Oct 11, 2008

Dunia Baru


Sudah beberapa hari saya tidak menonton TV. Sudah beberapa hari jugak saya ‘terlepas’ menonton Buletin Utama TV3. Petang semalam sempat juga saya menonton hujung-hujung sebuah drama TV yang turut dilakonkan oleh Rosham Nor. Kisah sepasang suami isteri yang tidak pulang bertahun-tahun lamanya ke kampung halaman kerana perselisihan pendapat antara keluarga. Akhirnya mereka pulang pada pagi 1 Syawal dengan watak tambahan seorang ‘cucu’. ‘Mereka’ akhirnya disambut meriah, ditepung tawar, disambut dengan beras kunyit dan disandingkan semula. Drama TV yang tebal tipikal budaya Melayunya. Selepas itu saya sempat lagi menyambung menonton drama Indonesia, cerita seorang kanak-kanak yang di aniaya oleh ibu dan adik–adik tirinya. Ia kemudian telah dilindungi pula oleh Pari-Pari, Ratu Sungai. Cerita dongeng ini sudah menjadi trend pembikinan drama TV Indonesia sekarang, selepas kejayaan ‘Bawang Putih & Bawang Merah’ meraeh jutaan penonton. Bilakah agaknya penerbit drama Malaysia akan mengeluarkan cerita-cerita dongeng seperti yang dikeluarkan oleh penerbit filem Indonesia itu. Wallahu allam.

Semasa kecil dahulu, cerita-cerita dongeng cukup menarik perhatian saya. Saya yakin saya telah membaca hampir kesemua buku hikayat yang menceritakan kisah-kisah dongeng dan fantasi ini. Hikayat Malim Demam. Hikayat Malim Dewa , Hikayat Sulong Merah Muda. Hikayat Sri Rama, Hikayat Hang Tuah,. Malah sewaktu saya di Tingkatan Empat (1976), buku teks yang saya paling suka baca ialah Hikayat Inderaputra. Cerita seorang putera raja yang telah keluar mengembara mencari ubat untuk seorang puteri yang gering. Di akhir pengembaraan ia bukan sahaja membawa pulang ‘hikmat’ penyembuh tetapi juga membawa pulang tiga orang puteri-puteri raja yang cantik jelita belaka.. Malah ‘anak raja’ tersebut ketika pengembaraannya bukan sahaja di segani oleh raja-raja dari masyrik hingga ke maghrib tetapi juga telah mengadakan pakatan ketenteraan dengan anak-anak raja dari kawasan tersebut termasuk juga ke alam jin dan bunian. Ini belum lagi cerita-cerita Rakyat, Cerita-cerita Lawak Jenaka dan cerita-cerita berbingkai seperti, Bayan Budiman, Hikayat 1001 malam yang amat mengasyikkan. Malah kalau ada kesempatan dan ‘pitis’ saya akan membeli pula komik-komik yang berunsurkan fantasi ini seperti komik Manusia Bersayap dan cerita-cerita kepahlawanan dan kependekaran. Saya turut suka mendengar cerita-cerita pengembaraan dari radio seperti ‘Pending Permata’ ataupun cerita-cerita tajaan iklan seperti TP. Watak TP seakan-akan watak Superman. Mampu terbang, kuat dan perkasa. Jika diseru, “ TP….., TP……..,TP………, watak ini akan datang dalam sekelip mata untuk menolong dan menyelesaikan masalah. Setelah saya besar sedikit baru saya tahu hero TP itu adalah kependekan dari Tea Pot. Iklan susu.

Hari ini anak-anak saya kurang gemar membaca cerita-cerita yang saya pernah baca dahulu. Cerita-cerita fantasi mereka lebih kepada sains fiksyen bukan lagi tahyul dan dongengan. Mereka lebih berminat mengikuti cerita melalui permainan Play Station. Berpuluh-puluh permainan RPG (Role Playing Games) telah dimainkan dan mereka sendiri menjadi ‘hero’nya. Mereka sudah tidak lagi berminat untuk mengetahui cerita lagenda, hikayat, cerita rakyat ataupun cerita-cerita hantu dan jenis-jenis hantu. Gudang hafalan mereka lebih besar. Mereka bukan sahaja perlu mengenal setiap watak dalam ‘game’, tetapi juga mengingati kod-kod rahsia dan kuiz serta ‘trick’ permainan. Kerana itu mereka kurang berminat jika bercerita mengenai hantu jembalang, hikayat atau legenda. Sewaktu kecil saya juga rajin membaca buku-buku cerita hantu dan dewa. Saya masih ingat nama berbagai jenis hantu, daripada hantu tinggi, hantu raya, pelesit, pontianak, bolongan, toyol, langsuir, pontianak, hantu kopek, hantu galah, hantu air, jembalang tanah, sehinggalah ke ‘jenama’ terbaru ………….….. hantu stokin.

Begitu pun mereka masih minat menonton TV. TV pula sudah banyak saluran, dari TV1, TV2, TV 3 hinggalah ke TV 9. Belum dicampur lagi perkhidmatan Astro, yang bukan sahaja menawarkan pelbagai pakej tetapi juga saluran yang melimpah ruah. Masa menonton sudah menjadi eksklusif. Kita menonton apa yang kita mahu. Bukan lagi menonton apa yang mereka siarkan. Kita telah diberi kuasa dan penghormatan. Kuasa dan penghormatan yang diberi, dibalas pula dengan imbalan pembayaran kepada syarikat tersebut. ‘Fair and Square’.

Keistimewaan zaman anak-anak saya menonton TV sekarang tidak sama seperti zaman saya dahulu. Hari ini mereka bila-bila sahaja boleh menekan punat TV dan menikmati rancangan dan pelbagai ragam program. Mereka tidak perlu menunggu waktu-waktu tertentu untuk menonton TV. Mereka tidak perlu menunggu waktu-waktu tertentu untuk menyaksikan filem Melayu. Bahkan juga mereka tidak perlu menunggu-nunggu untuk melihat rancangan pertandingan hiburan seperti Akademi Fantasia dan Sinaran Passport Kegemilangan. Rancangan Hiburan, Berita, Filem Melayu, Indonesia, Korea, India, Jepun, Cina dan Inggeris sudah 'bersepah' di TV kita. Tiada istilah ‘penantian suatu penyiksaan’. Mereka bukan sahaja sudah bebas menonton tetapi sudah bebas juga menjadi hakim dan juri dalam rancangan realiti TV yang melibatkan jutaan sms dan juga jutaan ringgit..


Ketika anak pertama saya lahir pada tahun 1987 siaran TV sudah boleh dikuti sehingga 18 jam sehari. Berbanding dengan saya yang pertama kali menonton TV ketika berusia enam tahun. Itu pun kerana mengikuti emak menziarahi sepupunya di Brickfield, Kuala Lumpur. Selepas itu saya kurang berpeluang menonton TV. Kalau ada pun menonton ‘wayang pacak’ Jabatan Penerangan yang datang dua tiga kali setahun. Saya hanya betul-betul terdedah dengan pengaruh TV apabila Haji Dahlan, pekedai runcit di kampung saya memiliki TV pada tahun 1970. Setiap malam Sabtu penduduk kampung akan berduyun-duyun datang kerumahnya untuk menonton Tayangan Filem Melayu. Sebelum masuk ‘ruangan tv’ kami akan dikenakan bayaran sebanyak sepuluh sen. Kami akan duduk berasak-asak diatas lantai simen. Apabila filem ditayangkan lampu akan ditutup. Macam panggung wayanglah pulak. Kadang-kadang hajat untuk menonton sehingga akhir tidak kesampaian kerana ‘generator’ pulak buat hal.

Saya hanya mula faham istilah ‘siaran langsung’ ketika perlawanan tinju Muhammad Ali lawan Joe Frazier pada tahun 1971. Waktu itu saya di darjah lima. Guru Darjah Enam ketika itu ialah Cikgu Degani (sekarang Haji). Saya tak akan lupa ‘budi baik’ Cikgu Degani . Dia telah ‘mengajak’ kami ke rumah bapa mertuanya yang bersebelahan sekolah untuk menonton perlawanan tersebut secara langsung ketika ‘masa belajar’. Kalau bukan kerana Cikgu Degani (kami panggil cikgu Gani), sudah tentu kami tidak termasuk dalam kiraan jutaan penonton yang menonton perlawanan yang berprestij tinggi itu. Malangnya berapa kuat pun sorakan kami. Betapa kuat sokongan kami dan Cikgu Degani, Muhamad Ali lagenda tinju itu tetap kalah :(

7 comments:

Don Balon said...

Pok Li,
catatan yang sangat menarik..
:)

Pok Li said...

Terima kasih. Datang lagi

Tirana said...

Salam Pok Li..

Zaman telah berubah..Sepuluh dua puluh tahun yang akan datang entah bagaimana pula. Andainya kita dipanjangkan umur, tentu kita dapat melihat perubahan itu. Dan kita pulak kena mengikut sekali perubahan itu samada kita suka atau tidak kerana kita tinggal di dalamnya. Tapi tidak bermakna kita harus melupakan budaya-budaya lalu yang membawa banyak kebaikan. Kitalah yang bertanggungjawab mewariskan budaya lama kepada anak-anak kita..

Pok Li said...

saya setuju dengan pandangan tirana. Budaya baru perlu memperkukuhkan kebaikan budaya lama yang kita warisi.

PENDEKAR said...

yang agak menakutkan rancangan tv mempengaruhi minda anak-anak yang percaya bulat-bulat apa yang disumbat dalamnya.

histeria menjadi2 semasa hantu2 ditayangkan. anak2 kecil dah pandai bercium dan lebih teruk berzina.

kalau dilihat di negara2 maju wujud pula budaya 'penyakit tv', duduk didepan tv tak kira mcm mane pun,

;-) kene jelaskan pada masyarakat tv bagus tapi perlu dikawal.

Razali Razman said...

Salam Pok Li

Terima kasih kerana melayari dan meletakkan pautan kepada blog saya. Saya juga akan memaut kepada blog Pok Li yang menarik ni.

RAHISAM RAMLI said...

Antara kisah-kisah yang membezakan sempadan tua dan muda ialah sumber penceritaannya. Dulu cerita disampaikan oleh datuk nenek,ibubapa.

Kini penceritaan di saluran TV sebagai medium utama kerana lebih dramatik lagi mengkhayalkan. Bagaimana nak menarik minat anak-anak pasca merdeka mendengar cerita berbanding menonton cerita. Semakin banyak cerita yang ditonton semakin jauh cerita yang mahu didengar secara langsung dari ibubapa.

Seperti iklan petronas-seorang anak amat berat untuk duduk bersama ibunya di rumah kerana tiada coverage talian hp dan internet. Dunia dah maju-budaya warisan perlu disemat ke dalam hati walau maju macam mana sekalipun.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails