Dec 18, 2009

Bola Hijrah

Hari ini adalah hari pertama tahun 1431 Hijrah. Bermakna sudah 31 tahun kita berada di abad ke 15 Hijrah. Peristiwa itu berlaku ketika saya sudah pun menetap di Kuala Lumpur. Ia jatuh pada 11 November 1980. Bagi memperingati tahun yang penuh sejarah itu saya telah membeli wang syiling kenangan Abad ke 15 yang dikeluarkan oleh Bank Negara dengan nilai $1.00.

Dikesempatan ini juga saya mengucapkan selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua rakan dan taulan, rakan-rakan blogger yang masih aktif menulis ataupun yang sudah ‘bersara’ tetapi masih rajin membaca blog rakan-rakan yang terus beraksi di alam maya ini. Doa saya semoga kalian dimurahkan rezeki, umur yang berkat, dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah, kewarasan dan keluasan berfikir, mudah melaksanakan urusan dunia begitu juga urusan akhirat. Mudah-mudahan juga amalan tahun lepas dan akan datang sebagai amalan yang diredhai oleh Allah swt yang telah menciptakan langit dan bumi dan segala isinya serta menjadikan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Insya Allah semoga kita juga dikurniakan kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Amin.

Kebetulan pula, selepas beberapa minit sahaja memasuki tahun baru hijrah, pasukan bola sepak negara telah berjaya mengotakan impian mereka untuk meraih pingat emas yang diidam-idamkan sejak 20 tahun dahulu. Sebagai rakyat Malaysia saya turut berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain bola sepak negara yang telah mengharungi perlawanan yang penuh getir sepanjang mereka berada di Ventiane. Sudah tentu nama K.Rajagobal jurulatih pasukan bola kebangsaan ini akan menjadi lebih tersohor selepas ini. Dari sebuah pasukan yang tidak diberi pengharapan tinggi tetapi kemudian pulang dengan membawa gelaran 'juara'.

Saya bukanlah peminat fanatik bola sepak yang sanggup menunggu berjam-jam di hadapan tv ataupun menghabiskan wang dan masa untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium. Malah tidak juga bersengkang mata dan bangun pagi hanya semata-mata untuk menonton pasukan bola yang saya minati. Saya lebih berminat untuk menyaksikan permainan badminton daripada bola. Namun demikian saya tidak terlupa untuk mengikuti perkembangan bola sepak negara. Malaysia sudah pernah mencipta nama besar di Asia Tenggara sebagai pasukan bola yang digeruni dan disegani. Saya berkesempatan menonton siaran langsung Malaysia lawan German di Sukan Olimpik Munich tahun 1972. Walaupun Malaysia ketika itu tewas 3-0 dan menjadi pasukan ‘kerdil’ dalam kumpulannya, tetapi ia tidak menjadi ‘pasukan belasahan’ seperti yang terjadi kepada pasukan bola sepak Timor Leste. Malaysia tetap hebat sehingga setiap kali Pesta Bola Merdeka diadakan, Malaysia tetap unggul sebagai juara yang sering bertemu di peringkat akhir dengan pasukan bola sepak Korea Selatan yang sudah jauh majunya sekarang.

Pemain-pemain pasukan bola sepak zaman 60an sehingga 80an terus menjadi lagenda yang sukar dicari ganti. Nama-nama seperti Ghani Minhat, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Isa Bakar, M.Chandran, R.Arumugam (penjaga gol) dan Mokhtar Dahari adalah tonggak pasukan bola sepak negara yang sentiasa menjadi sebutan dikalangan peminat sukan ini. Budak kecil sehingga kepada orang dewasa, mereka tetap kenal dan kagum dengan ‘bintang’ tersebut. Hari ini saya sendiri tidak mengingati siapakah nama pemain-pemain bola sepak yang mewakili negara atau yang mewakili pasukan bola sepak negeri-negeri. Begitulah merosotnya pemerhatian saya kepada perkembangan pemain-pemain bola sepak negara seperti merosotnya mutu pasukan bola sepak negara selepas tahun-tahun 90an.

Saya tetap teruja untuk melihat semula kecemerlangan pasukan bola sepak negara seperti zaman saya kecil dahulu. Adakah penantian saya itu sudah benar-benar berakhir dengan menyaksikan kebangkitan dan kemenangan pasukan bola negara di Sukan Sea di Vietnam …………………….. Wallahuallam.

Dec 10, 2009

Chef Li


Sudah hampir benar ke hujung tahun. Tahun 2010 akan menjelma hanya beberapa minggu dari sekarang. Minggu ini kami akan berkumpul semula
Afif anak bongsu saya baharu sahaja selesai peperiksaan SPMnya. Alang akan balik dari 'Opkim', Pulau Bum-Bum di Sabah, Atiqah juga akan pulang
dari 'Opkim' di Arau Perlis. Angah sudah beberapa hari pulang dari Cyberjaya dan Along juga sudah beberapa bulan pulang selepas tamat belajar di Uitm.

Atas pemintaan anak-anak minggu ini sekali lagi saya akan turun ke dapur. Menunjukkan bakat lama yang sudah hampir berkarat itu. Minggu lepas saya sudah masak nasi beriani dan kari daging. Minggu ini tak tahu lagi. Masih berkira-kira. Boleh jadi nasi lemak kukus dengan sambal ikan bilis atau pun tomyam yang lebih wangi aromanya jika dicampur dengan lada 'capsicum'. Saya bukan pandai sangat memasak, tapi mungkin kerana pengalaman 'dolu-dolu', bila isteri bersalin atau sakit sayalah akan jadi penganti ibunya. Boleh jadi kerana itu agaknya anak-anak masih rindukan masakan 'Chef Li' itewwww.
Nota:
Opkim : Operasi Khidmat Masyarakat
Capsikum : Lada Benggala

Dec 9, 2009

Spedo

Ketika membeli setem bernilai RM0.30 sen di pejabat pos pagi tadi saya cukup tertarik dengan gambar ‘Fighter Spider’ dari spesies Thiania bhamoensis itu. Semasa saya kecil-kecil dahulu inilah ‘spedo’ yang sering kami cari, terutama musim cuti sekolah seperti sekarang.

‘Spider’ ini selalunya bersarang di daun palas atau pun di rimbunan daun pandan. Sarangnya dibina dari daun-daun yang digam kejap dengan benang halus dari perutnya. Hanya ‘spider’ jantan sahaja yang ditangkap. Tidak sukar untuk membezakan antara ‘spider’ jantan dengan ‘spider’ betina. Spider jantan di kepalanya ada tompok putih, spider betina macam gambar dalam setem itulah, kepalanya berwarna hitam. Ia kemudian disimpan dalam kotak mancis yang sudah dialas daun.

‘Spider’ ini kemudian akan dilagakan. ‘Spider’ jantan yang lebih panjang jangkirnya selalunya lebih kuat. ‘Spider’ jantan yang ditangkap bersama pasangannya pula dianggap lebih degil dan sukar menyerah kalah. Sekurang-kurangnya seekor spider boleh bertahan ‘berlaga’ sehingga lima kali atau enam kali. Setiap kali kalah ia akan dibebaskan semula. Setiap hari akan ada juara ‘spedo’ yang ditabalkan. Itu pun tidak akan bertahan lama. Esok akan ada lagi pencabar baru. Tiada pertaruhan seperti laga spider di Filipina. Ia adalah keseronokan budak-budak dahulu. Kini bukan sahaja permainan itu tidak lagi dikenali, mungkin juga ramai yang tidak tahu tentang kewujudannya.

Dec 8, 2009

Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah

Saya tidak ‘rajin’ bercerita mengenai Bandar Marang. Kalau adapun posting saya mengenai asal-usul nama buah Duku di Kg Bukit Cherana. Kita sering bercerita mengenai perkara di luar lingkungan, sehingga terlupa banyak perkara dan cerita yang menarik berlaku di sekitar kita.

Ketika saya mula berhijrah ke sini empat tahun dahulu saya tidak menjangka ia hanyalah sebuah pekan kecil jika berdasarkan pada namanya, BANDAR MARANG. Bandar ini hanya ada beberapa buah deret kedai. Sederet di jalan Dungun, sederet di jalan Wakaf Tapai dan sederet lagi di Jalan Pantai yang kini lebih dikenali dengan nama Marang Waterfront. Ketika malam, bandar ini bertukar kelam. Kalau bukan kerana ada ‘traffic light’, saya fikir tiada kenderaan yang berhenti di bandar ini.

Apa pun, ketika bertemu Prof Dato’ Mohamad Abu Bakar anak jati Bandar Marang di Bengkel Local Agenda 21 Marang minggu lepas, saya lebih mengenali bandar ini. Dahulu Marang adalah perkampungan nelayan, tumpuan orang Cina mendirikan bangsal di tepi pantai tempat menjemur ikan. 'Orang hulu' menjual hasil-hasil kampung dengan perahu jalur. Ada yang menghilir jauh sehingga dari Kg Jenang (10 km dari Marang). Penduduk sekitarnya pula menangkap mengkabang, mengutip teritip, remis dan setiap tahun ada pesta air, mengejar itik dalam sungai dan memanjat tiang licin. Dua puluh atau tiga puluh tahun dahulu Bandar Marang dipenuhi oleh pelancung luar terutamanya 'Mat Salleh'. Setiap masa ‘mereka’ boleh ditemui di bandar ini, berjalan kaki, menaiki basikal atau menginap di sini seminggu dua. Kini ‘artifak’ itu sudah tiada, kampong tradisional Marang telah dipindahkan ke Sg Kerak, tiga kilometer dari lokasi asal. Hanya tinggal Kampung Alor Pak Bang, Kg Batu Merah dan Kg Paya yang tidak sampai 100 buah rumah. Deretan kedai beratap nipah sudah diganti dengan kedai batu. Masjid, Pasar Besar, Balai Polis, Bangunan Mara, Kompleks Pentadbiran dan Perpustakaan Awam semuanya ‘arca’ baru yang menghiasi Bandar Marang. Sedikit demi sedikit ia telah menghilangkan tarikan ‘mat saleh’ untuk datang melihat keunikan Bandar Marang.

Walaupun Marang belum berubah 360°, tetapi sudah mula membangun. Waktu malam, lampu-lampu neon berwarna-warni sudah indah terpasang. Lampu ‘high mask’ sudah menukar wajah kelam Bandar Marang kepada suasana yang lebih ceria. Bandar Marang telah berubah. Nasi lemak dahulu hanya berharga ‘se amah’ kini sudah naik sehingga ‘tiga amah’. Dulu bila saya mula berhijrah ke Marang. Kawan-kawan sering berkata, “untunglah kau Li, barang makan murah, ikan murah…..”. Lalu saya teringat kata seorang kawan; “tiada barang yang murah di sini, kalau ada pun air laut” :).




Nota :
Rajin : Loghat Terengganu seerti dengan selalu
Seamah : RM0.50
Tiga amah : RM1.50
Prof Dato' Mohamad Abu Bakar adalam mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan penyandang kursi Tun Abdul Razak, Universiti Ohio, Amerika Syarikat, 2005-2007

Dec 4, 2009

Tuah Hijrah

Saya tidak pernah tinggal di luar negara. Kalau ada pun hanya sekadar beberapa hari dan kembali semua ke tanahair. Sudah tentu saya tidak mampu meneka perasaan mereka apabila bertemu dengan rakyat Malaysia selepas bertahun-tahun bermastautin di negara orang. Boleh jadi seronok sangat. Boleh jadi tak rasa apa-apa pun.

Kini saya hanya berada di negeri orang, Terengganu. Penghujung bulan ini genap empat tahun saya ‘membumi’ di Marang. Belum lama sangat tapi sesekali berjumpa orang ‘nogori’ saya rasa cukup seronok, Berbual dalam loghat ibunda terasa ‘kesodapan’ yang tak dapat digambarkan. Tidak ramai orang NS di Terengganu. Kalau ada pun terpisah-pisah. Tidak mengaku ‘orang negeri’ pun ada. Biasalah ragam manusia. Tidak menghairankan sangat, kerana yang tak mengaku Melayu pun dah ramai juga.

Apa pun mulai Oktober lalu saya sudah mendaftar sebagai ahli PEWARIS (Persatuan Waris dan Anak Negeri Sembilan). Terima kasih kepada Datuk Zaki yang menjadi pengasas dan pengerusi persatuan ini sejak tahun 2006. Walaupun persatuan ini tidak berdaftar tapi cukuplah sebagai wadah untuk menemukan lebih 300 orang ‘anak nogori’ di perantauan. Ada yang sudah merantau sehingga 60 tahun, berkahwin, beranak-pinak, bercucu dan bercicit. Ada yang sudah menjadi orang penting kerajaan negeri, pensyarah universiti, guru-guru, pengurusan tertinggi jabatan kerajaan, syarikat swasta, perbankan, pengusaha motel dan chalet serta klinik sendiri. Itulah tuahnya berhijrah.

Saya hanyalah sebahagian daripada mereka yang berhijrah untuk sementara waktu. Satu hari nanti Insya Allah saya pasti akan kembali juga ke kampung halaman, bagai kata perbidalan, sejauh-jauh seluang melaut, ke hulu sungai juga tempat kembali. Cuma kalau saya rindu hendak makan rendang dan gulai lemak cili api saya akan ke Kedai Kak Yah di Jalan Cerung Lanjut, Kuala Terengganu atau ke Restoren My Mum Nasi Lemak di Gong Badak.

P/S SALAM HIJRAH DAN SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM 1431H.

Nov 24, 2009

Tunggu dan Lihat

Sejuk. Malam lebih 'mencongkam' lagi. Siang dan malam sama sahaja. Hujan turun, berhenti, lebat, renyai dan kembali lebat. Kawasan rendah di Marang ini telah ditenggelami air. Kg Alor Wan Syed, Kg Kubu, Kg Temala, Kg Setar Kanan, Pengkalan Kuin telah ramai yang berpindah. Jalan di Sungai Serai, Sentol Patah, Paya Mengkuang, Batu 9, Kg Undang dan pinggiran Pekan Bukit Payong telah dinaiki air. Sebahagian jalannya ditutup, walaupun hubungan masih belum terputus. Orang ‘pantai timur’ nampaknya ‘kool’ sahaja. Anak-anak mereka masih lagi rancak bermain air. Pagi-pagi lagi dua tiga orang ‘pok cik’ dan ‘budok-budok’ sudah menahan pukat, menjala, atau menangguk ikan di sungai. Anak-anak muda pula meronda dan ulang alik membelah air dengan motorsikal mereka. Kegirangan mereka seakan-akan menyambut ‘pesta’ di musim hujan. Apa pun 1,500 orang sudah dipindahkan. Kasihan mereka ketika Hari Raya Korban menjelang tiba.

Sepanjang musim hujan ini tidur saya juga tidak nyenyak. Setiap kali hujan lebat saya akan terjaga. Sungai Marang di tepi rumah masih bertahan. Airnya sudah beberapa kali naik dan surut. Setiap kali hujan lebat airnya akan naik semula. Kiambang sudah mula membusut tersekat di laluan air. Jalan dihadapan rumah kami sudah beberapa kali tenggelam. Sudah beberapa kali juga kereta-kereta jiran terpaksa dipindahkan ke tempat tinggi, waktu dinihari, empat atau lima pagi. Pengalaman tahun lepas telah mengajar kami. Jangan ke mana-mana. Kami hanya menanti gelombang kedua ini berakhir. Bulan Disember ini akan datang lagi gelombang ketiga. Kami tetap tidak akan ke mana-mana. Tunggu dan lihat…….

Nov 19, 2009

Gulong Ng Palad

Dua tiga minggu ini saya kerap terjaga pukul 3.00 atau 4.00 pagi. Merimaskan. Pusing kiri, pusing kanan mata tetap terkebil-kebil juga. Mungkin juga kerana jadual tidur saya yang sudah berubah. Sekarang pukul 9.00 atau 10.00 malam sudah pun berdengkur. Tidur nyenyak tanpa mimpi.

Daripada ‘menggelisah’ dan menggangu tidur isteri lebih baik bangun. Kini saya sudah menjadi penonton setia kepada siri drama Filipina berjudul Gulong Ng Palad di Tv2 jam 4.30 pagi itu. Drama masyarakat, mengenai perkahwinan yang tidak sekufu, Luisa yang miskin dan Carding anak seorang tokoh politik kaya yang sombong. Saya tidak mengikuti cerita ini dari awal, tapi sebahagiannya memaparkan tentang kisah masyarakat yang memilukan, cinta suci terpisah kerana fitnah, putar belit politik, rasuah untuk mendapatkan kedudukan dan kuasa, permainan kotor perempuan hanya untuk mendapatkan cinta lelaki. Drama yang padat dengan pelbagai insiden yang menyentuh perasaan. Kehidupan kaya yang tidak kekal, kehidupan miskin yang tak selamanya malang, cukup sesuai dengan judul Bahasa Melayunya, Roda Nasib.

Saya tetap rindu untuk menyaksikan drama-drama yang bermutu seperti Nur Kasih yang sedang ditayangkan sekarang. Drama bersiri yang banyak juga pengajarannya, lebih jauh baiknya daripada cerita-cerita lawak dan seram yang tak banyak faedahnya itu. Seingat saya, semasa Tan Sri Mohamad Rahmat jadi Menteri Penerangan dulu, dia melarang tayang filem seram dalam tv. Dato Seri Rais macam mana pula…… kerana kementerian itu pun sudah semakin besar dan luas juga kuasanya.

Cuma saya berharap cerita Gulung Ng Palad itu dapat disiarkan awal. RTM pun tak rugi rasanya kerana banyak iklan yang akan menaja. Sebab saya tak larat dah nak menonton tv pagi-pagi buta…….

Nota:
Gulong ng Palad (Roda Nasib) ialah drama bersiri Radio Fillipina tahun 50an dan drama tv yang mendapat sambutan pada tahun 1980an. Tahun 2006 drama ini kembali diterbitkan di bawah arahan Eric Salud dan Jerome Pobocan.

Nov 18, 2009

Doa dan Harapan


Hari ini adalah hari penting buat anak saya yang bernama Muhammad Afif. Dia sedang menghadapi peperiksaan besar yang telah dilalui oleh abang-abang dan kakak-kakaknya dahulu. Sijil Pelajaran Malaysia. Malam tadi saya sempat lagi bertemu dia di sekolahnya, di SMK Sains Kuala Terengganu. Pada mata zahirnya ia cukup yakin untuk mengharungi cabaran ini.


Afif adalah anak saya yang kelima. Anak bongsu. Ketika lahir beratnya hanya 2.58 kg sahaja. Paling ringan antara adik-beradiknya. Kini beratnya sudah mencecah 59 kg, juga paling besar antara adik beradik yang lain. Mewakili pasukan sekolah bermain tenis dan juga Imam Dua di sekolah. Antara anak yang paling kerap berpindah-pindah sekolah. Dari SK Senaling, Kuala Pilah, SK Sg. Choh, Rawang, SK Bukit Sentosa, Bukit Sentosa, SMK Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung hinggalah mengikut saya berpindah ke Terengganu di SMK Seberang Marang, Marang. Keputusannya yang cemerlang pada PMR 2007, telah menempatkan dia di sekolah sekarang. Retetan kehidupannya baru bermula. Tahun depan mungkin dia berada di matrikulasi atau di maktab atau pun terus ke luar negara.


Hari penting ini juga adalah hari penting kepada 465,853 pelajar yang mengambil peperiksaan yang sama. Hari ini juga adalah hari debaran kepada hampir dua juta ibu dan bapa. Ibubapa yang mengharapkan kejayaan anak–anak masing-masing. Anak-anak yang telah bertungkus lumus sepanjang dua tahun pengajian mereka, belajar, mengulangkaji, berbincang dan diasak terus-terusan dengan latih tubi menjawab soalan, dengan satu matlamat mencapai keputusan yang cemerlang dan boleh dibanggakan.


Walaubagaimanapun perjalanan mereka baru sahaja bermula, banyak lagi cabaran dan rintangan hidup yang terpaksa mereka lalui. Ini adalah sebahagian dari rencah kehidupan yang baru mereka rasai dan kenali. Apa pun saya dan emaknya serta bersama-sama berjuta-juta ibubapa lain tetap berdoa untuk kesejahteraan mereka sewaktu mengharungi hari-hari peperiksaan ini, semoga tiada yang ditimpa sakit, demam dan bencana. Kepada pelajar yang terpaksa mengharungi ujian berganda kerana banjir atau musibah saya tetap doakan mereka terus istiqamah dan berjaya menempuh halangan itu dengan jayanya.

Nov 17, 2009

Pensil, Pen Dan ........

Gambar di sebelah adalah sebahagian daripada ratusan pen yang saya perolehi dari pelbagai bengkel, seminar, kursus dan majlis-majlis yang saya hadiri. Pelbagai bentuk dan pelbagai warna, hitam, putih, merah, kuning dan biru. Kadang-kadang ia terbiar dan tersimpan bersama-sama beg-beg dan juga kotak-kotak cenderamata itu.

Semasa bersekolah rendah dahulu, keinginan menulis menggunakan pen cukup tinggi. Maklum sahaja di sekolah rendah dari Darjah Satu hingga Darjah Enam hanya boleh menggunakan pensil. Penggunaan pen tidak dibenarkan sama sekali. Mata pensil pula sering patah dan tumpul. Pensil diasah menggunakan pengasah kecil bulat yang ada cermin di belakangnya. Kalau tidak pun menggunakan pisau lipat kecil dan menghiris batang pensil itu sehingga seinci panjang, karbon pensil dibiarkan panjang terjojol sebelum dihiris tajam. kadang-kadang kedua-dua hujung pensil diasah supaya mudah menukarnya jika mata pensil kembali tumpul. Hari ini anak-anak lebih selesa dengan pensil yang lebih maju ciptaannya. Mereka tak perlu lagi mengasah, hanya beli sahaja karbonnya dengan ukuran yang pelbagai. Apatah lagi kalau di Terengganu, Tahun Lima pun dah pakai e-book.

Kini saya bukan sahaja sudah mampu memiliki pen yang cantik dan berharga, tetapi juga memiliki ratusan pen ‘percuma’ yang suatu waktu dahulu cukup saya dambakan. Cuma saya terfikir adakah saya berpeluang untuk menggunakan semua pen itu.? Walaupun masih rajin menulis, tetapi realitinya saya hanya lebih banyak ‘menaip’. Ha ha ha.

Nov 15, 2009

Ulangsiar

Ini adalah tulisan saya tahun lepas mengenai perpisahan, Bertemu Untuk Berpisah. Sehingga kini saya masih belum bertemu Syed Abdul Halim sahabat lama yang saya kisahkan itu. Tahun ini dan di bulan November ini ramai yang telah bertukar. Walaupun benar kata bidalan, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti dan yang berpisah pasti ada pertemuan baru, tapi kesimpulannya tetap satu, ia tetap tidak sama walaupun yang datang itu kembar seiras.

Buat rakan-rakan yang pernah berkampung bersama-sama di Terengganu ini, Juliana, Rohani, Fadzilah dan mentor saya Hajah Halimaton. Saya ucapkan selamat bertukar ke Putrajaya, Kuantan dan Bandaraya Kuala Lumpur. Setiap kali berpisah saya akan terasa ‘kehilangan’. Mungkin seminggu dua ini ‘mood’ saya akan pulih semula. Insya Allah. Tahun hadapan siapa pula. Hu hu hu. Mungkin juga giliran saya pula. Ha ha ha

Oct 24, 2009

Ujian Allah

Posting terdahulu saya telah menulis mengenai ujian masa. Tentulah ceritanya berlainan dengan posting kali ini yang berjudul 'Ujian Allah'. Saya pilih cerita ini kerana ada kaitan dengan sambutan Eid Fitri. Tambahan pula sambutan dan Rumah Terbuka masih ada 'wi' lagi walaupun bulan Syawal sudah pun berganti bulan. Mungkin sehari dua lagi berhentilah agaknya.

Tahun 1998, mengingatkan saya kepada kelahiran sekelompok jutawan. Peneroka Felda Labu Johnson telah menjadi kaya raya dengan sekelip mata. Kebetulan 'durian runtuh' itu berlaku ketika menjelangnya sambutan Eid Fitri. Apa lagi 'berjujai' jutawan itu mendatangi bank untuk mengeluarkan duit raya. Ada yang hendak membaiki rumah. Ada yang nak membeli kereta. Ada yang nak membeli perabot baru. Ada juga yang hendak beraya sakan. Ada juga hendak menikah lagi satu ........ he he he.

Bank Bumiputera di Jalan Dato' Bandar Tunggal Seremban masa itu belum lagi guna sistem nombor. Betul-betul sesak. Kerana hendak menunaikan cek terpaksa jugalah saya 'berkesot' menunggu giliran. Ketika menghampiri kaunter, dua orang 'jutawan' baru sahaja selesai berurusan. Ketika dia melintas di depan kami dia 'menasihatkan' rakan jutawannya yang berbaris di hadapan saya;

"Bai, wek apo kau beratur ni. Apo yang kau bodoh bonar, kau bagi yo kek kerani tu RM1,000. Lopeh tu kau tunggulah dia panggil". Tengok den nia, kojap yo".

Hebat betul pemikiran 'OKB' itu. Mereka betul-betul 'tahu' menggunakan duit mereka. Terfikir juga, kalau saya menjadi kerani bank waktu itu sudah tentu 'kocek' saya juga turut kembung. Silap-silap saya yang raya sakan lebih daripada mereka.

Itu cerita 10 atau 11 tahun dahulu. Kini cerita itu sudah menjadi sejarah. Ramai juga yang masih senang lenang dan menjadi model kepada kehidupan seorang 'jutawan segera'. Tidak kurang juga yang sudah jatuh miskin, hutang keliling pinggang, keluarga terabai dan bercerai berai. Jika berniaga pula terpaksa 'tutup kedai' kerana tiada pengalaman. Tak kurang juga yang lebih susah dari kehidupan peneroka dahulu. Itulah ujian Allah. Ramai yang berjaya mengharungi 'ujian kesusahan' tetapi belum tentu 'lulus' bila didatangkan dengan 'ujian kesenangan'.

Kerana itu saya berpesan pada diri saya sendiri dan tuan-tuan (macam khutbah Jumaat pulak). Bersyukurlah kepada apa yang kita miliki. Janganlah kita marah-marah, kecewa dan putus asa, kalau kita belum dinaikkan pangkat, tidak tercapai cita-cita, belum lagi diberi rezeki yang melimpah ruah. Kerana takut-takut ia sebagai ujian Allah yang tetap menghitung segala nikmat yang diberikannya ke atas kita.
Nota:
wi - pusingan gasing yang hampir mati
berjujai -beratur panjang atau keadaan barisan yang tidak putus-putus
OKB - Orang Kaya Baru

Oct 21, 2009

Ujian Masa

Minggu lepas selepas menguruskan beberapa hal-hal peribadi di bandar Kuala Terengganu saya singgah disebuah gerai yang cukup terkenal di Kuala Ibai. Oleh kerana tidak kemana-mana saya hanya duduk santai menanti pelayan datang mengambil pesanan. Pelanggannya tidaklah berapa ramai. Tapi mereka macam tak perasan saya duduk tercokoh di meja hadapan sekali. Saya bagi mereka masa sehingga lima minit. "Kalau tak datang .........". Ketika masa melepasi lima minit, baru pelayan itu datang bertanya. Sambil bangun saya berkata kepadanya, "Sudah terlewat awang, masa yang saya beri sudah tamat". Mungkin dia tidak faham, kerana saya nampak mukanya semacam 'bengong'.


Saya memandu lagi, singgah di kedai 'masakan panas' di Kg Rhu Muda. Mejanya sahaja melebihi 10 buah. Pelanggannya tidak sampai pun 10 orang. Saya mengambil meja yang paling hujung. Duduk sambil menonton TV 24" yang tergantung dihadapan kaunter bayaran. Tanpa isyarat dan reaksi untuk minum saya terus menunggu. Saya beri lagi masa selama lima minit. Nampaknya bukan sahaja lambat, kelibat pelayannya pun tak ada. Saya agak kalau 10 minit pun pasti tak ada pelayan yang datang menyapa. Lebih baik beredar sahaja dari sakit hati.


Saya memandu lagi. kali ini saya singgah di Esplanade, Pantai Kelulut. Pelanggannya agak sesak. Baru sahaja 30 saat saya meletakkan punggung, pelayannya sudah berdiri di tepi meja.


"Sup tulang se"
"Kopi O kurang manis se"


Nampaknya layanannya 'amat memuaskan' hati saya. Cepat dan pantas. Tak sampai 10 minit semua pesanan sudah terhidang di atas meja. Ujian masa saya sudah berjaya. Cuma sedikit malang .... petang itu saya betul-betul makan tulang. Dagingnya ciput...... :(
Nota:
se = satu

Oct 9, 2009

Muda Kembali

”Tak perasan, sungguh......”. ”Saya ingat orang lain tadi".
Dua tiga orang yang saya temui menegur perubahan pada raut wajah saya. Nampak muda kata mereka."Bayar nazar" balas saya pendek.

Bukan saya membotakkan rambut, cuma misai tebal saya telah dicukur licin. Kesilapan mencukur bukan sahaja menyebabkan raut wajah kelihatan hodoh tetapi mungkin boleh bertukar seakan muka Charles Chaplin. Pada kelihatan 'hodoh' atau 'bodoh' lebih baik misai yang dijaga bertahun-tahun itu dikorbankan.

Kini saya sedang menunggu misai menebal kembali. Adakah mereka akan kata, "Eh nampak tua lah.......... He he he.

Oct 4, 2009

Bila Rumah Mula Tertutup

Sudah menjadi fesyen zaman kini. Setiap kali hari perayaan, pasti pula akan disusuli dengan 'Rumah Terbuka". Tak kiralah Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Sehingga beberapa tahun sebelum ini kita 'tersasul' pula menamakan Rumah Terbuka itu dengan Rumah Terbuka Depa Raya dan Gong Xi Raya. Sedangkan kita maklum bahawa agama Islam dan hari perayaan Islam lebih tinggi martabatnya daripada sambutan perayaan agama lain. Sebagaimana firmannya; "Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu,dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu."(al-Ma'idah 5:3).
Tahun ini seakan tidak ramai yang mengadakan Rumah Terbuka di Marang. Seingat saya tahun lepas setiap hari ada sahaja jemputan. Tahun ini kalau ada pun diadakan oleh parti-parti politik, jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat swasta. Mungkin juga faktur 'bonus' yang tidak seberapa atau juga mahu berjimat cermat. Lebih baik mengambil langkah bersederhana, daripada mengikutkan perasaan, 'Biar Papa Asalkan Bergaya'.

Sep 27, 2009

Materialistiknya Budak-Budak....

Setiap kali Hari Raya tiba. Anak-anaklah yang paling gembira. Bukan sahaja memakai pakaian baru tetapi juga ’mengutip’ duit raya dari abah, emak, atok, nenek, bapa saudara, mak saudara dan daripada jiran-jiran sekampung atau setaman. Selepas dua tiga hari berhari raya ada yang sudah mengumpul beratus-ratus ringgit. Ada juga yang hanya setakat puluhan ringgit. Itu pun sudah cukup bagus.

Semasa saya kecil, budaya memberi 'angpau' ini tidaklah terserlah. Ia hanyalah ’nasib’ jika tuan rumah hendak memberi. Kalau memberi pun tidaklah dalam sampul kecil seperti sekarang. Mereka hanya beri 10 sen atau 20 sen sahaja. Selalunya tuan rumah hanya menjamu mereka makan dengan kuih-kuih dan air sirap yang dicampur selasih. Tetap ada ’kelas’ walaupun tanpa Ribena.

Bila agaknya budaya ’angpau’ ini meresap ke dalam budaya Melayu. Saya tidak ingat dengan jelas. Tahu-tahu kita sudah ’meniru’ amalan kaum Tionghua itu. Jika tidak silap ia berkembang pada awal tahun lapan puluhan. Ia berkembang dengan cepat sekali. Mulanya sampul itu masih menggunakan warna merah (angpau). Hanya selepas itu barulah lahir sampul yang berwarna-warni. Bank, pasaraya, kedai kasut, kedai baju, telah ’menghadiahkan’ pelanggan-pelanggan mereka dengan ’sampul duit’ ini. Semenjak itu juga setiap tahun bank-bank menyediakan tukaran wang RM1, RM5, RM10 setiap kali menjelang Hari Raya. Kita sudah menjadi ’pemurah’ sepanjang bulan Syawal ini. Anak-anak pun semakin ramai datang ke rumah. Mereka datang dan ’gelisah’ bila hanya dijamu kuih-muih sahaja. ”Tak ada duit raya ke Mak Cik”. Bila diberi, mereka ’bersegera’ keluar pula ke rumah jiran yang lain. Budaya ’angpau’ ini telah meresap kuat dalam jiwa anak-anak, sehingga ada yang tidak menjamah pun kuih muih yang dihidangkan. Mereka meniti dari satu rumah ke satu rumah tanpa kecuali. Materialistiknya budak-budak kannnnnnn.......

Sep 23, 2009

Takbir Raya

Berhari raya di kampung macam dulu-dulu jugak. Petang itu kami berbuka beramai-ramai di hari terakhir Ramadhan. Jika dahulu hanya kami adik beradik yang menikmati ’lomang’ dan ’rondang’, ’Rebusan’ dan ’gulai lomak cili api’. Kini keluarga kami sudah semakin besar, sudah ada ipar duai, anak-anak, anak saudara dan juga cucu. Kami sudah menjadi ’orang tua’. Pusaka itu sudah bergilir. Abah dan emak sudah lama meninggalkan kami. Kalau mereka masih hidup tentu mereka ’riang’ melihat generasinya yang ’berkembang biak’. Petang itu kami ’makan besar’ sementara menanti pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Akhirnya sekali lagi malam itu kami bertakbir dari rumah ke rumah.

Seingat saya takbir dari rumah ke rumah ini sudah berlangsung lama. Sejak dari rumah kelahiran saya sebelum kami berpindah ke rumah baru. Rumah ’marhaen’ itu bertiang bulat beralas batu sungai, berlantai buluh dan berdinding ’pelupuh’. Lantai papan hanya ada di serambi, ruang tengah rumah dan dapur. Tiada bilik, bila malam tirai kain akan dilabuhkan. Atap rumah juga sering bocor. Setiap kali bocor abah akan menganyam atap baru daripada daun rumbia. Bila malam, bulan dan bintang boleh diintai dari ’tabir layar’ yang seakan tergantung di hujung bumbung. Walaupun untuk ke rumah kami terpaksa melalui ’lorong tikus’ rombongan takbir itu tetap akan tiba juga.

Rombongan takbir ini tidak ramai. Asalnya hanya ada tujuh lapan orang sahaja. Bertakbir Hari Raya dan berdoa. Memohon keampunan kepada yang hidup dan juga kepada yang sudah tiada, kekal amal ibadah, sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki, dipohon juga kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kemudian rombongan ini dihidangkan pula dengan juadah kuih-kuih lama, lemang bersama rendang, penganan(dodol), sirat, wajik, kuih bangkit, kuih bahulu, samprit, dan putu kacang. Berbual-bual ala kadar, sambil menggulung rokok pucuk atau menghisap rokok Gold Leaf, Star, Rough Rider atau rokok Tiga Lima. Biasanya jam 11 malam takbir di tujuh rumah itu usai.

Kini pengikut rombongan ini sudah semakin besar. Daripada tujuh lapan orang, kini sudah mencecah ke 25 orang. Alhamdulillah, ramai anak muda yang menjadi ahlinya. Apa pun bila kehidupan sedikit mewah di pertengahan tahun 70an, hidangan pula sudah mulai pelbagai, setiap rumah pasti ada hidangan ’istimewa’. Ada yang menghidangkan lontong, ada yang menghidangkan mee goreng, mee kari, laksa atau sate. Air juga sudah beraneka jenis daripada kopi, teh, sirap bandung, air bikarbonat hinggalah ke cendul. Begitu juga jenis kuih, sudah beragam. Kuih ’dulu-dulu’, samprit, putu kacang, sirat, wajik, bahulu dan penganan sudah jarang dihidang. Takbir Raya tetap rancak seperti dahulu, dan perut-perut mereka kembali ’memboyot’ seperti selalu...............

Sep 18, 2009

Berayakah Kita

Besok 19 September 2009, saya akan pulang ke kampung halaman. Beruntung saya masih ada kampung. Beruntung juga saya masih ada adik beradik di kampung. Beruntung juga saya masih ada rumah masak lomak cili api itu. Jika tidak saya tak tahu hendak berhari raya di mana. Mungkin di Marang. Mungkin juga di kampung isteri saya di Pulau Pinang. Mungkin juga tidur di hotel, paginya ke tanah perkuburan menziarahi pusara abah dan emak. Selepas itu solat sunat Eid Fitri. Ziarah beberapa buah rumah dan balik ke hotel lagi. Tentu menyedihkan bukan............ Kalau begitu jadinya, berayakah kita?.

Itu hanya sedikit cerita sedih, jika nak dibandingkan dengan kehilangan orang tersayang, kerana kemalangan jalanraya. Ketika mereka 'balik kampung' dalam suasana riang dan gembira. Ketika 'lomang' sudah 'dibolah'. Ketika 'rondang' telah dihidang. Ketika bilik sudah 'berkomeh'. Kerana itu berhati-hatilah ketika memandu. Kalau begitu jadinya, berayakah kita.

Ketika saya menulis ini, beberapa bunyi ’letupan’ terus berdentum dentam. Kalau bukan kerana Hari Raya sudah semakin hampir, saya fikir tentu ada berlaku kejadian tembak menembak di depan rumah. Suka betul mereka bermain ’letupan’ itu sehingga ada yang kehilangan ’jari’ dan ’tangan’. Rupa-rupanya mereka sering 'lupa' sejarah. Sejarah yang setiap tahun berulang. Kalau begitu jadinya berayakah kita?.

Apapun ceritanya saya tetap mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan-rakan blogger yang menjengok dan menjengah blog Biso Bonar ini tanpa rasa jemu. Begitu juga kepada pengikut dan pembaca tetap blog ini yang sering memberi pandangan, ulasan, dorongan dan segala macam komen. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Maaf Zahir dan Batin juga jika ada komen-komen saya yang tidak sewajarnya serta menyinggung rasa dan jiwa........ Begitu juga saya berdoa semoga kita bertemu lagi di bulan Ramadhan Al Mubarak yang sudah mula melangkah meninggalkan kita. Ya Allah, panjangkan umur kami. Mudah-mudahan Ramadhan ini bukan yang terakhir buat kami. Amin.
Kad Ihsan Sinzmanula

Sep 17, 2009

ABC

Dua hari lepas saya dan isteri telah ’turun’ ke Kuantan. Sebuah bandar yang pesat membangun. Bangunan perniagaan dan taman-taman perumahan sudah melebar sehingga ke pinggir bandar. Pasaraya dan pusat membeli belah pula semakin bertambah dan bercambah. Beberapa batang jalannya sentiasa sesak. Kuantan sudah menjadi bandar tersibuk di Pantai Timur.

29 tahun dahulu ketika pertama kali saya menjejak kaki ke bandar ini ia hanyalah sebuah ’bandar mati’. Selepas jam 8.00 malam tiada lagi kedai dibuka. Kalau ada pun Medan Selera di tepi sungai Kuantan itu sahaja. Tiada tomyam, tiada nasi berlauk, tiada masakan kampung, yang ada hanya nasi goreng. Gerai No6 Medan Selera itu sering menjadi pilihan saya. Bukan sahaja nasi goreng ayamnya yang enak, tetapi ABC specialnya memang sedap ’giler’.

Kami hanya sampai di Kuantan 15 minit lagi sebelum waktu berbuka. Saya tidak lagi mencari gerai No6 itu. Dari Jalan Beserah terus sahaja merentasi jambatan ke Tanjung Lumpur. Tanjung Lumpur kini sudah menjadi ’medan selera’ yang baru. Kedai makan sudah berderet panjang. Dulu Tanjung Lumpur hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Belum ada lagi jambatan. Kampung ini hanya ada sebuah jeti kayu dan beberapa buah bot penambang. Tambang bot dari Tanjung Lumpur ke Bandar Kuantan hanya 30 sen. Bot-bot ini juga yang menyambung perjalanan mereka ke Kg Selamat dan Tanjung Api.

Petang itu kami berbuka ala kadar sahaja.Tomyam, telur dadar, kailan dan martabak. Air Sirap Bandung dan Milo ’kosong’. ”RM 14.60 bang”. Harganya jauh lebih murah dari mereka yang sanggup membayar berpuluh-puluh dan beratus-ratus ringgit ’satu kepala’ untuk ’pakej berbuka puasa’. Peniaga sekarang begitu ’berani’ meletakkan harga tanpa rasa takut kehilangan pelanggan. Mungkin tidak seperti peniaga Gerai No6 Medan Selera, Jalan Besar itu, ketika saya datang kembali di tahun 1982, ABC Specialnya sudah tidak sesedap dulu.

”Kenapa dik, campurannya dah kurang ?”
”Harga barang dah naik bang,”. ” Kalau jual mahal sapa nak makan”

Harga ABC Special waktu itu baru berharga RM2.00. Dia sudah tidak berani menaikkan harga kerana takut tiada pembeli. Begitulah jarak masa yang berlalu. Ia bukan sahaja telah mengubah lanskap fizikal, tetapi juga berlaku perubahan sikap, pemikiran, ragam, tingkah laku, citarasa dan pandangan hidup. Hari ini jika ada yang jual ABC Special berharga RM 10.00 pun tetap ada yang beli woi.........

Sep 8, 2009

More, Ulau dan Bungkusan Plastik

Dua hari lepas saya telah turun ke kampung halaman. Mulanya saya ingin sahaja menaiki bas. Mudah dan tidak melelahkan. Sesekali menjadi penumpang dan ada yang memandu tentu lebih santai, terutama ketika mengharungi perjalanan yang jauh itu. Tetapi kerana anak-anak di Bangi dan Cyberjaya juga mahu menumpang pulang ke Terengganu sempena cuti Nuzul Quran terpaksa juga ’bawa’ kereta. Bertemankan isteri yang setia, kali ini saya lebih selesa menyusuri jalan pantai, Marang, Dungun, Kemaman lebuhraya Pantai Timur sebelum melencung ke Gambang melintasi sempadan Pahang ke Negeri Sembilan melalui Bandar Muadzam ke Keratong dan bernoktah di Seremban.

Malam itu kami menunaikan solat Isyak dan tarawih di surau kampung. Surau yang dibina oleh seorang ulama bernama Haji Othman 55 tahun dahulu. Tokoh ini lebih dikenali dengan panggilan Haji Semaun. Panggilan ini berpunca kerana beliau belajar dan menetap bertahun-tahun (menaun) di Mekah. Allahyarham hanya pulang ke tanahair selepas tamat perang Jepun. Namanya sebaris dengan nama-nama ulama yang terkenal di Negeri Sembilan. Buku-buku hasil penulisannya sebahagian diserahkan ke UKM sebagai ’pesaka’ dari seorang tokoh yang menyumbang kepada peningkatan syiar Islam di Negeri Sembilan.

Haji Semaun sudah lama meninggal dunia. Meninggal ketika saya di Darjah Lima (1971). Selepas itu satu persatu imam-imam di surau itu meninggal dunia. Abah, Long Awaluddin, Long Amat, Haji Mazri... kini ’tempat’ mereka telah diganti oleh abang-abang tua rakan sepermainan waktu kecil dahulu. Setiap kali berpaling memberi salam, muka-muka bersih itu sudah penuh jalur dan kedut tua. Ramai juga yang sudah berambut putih dan botak. Tersedar bahawa saya juga bukan berusia muda. Saya adalah pewaris-pewaris yang pernah memenuhi surau ini semasa kecil. Di surau ini tempat kami mengaji, di surau ini kami sering tidur selepas ’tadarus’. Di surau ini kami sering bergurau di saf belakang ketika orang tua kyusyuk sembahyang dibaris depan. Di surau ini juga kami sentiasa ternanti-nanti ’ulau’ atau ’more’ selepas solat terawih. Kini ’ulau’ itu tidak lagi berhidang, kalau ada pun hanya air kotak dan sebiji buah epal dalam bungkusan plastik. Mungkin juga kakak-kakak ’tua’ itu sudah tidak terdaya lagi hendak membasuh pinggan dan cawan yang bertimbun-timbun itu.

Aug 31, 2009

52

Pagi tadi mata saya tetap terpaku melihat ulangan persembahan 'sempurna' Sudirman (Allahyarham) di TV3. Sudah lama saya tidak menemui kehebatan persembahan seorang artis yang benar-benar ’Malaysia’. Penyanyi yang bukan sahaja patriotik, berbudaya, humor, tetapi begitu dekat di hati peminatnya tanpa mengira darjat, bangsa, agama dan keturunan. Penyanyi sekarang mungkin boleh menyaingi persembahan pentasnya tetapi bukan semangat dan kata-katanya. Antaranya menyebut; ”Kemerdekaan bukan (sahaja) membebaskan diri dari penjajahan, kemerdekaan juga membebaskan dari kemalasan dan kemunduran”. Beliau telah membuat persembahan dengan ’hati’ bukan dengan kepala.

Malam tadi ketika Sambutan Hari Merdeka Peringkat Daerah Marang tidak ramai yang hadir untuk bacaan tahlil dan doa selamat. Bendera hanya berkibar di bangunan kerajaan, sedikit di bangunan-bangunan kedai. Bendera di kereta pun sudah semakin kurang. Adakah kita sudah semakin ’malas’ dan semakin ’mundur’ untuk merayakannya. Malahan kita sudah lama tewas kepada warga ’negara jiran’ yang sanggup menjahit sendiri bendera ’merah putih’ itu setiap kali sambutan hari kemerdekaan mereka.

Apa pun saya tetap mengingati dan merayakan Hari Kemerdekaan samada ia sambutan ke 52, 53, 54........ dan seterusnya. Kerana setiap kali datang 31 Ogos ia juga adalah hari ulangtahun pernikahan kami. Merdeka. Merdeka. Merdeka.........

Aug 29, 2009

Zara & Me


Tajuk posting kali ini bukan judul sebuah novel. Cuma dua nama yang saya gabungkan menjadi satu. Puan Zara seorang penulis kreatif. Manakala en_me pula seorang jurutera yang ’lumayan’. Mungkin juga judul tersebut boleh dijadikan plot novel yang menarik dan berkisar tentang kisah kerjaya yang berbeza antara seorang seniman dan karyawan. Novel yang berjaya memerlukan watak yang kukuh, persekitaran dan plot yang kemas, penuh dengan unsur-unsur dramatik, konflik, suspen, klimak dan peleraian yang menarik. Saya sering tertarik dengan filem-filem Korea yang selalu memulakan kisahnya dengan dunia kerjaya. Kemudian plotnya berkembang perlahan-lahan kepada cerita-cerita percintaan dan kehidupan yang mengesankan. Kerana itu saya sering mengikuti siri drama-drama Korea di TV. Tapi sekarang macam sudah kurang diputar. Boleh jadi ’rating’ penonton lebih ’berselera’ menengok filem hantu agaknya.

Saya bukan sengaja menggabungkan dua nama ini. Kebetulan Puan Zara dan en_me telah meng’tag’ saya dalam jarak masa yang hampir sama. Mudah ’gitu’ untuk dijawab sekali gus. Tapi saya tak akan menjawab semua sekali. Jika terlalu panjang tentu en_me tak akan habis baca kerana dia ‘anti-scrolling’. Kalau tak menjawab pula saya dah berjanji dengan Puan Zura bahawa satu hari nanti saya akan ambil juga award itewwwww.

Begitulah muqadimmah saya, kepada ’tag’ mereka. Akhirnya saya mengambil jalan tengah iaitu ada soalan yang akan saya jawab dan tidak. Satu soalan yang menarik dari en_me ialah kenapa Pok Li berblog ?. Mungkin jawapan ini sudah memadai ghitewwww.

Puan Zara juga janganlah merajuk kerana saya tak dapat menjawab kesemua soalannya. Sekurang-kurangnya ’tindak balas’ saya ini boleh memuaskan hati. Namun kerana percaya Puan Zara mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, bolehlah mengembara dalam blog Biso Bonar untuk menemui jawapan bagi soalan no.7, no 8. no.9 dan no.10. Walaupun begitu ada juga beberapa soalan yang saya ’op’ dulu. Begitu juga untuk meng ‘tag’ rakan-rakan blogger yang lain. Insya Allah akan sampai masanya, soalan-soalan dan ‘tag’ itu akan dijawab dan dipanjangkan juga. Tungguuuuuuuu.............di sana.


Nota:
Op (loghat Terengganu) = Tunggu

Aug 25, 2009

Jauh Di Mata Jauh Di Hati


Sesekali keluar daerah di bulan Ramadhan ini agak memenatkan. Kali ini ke Kemaman. Bandar yang terkenal dengan keenakan hidangan Sata. Pertama kali menikmatinya, saya terus 'jatuh cinta'. Emmmmmmm. Makanan yang dicampur ikan, tepung, garam dan gula. Juga sedikit lada.

Memandu dengan kelajuan sederhana mengambil masa dua jam dari Marang ke Bandar Kemaman. Sesekali ’berkelana’ seorang diri memutar semula ingatan silam. Bandar ini pertama kali saya jejaki dan ’teroka’ pada tahun 1981. Sudah banyak perubahan yang berlaku. Pasar babi di tepi sungai Kemaman itu sudah tiada lagi. Ia sudah menjadi laluan pejalan kaki dan taman rekreasi. Kedai getah milik seorang Datuk di tengah bandar itu juga sudah tiada. Pasarnya juga sudah semakin besar. Tiada lagi peniaga-peniaga wanita yang duduk di sepanjang kaki lima pasar ala ’Pasar Siti Khadijah’. Kedai ’mamak’ berhadapan pasar yang sering menjadi tumpuan kerana ayam gorengnya yang ranggup dan ’menjilat jari’ itu juga sudah tiada. Pasaraya Johan, pasaraya terawal di Kemaman juga sudah berganti tuan. Hotel Duen yang pernah saya menginap dahulu juga sudah berganti nama. Bandar Kemaman yang dahulu hanya terhenti di pinggiran jambatan Jalan Sulaiman sudah jauh melebar hala ke ’darat’. Jalan Dato Omar depan Hospital Kemaman sudah lama menjadi laluan utama Kuala Terengganu-Kuantan. Tidak perlu lagi melencung masuk ke pusat bandar. Dua puluh lapan tahun telah berlalu. Bersyukur kerana saya masih lagi hidup dan mampu mengingati beberapa ’titik tumpuan’ yang ada di ’Pekan Kemaman’ ketika itu.

Di bandar ini juga lahir seorang ’gadis’ yang pernah mencuri ’perhatian’ saya. Berhubungan berapa lama, akhirnya terputus. Mungkin kerana jarak, mungkin juga ikatan yang tidak kukuh atau yang pasti tiada jodoh. Kami pernah bekerja bersama di Kuala Lumpur terpisah selepas dia berpindah ke jabatan lain dan saya pula bertukar ke Pulau Pinang. Mungkin ada benarnya, kata perbidalan Melayu, Jauh di mata, jauh juga di hati.............

Aug 21, 2009

Andai Aku Tahu..............


Malam ini kita mula kembali bersolat tarawikh. Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana memanjangkan usia kita untuk menemui sekali lagi bulan yang penuh rahmat, keberkatan dan pengampunan ini. Tanpa membuang masa, saya mengucapkan selamat berpuasa dan Salam Ramadhan Al Mubarak kepada pengikut setia dan juga pembaca blog Biso Bonar ini.

Semalam saya telah hadir di Forum Perdana di Pekan Bukit Payong. Pekan kecil yang semakin berkembang maju dan membesar. Hanya 15 kilometer dari Bandar Marang. Pekan kecil yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Bandaraya Kuala Terengganu ke Bandar Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu. Forum kali ini telah menjemput beberapa orang personaliti yang tersohor, termasuk sepasang suami isteri yang menjadi pengendali rancangan motivasi keluarga di TV9. Mereka datang berpusu-pusu bukan sahaja untuk mendengar tetapi juga untuk melihat personaliti tersebut dengan ’mata kepala’ mereka sendiri. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama personaliti dambaan mereka itu

Sepanjang dua jam forum itu berlangsung tentunya tidak akan terlepas daripada menceritakan mengenai kelebihan bulan Ramadhan. Keberuntungan insan yang menemui Lailatul Qadr, yang menjanjikan ibadahnya terlebih baik setara 1,000 bulan.Terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka. Syaitan-syaitan dirantai, amalan-amalan yang sedikit dibalas dengan pembalasan-pembalasan yang tidak terjangka. Sebagaimana cerita pendek seorang panel forum itu.........

”Tersebut dalam sebuah kitab tasauf , kisah seorang penjual roti, yang setiap hari membawa pulang kerumahnya beberapa buku roti yang tidak habis dijual. Roti-roti ini disimpan manakala roti-roti lama yang bercendawan dilontar ke luar rumah. Sehingga satu hari dia terlihat seorang fakir mengutip roti-roti bercendawan yang dilemparkannya.

Lalu penjual roti ini melemparkan pula roti-roti yang masih baik kepada fakir itu dan berkata; ”Wahai fakir, tidak usahlah kamu memakan roti-roti bercendawan itu, ambillah roti-roti yang masih baik ini”. Bersyukurlah fakir itu kepada Allah kerana memberi rezeki yang lebih baik kepadanya hari itu.

Selepas beberapa tahun berlalu, penjual roti ini telah meninggal dunia dan rahmat Allah telah memasukkannya ke syurga. Di syurga tersebut beliau telah didudukan dalam sebuah mahligai yang indah dan besar. Maka bertanyalah penjual roti itu; ”Ibadah manakah yang aku lakukan sehingga memperolehi mahligai sebesar dan seindah ini”. Lalu dikhabarkan kepadanya, bahawa keistimewaan yang diperolehi itu adalah kerana ibadahnya mencampakkan roti kepada sifakir. Itu saja.

Maka kata penjual roti itu ” Andai ku tahu........begini besar balasannya, sudah tentu aku menjemput fakir itu naik ke atas rumah dan aku sendiri yang menyuapkan roti itu ke mulutnya. Pastilah aku dikurniakan mahligai yang lebih besar dan lebih indah. Masya Allah.

Aug 16, 2009

H1N1 atau Hini

Serangan H1N1 semakin parah. WHO (World Health Organization) meramalkan serangan wabak ini akan terus berlanjutan sehingga enam bulan atau ke setahun lagi. Jika masyarakat tidak mengambil serius terhadap langkah-langkah pencegahan, angka jangkitan mampu mencecah sehingga lima juta orang di seluruh dunia. Setakat ini negara kita sudah kehilangan 62 jiwa. Kerajaan juga tidak berminat untuk menamakan kawasan panas iaitu kawasan yang tinggi jangkitannya supaya rakyat terus peka kepada usaha pencegahan. Bersegeralah ke klinik atau ke hospital untuk mendapatkan rawatan jika mengalami selsema, demam dan sakit tekak yang melampau. Apa pun usaha mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Kerana itu elakkan ’bertandang’ ke tempat awam jika tidak perlu.

Dalam kesibukan menghadapi wabak ini, ramai juga yang membuat pelbagai andaian, cerita dan kesempatan. Saya petik sedikit dari Blog Azli Shukri - "Baru-baru ini saya difahamkan secara berjenaka, kononnya virus H1N1 boleh dicegah jika kita makan Kari Kepala Ikan banyak-banyak, benarkah begitu? Menurut rakan saya itu, mungkin secara bergurau, antara negara yang jarang dilaporkan jumlah kematian H1N1 ialah negara India. Menurutnya lagi, H1N1 tidak upaya masuk ke dalam tubuh badan orang yang kuat makan Kari Kepala Ikan. Hal ini adalah kerana kandungan yang terdapat dalam Kari Kepala Ikan ialah bahan yang boleh merangsang tubuh badan menjadi lebih berdaya tahan dan menguatkan lagi pertahanan tubuh badan (antibodies)". Sejauh mana kebenarannya juga belum juga dapat dipastikan.

Beberapa hari lepas, timbul pula cerita dari kawan saya bahawa bawang putih akan naik harganya dari RM1.70 sekilogram kepada RM2.50 sekilogram. Kenaikan harga tersebut dikaitkan pula dengan permintaan yang sangat tinggi kepada bawang tersebut di negara Cina. Khabarnya rakyat Cina kini memilih untuk memakan bawang putih sebagai usaha menentang serangan H1N1. Walaupun diakui bahawa bawang putih sebagai 'Raja Anti-biotik', masih juga tidak dapat dipastikan keberkesanannya menentang wabak ini.

Tiga hari lepas ketika berada di Pejabat Pos Kuala Terengganu, seorang penjual MLM juga berkempen secara ’bisik-bisik’ kepada kenalannya bahawa herbanya juga mampu mengelak dan merawat penyakit H1N1. Entahlah ketika kita berada dalam ’kesempitan’ ramai pula yang mencari ’kesempatan’.

Cuma satu perkara yang saya perasan Jumaat semalam, teks khutbah Tok Khatib tidak lagi menggunakan istilah H1N1, tetapi terus terang dengan sebutan ’selsema babi’. Boleh jadi kerana minggu lepas ada Tok Khatib yang tersasul membaca wabak H1N1 sebagai wabak ’Hini’. He he he.

Aug 13, 2009

Buat Baik Berpada-pada


Saya ketawa sendirian apabila melihat iklan pewangi kereta itu di tv. Kerana ’kewangiannya’ semua kereta yang dipandu oleh perempuan yang ’come lote’ itu mengalami ’kerosakan’. Sudah tentu ’kejadian’ itu tidak akan berlaku di alam sebenar.

Iklan bukan sahaja berperanan mempromosi barangan tetapi juga mempunyai unsur pendidikan bagi menjaga kebersihan diri, cara berpakaian, gaya pemakanan dan juga berkesan mengubah persepsi orang ramai kepada sesuatu barangan. Iklan telah banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Saya percaya bahawa sebahagian daripada kita tetap terkesan dengan pengaruh iklan. Walaupun iklan bukan seorang ’juru jual’ tetapi peranannya sebagai ’perangsang’ kepada penggalakan pembelian barangan memang memukau.

Saya tidak berhasrat untuk bercerita mengenai iklan. Cuma saya tertarik dengan plot iklan itu. Seorang lelaki kacak memandu sebuah kereta ’sporty’ dan berbekalkan pewangi kereta telah berjaya ’menumpangkan’ beberapa orang gadis cantik. Perjalanan selepas itu berlalu dengan perasaan riang ria dan ’gumbira’. Plot itu hampir sama dengan pengalaman yang saya lalui tetapi bukan penumpang perempuan tetapi lelaki.

Pada awal pagi di tahun 1998 saya telah bertolak dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur. Seperti biasa saya akan singgah di Perhentian Nilai untuk menunaikan solat subuh. Selesai sahaja menunaikan solat saya kembali ke kereta. Dalam suasana kelam, tiba-tiba sahaja muncul lembaga dari belakang pokok itu.

”Minta maaf bapak, tumpang bertanya, bagimana bisa mahu ke Salak Tinggi’.
’Aduh gimana boleh berada di perhentian ini’
”Saya naik bas ekspress, supirnya bilang turun saja disini kalau mau ke Salak Tinggi”

Ini dah jadi ’problem’ masalah. Oleh kerana memikirkan dia bersendirian, tanpa ragu-ragu saya mempelawa dia menumpang kereta hingga ke persimpangan lebuhraya ke Kajang. Dari sana dia boleh memanjat bukit kemudian menahan bas ke Kajang sebelum mengambil bas lain ke Salak Tinggi. Tetapi sebaik sahaja bersetuju untuk menumpangkannya, tiba-tiba sahaja keluar lagi dua ’lembaga’ dari sebalik bangunan surau itu dan terus masuk ke dalam kereta. Wah ini ’problem’ masalah juga ni.

Kerana memang sudah berhasrat untuk menumpangkan, saya teruskan sahaja niat itu. Malangnya dalam perjalanan, mereka berkeras supaya dihantar terus ke Salak Tinggi.

’Mana boleh pak, saya lagi kerja., mau cepat ’
’Saya ada permit lagi bapak, yang tiada permit pun orang berani hantar. Bilang saja berapa, kita bayar. Apa yang bapak takut’

Nampaknya keikhlasan saya telah cuba diinjak-injak. Nasib baiklah selepas tidak mahu mengalah akhirnya mereka turun juga dari kereta. Saya sudah nekad jika mereka tidak turun, saya akan memandu terus dan berhenti betul-betul di hadapan tangga Balai Polis Tol Sungai Besi itu. Perjalanan itu bukan lagi dalam keadaan riang ria dan ’gumbira’ tetapi penuh trauma.

Aug 9, 2009

Menjelang Ramadhan


Hawa bulan Ramadhan sudah semakin terasa. Buah Kurma sudah mula berlambak-lambak dijual di pasaraya di Kuala Terengganu. Walau pun ibadah puasa belum lagi bermula, kuih raya juga sudah mula dijual dan disusun bertingkat-tingkat. Terkehadapan betul perniagaan kita.

Minggu-minggu terakhir ini juga ‘rakyat’ Terengganu sudah bersepakat untuk bergotong royong membersihkan kubur dan masjid. Saya juga tidak pasti adakah amalan ini juga berlaku di negeri-negeri lain. Kerana sepanjang ingatan, ia tidak pernah berlaku di kampung saya. Kalau ada pun mereka berpakat-pakat membawa lauk-pauk dan kuih muih dari rumah ke majlis ‘tahlil’ pada Hari Raya ketiga di kawasan lapang berhampiran tanah perkuburan. Tentulah setiap negeri mempunyai persamaan dan perbezaan budaya.

Menjelang Ramadhan ini juga ’serangan’ selsema babi semakin menjadi-jadi. Setakat ini sudah 27 orang meninggal dunia. Semalam sahaja kematian sudah mencecah tiga orang sehari. Hari ini pula sudah mencecah sembilan orang. Ia bukan sahaja membimbangkan tetapi sudah sampai ke tahap menakutkan. Besok berapa pula......?. Wajarlah kita terus peka dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak kesihatan. Apatah lagi, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam keluarga kita, tentulah amat menyedihkan kerana Eid Fitri akan menjelang tiba selepas kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Tidak terlupa juga sejarah ’Blog Biso Bonar’ ini muncul di alam maya menjelang Ramadhan tahun lepas. Bermakna sudah setahun Hijriah saya menulis. Begitulah putaran masa, sehari, seminggu, sebulan dan setahun dirintis tanpa sedar. Posting di blog ini juga sudah mencecah angka ratusan. Lalu ingin ’ana’ bertanya, boleh ke ‘ana’ digelar penulis ?..... he he he .

Aug 6, 2009

Cinta Sejati


Sehari sebelum kami kembali ke Semenanjung sempat juga ’menyelongkar’ sebahagian kecil Pekan Sibu di pinggir Batang Rajang. Dari tempat penginapan kami jaraknya lebih kurang 46 kilometer. Jalan ke Sibu ’beralun’. Hampir sebahagian tanahnya, tanah gambut. Bandar Sibu dibina di atas ’Lembah Rajang’. Dua tiga rumah dipersimpangan Jalan Lada itu nampak senget kerana mendap. Pembinaan rumah agak mahal, kerana perlu di ’piling’ lebih dalam. Namun begitu Sibu tetap berbanga kerana memiliki Wisma San Yan, bangunan paling tinggi di Sarawak.

Melihat bandar Sibu di waktu petang amat mengasyikkan. Pertemuan antara beberapa batang sungai, Batang Oya, Batang Igan dan Batang Rajang. Bot-bot ekspress datang dan pergi dari pekan-pekan kecil di sekelilingnya, Song, Kapit, Kanowit, dan Belaga. Bot-bot ekspress yang panjang-panjang dan bersusun di pengkalan satu ’panorama’ indah yang tidak ditemui di negeri lain. Tiada ruang untuk mencuba. Mungkin satu hari nanti saya akan naik juga pengangkutan air yang tersohor di Sarawak ini.

Bandar Sibu juga bandar sejarah. Disinilah lahirnya Rosli Dhoby pejuang Sarawak. Rosli yang masih belasan tahun ketika itu telah menikam mati Sir Duncan George Stewart Gabenor ke 2 Sarawak di Kg Pulau. Kg Pulau itu sudah tiada lagi, ia sudah diganti dengan Sibu Water Front, yang terbentang di hadapannya Sungai Rajang dan dibelakangnya Hotel Paramount. Saya tidak berkesempatan untuk melihat pusaranya kerana ketika meninggalkan Bandar Sibu hari sudah beransur-ansur gelap. Hanya sempat melintasi sekolah menengah yang meletakkan namanya di Kg Nangka. Cuma mungkin ramai yang tidak mengetahui ’kekasih’ Rosli Dhoby masih lagi hidup, berusia 86 tahun dan bermaustautin di Kg Hilir, Bandar Sibu. ’Che Ani’ itu terus tidak berkahwin sampai kini, mungkin menyimpan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Boleh jadi itulah cinta sejati.

Aug 5, 2009

Fokker 50


Baru dua hari lepas saya kembali dari Bumi Kenyalang, Sarawak. Lebih tepat lagi dari Sibu. Mungkin langkah kami ’langkah kiri’. Ketika kami sampai, musim buah ’Dabai’ (sebutannya dabÓ™i) baharu sahaja berakhir. Buah yang dikatakan amat sedap jika ditabur garam kemudian dijemur sebelum dimakan mentah begitu sahaja. Buah eksotik yang harga pasarannya mampu mencecah RM 16.00 sekilogram di pasar-pasar Bandaraya Kuching.

Sibu adalah pusat pengeluaran buah Dabai. Berada di tengah-tengah negeri Sarawak, lebih kurang 440 km melalui jalan darat ke Kuching. Lebih cepat jika menaiki kapal terbang, satu jam dengan Fokker 50 atau 45 minit dengan Boeing 737. Pengalaman pertama kali menaiki fokker memang menakutkan. Kapal berkipas dua ini bergegar setiap kali merempuh awan tebal. Kerap kali juga fokker ini ’terjun’ bila bertembung ’air-pocket’. Perut terasa kosong dan ’sayu’. Entah berapa kali tangan saya mencengkam kuat di lengan kerusi, menahan debaran. Seakan-akan menaiki roller-coaster. Pendaratannya juga tidak lancar. Hentakan kuat di landasan itu membimbangkan saya. Tapi apa pun bersyukur, kami selamat mendarat. Milo kotak yang diberikan semasa penerbangan ke Sibu masih lagi tersimpan dalam freeze di rumah tidak diminum............. :)


Nota:

Penerbangan menggunakan ATR, Fokker dan Twin Otter adalah perkhidmatan penerbangan luar bandar (RAS) yang disediakan oleh syarikat penerbangan MAS yang dinamakan MASWings. Meliputi 22 destinasi, 16 di Sarawak , lima di Sabah dan Labuan. Di Sarawak, ia menjadi pengangkutan penting dan penghubung kepada bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan pekan-pekan kecil, Marudu, Mukah dan Lawas. Turut menjadi pengangkutan penting untuk membawa barang-barang keluaran tempatan seperti di Tanjung Manis, Bario, Limbang, Long Akah, Long Lellang, Long Seridan, Mulu, Ba’ Kelallan dan Long Banga yang hanya ada tempat pendaratan dan berlepas yang pendek.

(Dipetik dari Majalah MAS – goingplaces, August 2009)

Jul 28, 2009

Siapa Nak Tegur


Hari Selasa minggu lepas kami agak terlewat kembali dari Taiping ke Marang. Sepatutnya kami boleh bertolak lebih awal. Tapi kerana menunggu VIP yang lewat tiba, majlis penutup yang sepatutnya bermula jam 10.30 pagi hanya bermula jam 12.00 tengahari. Majlis yang meriah pada awalnya sudah hilang ‘umpphnya’. Tambahan pula ‘entah siapa’ yang asyik menjerit ‘TEPUK’............ apabila VIP melontarkan idea yang menarik kepada peserta-peserta kursus. Bukan sahaja menyebabkan jemputan terkejut, VIP itu juga turut tersentak. Cuma saya terfikir ‘siapa nak tegur’ ‘kelewatan’ dan ‘pekikan’ itu.
p/s Cukup 'tersiksa' bila terpaksa menunggu berjam-jam walaupun janji temu sudah dibuat.





Jul 23, 2009

Kedamaian Yang Luhur


Selepas menetap hampir empat tahun di Terengganu, hampir tiga per empat tanah Darul Iman ini telah saya jejaki. Dari Kemaman hingga ke Besut, bukan lagi asing. Sesekali kembali ke Pulau Pinang saya akan menyusuri lebuhraya Timur Barat yang berliku dan berbelit itu. Cuma minggu lepas saya memilih ’kelainan’. Saya ke Taiping bersama isteri dan Angah melalui jalan pintas Terengganu – Ipoh. Teruja dengan cerita rakan-rakan, saya memberanikan diri merentasi Bandar Kuala Berang, Tasik Kenyir, Felda Aring ke Gua Musang. Jalannya sunyi dan senyap. Hanya sesekali berselisih dengan kenderaan lain. Berbukit-bukau. Berliku, beralun dan berlopak. Dua jam perjalanan itu berbaur rasa seram. Isteri saya merungut-rungut kerana memilih jalan yang ’salah’. Nasib baik, sup tulang dan lauk pauk yang enak di Hentian Rehat dan Rawat Gua Musang itu berjaya menghilangkan keletihan saya dan rungutan isteri.

Tengahari itu perjalanan diteruskan lagi ke Cameron Highland. Membiarkan cermin tingkap terbuka. Udara sejuk dibiarkan menerjah masuk. Masih sejuk seperti yang saya nikmati puluhan tahun dahulu. Berhenti seketika dipuncak bukit, menghirup udara segar, sambil-sambil melihat kehijauan ladang sayur dan ladang teh yang ’melaut’ luasnya.

Akhirnya petang itu kami ’berlabuh’ juga di Taiping – Bandar Warisan. Sejarahnya 135 tahun dahulu, bandar bernama Kelian Pauh ini adalah pentas peperangan antara puak Hai San dan Ghee Hin, bertahun lamanya (1860-1874). Peperangan itu akhirnya tamat dan nama asalnya diganti dengan nama ’Thai-Peng’ yang bermakna – Kedamaian Yang Luhur. Patutlah malam itu nyenyak betul kami tidur he he he .

Jul 17, 2009

Engin Nyior


Tanpa disedari kadang-kadang ’cakap-cakap’ kita menyebabkan orang menyampah. Tapi mungkin tidak disedari sehingga kita menyingkap disebalik cerita sebenar.

Pada satu majlis kenduri kahwin beberapa orang tua begitu rancak berbual. Mungkin juga sudah lama tak berjumpa. Perbualan yang bermula dengan hanya bertanya khabar telah melarut-melarut kepada menceritakan kehebatan dan pencapaian masing-masing. Maklum sahaja selepas bertungkus lumus dan bersusah payah menongkah hidup, sebahagiannya bukan sahaja sudah berjaya dalam hidup tetapi juga turut menyaksikan kejayaan anak-anak mereka dalam pelajaran dan kerjaya.

’Anak den yang sulung tu doktor, anak den nombor dua jadi loyar, anak nombo tigo tu abis yo belajar torus dapek jadi PTD.............’. Anak kau .............?

”Alhamdulillah, tapi tak hebatlah macam kau, sorang tu dah jadi polis, ACP dah sekarang ni .. yang perempuan tu jadi cikgu, kek Sabah. Sorang lagi tu kojo kek jabatan pendaftaran yo, kerani........”. Hebat juga ceritanya.

” Bagus lah tu, anak kau macam mana Haji Lah ”. Tanya bapa doktor tadi.

Dalam muka yang bersahaja, Haji Lah menjawab, “ Anak den sorang yo....... lelaki . Apo nak buek,....rezeki tak ado. Tapi dah jadi engin nyior (engineer) jugak”.

”Baguslah tu.......... . Hampir serentak mereka menjawab dengan ketawa bernada puas hati. Cuma Haji Lah sahaja yang tak ketawa. Kenapa............?

=============================&==========================

Seperti biasa pagi-pagi hari apabila Pasar Besar dibuka, Haji Lah akan tetap sibuk bersama isterinya memilih kelapa, diasingkan mengikut gred. Sementara menunggu pelanggan datang dia turut juga menyusun segala rempah ratus dan barangan dapur di kedai ’kotak’nya itu. Baginya itu satu cara untuk menarik pelanggan, selain membeli kelapa parut dan santan boleh juga membeli sama kelengkapan dapur.

Cuma hari itu dia merungut-rungut kepada isterinya, kerana terpaksa memesin sendirian kelapa yang dipesan pelanggan. Ini kerana ’engin nyior’ (anak lelakinya) tidak datang membantu.

Jul 16, 2009

Hilang Selera


Lama juga saya tidak menjengah blog ini. Hilang selera. Mujurlah saya masih berselera lagi makan durian. Di Terengganu sekarang musim durian ’luruh’. Orang kampung saya kata musim ’rahat’. Sepanjang-panjang jalan-jalan kampung di daerah ini penuh dengan pondok-pondok menjual ’raja buah ’ itu.

Paling terkenal ialah durian Pengkalan Berangan. Lemak, manis dan cukup rasanya. Saya sudah beberapa kali hadir di ’kenduri durian’ dan kemudian dibekalkan lagi beberapa biji untuk dibawa pulang. Boleh juga bertahan ’stoknya’ sehari dua. Alhamdullilah, syukur musim durian kali ini belum sekali pun saya membeli durian ’waimma’ sebiji. Cuma sekarang dah tak boleh makan banyak, sebiji dua sahaja. Cepat betul ’mengaku kalah’.

Masih teringat semasa saya ’bujang kecil’ dahulu, ketika menunggu durian gugur di malam hari mereka bertanding ’cerita lucu’. Siapa yang ’tergelak’ dikira kalah dan didenda sebiji durian. Sepanjang musim durian berpuluh-puluh cerita telah dikarang. Cerita-cerita lucu ini bukan sahaja merapu, kyayal, lucah dan mengarut tetapi turut mengambil watak-watak pemimpin-pemimpin dunia seperti Moshe Dayan Menteri Luar Israel ketika itu sebagai bahan lelucon. Sekarang keseronokan itu telah tiada. Ramai anak muda yang keluar kampung kerana melanjutkan pelajaran ataupun sudah bekerja. Kalau ada pun di kampung mereka lebih suka duduk di kedai kopi dari menunggu ’pondok durian’ yang dingin dan berembun itu sehingga waktu dinihari.

Jul 4, 2009

Permata Yang Hilang

Di akhir bulan Jun lalu, kami mengulangi lagi perjalanan dari Marang, Ajil, Bandar Muadzam, Kuala Pilah, Seremban. Esoknya bersambung lagi, Seremban, Kuala Lumpur sebelum ‘berlabuh’ di Temerloh. Bandar Ikan Patin.


Kami sering memilih bermalam dan melepaskan lelah di Rumah Rehat Temerloh. Rumah Rehat di atas bukit bersebelahan SRJK Khee Chee, Jalan Hamzah bukan sahaja luas biliknya tetapi harganya juga berpatutan.


Malam itu ketika memandu kembali dari Pasaraya The Store ke Rumah Rehat mata saya tertancap kepada nama jalan, Jalan Sudirman yang menyingkap nostalgia. Allahyarham Sudirman baru sahaja dianugerahkan gelaran Datuk selepas 18 tahun pemergiannya. Saya adalah peminat nombor ‘wahidnya’ walaupun tidak menyimpan koleksi gambar atau lagu-lagunya. Saya amat mengaguminya sebagai penyanyi dan penghibur No 1 Malaysia.


Selepas kehilangan P.Ramlee saya fikir tiada lagi penghibur sebaiknya kecuali Sudirman. Bakatnya cukup teserlah selepas memenangi Bintang RTM 1976. Seorang anak muda berkelulusan undang-undang yang memilih penyanyi sebagai kerjayanya. Dia benar-benar berjaya dalam dunia hiburan. Satu demi satu gelaran diraih, pencapaian terbaiknya bila memenangi ‘Best Performer’ tahun 1989 dalam pertandingan Asia Music Award di Albert Hall, London.


Lagu-lagunya menggetarkan perasaan. Liriknya bersahaja dan sesetengahnya meninggalkan kesan yang mendalam bila diputar. ‘Merisik Khabar’, ‘Milik Siapa Gadis Ini’ dan ‘Sampaikan Salam’ merupakan lagu-lagu yang popular dan ‘sentiasa hijau’. Lagu-lagu dan persembahanya tebal dengan nilai patriotik dan ‘ukiran’ kisah-kisah orang biasa yang mengujakan. Tanggal 31 Ogos, Warisan, Basikal Tua, Punch Card, Seruling Bambu, Aku Penggangur adalah sebahagian dari lagu-lagu yang mengangkatnya sebagai penghibur yang tiada ‘taranya’. Tahun 1986 ketika dia menyanyi di Jalan Chow Kit, 100,000 peminat ‘menyerbu’ dan ‘membanjiri’ Jalan Tunku Abdul Rahman , Jalan Raja Muda ke Jalan Raja Alang menyaksikan persembahannya. Saya tidak menjangka penyanyi sekarang mampu menarik sebegitu ramai peminat dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan melimpah sehingga ke Singapura, Brunei dan Indonesia seperti yang dicapai oleh Sudirman.


Penghibur ’terbilang’ ini juga berbakat berlakon dan melukis kartun. Sepanjang kerjayanya dia telah digelar ’Elvis Presley Malaysia’ dan sehebat ’Michael Jackson’. Temerloh telah melakar sejarah. Melahirkan seorang penghibur ’luar biasa’ auranya, sehingga kini tiada galang ganti. Jika kami singgah lagi ke Temerloh, kami akan tetap menemui jalan ini, tapi tidak mungkin menemui lagi seseorang sehebat namanya, Datuk Sudirman Haji Arshad. Al-Fatihah.

Jun 26, 2009

Hitam dan Putih



Michael Jackson telah pun meninggal dunia. Dunia sudah kehilangan seorang penghibur yang hebat. Saya tak nak ulas berjela. Cuma saya terfikir keunikan manusia ini. Dunia melihat anak seni berkulit gelap ini ‘bertukar’ warna, hidung peseknya turut mengecil dan semakin mancung. Dia ‘mengorbankan’ kulit hitam dan bertukar kepada kulit putih kerana menginginkan sanjungan dari peminatnya di kalangan orang kulit putih. Tentulah jauh berbeza dengan Nelson Mandela yang terus ‘berkulit hitam’ dan ‘mengorbankan’ kebebasannya selama 27 tahun dengan perjuangannya bersama rakyat Afrika Selatan menentang dasar apartheid.

Perjuangan mereka berbeza untuk mencari kesaksamaan. Tetapi tentulah mereka yang memliki jati diri lebih dihargai.

p/s Saya bersyukur dengan warna kulit saya yang sawo matang ni


Jun 25, 2009

Hari Abah


Sudah 23 tahun saya bergelar Abah. Abah kepada lima orang anak. Tiga lelaki dan dua perempuan. Abah yang sinonim juga dengan panggilan babah, papa, ayah, daddy, dan yang sewaktu dengannya. Pantasnya masa berlalu, hampir sahaja saya tidak mengingati zaman kecil mereka. Bagaikan sekelip mata mereka telah membesar dan kami tidak lagi tinggal sebumbung. Pertemuan kami pun sudah jarang-jarang, mungkin hanya dua bulan sekali ataupun ketika musim cuti belajar. Rumah kami seperti rumah persinggahan. Sebulan dua di rumah mereka sudah pergi kembali ke kolej dan ke universiti. Antara mereka juga sudah jarang berjumpa. Lima orang anak yang berderet-deret dan ramai dahulu terasa kecil jumlahnya. Mereka sudah menginjak usia dewasa sekarang. Benar kata arwah Abah yang ada 15 orang adik beradik, ”Bila sudah tua ni Li, abah rasa macam tak ada adik beradik”. Maklum sahaja sebahagian besar adik-beradiknya telah keluar merantau. Ada yang menetap di Rasah, Sendayan, Ampangan, Kuala Lumpur dan Singapura.

Pertama kali membahasakan diri sebagai abah bersempena kelahiran anak sulung, terasa agak kekok. Tapi lama kelamaan ia menjadi fasih dan biasa. Gelaran itu disandang ketika usia saya hampir mencecah 27 tahun. Anak sulung saya dinamakan Muhammad Amir Sadiq. Kemaruknya seorang ‘bapa’ yang ingin menamakan anaknya dengan nama dan makna yang baik-baik akhirnya terlebih panjang. Setiap kali saya mengisi borang dan menulis buku latihannya, seringkali juga tidak mencukupi ruang apabila dicampur dengan nama ‘abahnya’. Mungkin kerana itu saya hanya menamakan anak kedua hingga kelima dengan nama yang lebih pendek. Kurang letih sedikit menulis.

Mendapat gelaran ‘abah’ juga bukan tiada ranjaunya. Benih kami yang pertama gugur ketika janin sudah mencecah empat bulan. Airmata isteri mengalir setiap kali saya datang melawatnya di Hospital Pulau Pinang. Impian kami untuk menimang cahaya mata pertama sudah berkecai, apatah lagi mendengar ’cakap-cakap’ orang ‘gugur kali pertama, sukar untuk mengandung lagi’. Jahat sungguh mulut mereka. Apa pun kalau sudah takdir dan rezeki, tak ke mana. Tak sampai setahun isteri saya mengandung lagi. Seingat saya inilah kandungan yang dijaga paling rapi sekali. Setiap detik kami menantikannya dengan penuh debaran dan pasrah. Setiap detik adalah masa-masa kritikal, ’trauma’ keguguran itu tidak mudah hilang, sehinggalah kandungan itu berusia lima bulan. Alhamdullilah, penat lelah ’menjaga’ itu berbaloi, lima jam dalam ’labour room’, bayi 3.5 kilogram itu lahir dengan di ’forcep’, penantian sembilan bulan 10 hari itu sudah berakhir dengan jayanya. :)

p/s Terima kasih juga buat pengunjung Blog Biso Bonar yang sudi mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada saya. Tidak terlewat juga untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada insan dan pengunjung yang bergelar bapa. Terima kasih juga buat Angah dan Alang yang hadiahkan abah ’talipinggang’. Perut abah masih ’maintain’ lagilah he he he .