Sep 8, 2008

Ghairah................


Keghairahan mungkin berlaku kerana perubahan kecil dalam kehidupan kita seharian. Seingat saya sewaktu kecil dahulu saya amat ghairah untuk bermain-main dengan permainan yang dibeli oleh Allahyarham Abah. Namun perasaan ghairah tersebut bertukar kepada perasaan ingin tahu yang berlebihan. Banyak buah kereta mainan yang terkopek kerana nak tau macam mana ia boleh mengeluarkan bunyi dan bergerak apabila ditolak. Satu hari Abah membelikan permainan seekor itik yang berayun ke depan dan ke belakang bagaikan bandul jam. Itik ini dipecahkan kerana mahu tau apa yang ada di dalam perut itik tu. Hasilnya perut itik tu pecah dan ada sebutir kabaid yang mengimbangi pergerakannya apabila diayun ke depan dan ke belakang. Sejak tu abah macam serik nak belikan mainan. Pada hari lain ketika pergi ke bandar Seremban, saya menangis dan membentak-bentak di hadapan sebuah kedai mainan kerana abah enggan membelikan mainan. Abah pura-pura meninggalkan saya. Ia menyebabkan saya rasa ketakutan kerana ditinggalkan. Sejak itu saya jeran nak minta mainan baru.

Perasaan ingin tahu "budak kecil" yang berlebih-lebihan ini juga menyebabkan radio, jam loceng, basikal dan perkakas rumah banyak yang rosak. Sehingga setiap benda baru yang dibeli oleh Allahyarham emak, saya merupakan insan yang paling terakhir tahu.

Keghairahan kedua yang saya masih ingat ialah apabila pandai menunggang basikal. Aktiviti yang menyeronokkan apabila setiap petang selepas balik dari sekolah rendah meronda kampung bersama kawan-kawan dan berulang kali mengambil selekoh tajam berhampiran laluan rel keretapi Seremban-Port Dickson. Seingat saya tayar hadapan basikal jenis Raleigh tu botak sebelah kerana kerap mengambil selekoh mengiring ke sebelah kiri. Jika kami hilang kawalan ketika ambil selekoh basikal kami akan terhumban bersama kami kedalam hutan lalang di sisi selekoh tu.

Rupanya keghairahan tidak pernah hilang dari kehidupan kita walaupun telah berusia. Ketika diberitau bahawa saya mengidap diabetes, saya mula ghairah berjalan kaki dari rumah ke tepi pantai lebih kurang 500 meter di hadapan rumah. Berjalan kaki sejauh tiga kilometer setiap hari amat mengasyikan terutama ketika melihat matahari naik dari sebelah timur dan membelah Pulau Kapas yang terkenal indah dan tumpuan kepada penggemar aktiviti snorkling. Perubahan cuaca dan perubahan persekitaran kita lalui setiap hari. Jika tahun lalu setiap pagi saya akan melintasi sebatang pokok pauh berhampiran jalan besar Dungun - Kuala Terengganu kini pokok tu dah tiada lagi . Tempatnya telah digantikan dengan bangunan kedai sederet yang menjual keropok dan hasil laut. Jika berasa nak makan nasi dagang, nasi lemak atau nasi minyak pun ada. Perubahan ini berlaku setiap hari secara sedar atau tidak kita sedari. Selalu juga ketika aktiviti berjalan saya terserempak dengan sepasang anjing liar di tepi pantai (anjing amat jarang di temui di Terengganu kerana penduduknya lebih ramai Melayu). Tetapi beberapa bulan yang lalu saya temui seekor bangkai anjing digilis kereta berhampiran jalan ditepi pantai itu. Mungkin betina, mungkin anjing jantan. Kehilangan satu nyawa dalam keluarga binatang itu, menginsafi saya bahawa tiada apa pun di dunia ini yang kekal abadi. Berjalan kaki ini akan tamat lebih kurang 30 minit setiap pagi dan setiap kali balik saya akan menyapu halaman rumah yang penuh dengan daun-daun kering yang berguguran. Isteri saya nampaknya riang dengan keghairahan baru saya ni kerana tak perlu lagi menyapu halaman rumah kami setiap hari.


Mulai semalam 7 September 2008. Keghairahan baru bermula lagi dalam kehidupan saya dengan menulis di blog ini. Saya berdoa supaya saya tidak hilang ghairah untuk menulis. Kerana saya tahu saya bukan lah penulis, dan penulisan bukan bidang saya. Cerita yang saya tulis adalah cerita-cerita biasa yang mungkin orang lain juga lalui cuma tidak di catat.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah en. shabli telahpun melangkau ke satu tahap...boleh buat blog..walaupun iany sekadar cerita at least we can learn something new and can also inprove ourself in whatever field...cewah...speaking plak..

En. Shabli ada penyakit kencing manis ke??? try la penawar kacip emas...layari website www.goldpincer.com atau www.antidiabetes.org

ok...selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails