Sudah dua tiga minggu saya ‘mengidam’
untuk makan mee kari. Gerai mee kari ini betul-betul bersebelahan stesyen
minyak, jalan menghala ke Hospital Besar Tuanku Jaafar. Tapi belum ada kesempatan. Gerai itu memang menjadi
tumpuan ramai. Tidak kira bangsa. Mee
karinya stail masakan Cina tidak menggunakan santan (atau sedikit santan?). Sebuah lagi gerai mee kari yang popular
terletak di tengah pusat bandar Seremban. Peniaganya Cina Muslim, rasanya tidak
jauh berbeza. Kalau berbeza pun susah nak cari tempat ‘parking’ kereta .
Kesempatan itu datang juga
akhirnya, minggu lepas. Sewaktu saya berdua sampai, gerai ini sudah penuh
sesak. Adakah mereka ‘mengidam’ macam
saya juga. Wallahuallam. Menunggu sedikit lama, baru teh tarik dan semangkuk
mee kari yang diidamkan itu sampai. Saya tidak kisah, kerana faham senarai
menunggunya panjang.
Perbualan juga tidak banyak. Minum
teh tarik dan menikmati mee kari di waktu pagi memang kusyuk. Kuah mee juga
dihirup sehingga ke dasarnya. Slurpppp. Selesai.
“Kira kak berapa?”.
“RM8.30 sen”. Balas tauke
kedai. Saya menghulur RM10.00.
“30 sen ada ke?”. Saya meraba
saku seluar. Hanya ada syiling 20 sen.
“20 sen boleh ke?, 10 sen lagi
hapus kira lah”.
“Tak apa, saya ada banyak duit
syiling”. Sambil dia memulangkan baki RM1.70.
Dalam hati saya berkata, “Mak ai,
10 sen pun berkira juga kah, kalau macam tu,
tak payah lah tanya duit syiling”.
Pagi itu saya rasa seolah-olah keluar
dari restoren 'kedai konsep' yang harganya tetap dan tidak boleh ditawar langsung.
2 comments:
Memang ada peniaga yg mcm tu, bulih kayo..sekarang syiling semakin kecil saiznya, lagi senang simpan..
Nohas
Duit syiling saya selalu isteri simpan tabung.
Post a Comment