dengan keras di bahagian mulut. Tujuh batang giginya luruh. Dalam usia 60 tahun pasti kakak saya mengalami sakit yang amat sangat. Kebetulan malam tu emak saudara saya, Cik Arom bermalam di kampung. Itu pun kerana mengurut anak saudara yang baharu bersalin anak pertama. 

Pergelutan begitu pantas, Cik Arom yang cuba menolong telah dilibas kepalanya dengan parang. Syukur, kerana ajalnya belum sampai. Tidak banyak barang yang hilang, seutas rantai emas dan sebiji telefon bimbit. Namun traumanya sehingga kini. Kakak saya tidak lagi berani keluar rumah di waktu malam. Setiap inci rumah dipasang jaring dan jeriji.  Bilik tidur di ruangan bawah sudah tidak lagi dihuni. 

Orang kampung berpakat mengadakan kawalan kampung. Setiap rumah menyumbang dua atau tiga  ringgit untuk belanja kopi dan biskut kering petugas. 

Setiap malam kakak saya ditemani oleh anak saudara yang tinggal berhampiran. Kampung yang dahulunya selamat, kini tidak lagi. Saya juga terfikir sejak saya lahir sehingga kejadian tersebut, kampung saya cukup aman. 30 tahun saya keluar merantau tiada cerita kecoh seperti sekarang. Tiada kejadian pecah rumah, tiada kehilangan basikal atau kerbau lembu. Kalau ada pun hanya kes terpencil yang melibatkan kehilangan getah keping yang terampai di bawah bangsal atau kehilangan getah lantun di dalam kebun.

Kejadian pecah rumah seakan ada sindiket. Mereka seakan-akan telah "memangkah" rumah yang hendak dicerobohi. Malah semacam kenal siapa penghuninya, pesara kerajaan, peniaga, doktor, polis bersara dan yang paling penting memastikan rumah tu ada "hasil". Ia seolah-olah cerita penyamun dan 40 orang kuncu-kuncunya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Malam sudah menjadi misteri, siang 'manusia asing' ini kelihatan bersopan dan beradab, tetapi bila malam ia menjadi 'dracula' yang bengis dan sadis. Bila diajukan soalan kepada kawan-kawan dikampung;

"Sapo punyo kojo ni"
"Sapo lai, PATI lah"
"Yo ko"
"Apo tidak eh, belakang kampong kito ni pun ponoh, bertungku bertanggo"
" Ado yang boli barang kek kodai Kamariah tu"
" Kona lak deh tu, ngumah kek simpang tu sapo, rumah teh bukit tu sapo"
"Bahayo tu"
" Memang la"
" Takdo tindakan ko?"
" Dah, Polis pun dah tau, tapi ontahlah sonyap yo"

Perbualan ini akhirnya hanya hilang begitu sahaja. Kerana selalunya cerita-cerita politik lebih sedap daripada cerita PATI. Kerana itu agaknya PATI berani mendidikan rumah-rumah di dalam hutan dipinggir-pinggir kampung. Sehingga bertahun-tahun tidak dapat dikesan. Beristeri dan beranak pinak. Jika di bandar mereka menghurungi kawasan tertentu seperti semut menghurungi gula. Sehingga kawasan itu menjadi kampung mereka seperti Chowkit. dipenuhi pendatang Indonesia. Mereka sudah menjadi ancaman baru. Pada siang hari talibarut mereka berada disekeliling kita, samada sebagai pembantu rumah, pekerja ladang atau pekerja restoran. Manakala di malam hari kita menjadi mangsa kepada 'dracula' yang bengis dan sadis tadi.

p/s Terima kasih kepada kawan-kawan yang komen blog saya. Semua pandangan akan saya terima secara positif.

No comments: