Sep 30, 2008

Coretan Akhir Bulan Ramadhan


Akhirnya kita telah sampai ke garisan penamat. Sebaik sahaja kita menunaikan solat maghrib malam nanti, laungan takbir akan berkumandang di rumah, di masjid, di surau apatah lagi di corong radio dan TV. Kita telah berjaya menamatkan ujian yang panjang ini selama sebulan. Cuma kita perlu menghitung-hitung samada kita telah menjadi juara atau mendapat nombor terakhir atau 'pancit' ditengah jalan. 

Ramadhan mengajar kita untuk bersama-sama berjamaah di surau dan masjid. Berjayakah kita selepas ini mengekalkan amalan itu di luar bulan Ramadhan. Ramadhan mengajar kita patuh kepada masa ketika berbuka puasa dan mula menahan diri apabila masuknya waktu imsak. Adakah selepas bulan Ramadhan kita menghargai masa itu. Banyak persoalan yang perlu dijawab sebelum kita melangkah untuk menyambut Hari Kemenangan - Eid ul Fitri.

Bagi yang mengetahui hikmah dan fadhilah bulan Ramadan, pemergiannya akan ditangisi. Entah bertemu atau tidak lagi pada tahun hadapan. Belum tentu lagi. Cuma sebagai renungan saya petik hadis-hadis meriwayatkan kelebihan bulan Ramadhan.

[Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bila mana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantai supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."] petikan dari laman www.daruliman.com

Walaupun di penghujung Bulan Ramadhan selalunya akan ada cerita sedih dan sayu. Berita kematian kerana sakit atau pun mati secara tiba-tiba . Kematian kerana kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Ada yang hilang rumah kerana kebakaran. Berita yang terpapar di dada akhbar Utusan Malaysia hari ini ialah Hilang Rumah Kerana Mercun. Kegembiraan yang sementara itu lenyap dengan penderitaan yang panjang. Saya berdoa semoga adik Asyras berumur 11 tahun itu akan mengingati sejarah hitam ini sebagai pengalaman pahit bermain mercun ketika menjelang tibanya Hari Lebaran. Takziah kepada mereka yang bernasib malang, semoga Allah mengantikan dengan yang lebih baik.

Pada masa yang sama ramai pula yang ternanti-nanti untuk menyambut Hari Lebaran ini dengan penuh kegembiraan. Terutamanya pasangan yang baru sahaja berkahwin pada bulan Syaaban yang lalu. Selamat menempuh pengalaman baru. Begitu juga kepada yang dapat cahaya mata, menantu dan cucu baru. Peningkatan laba berniaga, kenaikan pangkat, kemurahan rezeki dan segala macam nasib baik. Apatah lagi kepada anak-anak kapal Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 milik MISC yang dijadikan tebusan lanun di Teluk Aden. Mereka telah dibebaskan ketika Hari Raya sedang menjelang tiba. Bersyukur lah kepada Allah yang telah menjadikan langit dan bumi serta isinya. Semoga kita terus mendapat hidayah dan inayahnya.

Terima kasih juga kepada yang menghantar sms ucapan Selamat Hari Raya. Cuma dari sekian banyak sms, saya tersentuh dengan sms, seorang sahabat yang pernah jadi 'bos' saya dahulu.

"Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi, Dalam kelembutan lidah, ada keterlanjuran kata, khilaf & dosa. Harap dimaafi segala2nya KERANA dlm USIA yg tinggal tak seberapa ... m'kin ini Ramadan terakir buat saya dan kita tak s'mpat lagi berjumpa....'SelamatMenyambut Aidil Fitri'. Semoga kita semua dirahmati Allah S.W.T sepanjang masa. Daripada Hj Mohd Noor & keluarga.

Akhir kalam sekali lagi saya (Pok Li) dan isteri (Rosna) mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR DAN BATIN"

2 comments:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

salam berkenalan. selamat hari raya.
pok li tak balek nagori ko?

Pok Li said...

selamat berkenalan dan terima kasih. Raya ni balik penang ;)