Sep 18, 2008

Marhaban Ya Ramadhan (1)


Sehingga berusia 12 tahun barulah saya mampu berpuasa sebulan penuh. Waktu itu saya sudah di darjah enam (kini tahun enam). Berbanding kelima-lima anak saya yang cukup tahan berpuasa genap sebulan sejak tahun satu lagi. Alhamdullilah. Apa pun saya tidak pernah menjanjikan apa-apa. Kerana bagi saya biarlah mereka mengharungi ujian berpuasa ini tanpa janji baju raya, kasut raya atau pun sejumlah habuan wang raya. Biarlah kesedaran beragama ini datang dari kecintaannya kepada suruhan Allah bukan kerana ada nawaitu lain.

Masa saya kecil setiap kali Ramadhan, Mak akan membakar lemang sehari sebelum bulan puasa. Buluh lemang harus dipilih. Selalunya Mak akan menebang buluh telur kerana kulitnya yang nipis dan lemang mudah masak. Abah pula pagi-pagi lagi sudah keluar membeli daging dan tulang lembu untuk dibuat lauk. Selalunya Mak akan memasak rebusan sup tulang, daging gulai lemak cili api serta rendang nogori yang kaw rasanya. Mak juga tidak lupa memasak daging lada kering kegemaran saya. Malam itu kami sekeluarga makan beramai-ramai, inilah masa yang paling seronok sementara menunggu pengumuman mula berpuasa oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja. Budaya ini sudah sebati bagi orang nogori. Ia dinamakan hari mantai. Amalan ini masih lagi berlangsung sehingga kini di Negeri Sembilan. Hari mantai ini hanya berlaku ketika menyambut kedatangan bulan Ramadhan, Syawal dan Hari Raya Haji. 

Ketika usia saya usia 22 tahun dan bekerja di Pulau Pinang baru saya sedar bahawa hari mantai tidak diamalkan di negeri lain. Selepas merantau bertahun-tahun saya juga tidak juga mengamalkan hari mantai ini di negeri orang. Jika balik ke kampung pun, kakak saya tidak lagi membakar lemang. Rebusan tulang, rendang, daging masak lemak cili api tetap ada, tetapi pelengkapnya bakaran lemang sudah tiada. Ia diganti dengan ketupat. Kalau teringin sangat, kami beli sahaja. Kalau bernasib baik Induk Mirus (adik aruah emak), menghantar juga dua tiga batang lemang  bagi mengimbau kembali nostalgia hari mantai kami semasa kecil.

Mutakhir ini masyarakat lebih cenderung mengadakan majlis tazkirah, ceramah dan forum untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini. Tahun ini saya berkesempatan hadir di Forum Perdana Ihya Ramadhan di Masjid Kg Undang, Kuala Terengganu.

Malam itu saya tertarik dengan cerita seorang ahli panel, Ustazah Zawiyah dari JAKIM. Ceritanya, dia pernah menemui beberapa orang yang berpengalaman melalui lailatul qadr. Antaranya ialah seorang makcik yang sudah lanjut usia tetapi masih kuat dan bertenaga. Kisahnya, pada satu malam ketika dia sedang mendirikan solat tahajud di bulan Ramadhan tiba-tiba terpancar cahaya yang amat terang di hadapannya. Tidak pernah seumur hidupnya melihat cahaya yang begitu terang dan nyaman. Dalam keadaan antara sedar dan tidak, dia seakan-akan terdengar satu suara yang bertanya; 

“Mahukah aku tunjukkan satu tempat yang engkau akan lalui’. 

Sebaik sahaja ia memberi isyarat bersetuju, kelihatanlah di hadapannya sebuah padang hijau terbentang luas tanpa penghujungnya. Makcik tersebut mengatakan ia sangat indah, teramat indah, masya Allah, sehingga ia sendiri tidak mampu nak menggambarkan rupa keindahan itu. Bertuahlah kepada mereka yang melalui pengalaman dan anugerah Allah yang maha besar tersebut.. Sambung ustazah itu lagi;

“Lalu saya pun bertanya, apakah amalan ibu ?"

Makcik itu menjawab;

"Ibu solat tahajud sejak muda, sehingga sekarang’

Saya belum pernah lagi menemui seseorang yang mengakui dia pernah melalui malam baraqah itu. Kebanyakan yang saya temui dan baca hanyalah mereka yang bercerita tentang tanda-tanda turunnya lailatul qadr. Apa pun moral dari cerita tersebut ialah, bukan mudah untuk mendapatkan lailatul qadr. Tidak cukup dengan membetulkan ibadah dan beramal bersungguh-bersungguh pada bulan Ramadhan tetapi perlu kepada ibadat dan amalan soleh yang istiqamah dan bermujahadah sepanjang usia. Saya muhasabah diri. Setakat ini saya belum mampu bertahajud sepanjang tahun. Belum juga mampu untuk tidak mengumpat. Belum juga mampu membaca Al-Quran setiap malam. Belum juga mampu berpuasa sunat tanpa henti. Belum juga mampu kyusuk sepenuhnya dalam solat. Menjadikan amalan bersedekah sebagai kesukaan. Banyak lagi perkara yang saya belum mampu. Kalau mampu pun belum tentu Allah temukan saya dengan malam baraqah itu kecuali dengan izin Nya jua.

Pada masa kecil, setiap malam juga saya akan mengikuti abah ke surau di kampung untuk solat Isya dan solat sunat tarawih. Surau ini dibina oleh Haji Othman yang dikenali dengan gelaran Haji Semaun. Gelaran ini berpunca daripada Haji Othman yang tinggal menahun, melebihi sepuluh tahun di Mekah. Surau ini dibina ketika Haji Othman kembali dari Mekah selepas tamat zaman penjajahan Jepun. Beliau sehingga ke akhir hayatnya mengajar agama kepada penduduk sekitar daerah Seremban. Beliau juga tidak berminat bekerja dengan kerajaan, walaupun pernah ditawarkan jawatan Mufti Negeri Sembilan. 

Haji Semaun adalah bapa agih saya. Bapa Agih atau Mak Agih adalah tradisi yang di amalkan oleh masyarakat kampung. Ia berlaku apabila seseorang anak sentiasa sakit atau berpenyakit maka ia akan ditumpangkan ke rumah seseorang yang di hormati seperti Tok Imam, Pak Lebai atau kepada keluarga terdekat, sepupu, dua pupu atau ‘sanak datuk’(tiga pupu) selama beberapa hari. Selepas itu anak agih ini akan memanggil bapa agih tadi dengan panggilan abah atau ayah, dan turut memanggil isteri bapa agih dengan panggilan emak. Anak-anak bapa agih dan mak agih turut menjadi sebahagian daripada keluarga sendiri dan perlu dipanggil mengikut gelaran keluarga seperti Kak Long, Bang Ngah dan seterusnya. Dalam keluarga saya hanya ada dua orang saja yang kena agih. Saya dan kakak saya yang tua. Ini kerana semasa kecil kami sering diserang demam dan sakit. Malah kami adik beradik turut memanggil bapa agih  kakak saya dengan panggilan ayah dan mak.

Tahun ini adalah tahun kedua saya menjalani ibadah puasa di Terengganu. Seringkali saya dijemput berbuka puasa di surau atau pun di masjid. Selalunya saya hadir di majlis ‘namat’, sempena selesai tadarus Al-Quran. Walaupun aktiviti tadarus Al-Quran sudah berkurangan atau tidak lagi diamalkan kenduri ‘namat’ tetap diadakan. Kebiasaan seekor lembu akan disembelih.

Kenduri di masjid atau surau di kampung saya tidaklah sebesar majlis ‘namat’ ini. Mereka hanya membawa nasi dan lauk dari rumah. Apa pun saya mula menyukai gulai kawah dan sambal belacan yang unik rasanya. Saya juga sudah mula terbiasa makan makanan Terengganu yang istimewa, seperti ketupat sotong, rojak kateh dan kuih muih yang pelbagai nama seperti kuih akok, nekbat, lompat tikam. samosa dan tapai berbungkus daun getah. Seenak mana pun makanan di negeri orang, saya tetap merindui masakan daging salai masak lemak cili api, rendang negeri, kueh kuyo, apam dan kuih koci.

No comments: