Keghairahan mungkin berlaku kerana berlaku perubahan kecil dalam kehidupan kita seharian. Sewaktu kecil dahulu saya amat ghairah untuk bermain-main dengan permainan yang dibeli oleh arwah Abah. Namun perasaan ghairah tersebut bertukar kepada perasaan ingin tahu yang berlebihan. Banyak bilangan kereta mainan yang terkopek kerana ingin tahu bagaimana ia berbunyi apabila ditolak.
Satu hari Abah membelikan permainan seekor itik yang berayun ke depan dan ke belakang bagaikan bandul jam. Itik ini dipecahkan kerana mahu tahu apa yang ada di dalam perut itik. Rupanya ada sebutir kabaid yang mengimbangi pergerakannya apabila diayun ke depan dan ke belakang. Sejak hari itu abah macam serik hendak belikan mainan. Pada hari lain ketika pergi ke bandar Seremban, saya menangis dan membentak-bentak di hadapan sebuah kedai mainan kerana abah enggan membelikan mainan. Abah pura-pura meninggalkan saya menyebabkan saya rasa ketakutan. Sejak itu saya serik meminta mainan baharu.
Perasaan ingin tahu 'budak kecil' yang berlebih-lebihan ini juga menyebabkan radio, jam loceng, basikal dan perkakas rumah banyak yang rosak. Sehingga setiap benda baru yang dibeli, sering disembunyikan daripada pengetahuan saya.
Keghairahan kedua yang saya masih ingat ialah apabila pandai menunggang basikal. Aktiviti yang menyeronokkan apabila setiap petang selepas balik dari sekolah rendah meronda kampung bersama kawan-kawan dan berulang kali mengambil selekoh tajam berhampiran laluan rel keretapi Seremban -Port Dickson. Seingat saya tayar hadapan basikal jenis Raleigh tu botak sebelah kerana kerap mengambil selekoh mengiring ke sebelah kiri. Jika kami hilang kawalan ketika mengambil selekoh kami akan terhumban bersama basikal ke dalam hutan lalang di sisi selekoh itu.
Walaupun sudah berusia, keghairahan itu tidak pernah hilang. Ketika diberitahu saya mengidap diabetes, sekali lagi keghairahan itu datang. Kali ini berjalan kaki dari rumah ke tepi pantai yang jaraknya lebih kurang 600 meter. Perjalanan pagi yang mengasyikkan sambil menyaksikan panorama matahari terbit dari sebelah timur, membelah Pulau Kapas di hadapan Pantai Kelulut.
Selepas setahun berjalan kaki, pokok besar di tepi jalan Dungun - Kuala Terengganu itu sudah ditebang. Tempatnya telah digantikan dengan sederet bangunan kedai yang menjual keropok dan hasil laut. Sudah ada juga kedai menjual nasi dagang, nasi lemak dan nasi minyak. Sudah jarang pula bertembung dengan pasangan anjing liar di tepi pantai (anjing jarang ditemui di Terengganu kerana penduduknya ramai Melayu). Mungkin sudah mati, menginsafkan saya bahawa tiada yang kekal di dunia ini.
Aktiviti berjalan kaki hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja dan setiap kali balik saya akan menyapu daun-daun kering di halaman rumah. Tentulah isteri saya gembira kerana tidak perlu lagi menyapu.
Mulai semalam 7 September 2008. Keghairahan baru bermula lagi, menulis blog. Saya berdoa supaya keghairahan menulis tidak padam. Kerana saya bukanlah penulis, dan menulis bukan bidang saya. Cerita yang ditulis pun adalah cerita-cerita biasa yang orang lain juga lalui cuma tidak di catat.
1 comment:
Tahniah en. shabli telahpun melangkau ke satu tahap...boleh buat blog..walaupun iany sekadar cerita at least we can learn something new and can also inprove ourself in whatever field...cewah...speaking plak..
En. Shabli ada penyakit kencing manis ke??? try la penawar kacip emas...layari website www.goldpincer.com atau www.antidiabetes.org
ok...selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri.
Post a Comment