Oct 23, 2008

13 Mei


Ketika merayau-rayau di alam maya saya telah terjumpa sebuah blog yang menggunakan alamat http://www.13may.blogspot.com/ . Saya tidak tahu kenapa ‘tuan punya’ blog itu memilih tarikh keramat itu sebagai alamat blognya. Mungkin ada rahsia, atau pun keistimewaan tarikh tersebut. Sesetengah orang percaya kepada nombor-nombor tertentu yang membawa ‘nasib baik’ atau ‘ nasib malang’. Waktu ini orang politik bukan sahaja sibuk bercakap mengenai ‘peralihan kuasa’ tetapi sibuk juga bercakap mengenai ‘peralihan kerajaan’ dan sentiasa menunggu-nunggu Pilihanraya ke 13. Begitulah hebatnya aura angka 13 itu. 13 Mei bukan sahaja angka tetapi tragedi yang berlaku kepada negara pada tahun 1969. Lebih tepat, 13 Mei 1969. Perpaduan kaum tergugat. Emosi telah mengatasi pertimbangan yang waras dan akhirnya menjadi sejarah hitam kepada negara. Ramai di kalangan rakyat negara ini yang pernah melalui peristiwa tersebut, atau melihat dengan ‘mata dan kepala’ sendiri. Ada yang masih hidup, tidak kurang juga ramai yang sudah meninggal dunia. Jika ada usaha untuk mencari ‘mereka’ dan mengumpul ‘kisah benar’ yang mereka lalui ketika tragedi tersebut, saya percaya ia akan menjadi bahan bacaan yang menarik. Boleh jadi juga ia akan menjadi buku “best-seller” :).

Ketika tragedi itu berlaku saya baru berumur sembilan tahun. Sudah tentu saya tidak mengingati tragedi itu dengan jelas. Apa pun beberapa tingkah laku orang kampung masih saya ingat. Setiap malam orang lelaki akan keluar menjaga kampung di persimpangan dan di setiap jalan keluar masuk. Mereka membuat ‘kentung’ daripada buluh. Buluh Aur yang tebal ‘dindingnya’ ditebuk secara memanjang antara ruas. Luas lubang itu lebih kurang satu setengah inci. Apabila diketuk, kentung yang berlubang ini akan mengeluarkan bunyi yang lebih kuat. Setiap rumah ‘wajib’ mempunyai kentung ini. Ia akan diletakkan di tempat yang mudah ditemui. Jika berlaku kecemasan maka kentung ini akan dipukul bertalu-talu sehingga bantuan sampai. Bagi mereka yang memiliki ‘senapang patah’ akan mengetuai setiap kumpulan, berpecah dan meronda ke setiap penjuru kampung. Orang kampung yang keluar ke pekan atau ke bandar akan pergi secara berkumpulan. Kaum perempuan tidak digalakkan untuk keluar daripada kampung, jika perlu ia akan ditemani oleh kaum lelaki. Walau bagaimana pun ada juga orang kampung yang tidak peduli dengan peristiwa itu. Somah, atau Long Somah tetap juga melakukan aktiviti ‘perniagaannya’ menjual durian (waktu itu musim durian) ke pekan-pekan kecil di sekitar kampung saya, sehingga lah ke Pekan Lukut yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina.

Selepas tragedi 13 Mei reda, kawalan kampung dibubarkan. Tetapi ‘semangat’ bersatu padu itu amat kuat sekali. Masjid dan surau sentiasa penuh setiap kali waktu solat. Gelanggang silat juga rancak dibuka. Ramai anak-anak muda kampung mempelajari warisan seni bela diri Melayu ini. Gelanggang Silat Gayong telah dibuka. Selain itu terdapat juga ajaran silat kebatinan seperti ‘Silat Rohani’. Silat Rohani ini tidak perlu kepada bunga, buah dan kunci silat yang hebat, cukuplah jika ‘lawan’ menjadi ‘marah’, dengan hanya menggunakan jurus-jurus angin , mereka yang menyerang akan tumbang dan tercampak seperti terkena tendang atau di tolak dengan kuat. Itulah kelebihan silat batin tadi.

‘Pemulihan’ hubungan kaum juga telah dilaksanakan secara agresif. Ia bermula di sekolah. Kami telah dikerah pada satu pagi untuk berjalan kaki sejauh tiga batu ke SRJK Cina di Kuala Sawah. Aturcara majlisnya, ringkas sahaja. Menyanyi Lagu Negara Ku diikuti dengan nyanyian Lagu Muhibbah. Kemudian dilangsungkan perlawanan bola jaring persahabatan antara sekolah kami dengan sekolah mereka. Saya tidak ingat sekolah mana yang menang. Selepas itu ada ucapan wakil kedua-dua buah sekolah. Menikmati jamuan ringan, bersurai dan terus pulang kerumah. Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya mengapa SRJK China tadi tidak pula mengadakan kunjungan balas ke sekolah kami.?.

Selepas 39 tahun tahun tragedi itu berlaku, perkara-perkara sensitif yang mencetuskan 13 Mei 1969 dibangkitkan semula. Isu-isu keistimewaan orang Melayu, bahasa, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan juga hal ehwal pentadbiran dan perundangan agama Islam di bincang secara terbuka dan wewenangnya. Ia juga turut membabitkan isu kebebasan beragama, kuil dirobohkan, azan dan juga tulisan jawi. Orang Melayu pula kembali mempertikaikan kewarganegaraan yang telah diberikan kepada ‘pendatang’ kaum bukan Melayu. Mereka juga ‘mengungkit-ungkit’ keistimewaan yang telah diberi kepada kaum-kaum tersebut sepanjang keturunan mereka berada di negara ini. Kedua-dua puak telah mempertikaikan ‘kontrak sosial’ yang satu ketika dahulunya telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India ketika proses kemerdekaan. Pada fikiran saya kontrak sosial ini ibarat perjanjian Demang Lebar Daun dengan Sang Seperba. Perjanjian ini dinukilkan dalam Sejarah Melayu. Jika salah satu daripada keturunan mereka ini mungkir kepada ikatan perjanjian tersebut, tunggulah mala petaka yang akan berlaku. Samada perjanjian itu hanya metos atau benar berlaku, keruntuhan kerajaan-kerajaan Melayu sering dikaitkan dengan tindakan ‘membelakangkan’ perjanjian tersebut. Ia termasuk keruntuhan Kerajaan Majapahit, Kerajaan Pasai, Kerajaan Temasek dan Kerajaan Melaka. Hari ini kita bukan membaca Sejarah Melayu, hari ini kita membaca Sejarah Malaysia. Sejarah Malaysia bukan metos. Sejarah Malaysia tercatat perkara-perkara yang pernah kita lalui atau pun yang dilalui oleh nenek moyang kita. Kita kena berbalik semula kepada ‘suasana’ zaman mula-mula negara dalam proses kemerdekaan. Orang India dan Cina ketika itu begitu kuat menyokong orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan.

Beberapa hari lepas saya telah membaca sekali lagi buku A.Samad Ismail: Journalism & Politics (1987). Buku ini diterbitkan sempena ulangtahun kelahiran yang ke 62 tahun, A. Samad Ismail (Allahyarham) pada 18 April 1986. Banyak fakta tersembunyi yang tidak diketahui umum terutama ragam kerjasama antara kaum ketika itu. Lee Kuan Yew misalnya merupakan salah seorang penasihat undang-undang akhbar Utusan Melayu. Utusan Melayu pula diterima oleh kaum Cina untuk memperjuangkan 'suara' mereka. Begitulah akrabnya hubungan kaum tanpa mengira Cina, India, Melayu, Sikh dan lain-lain kaum minoriti. Mereka sedaya upaya memahami status, pantang-larang, sensitiviti kaum dan seboleh mungkin mengelakkan sebarang ‘kontroversi’. Selepas 51 tahun kita merdeka bukan sahaja kita telah mula kembali tidak sensitif dengan banyak perkara, kita juga semakin longgar dalam hubungan kaum. Saya percaya ramai dikalangan kita yang tidak ada nama Tong Seng, Ah Moi, Ramasamy dan Kumari dalam data telefon bimbit kita. Saya juga amat yakin perkara yang sama berlaku sebaliknya. Masalah utama bukanlah kerana perkara-perkara yang dibangkitkan itu. Ia timbul kerana PRASANGKA yang tebal dikalangan kaum-kaum tadi. Orang Melayu sering curiga bahawa ‘bukan Melayu’ akan ‘menenggelamkan’ orang Melayu di tanahairnya sendiri. Manakala ‘bukan Melayu’ curiga orang Melayu sentiasa ingin ‘membuli’ bangsa mereka walaupun negara ini ‘tanahair’ mereka juga. Jika suasana ini berlaku di dalam sebuah rumah tangga, suami dan isteri saling curiga mencurigai. Tunggulah masa kebinasaannya…….


