Saya lahir 23 hari lebih awal sebelum pengisytiran darurat tamat pada 31 Julai 1960. Walaupun darurat di isytiharkan tamat, perjuangan gerila komunis masih belum berakhir. Ia hanya tamat pada 2 Disember 1989. Ia dinamakan Perjanjian Haadyai antara Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kerajaan Malaysia.
Semasa kecil, cerita komunis menjadi cerita wajib setiap kali ada kenduri di kampung. Selepas habis menikmati hidangan mereka tidak segera pulang. Beberapa orang kampung masih lagi tinggal 'bercongkih' (bercerita). Selalunya yang menjadi juara 'congkih' ialah askar atau bekas askar.
Bekas askar yang popular di kampung kami ialah Sudin Rimau, bekas RSM tentera. Nama sebenarnya Shamsudin, mukanya kelihatan garang dengan misai tebal yang terletak rapi. Sering kali jika dia bercerita dia tidak akan lupa pengelamannya bertempur dengan komunis di hutan Sarawak. Pertempurannya sengit, sehingga kehabisan peluru. Dia akhirnya telah berjaya membunuh komunis dengan menggunakan pedang Iban. Dia bangga mengaku minum darah musuh untuk mengelakkan terkena badi manusia. Dia bukan cerita kosong. Beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) bagi menghargai keberaniannya. Beberapa kawasan badannya masih terdapat kesan peluru. Sudin Rimau adalah hero kampung yang berjasa menumpaskan komunis. Kebanyakan rakan sebaya saya yang mendengar cerita Sudin Rimau akan naik semangat dan bercita-cita apabila besar nanti menjadi askar.
Askar menjadi ikon pejuang, penyelamat dan pembela negara daripada ancaman musuh. Setiap kali ada askar balik bercuti mereka akan menjadi tumpuan orang kampung, untuk mendengar cerita-cerita menarik. Kecuali seorang askar, namanya Abang Aziz, tukang masak askar. Tiada yang menarik kecuali tugasnya yang berkisar kepada masak nasi kawah. Komunis pula menjadi ikon keganasan, kejam, tidak berperi kemanusiaan dan sepatutnya ditentang habis-habisan. Kalau ada anak kampung yang nakal ia akan disamakan dengan komunis.
Saya percaya selepas tahun 1989, negara tidak lagi berfokus kepada ancaman komunis. Rakyat merasa lebih bebas untuk ke sana dan ke sini. Azab sengsara semasa zaman komunis telah dilupakan. Setiap kali diadakan kenduri, topik komunis tidak lagi termasuk dalam 'congkih' mereka. Tiada lagi cerita-cerita komunis mati ditembak. Tiada lagi berita askar diserang hendap samada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Askar tidak lagi menjadi juara 'congkih'. Sudin Rimau sudah lama meninggal dunia sebelum PKM meletakan senjata lagi. Sedikit demi sedikit pilihan kerjaya sudah beralih. Dari hanya minat untuk menjadi askar kepada kerjaya lain yang lebih pelbagai. Kerja kerani, guru atau sekurang-kurangnya menjadi pekerja kilang. Pertumbuhan ekonomi terus meningkat naik. Kemewahan negara sudah melimpah ke kampung. Jalan tanah merah sudah bertar, pelita sudah diganti dengan lampu bulat dan kalimantang, perigi dibiarkan tertimbus kerana paip air dah ada dalam rumah. Bak bidalan Negeri Sembilan "Air dalam bosi, api dalam kaco, potik kek topi, tongah menyalo". Malaysia telah beralih daripada negara industri kecil dan sederhana kepada industri berat. Di jalan-jalan raya penuh dengan kereta buatan Malaysia, Proton. Negara juga sudah mampu membina kapalterbang.
Kesenangan ini telah merubah pespektif rakyat kepada mencari kemewahan. Mereka telah mula memilih pekerjaan. Kerja buruh, pembantu rumah, pekerja ladang, bekerja di kampung sudah dianggap status rendah. Mereka lebih suka bekerja di kilang dan pasaraya. Kekosongan ini diganti oleh pendatang asing. Mereka tidak memilih kerja, kerana mereka tahu negara mereka tidak seaman Malaysia, tidak juga semewah Malaysia. Hujan emas di negara ini telah digunakan sebaik-baiknya, Kerana mereka tahu di negeri mereka tetap turun hujan batu.
No comments:
Post a Comment