Oct 21, 2008

Serupa Tapi Tak Sama



Ramai bukan ‘anak Terengganu’ menetap di Marang. Salah seorang daripadanya bernama Cikgu Omar. Cikgu Omar 'bangsa Johor' yang sudah menetap di Terengganu selama 21 tahun. Bercinta dan menikah dengan ‘gadis’ Marang. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menetap di Terengganu..

Ketika mula-mula berada di Terengganu, Cikgu Omar telah sedaya upaya belajar menjadi ‘orang Terengganu’. Belajar bercakap lenggok dan loghat Terengganu. Mendalami adat-resam, budaya dan pantang larang orang Terengganu. Sehingga suatu hari dia telah diajak menziarahi rumah seorang kenalan. Selepas beberapa ketika berbual, tuan rumah telah membawa hidangan minuman didalam sebuah troli.Troli kayu ini diukir dengan motif daun dan flora. Bagi mengambil hati tuan rumah Cikgu Omar telah memuji-muji keunikan troli tersebut;

“Comel, troli ni, Memang comel, Mok Cik beli mane ?”
“Orang saloh buak… ni….”, ujar tuan rumah
“Ehh, dok saloh, dok saloh pung, comel ni, comel….
Ye lah, orang saloh…… buaknye, jelas tuan rumah sekali lagi.

Cikgu Omar tidak berpuas hati dengan jawapan tuan rumah tersebut. Mana mungkin troli secantik itu tersalah buat. Sebelum ia bercakap lagi, rakan yang datang bersama telah mencuit lengannya dan berbisik, 

"Orang Terengganu panggil banduan , orang salah".

Hari itu Cikgu Omar telah belajar satu perbendaharaan baharu, maksud orang saloh buak bukan bermakna tersilap buat, tetapi ia adalah hasil kerja tangan banduan. 

Isteri saya kelahiran Pulau Pinang juga sering keliru dengan loghat Negeri Sembilan yang saya tuturkan. Bila isteri saya bertanya, bila hendak pergi atau berbuat sesuatu, saya sering menjawab ‘besok lah’. Ia bukan bermaksud akan dilakukan keesokan harinya, ia membawa maksud, ‘bila-bila ada kesempatan’ yang tidak ditetapkan tempohnya. Untuk menyatakan keesokan hari, ‘orang Negeri Sembilan’ akan menyebut ‘besok pagi’. “Besok pagi’ juga bukan bermakna ‘esok pada waktu pagi’. Ia perlu ditanya sekali lagi, samada besok pagi itu , di waktu pagi, waktu tengahari atau waktu petang. Begitulah keunikan bahasa, loghat dan kaedah penggunaanya. Ia hanya dijiwai oleh mereka yang lahir dan membesar bersama bahasa ibunda tersebut. Ada ketika ia kelihatan serupa tetapi mungkin tidak sama.

Kerana itu ada perkataan yang sesuai di gunakan dengan lenggok, gaya dan loghat sekelompok masyarakat. Manakala perkataan yang serupa tidak akan digunakan oleh sekelompok masyarakat yang lain. Kerana itu agaknya, gelaran ‘Tengku Makhota’ tiada di Perak tetapi digunakan di Johor. Manakala ‘orang Terengganu’ masih boleh menyebut
buah ‘pelam’ tetapi tidak begitu bagi ‘orang Kelantan’..........Kalau tak faham juga lawak ‘mudah’ ini, tak dapek den nolong eh doh….. ;)

10 comments:

RAHISAM RAMLI said...

Pelbagai bahasa dan budaya di kalangan Melayu/Islam menjadikan hidup kita semakin indah dan harmoni. Kekalkan semangat perpaduan ini.Hentikan berbalah hanya kerana kita ada sedikit perbezaan.

Brahim Nyior said...

Pokli,
Saya ada kisah menarik untuk dikongsi tentang dialek Terengganu. Mertua saya orang Batu Rakit.

Sampai kini, saya tak boleh ikut dialek Terengganu, cuba ikut tak dok jadi... Tapi kalau orang bukan terengganu dengar saya 'kecek ganu', dia kata, pandai lah cikgu cakap tengganu.. hehehe..

Perkataan 'patak' di Ganu merujuk kepada bahagian lantai atau dasar. Contohnya 'patak kuali', 'patak pasu'.
Tapi istilah itu hampir menyamai perkataan 'pantat' (maaf, saya tak bermaksud mencarut) di daerah saya. Di tempat saya, ia bermaksud kemaluan wanita.

Pertama kali saya dengar mertua saya cakap 'patak', saya gelak sampai nak pecah perut...

Lain bahasa, lain budaya. Lain tempat, lain maknanya..

Pok Li said...

Kita kena akur bahawa suku kaum di Malaysia melebihi 200 etnik. Belum lagi dicampur suku kaum dan bangsa diseluruh dunia. Ia bukan bertujuan untuk mencari perbezaan. Aspek kesamaan harus diwujudkan untuk mencari keamanan.

Anonymous said...

Dialek Terengganu yang agak sukar dituturi...bahasa dialek negeri pun saya sukar fahami dan tuturi dialeknya. Mungkin kurang sahabat dari orang nogori.

Orang-orang Terengganu :

" Lepas makang jangan lupa basuh pinggang" ... hahaha..

regards,

relaxjom, penang

akuduniaku said...

assalamualaikum...

Bila bercakap pasal dialek teringat pula saya ketika saya belajar di Uitm Dungun..
Hari pertama kami (pelajar baru) diingatkan untuk memahami dialek T'ganu sebetulnya kerana bimbang banyak berlaku salah faham.

Antaranya ialah "ikan makang kucing". Andai di baca tanpa nada yang betul (maksud saya nada T'ganu) memang mustahil. Sebaliknya jika disebut dengan mengunakan dialek T'ganu maksudnya amat jelas sekali iaitu ikan dimakan oleh kucing.

Syukur kita mempunyai banyak bahasa dan dialek. (tak bosan bila berjumpa orang..haha)

Don Balon said...

Pokli, memanc menarik perbezaan begini..
Amber buleh spiking gganu sebak amber skoloh menengoh di Kuatang, pahang..
bukan setakat antara rakyat terengganu dgn luor je kompius..
terengganu biasa dengan kuala berang dan besut/setiu pun lain.. :)

Pok Li said...

Memang seronok dan kadang-kadang lucu, apabila dialek yang pelbagai ni tidak difahami. Orang kampung saya telah bawa ayak tepung apabila orang kedah yang berkahwin dengan orang kampung saya minta dibawakan "ayaq" (air minuman) ;).

Pok Li said...

terimakasih razifembi dan akuduniamu kerana singgah.Saya link blog kalian.

Tirana said...

Saya ramai jugak kawan-kawan dari pelbagai negeri tapi bila berkomunikasi, kami selalu gunakan bahasa melayu standard.. sebab takut tersalah interpret..hehehe.. Baca kisah Pok Li "orang saloh buak'..saya pun ingat orang tersalah buat..hehehe..

Pok Li said...

Salam Puan Tirana
Saya setuju guna bahasa melayu standard. Walaupun kita serumpun tapi macam-macam bahasa dan bunyinye ;)