Oct 8, 2008

Checkmate

Sesekali saya akan bersarapan pagi di luar. Biasanya di kedai Awi berhampiran mercu tanda Marang,'Udang dan Sotong'. Kedai Awi tiada banyak pilihan. Cuma ada nasi lemak, mee goreng, apam kuah, laksam dan dua tiga jenis kueh yang boleh dijadikan habuan. Selalunya saya memilih makan nasi lemak, telur rebus dengan milo kosong. Istimewanya kedai Awi menjadi tempat sembang-sembang politik. Macam-macam cerita dari pertandingan UMNO Bahagian, keretakan dalam BN, Hindraf, Anwar, penurunan harga minyak, kenaikkan harga sehinggalah kepada pengumuman PENTING Pak Lah hari ini.

Apakah keputusan Pak Lah. Berundur atau bertahan. Bagi saya suasana politik sekarang seakan permainan catur. Yang tinggal hanya King Dan Queen. Ia sedang diserang oleh juak-juak perang, Kuda dan Bishop. Silap percaturan King akan kena checkmate. Queen juga akan turut mati kerana menyelamatkan King yang terdesak di sudut gelanggang. Bertambah malang jika King hanya di checkmate oleh bidak sahaja.

Jika Pak Lah tidak berundur. Medan politik Umno akan bertukar menjadi laga ayam sabung. Persaingan ayam sabung kali ini mungkin lebih sengit. Biasanya ayam berlaga jika bapak ayam telah mati atau disembelih. Ayam jantan muda akan berlaga sesama sendiri untuk menentukan siapa menjadi jaguh.

Senarionya kini mungkin berbeza, ayam muda terpaksa melawan ayam tua pula. Dato Seri Najib mungkin tidak mahu diserang hendap ketika hari hampir siang. Membiarkan dia diserang lebih baik daripada dia menyerang dahulu. Serangan secara tiba-tiba lebih bahaya daripada semboyan perang yang sudah lama berbunyi. Apatah lagi dalam keadaan sekarang. Pak Lah diberi kata dua, turun atau dimalukan. Tan Sri Mahyuddin sudah memasang strategi, juak-juaknya secara senyap-senyap berkempen untuk pencalonan Timbalan Presiden. Calon-calon lain yang sudah ghairah turut memukul genderang perang. Zahid dan Ali Rustam juga turut serta untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Persaingan itu belum cukup untuk menutup peluang Mahyuddin. Walau pun kelihatan Mahyuddin seakan kambing hitam kepada Pak Lah, pendiriannya konsisten, Pak Lah perlu berundur. Jika Pak Lah mengumumkan beliau undur. Mahyuddin lah pencetusnya.

Jika kemelut kepimpinan ini selesai. Ia belum selesai sepenuhnya. UMNO telah berada di tepi jurang yang dalam. Cabaran selepas ini semakin getir. Pertandingan dan persaingan dalam UMNO akan menyaksikan parti-parti di luar UMNO dan BN bagaikan burung hering. Bila-bila masa menanti siapa yang akan menjadi bangkai. Banyak isu-isu yang belum reda gelombangnya. Persamaan hak, kebebasan bersuara, kebebasan media, penghapusan ISA, cubaan PKR merampas kuasa dan tahanan Hindraf sudah menjadi agenda utama parti-parti pembangkang dan Ngo berhaluan kiri. Keistimewaan Melayu sudah dianggap tidak relevan lagi dan bersifat diskriminasi. Mereka tersilap tafsir. Hak Keistimewaan Orang Melayu termaktub dalam perlembagaan. Mempertikaikan hak Melayu itu boleh disifatkan perkauman. Tapi senario politik di Malaysia sudah berubah, mereka sudah lebih mahu kepada kesepakatan bukan dominasi politik. Mereka tidak mahu UMNO terus jadi parti elit. Perkongsian KUASA sahaja tidak cukup, mereka mahu perkongsian STATUS. Jika UMNO kembali stabil sebagai tonggak BN, belum tentu isu-isu ini dapat diselesaikan dengan mudah. Ia harus melalui jalan yang berliku-liku. Percaturan harus saksama dan seimbang. Strategi harus mantap dan matang. Silap perhitungan mungkin UMNO pula terkena 'checkmate'.

No comments: