Oct 14, 2008

Tolong Diam Orang Cerdik Sedang Belajar


Awal pagi semalam saya telah pergi ke sebuah sekolah menengah berhampiran Bandar Marang. Infrastruktur sekolah ini hampir lengkap. Mempunyai sebuah dewan, makmal komputer, bilik darjah yang bersih dan tersusun, kantin yang selesa, asrama pelajar lelaki dan asrama pelajar perempuan beserta lanskap dan panorama yang menarik. Waktu saya mula-mula bersekolah di darjah satu pada tahun 1967, kelas saya berada dalam sebuah bangunan kayu yang besar. Bertangga batu. Ketika kami berjalan masuk beramai-ramai, lantainya yang diperbuat dari papan akan berbunyi seperti ‘guruh’. Hanya terdapat dua kelas sahaja dalam bangunan ini. Darjah Satu dan Darjah Dua. Ia dipisahkan dengan pengadang kayu yang berat. Manakala darjah tiga sehingga darjah enam berada dibangunan baru yang turut menempatkan bilik pentadbiran, bilik guru dan bilik Guru Besar. Cikgu saya yang terawal ialah Cikgu Jamaludin (Haji). Seorang guru yang lemah lembut. Bukan ‘lelaki lembut’. Memang sesuai untuk mengajar kami di darjah satu yang masih takut-takut dengan dunia baru, alam persekolahan. Ketika itu belum ada lagi kaedah pengajaran ‘pedagogi’. Dia mengajar semua mata pelajaran, kelas Tulisan Rumi, Tulisan Jawi, Bahasa Melayu, Ilmu Hisab (matematik) kecuali, Agama dan English. Cikgu Jamaludin amat pandai mengambil hati anak muridnya. Ketika hujan lebat, bunyi bising daripada atap zing menghalang kami dari terus belajar. Waktu itu Cikgu Jamaluddin akan membenarkan kami bermain dan berlari-lari dalam kelas.Bunyinya hirok pikok. Apabila hujan hampir reda, kami akan di suruh duduk semula di kerusi. Ini untuk mengelakkan bunyi ‘guruh’ itu sampai ke telinga Guru Besar kami, Cikgu Zakaria Pesah (Allahyarham).

Sewaktu rehat kami akan makan di kantin yang bangunannya sudah begitu usang (ketika saya di darjah dua bangunan kantin baru siap dibina). Harga makanan masih murah (tapi mencari duit waktu itu susah). Nasi lemak baru berharga lima sen dan air sirap lima sen atau kami membeli karipap lima sen dan mee hoon lima sen kemudian inti karipap di gantikan dengan mee hoon tadi. Sodap tu!. Tiada lagi duit untuk membeli minuman. Untuk minum kami menceduk air perigi yang jernih airnya berhampiran bangunan kelas kami. Pengusaha kantin kami waktu itu sudah berusia. Kami memangilnya dengan panggilan ‘Uwan’. Wan Tindan. Ubannya sudah penuh di kepala. Rambut hitamnya tinggal sehelai dua sahaja. Kadang-kadang kami terjumpa juga ‘rambut putih’ dia dalam nasi lemak yang kami makan :( .

Ketika saya melangkah masuk ke sekolah menengah, pada tahun 1973. Suasana pembelajaran sudah jauh berbeza dari sekolah rendah. Buku-buku teks lebih banyak tulisan daripada gambar berwarna-warni. Setiap subjek diajar oleh seorang guru. Guru pula semakin ramai. Daripada pengalaman bersama tujuh orang guru termasuk Guru Besar kepada berpuluh-puluh orang guru. Pelajar juga sudah beratus-ratus orang dari ‘keluaran’ tujuh buah sekolah rendah yang datang dari berpuluh-puluh kampung di pendalaman, pekan kecil dan estate. Makan pula di kantin yang lebih besar. Makanan sudah mula mahal sedikit. Mee kuah atau mee rebus sudah berharga 20 sen semangkuk. Minuman sudah berharga 10 sen. Selalunya saya akan teguk air paip sahaja. Sekolah ini juga lengkap dengan makmal sains, perpustakaan dan Bilik Tayangan Filem. Sudah ada pengawas, Ketua Pengawas dan Guru Pengawas (Guru Displin). Terdapat pelbagai persatuan, Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Agama Islam, Persatuan Sejarah dan Persatuan Ilmu Alam (Geografi). Cuma kegiatan ko-kurikulum tidak sehebat sekolah sekarang, ia hanya ada Pengakap dan Pandu Puteri. Dalam kawasan sekolah juga dibina rumah-rumah guru untuk memberi kemudahan kepada guru-guru bujang menginap. Jika saya ada ‘jam merentas masa’ saya akan kembali semula ke alam persekolahan saya dahulu. Zaman yang saya boleh bermain bersama kawan-kawan tanpa bimbang. Zaman yang telah mengenalkan saya dengan alif, ba, ta, abc, dan 123. Zaman yang telah membentuk asas bersosial, sahsiah dan cara berfikir saya. Zaman yang banyak meninggalkan kenangan manis bersama guru dan rakan-rakan. Sepintas lalu, sekolah adalah instiutusi pendikan terawal kepada pencetus kelahiran ribuan cendiakawan, pemikir, pemimpin yang berkaliber, tokoh-tokoh politik, seni dan budayawan. Ahli sains dan pakar ekonomi, pakar motivasi, dan juga tokoh guru-guru yang cemerlang dan terbilang atau sekurang-kurangnya menjadi ibu dan bapa yang tinggi kemahiran keibubapaanya.

Tetapi selepas saya meninggalkan zaman persekolahan di penghujung tahun 70an. Pelbagai insiden pelik kedengaran berlaku di sekolah. Walaupun ia hanya kes-kes terpencil atau melibatkan peratusan kecil, tetapi ia tetap mengguris perasaan dan hati kecil saya. Daripada cerita ponteng sekolah, ponteng kelas, menghisap rokok dan ganja, kes-kes hamil luar nikah, menumbuk dan mencederakan guru, mengedar vcd lucah, kumpulan ajaran songsang, kumpulan gangster, sehinggalah kepada menjadi Gro, Bohsia, Bohjan dan pelbagai lagi macam kebejatan. Walaupun ia di tutup dengan ‘silau’ kegemerlapan pencapaian SPM 21 A, keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang meningkat peratusnya saban tahun dan kejayaan aktiviti ko-kurikulum sehingga ke luar negara. Saya amat bimbang sejauh mana kita boleh membantu. Masyarakat sekarang sudah berbeza ‘nilainya’. Waktu saya bersekolah dahulu, pegangan dan nilai masyarakatnya ‘beranak seorang menjaga ramai’ berbanding kini ‘beranak ramai menjaga seorang’. Budaya tegur menegur sudah menjadi ‘asing’, budaya ‘menjaga tepi kain orang’ sudah dianggap songsang. Hari ini cara teguran kita sudah berubah dari secara langsung kepada tidak langsung. Ia telah ditampal di tembok-tembok dan di dinding-dinding bangunan. Sewaktu saya beredar meninggalkan kawasan sekolah tersebut saya terpandang juga satu ‘teguran’ yang sinis - TOLONG DIAM – ORANG CERDIK SEDANG BELAJAR.

6 comments:

Brahimnyior said...

Salam tuan, terima kasih kerana link blog saya.

petikan posting yang menarik:

Sewaktu rehat kami akan makan di kantin yang bangunannya sudah begitu usang (ketika saya di darjah dua bangunan kantin baru siap dibina). Harga makanan masih murah (tapi mencari duit waktu itu susah). Nasi lemak baru berharga lima sen dan air sirap lima sen atau kami membeli karipap lima sen dan mee hoon lima sen kemudian inti karipap di gantikan dengan mee hoon tadi.

Zaman itu, harga makanan cukup murah, tapi sesuailah dengan pendapatan masyarakat ketika itu.

Pantun untuk Pok Li:

Heroin filem Saira Banu
Filem Hindi jadi tontonan
Merantau jauh ke Terengganu
Tak inginkah pulang ke Negeri Sembilan?

puterabumi said...

Memang sedih apabila kita melihat perubahan negatif yang berlaku di sekolah lama kita dulu. Saya pun selalu menjenguk sekolah lama saya, maklumlah tempat kita menimba ilmu dan pengalaman masakan dapat dilupakan. Tetapi yang mengguris hati apabila pelajarnya tidak sesopan zaman kita. Mereka mempamerkan kelakuan nakal walaupun di depan tetamu. Budak sekarang (bukan semua) nampaknya cemerlang dalam peperiksaan sahaja, tetapi kurang cemerlang dalam ilmu agama dan nilai moral. Ibu bapa pula lebih percaya kepada kata-kata anak yang bohong daripada jiran, malah saudara mara yang berniat baik.

Pok Li said...

Saya balas pantun dari brahim

Pulau Kambing Ke Pulau Rusa
Cari benih membuka kebun
Mungkin setahun mungkin dua
Mungkin juga duduk menaun

Selamat berkursus dan menimba pengetahuan baru

Don Balon said...

Pok li..
padu betul ayat tersebut.. hehe

Macamanapun pokli..
jangankan pokli yang habis sekolah tahun 70-an, koi yang habis sekolah tahun 93 ni pun rasa lain betul suasana sekarang dengan zaman koi sekoloh rendoh dulu..
budak-budak lain macam..

kadanc2 koi dapat jugek temukan dua tiga sebab budok2 jadi gitu..
selain dari point-point yang pokli bagi..
kita di zaman peralihan..
dari mak ayah yang di sektor pertanian.. ada banyak masa di rumah..
kepada mak ayah yang keluar 6 pagi balik 8 malam..pastu letih malas nak layan anak..
dari anak-anak yang boleh ditumpangkan percuma di rumah sanak-saudara dan jiran..
kepada anak2 yang dibiarkan bergelandangan di nursery ataupun dittipkan kepada bibik-bibik dari seberang..

di manakah penerapan nilai??

ini teguran untuk diri sendiri juga..

Pok Li said...

Saya sependapat dengan putera bumi dan Don Balun. Apa yang memeranjatkan saya ialah, kejadian ini berlaku juga di pekan kecil seperti Marang. Selama ini saya fikirkan ia adalah masalah bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu. Ipoh atau Pulau Pinang.

Tirana said...

Dunia semakin maju tapi dalam masa yang sama nilai-nilai murni semakin menghilang dari kehidupan kita. Saya sebagai ibu, merasakan agak payah untuk mendidik anak-anak sekarang. Adakah kerana mereka terlalu pandai sehingga payah untuk dididik atau kita yang tidak pandai mendidik. Kita kena bersaing dengan pengaruh yang hebat...bukan sahaja di luar rumah tapi di dalam rumah itu sendiri. Jangan sangka anak-anak yang tidak keluar rumah, akan jadi baik. Dalam rumah pun ada berbagai pengaruh seperti internet, tv 24 jam dan pelbagai lagi. Di luar, pengaruhnya lagi lah hebat.. Itulah harga yang perlu kita bayar bila kita inginkan kemajuan. We win some and we loose some...tapi yang kita hilang adalah sesuatu yang amat berharga...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails