Sep 15, 2008

PATI, PKM dan PKR (3)


Ini adalah siri terakhir, PATI, PKM DAN PKR. Tidak banyak persamaan, cuma ejaannya sahaja yang bermula dengan huruf P. Dua hari, Jumaat dan Sabtu, saya tidak menulis diblog ini kerana bercuti. Hari cuti kena digunakan sepenuhnya. Halaman rumah dah naik kemuncup. Jika lekat di kain atau seluar boleh gatal-gatal satu badan. Ia kena dimesin dan disapu. Sementara menunggu waktu solat Jumaat saya sempat membelek beberapa buah buku yang ada dalam simpanan. Antara buku yang sempat saya baca ialah “ Politik dan Kerajaan di Malaysia” terbitan DBP (1982). Buku ini saya beli ketika bertugas di Pulau Pinang pada tahun 1984.Warnanya sudah kusam dan ada beberapa muka surat yang sudah dimakan bubuk. Buku ini berkisar kepada proses kemerdekaan Negara, pembentukan Perlembagaan Persekutuan termasuklah sejarah mengenai penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.Tarikh ini telah menjadi agenda penting kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Negara. Jika di hitung hanya tinggal sehari sahaja lagi ke tarikh keramat tersebut. Ramai yang teruja dengan kesudahan impian Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ini. Samada jadi atau tidak hanya masa sahaja yang akan menentukan. Allah tentu lebih mengetahui kesudahan cerita ini daripada kita manusia, makhluknya.

Pada pilihanraya Permatang Pauh yang lepas, DSAI telah menang besar. Majoriti sokongan kepada PKR semakin meningkat. Slogannya 'Selangkah ke Putrajaya' menarik minat ramai untuk menyokongnya. Kini ia meletakan 16 September 2008 sebagai tarikh yang digeruni oleh BN terutama UMNO. Beliau sekali lagi mencipta impian, selangkah untuk menjadi PM.

Pada tahun 1998, ketika saya balik ke Kuala Pilah dari Kuala Lumpur. Saya terpempan bila layar televisyen di ruang tamu menyiarkan tag line TV3 DSAI di pecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dia dipecat dari jawatan kerajaan dan jawatan parti ketika hanya selangkah lagi ke jawatan Perdana Menteri.

Beliau yang sering tenang dan ceria ketika menjadi TPM, berubah menjadi harimau terluka dengan slogan 'Reformasi' nya. Pada pemerhatian saya bermula lah zaman ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) dalam politik Malaysia untuk merebut tampuk pemerintahan.

DSAI berjaya membawa sebahagian penyokong parti kerajaan keluar parti dan menyokongnya. Parti KeADILan telah ditubuhkan pada April 1999. Pada Pilihanraya 1999, menyaksikan bagaimana orang Melayu sudah terpecah kepada tiga kelompok. Melayu penyokong UMNO, Melayu penyokong PAS dan Melayu penyokong KeADILan. Walaupun arus itu kuat tetapi tidak cukup untuk menumbangkan kerajaan. Malahan pada pilihanraya 2004, BN pula mencapai kemenangan besar. Ia adalah manifestasi sokongan rakyat terutama bukan Melayu yang yakin kepada pemulihan ekonomi oleh Tun Mahathir. Parti KeADILan kemudian bertukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada Ogos 2003. PKR hampir berkubur kecuali di Permatang Pauh.

Tahun 2004 DSAI dibebaskan dari penjara. Beliau memilih untuk bergerak secara perlahan-lahan. Namun sebelum pilihanraya ke 12 DSAI menggunakan teknik ‘pecah dan perintah’ Fasa 2. DSAI telah memulakan langkah drastik dengan menyokong pergerakan Hindraf. Beliau telah berjaya menghilangkan kepercayaan kaum India kepada peranan MIC. Sejumlah 33 kerusi DUN negeri yang terdapat pengundi India di seluruh semenanjung telah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat. Percaturannya tepat. Keputusan Pilihanraya ke 12 menunjukan MIC hilang pengaruh termasuk Presiden MIC Dato Seri S. Samy Vellu yang turut tumbang. Jika dahulu beliau berjaya menarik keluar sokongan orang Melayu dari UMNO, kini beliau berjaya menarik keluar sokongan kaum India dari MIC. Begitu juga dengan menggunakan isu persamaan hak, orang Cina turut sama menyokong PKR. Pilihanraya 2008 menyaksikan sekali lagi arus besar melanda BN dengan kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen.

Ketika ini Fasa 3 ‘pecah dan perintah’ sedang berlangsung. Peperangan saikologinya cukup hebat sehingga parti-parti dalam komponen BN sentiasa bergolak, Dato' Yong Teck Lee Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) telah membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri. Parti Gerakan pula menyatakan hasratnya untuk keluar jika tiada perubahan dalam BN. Retetan ini membawa kepada kenyataan Ahmad Ismail Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang mahu Gerakan disingkirkan. Kenyataan pedas ini telah membawa beliau dikenakan tindakan oleh MKT UMNO. UMNO telah diugut dari dalam komponen BN sendiri. Jika tiada tindakan kepada Ahmad Ismail mungkin akan ada parti yang keluar daripada pakatan BN. Jika ada satu dua parti yang keluar, BN akan hancur. Ia ibarat permainan domino. DSAI tidak perlu lagi memujuk wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak, cukuplah dengan parti yang berada di Semenanjung. Jika benarlah ini akan berlaku pada 16 September ini (esok). Dato Seri Najib akan kempunan untuk mengetuai BN yang pernah diasaskan oleh Allahyarham bapanya 38 tahun lalu. Sekarang kita masih lagi tertunggu-tunggu,  adakah DSAI berjaya melangkah ke kerusi PM. Berjaya atau  terus gagal seperti tahun 1998. Walaupun berita mutakhir tarikh itu sudah dianjak ke tarikh lain, tetapi kesannya masih sama. Politik Malaysia sudah dilanda 'jerebu'.

Saya tak nak komen apa-apa mengenai perjalanan cerita terakhir ini, cuma saya ingin bercerita mengenai pesanan seorang ulama bernama Syeikh Ahmad dari Negeri Sembilan. Semoga kisah ini boleh menjadi renungan dan iktibar kepada kita semua. Terutama ketika menghadapi kemelut politik yang kini telah berlanjutan selama enam bulan ini. Syeikh Ahmad bin Syeikh Muhammad Said ialah Mufti Pertama Kerajaan Negeri Sembilan bapa kepada Datuk Syeikh Murtadza, Mufti Negeri Sembilan yang ada sekarang. Sekembalinya dari Mekah pada tahun 1935 beliau telah membuka dan mengajar di Madrasah As-Saidiyyah, atau dikenali dengan nama Pondok Rasah, Seremban. Mempunyai ramai anak murid termasuklah bapa saya. Menyebarkan tarikat Ahmadiah yang kini masih lagi berkembang subur di Negeri Sembilan, Melaka juga di Singapura. Satu hari ketika beliau habis mengajar kitab, beliau berpesan kepada anak muridnya;

Katanya; “ Hari ini kita sudah merdeka , sudah lepas zaman Jepun, lepas sudah kesusahan kita, selepas ini kita akan hidup senang, lepas tu kita akan hidup lebih senang dan mewah, selepas itu kita akan hidup dalam keadaan mewah dan bermewah-mewahan. Tapi ingatlah !, Selepas zaman itu akan tiba masanya kita akan mengalami zaman yang lebih payah daripada kehidupan zaman Jepun” . Itulah pesanan seorang ulama yang di percayai kasyaf oleh anak murid dan mereka yang mengenalinya.

Saya rasa kita telah berada pada zaman mewah dan bermewah-mewahan itu. Jika kita makan, kita sudah makan lauk tanpa nasi di KFC. Kurang berselera menggunakan pinggan kita boleh menikmati makanan di Restoren Daun Pisang. kurang berselera makanan masakan Melayu boleh sahaja bertukar cara masakan Jepun pulak. Namakan sahaja. Masakan Arab, Barat, China, Itali, India. Semuanya ada. Kalau tidak mahu berbuka di rumah, berbuka sahaja di hotel walaupun harganya masya Allah.

Ketika saya memandu dan melalui kampung-kampung yang ulu di Marang ini pun, saya dapati mereka sudah mampu memiliki kereta mewah bukan satu tetapi sehingga tiga buah. Basikal juga sudah jarang ditemui. Jika ada pun ia sudah menjadi koleksi eksklusif yang berharga ribuan ringgit. Oh mewahnya, negaraku.

Jika benar pesanan Syeikh Ahmad itu bilakah ? " zaman susah yang lebih susah daripada zaman Jepun itu akan datang". 

(Syeikh Ahmad meninggal dunia ketika berusia 41 tahun pada tahun 1964 - Al Fatihah)

No comments: