Oct 2, 2008

Zaman Dah Berubah Dunia Dah Maju



Bermula daripada 30 Ramadhan sehingga tengah malam 1 Syawal saya telah menerima hujanan sms ucapan Selamat Hari Raya dari sahabat, kenalan dan saudara-mara. Peti simpanan terpaksa di kosongkan berulang kali kerana penuh. Ia bukan sesuatu yang luarbiasa. Sebelum itu saya juga menghantar ratusan sms kepada mereka. Bak kata bidalan “Bagaimana datang, begitulah perginya” - balasan sesuatu perbuatan yang dilakukan setimpal dengan perlakuan yang telah dilakukan. 

Namun bukan semua perbidalan itu tepat. Beberapa tahun dahulu saya pernah menghantar beratus-ratus kad raya kepada kenalan, sahabat dan saudara mara. Namun pulangannya tidak seperti yang diharapkan.

Menghantar sms lebih mudah. Ia lebih murah daripada membeli atau menempah kad. Kemudian terpaksa menulis, memasukan dalam sampul, menulis alamat, menampal setem dan mengeposnya di pejabat pos. Sistem pesanan rengkas atau sms telah membuang sebahagian proses yang leceh itu. Sms hanya perlu ditaip, letakan nombor telefon dan hantar. Tidak perlu banyak membuang masa,murah dan mudah. Media baru telah mengubah tabiat manusia daripada malas kepada rajin. Pelbagai ucapan dihantar tanpa mengira musim perayaan atau tidak. Zaman sudah berubah.

Pagi-pagi lagi selepas solat subuh, kami makan sekeluarga. Isteri saya telah menyediakan masakan lontong, pulut kuning, sambal ikan bilis, kuah kacang dan minuman panas. Tidak mewah tetapi cukup menggembirakan. Makan sekali-sekala beramai-ramai selepas berbulan-bulan makan berdua terasa jauh lebih ‘meriah’. Saya pula asyik mendengar cerita anak-anak dan pengalaman baru mereka. Banyak perkara baharu yang tidak saya ketahui. Begitulah kerdilnya manusia, semakin banyak dia rasa tahu, banyak lagi perkara yang ia jahil. Berbeza di zaman saya kecil dahulu. Ketika kawan-kawan abah berkunjung ke rumah, saya paling asyik mendengar cerita-cerita daripada orang dewasa. Kerana mereka selalu berkata mereka lebih dahulu ‘makan garam’. Kini golongan dewasa pula yang ‘pasang’ telinga mendengar cerita daripada genenerasi baru yang lebih cerdik dan banyak pengetahuan. Zaman sudah berubah.

Walaupun tahun ini saya tidak balik kampung, kemeriahan tetap sama. Kenalan pula sudah semakin ramai. Sebelum Hari Lebaran tiba sudah ada jemputan Hari Terbuka atau yang mengajak datang ke rumah. Selepas solat Eid ul Fitri saya sudah sampai di rumah jiran. Pekena lagi. Nasi minyak, nasi dagang, gulai ikan tongkol, gulai masak kawah serta kueh-mueh. Cuma satu ‘kebiasaan’ yang tertinggal, ziarah kubur, membaca Al Fatihah, Yasin dan doa kepada abah,emak,atok, nenek, Pak Lang, Mak Cik, Abang Long, Abang Ngah. Abang Lang, Kak Uda yang telah mendahului kami di alam fana ini. 

Semasa saya kecil dahulu, saya amat seronok untuk ke tanah perkuburan, bukan kerana ziarah tetapi kerana mencari duit-duit syiling yang ditabur di kalang air. Kalau bernasib baik dapat jugalah mengutip $ 1.00 hingga $ 2.00. Amalan menabur duit di ‘kalang air’ selalunya dilakukan oleh waris terdekat yang datang menziarahi kubur. Ia bukan sahaja dilakukan pada musim perayaan tetapi juga sepanjang tahun. Amalan ini sedikit demi sedikit tidak diamlakan lagi sehingga akhirnya ia dilupakan. Mereka sudah lebih gah memberi wang kepada budak-budak yang datang kerumah berhari raya dengan budaya ‘angpau’ mengisi not RM1, RM2 atau RM 5 ke dalam sampul yang berwarna warni. Zaman sudah berubah.

(Nota: Saya masih sempat menggunakan duit British, sebelum mula menggunakan duit Malaysia mulai tahun 1967, Nama 'Ringgit Malaysia' telah mula di gunakan pada tahun 1975)

2 comments:

azlishukri said...

salam singgah dan selamat hari raya.

Pok Li said...

Terima kasih dan selamat hari raya.