Nota : Pada 16 Oktober 2008, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah, Kuala Terengganu telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung berberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara kenyataan tersebut mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

14 comments:

RAHISAM RAMLI said...

13 Mei sentiasa dipasak dengan cerita ngeri pergaduhan kaum.Generasi seperti saya juga sebenarnya dapat membaygnkan betapa ngerinya jika curiga dengan bangsa lain.

soalnya mengapakah kita suka provokasi agar mencetuskan suasana marah dan tegang? Apakah kita sudah jemu dengan hidup aman damai dan harmoni?

wallahu a'lam

PENDEKAR said...

kita yang membuat sejarah, ambil pelajaran jangan ulangi sejarah hitam, takut terus mencacatkan hubungan mulia ini.

melayu harus memahami budaya dan keperluan masyarakat lain , begitu juga bangsa lain harus memahami melayu.

cari persamaan.....cari persamaan...dan yang paling hampir kita makhluk tuhan....mardhotillah

Don Balon said...

Terima kasih pokli..
koi harap pertikaian sekarang ni hanya bersifat sementara..
bagi koi..orang melayu sangat toleran.. walaupun kadanc2 koi rasa melampau juga tolerannya..
contohnya..tanah2 rizab melayu di negeri koi banyak yang dipajakkan kepada kaun tionghua walaupun enakmen rizab melayu negeri pahang tidak membenarkan apa-apa transaksi kepada bulan melayu, walaupun sewa dan pajak. Koi telah komplen pada bulan julai baru ni kepada pejabat tanah daerah terbabit.. jawapan yang diterima menyakitkan hati..
namun begitu, hak bukan melayu perlu dijaga juga. Mana-mana tanah yang bestatus pegangan bebas boleh dijual kepada mereka, namun, janganlah melampau2 pula sampai kita menumpang di negara sendiri..

etomyam said...

sedihnya, ironinya melayu yang menjual negeri melayu sendiri....dah banyak bukti yg jelas dan nyata, keistimewaan dgn sendiri akan terhkis bila kita sendiri yg menjual tanah2 rizab melayu kepada bangsa lain....balik semula kpd kejatuhan kota melaka....bukan portugis kuat, tapi melayu dikhianati melayu sendiri...

wilda said...

pok li..saya membesar dgn cerita2 13 mei dr ibu..sgt menakutkan..

Pok Li said...

Saudara rahisam - kita tidak mahu lagi peristiwa hitam ini berulang kembali, kerana kesannya mungkin lebih parah dari 1969

saudara pendekar - kita percaya jika antara kaum saling menjalinkan hubungan kerjasama dan patuh kepada prinsip yang telah dipersetujui. Iklim hubungan kaum pasti cerah kembali.

Saudara Don Balon dan etomyam - selagi orang Melayu menjaga haknya dengan baik tanpa niat untuk mencari keuntungan, sehingga sanggup mengkhianati bangsa sendiri selagi itulah bangsanya akan selamat. Kerana kata pepatah " Kayu juga digunakan untuk menumbangkan kayu". Etomyam terima kasih kerana sudi singgah. Saya link blog anda.

Saudari Wilda - Banyak cerita yang menggerunkan dan menginsafkan dari peristiwa tersebut. Iktibar yang terbaik selalunya di kutip dari sejarah.

Tirana said...

Pok Li..terimakasih kerana berkongsi fakta dan maklumat.. maklumat dari orang yang pernah mengalami sendiri peristiwa ini..

Harap2 peristiwa yang menggerunkan ini tidak akan berulang lagi tapi ada hikmahnya iaitu penduduk melaysia bersatu tanpa mengira kaum. Memang betul kata Pok Li, perpaduan semakin longgar sekarang.

akuduniaku said...

salam...

Ini kali pertama saya mendengar cerita 13 Mei dr orang yang mengalaminya sendiri..Terima kasih..

Agak mengecewakan bila bercakap pasal perkauman di Malaysia kerana pada pandangan saya kita semua sebagai rakyat haruslah mengenepikan segala isu yang berkaitan perkauman. Bila difikirkan asal usul kita semua adalah berasal dari keturunan Adam A.S, soal ini haruslah dijauh kan namun ini tidak bermakna kita harus mengikut semua kemahuan kaum lain.

Sebaiknya kita banyakkan bersabar dan bertoleransi dengan mereka melainkan mereka benar benar melampaui batasan.

Harapan say akita semua akan sentiasa hidup dengan harmoni dan bersatu padu sehingga ke akhirnya.
Terima kasih kerana menceritakan pengalaman ini...

Brahimnyior said...

Ada kesilapan menaip kot Pokli:

'..Buku ini diterbitkan sempena kelahiran A. Samad Said (Allahyarham) ke 62 pada 18 April 1986.'

Saya rasa yang Pokli maksudkan ialah A. Samad Ismail.

Isi lainnya, saya sangat teruja. Saya adalah generasi yang lahir pada zaman selepas 13 Mei. Membaca pengalaman 'orang lama' sangat mengujakan.

Saya dapati apa yang Pokli nyatakan tentang perpaduan dalam masyarakat hari ini, ada kesahihannya.

Baru-baru ini, seorang rakan India saya menganggap Melayu beruntung kerana boleh dapat harga kereta less 10%. Saya betulkan pandangannya, sebab mana mungkin kita dapat kelonggaran seperti itu.

Itu pandangan seorang yang lulusan universiti. Kalau India yang dok di estet atau tepi rel kereta api, lagi mudah makan dakyah perkauman. Lagi mudah menerima propaganda mereka yang berkepentingan.

Mutakhir ini, kerajaan harankan HINDRAF. Saya bersetuju, sebab ia boleh memcahkan perpaduan yang rapuh sekarang ni.

p/s: Saya bimbang akan terjadi lagi kejadian seperti 13 Mei. Bibit-bibitnya sudah kelihatan..

Pok Li said...

Salam, Puan Tirana, Saudara Izuddin yang selalu saya panggil imbrahimnyior he he he, dan akuduniamu. Terima kasih kerana respon kepada pengalaman saya.Mungkin ada pengalaman mereka yang lebih hebat dari saya :).
Terima kasih juga kepada Saudara Izuddin yang menegur kesilapan tulisan saya.

Razali Razman said...

Salam Pok Li,

Banyak blog yang dah saya baca tentang hubungan perkauman dan ketegangan yang wujud sekarang, tetapi semuanya pada pendapat saya tidak tepat dan tidak jujur. Mereka pura-pura seimbang tetapi sebenarnya memang ada 'bias'dan mengutamakan kepentingan kaum sendiri. Pandangan Pok Li sungguh seimbang dan sangat tepat sekali.

Saya anak kahwin campur antara Melayu dan Punjabi. Isteri saya Cina. Saya ada saudara-mara dari pelbagai kaum di Malaysia. Saya tahu apa yang ditulis oleh Pok Li tepat. Kalau ada lebih ramai orang macam Pok Li, isu perkauman tak akan timbul.

Pok Li said...
This comment has been removed by the author.
Pok Li said...

Saudara Razali, terima kasih diatas komen anda.

A Voice said...

selepas kematiannya, lee kuan yew mengantar surat kepada mendiang keluarga a samad ismail utk mengatakan dia terpaksa melokapkannya. padahal a samad ismail adalah pengasas pap atau petir.

sudut akhir hubungan a samad ismail dgn lee kuan yew jgn diketepikan utk menjustifikasi lee kuan yew adalah bukan rasis. tidak lee kuan yew adalah rasis yang memperjuangkan politik rasis berselindungkan putarbelit sejarah dan hujah2 mudah utk menguasai national debate abgio mendominasi kuasa cina. kenyataan lee hsian loong terbaru mengani fenomena obama dna pm bukan cina adalah menifestasi politik perkauman yg tersekindung.

niat hati untuk pertalian kaum jgn hanya retorik tetapi dihayati. tetapi kita jgn tertipu kerana bila tertipu kita tak dapat kembali. sebagai kaum yg kekurangans erba serbi, kita tidak dapat kembali bila kehilangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails